You are on page 1of 2

Sejarah Kampung Potuki

Kampung Potuki adalah sebuah kampung kecil yang terletak di antara pekan Kinarut dan
kampung Lok Kawi Baru. Adalah dipercayai bahawa kampung Potuki merupakan kawasan
pertama selain kampung Tombovo 'Proper' yang diterokai oleh orang lama dahulu di kawasan
Putatan. Kebanyakan mereka berpindah ke kampung berdekatan, iaitu Kapazan selepas pecahnya
'wabak' yang menyebabkan sebilangan penduduk terpaksa berpindah. Kampung Potuki
merupakan sebuah kampung di bawah bidang kuasa Daerah Putatan, terletak di antara sempadan
daerah Penampang dan Papar, dan kira-kira 25 kilometer di selatan ibu negeri Kota Kinabalu.
Bandar terdekat adalah termasuk Putatan di utara, dan Kinarut di selatan.
Pada ketika dahulu, kampung Potuki adalah salah sebuah kampung yang ditadbir oleh
pentadbiran daerah Penampang termasuklah kampung berdekatan seperti Kampung Tombovo
Proper dan kampung Kapazan. Ini kerana pada masa itu kawasan Putatan merupakan sebuah
kawasan yang ditadbir oleh pentadbiran daerah Penampang. Pada 18 Mac 1997, semasa
pentadbiran Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah Ke-9, iaitu Datuk Yong Teck Lee,
beliau telah mengistiharkan kawasan Putatan sebagai sebuah Daerah Kecil dan upacara
perasmiannya telah disempurnakan oleh beliau sendiri di Ruang Legar, Putatan Court Fasa II,
Putatan.

Asal-usul nama Kampung Potuki

Menurut cerita orang tua-tua yang telah menjadi penduduk asal kampung ini, mengatakan nama
kampung ini dahulunya adalah ‘ Patikar ’, yang membawa maksud ‘perkampungan’. Majoriti
penduduk di kampung ini berbangsa Kadazan namun terdapat juga segelintir penduduk berasal
dari suku kaum Bajau Somaa dan tidak hairanlah pada ketika itu terdapat penduduk berbangsa
Kadazan pandai bertutur bahasa Bajau Somaa dan sebaliknya. Nama ini tidak berhenti di situ
kerana nama asal ini kemudiannya ditukar semula selepas amalan dan panggilan yang menjadi
kebiasaan oleh penduduk dari kampung sebelah iaitu kampung Sugud. Nama Patikar telah di
tukar kepada nama ‘Potukia’ berasal daripada perkataan kaum Kadazan yang membawa maksud
seseorang yang kesakitan pinggang ketika berdiri atau kesakitan ketika membawa barang yang
berat yang diisi dalam ‘takiding’ dan mengalasnya. Panggilan ini telah manjadi satu kebiasaan
penduduk dari kampung sebelah seperti satu sindiran. Oleh kerana bilangan penduduk semakin
bertambah, maka nama ini pula telah ditukar oleh penduduk kampung kepada nama yang lebih
sedap didengar iaitu ‘Potuki’ sehinggalah sekarang. Namun asal usul ini tidak dapat diketahui
kesahihannya oleh penduduk masa kini. Ini kerana tiada siapa yang cuba untuk mencatatkan
sejarah dan latar belakang kampung tersebut.
Merujuk kepada peta kampung di bawah, bentuk perkampungan membentuk bujur telur yang
dikelilingi oleh ladang pokok getah dan di tengah-tengah kawasan perkampung merupakan
sawah padi yang menjadikan pekerjaan utama penduduk kampung sebagai petani dan penoreh
getah.

1
Kebanyakan penduduk kampung adalah orang Kristian Katolik walaupun terdapat beberapa
orang yang penganut agama Kristian yang bukan katolik dan beragama Islam/ Mualaf. Kini
ladang getah sudah tidak lagi diusahakan atas sebab-sebab tertentu dan sawah padi yang dulu
diusahakan oleh pemilik tanah kini telah diusahakan atau di sewakan kepada perseorangan untuk
tujuan kawasan penanaman sayur-sayuran dan menjadi punca pendapatan pemilik tanah.

Motto Kampung Potuki

“ Kemajuan Ke Arah Perpaduan dan Kesejahteraan”


Yang bermaksud setiap kemajuan atau perubahan yang dilakukan oleh pihak yang
bertanggunjawab akan memberi keselesaan dan dapat memenuhi kehendak masyarakat. Apabila
kehendak mereka dapat ditunaikan maka mereka akan menghargai pengorbanan dan akan
sentiasa bekerjasama untuk mewujudkan perpaduan dan ini akan menjamin kepada kesejahteraan
yang bebas dari sikap buruk sangka dan iri hati serta pergaduhan dapat dihindari di kalangan
masyarakat.

You might also like