You are on page 1of 11

20 Senarai Universiti Awam (IPTA)

Berikut dikongsikan senarai universiti awam (IPTA) yang terkini di Malaysia. Permohonan
kemasukan ke IPTA 2018 perlu dibuat menerusi portal UPU yang akan dibuka pada 5
Februari nanti.

Universiti awam yang dulunya dikenali sebagai Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA)
terbahagi kepada tiga kategori iaitu:

1. Universiti Penyelidikan
2. Universiti Berfokus (kejuruteraan, pendidikan, ketenteraan & pengurusan)
3. Universiti Komprehensif
Berikut adalah maklumat lengkap setiap universiti awam yang terdapat di Malaysia.

SENARAI UNIVERSITI AWAM (IPTA) DI MALAYSIA


1. UNIVERSITI MALAYA (UM)

Universiti Malaya ditubuhkan pada 8 Oktober 1949 hasil gabungan di antara King Edward
VII College of Medicine (1905) dan Raffles College (1928). Universiti Malaya ketika itu
memainkan peranan utama di dalam melahirkan modal insan yang mahir dan terlatih dalam
Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) dan Singapura dan kemudiannya Malaysia.

Universiti Malaya telah dinamakan sebagai salah satu daripada empat universiti penyelidikan
di Malaysia serta merupakan peneraju dalam bidang penyelidikan. Dengan bertambahnya
dana penyelidikan dan perundingan serta peningkatan bilangan pelajar pascasiswazah,
Universiti Malaya telah menubuhkan Institut Pengurusan Penyelidikan dan Perundingan
(IPPP) pada tahun 2000 (dinamakan Institut Pengurusan & Pemantauan Penyelidikan pada
tahun 2009) untuk menguruskan segala aktiviti penyelidikan dan perundingan bagi
mempromosikan hasil penyelidikan dengan lebih berkesan.

Kategori: Universiti Penyelidikan


Laman web rasmi: http://www.um.edu.my
2. UNIVERSITI SAINS MALAYSIA (USM)

Universiti Sains Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1969, merupakan universiti kedua
tertua di negara ini. Sebelum Akta Universiti dikuatkuasakan pada 4 Oktober 1971,
Universiti Sains Malaysia dikenali sebagai Universiti Pulau Pinang.

Pada peringkat awal, Universiti Sains Malaysia (USM) bermula dengan pengambilan
seramai 57 orang pelajar sains. Sejak itu, USM membangun dengan pesatnya dan kini USM
mampu menawarkan pelbagai kursus pada peringkat ijazah pertama dan ijazah tinggi kepada
lebih 20,000 orang pelajar. Kini, USM terkenal sebagai antara universiti tersohor di dalam
mahupun di luar negara.

Kategori: Universiti Penyelidikan


Laman web rasmi: http://www.usm.my
3. UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA (UKM)

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ditubuhkan pada 18 Mei 1970 adalah Universiti
ketiga ditubuhkan di Malaysia selepas Universiti Malaya dan Universiti Sains Malaysia. Pada
awal penubuhannya UKM mempunyai Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Sains dan Fakulti
Sastera (diubah kepada Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan pada 1974).

UKM lahir dari hasrat dan aspirasi orang-orang Melayu yang telah wujud semenjak tahun
1930-an menyarankan agar sebuah Universiti yang bertaraf kebangsaan dan menggunakan
Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantarnya ditubuhkan. Hasrat ini tercapai apabila
timbulnya keperluan untuk menampung pelajar-pelajar lepasan Sekolah Menengah
Kebangsaan meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi selepas negara mencapai
kemerdekaan.
Kategori: Universiti Penyelidikan
Laman web rasmi: http://www.ukm.my
4. UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA (UPM)

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA (UPM) telah ditubuhkan pada 29 Oktober 1971, sebagai
Universiti Pertanian Malaysia melalui penggabungan antara Fakulti Pertanian, Universiti
Malaya dan Kolej Pertanian Malaya Serdang. Universiti ini bermula dengan tiga buah
fakulti; Fakulti Pertanian, Fakulti Perhutanan dan Fakulti Kedoktoran Veterinar dan Sains
Peternakan.

Pada tahun 1994, UPM telah memulakan satu rancangan untuk membina universiti masa
hadapan yang menyediakan sistem pendidikan yang lebih baik dan terkini terutama dalam
pendidikan sains dan teknologi. Selaras dengan itu, UPM telah berkembang pesat hingga
menjadi kampus tanpa sempadan dan melangkaui sempadan kebangsaan.

Kategori: Universiti Penyelidikan


Laman web rasmi: http://www.upm.edu.my/
5. UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA (UPM)

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) merupakan sebuah institusi pengajian tinggi yang
unggul dalam bidang Kejuruteraan, Sains dan Teknologi di Malaysia. UTM ditubuhkan pada
14 Mac 1972 dengan nama Institut Teknologi Kebangsaan yang kemudiannya ditukar kepada
Universiti Teknologi Malaysia pada 1 April 1975. Kini UTM mempunyai 2 kampus iaitu
Kampus Johor Bahru yang merupakan kampus induk dan kampus cawangan di Jalan Sultan
Yahya Petra, Kuala Lumpur.
Semenjak konvokesyen yang pertama pada tahun 1972 hingga kini, UTM telah menghasilkan
lebih 187,858 orang graduan terutamanya dalam bidang Kejuruteraan dan Teknologi. Ini
menjadikan UTM sebagai penyumbang utama tenaga kerja profesional dan separuh
profesional kepada negara hingga kini.
Kategori: Universiti Penyelidikan
Laman web rasmi: http://www.utm.my/
6. UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA
(UIAM)

International Islamic University Malaysia (IIUM) atau lebih dikenali sebagai Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia (UIAM) menawarkan pelbagai peluang unik kepada pelajar untuk
kecemerlangan akademik serta perkembangan kerjaya dan individu. Universiti ini komited
terhadap pendekatan yang menyeluruh dan komprehensif dalam menawarkan program-
program pendidikan tinggi dan menganggap menimba ilmu itu sebagai satu ibadah. Dengan
menggabungkan sumber ilmu wahyu ke dalam kurikulum, UIAM dapat menyumbang kepada
tradisi keintelektualan dan juga peningkatan jatidiri di dalam masyarakat.

UIAM menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di dalam program pengajian
serta di dalam operasi hariannya manakala Bahasa Arab pula digunakan di dalam program
Sains Kemanusiaan (Kesusasteraan Bahasa Arab) dan Undang-Undang (Shari’ah).
Penggunaan dua bahasa ini menggambarkan salah satu daripada misi universiti iaitu
pengantarabangsaan.

Kategori: Universiti Komprehensif


Laman web rasmi: http://www.iiu.edu.my/
7. UNIVERSITI UTARA MALAYSIA (UUM)

Universiti Utara Malaysia (UUM) ialah universiti keenam negara yang secara rasminya
ditubuhkan pada 16 Februari 1984. UUM juga satu-satunya universiti yang ditetapkan supaya
mengkhusus kepada bidang pengurusan sejak awal penubuhannya.

Pada masa kini , UUM mempunyai seramai 30,670 orang pelajar pada peringkat pengajian
Ijazah Pertama dan Ijazah Lanjutan. Jumlah tersebut merangkumi 22,932 pelajar penuh masa
peringkat Ijazah Pertama, 896 pelajar Program Kerjasama, 2,245 pelajar secara Pengajian
Luar Kampus dan 4,597 pelajar Ijazah Lanjutan. Jumlah tersebut juga termasuk pelajar
antarabangsa seramai 2,279 orang dari 42 buah negara. UUM mempunyai seramai 1,225
orang staf akademik dan 1,457 orang staf pentadbiran dan sokongan yang sedang berkhidmat
di Universiti ini.

Kategori: Universiti Berfokus


Laman web rasmi: http://www.uum.edu.my/
8. UNIVERSITI MALAYSIA SARAWAK (UNIMAS)

UNIMAS merupakan universiti awam kelapan dan yang pertama ditubuhkan sesudah
Wawasan 2020 diilhamkan. Bermula dengan kira-kira 30 staf akademik, UNIMAS membuka
pintunya kepada kumpulan pertama 118 pelajar pada 8 Ogos 1993. Para pelajar telah
didaftarkan di dalam dua fakulti perintis, Fakulti Sains Sosial dan Fakulti Sains dan
Teknologi Sumber. Dua pusat sokongan akademik telah juga ditubuhkan: Pusat Pembelajaran
Gunaan dan Multimedia, dan Pusat Khidmat Maklumat Akademik.

Kemudahan untuk golongan istimewa juga tidak ketinggalan agar mereka dapat menjalani
kehidupan yang selesa di kampus. Kampus UNIMAS yang mampu menampung 20,000
pelajar akan meneruskan penekanan terhadap teknologi seperti yang diamalkan sebelum ini
dengan memberi keutamaan kepada teknologi ICT bukan sahaja dalam bidang pengajaran
dan pembelajaran tetapi juga pengurusan. Sehingga kini, jumlah pelajar UNIMAS adalah
seramai 13,959 orang manakala kakitangan pula berjumlah 2,042 orang.
Kategori: Universiti Komprehensif
Laman web rasmi: http://www.unimas.my/
9. UNIVERSITI MALAYSIA SABAH (UMS)

Universiti Malaysia Sabah (UMS) ialah universiti awam yang ke-9 ditubuhkan pada tahun
1994. Ia mula mengambil pelajar pada tahun 1995 dimana bilangan kumpulan pelajar
pertamanya ialah seramai 205 orang. UMS kini mempunyai dua kampus iaitu Kampus Induk
di Teluk Sepanggar dan juga Kampus Cawangan di Wilayah Persekutuan Labuan dan sebuah
Sekolah Pertanian Lestari di Sandakan, Sabah.

UMS telah melakukan transformasi akademik dengan menyaksikan penstrukturan 13 buah


sekolah yang sedia ada kepada 10 buah fakulti berkuatkuasa 1 Jun 2014. Transformasi ini
adalah bagi mendepani cabaran-cabaran semasa dan akan datang, antaranya globalisasi
pendidikan tinggi, pengantarabangsaan pendidikan tinggi dan isu kebolehpasaran graduan.

Kategori: Universiti Komprehensif


Laman web rasmi: http://www.ums.edu.my/
10. UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS (UPSI)
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ditubuhkan pada 1 Mei 1997 berkuat kuasa melalui
Warta Kerajaan, P.U.(A) 132 & 133, bertarikh 24 Februari 1997, yang mengandungi dua
buah Perintah iaitu Perintah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Perbadanan) 1997 dan
Perintah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Kampus) 1997.

Universiti Pendidikan Sultan Idris mempunyai dua (2) kampus iaitu Kampus Sultan Abdul
Jalil Shah (KSAJS) di Tanjong Malim dan Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) di Proton
City. Lokasi UPSI sangat strategik yang mana ia menghubungkan antara dua (2) negeri iaitu
Negeri Perak Darul Ridzuan dan juga Negeri Selangor Darul Ehsan.

Kategori: Universiti Berfokus


Laman web rasmi: http://www.upsi.edu.my/
11. UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA (USIM)

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) merupakan Universiti Islam Malaysia yang pertama
ditubuhkan oleh Kerajaan Malaysia dan merupakan Universiti Awam (UA) yang ke-12.

USIM beroperasi di Kampus Tetapnya di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan Darul Khusus.
Sementara itu, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan dan Fakulti Pergigian pula beroperasi
di Kampus Cawangan Pandan Indah, Kuala Lumpur. Hospital yang digunakan untuk tujuan
pembelajaran adalah Hospital Ampang, Selangor, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah,
Temerloh, Pahang serta Hospital -hospital Tampin dan Jelebu, Negeri Sembilan. Kampus
USIM di Nilai terletak kira-kira 20 minit dari KLIA, 30 minit ke Putrajaya dan 40 minit ke
Kuala Lumpur.

Kategori: Universiti Berfokus


Laman web rasmi: http://www.usim.edu.my/
12. UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA (UITM)
Universiti Teknologi MARA bermula daripada tahun 1956 dengan penubuhan Dewan
Latihan RIDA (Rural Industrial Development Authority), sebuah pusat percubaan untuk
menyediakan kursus persediaan bagi belia luar bandar yang berpendidikan Inggeris.
Kini UiTM menawarkan sejumlah 138 program pengajian di peringkat Sarjana Muda di
pelbagai fakultinya. Pengambilan pelajar bagi kebanyakan program peringkat Sarjana Muda
dibuat dua (2) kali setahun. Bidang-bidang pengajian yang ditawarkan meliputi pelbagai
bidang seperti perubatan, pergigian, perakaunan, undang-undang, pengurusan, pentadbiran,
sains komputer, pentadbiran perniagaan, muzik, perhotelan, kejuruteraan, seni bina dan lain-
lain.

Kategori: Universiti Komprehensif


Laman web rasmi: http://www.usim.edu.my/
13. UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU (UMT)

Universiti Malaysia Terengganu bermula dari Pusat Perikanan dan Sains Samudera di bawah
payung Universiti Putra Malaysia bertempat di Mengabang Telipot, Kuala Terengganu yang
menyediakan kemudahan latihan kepada para pelajar Program Perikanan dan Sains Samudera
dan kemudahan penyelidikan kepada pensyarah. Perpindahan Fakulti Perikanan dan Sains
Samudera, Universiti Putra Malaysia (UPM) dari Serdang ke Kuala Terengganu telah
melahirkan kampus cawangan yang dinamakan Universiti Putra Malaysia cawangan
Terengganu (UPMT) pada Jun 1996 dan nama fakulti telah diubah kepada Fakulti Sains
Gunaan dan Teknologi. Turut ditubuhkan ialah Fakulti Sains dan Sastera Ikhtisas serta Pusat
Pengajian Matrikulasi.

Sejak penubuhannya, Universiti Malaysia Terengganu telah melalui transformasi yang hebat
dari sebuah Kolej Universiti yang kurang dikenali kepada sebuah Institusi Pengajian Tinggi
Awam yang berjaya dengan program-program pra dan pasca siswazahnya dan cemerlang
melakar nama di persada dunia dalam bidang penyelidikan sains, teknologi dan pengurusan
sumber alam.

Kategori: Universiti Berfokus


Laman web rasmi: http://www.umt.edu.my/
14. UNIVERSITI TUN HUSSEIN ONN (UTHM)
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bermula pada 16 September 1993 dengan
penubuhan Pusat Latihan Staf Politeknik (PLSP). Pengisytiharan penukaran nama Pusat
Latihan Staf Politeknik (PLSP) kepada Institut Teknologi Tun Hussein Onn (ITTHO) telah
diumumkan oleh Y.B. Menteri Pendidikan Malaysia pada 12 April 1996 sebagai mengiktiraf
sumbangan dan kecemerlangannya dalam menangani isu pembangunan sumber manusia
dalam bidang teknikal di negara ini.

Pada 30 September 2000, Y.B. Menteri Pendidikan Malaysia telah mengisytiharkan


penetapan taraf ITTHO kepada Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUiTTHO).
Pengiktirafan ini telah meletakkan KUiTTHO setaraf dengan Institusi Pengajian Tinggi
Awam (IPTA) lain di negara ini dan pada 1 Februari 2007 KUiTTHO telah bertukar nama
kepada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) hasil penjenamaan semula semua
Kolej Universiti di seluruh Malaysia.

Kategori: Universiti Berfokus


Laman web rasmi: http://www.uthm.edu.my/
15. UNIVERSITI TEKNIKAL MALAYSIA MELAKA (UTEM)
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) merupakan Universiti Awam (UA) yang ke-14
yang ditubuhkan pada 1 Disember 2000 dan merupakan universiti teknikal awam pertama di
Malaysia. Universiti ini kini beroperasi di tiga (3) buah kampus iaitu Kampus Induk yang
terletak di Durian Tunggal, Kampus Teknologi di Ayer Keroh dan Kampus Bandar yang
terletak di Pusat Bandaraya Melaka Bersejarah.
UTeM mempunyai tujuh (7) buah Fakulti dan satu (1) Institut yang menawarkan program
pengajian di dalam bidang Kejuruteraan, Teknologi Kejuruteraan, Sains Komputer dan
Teknologi Maklumat serta Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan sama ada di
peringkat Prasiswazah (program Diploma dan Ijazah Sarjana Muda) dan Pascasiswazah
(program Sarjana dan Kedoktoran).
Kategori: Universiti Berfokus
Laman web rasmi: http://www.utem.edu.my/
16. UNIVERSITI MALAYSIA PAHANG (UMP)

Universiti Malaysia Pahang (UMP) adalah sebuah universiti teknikal yang yang ditubuhkan
pada tahun 2002. UMP menawarkan pelbagai program teknikal berteraskan Kejuruteraan dan
Teknologi. Dalam bidang penyelidikan pula, universiti memberi tumpuan kepada
penyelidikan gunaan dan projek-projek industri dengan industri setempat bagi
memperkayakan pengajaran dan pembelajaran di samping mempromosikan aktiviti-aktiviti
pengkomersialan produk penyelidikan. UMP komited dalam membangunkan sumber kapital
manusia dan teknologi untuk memenuhi keperluan industri serta menyumbang kepada
pembangunan negara.

Fokus utama UMP ialah membangunkan sumber manusia dan teknologi yang relevan dengan
keperluan industri terutamanya dalam bidang Kejuruteraan Kimia dan Industri Bioteknologi
serta Kejuruteraan Automotif dan Pembuatan.

Kategori: Universiti Berfokus


Laman web rasmi: http://www.ump.edu.my/
17. UNIVERSITI MALAYSIA PERLIS (UNIMAP)

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), dahulunya dikenali sebagai Kolej Universiti


Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM) telah diluluskan penubuhannya oleh Jemaah
Menteri pada 25 Julai 2001. Pada 1 April 2002, Institusi Pengajian Tinggi Awam ke-17 ini
mula beroperasi kampus sementara di Kubang Gajah, Arau, Perlis. Setelah lima tahun
bertapak di bumi Perlis, universiti ini telah dijenamakan semula daripada KUKUM kepada
UniMAP pada 1 Februari 2007.
Kampus induk UniMAP terletak di dua lokasi iaitu di Pauh Putra dan di Sg. Chuchuh yang
masih di peringkat pembangunan. Buat masa ini, kampus UniMAP masih bersifat kampus
yang bertaburan (distributed) dan beroperasi di beberapa lokasi kampus lain seperti di
Kangar, Jejawi dan lain.-lain. Setiap kampus dihubungkan dengan kemudahan perkhidmatan
bas.

Kategori: Universiti Berfokus


Laman web rasmi: http://www.unimap.edu.my/
18. UNIVERSITI SULTAN ZAINAL ABIDIN (UNISZA)

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) adalah merupakan salah sebuah Universitii Awam
(UA) yang terletak di negeri Terengganu Darul Iman. Universiti ini menawarkan pelbagai
kursus di peringkat pengajian asasi, diploma, ijazah sarjana muda dan ijazah tinggi (sarjana
dan doktor falsafah).

UniSZA melaksanakan sistem pengajian berpandukan sistem semester. Tahun akademik


dibahagikan kepada dua (II) semester dan semester III (Semester Khas) yang diadakan dalam
masa cuti akhir tahun akademik.

Kemasukan pelajar UniSZA adalah satu kali setahun iaitu bagi program Diploma kategori
SPM/Setaraf pada bulan Jun dan program Ijazah Sarjana Muda kategori STPM/Setaraf pada
September setiap tahun.

Kategori: Universiti Berfokus


Laman web rasmi: http://www.unisza.edu.my/
19. UNIVERSITI MALAYSIA KELANTAN (UMK)

Menyahut seruan kerajaan menuju kearah Negara Berpendapatan Tinggi, UMK meneruskan
usaha kerajaan Malaysia untuk membantu mempertingkatkan sumber modal insan bagi
memacu pembangunan Negara. Bermula dengan kewujudannya pada tahun 2007, tanpa
menoleh kebelakang, UMK terus menggorak langkah untuk meneraju pendidikan
keusahawanan terunggul di Malaysia bagi melahirkan graduan yang serba boleh.

UMK bersedia untuk menawarkan program yang berkualiti serta memenuhi kehendak
pasaran. Bermula dari empat program asal (Teknologi Kreatif, Warisan, Keusahawanan &
Perdagangan dan Sains Gunaan – Keusahawanan Teknologi Pertanian), kini UMK
menawarkan 24 program terkini dan relevan yang ditawarkan di tujuh buah fakulti dan akan
berkembang selaras dengan perkembangan semasa.

Kategori: Universiti Berfokus


Laman web rasmi: http://www.umk.edu.my/
20. UNIVERSITI PERTAHANAN NASIONAL MALAYSIA
(UPNM)

Sejarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bermula dengan penubuhan


Akademi Tentera Malaysia (ATMA) pada 1 Jun 1995 sebagai sebuah organisasi yang
bertanggungjawab menjalankan program pengajian diperingkat Sarjana Muda dan latihan
ketenteraan kepada Pegawai Kadet Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Peranan ATMA
diperluaskan dengan menjadikannya sebagai UPNM yang telah di wartakan pada 10
November 2006.

Walaupun UPNM akan memulakan pengambilan kumpulan pertama pelajarnya pada sesi
2007/2008, sebenarnya ia telah mempunyai pengalaman mengendalikan program pengajian
di peringkat Sarjana Muda selama 11 tahun iaitu dari tahun 1995 hingga 2006 melalui
program kerjasama antara Kementerian Pertahanan dengan Universiti Teknologi Malaysia.

Seramai lebih kurang 1017 graduan telah dikeluarkan dalam tiga (3) bidang yang
merangkumi Kejuruteraan, Sains dan Pengurusan. Di samping memperoleh kelayakan
profesional, semua graduan akan di tauliahkan sebagai Pegawai ATM dan mereka akan
berkhidmat di pelbagai unit dalam Tentera Darat, Tentera Laut DiRaja Malaysia dan Tentera
Udara DiRaja Malaysia.

Kategori: Universiti Berfokus


Laman web rasmi: http://www.upnm.edu.my/

You might also like