You are on page 1of 8

Mengumumkan ketibaan Yang Diraikan Pn Hjh Nor Hayati binti Hj Bakri diiringi dif-dif kehormat dan

guru-guru masuk ke Dataran Jaya. Semua hadirin diminta berdiri

Pagi yang indah penuh ceria


Hari yang berbahagia penuh bermakna
Kami bawakan kepada anda Majlis “Kasih Disemai Bakti Dituai” sempena persaraan Pn. Hajjah Nor
Hayati bt Hj Bakri,Mantan Pengetua SMK Sijangkang Jaya.

Yang Berusaha,
Puan Ramlah binti Haji Hashim,
Penolong Kanan Pentadbiran,
SMK Sijangkang Jaya.

Yang Berusaha,
Barisan Pengetua & Guru Besar Daerah Kuala Langat,

Yang Dihormati,
Dif-dif jemputan,

Yang Dihormati
Barisan Kepimpinan Penolong-Penolong Kanan, Guru-Guru Kanan Mata pelajaran, Guru-Guru
Cemerlang, Barisan guru-guru, murid-murid, hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah sekalian.

Saya bagi pihak Jawatankuasa Pelaksana mengucapkan Selamat datang ke :


Majlis “Kasih Disemai Bakti Dituai” sempena persaraan Pn Hajah Noor Hayati binti Hj Bakri, Mantan
Pengetua SMK Sijangkang Jaya.

Sirih berlipat sirih pinang


Sirih dari Pulau Mutiara
Pemanis kata selamat datang
Awal BismilLah pembuka bicara

Sarung ketupat berisi inti


Dibawa budak sambil berlari
Kehadiran semua sangat dihargai
Moga Majlis bertambah seri

Bunga mawar cantik tersemat


Dipetik gadis di tepi titi
Doa dibaca memohon Rahmat
Moga Majlis sentiasa diberkati

Bagi menambah keberkatan Majlis kita pada hari yang penuh bermakna ini, marilah sama-sama kita
menadah tangan mengaminkan bacaan doa yang akan dilafazkan oleh Al fadhil Ustaz Zahri bin
Mamat.

Majlis dengan segala hormatnya mempersilakan.

Aturcara majlis dimulakan dengan mendengar ucapan daripada Wakil Pelajar. Untuk itu, dipersilakan
Sdr Mohd Hanafi b. Mohd Raziff untuk menyampaikan ucapan.

Majlis merakamkan ucapan terima kepada Ketua Pelajar SMK Sijangkang Jaya atas ucapan itu tadi.

Hadirin dan hadirat yang diRahmati Allah sekalian

Majlis diteruskan dengan ucapan daripada Yang Berusaha Pn Ramlah binti Hj Hashim, Penolong
Kanan Pentadbiran, SMK Sijangkang Jaya. Dipersilakan.

Terbang melayang sianak kedidi, terima kasih Pn. Ramlah atas atas ucapan yang disampaikan
sebentar tadi.

Majlis seterusnya ingin menjemput dan mempersilakan Yang Dihormati Tn Hj Zulkapli bin Mat Taib,
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Sijangkang Jaya untuk menyampaikan ucapan.
Dipersilakan.

Terima kasih diucapkan kepada Yang Dihormati Tn. Hj Zulkapli atas ucapan yang telah disampaikan
sebentar tadi.

Tak molek jika ada alu tiada lesungnya


Tak berguna jika ada dayung tiada perahunya
Tak lengkaplah Majlis jika suaranya tiada berbicara

Majlis diteruskan lagi dengan menjemput dan mempersilakan Yang Berbahagia, Tuan Haji Talib bin
Abd Hamid, Pegawai Pelajaran Daerah Kuala langat untuk menyampaikan ucapannya. Dipersilakan.

Hadhirin Yang dihormati Sekalian

Jasamu dikenang
Budimu tak terbilang
Semangatmu dijulang
Kepimpinanmu gemilang

Begitulah yang boleh kita perkatakan atas segala bakti dan kepimpinan yang disempurnakan oleh
Yang Diraikan Pn Hjh Noor Hayati bt Hj Bakri sepanjang perkhidmatan beliau di dalam dunia
pendidikan yang berakhir sebagai Pengetua SMK Sijangkang Jaya.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian


Tiap pertemuan pasti ada perpisahan
Itu adat, itu lumrah kehidupan
Begitulah rentetan perjalanan
Walau sukar untuk ditelan
Tapi kaki tetap mengorak jalan
Selagi hayat dikandung badan

Majlis diteruskan dengan persembahan multimedia mengisahkan tentang biografi dan memori
perjalanan Yang Diraikan Pn Hjh Noor Hayati bin Hj Bakri. Marilah kita sama-sama saksi dan hayati
persembahan multimedia ini.

Begitulah tadi dapat kita saksikan persembahan multimedia Yang Diraikan Puan Hajah Noor Hayati
binti Hj Bakri. Mudah-mudahan ianya dapat memberi sumber inspirasi buat kita semua.

Kini, tibalah waktu yang kita nanti-nantikan iaitu ucapan daripada Yang Diraikan Pn. Hjh Noor Hayati
bt Hj Bakri. Majlis dengan segala hormatnya ingin menjemput dan mempersilakan puan untuk
memberikan ucapan.

Sudah teradat si anak lelaki


Mati berjuang, berundur jangan
Berani kami menjunjung adat
Bukan memberi kata dan puji
Hanya budi dalam ingatan
Buat kenangan sepanjang hayat

Majlis merakamkan setingi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Diraikan Pn Hjh Noor
Hayati Hj Bakri atas ucapan itu tadi.

Bagi memeriahkan lagi majlis kita pada pagi ini, Kami tampilkan satu persembahan daripada Pelajar
Pendidikan Khas sebagai kenangan dihalwa telinga untuk kita khusunya untuk yang diraikan. Sama-
sama kita saksikan persembahan nasyid yang bertajuk “doa perpisahan” dan “tinggal kenangan”.

Untuk makluman hadirin, persembahan itu tadi di bawah pimpinan Puan Sharipah binti Samsuri.
Sekalung penghargaan diucapkan.

Seterusnya marilah sama-sama kita saksikan persembahan tarian daripada Kelab Seni Budaya.

Begitulah santapan mata yang dihadiahkan oleh pelajar buat yang diraikan. Sekalung penghargaan
atas persembahan istimewa itu tadi.
Untuk makluman hadirin, persembahan itu tadi di bawah pimpinan Puan Nuraziatul Mazida bt
Neimad.
Sidang Hadhirin Sekalian,

Tinggi sungguh pohon kuini,


Dililit pepaku bersulam semalu,
Melepaskan dirimu di saat ini,
Basahlah kami meratap pilu.

Majlis diteruskan dengan mempersilakan kumpulan koir guru SMKSJ untuk mendendangkan alunan
suara mereka. Dengan hormatnya dijemput.

Begitulah lontaran suara daripada pendidik SMKSJ yang dialunkan untuk kita semua. Tahniah dan
syabas.

Majlis diteruskan dengan upacara penyampaian cenderamata sebagai tanda kenang-kenangan buat
insan yang kita raikan pada hari ini.

Sebelum itu, Majlis dengan segala hormatnya ingin menjemput dan mempersilakan Puan Ramlah
binti Hj Hashim untuk mengiringi Yang Diraikan Puan Hajah Noor Hayati bt Hj Bakri bagi menerima
cenderamata kenang-kenangan. Dengan segala hormatnya dipersilakan.

Kita akan mulakan dengan penyampaian cendermata hasil sumbangan daripada pelajar SMK
Sijangkang Jaya. Dipersilakan Ketua Pelajar dan Penolong Ketua Pelajar untuk menyampaikan
sumbang tersebut.

Seterusnya,

Dipersilakan PK HEM En. Kowangid bin Taupek untuk menyampaikan tanda hati daripada Unit HEM

Dipersilakan PK Kokurikulum Pn Zaleha bt Selamat untuk menyampaikan tanda ingatan daripada Unit
Kokurikulum

Dipersilakan GKMP Sains Dan Matematik, Pn Hjh Noraznayati Abd Manap untuk menyampaikan
tanda ingatan daripada Bidang Sains Matematik

Dipersilakan GKMP Bahasa, Pn Aslamihah bt Zakaria untuk menyampaikan tanda ingatan daripada
Bidang Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris

Dipersilakan GKMP Kemanusiaan, Ustaz Zahri bin Mamat untuk menyampaikan tanda ingatan
daripada Bidang Sains Sosial.

Dipersilakan GKMP Teknik dan Vokasional, Pn Suzanna bt Mohamad untuk menyampaikan tanda
ingatan daripada Bidang Teknik dan Vokasional

Dipersilakan PK Petang, Puan Rubi’ah t Hayat untuk menyampaikan tanda mata daripada pihak
Koperasi SMK SJ Berhad.

Dipersilakan PK Pentadbiran, Puan Ramlah bt hj Hashim untuk menyampaikan tanda mata daripada
AJK Pengurusan Sekolah.

Dan yang terakhir Majlis mempersilakan (pelajar) ……….

Begitulah tadi upacara penyampaian cenderamata kenang-kenangan khusus untuk Yang Diraikan Pn
Hjh Noor Hayati binti Hj Bakri. Majlis merakamkan sejutaan penghargaan dan terima kasih atas tanda
ingatan, sumbangan dan tanda hati yang diberikan dan semoga menjadi memoir indah dalam
dakapan Puan Hjh Noor Hayati.

Sebagai tanda ingatan tulus ikhlas dan meraikan Hari Jadi Mantan Pengetua SMK Sijangkang Jaya,
dipersilakan PK Pentadbiran untuk menjemput dan mempersilakan Pn Hjh Noor Hayati bagi upacara
pemotongan kek hari jadi. Dijemput Wakil Jabatan Pelajaran Selangor, Tuan Pegawai Pelajaran
Daerah, YDP PIBG dan semua Penolong Kanan untuk naik ke pentas. Marilah sama-sama kita
nyanyikan lagu Selamat Hari Jadi untuk yang diraikan….

Majlis merakamkan ucapan terima kasih kepada semua. Dipersilakan wakil jabatan, PPD, YDP PIBG
dan Penolong Kanan untuk mengambil tempat dikhemah utama. Mantan Pengetua dan Pn Ramlah
diminta berada di astaka untuk acara seterusnya.

Hadhirin yang dihormati sekalian,


Sebagai Tanda Penghargaan atas perkhidmatan Puan Hjh Noor Hayati binti Hj Bakri dalam bidang
pendidikan, majlis mempersilakan ………………………………………….. Ketua Sektor/Ketua Unit Perjawatan
dan Pencen, Jabatan Pelajaran Negeri Selagor untuk menyampaikan Sijil Penghargaan dari pihak
Jabatan Pelajaran Selangor.

Dipersilakan Tuan Haji Talib bin Abd Hamid, Pegawai Pelajaran Daerah Kuala Langat untuk
menyampaikan Sijil Penghargaan dari pihak PPD Kuala Langat.

Hadirin dan hadirat yang diRahmati Allah

Untuk pengetahuan semua, Yang Diraikan Pn Hjh Noor Hayati bt Hj Bakri turut berbesar hati
menyumbangkan sebuah Astaka di Dataran Jaya ini. Pihak Pengurusan Sekolah berstuju untuk
menamakan astaka ini sebagai ASTAKA HJH NOOR HAYATI. Astaka ini juga sebagai kenangan dan
tanda sayang beliau terhadap sekolah ini. Sebagai tanda perasmian Astaka Noor Hayati, majlis sekali
lagi mempersilakan Pn Ramlah bt Hashim, menjemput dan mengiringi Puan Hjh Noor Hayati untuk
melakukan upacara perasmian. Dijemput Tuan Pegawai Pelajaran Daerah, YDP PIBG dan semua
Penolong Kanan naik ke pentas utama.

Berikan tepukan gemuruh kepada Pn Hjh Noor Hayati binti Hj Bakri. Terima kasih daun keladi…
sumbangan puan amat dihargai.
Inilah yang dikatakan, umpama belayar telah sampai di pelabuhan
Umpama berkayuh telah sampai di muara
Umpama berjalan telah sampai di destinasi

Para hadirin sekalian, kita telah pun berada di hujung acara.

Kuning emas masaknya padi


Mawar merah dalam jambangan
Terima kasih daun keladi
Budi tuan jadi kenangan

Tuai padi antara nampak


Esok jangan layu-layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan

Sebelum saya mengakhiri majlis ini,izinkan saya menyampaikan bait-bait puitis yang bertajuk “Bak Air
yang Mengalir”

Bak Air Yang Mengalir

Bak air yang mengalir.


Tiba jua kiranya di muara waktu,
Perpisahan mengimbau makna sebuah rindu,
Pada jejak-jejak yang lalu, seribu liku!

Berdiri melihat denai-denai kenangan,


Berbunga mesra dalam jambangan ingatan,
Barangkali terdengar nanti,
Suara bisikan melankolia,
Ucap salam anak-anak remaja,
Tegur sapa, senyum tawa, rakan sekerja.

Tiba waktunya untuk menyusun jemari,


Membuang segala kerikil bersalut di hati,
yang terkhilaf dimaafi,
yang sesal diinsafi,
yang lebih dibahagi,
yang kurang dilengkapi,
Agar saat perpisahan ini indah,
Terlerai segala durja gundah,
Tersirna cebisan amarah,
Terurai segala yang bercanggah.
Bak air yang mengalir,
Tiba juga kiranya di muara waktu,
Pasti tersisa kenangan yang terindah,
Berhias luka tidak berdarah,
Kesementaraan waktu mengutus seribu bumbu,
Kerana sekali dipanggil guru,
selamanya pun bergelar guru.

Selamat tinggal suara-suara ceria,


Padang perhimpunan dan dewan perkasa,
Bilik darjah dan anak-anak keletah,
Pejabat tugas dan pembantu ikhlas,
Bilik guru dan timbunan buku,
Ruang kantin tempat mesra terjalin.

Selamat tinggal seribu kerenah,


Datang dan pergi pelbagai wajah,
Bercampur gembira bersisip gundah,
Bergema didikan beralas madah,
Selamat tinggal sebuah tempat bernama sekolah!

Selamat datang persaraan,


Kerana segalanya hanya kesementaraan,
Melengkapi perjalanan,
Sebuah kehidupan!

Bak air yang mengalir,


Tiba juga kiranya di muara waktu,
Di sini kami pasti merindu,
hakikat seorang individu,
Bernama Pengetua.
Jelinglah kami jika rindu masih bertamu,
Sapalah kami andai mesra akrab berpadu!

Selamat berangkat dalam doa berkat,


Selamat istirahat dari segala muslihat,
Selamat bersara dengan senyuman mesra!
Senyumlah seindah suria,
Setelah mencurahkan segala-galanya,
Pasti beroleh keredaan-Nya.

Bak air yang mengalir,


Sampai di sini kenangan indah pasti terukir!

Untuk akhirnya, kita akan menyaksikan buat kali terakhirnya, yang diraikan Pn Hjh Noor Hayati akan
menandatangani buku Junjungan Kasih Catatan Kenangan sebagai tanda berakhirnya tugas rasmi
beliau dalam dunia pendidikan.

Terima kasih atas tandatangan yang dimeterailkan atas Buku Junjungan Kasih Catatan Kenangan

Dengan itu, berakhirlah sudah Majlis kita pada hari ini.

Majlis juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Diraikan Pn Hj Noor Hayati kerana
sudi untuk bersama kita pada hari yang penuh bermakna ini dan kami semua mendoakan agar Yang
Diraikan bertambah ceria dan bahagia di dalam kehidupan seharian.

Majlis turut merakamkan ribuan terima kasih kepada semua tetamu dan hadirin yang sudi
meluangkan masa bersama-sama memeriahkan Majlis “Kasih Disemai Bakti Dituai” ini.

Dikesempatan ini juga, kami ingin memohon ribuan kemaafan andai ada salah dan silap sepanjang
kami mengacarakan Majlis ini.

Pergi ke dusun memetik kelapa


Kelapa muda si kelapa barli
Jari disusun maaf dipinta
Panjang usia bersua kembali

Sekian sahaja, salam hormat, Wa BilLahit Taufiq walHidayah Wassalamu `Alaikum Wa Rahmatullahi
Wa Barakatuh.

You might also like