You are on page 1of 3

Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Terbuka

Putrajaya, 25 Jun 2010

Walaupun usaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Mengurangkan Jenayah telah menunjukkan perkembangan yang positif, iaitu pengurangan jenayah indeks sebanyak 15.3 peratus dan jenayah jalanan sebanyak 38.7 peratus dalam tempoh empat bulan pertama berbanding tahun lepas (Januari hingga April), namun kerajaan sedar bahawa usaha ini ini tidak akan berjaya sepenuhnya tanpa kesungguhan dan pendekatan baru dalam memerangi penyalahgunaan dan pengedaran najis dadah.

Atas kesedaran ini, makmal jenayah NKRA telah mencadangkan tiga inisiatif utama untuk memerangi dadah iaitu mengubah program rawatan dan pemulihan dadah; menyekat bekalan dadah psikotropik; serta mempertingkankan pemantauan Orang Kena Pengawasan.

Dalam konteks ini, saya suka memaklumkan bahawa KDN melalui Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) telah merangka hala tuju dan pendekatan baru dalam menangani penyalahgunaan dadah. Salah satu daripadanya ialah dengan memperkenalkan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) berkonsep terbuka (dulu dikenali sebagai Pusat Serenti). Jika dahulu, penagih hanya akan dimasukkan ke Pusat Serenti melalui tangkapan dan keputusan mahkamah, tetapi dengan pembukaan PUSPEN terbuka ini, yang diberi nama Klinik Pemulihan dan Prihatin 1Malaysia, individu yang mempunyai masalah ketagihan tehadap dadah dan ubat-ubatan boleh secara sukarela tampil untuk mendapat khidmat nasihat dan rawatan. Pada masa yang sama, ahli keluarga atau rakan mereka juga boleh membawa individu ini untuk mendapatkan khidmat nasihat dan pemulihan secara sukarela.

Falsafah pengwujudan Klinik Pemulihan dan Prihatin 1Malaysia ini adalah bagi menyediakan perkhidmatan rawatan dan pemulihan kepada seluruh warganegara Malaysia yang berhadapan dengan masalah dadah. Ia merupakan PUSPEN PERTAMA berkonsepkan sedemikian dan penubuhannya dilihat sejajar dengan gagasan 1Malaysia: Rakyat didahulukan Pencapaian Diutamakan.

Melalui konsep tersebut setiap pelanggan sentiasa dipelawa datang ke pusat ini tanpa perlu melalui prosedur perundangan. Sebaliknya mereka hanya perlu mendaftarkan diri melalui proses penilaian dan kemudian mendapatkan rawatan berdasarkan keperluan mereka. Konsep ini juga turut memberi peluang kepada mana-mana kakitangan awam dan swasta mendapatkan perkhidmatan rawatan dan pemulihan tanpa berhadapan sebarang implikasi perlucutan jawatan atau dibuang kerja pada masa hadapan.

Klinik Pemulihan dan Prihatin 1Malaysia beroperasi menggunakan bangunan PUSPEN sedia ada, iaitu PUSPEN Sungai Besi, Kuala Lumpur. Bagi membolehkan operasi ini dapat dijalankan, beberapa buah

bangunan diubahsuai untuk menyediakan kemudahan Pejabat Pesakit Luar (Pejabat Pendaftaran), Pejabat Temuduga/Penilaian, Klinik dan Bilik Pakar Perubatan, dan Wad Detoksifikasi.

Klinik Pemulihan dan Prihatin 1Malaysia ini akan berfungsi sebagai pusat perkhidmatan total masalah berkaitan dadah, termasuk pusat rujukan, khidmat nasihat dan program pemulihan. Ia bukan sahaja terbuka kepada penagih, pengguna atau penyalah guna dadah semata-mata tetapi juga memberikan perkhidmatan kepada semua pelanggan AADK, termasuk keluarga, majikan dan individu yang ada kaitan langsung dengan individu penagih (co-dependents).

Klinik Pemulihan dan Prihatin 1Malaysia ini akan bertindak sebagai penyedia, pelaksana, perunding, penyelaras dan perujuk program rawatan dan pemulihan kepada pelanggan. Melalui klinik pemulihan yang berkonsep terbuka ini, AADK akan berusaha untuk membuka peluang dan ruang kerjasama yang lebih tersusun dengan penyedia perkhidmatan lain seperti Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Psikiatrik HKL, JAKIM dan badan bukan kerajaan (NGOs) serta bekas-bekas penagih dadah yang telah berjaya dan pulih sepenuhnya yang mempunyai kepakaran dalam bidang perubatan, psikiatrik, perundangan, latihan kemahiran, dan agama.

Empat jenis perkhidmatan yang bakal ditawarkan di sini ialah rawatan dan pemulihan dadah secara residensi (inpatient); rawatan dan pemulihan dadah secara pesakit luar (outpatient); rawatan dan pemulihan dadah secara singgah-masuk (daycare); rawatan dan pemulihan dadah secara Rujukan dan Advokasi (referral & advocate).

Pada masa ini, Klinik Pemulihan dan Prihatin 1Malaysia tidak mengenakan apa-apa bayaran kepada pelanggan/penagih dadah yang ingin atau telah mendapatkan perkhidmatan yang disediakan.

Klinik Pemulihan dan Prihatin 1Malaysia tidak hanya memberikan tumpuan terhadap rawatan dan pemulihan, tetapi turut memberikan perkhidmatan khidmat singkat (short-services) kepada pelanggan. Perkhidmatan tersebut merupakan intervensi awal yang melibatkan aduan pelanggan yang datang ke pusat ini, termasuk pelanggan yang tidak pasti samada mereka penagih dadah atau pengguna dadah. Penubuhan Klinik Pemulihan dan Prihatin 1Malaysia berkonsep terbuka ini amat bertepatan dengan keperluan dan trend penagihan dadah masa kini menjadi semakin kompleks dan mencabar.

Jumlah keseluruhan pegawai dan kakitangan Klinik Pemulihan dan Prihatin 1Malaysia ialah seramai 104 orang yang terdiri daripada 39 orang pegawai operasi, 51 orang pegawai/kakitangan keselamatan dan 14 orang pegawai/kakitangan pentadbiran. Tidak termasuk 4 orang pekerja khidmat sambilan, iaitu 2 orang Pembimbing Rakan Sebaya dan 2 orang pekerja sambilan.

Untuk makluman, alamat penuh klinik ini ialah Klinik Pemulihan dan Prihatin 1Malaysia, PERSADA Sungai Besi, Batu 7 Jalan Sungai Besi, 51700 Kuala Lumpur. Lokasinya adalah berhampiran dengan Terminal

Pengangkutan Bersepadu Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur (Integrated Transport Terminal Bandar Tasik Selatan).

You might also like