You are on page 1of 3

UCAPAN PERSARAAN

Yang saya hormati Tuan Pengerusi Majlis, yang diraikan Encik Adnan bin Abdul
Rahman,yang berusaha Puan Alifah binti Ali,guru-guru penolong kanan,guru-guru
dan pelajar-pelajar sekalian. Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak sekolah
kerana sudi memberi peluang kepada saya bagi menukilkan kata-kata sempena hari
persaraan rakan baik saya merangkap guru kelas Enam Cerdas. Buat pengetahuan
murid sekalian, Encik Adnan akan mula bersara berkuatkuasa mulai esok
bersamaan 11 November 2012. Hari ini merupakan hari terakhir beliau di sekolah.

Saya mewakili guru-guru yang lain berasa amat terharu atas persaraan Encik
Adnan. Sesungguhnya, sudah terang lagi bersuluh,beliau merupakan guru kelas
Enam Cerdas yang amat disayangi oleh semua murid. Berjumpa dan berpisah
menjadi adat dan kebiasaan bagi manusia. Kata-kata in mengingatkan kita bahawa
perpisahan tidak dapat dielakkan apabila tiba masanya. Demikianlah peraturan
hidup yang telah ditetapkan oleh Tuhan. Beliau telah berkhidmat sebagai seorang
guru selama 30 tahun dan telah berkhidmat di sekolah ini selama 14 tahun. Dengan
tempoh masa mengajar yang begitu panjang, sudah tentu beliau mempunyai
pengalaman yang amat luas dalam bidang pendidikan.

Murid sekalian,

Encik Adnan merupakan seorang Guru Pakar Matematik di sekolah kita yang
turut tersohor namanya di peringkat daerah dan negeri. Pengalaman beliau dalam
bidang matematik sering dikongsikan dengan guru-guru lain. Bagi beliau apalah
gunanya kemenyan disimpan sebesar tungku, kalau tidak dibakar. Selama 11 tahun
beliau telah menjadi ketua pemeriksa bagi subjek matematik untuk Ujian Penilaian
Sekolah Rendah. Dengan itu, beliau telah menjadi nadi utama dan sumber inspirasi
kepada semua pelajar dalam bidang matematik di sekolah ini. Oleh itu, persaraan
beliau akan meninggalkan kesan yang mendalam dalam kalangan pelajar semua.
Sebagai rakan baik beliau,saya dengan ikhlas menganggap pemergian beliau
merupakan suatu kehilangan kepada sekolah. Pepatah ada mengatakan, patah
tumbuh hilang berganti, namun begitu yang menggantikannya pastinya tidak sama.
Selama 30 tahun, beliau telah bergelumang dengan pendidikan, beliau telah menjadi
guru yang cemerlang. Sudah beberapa kali beliau telah diberikan pengiktirafan dan
dikenali sebagai seorang guru yang senantiasa mementingkan kualiti kerana bagi
beliau kualiti mencerminkan peribadi.

Hadirin semua.

Cikgu Adnan juga merupakan guru contoh yang tidak ada tolok bandingnya.
Hal ini demikian kerana pengorbanannya dalam bidang akademik amat
membanggakan. Pada peringkat awalnya, Encik Adnan hanya lepasan Maktab
Perguruan Temenggung Ibrahim. Namun begitu, sebagai seorang senantiasa
dahagakan ilmu pengetahuan, selepas lima tahun mengajar, beliau melanjutkan
pelajaran ke Universiti Malaya. Selepas tamat pengajiannya dan memperoleh Ijazah
Sarjana Muda dengan kelas pertama, beliau terus menyambung pelajarannya ke
peringkat Doktor Falsafah di universiti yang sama. Saya mengharapkan
pengajiannya tetap diteruskan walaupun bersara.

Pendek kata, kejayaan demi kejayaan yang dikecapinya dalam bidang


akademik menjadi perangsang kepadanya untuk memajukan pelajaran anak-anak
muridnya. Ramai anak didiknya telah menjejaki menara gading dan ada antaranya
menjadi tokoh korporat yang berjaya. Kebijaksanaan beliau dalam mewujudkan
suasana ceria semasa pembelajaran telah menarik minat pelajar untuk
menumpukan sepenuh perhatian pelajaran. Kadang-kadang pelajar juga tidak kering
gusi dengan telatah lucunya yang kerap mengajukan teka-teki ketika sesi
pembelajaran. Ini adalah satu teknik pembelajaran agar murid-murid dapat
membiasakan diri dengan berfikir kerana jika kita ingin menguasai matematik,kita
perlu sentiasa berfikir. Kemesraan dan ketokohan beliau sebagai seorang pendidik
membuatkan kita sukar melupakan jasanya.

Hadirin sekalian,

Sepanjang berada di sini. Encik Adnan begitu aktif dalam sukan hoki sekolah
kita. Dengan pengorbanan beliau melatih dan memberi tunjuk ajar tentang teknik
permainan hoki kepada para pelajar, tidak hairanlah Sekolah Kebangsaan Sri
Perdana telah menjadi johan selama tiga tahun berturut-turut di peringkat daerah
mahupun negeri. Ramai anak didik beliau telah menjadi pemain kebangsaan yang
terkenal umpamanya Ahmad Suhaimi dan Mirnawan yang kini menjadi legenda
pemain hoki negara. Pengorbanan beliau amat kami sanjungi. Saya pernah
bersama-sama beliau pulang ke rumah pada pukul 11.00 malam sebaik-baik habis
latihan di sekolah, namun beliau tidak pernah mengeluh kerana bagi beliau alang-
alang berminyak biar licin. Beliau sememangnya seorang yang komited dengan
tugas yang diamanahkan.

Sesungguhnya segala jasa dan pengorbanan Encik Adnan bertepatan


dengan apa yang dinukilkan oleh Sasterawan Negara,Dr Usman Awang dalam sajak
Guru Oh Guru! menyatakan bahawa kejayaan seseorang dalam apa jua bidang
bermula daripada usaha dan pengorbanan seorang guru. Banyak ungkapan yang
jelas memberi pengiktirafan kepada Encik Adnan seperti Guru Nakhoda
Kapal,Guru Penyuluh Zaman, Guru Teras Tamadun Bangsa dan sebagainya
yang mengungkapkan kehebatan peranan Encik Adnan. Jelaslah, sebagai seorang
yang diamanahkan tanggungjawab mendidik, Encik Adnan memulakan tugasnya
sejak anak-anak kecil memasuki alam persekolahan bak kata peribahasa melentur
buluh biarlah sewaktu rebung. Hakikatnya, di tahap inilah peranan guru bermula.
Walaupun jasa Encik Adnan begitu besar,begitu banyak bagaikan lautan tetapi
beliau tidak mengharapkan jasa dibalas.

Semua yang hadir,

Kami amat mengharapkan beliau akan terus menjalani kehidupan yang aman
dan bahagia selepas bersara nanti. Hal ini demikian kerana beliau dikatakan akan
berehat sebagai seorang pendidik dan menumpukan perhartian terhadap keluarga
dan keagamaan. Sempena mengenang jasa-jasa beliau di sekolah ini, kami pihak
sekolah akan menghadiahi beliau sebuah cenderamata yang begitu indah sekali.
Sebelum saya mengundurkan diri, saya mengucapkan selamat bersara kepada
Encik Adnan.

Teluk Likas airnya tenang


Tempat berehat di Tanjung Lipat
Jasamu tuan akan dikenang
Di dalam hati sentiasa terpahat

Sekian terima kasih.

You might also like