You are on page 1of 2

Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak tentang isu pembukaan bandar-bandar baharu lantaran terlalu

dihidangkan dengan pembangunan negara yang gah di persada dunia. Pembukaan bandar-bandar baharu yang
canggih menjadikan Malaysia duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara gergasi yang
lain. Jika dikaji sehingga ke akar umbi, terdapat banyak bandar yang canggih dan cantik di negara Malaysia.
Antara contoh bandar yang menjadi buah mulut dandipolemikkan di kedai-kedai kopi mahupun dewan
parlimen ialah bandar Putrajaya di Malaysia. Selain itu, terdapat juga bandar canggih dan cantik di negara lain
seperti bandar Limerick di Ireland dan bandar Kontanz di German. Oleh yang demikian, semua warganegara
Malaysia sudah tentu mengimpikan bandar idaman untuk didiami bersama-sama keluarga yang tercinta. Tidak
terkecuali saya yang turut mendambakan bandar idaman saya yang lengkap dengan segala yang diperlukan.

Pada realitinya memang tidak dapat dinafikan bahawa bandar idaman semua mestilah mempunyai prasarana
yang memenuhi kehendak rakyat. Begitulah juga halnya dengan diri saya yang menginginkan kemudahan
lengkap di tempat saya tinggal seperti kemudahan bekalan air dan elektrik, pengangkutan awam, khidmat Unifi,
tandas awam dan perpustakaan awam. Pada era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi ini, ilmu sudah
mendominasi kemajuan sesebuah negara. Untuk rakyat berkomunikasi dan memperoleh ilmu, khimat Unifi dan
kemudahan jaringan internet hendaklah diperluas dan dipermudah untuk dicapai oleh komuniti bandar. Selain
itu, bekalan air dan elektrik hendaklah mencukupi menampung keperluan masyarakat setempat dengan
menggunakan kemajuan dalam proses kitar semula. Tidak cukup dengan itu, pengangkutan awam yang diguna
pakai di bandar idaman saya mestilah mesra alam. Sampah-sampah juga dilupuskan dengan menggunakan
teknologi insenerator yang telahpun diaplikasikan di negara-negara maju. Dengan perkataan lain, segala-
galanya ada di bandar idaman saya. Tegasnya, bandar idaman saya mestilah mempunyai prasarana yang
mencukupi agar rakyat dapat hidup dengan selesa sambil menikmati segala kemudahan yang disediakan.

Namun demikian, suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah bandar yang menjadi idaman saya
perlulah berkonsepkan lestari alam semula jadi. Dalam konteks ini, bandar tersebut perlulah dipenuhi dengan
tumbuhan hijau serta bebas daripada pencemaran alam. Memandangkan keadaan yang sedemikian, bandar
tersebut perlulah berjauhan dari kawasan perindustrian yang pastinya akan menyebabkan pencemaran udara
dan pencemaran air. Bukan itu sahaja, bandar yang berkonsepkan lestari alam semula jadi dapat menyegarkan
minda di samping pemandangan yang indah saujana mata memandang. Bertitik tolak daripada itu, tumbuh-
tumbuhan yang dapat menyerapkan gas karbon dioksida perlu ditanam dengan banyak di sekeliling bandar
idaman saya. Hal ini secara tidak langsung, akan mengurangkan pembebasan gas karbon dioksida yang
dihasilkan oleh manusia dan haiwan sekali gus mengurangkan risiko penyakit berbahaya. Sudah terang lagi
bersuluh, bandar yang berkonsepkan lestari alam semula jadi yang banyak membawa maslahat
merupakan bandar idaman saya.

Hakikatnya, memang tidak dapat dinafikan bahawa bandar idaman saya perlulah bertemakan hiburan. Hal ini
adalah kerana bandar berkonsepkan hiburan sudah lama terpahat dalam memori saya untuk dijadikan
bandar idaman saya. Aspek utama dalam konsep ini ialah bandar yang dapat memberikan hiburan kepada
pelbagai peringkat lapisan masyarakat yang merangkumi peringkat usia kanak-kanak, remaja, golongan dewasa
mahupun warga tua. Sebagai analoginya, bandar idaman saya mestilah bertemakan hiburan seperti Disneyland
di New York, Resort World of Sentosa di Singapura. Dengan ini, rakyat boleh mengurangkan stres dan melarikan
diri seketika daripada memikirkan tekanan di tempat kerja. Secara tidak langsung, setiap ahli keluarga boleh
meluangkan masa pada hujung minggu dengan membawa keluarga pergi ke tempat tersebut yang ada di depan
mata. Tidak perlu lagi mengeluarkan kos yang besar untuk menikmati bandar bertemakan hiburan yang sama di
luar negara. Izharlah bahawa dengan adanya bandar idaman saya ini, keluarga yang bahagia sudah pasti dapat
dilahirkan dan diperkukuhkan.

Sebagai menggulung tajuk yang diperbincangkan, bandar idaman saya mestilah berunsurkan mesra alam,
memiliki pelbagai prasarana dan kemudahan yang canggih untuk keselesaan komuniti. Dengan ini, sebagai
rakyat Malaysia, saya akan sentiasa memberikan sokongan ke atas projek yang diperkenalkan oleh kerajaan
seperti Perbandaran Hijau yang akan menjadi model rintis kepada pembangunan bandar-bandar lain di
Malaysia. Jika semua masyarakat berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, bandar-
bandar idaman yang dihasratkan sudah pasti akan dapat memajukan negara setanding dengan negara moden
serta dapat merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020. Oleh itu, masyarakat perlu berusaha dengan bersungguh-
sungguh kerana yang bulat takkan datang bergolek dan yang pipih takkan datang melayang. Belajar dari
keadaan pentadbiran sekarang dan mempraktikkan dalam pentadbiran akan datang malah berusaha untuk
memperbaikinya lagi supaya semua rakyat Malaysia dapat menikmati kelengkapan kemudahan dan tubuh
badan yang sihat dari segi minda mahupun fizikal. Dengan keizinan Tuhan Yang Maha Esa, saya berharap agar
bandar idaman saya akan menjadi realiti sebelum saya menutup mata.

You might also like