You are on page 1of 7

KAUNSELING DAN TERAPI SENI

(Siri 1)

Oleh
HJ MOHD ANUWI BIN HJ HUSAIN (K.B; P.A)
Mohdanuwi@gmail.com

PENGENALAN

Dalam bidang kaunseling dan psikoterapi, pendekatan terapi seni yang


menekankan aspek kreatif dan kreativiti telah digunakan secara meluas di negara barat.
Tetapi di Malaysia, pendekatan terapi seni dalam proses menolong dan membantu
masih belum kelihatan walaupun keperluannya amat dirasai. (Mohd Makzan Musa,
2006) Pendekatan kaunseling dan psikoterapi yang menjangkau usia 40 tahun di
Malaysia masih tertumpu kepada kaedah kaunseling konvensional secara lisan
menerusi kaunseling individu dan kelompok. (Suradi Salim, 2005)

Pendekatan terapi seni yang merupakan gabungan disiplin art dantherapy yang
memperlihatkan gandingan di mana art as a therapydan art as psychotherapy.
(Waseson, 2000) yang menghubungkan dunia dalam diri klien dengan dunia luaran
menerusi penggunaan pelbagai bahantara seni. Mcniff (2004) melihat aspek kreatif dan
kreativiti menerusi karya seni dalam membantu merawat dunia dalam diri klien dengan
meluahkan kesakitan dan penderitaan yang klien dialami semasa melakukan sesuatu
yang kreatif.

Pendekatan terapi seni merupakan kaunseling tanpa lisan (non-verbal counseling). di


mana dinamik proses rawatan dan pemulihan berlaku semasa klien menghasilkan
karya seni secara kreatif dan kreativiti. Kreativiti bukan sahaja melibatkan kebolehan
klien menghasilkan sesuatu yang baru dan unik kesan daripada impresi, idea dan
imaginasi. Kreativiti turut merangkumi kualiti seperti spontan, kebermainan
(playfulness), motivasi, penciptaan baru (originality) dalam meluahkan permasalahan
diri melalui ekspresi kendiri, penciptaan, pemikiran divergent dan gerak hati. (Rubin,
2001)

Proses kreatif dalam terapi seni mendasari proses rawatan dan pemulihan kerana ia
bertindak sebagai tenaga dalam diri. Dengan membebaskan diri menerusi penciptaan
seni, klien sebenarnya memberi tumpuan. Kelebihan imaginasi kreatif membolehkan
minda klien untuk terus menjurus dan mencetuskan penciptaan kreatif muncul secara
visual. Proses kreatif menerusi ekspresi kreativiti tidak memberi kesan bahaya kepada
klien. Jika karya seni yang klien hasilkan menyakitkan, mengingatkan, membangkitkan
pengalaman lama yang tidak menyenangkan serta mendukacitakan, karya seni yang
klien ciptakan itu sebenarnya menunjukan arah dan turut menguatkan klien. (Mcniff,
2004)

TERAPI SENI (ART THERAPY)

Terapi seni ialah satu kepakaran kesihatan mental (mental health profession) yang
menggunakan proses kreatif untuk memperbaikan fizikal, mental dan emosi individu
bagi semua golongan usia. Terapi ini berdasarkan kepada proses kreatif yang terlibat
dalam artistic self-expression yang membantu klien menyelesaikan masalah dan
konflik, kemahiran pembangunan interpersonal, mengawal tingkah laku, mengurangkan
tekanan, meningkatkan self-esteem dan kesedaran diri serta mencapai celik akal.
Terapi seni boleh dikendalikan secara kaunseling kumpulan atau individu.

Matlamat penghasilan karya seni memberi peluang kepada klien mencipta ruang yang
membolehkannya meluahkan diri dalam spektrum ekspresi yang luas. Ekspresi seni ini
mempunyai ciri-ciri projektif kerana ia datang dari klien itu sendiri. Intergrasi dari proses
transformasi tenaga kreatif dan kreativiti yang dapat memulih adalah asas kepada
dinamik kesihatan. (Mcniff, 2004)

Sebagai kaedah art-based therapeutic, pelbagai faedah diperolehi daripada


penggunaan terapi seni ini. Antara faedahnya ialah terapi seni:
(i) tidak bergantung kepada kemahiran bahasa atau verbal.
(ii) merupakan satu modus kepada golongan kanak-kanak dan mereka yang kecacatan
bahasa.
(iii) bantu klien melihat pengalaman dalam keadaan yang terkawal dan kurangnya
keselesaan.
(iv) daya tumpuan sepenuhnya ke atas aktiviti individu tanpa gangguan pemikirannya.
(v) menggalakkan pemikiran kreatif dan mengambil risiko dalam persekitaran yang selamat.
(vi) menyokong idea kreativiti itu adalah teraputik yang semula jadi.
(vii) wujud persekitaran yang selamat di mana klien dapat melepaskan emosinya tanpa
gangguan dan kerisauan.
(viii) menghasilkan karya seni merupakan satu aktiviti yang menyeronokkan.
Terapi seni tidak mengutamakan aspek keindahan atau estetika visual. Ini adalah
kerana klien mungkin bukan pelukis yang mahir dengan segala aspek formalistik dalam
bidang seni. Jadi, tidak munasabah bagi klien untuk memperolehi kemahiran melukis
atau lain-lain keupayaan artistik. Ciptaan karya seni klien tidak ada betul atau salahnya.
Seni adalah satu alat komunikasi, ujian diri (self-examination) dan penyembuhan
(healing). Penekanan terapa seni adalah proses penemuan diri (self-discovery),
meluahkan perasaan diri (self-expression), perkembangan dan integrasi diri. Karya seni
mungkin direka secara spontan ataupun secara langsung yang dicadangkan oleh
kaunselor atau terapis.

SIMBOLISM DALAM TERAPI SENI

Simbol yang klien paparkan secara visual mempunyai makna tertentu, mewakili,
memperlihat dan mendasari psyche. (Wilson, 2001). Dalam terapi seni, simbol
berperanan sebagai representasi objek yang tercetus tanpa kehadiran rangsangan
luaran dan pengekalan objek (object permanence) dalam sistem kognitif kesan
daripada interaksi klien dengan persekitaran fizikal dan sosial yang begitu luas.

Simbol dalam ciptaan karya seni klien tercetus kesan daripada pengalaman perseptual
yang mendasari kefungsian mental dan kesan daripada proses pemikiran. Ia menjadi
penghubung penting antara dunia realiti dan tingkah laku, pemikiran dan fantasi yang
bertindak sebagai gerak balas.

Simbol adalah representasi mental di bawah kesedaran yang dikenali sebagai realiti
psikik. (Malchiodi, 1998). Representasi mental menerusi simbol meliputi representasi
kendiri, imej tubuh, skema ingatan, objek dalaman dan dunia representasi klien yang
begitu luas. Representasi mental klien bukan penghasilan semula rangsangan asal
tetapi ia berkesan daripada tenaga yang menjadi perantaraan kepada emosi, ingatan
silam dan status kognitif klien.

Representasi mental menerusi simbol yang dihasilkan oleh klien, kaunselor dan terapis
menitikberatkan dari beberapa sudut:
(i) Memerhatikan apa yang kelihatan ganjil pada simbol yang dihasilkan
(ii) Memerhatikan rintangan atau halangan yang dilukis, seperti blok atau objek yang
menunjukkan halangan.
(iii) Memerhatikan apa yang wujud (absent) dan apa yang tertinggal (missing)
(iv) Memerhatikan apa yang terdapat pada tengah-tengah lukisan. Objek yang dilukis pada
tengah menunjukkan masalah utamanya.
(v) Memerhatikan saiz simbol yang luar biasa. Simbol yang dilukis terlalu besar atau terlalu
kecil.
(vi) Memerhatikan bentuk yang putar belit. Ini menunjukkan kawasan masalah.
(vii) Memerhatikan objek yang diulangi. Ia menggambarkan pentingnya masa atau peristiwa
itu pada masa silam, sekarang atau masa akan datang.
(viii) Memerhatikan ketekalan pada persepektif, cara klien melukis.
(ix) Memerhatikan bahagian lukisan yang menggelap (shading). Shading memerlukan
banyak tenaga untuk melukis, jadi ia menggambarkan keasyikan (fixation) dan
kebimbangan (anxiety) tentang objek yang dilukis itu.
(x) Memerhatikan bahagian tepi lukisan (edging). Ini menunjukkan sebahagian penglibatan
sekarang dan akan terus kekal pada masa depan.
(xi) Membandingkan dengan dunia persekitaran untuk menunjukkan kehidupan yang realiti.
(xii) Memerhatikan lukisan yang tidak bersesuaian dengan musim. Ini menunjukkan
pentingnya peristiwa itu pada musim tertentu.
(xiii) Memerhatikan lukisan yang dikurungkan (encapsulation) di mana klien memisahkan
sesuatu objek daripada yang lain.
(xiv) Memerhatikan lukisan yang ada penambahan atau sambungan (extension). Sebagai
contoh, tangan yang terlalu panjang, akar pokok yang tertumbuh keluar tanah.
(xv) Memerhatikan latar belakang lukisan. Ini menunjukkan satu konflik.
(xvi) Memerhatikan benda yang dipadamkan. Ini mungkin merupakan sesuatu yang
sebenarnya.
(xvii) Memerhatikan perkataan yang dilukis.
(xviii) Memerhatikan garisan yang dilukis melintangi bahagian atas kertas lukisan.
(xix) Memerhatikan simbol yang dilukis secara transparensi.
(xx) Memerhatikan benda yang abstrak.
(xxi) Memerhatikan apa yang diisikan (filled) dan apa yang dikosongkan (empty).
(xxii) Memerhatikan pokok dan umur. Ia memperlihatkan keseimbangan kehidupan.
(xxiii) Melukis keadaan bekerja disertai keluarga, menunjukkan klien terperangkap dalam
pekerjaannya.
(xxiv) Memerhatikan lukisan semasa usia 5 tahun kepada lukisan sekarang. Ini menunjukkan
bagaimana klien melihat masa lampaunya. Pengalaman silam itu digunakan untuk
membuat keputusan masa sekarang.
(xxv) Memerhatikan lukisan yang bertindih-tindih. Ia merupakan satu tanggapan psikologi
klien.
(xxvi) Memerhatikan warna yang digunakan. Setiap warna mempunyai makna yang tersendiri.
TUGAS KAUNSELOR ATAU TERAPIS

Penilaian karya seni bergantung kepada perhubungannya dengan klien itu


sendiri. Dalam terapi seni ini, karya seni yang dihasilkan walaupun dalam bentuk orang
lidi ataupun contengan tanpa makna adalah ekspresi signifikan yang ada maksud
tersiratnya. Seni sebagai ucapan simbolik (symbolic speech) yang merupakan tempat
atau titik bermulanya ekspresi bebas yang kemudian dituruti dengan perkaitan secara
lisan dengan imej dan simbol yang klien cipta (Rubin, 1999)

Kaunselor atau terapis berperanan membantu klien mencari, mendalami makna dan
pengertian dari imej dan simbol ciptaan. Kemudian, kaunselor atau terapi bersama
dengan klien bertindak memahami imej, simbol dan membuat inferensi bagaimana isi
kandungan seni yang klien hasilkan ada kaitannya dengan permasalahan kehidupan
psikologikal klien. (Malchiodi, 1998) Atas dasar ini, kaunselor atau terapis tidak
digalakan untuk membuat interpretasi secara bersendirian terhadap karya hasil klien. Ini
adalah kerana interpretasi boleh membawa kepada pelbagai rumusan malah salah
tafsiran yang boleh menghalang pencapaian matlamat dalam membantu klien.

Projeksi lisan klien dalam bentuk perasaan, persepsi terhadap isu-isu psikologikal yang
terbengkalai kepada kaunselor atau terapis adalah kaedah pemindahan (transference)
yang berlaku dalam sesi terapi seni. Transference merujuk kepada cara klien bertindak
balas kepada kaunselor atau terapis seolah klien bercakap dengan individu yang
signifikan dalam kehidupannya pada masa kini atau masa lalu.Transference atau
projeksi perasaan, pemikiran, konflik, fantasi menerusi imej dan simbol membangkitkan
semula bayangan dan pengalaman klien.

Hasil karya seni yang dicipta oleh klien dilihat sebagai kaedah telling without talking di
mana permasalahan, pengalaman psikologikal dalam bentuk perasaan, ingatan, mimpi
yang klien suppressed(tersorok tetapi boleh disusuri) dan repressed (dipendam dalam
kesedaran tetapi boleh dizihirkan). (Cohen & Cox, 1995 dalam Rubin, 2005)

Karya seni adalah representasi visual yang mengandungi pelbagai gaya, seperti seri
warna, garis pelbagai arah, corak sama dan berulangan dalam pelbagai palitan warna
yang menyatukan emosi rumit klien dalam satu ruang piktorial. (sama dengan ruang
kehidupan yang dikenali oleh Rubin, 2005) Karya seni yang klien zahirkan secara visual
memerihalkan banyak maklumat. Malchiodi (1998) meringkaskannya sebagai one
picture tells a thousand words. Hasil karya seni dalam bentuk lukisan, lakaran dan
gambaran menyatakan maksud yang sukar dilafazkan tapi mudah dilihat. (Gladding &
Newsome, 2003) Ia juga adalah kaedah mendengar melalui mata (Jakad, 2004)

Terapi seni merupakan satu proses kognitif dan imaginasi yang aktif. Menerusi
pemikiran visual, karya seni menzahirkan idea dari ciptaan klien sendiri dalam bentuk
imej dan simbol hitam putih atau berwarna-warni. (Arnheim, 1997) Karya seni
mempunyai kuasa magik di mana pelbagai imej dan simbol bukan sahaja membantu
melihat secara visual tetapi turut membantu merasai kekuatan pergolakan intra dan
interpersonal klien.

..........(bersambungan pada siri kedua)...insyallah

RUJUKAN

Arnheim, R. (1997). Visual Thinking. Berkeley, California: University of Calirornia Press

Malchiodi, C. (1998). The Art Therapy Sourcebook. Los Angeles: Lowell Press

Mcniff, S. (1994). Art as Medicine: Creating a Therapy of the Imagination. Boston: Shambhala
________. (1998). Trust the Process: An Artistic Guide to Letting Go. Boston: Shambhala

_______. (2004). Art Heals. How Creativity Cures the Soul. Boston: Shambhala

Mohd Makzan Musa. (2006). Setahun Yang Lalu: Kajian Art Therapy Kelompok Di Kalangan
Remaja dan Gadis Mengandung Luar Nikah. Kertas kerja yang dibentangkan di
Simposium Pembangunan Komuniti Marginal. Anjuran Jabatan Kerja Sosial, Fakulti
Pembangunan Sosial & Manusia, Universiti Utara Malaysia dengan Jabatan Kebajikan
Masyarakat Malaysia dan Persatuan Kerja Sosial Malaysia pada 12 – 14 September
2007

Rubin, J .A. (1999). Art Therapy. An Introduction. Philadelphia, PA: Brunner/Mazel

__________.(Ed).(2001). Approaches to Art Therapy. Theory & Technique. Philadelphia, PA:


Brunner/Mazel

__________. (2005). Artful Therapy. Hoboken, New Jersey: John Wiley & Sons, Inc

Suradi Salim. (2005). Halatuju Penyelidikan Kaunseling di Malaysia.Jurnal PERKAMA, 11, 1 –


11

Sheerwood, P. (2004). The Healing Art of Clay Therapy. Melbourne: Acer Press

Wadeson, H. (2000). Art Therapy Practice. Innovative Approaches with Diverse


Populations. New York: John Wiley & Sons, Inc

Wilson, L. (2001). Symbolism and Art Therapy. Dalam Rubin, J.A. (Ed). Approaches to Art
Therapy. Theory & Technique. Philadelphia, PA:Brunner/Mazel

You might also like