You are on page 1of 2

KEPENTINGAN KOMSAS DALAM MATA PELAJARAN BAHASA MELAYU

KOMSAS merupakan satu bahagian pembelajaran dalam mata pelajaran bahasa


Melayu yang diajarkan sebagai serampang dua mata kepada beberapa matlamat.
Pusat Perkembangan Kurikulum (2003) menyatakan dalam Huraian Sukatan Pelajaran
Bahasa Melayu daripada tingkatan 1 hingga tingkatan 5 bahawa, “Melalui komponen
KOMSAS, diharapkan minat membaca, keseronokan membaca, dan penghayatan
terhadap bahan sastera dapat dipupuk”. Memandangkan pembelajaran bahasa Melayu
menitikberatkan kepada kemahiran berbahasa serta aplikasinya dalam kehidupan,
KOMSAS merupakan bahagian lain pembelajaran bahasa yang bukan sahaja
mengetengahkan pembelajaran kemahiran berbahasa, malah memberi peluang kepada
pelajar untuk mengaplikasikan kemahiran tersebut. Berdasarkan matlamat yang
diutarakan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum (2003), KOMSAS juga merupakan
satu platform kepada pelajar untuk mereka melakukan apresiasi sastera.

Selain hal itu, KOMSAS juga dijadikan sebagai satu instrumen perpaduan dalam
kalangan pelajar yang pelbagai etnik. Biarpun terdapat pelajar yang bersekolah di
institusi yang tidak multi etnik seperti Sekolah Swasta Cina dan Sekolah Menengah
Jenis Kebangsaan, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, Sekolah Agama Rakyat,
Sekolah Mubaligh, Sekolah Orang Asli dan Sekolah Kurang Murid (SKM) yang terdapat
di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak, mereka masih boleh mempelajari,
membaca dan menghayati kisah – kisah yang dari pelbagai latar masyarakat, tempat
dan masa yang mencerminkan bangsa Malaysia. Hal ini disokong oleh Chew (2009)
dalam kajiannya yang bertajuk Pendidikan Sastera Perpaduan menerusi KOMSAS
Tingkatan 4: Pelaksanaan dan Kesannya. Chew menulis, “Dasar Pendidikan
Kebangsaan di negara kita menitikberatkan perpaduan nasional memandangkan
Malaysia terdiri daripada berbilang kaum. Sehubungan itu, Kesusasteraan Melayu telah
dikenal pasti sebagai mekanisme yang berkesan untuk menyatupadukan rakyat
Malaysia. Oleh itu, KOMSAS telah diperkenal dan dilaksanakan dalam pengajaran
Bahasa Melayu sejak tahun 2000”.

KOMSAS juga boleh digunakan sebagai satu pendekatan dalam meningkatkan


kemahiran berbahasa pelajar. Kemahiran berbahasa merujuk kepada kemahiran
mendengar, kemahiran bertutur, kemahiran membaca dan kemahiran menulis.
Sebagai contoh, Abdul Rasid, Shamsudin, & Norzila (2011) telah menjalankan kajian
yang bertajuk Keberkesanan Cerpen dalam Mempertingkatkan Prestasi Penulisan
Karangan Bahasa Melayu dalam Kalangan Murid. Hasil kajian mendapati bahawa
kaedah pengajaran penulisan karangan menggunakan teks KOMSAS terbukti lebih
berkesan berbanding kaedah pengajaran konvensional terhadap prestasi penulisan
karangan murid.
Terang Abdul Rasid et al (2011) lagi, “… penggunaan bahan sastera memang
mempunyai peranan yang positif dalam meningkatkan prestasi penulisan karangan
keseluruhan dan aspek pengembangan isi dalam kalangan murid. Tegasnya,
penggunaan bahan sastera seperti cerpen itu sendiri telah membezakan corak
penulisan antara murid kumpulan eksperimen berbanding murid kumpulan kawalan”.

Kaedah ini disokong oleh Rozaiman (2007) yang berpendapat bahawa penggunaan
bahan sastera dalam pengajaran bahasa ibarat lagu dan irama yang tidak boleh
dipisahkan kerana kedua – duanya saling berkaitan. Justeru itu, KOMSAS dapat dilihat
sebagai satu kaedah yang berkesan dalam membantu pelajar menguasai kemahiran
berbahasa yang dinyatakan sebagai salah satu objektif dalam pengajaran dan
pembelajaran mata pelajaran bahasa Melayu.

Selain hal itu, KOMSAS juga boleh dijadikan wadah dalam menerapkan kemahiran
berfikir aras tinggi dalam kalangan pelajar. Menurut Rajendran (2000), “Kesusasteraan
menawarkan peluang untuk membimbing pelajar meramal, merumus, menganalisis,
membuat inferens, membuat keputusan dan menyelesaikan masalah yang merupakan
kemahiran berfikir aras tinggi”. Memandangkan KOMSAS merupakan salah satu
bahagian dalam pembelajaran mata pelajaran bahasa Melayu yang bertujuan untuk
meningkatkan kemahiran berbahasa pelajar, ia dianggap sebagai satu medium terbaik
untuk mengajar kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan pelajar.

Pembelajaran dan pengajaran menggunakan KOMSAS merupakan satu proses


memandu pelajar untuk berhibur, mentafsir dan menilai kehidupan dan fenomenanya
(Rajendran, 2000). Karya sastera yang baik dan indah dapat meluaskan pandangan
dan tinjauan di samping membina dan menyuburkan ‘rasa ingin tahu’ terhadap sesuatu
fenomena (Mohd. Kassim Ismail, 1994). Justeru itu, KOMSAS dapat dilihat sebagai
satu medium yang digunakan untuk meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi pelajar
dengan aplikasi kemahiran berbahasa seperti kemahiran mendengar, bertutur,
membaca dan menulis.

You might also like