You are on page 1of 9

HUKUMAN TERHADAP PESALAH KANAK-KANAK DI MALAYSIA: PENCEGAHAN ATAU PEMULIHAN?

NURASILAH BINTI SUHARDI asilah.suhardi@gmail.com

Fakulti Undang-undang, UiTM Shah Alam

ABSTRAK

Di Malaysia, sistem keadilan juvenil telah dilaksanakan sejak 50 tahun yang lalu. Oleh itu, sejak

lima dekad ini juga, terdapat konflik dalam menentukan jenis hukuman yang paling tepat untuk

menangani isu pesalah kanak-kanak di Malaysia. Umumnya, terdapat empat bentuk hukuman

yang boleh dijatuhkan kepada pesalah iaitu hukuman berbentuk pencegahan, bentuk pemulihan,

rehabilitasi dan ketidakupayaan. Namun begitu di Malaysia, mahkamah lebih cenderung

terhadap penggunaan hukuman yang berteraskan teori pencegahan dan pemulihan. Kedua-dua

teori ini mempunyai motif pelaksanaan dan konsep yang berbeza di antara satu sama lain. Hasil

kajian menunjukkan bahawa terdapat dua pandangan berbeza daripada warga ilmuan yang

terdiri daripada pihak mahkamah, penggubal undang-undang dan masyarakat awam dalam

menentukan sama ada teori pencegahan atau teori pemulihan sebagai bentuk hukuman yang

terbaik untuk dipraktikkan oleh mahkamah. Oleh itu, kertas kerja ini akan menjelaskan

keberkesanan aplikasi kedua-dua teori hukuman ini di Malaysia serta menjustifikasikan teori

pemulihan sebagai bentuk hukuman yang terbaik bagi pesalah kanak-kanak di negara ini.

Kata Kunci: Konflik, Pencegahan, Pemulihan, Strategi terbaik

PENGENALAN

Setiap jenis hukuman yang dijatuhkan kepada pesalah di sesebuah negara bertujuan untuk

mewujudkan masyarakat yang bersahsiah tinggi, patuh kepada undang-undang dan

mengurangkan kadar jenayah dalam negara. Terdapat beberapa jenis hukuman yang dijalankan

oleh mahkamah di Malaysia iaitu hukuman yang berasaskan teori pencegehan, teori pemulihan,

teori rehabilitasi dan teori ketidakupayaan. Namun begitu, dalam konteks pesalah kanak-kanak di

Malaysia, mahkamah lebih cenderung untuk mengapliasikan teori pencegahan dan pemulihan.

Menurut Seksyen 2 Akta Umur Dewasa 1971, mereka yang belum berumur 18 tahun didefinisikan
sebagai seorang kanak-kanak. Oleh itu, Akta Kanak-kanak 2001 terpakai kepada

semua kanak-kanak yang berumur di bawah 18 tahun. Berdasarkan statistik yang direkodkan

oleh Jabatan Pembangunan Wanita dan Masyarakat, kes jenayah yang melibatkan kanak-kanak

di Malaysia telah mencatatkan peningkatan sepanjang tahun sejak tahun 2011. Menurut Datuk

Rohani Abdul Karim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, lelaki Melayu
mencatatkan penyumbang terbanyak dalam kes jenayah di negara ini diikuti dengan bangsa India

dan Cina. Oleh itu, dalam usaha mengurangkan statistik pesalah kanak-kanak di Malaysia, usaha

yang giat perlu dilakukan bagi mengenalpasti bentuk hukuman yang terbaik untuk dijatuhkan

kepada pesalah. Kertas kerja ini akan membincangkan kedua-kedua teori hukuman iaitu teori

pencegahan dan teori pemulihan serta menunjukkan teori pemulihan sebagai bentuk hukuman

yang terbaik untuk dikenakan kepada pesalah kanak-kanak.

METODOLOGI KAJIAN

Metodologi yang digunakan dalam kajian ini ialah kajian imperikal yang dikupas dalam

kerangka kualitatif. Analisis yang mendalam dilakukan terhdaap fakta kes yang lalu serta

justifikasi hakim dalam menjatuhkan hukuman kepada pesalah. Analisis terhadap kajian-kajian

lalu yang merungkai sejarah bentuk hukuman sejak dahulu lagi serta justifikasi kecendurungan

mereka terhadap satu-satu bentuk hukuman juga dilakukan. Selain itu, penyelidik turut menemu

ramah dan mengikuti kehidupan pesalah kanak-kanak yang telah menamatkan hukuman bagi

melihat impak hukuman terhadap bekas pesalah tersebut.

TEORI HUKUMAN PENCEGAHAN

Teori pencegahan ialah teori yang berasaskan idea bahawa jenayah boleh dihalang

menerusi rasa takut masyarakat terhadap hukuman yang akan mereka hadapi sekiranya mereka

melanggar undang-undang. Berdasarkan sejarah, teori ini dipopularkan oleh golongan ulititarian

yang dipopularkan oleh ahli falsafah, Jeremy Bentham. Teori utilitarianism merupakan idea atau

fahaman etika normatif yang menilai sesuatu tindakan berasaskan tujuan untuk memaksimumkan

tahap kegunaan. Contohnya, apabila sesorang pelaku jenayah dihukum bunuh, ia akan

mewujudkan rasa takut kepada masyarakat untuk melakukan kesalahan yang sama seperti

menyeludup dadah. Secara teorinya, hukuman keras ini telah berjaya mengelakkan seribu orang

lain daripada berani untuk melibatkan diri dalam jenayah tersebut. Maka, di sinilah konsep
utilitarianism diaplikasikan. Matlamat utama hukuman yang berbentuk pencegahan adalah untuk

memberikan pengajaran dan tauladan kepada masyarakat supaya tidak melalukan kesalahan yang

sama dan bukan untuk memulihkan pesalah. Hukuman ini juga mewujudkan sentimen atau rasa

benci terhadap pelaku jenayah. Keberkesanan aplikasi hukuman pencegahan bergantung kepada

dua aspek iaitu kepastian(certainty) dan kekerasan(severity). Kepastian bermaksud seseorang

pesalah pasti akan dijatuhi hukuman yang telah termaktub sekiranya melanggar undang-undang,

tidak dapat dielakkan dan tidak akan dikurangkan hukuman tersebut. Kekerasan pula bermaksud
hukuman yang telah ditentukan adalah cukup keras bagi menakutkan seseorang pesalah (Stanley,

1976). Terdapat suatu kajian yang menunjukkan bahawa semakin tinggi darjah kekerasan suatu

hukuman, semakin rendah kepastian pelaksanaanya. Oleh itu, ini menunjukkan bahawa elemen

kepastian pelaksanaan sesuatu hukuman adalah amat penting agar matlamat pencegahan dapat

dicapai.

Teori pencegahan boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu pencegahan am dan

pencegahan khusus (Crews, 2004). Pencegahan am ialah hukuman atau ancaman hukuman yang

dicipta untuk memberi tauladan kepada ahli masyarakat secara keseluruhanya. Sebagai contoh,

apabila hukuman pancung atau potong tangan dipertotonkan di khalayak awam, masyarakat akan

berasa takut untuk melakukan kesalahan yang serupa. Aplikasi konsep ini dapat dilihat di negara

seperti Arab Saudi yang mana Berjaya menurunkan statistik kadar jenayah seperti kecurian di

negara itu. Di Malaysia, di antara contoh hukuman berbentuk pencegahan ialah hukuman

penjara. Menerusi hukuman ini, pesalah disekat kebebasan untuk bergerak dan beraktiviti

bersama keluarga. Agama Islam juga menekankan hukuman pencegahan merusi konsep maqasid

syariah. Contohnya, hukuman hudud bagi pelaku yang mencuri, minum arak dan berzina. Pelaku

zina yang telah berkahwin boleh dijatuhkan hukuman rejam sampai mati dan pelaku zina yang

belum berkahwin boleh dijatuhkan hukuman sebatan sebanyak 100 kali. Hukuman dilakukan di

hadapan orang awam. Ini membuktikan bahawa konsep pencegahan yang bertujuan untuk

memberi peringatan kepada masyarakat supaya tidak melanggar undang-undang adalah diterima

di sisi Islam.

Manakala hukuman pencegahan bersifat khusus pula memberi fokus terhadap member

pengajaran terhadap pesalah itu sendiri dan tidak akan mengulanginya pada masa kan datang.

Menurut Fletcher (1998), selepas pesalah menamatkan tempoh penghukuman, mereka akan
menganggap hukuman tersebut sebagai sesuatu yang menyakitkan sehingga tidak ingin

mengulangi apa-apa kesalahan yang menyalahi undang-undang kerana bimbang akan hukuman

yang akan dihadapi. Cochrane (2004) dalam naskhahnya yang bertajuk “A Sociology

Introduction” menulis bahawa hukuman akan menunjukkan kepada pesalah bahawa

tindakaannya adalah sesuatu yang tidak dikehendaki kerana ia mendekatkan diri mereka terhadap

lebih banyak kesakitan berbanding kenikmatan, dan ketakutan terhadap hukuman yang bakal

dihadapi.
TEORI HUKUMAN PEMULIHAN

Jika teori pencegahan disokong oleh golongan utilitarian, teori pemulihan pula dipelopori

oleh golongan humanitarian. Humanitarian berpendapat bahawa seseorang itu terjebak dalam

kancah sosial dan jenayah disebabkan oleh dorongan-dorongan luar. Contohnya, pengaruh rakan

sebaya, persekitaran tempat tinggal yang tidak sihat atau masyarakat yang terdiri daripada

golongan yang bermasalah. Mengikut teori hukuman pemulihan, pesalah dianggap sebagai

seorang pesakit dan perlulah dirawat. Menghukum pesalah melalui kekerasan tidak akan

membentuk mereka menjadi manusia yang baik tetapi hanya menambahkan rasa kebencian dan

memusnahkan nilai moral dan kemanusiaan yang masih tersisa dalam diri mereka. Teori

pemulihan mendapat sokongan daripada penggubal perundangan seluruh negara pada era 1950

an. Golongan positivis pada zaman itu berhujah bahawa tingkahlaku jenayah bukanlah satu

perbuatan yang bebas dipilih (free will) tetapi merupakan simptom masalah dan penyakit mental

yang perlu dirawat.

Di Malaysia, hukuman bentuk pemulihan yang boleh dijatuhkan kepada pesalah kanak

kanak ialah dihantar ke pusat pemulihan akhlak. Menerusi hukuman ini, kanak-kanak ini akan

mendapat pantauan yang rapid dan diterapkan dengan nilai-nilai murni dan disiplin bagi

membentuk sahsiah yang mulia dalam diri mereka.

Selain undang-undang sivil, prinsip hukuman pemulihan juga boleh dilihat menerusi

aplikasinya dalam undang-undang syariah. Contohnya, dalam kebanyakan kes di Malaysia,

hakim syarie memilih pendekatan yang lembut dengan memerintahkan pesalah kanak-kanak

dilepaskan dengan bon berkelakuan baik dalam tempoh tidak melebihi dua tahun dengan syarat

jaminan seperti ibu bapa sebagai penjamin dan tidak melakukan kesalahan yang sama dalam
tempoh jaminan. Sesetengah mahkamah juga memerintahkan bayaran denda dalam amaun

tertentu bagi memastikan tempoh jaminan dipatuhi. Menurut Yang Arif Tuan Kamalruazmi bin

Ismail, ia juga dapat dilihat menerusi pendekatan di negeri Terengganu di mana pesalah dihantar

ke Pusat Pemulihan Akhlak Baitul Ihsan di Selangor terutamanya bagi pesalah muda wanita

berdasarkan peruntukan Seksyen 68 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu)

2001 yang membenarkan ditahan tidak melebihi 6 bulan. Ini menunjukkan bahawa teori

pemulihan adalah cara yang terbaik bagi menghukum pesalah kanak-kanak. Hal ini kerana

kanak-kanak masih berada dalam fasa pembelajaran dan belum sebati dengan jenayah atau

kesilapan yang dilakukan. Oleh itu menerusi hukuman berbentuk pencegahan akan dapat
mendidik dan membentuk semula akhlak bekas pesalah kanak-kanak.

APLIKASI TEORI PENCEGAHAN DI MALAYSIA

Secara lazimnya di Malaysia, mahkamah cenderung untuk menjatuhkan hukuman

berbentuk pencegahan terhadap pesalah kanak-kanak di negara ini. Faktor utama mahkamah

memilih teori pencegahan adalah untuk mewujudkan rasa takut dalam diri pesalah supaya tidak

mengulangi kesahalahan jenayah yang sama serta memberikan pengajaran kepada masyarakat.

Hukuman yang diberikan adalah tegas dan mampu memberikan penderitaan fizikal dan mental

kepada pelakunya.

Lazimnya, pesalah kanak-kanak yang dijatuhi hukuman berbentuk pencegahan adalah

kanak-kanak yang menghampiri usia dewasa seperti kanak-kanak yang berusia 16 dan 17 tahun

kerana kanak-kanak pada usia tersebut dianggap sudah mempunyai kapisiti mental yang

mencukupi untuk mengawal perbuatan mereka sendiri dan melakukan jenayah dengan niat yang

jelas. Sebagai contoh, dalam kes PP v Ahmad Khairul Fa’ais Mat Dahlan & Ors [2006] 6 CLJ

555, Hakim VT Singham berpendapat bahawa “dua orang tertuduh ini tanpa mengira umur

mereka, adalah penjenayah muda yang berbahaya dengan kecenderungan agresif. Jika mereka

tidak dipulihkan secara sempurna, mereka akan menjadi ancaman serius kepada masyarakat.”

Oleh itu, hakim telah menjatuhkan hukuman penjara kepada tertuduh. Seterusnya, dalam kes PP

v Sangkar Ratnam [2007] 1 NLS 233, tertuduh yang berusia 17 tahun telah dibicarakan di bawah

Seksyen 304(a) Akta 574 iaitu menyebabkan kematian kerana kecuaian. Pihak pendakwaraya

telah mengemukakan hujah bahawa mengikut seksyen 91(1)(h), Akta 611, kanak-kanak yang

berusia 14 tahun boleh dipenjarakan. Hakim Nallini Pathmanathan berkata bahawa hukuman
mestilah bersifat mecegah dan perlu mempunya kesan untuk menakutkan pelakunya, tanpa

mengambil kira umur, daripada terus melakukan jenayah itu berulang kali. Dalam pada itu,

hukuman juga perlu bersifat memulihkan untuk memupuk rasa benci pesalah terhadap jenayah

tersebut.

Faktor kedua yang dititik beratkan oleh mahkamah untuk mempraktikkan teori

pencegahan ialah faktor kepentingan awam. Mahkamah ingin melindungi masyarakat awam

daripada ancaman pesalah kanak-kanak. Penahanan pesalah adalah penting supaya masyarakat

tidak terdedah dengan risiko bahaya akibat perbuatan pesalah tersebut. Dalam kes PP v

Sharithan Pachemuthu, mahkamah telah menegakkan konsep kepentingan awam dengan

menjatuhkan hukuman penjara kepada pesalah yang telah melakukan tiga kali rompakan. Ketika
dibicarakan, pesalah tersebut sedang menjalani hukuman pemulihan di Sekolah Henrey Gurney.

Ini menunjukkan bahawa teori hukuman berbentuk pemulihan adalah tidak sesuai bagi pesalah

tersebut dah mahkamah mengambil keputusan yang tepat dengan beralih kepada hukuman

berbentuk pencegahan. Dalam kes ini, pihak peguam bela telah merayu kepada mahkamah agar

pesalah dijatuhkan hukuman untuk meneruskan hukumannya di Sekolah Henrey Gurney, dan

telah mengemukakan dua kes iaitu PP V Saiful Afkin Mohd Firus [1996] 3 CLJ 629 dan PP v

Nazarudin bin Ahmad [1993] 2 MLJ 9 sebagai autoriti kepada mahkamah agar tidak

menghukum pesalah dengan hukuman pencegahan, namun telah ditolak kerana mahkamah

berpendapat bahawa dua kes tersebut adalah di luar konteks semasa.

Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa mahkamah mengambil kira kedua-dua faktor iaitu

pesalah dan juga kepentingan awam. Kedua-duanya adalah amat penting dan tidak seharusnya

menjadi konflik antara satu sama lain dalam menentukan jenis hukuman yang tepat.

KELEMAHAN APLIKASI TEORI PENCEGAHAN

Teori pencegahan adalah lebih sesuai dikenakan kepada golongan dewasa yang sememangnya

sudah sebati dengan perbuatan jenayah yang mereka lakukan. Golongan kanak-kanak pula pada

kebiasaannya melakukan jenayah akibat daripada pengaruh rakan dan persekitaran yang salah.

Mereka tidak mampu berfikiran panjang untuk menjangkakan kesan daripada perbuatan jenayah

yang telah dilakukan. Kebanyakan pesalah kanak-kanak akan berasa menyesal akan perbuatan

yang telah mereka lakukan secara sengaja atau tidak sengaja itu dan sekiranya diberikan peluang,
mereka berjanji tidak akan melakukan kesalahan tersebut. Hukuman berbentuk pencegahan

seperti penajara adalah sangat keras jika dijatuhkan kepada pesalah kanak-kanak. Sekiranya

dihukum penjara, mereka terpaksa menghabiskan masa di dalam satu sel yang sempit dan

bergaul dengan rakan-rakan yang terdiri daripada golongan yang bermasalah. Hukuman ini

mungkin akan menyelamatkan orang awam kerana tidak perlu berhadapan dengan risiko

penjenyah kanak-kanak ini namun dimanakah keadilan untuk kanak-kanak tersebut? Adakah satu

kesalahan yang mereka lakukan perlu dihukum dengan berat sehingga mereka tidak diberi ruang

untuk memperbaiki diri sendiri? Dikurung di dalam penjara hanya akan membentuk mereka

menjadi lebih keras dan marah serta tidak akan memberi kesedaran dalam diri mereka. Mereka

mungkin akan menyesal akan perbuatan jenayah yang dilakukan tetapi hati, perwatakan dan

fizikal mereka akan bertambah keras dan kasar.

APLIKASI TEORI PEMULIHAN DI MALAYSIA


Aplikasi konsep pemulihan boleh dilihat dalam kes di mana mahkamah memutuskan

untuk memasukkan pesalah juvenil ke sekolah atau institusi pemulihan akhlak seperti Sekolah

Henry Gurney dan sekolah-sekolah yang dikategorikan sebagai Sekolah Tunas Bakti.

Seterusnya, hukuman “cubaan akhlak” pula akan diberikan kepada pesalah yang telah

menamatkan hukuman atau tempoh tahanan mereka di penjara atau pusat-pusat pemulihan

akhlak. Melalui hukuman ini, bekas pesalah akan diletakkan di bawah penyeliaan seorang

pegawai yang bertanggungjawab memantau dan mengawasi kelakuan mereka selama 1 hingga 3

tahun bergantung kepada budi bicara mahkamah. Hakim Tan Chiaw Thong dalam kes Teo Slew

Peng & 4 yang lain v Pendakwa Raya, menerangkan bahawa sekiranya kesalahan jenayah

melibatkan pesalah muda atau kanak-kanak, prinsip dan faktor pemulihan perlulah

dititikberatkan.

Konsep hukuman pemulihan juga dapat dilihat menerusi pendekatan mahkamah syariah

dalam kes Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan v Siti Nurazniza binti Kamaruddin. OKT yang

berusia kurang daripada 15 tahun telah mengaku bersalah melakukan persetubuhan luar nikah

dan dijatuhkan hukuman denda RM2700, bon berkelakuan baik selama 6 bulan dengan jaminan

keluarga dan diwajibkan menghadirkan diri ke Mahkamah di hadapan Pegawai Sulh untuk

pemantaun perkembangan, perubahan sikap dan sesi kaunseling setiap 3 bulan sekali. Taazir.
JUSTIFIKASI TEORI PEMULIHAN SEBAGAI HUKUMAN TERBAIK UNTUK

PESALAH KANAK-KANAK DI MALAYSIA

Teori pemulihan merupakan bentuk hukuman yang terbaik untuk dijatuhkan terhadap

pesalah kanak-kanak di Malaysia kerana kanak-kanak pada dasarnya masih mudah untuk

dibentuk dan sewajarnya diberikan peluang kedua untuk memperbetulkan diri mereka. Kanak

kanak secara umumnya belum mempunyai kapasiti mental yang matang untuk bertindak

melakukan jenayah sekiranya tidak dipengaruhi oleh manusia dan persekitaran yang negatif.

Oleh itu, masih terdapat banyak ruang untuk memperbaiki tingkah laku dan menerapkan sahsiah

dan nilai moral yang tinggi dalam diri mereka.

Program kaunseling dan kewujudan institusi pemulihan akhlak terbukti telah

mewujudkan bekas banduan yang berjaya berubah serta menjadi insan yang berguna kepada

masyarakat dan negara. Menerusi hukuman berbentuk kaunseling dan diwajibkan menghadirkan

diri ke mahkamah secara berkala, perkembangan dan perubahan pesalah ini dapat diikuti dan

diawasi oleh pihak berwajib. Kanak-kanak berhak untuk diberikan satu peluang dan memulakan

hidup baru. Tambahan pula, sebaik sahaja mereka melangkah keluar daripada pusat tahanan,

mereka telah pun mencapai usia dewasa dan akan tertakluk kepada undang-undang dewasa.

Sekiranya mereka melakukan jenayah lagi selepas tempoh tersebut, hukuman pencegahan wajar

dikenakan. Selain itu, teori pemulihan juga dapat dilihat menerusi hukuman perintah khidmat

masyarakat. Menerusi hukuman ini, mahkamah boleh memerintahkan pesalah untuk melakukan

kerja khidmat masyarakat tanpa diberikan bayaran. Hukuman berbentuk pencegahan akan

menyebabkan kanak-kanak memberontak dan rasa tidak dihargai. Kita mahu melahirkan kanak

kanak yang positif serta bebas daripada kesalahan jenyah kerana mereka merupakan asset negara

yang bakal menerajui negara.

Manakala, teori pencegahan hanya sesuai dijatuhkan kepada golongan dewasa yang

sememangnya sudah sebati dengan perbuatan jenayah yang mereka lakukan. Pesalah kanak

kanak pula pada kebiasaannya melakukan jenayah akibat daripada pengaruh rakan dan

persekitaran. Mereka tidak mampu berfikiran panjang untuk menjangkakan kesan daripada

perbuatan jenayah yang telah dilakukan. Kebanyakan pesalah kanak-kanak akan berasa menyesal

akan perbuatan yang telah mereka lakukan secara sengaja atau tidak sengaja itu dan sekiranya

diberikan peluang, mereka berjanji tidak akan melakukan kesalahan tersebut. Hukuman
berbentuk pencegahan seperti penjara adalah sangat keras jika dijatuhkan kepada pesalah kanak

kanak. Sekiranya dihukum penjara, mereka terpaksa menghabiskan masa di dalam satu sel yang

sempit dan bergaul dengan rakan-rakan yang terdiri daripada golongan yang bermasalah.

Hukuman ini mungkin akan menyelamatkan orang awam kerana tidak perlu berhadapan dengan

risiko penjenyah kanak-kanak ini namun tidak efektif untuk memulihkan pesalah. Hukuman

penjara kepada pesalah kanak-kanak berisiko membentuk jiwa yang memberontak dan

personaliti yang kasar dalam kalangan pesalah kanak-kanak.

PENUTUP

Kesimpulannya, bentuk hukuman pemulihan merupakan hukuman yang terbaik bagi menangani

pesalah kanak-kanak di Malaysia. Berdasarkan fakta-fakta kes yang dirujuk dan kajian yang

dijalankan, ia menunjukkan keberkesanan teori pemulihan bagi membentuk pesalah kanak-kanak

menjadi warganegara yang bertanggungjawab dan seterusnya patuh kepada undang-undang.

Mahkamah sivil khususnya perlulah mengambil langkah mengutamakan teori pemulihan dalam

menjatuhkan sesuatu hukuman kepada pesalah kanak-kanak. Mahkamah syariah di Malaysia

yang cenderung mempraktikkan teori pemulihan dalam menjatuhkan hukuman kepada pesalah

kanak-kanak telah mengambil langkah yang tepat dan patut dicontohi.

You might also like