You are on page 1of 10

1.

PENDAHULUAN

Pendidikan adalah hak asasi setiap individu dan dari segi falsafahnya, semua insan di
dunia ini mempunyai hak untuk belajar dan mengetahui sesuatu. Apabila berbicara tentang
peluang pendidikan terhadap pelajar berkeperluan khas, mereka juga mempunyai minat,
hasrat dan cita-cita yang setanding dengan individu normal. Mereka juga perlu diberi peluang
yang sama seperti individu normal yang lain supaya mereka tidak tersisih daripada arus
pembelajaran nasional kerana ada dalam kalangan mereka yang mempunyai kecerdasan
kognitif yang setanding dengan individu yang sempurna malah mereka mampu melebihi
pencapaian pelajar yang normal (Adam, 2003; Ali, 2007; Lokman, 2007).
Dalam usaha untuk mempertingkatkan kemampuan pelajar berkeperluan khas,
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melalui Bahagian Pendidikan Khas telah merangka
dan menyediakan perkhidmatan pendidikan untuk pelajar

berkeperluan khas yang

mempunyai masalah penglihatan, pendengaran dan masalah pembelajaran. Antara kategori


pelajar berkeperluan khas yang dianggap dapat mengikuti sesi pembelajaran dengan baik ialah
Sindrom Down, Autisme Ringan, Attention Deficit Hyperactive Disorder (ADHD), Terencat
Akal Minimum dan Masalah Pembelajaran Spesifik (Siti Mapsiah & Nor Azizah, 1995).
Sindrom Down atau trisomy 21 merupakan kecacatan genetik yang disebabkan oleh
kehadiran sebahagian atau kesemua kromosom 21. Kecacatan ini disebabkan oleh lebihan
kromosom yang berlaku apabila bayi yang dilahirkan mempunyai tiga 'salinan' kromosom ke21. Kesannya, ia akan menyebabkan kanak-kanak tersebut menghadapi masalah kerencatan
akal yang akan memberi impak negatif kepada keupayaan kognitif, masalah tumbesaran dan
juga fizikal kanak-kanak tersebut.
Penghidap Sindrom Down biasanya dapat dikenalpasti sejak kelahiran lagi kerana
mereka mudah dikesan melalui ciri-ciri fizikal yang ditunjukkan iaitu mata sepet, tangan lebar
dan sebagainya. Malah, Sindrom Down juga telah dihuraikan dengan terperinci oleh Dr. John

Langdon Down pada tahun 1866 di mana beliau menyatakan bahawa SD merupakan suatu
kejadian rawak pada peringkat pembiakan sel bayi dan kekerapannya dianggarkan 1 dalam
800 kelahiran tanpa mengira jantina.
Pernyataan beliau turut disokong oleh satu kajian yang mengatakan bahawa
kebarangkalian seseorang bayi Sindrom Down dilahirkan adalah dianggarkan sekitar 1:500
dan 1:1000 (Frid, Drott, Lundel, Rasmussen & Anneren, 1999). Anggaran ini dijangka akan
meningkat sekiranya para ibu masih nekad untuk mengandung lewat usia 40 tahun.
Meskipun individu yang berhadapan dengan masalah Sindrom Down mempunyai
banyak kelemahan, namun mereka masih mempunyai kebolehan dan ciri-ciri unik tertentu
yang tidak ada pada individu normal. Oleh sebab itu, pengasingan golongan minoriti ini tidak
harus wujud kerana ia hanya akan menyebabkan golongan ini terus tersisih dan tidak
berpeluang menikmati keistimewaan dan kemudahan yang disediakan.
Justeru itu, kebolehan unik yang dimiliki haruslah dimanfaatkan dengan optimum
supaya kelebihan ini tidak dipersiakan. Meskipun IQ purata kanak-kanak dengan Sindrom
Down adalah sekitar 50, berbanding dengan kanak-kanak biasa dengan IQ sebanyak 100,
tetapi mereka masih mempunyai potensi dari aspek kemahiran. Kanak-kanak Sindrom Down
juga berisiko tinggi untuk mengalami masalah kesihatan seperti jangkitan telinga berulang,
kecacatan jantung kongenital dan sebagainya. Malah, kanak-kanak SD juga akan mengalami
masalah bertutur dan ketidakupayaan dalam aspek kemahiran motor kasar dan motor halus
kesan gangguan daripada simptom-simptom Sindrom Down ini. Sehubungan itu, saya
terpanggil untuk membantu dan mengkaji sejauhmanakah murid Sindrom Down dapat
menguasai sesuatu kemahiran berbentuk amali selepas sesuatu kaedah dilaksanakan dengan
baik.

Kemahiran merupakan suatu penstrukturan aplikasi yang memerlukan latihan yang


berterusan. Di samping itu, ia juga merupakan suatu entiti yang penting dalam memastikan
kelangsungan kehidupan yang bermakna. Melalui kemahiran yang dimiliki akan dapat
meletakkan seseorang individu di tempat yang lebih tinggi. Hal ini kerana, kemahiran dan
pengalaman adalah lebih efektif daripada ilmu teori yang dipelajari tetapi tidak diamalkan.
Bagi sesi praktikum fasa 3 kali ini, saya telah diminta untuk mengajar murid-murid
kelas 2 dalam mata pelajaran Pengurusan Kehidupan. Sukatan pelajaran bagi subjek ini lebih
memfokuskan tentang aspek kemahiran dan kerja lapangan. Justeru itu, dengan kepercayaan
yang diberi untuk mengajar subjek ini, saya terdorong untuk menjalankan kajian tentang
komponen yang melibatkan kemahiran. Hal ini kerana, melalui pemerhatian dan analisis
dokumen, saya dapati murid-murid kelas Intan 2 rata-ratanya mempunyai prestasi yang baik
dalam kemahiran asas 3M, namun sebaliknya bagi kemahiran asas untuk berdikari (KAUB).
Justeru itu, saya berhasrat untuk membantu meningkatkan kemahiran dalam diri
murid-murid kelas Intan 2 kerana kemahiran merupakan asas penting yang perlu dikuasai oleh
murid bermasalah pembelajaran sebagai penggalak alternatif untuk kehidupan akan datang.
Selain itu, antara rasional-rasional lain pemilihan aspek kemahiran sebagai fokus
kajian adalah saya berpendapat melalui pendedahan berasaskan kemahiran, masalah-masalah
murid seperti ingatan dan tumpuan jangka pendek, masalah motor halus dan motor kasar,
koordinasi mata-tangan dan sebagainya dapat diatasi secara serentak kerana kemahiran
melibatkan semua komponen yang dinyatakan.
Di samping itu, pemilihan aspek kemahiran ini juga adalah bertujuan untuk
melahirkan murid yang seimbang kerana kebanyakkan pengkaji dilihat lebih gemar
menjalankan kajian berasaskan 3M sahaja dan kurang penekanan diberikan kepada aspek
kemahiran. Maka, disebabkan itu saya terdorong untuk mencari kelainan dan memberi

pendedahan kepada murid mengenai pembelajaran berbentuk amali dan kajian lapangan
kerana ia lebih bersifat holistik dan membantu murid untuk mengingat dalam jangka masa
yang lebih panjang. Hal ini kerana, menurut Zol Azlan (2000), kaedah amali merupakan kaedah
yang paling praktikal dan dapat membantu pelajar secara langsung dalam proses pembelajaran di
dalam bengkel.

Peserta kajian saya pada kali ini adalah murid pendidikan khas yang mempunyai
masalah Sindrom Down. Saya tertarik untuk memilih murid tersebut sebagai peserta kajian
saya kerana semasa saya menjalankan tinjauan awal terhadap kelas 2 bagi mata pelajaran
Pengurusan Kehidupan yang bertajuk pengurusan pakaian, peserta kajian menunjukkan
tingkah laku yang pasif seperti sukar mendengar arahan yang diberikan, kurang tumpuan,
tidak mampu untuk mengingat dalam jangka masa yang lama, mahukan perhatian, belaian dan
ganjaran. Tingkah laku negatif yang ditunjukkan telah membuatkan saya tertarik untuk
membantu murid tersebut dengan menjalankan beberapa strategi modifikasi tingkah laku
terhadapnya.
Masyarakat yang kurang pendedahan mengenai murid-murid pendidikan khas sering
meletakkan golongan ini dalam kelompok yang paling minoriti dan membuat andaian bahawa
golongan ini tidak mampu berdikari dan perlu bergantung kepada orang lain. Justeru itu,
untuk membidas andaian negatif ini, saya bertekad untuk melatih murid tersebut dari awal
tentang kemahiran pengurusan pakaian supaya kemahiran ini dapat digunakan dalam
kehidupan sehariannya di samping membantu meringankan bebanan ibu bapanya dan
meningkatkan peluang pekerjaan kelak.

Kemahiran diertikan sebagai ketrampilan, kecekapan dan pengetahuan guna tenaga


dalam bidang teknikal yang melibatkan operasi kognitif, psikomotor dan penggunaan sumber
yang berkesan (Ahmad, 1997; Zamri, 2007). Kemahiran dan teknik pengajaran yang berkesan
serta serasi dengan kemampuan pelajar berkeperluan khas dijangka dapat mempertingkatkan
minat mereka terhadap mata pelajaran yang dipelajari (Abdul Razak, 1997; Esah, 2003).
Dalam usaha mendidik golongan ini, kemahiran yang tinggi yang dimiliki khususnya dalam
bidang teknikal dijangka akan dapat membantu mereka merasa tidak tersisih serta mampu
belajar dengan lebih berkesan. Hal ini kerana, pelajar berkeperluan khas perlu didedahkan
dengan bidang yang lebih mencabar seperti kemahiran dan teknikal (Adam, 2003; Hashim,
1991) supaya mereka dapat memajukan diri seiring dengan rakan mereka yang normal.
Dalam usaha mempertingkatkan peluang pekerjaan kepada pelajar berkeperluan khas,
mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah menyeru pihak
majikan supaya membuka peluang pekerjaan yang lebih luas kepada mereka supaya individu
istimewa ini boleh berdikari dan terlibat sama dalam pembangunan ekonomi. Untuk
merealisasikan hasrat dan misi nasional, kini pihak kerajaan sedang berusaha gigih dalam
mempertingkatkan kualiti latihan kemahiran untuk golongan berkeperluan khas di Malaysia
supaya mereka mampu bersaing dengan pasaran pekerjaan. Kemahiran-kemahiran yang
diberikan perlu bersesuaian dengan kemajuan negara yang kini semakin membangun untuk
mendapatkan peluang pekerjaan yang diingini (Ku Seman, 2007).

1.1

Refleksi pengajaran dan pembelajaran lalu

Pengalaman berpraktikum bagi sesi ketiga ini banyak memberi pendedahan kepada saya
tentang murid-murid pendidikan khas masalah pembelajaran. Hal ini kerana, semasa
berpraktikum saya telah mempelajari dan mendalami pelbagai perkara mengenai masalah
pengajaran dan pembelajaran murid-murid pendidikan khas terutamanya pembelajaran
berpusatkan kemahiran untuk berdikari (KAUB). Menurut Jabatan Pendidikan Khas (2005),
masalah pembelajaran merujuk kepada murid yang dikenalpasti dan disahkan oleh profesional
sebagai individu yang mengalami kekurangan yang mengganggu proses pengajaran dan
pembelajaran. Mereka terdiri daripada kanak-kanak yang mempunyai keupayaan mental dan
pengubahsuaian tingkah laku yang rendah.
Berdasarkan pemerhatian sepanjang tempoh saya mengajar, saya dapati guru-guru
lebih menumpukan tentang penguasaan murid dalam kemahiran asas 3M sahaja. Hal ini
kerana, mereka lebih mementingkan peningkatan murid dalam akademik berfungsi
berbanding kemahiran murid untuk berdikari. Maka, terdorong daripada ketidakseimbangan
tersebut saya terpanggil untuk melakukan kajian mengenai penguasaan murid dalam
kemahiran asas untuk berdikari. Hal ini kerana, menurut Perkins (1992), pembelajaran bestari
haruslah meliputi proses pembelajaran berasaskan kebolehan dan kemahiran pelajar dalam
membuat aplikasi pengetahuan melalui proses berfikir yang provokatif.
Oleh sebab itu, saya telah memulakan sesi pengajaran saya dengan memilih tajuk
kemahiran iaitu Kesihatan dan Kebersihan dalam mata pelajaran Pengurusan Kehidupan bagi
menyeimbangkan penerimaan pengetahuan dalam diri murid. Saya memfokuskan dengan
memilih tajuk pengurusan pakaian dalam konteks yang lebih spesifik iaitu menggosok baju
bagi kelas seliaan saya. Semasa menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran pada 21
Januari 2013, murid-murid kelas 2 dilihat sangat sukar untuk memberikan perhatian. Hal ini
kerana, mereka lebih berminat untuk melakukan urusan masing-masing seperti berjalan-jalan

dalam kelas, menjerit-jerit, memukul rakan dan sebagainya berbanding menumpukan


perhatian kepada guru yang mengajar.
Tingkah laku yang ditunjukkan telah menyebabkan proses pengajaran dan
pembelajaran terganggu seketika dan pengajaran tidak dapat diteruskan dengan lancar. Justeru
itu, saya mengambil keputusan untuk menarik semula perhatian mereka dengan menunjukkan
video Upin dan Ipin. Ternyata pendekatan ini sangat berkesan dan mereka dapat duduk di
tempat masing-masing dalam keadaan baik dan terkawal. Selepas beberapa minit, saya cuba
meneruskan sesi pengajaran dengan meminta murid mencuba untuk menggosok baju t-shirt.
Kerjasama yang ditunjukkan sangat memuaskan hati saya kerana 5 daripada 8 orang
murid kelas 2 dapat melakukan aktiviti menggosok baju t-shirt dengan baik meskipun dalam
jangka masa yang lama. Manakala, 2 orang murid lagi dapat melakukan aktiviti ini tetapi
memerlukan bimbingan sepenuhnya daripada guru dan seorang murid lagi tidak dapat
melakukan sebarang aktiviti menggosok baju kerana tidak dapat memberikan tumpuan dan
fokus dalam jangka masa yang lama.
Hal ini kerana, aktiviti menggosok baju memerlukan murid-murid memberi fokus dan
berada dalam keadaan yang tenang supaya mudah untuk menggosok dan mengawal suhu.
Namun begitu, murid tersebut langsung tidak dapat berada dalam keadaan tenang dalam
seminit sekalipun kerana dia tidak suka dikawal dan dikongkong. Pelbagai cara telah
dilakukan untuk menarik perhatian murid tersebut namun tidak berjaya. Hasil daripada
pemerhatian yang dijalankan, saya membuat keputusan untuk memilih murid ini sebagai
peserta kajian saya pada kali ini. Keputusan dibuat setelah saya menemubual guru dan ibu
peserta kajian saya serta berdasarkan masalah tumpuan yang ditunjukkan semasa aktiviti
dilaksanakan.

Dalam perjumpaan kedua iaitu pada 24 Januari 2013, saya telah menunjukkan alatan
menggosok pakaian dan menyatakan fungsi-fungsinya kepada murid-murid. Semasa sesi
memperkenalkan alatan menggosok pakaian tersebut, saya dapati peserta kajian saya dapat
memahami kepentingan menggosok pakaian kerana apabila ditanya, dia akan menjawab
cantik, baju yang bermaksud sekiranya kita menggosok pakaian, kita akan kelihatan lebih
cantik dan kemas.
Kemudian saya meneruskan dengan aktiviti menggosok tanpa menghidupkan suis.
Semasa aktiviti, saya bertanya kepada murid tersebut tentang bagaimana cara menggosok
pakaian, dia lantas menunjukkan aksi menggosok pakaian pada baju sekolahnya dengan
caranya sendiri. Secara keseluruhan, saya dapati peserta kajian saya pernah melihat ibu atau
kakaknya menggosok pakaian kerana dia mengetahui dan memahami fungsi seterika dan
kepentingannya. Namun begitu, murid berkenaan tidak dapat mengaplikasikan apa yang
dilihatnya kerana tiada pendedahan diberikan. Melalui temubual dengan ibu peserta kajian,
saya dapati peserta kajian saya tidak dibenarkan untuk melakukan aktiviti menggosok pakaian
semasa di rumah kerana dikhuatiri membahayakan dirinya.

Saya telah menjalankan pemerhatian ketiga kepada peserta kajian saya pada 31 Januari
2013 semasa mengendalikan kelas Pengurusan Kehidupan. Semasa sesi pengajaran dan
pembelajaran tersebut, saya telah meminta peserta kajian saya untuk melakukan aksi
menggosok baju tanpa menghidupkan suis. Melalui pemerhatian yang dibuat, beberapa
perkara telah dapat saya kenalpasti iaitu saya dapati murid tersebut atau Ekin (bukan nama
sebenar) menghadapi masalah dalam mendengar arahan guru kerana meskipun guru
memujuk, murid tersebut tetap enggan sehinggalah guru memberikannya ganjaran Apollo.

Semasa murid berkenaan menjalankan aktiviti, beberapa perkara telah dapat saya
perhatikan iaitu peserta kajian saya menghadapi masalah dalam mengingat langkah-langkah
yang telah diajarkan dan tidak tahu untuk mengawal suhu kepanasan dengan baik. Hal ini
kerana, sebelum murid-murid melakukan aktiviti, saya telah menunjukkan demonstrasi
sebanyak 3 kali, namun murid tersebut masih menghadapi masalah. Keadaan ini merupakan
masalah normal bagi murid Sindrom Down kerana ia merupakan simptom biasa bagi
penghidap SD.
Masalah-masalah yang dihadapi oleh peserta kajian saya akan cuba saya atasi dengan
menjalankan modifikasi dan intervensi melalui pendekatan beberapa elemen. Antara elemenelemen yang telah saya rancangkan adalah T (Terapi), A (Amali), R (Rangsangan), B
(Belaian), U (Ulangan), dan S (Sensori). Keenam-enam elemen ini akan saya laksanakan
secara tidak langsung semasa sesi pengajaran dan pembelajaran kelak. Hartman (1995)
menyatakan bahawa kepelbagaian kaedah dan pendekatan penyampaian pengajaran
merupakan komponen penting dalam memotivasikan serta meningkatkan minat murid
terhadap pelajarannya. Justeru itu, kaedah-kaedah yang dipilih adalah berdasarkan beberapa
aspek iaitu kesesuaian dengan fokus kajian, mudah diaplikasikan, menjimatkan kos dan
efektif.
Maka, berdasarkan tingkah laku bermasalah seperti kurang berminat, tidak mahu
mendengar arahan guru dan tidak mahu melakukan tugas lain menyebabkan proses
pengajaran dan pembelajaran menjadi terganggu kerana murid tersebut tidak mahu
melibatkan diri dan kurang tumpuan semasa di dalam kelas. Kesannya, guru perlu
memberikan tumpuan yang lebih kepada murid tersebut dan ia menyebabkan murid-murid
lain terabai dan membuat bising. Malah, murid-murid lain yang dapat mencapai objektif
pengajaran terpaksa mengulang semula objektif tersebut akibat Ekin yang tidak dapat
mencapainya. Justeru itu, guru telah membahagikan murid kepada 3 kumpulan iaitu

kumpulan baik, memuaskan dan lemah. Guru telah menempatkan Ekin dalam kumpulan
lemah kerana dia sahaja yang tidak dapat melakukan sebarang tugasan yang diberikan.
Guru telah mencuba melakukan pelbagai aktiviti yang menarik, namun ia masih tidak
memberi kesan yang positif. Oleh itu, sebagai guru, saya tertarik untuk membantu Ekin
mengurangkan masalah tingkah laku bermasalahnya dengan merancang aktiviti yang lebih
kompleks dan melibatkan pelbagai aspek.

1.2

Pengumpulan data awal

2.0

FOKUS KAJIAN
2.1
Huraian Fokus Kajian
2.2
Tindakan/Intervensi

3.0

OBJEKTIF DAN SOALAN KAJIAN


3.1
Objektif Kajian
3.2
Soalan Kajian

4.0

KUMPULAN SASARAN

5.0

PERANCANGAN PELAKSANAAN KAJIAN


5.1
5.2
5.3
5.4
5.5

Langkah-langkah tindakan
Cara mengumpul data
Cara menganalisis data
Jadual pelaksanaan kajian tindakan
Kos kajian

You might also like