You are on page 1of 19

LATAR BELAKANG ALLAHYARHAM

SUDIRMAN HJ ARSHAD

Sudirman Hj Arshad (25 Mei 1954-22 Februari 1992) merupakan salah seorang
penyanyi terkenal di Malaysia. Beliau telah dinobatkan sebagai Penghibur
Nombor 1 Asia dari Malaysia sebelum Siti Nurhaliza. Anak jati Pahang pertama
memenangi Anugerah Penyanyi Asia tahun 1989 di London. Lelaki kacak ini
telah diberi jolokan sebagai Penghibur Milik Masyarakat, Seniman Rakyat dan
Elvis Malaysia. Beliau adalah penyanyi, penghibur, penggubah, peguam,
penulis, pengarang (buku kanak-kanak), pelukis kartun, usahawan, dan
pelakon. Begitulah tanggapan yang masih melekat di minda yang bernasib
baik dapat menyaksikan sendiri Sudirman secara peribadi atau melalui kaca
televisyan. Gelaran peledak Cili Padi ini hanya mempunyai ketinggian 1.47
meter dan berkasut saiz 7, mengenakan pakaian biasa, solekan dan sekali
sekala mengenakan chaplinesque yang bersahaja.

Sudirman Haji Arshad dilahirkan pada hari Rabu, 25 Mei 1954 di no. 48, Jalan
Ibrahim, Temerloh, Pahang. Anak kepada Puan Hajjah Romlah binti Dahalan
dan Haji Arshad bin Haji Hassan. Ibunya, seorang wanita yang aktif di arena
politik sebagai Ketua Wanita UMNO Pahang Selatan dan Wakil Rakyat Pertama
1955 mewakili Kawasan Temerloh, telah meninggal dunia pada tahun 1959 di
usia muda 32 tahun (ketika Sudirman berumur 5 tahun) setelah mengidap
penyakit kanser. Bapanya adalah pengurus Syarikat Bas Temerloh (Temerloh Bus
Company), juga seorang ahli politik UMNO di Temerloh, Pahang. Bapanya telah
berkahwin dengan Puan Mariam binti Mohammad setelah kematian isterinya,
sebelum meninggal dunia pada 1978.Sudirman adalah anak bongsu, adik
beradik yang lain - Zainuddin, Rudiah, Basir, Roslan dan Roaini. Dari sejak kecil,
Sudirman sering menyanyi di mana sahaja. Di sekolah pula, beliau memasuki
pertandingan bersyair, berpidato, berpantun, kuiz dan terlibat dalam
persembahan teater dan koir sekolah. Dia suka bersukan, senang berpidato
dan setiap waktu di perpustakaan. Sudirman memulakan persekolahnya pada
tahun 1961 di Sekolah Rendah Abu Bakar (Mentakab), Sekolah Kebangsaan
Jalan Bahagia (Temerloh) dan Sekolah Menengah Sultan Abu Bakar (Kuantan),
Pahang sehingga beliau menamatkan Tingkatan 6. Sebelum memasuki
Tingkatan 6, Sudirman menjalani kursus persediaan di ITM Petaling Jaya. Beliau
mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke luar negeri tetapi dia menolak
tawaran itu. Pada tahun 1976, beliau melanjutkan pelajaran di Fakulti Undang-
undang, Universiti Malaya (Kuala Lumpur).

Di sebalik kepadatan jadual dalam bidang seni, beliau masih dapat


membahagi masanya dengan baik di antara menyanyi dan kelas tutorial di
Universiti Malaya. Pada tahun 1980 beliau telah menerima Ijazah undang-
undang (LL.B) dengan mendapat Kepujian Kelas Ketiga. Tahun 1983, Sudirman
menjalani latihan guaman dan diiktiraf sebagai Peguam pada tahun 1984.
Bagaimanapun, Sudirman meninggalkan bidang guaman kerana memilih
bidang seni sebagai kerjayanya.

Bintang RTM 1976,Sudirman Haji Arshad mula mencipta namanya sebagai


penyanyi apabila dia berjaya merebut gelaran Johan Bintang RTM peringkat
akhir yang diadakan di Melaka pada 11 Ogos 1976. Beliau mendendangkan
lagu Seruling Bambu dan Big Spender. Di peringkat awal saringan, beliau
memberi jawapan spontan "seluar pinjam..." apabila disoal oleh pengacara
rancangan mengenai seluar besar yang dipakainya. Para penonton suka
caranya yang berterus terang. Beliau mendendangkan lagu Jali Jali, sebuah
lagu klasik dari Indonesia. Jelas sekali suaranya memang unik.
Selepas Bintang RTM, tahun 1977, Sudirman mula merakamkan suara dalam
album EP sulungnya Teriring Doa bersama Warnada Rekod. Walaupun ketika itu
sibuk dengan kuliahnya di Universiti Malaya, beliau sempat merakam lagu-lagu
untuk dimuatkan dalam EP pertamanya, diantaranya lagu Teriring Doa dan
Suratku Yang Ini.Tahun 1978, EMI menawarkan kontrak kepada Sudirman. Album
sulungnya dengan EMI berjudul Aku Penghiburmu. Beliau menyanyikan semula
lagu Jali Jali yang telah memperkenalkannya kepada umum, termasuk dua
lagu ciptaan Ahmad Nawab Aku Penghiburmu dan Kasih. Kedua-dua lagu ini
juga dinyanyikan oleh Broery Marantika apabila Ahmad Nawab berhijrah ke
WEA. Dalam tahun itu, Sudirman dipilih sebagai Penghibur TV Terbaik di
Anugerah Seri Angkasa.

Tahun 1979, album Perasaan diterbitkan dengan lagu hit Gerimis di Lautan
bersama lagu-lagu lucu Mat Disko dan Toyol. Setelah menamatkan
pengajiannya, Sudirman bebas mengembangkan karier seninya. Beliau yang
bangga dengan imej budak kampung, menyanyikan lagu-lagu yang berkait
rapat dengan masyarakat Malaysian. Istimewanya Sudirman kerana bermula
tahun 1980, beliau telah menerbitkan 2 buah album dalam setahun. Kesemua
albumnya berjaya dan kebanyakkan lagu-lagunya menjadi hit. Tidak semua
artis pada zaman Sudirman dan zaman sekarang mampu berbuat demikian.
(1)Tahun 1980, album Anak Muda dan Lagu Anak Desa
(2)Tahun 1981, album Lagu Dari Kota dan Twinkle-Twinkle Little Star
(3)Tahun 1982, album Lagu Cinta dan Abadi
(4)Tahun 1983, album Images (hanya sebuah album sahaja)
5)Tahun 1984, album Orang Baru dan Lagu Dari Sebuah Bilik
Pada tahun 1985, Album Konsert Malam Anak Desa di UKM Bangi edisi terhad
telah diterbitkan dalam bentuk kaset. Ianya adalah rakaman langsung
persembahan konsert tersebut. Selepas itu, Sudirman hanya menerbitkan
sebuah album dalam setahun.
(1)Tahun 1986, album Orang Kampung
(2)Tahun 1987, album Kul It
(3)Tahun 1989, album Asias No. 1 Performer

Lagu-lagu Sudirman yang istimewa dan popular telah dikumpulkan dalam


album kompilasi Koleksi 16 Lagu-lagu Terbaik (1986) dan Pilihan Sentimental
Emas (1987). Oleh kerana beliau amat menggemari lagu-lagu lama/klasik dan
berirama deli, Sudirman turut mengeluarkan album Lagu-Lagu Rakyat (1989)
dan Koleksi Klasik (1991). Sepanjang penglibatannya dalam bidang seni, beliau
telah menghasilkan 18 buah album dalam bahasa Melayu, dan 2 buah album
dalam bahasa Inggeris (Twinkle-Twinkle Little Star dan Images).

Selepas kematiannya pada tahun 1992, EMI Malaysia telah mengeluarkan 3


buah album kompilasi. Dua lagu baru Setelah Kau Tiada dan Cinta Di Sisimu
dapat diterbitkan setelah diketahui siapa penciptanya. Lagu-lagu ini
dimasukkan dalam album Setelah Kau Tiada
1-Sudirman - Jauh Di Sudut Hati (1992)
2-Sudirman - Balik Kampung (1993)
3-Sudirman - Setelah Kau Tiada (1995)
Banyak album kompilasi beliau telah diterbitkan semula dalam bentuk kaset
dan cakera padat.
1-Sudirman - DwiDekad (1996)
2-Nilai Cintamu (2000)
3-Sudirman - 24 Greatest Hits -Sudirman No.1 (2002)
4-Sudirman Penghibur No.1 (2002)
5-Sudirman II 40 No.1 Dalam 1 (2003)
6-Memori Hit Sudirman (2004)
7-Sudirman-Memori Sentimental Hit(2005)
8-Sudirman-Timeless(2006)

Nama Sudirman sebagai penghibur rakyat yang berwawasan terus subur di hati
para peminat. Lagu-lagu dendangannya berjaya menggambarkan kehidupan
seharian rakyat serta memahami budaya dan cara hidup orang Malaysia.
Lagu-lagunya ada untuk pelajar sekolah, pekerja kilang, jururawat dan gadis
desa seperti lagu Pesan Abang, Jamilah, Sepetang Di Pinggir Bukit, Orang
Kampung dan banyak lagi. Ada lagu sentimental berkisar kepada alam
percintaan hingga kepada lagu-lagu berunsur nasihat, patriotik, keamanan
sejagat dan mencintai tuhan. Anak Muda, Anak Desa Sudirman pada tahun
1980.Sudirman memberikan nilai baru kepada kampung halaman apabila
menyanyikan lagu Hidup Sederhana (Basikal Tua) dan Anak Gembala dengan
tempo yang rancak dan girang. Lagu seperti Apa Khabar Orang Kampung
mengajak peminatnya supaya jangan lupa pada asal usul kita. Lagu Balik
Kampung merupakan suatu kemestian bagi para perantau yang berpusu-pusu
pulang ke kampung pada setiap menjelangnya hari raya, namun ia bukanlah
pencetus keceriaan tetapi lebih kepada sentuhan rohani.
Ketika bermula era "siswazah menganggur" Sudirman terlebih dulu
menyingkapkan dalam lagu Aku Penganggur. Sekalipun lagu ini berentak
rancak tetapi isu yang dilontarkan tentang stigma penganggur sampai kepada
sasaran. Lagu Aku Dan Duniaku menceritakan Sudirman dengan dunia
pilihannya, manakala lagu seperti Baru Dapat Kerja, Orang Muda dan Pulang
Dari Kilang adalah paparan mengenai jiwa dan perasaan orang muda,
terutama yang baru bekerja.Nasihat
Lagunya mengajak masyarakat menghargai alam sekitar, menyedari
kepentingan pendidikan, menghormati dan yakin pada diri sendiri, disiplin dan
jangan mudah lupa asal usul atau jati diri.
Sudirman mengabadikan puisi nukilan Allahyarham JM Aziz iaitu Penyu
Menangis Siapa Tahu yang sebenarnya mengenai rayuan seekor penyu agar
manusia menghentikan pencemaran alam sekitar.
Lagu Pesta Dunia mencela manusia-manusia negara kaya yang membazirkan
makanan dan memperpanjangkan kebuluran di negara-negara miskin. Tahun
itu, lagu ini telah memenangi kategori lagu terbaik dan penyanyi terbaik di
South East Asia Song Festival.
Manakala lagu-lagu seperti Punch Card dan Chow Kit Road bukan saja
menghiburkan dan sedap didengar tetapi juga mempunyai mesej.
Semangat patriotik

Semangat patriotik
Sudirman pernah mencoretkan catatan pada kulit album (piring hitam) ABADI
(1982) bahawa EMI dan penerbitnya masa itu, S.Atan, tidak yakin untuk
menerbitkan album patriotik (sepuluh lagu semuanya lagu patriotik) kerana
takut masyarakat tidak dapat menerimanya. Tetapi demi cintanya pada
Malaysia, beliau berkata sekurang-kurangnya biarlah dia ada satu album
patriotik untuk seumur hidupnya. Dalam ABADI, lahirlah lagu Warisan, Punch
Card, Kehadiranku, 31 Ogos dan Tegakkan Bendera Kita. Album itu tidak
mendapat sambutan sebagaimana album komersilnya yang lain. Namun, tidak
siapa menyangka, album patriotik Sudirman itu mendapat perhatian sampai
kini. Lagunya sering berkumandang setiap tahun ketika negara menyambut
hari kemerdekaan.
Suara bangga dan kagum pada negara, agama dan bangsa serta tokoh
pemimpin diluahkan oleh Sudirman menerusi lagu Radio Malaysia, Bapak
(ditujukan kepada Bapak Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj), Kul
It! (mengenai perpaduan kaum) serta One Thousand Million Smiles.
Beliau turut menyanyikan lagu yang ditujukan khusus kepada Allahyarham Puan
Sri Saloma berjudul Mama. Mama (panggilannya kepada Saloma) tidak
percaya bila saya membuka mulut meminta kebenaran untuk saya cipta lagu
untuknya. Kata Mama, P.Ramlee enggan cipta lagu untuknya kerana Saloma
adalah miliknya, dan tidak perlu cipta lagu lagi, kata Sudirman pada April
1983.
Sudirman meninggalkan lagu Salam Terakhir dan Dari Jauh Ku Pohon Maaf
yang memberi makna besar kepada peminatnya.

Walau apapun terjadi, bagi Sudir, perjuangan Sudir dalam bidang seni tiada
noktahnya. Selagi nadi ini masih berdenyut, selagi peminat masih meminati
Sudir, selama itulah Sudir berjuang dalam dunia hiburan.

Dalam kerjaya saya sebagai penghibur, saya mahu lakukan bersungguh-


sungguh supaya masyarakat terus mengingati buat selama-lamanya.

[sunting] Kerjaya sebagai artis


Duta Nyanyian
Tahun 1986, Tourism Malaysia melantiknya sebagai Duta Nyanyian Pelancongan
Malaysia. Semasa Persidangan Pelancongan Asia Pasifik (PATA) yang ke-35 di
Kuala Lumpur, Sudirman mempopularkan lagu Cintai Malaysia, Kenali Malaysia
(To Know Malaysia is to Love Malaysia) ciptaan Carol Connors dari Amerika
Syarikat. Lagu ini juga menjadi lagu tema semasa kempen Tahun Melawat
Malaysia.
Sudirman dilantik sebagai duta bagi pelbagai syarikat terkenal seperti Proton,
Malaysia Airlines, Honda Cup dan "honored pioneer card member" dengan
Hong Leong.
Konsert di Chow Kit Road

Konsert di Chow Kit Road


Pada 15 April 1986, Sudirman menempa nama di dalam Malaysia Book Of
Records setelah mengadakan konsert gergasi percumanya di Jalan Chow Kit,
Kuala Lumpur. Beliau telah berjaya memikat dan memukau hampir 100 ribu
warga kota berpusu-pusu membanjiri jalan itu dengan kehebatannya. Lagu
yang dinyanyikan oleh beliau ialah Chow Kit Road dan diakhiri dengan lagu
patriotik Abadi sambil beliau memakai bendera Malaysian.
Jalan Chow Kit pada era Sudirman adalah gelanggang marhaen. Chow Kit
menjadi simbol orang-orang kerdil yang juga peminat Sudirman. Maka konsert
jalanan secara percuma adalah sebagai tanda terima kasih kepada para
peminatnya yang tidak mampu menyaksikan persembahan di hotel dan
dewan konsert, sekaligus memberitahu kita Sudirman bukan materialistik.
Penghibur Terbaik Asia
Pada 19 Mac 1989, Sudirman telah dinobatkan sebagai Penghibur Terbaik Asia
di "Asian Popular Music Awards". Acara anugerah ini diadakan bersama-sama
dengan Salem Music Awards Festival yang berlangsung di Dewan Royal Albert,
London. Beliau merupakan penyanyi pertama Malaysia yang memenangi
anugerah tersebut. Sudirman telah mengalahkan 8 orang peserta dari negara-
negara Asia termasuk Hong Kong (Leslie Cheung), Filipina (Kuh Ledesma),
Singapura (Anita Sarawak), China, Taiwan, Jepun, Korea Selatan dan Thailand.
Dalam pertandingan tersebut beliau telah menyanyikan dua buah lagu Inggeris
One Thousand Million Smiles dan Send In The Clown dengan menggayakan aksi
lucu ala Charlie Chaplin yang cukup mempesonakan yang membolehkan
beliau mengalahkan wakil-wakil negara lain yang lebih hebat popularitinya.
Lagu One Thousand Smiles dirakamkan dalam bentuk single dan dipasarkan di
Eropah. Proses rakaman lagu itu dibuat di Abbey Road Studio, tempat rakaman
album bagi penyanyi megastars seperti The Beatles. Lagu ini dipilih sebagai lagu
tema Malaysia semasa Hari Bangsa-Bangsa Bersatu.
Persembahannya
Sudirman, seorang artis yg mempunyai daya tarikan yg tersendiri. Dia lincah
dengan showmanship di pentas, sesuatu yang kurang kelihatan di zamannya,
dan memiliki pelbagai koleksi pakaian beraneka fesyen yang digunakan
sewaktu persembahan. Sudirman pernah muncul dalam acara penutup Sukan
SEA 1989 yang dianjurkan oleh Kuala Lumpur dengan penampilannya berbeza,
beliau mengenakan baju bendera sambil mengibarkan Jalur Gemilang (ketika
itu Bendera Malaysia) yang besar.
Semasa Pertandingan Juara Lagu TV3 1987, Sudirman memenangi Anugerah
Persembahan Terbaik kerana persembahannya begitu menyayat hati sewaktu
mendendangkan lagu Merisik Khabar dengan petikan pemetik api simbolik
beliau.
Malah beliau merupakan satu-satunya seniman yang boleh menyanyi dengan
fasih pelbagai bahasa (bahasa Inggeris, Tamil, Cina dan Hindi) serta mengubah
lagu sehingga berjaya mencuri hati setiap golongan masyarakat.

Sudirman & The Girls


Sepanjang persembahannya, Sudirman diiringi band pengiringnya (The Glue),
kumpulan penari (The Girls) dan penyanyi latar (The Giggles). Biarpun sibuk dan
sudah dikenali, beliau masih meluangkan masa untuk belajar vokal dari
penyanyi klasik terkenal bernama Florence Fong.
Sudirman juga seorang yang bijak bekerja. Dia bekerjasama dengan produser,
suka berkongsi idea dengan penerbit untuk menghasilkan yang terbaik. Beliau
memiliki kreativiti yang amat besar. Dengar saja penghayatan lagu yang
dinyanyikannya. Beliau juga amat unik dengan penjiwaan di atas pentas.
Bukan saja kerana nyanyian beliau, tapi tingkah lakunya yang sungguh terbuka,
bekerja keras, menghormati seni dan rakan-rakannya dikagumi menjadikannya
seorang insan istimewa.
Kejayaan Sudirman sebagai penghibur itu juga tidak dapat lari dengan lagu-
lagu popular gubahan komposer terkenal seperti Datuk Ahmad Nawab, Ooi
Eow Jin, S.Atan, Manan Ngah, Osman Ghani, Kassim Masdor dan M.Nasir, selain
lirik puitis oleh Habsah Hassan menerusi luahan rasa sebenar penyanyinya.
Habsah Hassan turut menulis skrip untuk Sudirman semasa membuat
persembahan rancangan RTM dan majlis makan malam.
Beliau juga aktif di dalam Persatuan Penyanyi dan Pemuzik Tanahair (PAPITA)
dan dilantik menjadi Timbalan Presiden PAPITA untuk satu penggal. Semasa
hayatnya, Sudirman sangat mengutamakan pemilikan hak cipta. Dia
mempertahankan nama dan haknya bagi memastikan tidak ada pihak ketiga
mengambil kesempatan.
Beliau mempunyai ramai kenalan rapat, diantaranya dari kalangan wartawan
(Bahyah Mahmood, Intan Zabidin, Saodah Ismail, Ku Seman Ku Hussin, Fauziah
Samad, Adam Salleh, Tajaiyah Ihsan, Fatimah Hassan, Mokhtar Alias, Juwie,
Huzz, Muzlina, Zubairi Zabidin) dan kalangan artis (Noor Kumalasari, Sharifah Aini,
Anita Sarawak, Yusni Jaafar, Sarimah, Zaiton Sameon, Ramli MS).

[Perkahwinan]

Gambar perkahwinan
Selepas menamatkan pengajian di Universiti Malaya, pada 14 Februari 1981,
Sudirman menamatkan zaman bujangnya apabila berkahwin bersama kekasih
pilihan hati yang telah dikenali sejak kecil Kamariah Kay Jamaluddin, seorang
gadis yang bekerja di Petronas. Para peminat menyambut berita itu dengan
gembira. Bagaimanapun, perkahwinan itu cuma bertahan selama tiga tahun
sahaja. Ia berakhir dengan penceraian pada 25 Mei 1984 kerana tidak wujud
lagi persefahaman antara mereka. Pasangan itu tidak mempunyai anak.
Sahabat baik Sudirman, Noorkumalasari pernah berkata, suasana malam di
rumah Sudirman sangat sayu menjelang perpisahan antara mereka. Apabila
cerai dilafazkan mereka bertangisan. Air mata tidak dapat dibendung, kata
Noor yang menyaksikan sendiri perceraian Sudirman dan Kay.
Dalam majalah Utusan Filem dan Fesyen (UFF) dalam kolum Masih Kuingat Lagi,
Sudirman menulis, dua perkara yang sangat memilukan hatinya. Pertama,
kehilangan ibu pada usia yang sangat muda. Keduanya, perkahwinannya
yang gagal.
Sudirman merakamkan kedukaannya melalui pahit getir penceraian menerusi
lagunya Terasing dan Merisik Khabar, malah beliau turut mencipta lagu Setiamu
Tiada Lagi dendangan Ibnor Riza. Setelah bercerai, Sudirman menumpukan
seluruh tenaga kepada kariernya termasuk menulis, melukis, dan menubuhkan
syarikatnya sendiri.

[Kematian]
[1] 17hb Julai 1991, Sudirman dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Pusat
Perubatan Tawakkal Kuala Lumpur selama 4 hari. Dilaporkan beliau telah
pengsan setelah terjatuh. Selama 7 bulan beliau terlantar sakit, keluarga
rapatnya merahsiakan punca penyakit dan lokasi di mana Sudirman dirawat.
Dalam tempoh itu, dia tidak ke mana-mana kecuali ke rumah kakaknya di
Butterworth selama seminggu.
"Dia mahu peminat-peminatnya melihat dia sihat, ceria, penghibur yang hebat,
sebagai hero di pentas. Sememangnya dia tidak mahu meninggalkan
kenangan yang teramat sedih di hati peminat setelah melihat dia terlantar sakit
dan meninggal dunia," begitu penjelasan kakak Sudirman, Rudiah apabila
ditanya apakah Sudirman sendiri yang tidak mahu orang lain melihat dia sakit
selain adik-beradiknya.
[[2]]Pada 22 Februari 1992 (bersamaan 18 Syaaban 1412), hari Sabtu jam 4:00
pagi, ketika berusia 37 tahun, Sudirman Hj Arshad telah kembali ke Rahmatullah
di rumah kakaknya Rudiah bt. Hj. Arshad di alamat No.16, Jalan Taban Satu,
Lucky Garden, Bangsar Park, Kuala Lumpur setelah 7 bulan menghidap
penyakit radang paru-paru (pneumonia). Jenazah Allahyarham telah dibawa
pulang ke Temerloh dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kg. Chengal,
Temerloh pada hari yang sama, jam 3:45 petang - di sebelah pusara orang
tuanya. Ribuan peminat-peminat setia termasuk Perdana Menteri Malaysia
ketika itu Dr. Mahathir Mohamad telah menziarahi jenazah Allahyarham yang
dianggap sebagai satu kehilangan besar bagi dunia hiburan tanah air.

[Pencapaian Sudirman]
Semasa hayatnya dan selepas pemergiannya, Sudirman telah menerima
beberapa anugerah dalam bidang seni dan pingat kebesaran.
Penghibur Terbaik RTM 1977 menerusi rancangan "Lukisan Irama" terbitan
Doreen Chia.
Penghibur TV Terbaik, Anugerah Seri Angkasa 1978
Penghibur TV Terbaik, Anugerah Seri Angkasa 1985
Duta Nyanyian Pelancongan Malaysia 1985
Persembahan Terbaik Juara Lagu TV3 1987
Pemenang Terbaik Anugerah Bintang Cemerlang 1987 melalui lagu Merisik
Khabar
Penyanyi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular 1989
Asia's Number One Performer 1989
Anugerah Guinness
Pingat Ahli Mangku Negara 1988
Pingat Ahli Mahkota Pahang oleh Sultan Pahang 1992
Darjah Johan Mangku Negara, sempena ulangtahun Hari Keputeraan Yang di-
Pertuan Agong Sultan Azlan Shah, 6 Jun 1992
Penghibur No. 1 Malaysia, dari New Straits Times pada tahun 1993
Anugerah Khas dalam Anugerah Industri Muzik tahun 1993

Bukan gelaran jadi ukuran... Tetapi bakti yang disumbangkan.

[Penulis dan pelukis kartun]


Sewaktu hayatnya, selama 10 tahun, Sudirman menjadi kolumnis ruangan
Teringat-ingat dalam majalah hiburan URTV, terbitan Utusan Melayu. Beliau
juga menjadi residen writer di Kumpulan Karangkraf. Tugasnya setiap hari ialah
menulis dan melukis untuk majalah-majalah terbitan Karangkraf waktu itu
seperti Bacaria, Nona, Media Hiburan, Mingguan Kanak-kanak dan Remaja.
Idea itu adalah ideanya sendiri, lukisannya sendiri. Malah beliau turut menulis di
Mingguan Malaysia dan menjadi kolumnis di beberapa buah akhbar mingguan
tempatan, antaranya dia pernah menemuramah dan menulis riwayat hidup
pahit getir perjuangan bekas Timbalan Perdana, Tun Ghafar Baba di dalam
sebuah akhbar tabloid.

Sejarah Awal Sudirman


Sejarah Awal Sudirman
Sudirman telah menceritakan kisah-kisah awal hidupnya melalui buku kartun
Sejarah Awal Sudirman yang diterbitkan oleh Kumpulan Karangkraf pada tahun
1991. "Berbagai-bagai keterangan mengenai saya telah disiarkan di lipatan
majalah dan muka akhbar. Ada yang benar, dan ada yang tidak. Adatlah,
apabila orang kedua bercerita, kadang-kadang ada yang terkurang dan ada
juga yang terlebih kata. Tetapi buku ini cerita saya dan dari mata pena saya
sendiri. Ceritanya tentu akan merantaikan diri saya. Tetapi tidak apa, kerana
cerita ini cerita benar tentang diri saya. Buku ini merangkumi hidup saya dari
saat kelahiran saya hingga Mei 1972..." LAT, pelukis kartun tanahair yang ulung,
merupakan sumber inspirasi beliau.[3]

Dari Dalam... Sudirman


Dari Dalam... Sudirman
Cerita-cerita ini pertama kali disiarkan melalui ruangan Cetusan Rasa kelolaan
Allahyarham Sudirman Haji Arshad yang terbit seminggu sekali melalui akhbar
BACARIA terbitan Karangkraf dari 5 Mei 1983 hingga 7 Ogos 1984. Edisi khas ini
dibuat pada bulan Disember 1986 kerana Allahyarham ingin berkongsi luahan
dan cerita untuk renungan bersama peminat yang menyayangi beliau.
Taming Si Budak Pintar
Sudirman memenangi Hadiah Pertama dalam Mobil-Malaysian Association of
Book Publishers Awards, anugerah bagi novel sastera kanak-kanaknya iaitu
Taming Si Budak Pintar pada tahun 1995, yang memuatkan pelbagai cerita
kanak-kanak bagi melahirkan kanak-kanak pintar. Anak saudaranya, Johana
Era Zainuddin menerima anugerah tersebut bagi pihak beliau dari Datuk Peter
Tinggom.

[Pelakon filem]

Tookoo mengajar Din menulis

KAMI
Filem: KAMI
Watak: Tookoo (remaja berusia 17 tahun).
Mula ditayangkan: 27hb Mei 1982
Dikeluarkan oleh: Indra Film Productions and Distribution Sdn. Bhd
Arahan: Patrick Yeoh (filem pertama arahannya)
Lagu tema : Pelangi Petang [4]
Sinopsis: Tookoo hanya belajar sampai darjah 6 dan hobinya suka menyanyi.
Ibunya sudah meninggal dunia, dia tinggal bersama ibu tiri dan bapanya.
Disebabkan tidak serasi dengan ibu tirinya, dia berhijrah ke Kuala Lumpur. Di
sana, Tookoo bertemu dengan Din, seorang kanak-kanak terbiar. Din tinggal
bersama makciknya yang selalu menderanya. Oleh sebab itu Din pun
melarikan diri dan ingin mencari ibu kandungnya. Suatu hari semasa hujan, Din
minta berteduh di tempat berlindung Tookoo iaitu sebuah banglo yang
ditinggalkan. Sejak itu Din dan Tookoo menjadi kawan baik, di situlah
bermulanya KAMI. Macam-macam halangan dan rintangan yang mereka
hadapi dalam meneruskan hidup.
Sudirman telah dicalonkan dalam kategori Pelakon Terbaik di Festival Filem
Malaysia, tetapi tidak berjaya.
BERCITA-CITA INGIN MENJADI PRODUSER Menjelang penghujung usianya,
Sudirman memberitahu, dia telah menyiapkan skrip filem Primadona dan
bercita-cita untuk menjadi produser dan pengarahnya. Malangnya hasratnya
itu tidak kesampaian.

[Usahawan]

Minuman tin Sudi

Cermin mata hitam


Sudirman pernah menubuhkan Sudirman Usaha Dagang Industri (SUDI) Sdn Bhd
dengan modal kira-kira RM3 juta, yang mengeluarkan minuman tin berkarbonat
jenama Sudi. Kejayaannya dalam memasarkan Sudi telah mengangkat
Sudirman sebagai pemenang Anugerah Pengusaha Muda. Minuman Sudi yang
terkenal telah mengambil 5 peratus pasaran minuman karbonat dalam masa 6
bulan beroperasi (dengan bantuan majalah bisnes dan program TV dari
Australia ke Hong Kong mengiklankan minuman Sudi).
Pada 9 Mac 1991, Sudirman telah mengadakan konsert di tapak Expo Air Keroh,
Melaka. Konsert percuma anjuran SUDI Sdn Bhd dengan kerjasama
Perbadanan Kemajuan Ekonomi Melaka itu, bagi mengucapkan jutaan terima
kasih kepada orang ramai atas sambutan mereka terhadap minuman jenama
Sudi.
Atas inisiatifnya juga, beliau telah membuka Sudi Shoppe di Sungei Wang Plaza,
Kuala Lumpur dengan menjual beraneka barangan yang berkaitan dengan
penampilan bintang popular dan merchadising keluaran dirinya, termasuk
cermin mata hitam yang fleksibel.
Syarikatnya merancang untuk mengeluarkan Sudi Rasa - iaitu makanan dalam
tin seperti sardin, santan kelapa, buah-buahan, koktel dan mee segera.
Dilaporkan ada juga rancangan untuk minyak masak, sos tomato dan sos cili
istimewa. Beliau dikatakan memiliki restoran yang dinamakan Restoran Selera
Sudi terletak berhampiran pejabat urusannya, Sudirman Productions di Taman
Sri Hartamas.
Tahun 1983, Sudirman menubuhkan syarikatnya 'Sudirman Productions' dengan
hanya seorang pekerja. Tahun 1987, Sudirman menghasilkan sebuah album
berjodol Sahabat untuk anak saudara kesayangannya Atai (Razman Azrai
Zainudin) di bawah Sudirman Productions. Beliau bersama pengurusnya, Mike
Bernie Chin bercita-cita menerbitkan video yang merakam aksinya ketika
konsert. Walaubagaimana pun pada Mac 1987, Mike Bernie mengundurkan diri
daripada menjadi pengurus Sudirman setelah ia merasa Sudirman tidak dapat
'diurus' lagi. Kemudian Sudirman melantik Dharanee Dharan Kannan sebagai
pengurusnya sehingga Jun 1991 apabila Dharanee meletakkan jawatan. Sejak
itu Sudirman mahu mengurus sendiri semua kegiatan hiburannya.
Malangnya setelah Sudirman jatuh sakit, perniagaannya - Sudirman Productions
dan SUDI Sdn Bhd telah ditutup pada September 1991.

Namamu tetap dikenang


Nama Sudirman Haji Arshad terus bersemadi di dalam hati peminatnya. Beliau
masih Penghibur nombor 1 yang sukar dicari ganti.

Tetap dikenang
Setiap kali Merdeka atau Aidilfitri, kita akan teringatkannya. Menjelang Hari
Raya Aidil Fitri, rakyat Malaysia turut sama menyanyi apabila mendengar lagu
nyanyian Sudirman, Balik Kampung, Selamat Hari Raya dan Dari Jauh Ku Pohon
Maaf berkumandang di radio dan TV. Tatkala sambutan Hari Merdeka, lagu
patriotik 31 Ogos dan Warisan masih dimainkan.
Seperti ibunya, Sudirman diabadikan di Muzium Tokoh Pahang, di Kuantan
sebagai mengenang jasanya di bidang seni kepada bangsa dan negara.
Disinilah dipamerkan barang berharga - trofi Anugerah Penghibur Terbaik Asia
milik Sudirman.[5]

Trofi
Tahun 1992, sebuah buku biografi Detik Terakhir Sudirman telah ditulis oleh En.
Ghafar Nin dan Cik Amira Muhamad - Keistimewaan yang ada pada Sudirman
untuk dijadikan kenangan khusus buat peminatnya.
Pada 23 Mei 2002, EMI Malaysia, Arkib Negara dan Istana Budaya telah
bekerjasama dalam menjayakan Majlis Pengkisahan dan Pameran Sudirman di
Auditorium Memorial Tunku Abdul Rahman selama sebulan sempena 10 tahun
pemergian Sudirman. Objektif pameran dan pengkisahan buat julung kalinya
itu juga bagi mengumpul dan mendokumentasikan maklumat berkaitan
Allahyarham Sudirman melalui penceritaan dari keluarga, sahabat serta koleksi
barangan peribadi Allahyarham.
Jasa Sudirman turut dikenang menerusi majlis Anugerah Kecapi 2006 anjuran
Papita yang menganugerahkannya secara rasmi gelaran Penghibur Nasional.

[Selepas Era-Sudirman]
Kini penghibur nombor 1 Asia yang juga anak jati Temerloh, Siti Nurhaliza telah
mengadakan konsert Untukmu Sudir sebagai mengenang jasa buat Sudirman
sebagai Seniman Rakyat.

[Program khas di TV]


Tahun 2006, Astro Ria menerusi Trek Selebriti telah menyiarkan satu episod khas
bagi memperingati sejarah hidup dan pembabitan Sudirman di bidang seni,
dan turut menampilkan secara eksklusif persembahan terakhir Sudirman yang
belum pernah disiarkan di mana-mana stesen TV.
Melalui slot Sepanjang Jalan Kenangan... Penghibur Legenda, sepanjang Mac
2007, Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah menyiarkan semula program-
program nyanyian yang pernah dihoskan oleh Allahyarham Sudirman bagi
mengimbau kembali perjuangan seni beliau. Ia bertujuan sebagai pembuka
tirai kepada Konsert Suara Hati Sudirman yang telah diadakan pada 1hb April
2007.

Sudirman & Atai

Sudirman menyanyi sambil melukis


Puspawarna 1984 (7 Mac 2007) - konsep "Sudirman dari sebuah bilik"
Mekar Sejambak Sudirman dan Atai 1985 (14 Mac 2007) - konsep muzikal
mengenai sebuah kelab malam amatur yang diuruskan oleh Sudirman.
Istimewa Bersama Sudirman 1987 (21 Mac 2007) - Sudirman turut
mendendangkan rangkaian lagu-lagu berbahasa Cina, Tamil, juga menyanyi
sambil melukis bendera Malaysia.
Istimewa Bersama Sudirman 1988 (28 Mac 2007) - konsert bulanan 'live' yang
dikendalikan penyanyi popular dan berbakat saja.

[Konsert Suara Hati Sudirman]

You might also like