You are on page 1of 14

KEDUDUKAN PENAGIH DADAH SEBAGAI PENERIMA ZAKAT ASNAF AR-RIQAB DI

MALAYSIA

THE POSITION OF DRUG ADDICTS AS AR-RIQAB RECIPIENTS FOR ZAKAT IN MALAYSIA

1 2 3 4
Azman Ab Rahman , Siti Fariza Mohd Fisal Siti Zulaikha Mokhtar Norlina Ismail Tengku Mansur
5 6
Tengku Zainal Abidin Muhamad Sa‟dan Abdul Aziz

Abstrak

Penyalahgunaan dadah merupakan antara isu utama yang sering diperbincangkan oleh masyarakat
Malaysia. Statistik Jabatan Perangkaan Negara 2013 menunjukkan sebanyak 10.5 juta golongan belia
dan remaja di Malaysia mendominasi carta statistik dadah Negara. Kesan daripada penyalahgunaan
dadah ini menyebabkan penagih dadah hidup dalam keadaan kecelaruan, mengalami tekanan
psikologi dan emosi, kemiskinan serta pengangguran. Sebahagian daripada mereka dipulaukan oleh
masyarakat dan keadaan ini menyukarkan mereka mencari sumber pendapatan dan perlindungan.
Melihat kepada situasi tersebut terdapat beberapa pihak telah tampil untuk menyalurkan bantuan
termasuklah institusi zakat. Persoalan timbul berkaitan kelayakan golongan ini untuk diklasifikasikan
sebagai asnaf zakat. Justeru, objektif artikel ini adalah untuk menilai kedudukan penagih dadah
sebagai salah satu asnaf zakat berdasarkan kriteria yang ditetapkan. Artikel ini mendapati bahawa
penagih dadah boleh dipertimbangkan untuk dikategorikan dalam asnaf ar-riqab berdasarkan „illah
belenggu. Diharapkan artikel ini menjadi panduan kepada institusi zakat dan Majlis Agama Islam
Negeri di Malaysia dalam melihat semula kedudukan penagih dadah sebagai penerima zakat sama
ada layak diberikan zakat atau sebaliknya. Kajian lanjutan boleh dijalankan dalam menentukan
kaedah agihan zakat yang sesuai untuk diaplikasikan bagi golongan ini.

Kata kunci: Penagih dadah, Asnaf, Zakat, Ar-riqab, Malaysia.

Abstract

Drug abuse is among the major issue that is oftenly discussed by society. A statistic from Department
of Statistics, Malaysia 2013 indicated that a total of 10.5 million youths and adolescents in Malaysia
dominated the charts of national drug statistics. The effects of drug abuse led to chaotic life,
psychological and emotional stress, poverty and unemployment. Some of them are isolated from
society and this situation makes it difficult for them to find the sources of income and protection.
Looking at the situation, there are several parties have come forward to provide assistance including
zakat institutions. the question arises regarding the qualifications and the position of this group to be

1
Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, 71800 Nilai, Negeri
Sembilan, Malaysia. E-mel: azman@usim.edu.my
2
Pembantu Penyelidik, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, 71800 Nilai, Negeri
Sembilan, Malaysia. E-mail: farizfisal@gmail.com
3
Pembantu Penyelidik, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, 71800 Nilai, Negeri
Sembilan, Malaysia. E-mel: zulaikha211@gmail.com
4
Pembantu Penyelidik, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, 71800 Nilai, Negeri
Sembilan, Malaysia. E-mel: linaismail29@gmail.com
5
Pembantu Penyelidik, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, 71800 Nilai, Negeri
Sembilan, Malaysia. E-mel: tengkumansur@gmail.com
6
Pembantu Penyelidik, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, 71800 Nilai, Negeri
Sembilan, Malaysia. E-mel: saqdan910@gmail.com
1
classified as recipients of zakat. Thus, the objective of this study is to evaluate whether the drug
addicts are eligible to receive zakat or otherwise based on the criteria. This article found that the drug
addicts can be considered under ar-riqab recipients based on „illah ar-riqab which associated with
individual liberation from the shackles. . The significance of this study can be applied as a guide to the
zakat institutions and Majlis Agama Islam Negeri for reviewing the status of prostitutes as zakat
recipient, and the ideal concept of distribution if the prostitutes are eligible to receive zakat in the
future.

Keywords: Drug addicts, Asnaf, Zakat, Ar-riqab, Malaysia.

PENDAHULUAN

Dadah adalah bahan psikoaktif yang mempunyai ciri-ciri yang akan membawa kesan buruk kepada
sistem saraf pusat. Ia juga digunakan bukan bagi tujuan perubatan, kerana diperolehi secara haram
dan membawa kesan buruk kepada kesihatan dan fungsi sosial (AADK, 1998). Gejala
penyalahgunaan dadah bukan hanya melibatkan masalah dalaman negara Malaysia sahaja,
sebaliknya ia juga merupakan masalah di peringkat global (Huzili Hussin, 2010). Di negara-negara
Barat umpamanya, walaupun insiden penagih dadah amat serius, namun melalui penglibatan dan
koordinasi pelbagai NGO, penglibatan anggota masyarakat merupakan tulang belakang kepada
penyelesaian masalah dadah dalam sesebuah komuniti. Menurut Steven dan Smith, para penagih
dadah kebanyakannya sentiasa memikirkan untuk melakukan aktiviti penagihan sepanjang masa,
terlibat dengan tingkah laku yang boleh merosakkan fizikal dan emosi, sentiasa merasa murung, rasa
bersalah dan tidak boleh mengawal diri sendiri (2005).

Masalah penyalahgunaan dadah dilihat sebagai masalah sejagat yang menyumbang kepada
peningkatan kadar penagihan dadah setiap tahun. Malaysia juga tidak terkecuali daripada
berhadapan dengan masalah ini, malah masih mencatatkan statistik bilangan penagih dadah yang
tinggi (AADK, 2011). Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Negara pada 2013, sebanyak 10.5
juta golongan belia dan remaja di Malaysia, telah mendominasi carta statistik dadah Negara (Farah
Adibah Ibrahim, 2013). Malah, sepanjang tahun 2011 sahaja, seramai 11,194 orang penagih dadah
dikesan dengan 6,956 orang adalah penagih baru dan 4,238 orang penagih berulang (Laporan Dadah
Disember, 2011).

Pelbagai usaha giat dilakukan oleh pihak kerajaan dan swasta dalam menangani peningkatan
kadar penagihan dadah. Ia termasuklah bantuan berbentuk rawatan dan pemulihan, bantuan dari
sudut kewangan dalam menyara hidup penagih dadah, mendapatkan pekerjaan serta bantuan
kemudahan perubatan harian. Namun begitu, masih terdapat segelintir penagih dadah yang
dipinggirkan oleh masyarakat. Statistik menunjukkan hanya 20 hingga 25 peratus sahaja penagih
dadah yang dirawat di pusat serenti di seluruh negara yang dapat dipulihkan sepenuhnya. Manakala
selebihnya kembali menagih dadah kerana disisih oleh keluarga sendiri dan masyarakat. Kebanyakan
penagih dadah yang keluar dari pusat serenti hilang arah tujuan. Mereka tidak mempunyai pekerjaan
sebagai punca rezeki untuk meneruskan hidup dan berada dalam kemiskinan. Bahkan mereka tidak
diberi peluang bekerja kerana latar belakangnya sebagai penagih (Hairulnizam Wahid, 2015).

2
Penyalahgunaan dadah boleh mengakibatkan penagih mengalami tekanan perasaan,
psikologi dan mental. Sehingga terdapat di antara mereka terus berada dalam kemiskinan dan
menganggur sepanjang masa. Hal ini menyebabkan kualiti kehidupan seseorang penagih itu boleh
terjejas termasuklah hubungan dengan keluarga. Mereka tidak dapat bercampurgaul dengan
masyarakat, kurang keyakinan diri dan sering mencetuskan stigma serta persepsi masyarakat akan
keburukan diri mereka sebagai penagih (Mohd.Dzulkhair Mohd. Rani, 2014). Keadaan ini terus
dibimbangi kerana ia berkemungkinan akan membawa penagih dadah ini kembali melakukan jenayah
penagihan dadah. Melalui cara ini, bantuan selepas selesai menjalani hukuman di penjara dalam
mendepani masyarakat, dan bantuan memulihkan hubungan kemasyarakatan serta tahap ekonomi
penagih dadah perlu dititikberatkan. Ia merupakan satu cabaran yang agak besar kerana kajian
banyak menunjukkan banduan ini cenderung kembali menjadi penjenayah (Hairunnizam, Wahid et.al,
2015).

Justeru satu alternatif yang komprehensif perlu ada dalam membantu penangih dadah dalam
meneruskan kehidupan selepas mereka keluar daripada penjara kelak. Antaranya, bantuan melalui
pemberian dana zakat. Ia boleh diberikan kepada penagih dadah agar wujud kesinambungan
keberkatan zakat dalam memulihkan penagih dadah secara lebih menyeluruh dan holistik. Hal ini
bertepatan dengan saranan Islam yang menuntut umatnya agar sentiasa memperkasa sistem
kehidupan bermasyarakat. Tanpa sokongan, kerjasama dan interaksi bersama mereka, boleh jadi
mereka akan kembali menagih dadah dan menjatuhkan nilai ketamadunan manusia. Konsep
tanggungjawab sosial adalah murni dan luas melangkaui agama, bangsa, warna kulit dan budaya. Hal
ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam surah al-Hujuraat ayat 13:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan
Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan(dan
beramah mesra antara satu dengan yang lain).”

(al-Quran. al-Hujuraat, 49:13)

Berdasarkan ayat tersebut, dapat difahami bahawa manusia diciptakan untuk saling kenal
mengenali, saling bekerjasama antara satu sama lain, serta bantu-membantu demi membina
kehidupan yang sejahtera dengan di dokong iman dan taqwa kepada Allah SWT. Agama Islam amat
menitikberatkan konsep tanggungjawab sosial, iaitu mengambil berat sesama manusia. Hal ini
termasuklah membantu golongan penagih dadah supaya mereka dapat meneruskan kehidupan
seperti orang lain.

METODOLOGI KAJIAN

Penyelidikan ini berbentuk kualitatif yang menggunakan kaedah dokumentasi. Penyelidikan secara
kualitatif ini bertujuan untuk memahami secara mendalam fenomena berkaitan persoalan kajian
(Merriam, 2002). Metode penyelidikan secara kualitatif ini juga bertujuan untuk menilai kedudukan

3
penagih dadah sama ada layak menerima zakat atau sebaliknya dan fatwa-fatwa yang berkaitan
dengannya di samping mengenalpasti kaedah yang terbaik dalam mengagihkan zakat kepada
golongan ini sekiranya mereka layak.

a. Metode Pengumpulan Data

Metod pengumpulan data dalam penyelidikan ini ialah kajian perpustakaan (library research).
Data melalui kaedah ini diperolehi dengan melakukan kajian ke atas penulisan dan dokumen bertulis
yang dapat memberikan keterangan dan digunakan sebagai bukti yang sahih tentang suatu
kenyataan. Ia merangkumi sumber-sumber dalam bentuk dalil dari al-Quran dan hadis, buku-buku,
jurnal, disertasi dan tesis, prosiding seminar, kertas kerja, laporan dan laman web. Data yang
diperoleh dari sumber-sumber yang dinyatakan di atas dikaji semula dan menjadi panduan dalam
mengenalpasti kaedah yang terbaik dalam mengagihkan zakat kepada golongan penagih dadah
sekiranya mereka layak.

b. Metode Analisis Data

Dalam menganalisis data, penyelidik secara umumnya menggunakan metode analisis deskriptif
kualitatif iaitu dengan menilai mutu dan kesahihan data tersebut. Untuk menilai mutu dan kesahihan
data ini adalah dengan menggunakan kaedah induktif. Metod ini adalah satu kaedah untuk
menganalisa data yang terhasil melalui teori-teori dan pemikiran yang ada iaitu membuat kesimpulan
yang bersifat khusus. Kaedah deduktif digunakan juga bagi memenentukan sama ada penagih dadah
layak menerima zakat ataupun tidak.

DAPATAN KAJIAN DAN PERBINCANGAN

Konsep Ar-riqab Dalam Islam

Allah SWT telah meletakkan kedudukan asnaf ar-riqab di dalam senarai penerima zakat pada posisi
kelima iaitu dimulai dengan asnaf fakir, miskin, amil, mualaf dan yang ke lima ar-riqab. Firman Allah
SWT bermaksud;

“Sesungguhnya zakat itu hanyalah untuk orang-orang fakir,orang miskin, amil zakat, yang
dilunakkan hatinya (mualaf), untuk memerdekakan hamba, untuk membebaskan orang yang
berhutang, untuk yang berada di jalan Allah dan untuk orang yang sedang di dalam
perjalanansebagai kewajiban dari Allah. Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”

(al-Quran. al-Tawbah 9: 60)

Ayat 60 surah al-Tawbah di atas menyenaraikan lapan golongan asnaf yang disyariatkan oleh
Allah SWT sebagai penerima zakat yang layak. Walau bagaimanapun, dalam konteks istinbat al-
ahkam (pengeluaran hukum), ayat tersebut berbentuk dilalah zanniyyah, yang membenarkan jalan
ijtihad untuk memahami dan melaksanakannya mengikut kesesuaian masa dan tempat untuk
dipraktikkan dalam kehidupan umat Islam (Rosman, 2013).

4
Definisi Ar-riqab

„Ar-riqab' berasal daripada bahasa Arab dan merupakan perkataan jamak bagi 'raqabah' yang secara
etimologinya bermaksud leher, penghujung bahagian kepala, atau sebelah atas bahagian badan.
Manakala secara terminologi, raqabah bermaksud hamba yang dimiliki (Ibnu Manzur, 1990; Fairuz
Abadi, 1978; al-Razi, 2000; al-Qurrah Daghi, 1992; Zulkifli, 2013). Al-Qurrah Daghi (1992)
menyimpulkan, perkataan 'raqabah' atau 'ar-riqab' bermaksud leher atau tengkuk; samada ia dikaitkan
dengan hamba atau orang yang merdeka. Tidak terdapat takrifan yang khusus berkenaan definisi
asnaf ar-riqab menurut bahasa mahupun istilah dan ianya masih tergantung dan bersifat umum.

Ar-riqab Menurut Ulama Mutaqaddimun dan Muta'akhkhirun

Para ulama mutaqaddimun dan muta'akhkhirun berbeza pendapat dalam menjelaskan maksud 'ar-
riqab'. Jumhur ulama berpendapat 'ar-riqab' yang layak menerima zakat hanyalah hamba mukatab
iaitu hamba yang mahu dimerdekakan dan dia beragama Islam. Para ulama yang berpendapat seperti
ini sepakat mengatakan harus memberikan sebahagian harta zakat kepada pemilik hamba tersebut
untuk dimerdekakan hamba itu dan melangsaikan segala hutangnya. Tidak dibenarkan menggunakan
harta zakat untuk membeli hamba kemudian hamba itu dimerdekakan dan juga tidak dibenarkan bagi
kategori hamba yang lain selain hamba mukatab seperti hamba tadbir, istilad, atau tab'idh. Pendapat
ini ialah pendapat Ali bin Abi Talib, Sacid bin Jubayr, al-Layth, al-Thauriyy, ulama' Hanafiyyah, dan
Shaficiyyah (al-Marghinaniyy, 1990; Ibnu al-Humam, 1995; al-Zaylaci, 2000; al-Babartiyy, 2007; Badr
al-Din al-Ainiyy, 2000; Ibnu cAbidin, 1998; al-Khatib, 2008; al-Nawawiyy, 2000; Zakaria al-Ansariyy,
2001; al-Baijuriyy, 1999; al-Malbariyy, 2009; al-Bujairimiyy, 1996; Muhammad Abduh dan Muhammad
Rashid Reda, 2002; al-Mawsucah al-Fiqhiyyah, 1990).

Sebahagian ulama seperti al-Shawkaniyy (1985) berpendapat, 'ar-riqab' bermaksud hamba


mukatab dan juga hamba yang dibeli kemudian dimerdekakan. Manakala salah satu pendapat Imam
Ahmad, Ibnu Habib daripada mazhab Hanbaliyy, Ibnu „Abdul Hakam daripada mazhab Malikiyy,
Fakhruddin al-Razi, dan Ibnu Taimiyyah pula menyatakan selain membebaskan hamba, diharuskan
menggunakan sebahagian harta zakat untuk menebus tawanan (al-asir) yang beragama Islam
daripada cengkaman orang kafir. Perbuatan ini adalah lebih utama, kerana jika membebaskan hamba
sahaya yang dimiliki oleh orang Islam dianggap sebagai ibadah dan sedekah, maka lebih utama
membebaskan tawanan Muslim daripada tangan orang kafir (al-Qurtubiyy, 1993; al-Qurafiyy, 2008;
Ibnu Qudamah, 1994; Ibnu Muflih, 1997; al-Bahutiyy, 1996; Ibnu Najjar, 1999; al-Mawsucah al-
Fiqhiyyah, 1990).

Kesimpulan perbezaan pendapat ulama tentang definisi ar-riqab menunjukkan perkembangan


ijtihad ulama berkaitan definisi ar-riqab. Sebelum zaman Imam Ahmad (164H-241H), ijtihad para
ulama hanya berkisar sama ada ar-riqab bermaksud hamba mukatab sahaja atau hamba sahaya
sahaja. Manakala salah satu pendapat Imam Ahmad, definisi ar-riqab sudah diluaskan dengan
dimasukkan orang Islam yang ditawan musuh. Namun ia masih lagi dalam suasana hamba, kerana
adat peperangan zaman tersebut menjadikan tawanan perang sebagai hamba (Ibnu Qudamah, 1994).
5
Ar-riqab Menurut Ulama dan Fatwa Semasa

Para ulama semasa berbeza pendapat dalam mendefnisikan ar-riqab sebagai penerima zakat.
Sebahagian ulama semasa dan fatwa semasa mentarjihkan pendapat yang mengatakan bahawa ar-
riqab terdiri daripada tiga golongan iaitu hamba mukatab, hamba sahaya yang dibeli kemudian
dimerdekakan dan tawanan perang. 'Illah atau sebab kelayakan menerima zakat bagi ar-riqab adalah
c
perhambaan. Pendapat ini merupakan pendapat Ibnu cAsyur (2000), Abd al-Latif Hamzah (1983),
Yusuf al-Qaradawiyy (2006), Wahbah al-Zuhayliyy (1991), Abdullah bin Mansur al-Ghufailiyy (2008)
dan beberapa keputusan fatwa seperti fatwa Bayt al-Zakat Kuwait, Fatwa al-Lujnah al-Da'imah li al-
Buhuth al-'Ilmiyah wa al-'Ifta' Arab Saudi, Fatwa Majelis Ulama Indonesia, Fatwa Mufti Kerajaan
Brunei dan Fatwa Tentang Sistem Agihan Zakat Negeri Selangor 1991.

Al-Uthaimin (1413H) dan al-Qurrah Daghiyy (1992), berpendapat, selain golongan hamba dan
orang yang ditawan, orang Islam yang diculik juga layak mendapat zakat dalam kategori asnaf ar-
riqab. Hujah mereka, penculikan adalah termasuk dalam salah satu bentuk tawanan, maka orang
Islam yang diculik juga termasuk dalam maksud ar-riqab. Muhammad Rashid Reda (2002) dan
Mahmud Syaltut (t.th.) berpandangan kos usaha membebaskan umat Islam yang dijajah boleh diambil
daripada asnaf ar-riqab. Hujah mereka, penjajahan merupakan perhambaan yang jauh lebih
merbahaya terhadap nilai keinsanan kerana perhambaan rakyat dan bangsa membabitkan pemikiran,
harta benda, dan pemerintahan.

Daripada analisis pendapat ulama' mutaqaddimun, muta'akhkhirun dan semasa, beberapa


kesimpulan boleh dibuat, iaitu mereka sepakat mengatakan hamba adalah maksud asal ar-riqab
namun berselisih pendapat dalam meluaskan maksud ar-riqab keluar daripada konsep hamba
sahaja.

Majoriti ulama tidak menerima ijtihad meluaskan maksud ar-riqab keluar daripada konsep
hamba. Jika berlaku perluasan maksud ar-riqab tersebut, ia masih dalam lingkungan hamba seperti
orang Islam yang ditawan, yang mengikut adat peperangan pada ketika itu, tawanan tersebut akan
dijadikan hamba. Namun sebahagian ulama semasa seperti Muhammad Rashid Reda dan Mahmud
Shaltut cuba meluaskan lagi konsep ar-riqab dengan berbeza 'illah. Mereka berijtihad bahawa bangsa
yang dijajah adalah lebih besar mudarat berbanding seorang hamba. Selanjutnya beberapa fatwa dan
amalan di Malaysia meluaskan qiyas tersebut dengan 'illah terbelenggu.

Perluasan konsep ar-riqab di luar maksud hamba tidak dipersetujui oleh beberapa orang
ulama semasa seperti Yusuf al-Qaradawiyy (2006), Wahbah al-Zuhayliyy (1991), dan Abdullah bin
Mansur al-Ghufayliyy (2008). al-Ghufayliyy (2008) mengemukakan hujah, iaitu; (1) tiada dalil dan
hujah yang mengharuskan untuk memasukkan kemerdekaan rakyat diambil daripada saham 'ar-riqab',
(2) tiada keperluan untuk menggunakan saham ar-riqab untuk memerdekakan umat Islam yang
dijajah, kerana ia boleh diambil daripada asnaf “fi sabilillah” atau daripada sumber am baitulmal selain
zakat, dan (3) penguasaan orang kafir terhadap umat Islam pernah berlaku pada zaman Nabi

6
Muhammad SAW dan kurun ulama salaf al-soleh, namun tiada dinukilkan mereka memasukkan umat
Islam yang dijajah dalam maksud ar-riqab.

Namun, pendapat yang rajih adalah ar-riqab terdiri daripada tiga golongan iaitu hamba
mukatab, hamba sahaya yang mahu dimerdekakan, dan orang Islam yang dieksploitasi (Arieff Salleh
Bin Rosman et.al, 2013), termasuklah mereka yang dibelenggu dalam aktiviti pelacuran (Zulkifli al-
Bakri, 2012). Pentarjihan terhadap definisi ini didatangkan dengan beberapa hujah, pertamanya, lafaz
'wa fi al-ar-riqab' dalam ayat 60 surah al-Tawbah adalah lafaz umum yang tiada lafaz lain yang
mengkhususkannya atau menghadkannya hanya kepada satu maksud sahaja. Lafaz ar-riqab menurut
bahasa Arab secara hakikat bermaksud tengkuk atau leher. Manakala secara majazi bermaksud
hamba yang dimiliki, kerana tengkuk mereka dibelenggu oleh tuan mereka kerana mereka tiada
kebebasan diri. Menurut kaedah usul fiqh khususnya menurut Imam Shafi'iyy, jika tiada bukti untuk
mengkhususkan sesuatu maksud lafaz, maka lafaz hakiki, majazi dan musytarak dalam satu lafaz
boleh digunakan dalam satu masa (al-Razi, 1999; Qurrah Daghi, 1992).

Hujah yang kedua adalah, terdapat ijtihad ulama mutaqaddimun dan mutaakhkhirun yang
tidak mengkhususkan lafaz ar-riqab hanya kepada hamba mukatab, bahkan ada yang berijtihad orang
Islam yang ditawan (al-asir) juga termasuk dalam maksud ar-riqab. Ini membuktikan lafaz ar-riqab
masih dalam konteksnya yang umum dan tidak dikhususkan atau dihadkan maknanya.

Manakala hujah yang ketiga ialah, pendapat ulama semasa yang mengkhususkan lafaz ar-
riqab hanya kepada hamba dilihat tidak konsisten dalam ijtihad berkaitan golongan yang layak
menerima zakat. Sebagai perbandingan, kenapa sebahagian besar ulama semasa bersetuju
meluaskan maksud lafaz 'fi sabilillah' di luar maksud tentera dan persiapan peperangan.

Aplikasi Konsep Ar-riqab di Malaysia

Sebahagian ulama dan fatwa di Malaysia meluaskan maksud ar-riqab berkesinambungan daripada
ijtihad Muhammad Rashid Reda dan Mahmud Syaltut, iaitu “seseorang beragama Islam yang
terbelenggu di bawah satu kuasa yang menghalag kebebasan dirinya daripada keterbelengguan
tersebut...” (MAIS, 2013: 5). 'Illah ar-riqab dikaitkan dengan pembebasan individu daripada belenggu.
Namun, perluasan definisi dan konsep ar-riqab ini berbeza menurut fatwa yang dikeluarkan oleh
majlis fatwa setiap negeri. Secara ringkasnya, ia boleh dibahagikan kepada tiga konsep utama iaitu
belenggu kejahilan, belenggu dengan masalah sosial dan akidah dan belenggu dalam pelbagai aspek.

i) Belenggu Kejahilan

Usaha bagi mengeluarkan individu dan masyarakat daripada belenggu kejahilan boleh diambil
daripada harta zakat sepertimana Fatwa negeri Perlis menetapkan, "vi. Mesyuarat bersetuju.
perbelanjaan yang dibuat oleh Pejabat Zakat dan Fitrah Negeri Perlis adalah mengikut Syariah
Islamiah seperti berikut:... d. Ar-riqab (hamba). i. Basmi kejahilan. ii. Sekolah agama rakyat." (Mat
Jahya b. Haji Hussin, t.th.).
7
Konsep ar-riqab yang sama digunapakai di Negeri Sembilan dengan membebaskan diri daripada
kejahilan. Antara contoh agihan zakat kepada asnaf ar-riqab di Negeri Sembilan ialah: (1) Bantuan
aktiviti pendidikan, termasuk aktiviti yang dibuat oleh sekolah, madrasah, pihak universiti dan
sebagainya. (2) Program meningkatkan ilmu dalam kalangan masyarakat, termasuk program
pembudayaan Al-Quran. (3) Dermasiswa pelajaran, termasuk dermasiswa pengajian timur tengah. (4)
Bantuan persekolahan sekolah rendah dan menengah, bantuan Sekolah Menengah Agama, Sekolah
Agama Rakyat, kelas agama petang, bantuan perpustakaan sekolah agama. (5) Urusan sekretariat
timur tengah. (6) Elaun penyelia KAFA. (7) Bantuan pengajian sarjana dan PhD.

ii) Belenggu dengan Masalah Sosial dan Aqidah

Ini merujuk kepada Fatwa Negeri Selangor. Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang
bersidang pada 14 Jun 2011, telah memutuskan golongan penerima agihan asnaf ar-riqab adalah
seperti berikut: (A) Masalah Sosial: (1) Terbelenggu dengan dadah (penagih dadah dan penagih
dadah); (2) Terbelenggu dengan masalah jenayah syariah (minum arak, judi, zina, khalwat,
mengandung luar nikah, buang anak, sumbang mahram, persetubuhan, muncikari atau ibu ayam,
menjual atau memberikan anak kepada orang bukan Islam, mempersenda al-Quran dan hadis serta
lain-lain yang berkaitan Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995; (3) Terbelenggu dengan
amalan salah Islam (tidak solat, tidak puasa, usaha membunuh diri dan hidup bersama pelacur); (4)
Terbelenggu dengan gaya hidup songsang (pelacur, lesbian, homoseksual, maknyah atau
transeksual, biseksual, pengkid, tomboy, gigolo dan bersekedudukan dengan orang bukan Islam); (5)
Terbelenggu dengan kes juvana (gengster, jenayah melibatkan harta benda, pergaduhan melibatkan
kecederaan, rompakan, pecah rumah, rogol, jenayah melibatkan senjata merbahaya dan ugutan
melibatkan keganasan); (6) Terbelenggu dengan penyakit kronik (HIV/aids, kanser/barah, tibi,
hepatitis dan penyakit-penyakit kronik lain). (B) Masalah Akidah: (1) Terbelenggu dengan masalah
syirik dan khurafat (doktrin palsu, mengaku menjadi Nabi, menghina Islam, dan pemujaan salah); (2)
Memurnikan akidah orang Islam yang terpesong (orang yang ingin/berhasrat untuk murtad dan orang
yang dalam proses istitabah).

iii) Belenggu Dalam Pelbagai Aspek

Pendapat ini adalah merujuk kepada amalan agihan zakat kepada asnaf ar-riqab di negeri
Terengganu. Pihak Pengurusan Agihan Zakat negeri Terengganu mendefinisikan ar-riqab sebagai
“memerdekakan orang-orang Islam daripada cengkaman-cengkaman dan penaklukan sama ada dari
segi cengkaman kejahilan dan terbelenggu di bawah kawalan orang-orang tertentu”. Berdasarkan
data yang diberikan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu agihan zakat kepada
asnaf ar-riqab di negeri Terengganu ialah: Bantuan Pemurnian Aqidah / Pemulihan Akhlak, Bantuan
Peningkatan Ilmu (Agama), Bantuan Penyelenggaraan Aset, dan Kontigensi / Pelbagai.

8
KEDUDUKAN PENAGIH DADAH SEBAGAI ASNAF

Perluasan konsep dan interpretasi asnaf ar-riqab oleh para ulama telah membuka ruang yang boleh
melayakkan golongan penagih dadah dikategorikan sebagai asnaf ar-riqab. Perbincangan mengenai
kelayakan dan kedudukan penagih dadah sebagai penerima zakat perlu dilihat secara terperinci
berdasarkan pandangan ulama dan ahli akademik yang melihatnya dalam pelbagai sudut yang
berbeza.

Pendapat Pertama: Penagih Dadah Sebagai Asnaf Ar-riqab

Melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor kali ke 3/2011 yang bersidang pada 14 Jun
2011M / 21 Rejab 1432H telah memutuskan bahawa penagih dadah dikategorikan sebagai penerima
agihan zakat melalui asnaf ar-riqab. Agihan ini termasuklah apabila seseorang penagih itu berada
dalam keadaan yang melibatkan masalah sosial, seperti terbelenggu dengan dadah. Penagih dadah
dan bekas penagih dadah adalah menjadi keutamaan dalam penerimaan zakat di Selangor.

Perkara ini juga termaktub dalam Peraturan-Peraturan Pendaftaran, Pemulihan dan


Pengawalan Riqab (Negeri Selangor) 2013, melalui jadual (Peraturan 3) iaitu penagih dadah dan
bekas penagih dadah tergolong dalam golongan yang terbelenggu dengan masalah sosial. Oleh itu,
pengagihan zakat kepada asnaf ar-riqab penting untuk membebaskan diri mereka daripada belenggu
moral serta maksiat.

Penagih dadah perlu diberi perlindungan dan pertolongan dalam apa juga bentuk (JAKIM,
2010). Hal ini perlu diberi perhatian kerana ditakuti agama lain akan mengambil kesempatan dalam
membantu penagih dadah. Sehinggakan, menurut sumber Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK),
keprihatinan institusi Kristian dalam membantu para penagih untuk kembali ke pangkal jalan memang
terserlah kerana paderi-paderi Kristian kerap berkunjung ke Pusat Serenti untuk membimbing para
penganutnya tanpa jadual tertentu. Tambahan lagi, usaha tersebut tetap diteruskan walaupun setelah
penagih dibebaskan (Siti Fatimah Abd Rahman, 2015). Keadaan ini sudah tentu membimbangkan.
Jika ia tidak diberi perhatian, kemurnian agama Islam akan tercalar. Sebagai umat Islam, sudah
menjadi kewajipan kepada setiap muslim membantu sesama muslim dalam apa juga bentuk bantuan.

Pendapat ini menjelaskan bahawa penagih dadah layak menerima zakat sebagai asnaf ar-
riqab kerana mereka merupakan golongan yang terbelenggu pemikiran dan harta sehingga tidak
mampu mengurus diri dan ekonomi dengan baik. Mereka juga berada dalam situasi yang terbelenggu
di bawah satu kuasa yang menghalang kebebasan dirinya seperti hidup selesa dalam bermasyarakat
dan keupayaan mencari sumber pendapatan. Walaupun ada di kalangan mereka yang mudah
berkomunikasi dan mendapatkan sumber pendapatan, namun masih ramai lagi golongan penagih
dadah disisihkan. Hal ini secara tidak langsung menjadikan mereka terbelenggu dengan persekitaran
sekeliling. Justeru, antara salah satu jalan yang akan menjamin kehidupan penagih dadah ini adalah
melalui bantuan zakat.

9
Pendapat Kedua: Penagih Dadah Sebagai Asnaf Fisabilillah

Pendapat kedua disebut di dalam fatwa Sulaiman bin Abdullah al-Majid, anggota Majlis Syura Arab
Saudi yang berpandangan bahawa zakat perlu digunakan untuk berjihad di jalan Allah. Disyariatkan
jihad ini untuk memelihara dharuriyat lima dan antaranya memelihara akal. Justeru, apabila maqasid
(tujuan) ini terdedah kepada bahaya dan kemudaratan, maka jihad adalah diwajibkan. Pemberian
zakat yang bertujuan untuk merawat penagih dadah adalah untuk menjaga akal yang merupakan
tujuan jihad dalam Islam (Sulaiman bin Abdullah Al-Majid, 2010). Ali Jum‟ah, Ahli Majlis Ulama Besar
dan bekas Mufti Mesir di dalam program “Wallahu A’lam” yang disiarkan di saluran CBC juga
menyatakan keharusan merawat penagih dadah melalui dana zakat. Beliau berkata, sebahagian dari
dana zakat perlu digunakan untuk merawat penagih dadah khususnya mereka yang sangat
memerlukan kepada perawatan. Menurut beliau, ketagihan dadah merupakan musibah yang besar
(CBC, 2016).

Selain itu, sepertimana orang kurang upaya (OKU), penagih dadah perlu dibantu dengan
bantuan kewangan dan moral untuk mengelakkan kebajikan mereka terabai dan diambil alih oleh
orang bukan Islam. Menurut Zaharuddin Abdul Rahman, Pensyarah Kanan di Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia (UIAM), jika pihak pengurusan zakat boleh memberikan bantuan ini tentunya
ia adalah termasuk dalam aktiviti untuk menegak, mempertahan dan mendakwahkan Islam serta
kebajikannya (Sinar Harian, 2012).

Berdasarkan pandangan ini, penagih dadah dilihat layak dimasukkan di dalam asnaf
fisabilillah. Bantuan atas sebab miskin atau fakir untuk jangka masa panjang tidak membantu. Pihak
zakat boleh menjadikan program agama sebagai syarat untuk agihan seperti bantuan proses
pemulihan akhlak dan moral untuk mereka menjadi warga yang baik. Sebagai contoh, kelas fardu ain
atau apa jua majlis keagamaan yang bermanfaat.

Pendapat Ketiga: Penagih Dadah Tidak Tergolong Dalam Asnaf

Kebanyakan berpendapat bahawa penagih dadah tidak termasuk dalam golongan asnaf kerana
bukan mudah untuk menyuruh penagih dadah atau bekas penagih berhenti dari penagihan dadah.
Hakikatnya, mereka mengalami pergantungan secara psikik atau psikologikal yang merupakan satu
keadaan di mana penagih mengalami gian atau mengidam untuk menggunakan dadah supaya dapat
berfungsi secara normal serta mencapai ketenangan jiwa. Selain itu, penagih dadah turut menghadapi
satu keadaan di mana badan mereka memerlukan dadah untuk proses fisiologi yang biasa dan jika
penggunaan dadah dihentikan akan menimbulkan gejala-gejala tarikan. Gejala-gejala tarikan ialah
tanda-tanda tertentu dari segi tingkahlaku dan fizikal seseorang penagih dadah yang ditunjukkan
semasa tidak menggunakan dadah dalam masa tertentu contohnya sakit perut, menggeletar dan
sebagainya (Mohamad Johdi Salleh, 2012). Justeru, bagi mengelakkan kemudaratan, penagih dadah
tidak tergolong dalam asnaf memandangkan wujud segelintir di kalangan mereka telah
menyalahgunakan wang bantuan tersebut untuk jual beli dadah, dan lebih buruk lagi untuk tujuan
kemewahan serta maksiat lain seperti berjudi dan sebagainya. Sehubungan dengan itu, masyarakat
10
harus dari masa ke semasa memperkemaskan sistem penyampaian dan pengagihan bantuan ini
untuk meminimakan penyalahgunaan wang bantuan yang akhirnya tidak sampai kepada sasaran
yang benar-benar memerlukan bantuan.

Nasir Farid Wasel, bekas Mufti Mesir telah mengeluarkan fatwa pada tahun 2000 bahawa
zakat tidak dibenarkan kepada seseorang perokok atau penagih dadah. Pemberian zakat kepada
penagih dadah dianggap dosa kerana cenderung untuk menggalakkan mereka mengulangi maksiat
yang merosakkan diri dan harta. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 195: "Jangan kamu
mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan."(Kuwaits News Agency, 2000)

Pendapat ini lebih cenderung tidak membenarkan penagih dadah diberikan zakat,
sebagaimana bantuan lain yang diterima. Namun begitu, aspek bentuk dan jenis bantuan perlu dikaji
semula bagi memastikan segala bentuk bantuan dapat memulihkan mereka daripada gejala dadah.

PENUTUP

Penulis lebih cenderung bahawa golongan penagih dadah dimasukkan di dalam kategori asnaf ar-
riqab berdasarkan illah belenggu dari sudut masalah sosial. Namun, kriteria yang telah ditetapkan
oleh syarak dan institusi zakat perlu dipenuhi. Perkara ini seiring dengan matlamat pensyariatan Islam
iaitu untuk memelihara lima aspek utama iaitu agama, nyawa, akal, harta dan keturunan. Kelima-lima
aspek ini terancam sekiranya seseorang individu itu masih berada dalam kancah ketagihan dadah.
Peruntukan dana zakat ar-riqab bagi membantu memulihkan dan mengeluarkan golongan penagih
dadah daripada terus terjebak dengan masalah penyalahgunaan dadah diharapkan dapat memelihara
mereka daripada belenggu. Inisiatif MAIS dalam menyediakan bantuan zakat asnaf ar-riqab kepada
penagih dadah perlu dicontohi dan diaplikasikan di negeri-negeri yang lain. Semoga perkara ini dapat
memberi harapan baharu kepada penagih dadah supaya hidup seperti manusia biasa.

Cadangan Kriteria Golongan Penerima Asnaf Ar-riqab

Jawatankuasa Fatwa Selangor telah menetapkan kriteria yang diperlukan bagi golongan yang
dibelenggu ini kembali ke pangkal jalan. Hal ini termasuklah keadaan-keadaan yang berlaku kepada
penagih dadah ketika mereka menjalani proses pemulihan. Penetapan kriteria ini dibuat berdasarkan
qias dan merujuk kepada fatwa penggunaan wang ar-riqab di Selangor bagi golongan yang
terbelenggu dengan masalah sosial yang telah diwartakan pada 31 Mac 2011. Kriteria-kriteria bagi
seorang penagih dadah dalam menerima bantuan zakat adalah;

1. Beragama Islam
2. Sangat memerlukan bantuan kewangan.
3. Sifat terbelenggu/ eksploitasi oleh individu/kelompok lain, bukan terjerumus ke dalam kancah
belenggu dan kehendak sendiri.
4. Dengan kehendak sendiri mahu keluar daripada eksploitasi.

11
5. Sifat terbelengu tersebut lebih merbahaya atau lebih mendatangkan keburukan melebihi
konsep terbelenggu perhambaan zaman dahulu.
6. Sifat terbelenggu itu adalah tidak terkeluar daripada 4 faktor utama iaitu pemikiran, fahaman,
akidah, harta, kekuasaan dan kebebasan.
7. Golongan yang akan menerima dari asnaf riqab ini merupakan permasalah nasional yang
parah, besar, bersifat umum dan akan berterusan jika tidak diberi.
8. Tujuan pemberian zakat ini adalah berobjektifkan memulih dan menyelesaikan masalah
nasional.
9. Zakat sebagai sumbangan sampingan kepada bantuan kerajaan yang sedia ada.
10. Tiada sumber kewangan yang cukup dan/atau tidak mendapat bantuan daripada sumber lain
dan
11. Seorang yang telah disahkan ingin membebaskan dirinya daripada belenggu yang dihadapi.

Kriteria-kriteria yang telah ditetapkan oleh MAIS dilihat telah mencukupi kerana ianya meliputi aspek
terbelenggu dengan masalah sosial dan masalah akidah. Namun masih terdapat ruang-ruang
penambahbaikan yang boleh dilakukan. Ia juga wajar dicontohi oleh pusat-pusat zakat negeri lain di
Malaysia terutamanya dalam memberi nafas baru kepada golongan ar-riqab. Manakala dalam konteks
pemberian zakat pula perlu diwujudkan satu garis panduan yang boleh diikuti oleh negeri-negeri
selain daripada Selangor yang masih belum melaksanakan pemberian zakat kepada golongan ini. Ini
kerana zakat yang disalurkan mestilah kepada pusat-pusat pemulihan dan pusat rawatan dan bukan
kepada penagih dadah itu sendiri.

RUJUKAN

AADK. A. A. 2011. Cure & Care Service Centre (CCSC). Majalah AADK . Kajang: Agensi Anti Dadah
Kebangsaan.

Ali Akbar Osman (1997), Mengapa Perlu Membayar Zakat , Al-Hidayah A Publisher, Kuala Lumpur.

Arieff Salleh bin Rosman, Azman Ab Rahman dan Muhamad Firdaus Ab Rahman. (2013). Kedudukan
Ar-riqab Sebagai Penerima Zakat Dalam Konteks Masa Kini. Makalah, telah dibentangkan di
Muzakarah Zakat Peringkat Kebangsaan Siri 1, 11 Disember 2013, Universiti Sains Islam Malaysia,
Nilai, Negeri Sembilan.

Arieff Salleh bin Rosman et.al. (2013). Garis Panduan Pengurusan Zakat Asnaf Ar-riqab dan
Gharimin: Satu Analisis Kontemporari.Geran Penyelidikan Isu Kefatwaan JAKIM. Pusat Penyelidikan
Fiqh Sains & Teknologi (CFiRST) UTM dan Jabatan Mufti Negeri Johor.

Badr al-Din al-'Aini, Mahmud bin Ahmad bin Musa bin Ahmad bin al-Husayn (2000). al-Banayah syarh
al-hidayah. Sunt. Ayman Saleh Sya'ban. Jil. 3. Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyah.

Fairuz Abadi, Majd al-Din Muhammad bin Ya'kub al-Syiraziyy (1978). al-Qamus al-muhit. Beirut: Dar
al-Fikr.

Ibnu Manzur, Abu al-Fadl Jamal al-Din Muhammad bin Mukram al-Misriyy (1990). Lisan al-'Arab.
Beirut: Dar Sadir.

12
Ibnu al-Humam, Kamal al-Din Muhammad bin 'Abd al-Wahid al-Sakandariyy (1995). Syarh fath al-
qadir. Sunt. 'Abd al-Razzaq Ghalib al-Mahdi. Jil. 2. Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyah.

Ibnu 'Abidin, Muhammad Amin bin Umar bin 'Abd al-'Aziz (1998). Rad al-muhtar 'ala al-dur al-mukhtar.
Sunt. Muhammad Subhi Hasan Hallaq dan 'Amir Husayn. Jil. 3. Beirut: Dar Ihya' al-Turath al-'Arabi.

Ibnu Qudamah, Abu Muhammad 'Abd Allah bin Ahmad bin Muhammad al-Maqdisiyy (1994). al-
Mughni 'ala mukhtasar al-Kharqi. Sunt. 'Abd al-Salam Muhammad 'Ali Syahin. Beirut: Dar al-Kutub al-
'Ilmiyah.

Ibnu Muflih, Syams al-Din Abu 'Abd Allah Muhammad al-Maqdisiyy al-Hanbali (1997). al-Furu'. Sunt.
Abu al-Zahra' Hazim al-Qadi. Jil. 2. Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyah.

Ibnu Najjar, Taqiy al-Din Muhammad bin Ahmad al-Futuhiyy al-Hanbaliyy (1999). Muntaha al-'iradat fi
jam' al-muqni' ma'a al-tanqih wa ziyadat. Sunt. 'Abd Allah bin 'Abd al-Hasan al-Turki. Beirut:
Mu'assasah al-Risalah.

Ibnu 'Asyur, Muhammad al-Tohir (2000). Tafsir al-tahrir wa al-tanwir. Jil. 10. Beirut: Mu'assasah al-
Tarikh.

Jami‟, H., Fathi‟ID, M. 1999. Dadah dari Perspektif Islam. Kuala Terengganu: Penerbitan. Yayasan
Islam Terengganu.

Mahmood Zubdi Abd. Majid (2003), Pengurusan Zakat. Dewan Bahasadan Pustaka, Kuala Lumpur.

Kamus Dewan. (2010). Edisi Keempat. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mahmood Nazar, M., Din, S. C. & Ishak, I. 1998. Keberkesanan Rawatan dan Pemulihan Penagihan
Dadah: Modaliti Kerohanian dan Tradisional di Malaysia. Sintok: Universiti Utara Malaysia.

Mohd Rushdan Mohd Jailani, 2010. Terapi Psikospiritual Islam dalam Rawatan dan Pemulihan
Dadah.ACREDA, Universiti Sains Islam Malaysia, USIM.

Mahmud Syaltut (t.t). Al-Fatawa. Kaherah: Dar al-Qalam.

Mohd Dzulkhairi Mohd.Rani (2014), Kesan-Kesan Penagihan Dadah Terhadap Kesihatan. Fakulti
Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia, USIM.

Mahmud Syaltut (t.t). al-Islam „Aqidah wa al-Shariah. Kaherah: Dar al-Qalam.

Mat Jahya b. Haji Hussin, t.th.. Pengagihan Zakat di Perlis. Diakses daripada http://www.e-infad.my
pada 5 Januari 2013.

Yusuf Al-Qardawi ( 1987), Hukum Zakat, Singapura : PenerbitanPustaka Nasional Pte Ltd.

Zakaria al-Ansari, Abu Yahya al-Syafi'i (2001). Asna al-matalib syarh raud al-tolib. Sunt. Muhammad
Muhammad Tamir. Jil. 2. Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyah.

Zulkifli bin Muhammad al-Bakri. (2013). Al-Ar-riqab: Tafsiran aplikasi semasa dari sudut Syarak. Jurnal
Pengurusan JAWHAR. Vol 6, No2, 2012.

Jurnal:

13
Mohamad Johdi Salleh, (2012). Permasalahan Penagihan Dadah: Tinjauan di Pusat Serenti Selangor.
International Seminar on Community Development– SAPKO 2012. Universiti Malaysia Terengganu.

Mahmood, N.M., Shuiab Che Din & Ismail Ishak, (1996). Functional Support And Familial Variables
Relate To Multiple Relapse Cases. 16 Th International IFNGO Conference For The Prevention Of
Drugs And Substance Abuse , Jakarta , Indonesia.

Rokiah Ismail, (2010). Pemerkasaan Pengguna Dadah Dalam Institusi Pemulihan Di Malaysia: Ke
Arah Menjamin Kesejahteraan Individu Dan Masyarakat. Malaysian Journal of Society and Space.

Sabir Abdul Ghani, Fadzli Adam, (2014). Pemulihan Dadah Menurut Persepktif Agama Di Malaysia,
Jurnal Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Vicknasingam Balasingam Kasinather, (2004). Penggunaan Kaedah Q Dalam Mengenalpasti


Persepsi Bekas Penagih Heroin: Kajian Kes Di Kalangan Subjek Yang Sedang Mengikuti Program
Rawatan Naltrekson Di Malaysia. Universiti Sains Malaysia.

Jurnal Antidadah Malaysia (Malaysia Anti-Drugs Journal. Agensi Antidadah Kebangsaan Kementerian
Dalam Negeri. Jilid 7, No.1, Jun 2011.

Zulkifly Bin Muda. (2013). Kedudukan Ar-riqab Sebagai Penerima Zakat: Fatwa dan Amalan di Negeri
Sembilan. Makalah, telah dibentangkan di Muzakarah Zakat Peringkat Kebangsaan siri 1, 11
Disember 2013, Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan.

Zulkifli bin Muhammad al-Bakri. (2013). Al-Ar-riqab: Tafsiran aplikasi semasa dari sudut Syarak. Jurnal
Pengurusan JAWHAR. Vol 6, No2, 2012

Internet:

Agensi Antidadah Kebangsaan, Kementerian Dalam Negeri, (2016). Pusat Pemulihan Dadah
Persendirian (Ppdp). http://www.adk.gov.my/web/guest/ppdp-definisi

Artikel Penuh: Utusan Melayu (M) Bhd


http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&
pg=ot_03.htm#ixzz44Z6R81xx

Pusat Penyelidikan Dalam Penyaahgunaan Dadah Asia. Pengenalan Dadah. Universiti Sains Islam
Malaysia. http://acreda.usim.edu.my/koleksi-acreda/pengenalan-mengenai-dadah

Zaharuddin Abdul Rahman, (2012). OKU: Tunggu keputusan majlis fatwa.


http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/oku-tunggu-keputusan-majlis-fatwa-1.76266

14

You might also like