You are on page 1of 4

HNP3073

ISU KESELAMATAN MALAYSIA

TAJUK ARTIKEL:
ANCAMAN SINDIKET DADAH TERHADAP JUVENIL DI
MALAYSIA

JURNAL:
GEOGRAFIA OnlineTM Malaysian Journal of Society and Space 11
issue 1 (62 - 72)

NAMA : MUHAMMAD ALIFF BIN JAMALI

NO. MATRIK : D20181084422

KUMPULAN :A

PENSYARAH : DR. NADIRAH BINTI MOHD AZMI


1.0 PENGENALAN

Jurnal yang dikaji ialah Geografia OnlineTM Malaysian Journal of Society and Space, 11
issue 1 (62 - 72). Artikel yang dikaji ialah Ancaman Sindiket Dadah terhadap Juvenil di
Malaysia. Artikel ini dikaji oleh Zarina Othman dan Mohamad Daud Druis dari Pusat
Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti
Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor, Malaysia. Artikel ini mengkaji tentang mengapa
golongan juvenil terdedah dan rencam sebagai mangsa dadah sehingga mereka terjebak
sebagai pesalah jenayah juvana dalam usia yang muda.

Artikel ini menggunakan dua kaedah iaitu kualitatif dalam mengumpulkan data
primer dan sekunder. Untuk mengkaji kesan dadah terhadap keselamatan insan, artikel ini
telah mereka bentuk, mengumpul dan menganalisis data, supaya dapat menghasilkan corak
dan fakta yang boleh membantu dalam analisis ini. Data primer diperoleh melalui kaedah
menemubual informan utama dari agensi-agensi penguatkuasa yang diendalikan oleh pihak
kerajaan dan swasta iaitu badan-badan bukan kerajaan (NGO). Artikel ini juga menemubual
pakar-pakar dalam bidang-bidang tertentu seperti pegawai polis, pegawai perubatan dan
pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) serta pegawai Pusat Pemulihan Narkotik.
Selain itu, artikel ini juga menemubual dengan pesalah Juvana di dalam penjara. Temu bual
bersemuka bersama informan dalam artikel ini dapat membantu dalam mengembangkan data
yang lebih berkredibiliti dan berkesan. Sementara itu, dokumen dan laporan tahunan jabatan,
minit mesyuarat, surat khabar, dokumen peribadi seperti diari, surat atau jurnal di
perpustakaan mini jabatan tersebut turut dijadikan rujukan dalam kajian ini. Manakala data
sekunder adalah daripada bahan bercetak dan dokumen termasuk buku-buku dan laporan
kerajaan, agensi bukan kerajaan (NGO) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang
membincangkan kajian terdahulu.

2.0 ULASAN ARTIKEL

2.1 KELEBIHAN ARTIKEL

Kepincangan ancaman sindiket dadah semakin berleluasa apabila saban hari, kita kerap kali
disajikan dalam akhbar dan berita di televisyen yang memaparkan jenayah dadah yang
berlaku di negara kita. Lebih menyedihkan, golongan muda juga turut terlibat dalam jenayah
ini sekaligus menjadikan mereka pesalah Juvana. Oleh itu, perlunya artikel yang bertajuk
‘Ancaman Sindiket Dadah terhadap Juvenil di Malaysia’ adalah untuk membincangkan

1
tentang ancaman sindiket dadah dari peringkat antarabangsa yang menyasarkan golongan
muda di Malaysia sehingga mereka terjebak dalam jenayah juvana.

Abstrak yang ditulis oleh penulis adalah jelas dan mempunyai maklumat yang
mencukupi di mana penulis menyatakan permasalahan kajian, objektif kajian, metodologi
kajian dan hasil kajian. Dalam Pengenalan, penulis memberikan definisi golongan remaja dan
juvana dengan jelas supaya pembaca dapat membezakan kedua-dua entiti ini. Isu yang
diketengahkan oleh penulis untuk menarik perhatian pembaca adalah isu golongan juvenil
seawal usia 10 tahun direkrut oleh sindiket sebagai pengedar dadah kecil-kecilan di sekolah.

Penulis mengartikulasikan teori dengan jelas dalam kajian tersebut. Pendekatan teori
yang digunakan oleh penulis dalam kajian ini adalah Teori Neo-Liberalisme bagi panduan
untuk menjelaskan dan menganalisis isu penglibatan juvenil dalam pengedaran dadah di
Malaysia. Penulis menyatakan bahawa Teori Neo-Liberalisme boleh menjelaskan peranan
yang telah dimainkan oleh pelaku bukan negara termasuk penjenayah mahupun sindiket dan
juga isu-isu keselamatan merentas sempadan dalam konteks globalisasi sebagai aktor utama.
Pengaplikasian teori tersebut dalam kajian ini adalah relevan kerana teori ini berpaksikan
kepada kemakmuran ekonomi kepada seluruh dunia yang mengamalkan pasaran bebas.
Dalam membincangkan peranan yang dimainkan oleh pelaku bukan negara dalam teori ini,
mereka tidak mengendahkan kerencaman ekonomi sesebuah negara yang mereka masuki.
Oleh yang demikian pelaku bukan negara yang juga terdiri dari perniagaan multi-nasional
yang mempunyai hubungan atau jaringan dengan pihak sindiket antarabangsa, kemudian
bekerjasama dalam menjalankan aktiviti yang haram termasuk perniagaan dadah.

Penulis juga memilih sampel yang relevan dengan kajian serta tidak berat sebelah.
Hal ini dikatakan demikian kerana sampel yang dipilih adalah terdiri daripada responden
yang merupakan pesalah Juvana terpilih sahaja dan tidak melibatkan pihak lain seperti
golongan remaja yang tidak terjebak dengan salahlaku juvana. Latar belakang kajian
dihuraikan dengan jelas tentang sejarah ancaman sindiket dadah di rantau Asia Tenggara
terutamanya di kawasan Segitiga Emas. Bukan hanya berkisar tentang sejarah, malah statistik
ancaman sindiket dadah dari tahun ke tahun juga dinyatakan dengan jelas dalam kajian ini.
Penulis menyatakan statistik tangkapan kesalahan narkotik dari tahun 1988 hingga tahun
2012 dalam bentuk graf supaya memudahkan pembaca untuk menganalisis statistik tersebut.

Objektif penulis dilihat tercapai apabila persoalan mengenai mengapa golongan


juvenil terdedah dan rencam sebagai mangsa dadah sehingga mereka terjebak sebagai pesalah

2
jenayah juvana dalam usia yang muda, telah dijawab dengan jelas dan konkrit. Penulis
menyatakan bahawa kes dadah melibatkan golongan remaja adalah disebabkan oleh pengaruh
rakan sebaya, ketiadaan wang dan perlaksanaan polisi yang lemah. Oleh sebab itulah, remaja
terjebak dengan kegiatan sindiket dadah di peringkat sekolah lagi. Untuk mengukuhkan
hujah, penulis telah menemu bual seorang informan yang merupakan pesalah juvana akibat
pengedaran dadah dan mendapati bahawa beliau terjebak dalam sindiket ini kerana ketiadaan
wang dan pengaruh rakan sebaya. Oleh hal yang demikian, saya bersetuju dengan dapatan
daripada penulis.

2.2 KELEMAHAN ARTIKEL

Antara kelemahan yang terdapat dalam artikel ini adalah penulis tidak menyatakan objektif
dengan jelas di mana tiada bab khusus untuk objektif kajian walaupun ianya dinyatakan
dalam bab Pengenalan sahaja. Selain itu, terdapat banyak kesalahan tatabahasa dan ejaan
dalam artikel ini sehingga menganggu pembacaan saya. Antara contoh kesalahan tersebut
adalah perkataan ‘neolibralisme’ yang sepatutnya ditulis ‘neo-liberalisme’ (m/s 65), ‘pihak
penguasa’ yang sepatutnya ditulis ‘pihak berkuasa’ (m/s 66) dan banyak lagi.

Walaupun terdapat cadangan yang dikemukakan oleh penulis dalam usaha untuk
menangani ancaman sindiket dadah, akan tetapi, penulis hanya memfokuskan kepada
golongan remaja dan ibu bapa sahaja. Penulis hanya menyatakan bahawa perlu kerjasama
antara jabatan-jabatan penguatkuasa dalam negara sahaja tanpa menghuraikan tindakan
kerjasama tersebut. Hal ini telah menimbulkan tanda tanya kepada pembaca tentang cadangan
yang perlu dikemukakan kepada pembuat dasar supaya ancaman sindiket dadah dari luar
negara dan dalam negara dapat ditumpaskan secara holistik dan berkesan.

3.0 KESIMPULAN

Kesimpulannya, artikel ini merupakan sebuah artikel yang sangat baik untuk dibaca dan
dikaji untuk pengkaji seterusnya. Saya bersetuju dengan pandangan penulis bahawa masalah
ancaman sindiket dadah boleh ditumpaskan sekiranya golongan remaja disematkan kesedaran
terhadap keburukan dadah di peringkat awal lagi agar kelangsungan hidup masa hadapan
mereka lebih terjamin khususnya dalam bidang pendidikan. Selain itu, cadangan penulis
kepada pihak sekolah pula adalah perlu membina persekitaran yang selamat supaya elemen
penyusupan pelaku bukan negara dalam kehidupan golongan remaja ini dapat dielakkan.

(994 patah perkataan)

You might also like