You are on page 1of 4

Penerapan Pendidikan Bioteknologi dalam Kalangan Guru Biologi Sekolah Menengah:

Kajian Kebolehlaksanaan

Pengenalan
Bioteknologi moden merupakan teknologi canggih yang telah membolehkan para saintis
menerokai banyak peluang baru dalam pelbagai bidang seperti pertanian, makanan, perubatan
dan rawatan sisa. Kerajaan Malaysia telah mengenal pasti bioteknologi sebagai salah satu
daripada lima teknologi utama bagi mentransformasikan negara ini menjadi sebuah negara
industri menjelang tahun 2020. Sejajar dengan ini, komponen bioteknologi telah diterapkan ke
dalam kurikulum mata pelajaran Sains dan Biologi di negara kita.
Jurnal yang ditulis oleh Rashidah Begum Gelamdin, Norlidah Alias dan Dorothy Dewitt
merupakan satu kajian kebolehlaksanaan yang membincangkan tentang pandangan guru-guru
biologi sekolah menengah tentang pengajaran bioteknologi yang telah diterapkan dalam mata
pelajaran Biologi serta masalah-masalah yang dihadapi untuk mengajar topik bioteknologi secara
berkesan. Pengkaji juga telah mengenalpasti beberapa faktor yang menyumbang kepada
pengajaran bioteknologi secara efektif di sekolah menengah. Cadangan penambahbaikan turut
dibincangkan dalam jurnal ini.
Abstrak jurnal ini mengandungi latarbelakang kajian, tujuan penyelidikan, metodologi
penyelidikan dan keputusan analisis data yang memberi gambaran menyeluruh tentang
penyelidikan ini. Namun demikian, metodologi penyelidikan kurang jelas kerana pengkaji tidak
menyatakan rekabentuk kajian yang digunakan. Kata kunci feasibility study juga tidak terdapat
dalam abstrak.

Penyataan masalah
Pengkaji telah menyatakan beberapa isu yang telah timbul di Korea Selatan, Portugal,
Scotland, Sepanyol dan New Zealand hasil daripada penerapan bioteknologi ke dalam sistem
pendidikan dan kurikulum mata pelajaran Sains dan Biologi di Negara mereka. Antaranya
ialah guru-guru mengelak dan tidak mahu mengajar topik-topik berkaitan dengan
bioteknologi dengan memberi alasan seperti kekurangan latihan akademik, kekurangan
sumber bahan bantu mengajar untuk melaksanakan eksperimen, faktor kekurangan masa dan
kurangnya bantuan kewangan. Pada pendapat saya, kepentingan pernyataan masalah kajian
kurang jelas kerana masalah yang dikenalpasti adalah yang berlaku di luar negara dan
bukannya di Malaysia.

Pengkaji telah menyatakan pernyataan masalah kajian dengan jelas dan memperlihatkan
keperluan untuk masalah berkenaan diselidik.

Kesesuaian Soalan Kajian dan Objektif Kajian
Pengkaji telah mengenalpasti tiga persoalan kajian iaitu apakah pandangan guru-guru tentang
pengajaran bioteknologi bagi mata pelajaran Biologi sekolah menengah, apakah masalah
yang dihadapi oleh guru-guru Biologi apabila mengajar komponen Bioteknologi di dalam
mata pelajaran Biologi sekolah menengah dan apakah cadangan penambahbaikan yang
diutarakan oleh guru-guru Biologi sekolah menengah. Soalan kajian yang dikemukakan oleh
pengkaji adalah jelas, mudah difahami dan sesuai untuk mencapai objektif kajian iaitu
mengetahui secara lebih mendalam bagaimana guru-guru Biologi mengajar aspek
bioteknologi yang terdapat dalam sukatan mata pelajaran Biologi sekolah menengah dan
masalah yang mungkin di hadapi oleh guru-guru ini. Pengkaji juga telah memberi penjelasan
yang baik tentang rasional penggunaan kajian kebolehlaksanaan untuk mencapai objektif
kajian.



Kaedah dan Rekabentuk kajian
Pengkaji telah menjalankan satu kajian kebolehlaksanaan (feasibility study) dengan memilih
kaedah temu bual berstruktur secara mendalam. Saya mendapati pengkaji tidak menyebut
tentang rekabentuk kajian yang digunakan. Walaubagaimana pun, pembaca dapat
mengenalpasti rekabentuk kajian adalah berbentuk kualitatif kerana kaedah temu bual
digunakan untuk mengumpul data.

Pemilihan sampel
Pengkaji memilih tiga orang guru Biologi yang mengajar mata pelajaran ini di tiga buah
sekolah menengah yang berbeza di sekitar Lembah Klang. Guru-guru yang dipilih adalah
mereka yang sedang dan mempunyai pengalaman mengajar mata pelajaran Biologi
Tingkatan 4 dan 5. Pengkaji telah menjelaskan dengan terperinci mengenai cara pemilihan
sampel untuk kajian ini. Saiz sampel yang dipilih adalah sesuai walaupun agak kecil
memandangkan kajian ini merupakan kajian kebolehlaksanaan.

Pemilihan instrument
Satu senarai soalan telah disediakan oleh pengkaji sebelum temu bual dilakukan. Prosedur
temu bual telah dinyatakan dengan jelas dalam penulisan kajian ini.

Kebolehpercayaan dan kesahan
Pengkaji telah meningkatkan kesahan dalaman dengan menjalankan temubual selama 45minit
dengan setiap responden. Walaubagaimana pun, pengkaji tidak menyatakan bahasa yang
digunakan dalam sesi temu bual. Namun demikian, pengkaji telah berusaha untuk meningkatkan
kesahan luaran dengan melantik seorang guru biologi untuk menyemak kesamaan antara
perbualan sebenar dan transkrip yang telah disediakan oleh pengkaji. Kajian ini mempunyai
kebolehpercayaan yang agak tinggi kerana pengkaji telah menyediakan transkrip data yang telah
diperoleh setelah sesi temu bual selesai. Kebolehpercayaan kajian ini juga boleh ditingkatkan
jika pengkaji merekod data secara elektronik atau digital.




Bibliografi
Gelamdin, R. B., & dan Matematik, J. S. (2014). PENERAPAN PENDIDIKAN
BIOTEKNOLOGI DALAM KALANGAN GURU BIOLOGI SEKOLAH MENENGAH:
KAJIAN KEBOLEHLAKSANAAN. Jurnal Kurikulum dan Pengajaran Asia Pasifik, 2(1).

You might also like