You are on page 1of 2

Internship merupakan satu program latihan wajib bagi semua pelajar yang

mengikut program PISMP. Internship bertujuan untuk mengaitkan


pengetahuan, kemahiran dan pengalaman sedia ada dengan amalan sebenar
tugas guru permulaan. Justeru itu, pelajar dikehendaki untuk merancang,
melaksana dan menilai projek atau aktiviti yang berkaitan dengan pengajaran
dan pembelajaran di dalam dan di luar bilik darjah atau aktiviti rutin yang telah
menjadi amalan dan budaya sekolah. Sepanjang tempoh Internship, pelajar
akan didedahkan dengan sifat kepemimpinan dan pengurusan pelbagai
aktiviti di sekolah dengan bimbingan daripada seorang mentor.

Sebelum menjalani Internship di sekolah iaitu pada 6 Februari 2017


hingga 3 Mac 2017 selama satu bulan, satu taklimat oleh unit praktikum telah
diadakan pada 30 Januari 2017 di Dewan Sri Melati. Melalui taklimat tersebut,
saya telah didedahkan dengan apa itu internship dan projek yang boleh
dijalankan di sekolah. Pelbagai input yang berfaedah telah diperoleh
sepanjang hari taklimat dijalankan untuk memastikan para pelajar dapat
menjalankan Internship dengan lancar dan berkesan.

Berdasarkan taklimat yang telah diberikan oleh Unit Praktikum Institut


Pendidikan Guru Kampus Ipoh, terdapat banyak perkara yang perlu dilakukan
seperti penyediaan portfolio, menyediakan kertas kerja untuk setiap projek
atau program yang telah dirancang serta cara untuk menguruskan sesuatu
program dengan lancar dan mampu mencapai objektif yang ditentukan.
Penyediaan portfolio adalah wajib bagi pelajar untuk menyimpan bahan bukti
dan bahan proses pendokumentasian sepanjang menjalankan Internship.
Sebelum menjalani Internship, saya telah merancang projek yang akan
dilaksanakan di sekolah kelak. Saya telah mengambil keputusan untuk
melaksanakan pertandingan kuiz Matematik, menghiaskan sudut Matematik
dan pamaran Matematik di sekolah tersebut sebagai projek internship.

Di samping itu, semasa di sekolah nanti, saya juga perlu menjalankan


proses pengajaran dan pembelajaran seperti biasa. Namun demikian, waktu
pengajaran pada kali ini telah dikurangkan kepada dua hingga empat waktu
sahaja. Hal ini demikian kerana kami perlu memberi ruang masa untuk
melaksanakan dan menyiapkan segala projek yang telah dirancang sebelum
memulakan Internship di sekolah masing-masing. Penyediaan rancangan
pengajaran pada kali ini juga adalah lebih ringkas kerana saya hanya perlu
menulis ringkasan rancangan mengajar seperti guru biasa lakukan.
Tujuannya adalah untuk menjimatkan masa bagi membolehkan saya
menjalankan projek dengan baik dan lancar.

Sepanjang menjalani Internship, saya juga telah bercadang untuk


mengumpul data bagi Kajian Tindakan sewaktu proses pengajaran dan
pembelajaran selama empat minggu di sekolah. Melalui program Internship
ini, saya berharap agar dapat menimba pengalaman sebanyak mungkin
terutama dalam aspek pengurusan sesuatu program atau aktiviti yang akan
menjadi kebiasaan kepada saya apabila menjadi bakal guru yang sebenar
kelak. Saya juga berharap agar dapat memperbaiki segala kelemahan yang
ada sepanjang menjalani praktikum pada semester yang lalu terutama dari
aspek komunikasi antara saya dengan murid serta guru-guru di samping
meningkatkan pengurusan proses pengajaran dan pembelajaran.

Akhirnya, saya berharap agar program Internship ini dapat memberi


peluang dan membuka ruang kepada saya dalam usaha untuk meningkatkan
tahap keyakinan diri, ketahanan mental dan fizikal dalam menghadapi
cabaran sebagai seorang bakal guru kelak, membentuk sifat kepemimpinan
serta akhlak yang baik serta dapat memupuk dan menerapkan nilai
profesionalisme keguruan dalam usaha melahirkan bakal guru yang produktif
serta efektif kepada bangsa dan negara.

You might also like