You are on page 1of 5

Tajuk: Makanan seimbang amat penting kepada setiap orang.Huraikan kepentingan makan makanan seimbang.

Contoh Jawapan: Makanan seimbang ialah pengambilan makanan yang cukup untuk keperluan tubuh badan. Manusia memerlukan makanan dan vitamin untuk pembesaran dan menjaga kesihatan. Media massa turut mempopularkan pemakanan seimbang menerusi pelbagai program dan penulisan artikel mengenai pemakanan yang sihat ini. Oleh itu, wujud pelbagai kebaikan daripada makanan seimbang ini. Kepentingan pemakanan seimbang yang utama ialah sikap ini menjadikan pembesaran manusia itu lebih sempurna daripada aspek fizikal. Tubuh badan menerima semua keperluan zat yang diperlukan untuk membina tubuh badan yang kuat daripada keperluan fizikal manusia. Keupayaan fizikal yang ketara ini menjadikan seseorang manusia itu boleh menjalankan tugasnya dengan begitu baik dan sempurna. Jelaslah, pemakanan seimbang menjadikan fizikal manusia itu lebih baik berbanding manusia lain yang kurang menjaga aspek pemakanannya. Selain itu, pemakanan yang seimbang menjadikan perkembangan mental seseorang itu terganggu pula. Kekurangan zat makanan yang tertentu boleh menjadikan mental seseorang itu tidak cukup cerdas atau mudah letih apabila cuba menyelesaikan sesuatu perkara yang dialami dalam kehidupan seseorang itu. Keadaan ini menjadikan seseorang itu gagal berfikir untuk menyelesaikan masalahnya dengan lebih efektif berbanding dengan individu yang seimbang aspek pemakanannya. Jadi, pemakanan seimbang menjadikan aspek mental manusia lebih stabil dan berdaya tahan. Kemungkinan kepentingan pemakanan seimbang yang mudah difahami ialah makanan yang seimbang memberikan vitamin yang cukup kepada badan seseorang itu. Keperluan vitamin yang cukup ini menjadikan tubuh manusia itu lebih tahan untuk menghadapi sebarang jangkitan penyakit atau tidak mudah untuk jatuh sakit. Kesihatan manusia dikatakan perkara yang paling penting dalam kehidupan seseorang itu. Sesungguhnya, manusia yang mengamalkan pemakanan seimbang akan mempunyai kesihatan yang sihat sejahtera sahaja. Malahan, pemakanan seimbang turut dikatakan mampu mengawal kadar obesiti masyarakat dunia. Salah satu aspek utama dalam pemakanan seimbang ialah manusia perlulah mengambil makanan dalam kuantiti yang kecil tetapi cukup khasiat yang diperlukan oleh badan. Pengawalan pemakanan sebegi menjadikan tubuh seseorang itu tidak terlalu gemuk dan memudahkan mereka untuk menjalankan pelbagai aktiviti terutama aktiviti senaman yang mampu menyihatkan badan pula. Oleh itu, obesiti mampu diatasi jika seseorang itu mempunyai diet pemakanan seimbang dalam hidupnya.

Kesimpulannya, kita perlu mengambil makanan yang seimbang kerana semua kepentingannya sudah dinyatakan tadi. Bukan sahaja individu tetapi masyarakat dan seterusnya negara akan menerima kesan positif daripada pemakanan yang baik ini. Jika masyarakat masih ingkar dan tidak mahu berubah sudah pasti jumlah pesakit penyakit kronik di negara ini akan bertambah pula. Ketika itu mungkin sudah terlewat untuk kita semua mengambil langkah pencegahannya. Tepuk dada tanya selera. Tajuk: Media Massa sering melaporkan kejadian jenayah seperti kes ragut yang sering berlaku di negara kita sejak akhir-akhir ini.Huraikan faktor-faktor yang menyebabkan kes ragut menjadi lebih serius. SPM Contoh Jawapan: Kejadian ragut yang sering menjadi-jadi merupakan satu jenayah yang amat mengejutkan buat masyarakat kita. Kekerapan jenayah ini membuktikan bahawa ada sesuatu yang tidak betul dalam masyarakat kita dewasa ini. Media massa menghuraikan pelbagai faktor yang mendorong kejadian ini bersama-sama langkah untuk menanganinya tetapi jumlah kes ragut terus meningkat saban tahun. Oleh itu, apakah punca-punca jenayah ini menular dengan begitu cepat? Sebenarnya jenayah ragut ini menjadi begitu menjadi-jadi ekoran sikap masyarakat itu sendiri yang tidak memberi perhatian berat tentang aspek keselamatan mereka. Masih banyak individu dalam masyarakat kita yang suka membawa wang yang banyak dalam dompet atau tas tangan mereka dan ini menjadI sasaran peragut. Begitu juga dengan sikap kita yang gagal mengambil langkah-langkah keselamatan apabila pulang dari pejabat bersendirian, berjalan di lorong yang gelap, atau mudah percaya akan orang asing menjadikan kita sasaran mudah peragut. Jadi, aspek keselamatan diri yang kurang diberi perhatian telah menyebabkan ragut semakin menjadi satu kebiasaan di negara ini pula. Malah, kejadian ragut turut diburukkan lagi dengan keadaan ekonomi dunia yang sedang mengalami kegawatan ekonomi yang begitu teruk. Banyak kilang dan syarikat di negara ini yang terpaksa membuang pekerjanya kerana kekurangan permintaan terhadap produk mereka dengan drastik. Ketidakupayaan pekerja yang dibuang kerja itu untuk mencari kerja lain dalam masa yang terdekat telah menjurus mereka ke kancah jenayah terutama apabila memikirkan makan minum anak isteri pula. Oleh itu, kes ragut meningkat kerana banyak pekerja tidak mempunyai pekerjaan lalu beralih menjadi peragut untuk menyelesaikan masalah mereka secara mudah. Seterusnya masalah ini bertambah serius kerana kegagalan pihak berkuasa mengambil langkah pencegahan yang efektif. Kekurangan kamera litar tertutup di kawasan-kawasan berisiko tinggi menyebabkan masalah ini terus menjadi-jadi. Jika

kerajaan memasang lebih banyak kamera seperti ini sudah pasti penjenayah berfikir dua kali sebelum bertindak. Oleh itu, kekurangan kamera litar tertutup telah menyebabkan masalah ini berterusan terutama di kawasan sunyi dan ketika waktu malam. Kemelut ini turut ditimbulkan akibat kekurangan didikan keagamaan terutama terhadap generasi muda kita. Amalan agama sudah makin dilupakan berdasarkan semakin moden sesebuah masyarakat itu. Kekurangan aspek agama menyebabkan kurangnya ketahanan diri seseorang untuk tidak melakukan jenayah. Sudah hilang rasa takut akan balasan Tuhan jika melakukan kesalahan jenayah. Maka, ragut meningkat kerana masyarakat kita sudah lupa akan agama mereka. Akhirnya, semua pihak harus berganding bahu untuk menyelesaikan masalah jenayah ini tanpa perlu menuding jari mencari kesalahan pula. Sementara itu pihak kerajaan harus mencari alternatif untuk menangani isu pembuangan kerja ketika kegawatan ekonomi untuk memastikan jenayah ini tidak merebak. Kegagalan mengawal jenayah ini mampu menjejaskan imej negara pada mata masyarakat dunia. Mungkin peribahasa sudah terantuk baru tengadah memberikan kita satu pandangan supaya bersedia sedia sebelum masalah itu berlaku.

Tajuk:Kadar kemalangan jalan raya begitu meningkat setiap tahun.Huraikan puncapuncanya. PMR Contoh Jawapan: Kemalangan jalan raya ialah peristiwa ngeri yang biasanya melibatkan perlanggaran dua kenderaan atau lebih di jalan raya atau pun lebuh raya. Kemalangan sebegini biasanya boleh membawa kecederaan dan juga kematian. Negara kita merupakan antara negara yang mempunyai angka kematian akibat kemalangan yang tinggi. Oleh itu ada banyak punca yang harus kita kaji untuk memahami masalah ini.

Punca pertama ialah kemalangan disebabkan oleh kecuaian pemandu itu sendiri ketika menggunakan jalan raya. Ramai pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk dan mengantuk atau tidak sedarkan diri. Ada juga yang tidak suka menjaga kenderaan mereka lalu kemalangan boleh berlaku kerana masalah brek, tayar dan sebagainya. Mereka tidak menghiraukan keselamatan orang lain ketika memandu kerana menganggap mereka cekap mengawal stering kenderaan. Jadi, kemalangan mudah berlaku akibat kecuaian mereka ini.

Selain itu kemalangan juga disebabkan oleh keadaan jalan raya yang tidak baik. Biasanya jalan raya menjadi lebih bahaya ketika waktu hujan turun kerana air hujan menyebabkan jalanraya menjadi lebih licin lalu sukar untuk dikawal jika pemandunya tidak berhati-hati. Begitu juga dengan keadaan jalan raya yang tidak lurus dan turun naik yang menyukarkan pemandu untuk memberi tumpuan lalu mudah berlakunya peristiwa ngeri ini. Maka, keadaan jalan raya harus diubah supaya menjadi lebih selamat buat pengguna jalan raya.

Malah, ada pihak yang menyalahkan pemandu baru yang menyebabkan kemalangan terus menerus berlaku di negara ini. Mereka dikatakan tidak mahir untuk mengawal kenderaan terutama ketika dalam keadaan kecemasan yang menyebabkan banyak yang panik. Golongan muda juga diselar kerana mereka biasanya suka memandu dengan bahaya dan laju. Sesungguhnya, satu alat mekanisme baru harus dicari untuk memastikan tahap pemanduan pemandu baru mencapai piawaian yang baik.

Jumlah kemalangan bertambah juga berkaitan dengan jumlah kenderaan yang bertambah setiap tahun. Pertambahan bilangan kenderaan menjadikan lalu lintas begitu sibuk dan penuh dengan kenderaan. Sudah pasti keadaan ini meningkatkan peratusan untuk sesuatu kemalangan itu berlaku di jalan raya. Jelaslah, semakin banyak kenderaan di jalan raya risiko untuk kemalangan berlaku amat tinggi.

Kesimpulannya, kadar kemalangan jalan raya di negara ini begitu menakutkan kita semua. Satu usaha yang berani harus dilaksanakan oleh pihak berkuasa untuk menghalang masalah ini menular lagi. Kita harus sedar bahawa nilai nyawa manusia begitu berharga. Pandu cermat jika selamat. Tajuk:Kenaikan harga minyak mula dirasai di negara ini.Huraikan impak negatif yang timbul daripada keadaan ini. PMR Contoh Jawapan:

Kenaikan harga minyak dikaitkan dengan peningkatan secara mendadak harga petroleum di pasaran dunia. Antara sebab yang membawa peningkatan ini ialah pertumbuhan ekonomi global, peperangan di negara pengeluar minyak dan juga kejadian bencana alam yang melanda sesebuah negara itu. Jadi, kenaikan harga minyak ini memang membawa banyak impaknya.

Impak yang ketara ialah kos kehidupan masyarakat akan meningkat juga. Kebanyakan harga komoditi terutama makanan dan produk kilang akan meningkat selari dengan pertambahan harga barang lalu bajet bulanan masyarakat turut terjejas. Jelaslah, kos kehidupan akan menjadi bertambah tinggi sebaik sahaja harga minyak melambung.

Selain itu, harga barang akan turut menjadi mahal ekoran peningkatan harga minyak ini. Pengguna terpaksa membeli barang keperluan seperti makanan, pakaian dan rumah dengan kadar harga yang jauh lebih tinggi kerana kos hidup bertambah pula. Sesungguhnya, harga barang yang tinggi menyebabkan ada pengguna yang tidak mampu untuk membelinya pula.

Malah, tambang pengangkutan terutama pengangkutan awam akan berlipat kali gander pula. Syarikat pengangkutan terutama bas terpaksa meninggikan tambang kerana mereka menggunakan minyak dengan banyak untuk menjalankan operasi perniagaan mereka itu. Maka, kos pengangkutan yang tinggi ini menyebabkan ada ahli masyarakat yang tidak mampu untuk menggunakannya.

Tambahan pula, kenaikan harga minyak boleh menjadikan keadaan politik negara tidak stabil. Banyak pihak akan melakukan tunjuk perasaan sebagai satu cara untuk menunjukkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kenailkan ini. Jadi, tunjuk perasaan yang kerap itu boleh mencetuskan pelbagai keadaan yang tidak aman pula di dalam negara kita.

Kesimpulannya, semua kesan negatif ini memang wujud apabila harga minyak melambung. Kerjasama semua pihak amat diperlukan terutama kerajaan untuk melaksanakan dasar-dasar yang boleh mengurangkan impak kenaikan ini. Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan amat penting direnungi oleh kita semua sebelum terlewat.

You might also like