You are on page 1of 4

 

1.0 PENDAHULUAN
Dasawarsa ini, dalam dunia yang dilingkari dengan kemajuan sains dan teknologi yang semakin pesat telah
membawa banyak perubahan kepada ketamadunan manusia zaman sekarang dan secara tidak langsung telah
memberi kesan sama ada kesan positif mahupun negatif ke atas aspek sosial dalam negara kita. Apabila
menyentuh tentang aspek sosial, ianya sering kali dikaitkan dengan masalah sosial dalam kalangan remaja. Gejala
sosial bukan menjadi suatu perkara yang asing buat masyarakat di Malaysia khususnya golongan remaja di negara
kita. Pada setiap tahun, gejala sosial dalam kalangan remaja sudah semestinya akan meningkat dan perkara
tersebut menjadi semakin runcing dan serius. Buktinya, menurut laporan akhbar Harian Metro (2015), kadar
peningkatan krisis akhlak dan moral golongan remaja di negara ini semakin menggerunkan apabila statistik
menunjukkan jumlah kes jenayah membabitkan pesalah  juvana meningkat sebanyak 111 peratus dalam
tempoh setahun di mana berdasarkan statistik dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak
7,816 kes dicatatkan pada 2013 berbanding hanya 3,700 kes pada 2012 iaitu membabitkan peningkatan sebanyak
4,116 kes. Antara isu sosial yang sering berlaku dalam kalangan remaja ialah seperti penyalahgunaan bahan
terlarang, pergaulan bebas, penyalahgunaan media sosial dan sebagainya.
 
2.0 ISU PENYALAHGUNAAN MEDIA SOSIAL DALAM KALANGAN REMAJA
Penyalahgunaan media sosial merupakan trenda yang kerap berlaku dalam kalangan remaja pada hari ini.
Penyalahgunaan media sosial merupakan satu tindakan di mana seseorang individu mahupun sekelompok
manusia menggunakan bahan teknologi maklumat untuk tujuan negatif yang boleh membawa keburukan seperti
fitnah, kemusnahan dan sebagainya sama ada kepada diri sendiri, masyarakat mahupun maruah negara (Ida
Destiana et.al , 2013). Antara contoh media sosial adalah seperti Facebook, Wechat, Whatsapp
 dan sebagainya. Golongan remaja pada hari ini meluangkan lebih banyak masa dengan aplikasi media sosial
menyebabkan mereka meluahkan segala yang difikirkan oleh mereka ke dalam media sosial seperti menghina
dan memaki hamun kerajaan serta membangkitkan kebencian kaum ataupun
racist.

3.0 FAKTOR YANG MENYUMBANG KEPADA BERLAKUNYA ISU PENYALAHGUNAAN


MEDIA SOSIAL
Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan isu penyalahgunaan media sosial berlaku.  Antaranya ialah
kekurangan pengetahuan tentang hak sebagai seorang pengguna. Menurut Hajiman Mat Jusak
(2002), faktor utama penyumbang jenayah siber dalam masyarakat ialah kurangnya pengetahuan dalam
penggunaan teknologi dengan selamat. Kebanyakan rakyat Malaysia khususnya golongan remaja menggunakan
teknologi atas desakan globalisasi atau tidak mahu dilabelkan ketinggalan zaman. Hal ini secara tidak langsung
menyebabkan golongan remaja menggunakan media sosial untuk melakukan aktiviti yang berunsurkan fitnah
sehingga mendatangkan kesan negatif kepada diri mereka dan masyarakat di negara kita. Sebagai contoh, pada
tahun 2008, negara kita dikejutkan dengan satu kontroversi di mana seorang remaja negara kita yang menuntut di
salah sebuah universiti di Taiwan telah menghina lagu Negaraku dan memuatkan lagu tersebut ke laman Youtube
sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai (Utusan Online, 2008).

Faktor kekurangan pengetahuan tentang hak sebagai seorang pengguna dapat dikaitkan dengan teori sistem
ekologi yang dipelopori oleh Bronfenbrenner. Teori sistem ekologi menyatakan dalam peringkat kronosistem,
persekitaran remaja akan dipengaruhi oleh perubahan zaman. Jika dikaitkan dengan isu penyalahgunaan media
sosial, perubahan zaman tradisional kepada zaman teknologi menyebabkan remaja alpa dan ketagih terhadap
media elektronik sehingga cenderung untuk menyalahgunakan media elektronik untuk tujuan yang negatif.
Akibat daripada ledakan teknologi yang pantas secara tidak langsung menyebabkan remaja menggunakan
teknologi tanpa mempunyai ilmu pengetahuan yang secukupnya mengenai undang-undang penggunaan bahan
teknologi dan hal inilah yang menyebabkan remaja mudah menyalahgunakan teknologi khususnya media sosial
untuk tujuan yang negatif. Selain itu, kekurangan pengawasan daripada ibu bapa di rumah juga merupakan salah
satu faktor yang menyebabkan berlakunya isu penyalahgunaan media sosial. Pada hari ini, kebanyakan ibu bapa
akan keluar bekerja pada siang hari dan cuma akan balik ke rumah pada sebelah malam dan hal ini menyebabkan
masa yang diluangkan bersama anak-anak menjadi kurang dan menyebabkan mereka tidak mengetahui segala
aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak mereka (Cik Suabuana dan Helni Mulyani, 2015). Apabila pengawasan
daripada ibu bapa terhadap anak-anak mereka semakin kurang, maka anak-anak akan cenderung menggunakan
kemudahan media sosial untuk tujuan yang negatif seperti melayari laman sesawang lucah, menyebarkan berita
palsu dan sebagainya kerana ketiadaan bimbingan daripada ibu bapa di sisi mereka. Jika ingin dikaitkan dengan
teori perkembangan remaja, faktor kekurangan pengawasan daripada ibu bapa juga dapat dikaitkan dengan teori
sistem ekologi yang dipelopori oleh Urie Bronfenbrenner. Faktor kekurangan pengawasan daripada ibu bapa
dapat dikaitkan khususnya pada peringkat pertama teori sistem ekologi iaitu peringkat mikrosistem.
Bronfenbrenner dalam teorinya menyatakan bahawa dalam mikrosistem, ibu bapa merupakan agen sosialisasi
bagi anak-anak mereka di rumah. Hal ini bermakna, ibu bapa mempunyai pengaruh yang sangat besar terhadap
pembentukan tingkah laku anak-anak mereka. Oleh itu, ibu bapa perlulah meluangkan lebih banyak masa kepada
anak-anak mereka supaya mereka boleh mengetahui tentang perkara yang dilakukan oleh anak-anak mereka di
luar rumah dan anak-anak juga akan kurang melibatkan diri dalam masalah-masalah sosial sekiranya mereka
mendapat kasih sayang dan perhatian yang secukupnya daripada ibu bapa mereka. Di samping itu, sikap ingin
mencuba dalam diri seseorang remaja juga mendorong para remaja untuk melibatkan diri dalam isu
penyalahgunaan media sosial. Hal ini demikian kerana, pada peringkat umur remaja, para remaja sememangnya
dipengaruhi oleh sikap ingin mencuba dalam diri mereka sehingga mereka sanggup membuat apa-apa sahaja
perkara demi kepuasan diri mereka sendiri tanpa mengira baik atau buruk perkara yang mereka lakukan tersebut.
Buktinya, menurut Nor Shafrin Ahmad & Rohany Nasir (2013), teori psikologi individu yang dipelopor oleh Erik
Erikson menegaskan bahawa dalam peringkat identiti lawan kekeliruan identiti, golongan remaja cenderung
mencuba sesuatu perkara baharu dengan adanya pengaruh persekitaran sehingga kadang-kadang mereka sendiri
tidak mengetahui bahawa tindakan mereka itu boleh mendatangkan kesan negatif kepada diri mereka sendiri
ataupun individu-individu di sekitar mereka. Faktor sikap ingin mencuba dalam dalam diri murid dapat dikaitkan
dengan teori moral remaja yang dipelopori oleh Lawrence Kohlberg. Kohlberg dalam teorinya menjelaskan
bahawa perkembangan moral setiap manusia akan berkembang seiring dengan usia mereka yang menyebabkan
mereka boleh menilai perkara yang mereka lakukan dengan mengaitkan dengan prinsip-prinsip moraliti. Menurut
Mattias Malanthon (n.d), terdapat tiga peringkat perkembangan dalam teori moral iaitu peringkat pra-
konvensional, konvensional dan pos-konvensional. Setiap peringkat perkembangan mempunyai dua tahap
perkembangan moral yang menjelaskan perkembangan moral remaja. Jika dianalisis dengan teliti, perkembangan
moral bagi remaja yang terlibat dengan isu penyalahgunaan media sosial ialah pada peringkat pra-konvensional
iaitu pada tahap orientasi dendaan dan kepatuhan. Hal ini demikian kerana, tahap orientasi dendaan dan kepatuhan
menjelaskan bahawa perkembangan moral seseorang manusia adalah dipengaruhi oleh sifat egosentrik dalam diri
dan mereka menentukan keselarasan moral untuk diri mereka sendiri. Hal ini bermakna, remaja akan
menganggap bahawa semua perkara yang dilakukan oleh mereka adalah betul. Oleh itu, remaja yang
menyalahgunakan media sosial seperti melayari laman web lucah menganggap bahawa tindakan mereka tersebut
adalah tidak salah dan tidak seteruk daripada perbuatan membunuh, merompak dan sebagainya dan tiada pihak
yang akan menyalahkan perbuatan mereka. Namun hakikatnya, tindakan mereka yang menyalahgunakan media
sosial juga dianggap sebagai satu kesalahan di sisi undang-undang. Tahap pemikiran remaja pada peringkat
tersebut menyebabkan isu penyalahgunaan media sosial tidak dapat menemui sebarang jalan penyelesaian.

4.0 KESAN PENYALAHGUNAAN MEDIA SOSIAL


Isu penyalahgunaan media sosial telah mendatangkan banyak impak negatif sama ada terhadap pelaku itu sendiri
mahupun masyarakat negara kita. Antaranya ialah akan menyebabkan remaja negara kita terlibat dengan gejala
yang tidak bermoral. Menurut Nor Azah dan Che Azlina dalam Mazulizam Ismail (2015), mendapati bahawa
terdapat segelintir pengguna media sosial ini telah menyalahgunakan kemudahan komunikasi ini untuk
mengakses laman yang tidak bermoral seperti laman pornografi yang akhirnya boleh mendorong mereka
melakukan hubungan seksual dengan kekasih, rakan dan juga antara penyebab berlakunya peningkatan kes
sumbang mahram dan kes pembuangan bayi yang semakin berleluasa di negara Malaysia. Buktinya, menurut
laporan Utusan Online  (2016), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menerima
sebanyak 2,613 aduan berkaitan penyalahgunaan kandungan media sosial melibatkan kandungan lucah dan
sumbang, palsu, mengancam atau jelik yang tertakluk kepada Seksyen 211 dan 233, Akta Komunikasi dan
Multimedia 1998. Hal ini secara tidak langsung menyebabkan lebih ramai remaja di negara kita akan tercicir
daripada pelajaran dan tidak mampu menyumbang kepada pembangunan negara.
 
Di samping itu, penurunan produktiviti dalam kalangan remaja juga merupakan kesan daripada penyalahgunaan
media sosial. Ketagihan yang melampau kepada penggunaan media sosial dalam kalangan remaja boleh
mengundang kepada personaliti murung dan kesan yang lebih teruk lagi kerana sesetengahnya pula mengalami
masalah tekanan jiwa yang teruk serta menjejaskan penglibatan aktiviti harian mereka kerana banyak
menghabiskan masa hanya kerana bersosial melalui laman sosial. Buktinya, mendapati bahawa 65% pelajar
sekolah berada pada tahap ketagihan yang sederhana dengan melayari laman sosial terutamanya Facebook secara
purata 1 hingga 3 jam sehari dan hal tersebut menjurus kepada sikap suka membuang masa dan kurang memberi
tumpuan terhadap pengajaran guru di dalam bilik darjah (Norhazlina et.al. dalam Mazulizam Ismail, 2015).

5.0 KESIMPULAN
 Kesimpulannya, isu penyalahgunaan media sosial sememangnya banyak memberi impak negatif kepada
individu itu sendiri dan masyarakat. Para remaja seharusnya bijak menggunakan kemudahan teknologi yang
disediakan kepada mereka pada hari ini untuk tujuan kebaikan dan bukannya menyalahgunakan kemudahan
tersebut. Oleh itu, guru-guru di sekolah perlu memainkan peranan yang utama untuk mendidik murid-murid sejak
kecil lagi tentang ilmu penggunaan kemudahan teknologi dengan betul serta kesan sekiranya menyalahgunakan
kemudahan media sosial agar mereka tidak akan melakukan kesalahan apabila mereka meningkat remaja.

You might also like