You are on page 1of 15

  Adiguru Kraf Jebak Puyuh

Encik Che Mud Bin Che Awang

Adiguru Kraf Jebak Puyuh


Encik Che Mud Bin Che Awang

Nama : Encik Che Mud Bin Che Awang


Bidang Kraf : Aneka Kraf
Adiguru : Adiguru Kraf Jebak Puyuh
Negeri : Kelantan
Tarikh Lahir : 8 Oktober 1944
Lantikan Pertama : Tahun 1989
Lantikan Semula : Tahun 2006

KETOKOHAN DAN KEPIMPINAN

Encik Che Mud bin Che Awang berasal dari Negeri Kelantan Darul Naim dan kini
menetap di Kampung Bunuhan, Tumpat, Kelantan. Walaupun tidak pernah menerima
pendidikan formal beliau memiliki kemahiran dalam pelbagai bidang kraf. Beliau pakar
membuat jebak puyuh, wau dan wayang kulit. Selain daripada itu, beliau juga
mempunyai Ilmu Main Puteri, salah satu cara perubatan tradisional di Kelantan.
Penglibatan beliau dalam bidang kemahiran membuat jebak puyuh ini bermula semenjak
beliau masih kanak – kanak lagi. Sewaktu beliau kecil, beliau sering mendampingi datuk
saudaranya yang sangat gemar menangkap puyuh dan mahir membuat jebak puyuh. Oleh
kerana minat yang mendalam, beliau tidak pernah melepaskan peluang memerhatikan
cara – cara datuknya membuat jebak puyuh.

Suatu hari apabila datuknya meninggalkan kerja – kerja membuat jebak puyuh seketika,
tanpa membuang masa beliau mengambil kesempatan itu telah menyiapkan jebak puyuh
tersebut. Semenjak dari itu datuk saudaranya telah mula mengajar beliau cara – cara
membuat jebak puyuh secara serius.
DAYA KREATIVITI DAN INOVASI

Beliau menggunakan teknik tradisional yang rumit tetapi tidak memerlukan kos yang
tinggi. Kebanyakkan bahan – bahan yang perlu digunakan diperolehi dari hutan di sekitar
tempat tinggal beliau. Jebak puyuh yang dihasilkan oleh Che Mud ini sebenarnya telah
diperbaharui reka bentuknya berdasarkan bakat dan ilham beliau sendiri.
Reka bentuk jebak ini diilhamkan dari badan burung puyuh itu sendiri. Beliau
memperindah jebak puyuh dengan ukiran dan ikatan . Hasilnya, sungguh menarik sekali
dan tiada siapa yang menyangka barangan kraf secantik itu hanyalah sebuah jebak
memikat puyuh. Hasil kreativiti beliau kini dipelbagaikan kegunaannya. Jebak puyuh kini
dijadikan sebagai alat hiasan rumah yang indah dan unik.

SUMBANGAN TOKOH KEPADA INDUSTRI KRAF DAN MASYARAKAT

Kini kemahiran membuat jebak puyuh yang dahulunya hanyalah merupakan hobi, kini ia
turut mendatangkan hasil pendapatan sampingan kepada beliau. Beliau sering menerima
tempahan membuat jebak puyuh daripada mereka yang berminat memilikinya.

Kemahiran yang dimiliki oleh Che Mud ini telah membawa beliau ke Amerika Syarikat
bagi mempromosikan seni warisan bangsa. Beliau juga telah dilantik sebagai Adiguru
Kraf Jebak Puyuh pada tahun 1989 oleh Kraftangan Malaysia.
Adiguru Kraf Wau Tradisional
Encik Shafie Bin Jusoh

Nama : Encik Shafie Bin Jusoh


Bidang Kraf : Aneka Kraf
Adiguru : Adiguru Kraf Wau Tradisional
Negeri : Kelantan
Tarikh Lahir : 6 September 1947
Lantikan Pertama Adiguru : Tahun 2006

LATAR BELAKANG PENGLIBATAN

Encik Shafie Bin Jusoh mula meminati bidang Kraf Wau sejak berada di sekolah rendah lagi. Ketika
berusia 10 tahun, beliau sering mengikut rakan-rakannya bermain wau di bendang sehingga sanggup
berhenti sekolah ketika berada di tahun tiga.

Demi minat, beliau belajar membuat wau dari rakan-rakan dan cara-cara sobekan melalui pemerhatian
sendiri. Encik Shafie amat berbangga kerana minatnya tersebut mendapat dorongan daripada ibu
bapanya dan sebagai tanda sokongan ayahnya telah memainkan wau besar yang telah dihadiahkannya.
Dengan jualan secara kecil-kecilan, wau yang dihasilkan serba sedikit dapat membantu ekonomi
keluarganya.
Ketika awal penglibatannya, belum ada lagi anak Kota Bharu yang mengusahakan pembuatan wau
secara serius. Pada masa itu beliau hanya bertanding sambil bermain wau di Stadium Kota Bharu serta
Kompleks KB. Bakat tokoh mula menyerlah ketika beliau berusia 22 tahun dengan kedatangan dua orang
pelancong luar negara yang menyaksikan bakatnya memainkan wau di stadium. Berminat dengan
keunikan permainan tersebut, kedua-dua pelancong tersebut menempah wau dari beliau.

Semenjak dari itu, beliau mula yakin dengan produknya serta menerima tempahan wau naik untuk
dijual. Encik Shafie mula menerima tempahan secara eksklusif dari syarikat-syarikat besar serta jabatan
kerajaan ketika berusia 30 tahun.
DAYA KREATIVITI DAN INOVASI

Salah satu keunikan wau bulan yang dihasilkan oleh beliau ialah badan wau yang dihasilkan berbentuk
bulat dan seimbang antara kiri dan kanan yang direka berkonsepkan wau pada permukaan syiling 50
sen.

Beliau juga tidak pernah meniru corak-corak wau daripada ciptaan orang lain walaupun atas permintaan
pelanggan. Sekiranya diminta menghasilkan wau berdasarkan gambar yang diberi untuk tempahan,
tokoh pasti mereka cipta corak lain berdasarkan konsep yang diberi. Ini adalah kerana tokoh amat
menghormati rekacipta orang lain dan ingin menghasilkan rekaan identitinya sendiri.

Secara keseluruhannya, terdapat empat jenis wau tradisional yang mampu di hasilkan oleh beliau iaitu
wau bulan, wau merak, wau puyuh dan wau barat. Dari segi corak atau sobekan, terdapat pelbagai jenis
corak tradisional yang terdapat pada wau iaitu "Awan Larat", "Lada Hitam", "Ketam Guri", "Daun
Kacang", "Daun Jarak", "Daun Kangkung" dan "Daun Jawa". Namun begitu, belau juga turut merekacipta
corak-corak baru mengikut citarasa pelanggan.

Menurutnya, kesemua jenis wau tersebut boleh mengeluarkan bunyi kecuali Wau Barat. Bunyi-bunyi ini
terhasil dari alunan angin yang meniup busur apabila wau terbang tinggi di atas langit. Bunyi ini berbeza-
beza mengikut kenipisan busur san kelajuan angin dan ia bergantung kepada kemahiran peneraju wau
semasa memainkannya. Wau Merak yang merupakan warisan negeri Johor boleh mengeluarkan tujuh
jenis bunyi manakala Wau Bulan yang merupakan kebanggaan negeri Kelantan pula boleh menghasilkan
tiga jenis bunyi.
PENGIKTIRAFAN

Apa yang paling menarik, keunikan wau yang telah dihasilkan oleh Encik Shafie telah membawa beliau
kepada pelantikan sebagai duta MAS. Pihak MAS sering menjembut beliau untuk membuat demonstrasi
di luar negara seperti Australia, German, Maldives, Melbourne dan Jepun. Sehingga kini, pencapaian
tokoh telah mendapat liputan daripada penerbitan majalah, akhbar serta agensi-agensi media massa.

Satu keistimewaan yang ada pada tokoh ialah beliau amat merendah diri meskipun namanya masyhur di
kalangan penggiat seni wau. Beliau juga tidak pernah menetapkan sebarang kadar bayaran terhadap
pihak media yang ingin membuat liputan tentang dirinya, perusahaan ataupun produknya.

Produk-produk wau yang di hasilkan oleh beliau sering dibeli oleh hotel-hotel, jabatan kerajaan, muzium
serta syarikat swasta terutamanya selepas wau berkenaan digunakan dalam sesuatu pertandingan.
Beliau sangat mahir membuat wau perhiasan dan wau naik untuk pertandingan. Sehingga kini beliau
telah banyak memenangi pertandingan wau di peringkat kebangsaan mahupun di peringkat
antarabangsa.
Antara pertandingan yang pernah disertainya ialah pertandingan wau peringkat antarabangsa ialah Pasir
Gudang Kite Festival International Guests anjuran Lembaga Pelabuhan Pasir Gudang dan peringkat
negeri seperti Johan Wau Cantik dan Johan Wau Naik peringkat negeri Johor serta pertandingan-
pertandingan anjuran Majlis Pelancongan Negeri Kelantan.

Selain pertandingan, beliau juga ada menerima jemputan untuk membuat demonstrasi oleh Lembaga
Penggalakan Pelancongan Malaysia dan aktiviti kebudayaan anjuran kerajaan negeri. Beliau juga kerap
dijemput untuk mengadakan demonstrasi pembuatan wau dan sesi interaktif bersama pengunjung bagi
pihak Kraftangan Malaysia. Pada tahun 2006, beliau telah dilantik sebagai Adiguru Kraf Wau Tradisional
oleh Kraftangan Malaysia.

Adiguru Kraf Ukiran Kayu


Encik Wan Mustafa bin Wan Su

Nama : Encik Wan Mustafa bin Wan Su


Bidang Kraf : Aneka Kraf
Adiguru : Adiguru Kraf Ukiran Kayu
Negeri : Terengganu
Tarikh Lahir : 5 Mei 1939
Lantikan Pertama Adiguru : Tahun 2007

LATAR BELAKANG PENGLIBATAN

Ukiran kayu merupakan satu lagi seni kraf warisan yang telah lama dihasilkan oleh masyarakat
tempatan. Di antara pengukir terkenal dan disegani ialah Encik Wan Mustafa Wan Su yang dilahirkan
pada 5 Mei 1939. Beliau telah berkecimpung dalam bidang ukiran selama 39 tahun. Kemahiran asas
mengukir diperolehi daripada ayahandanya, Encik Wan Su bin Wan Othman yang merupakan seorang
pengukir tersohor negara dan juga Adiguru Kraf Ukiran Kayu.

Beliau telah berjaya membuka galeri ukiran kayu yang dikenali sebagai Balai Seni Wan Mustafa Wan Su.
Di sini beliau menyiapkan tempahan yang diterima dengan dibantu oleh 30 orang pengukir mahir dan
separuh mahir. Balai Seni ini juga turut memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak muda setempat.
Wan Mustafa turut memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada pengukir muda yang berminat
mendalami seni ukiran trradisional.
Dewan Bahasa Dan Pustaka telah melantik beliau sebagai salah seorang daripada pengkaji istilah bahasa
bagi bidang ukiran berdasarkan kemahiran dan kepakaran yang dimiliki oleh beliau. Beliau merupakan
pakar rujuk dalam bidang ukiran kepada individu, pelajar, agensi kerajaan dan juga swasta.

DAYA KREATIVITI DAN INOVASI

Penghayatan Wan Mustafa terhadap seni ukiran yang diwarisi sejak turun temurun dapat dilihat pada
hasil kerjatangannya dan juga pemilihan pengukir-pengukir yang hendak bekerja dengannya. Bagi
memastikan setiap ukiran yang dihasilkan mempunyai identiti tersendiri, Wan Mustapha memastikan
setiap pengukir yang bekerja dengan beliau tidak pernah bekerja dengan mana-mana tukang ukir.

Bagi Wan Mustapha nilai dan kualiti hasil kerja terletak pada kesempurnaan sesebuah ukiran. Beliau
sendiri yang akan memastikan kualiti pada setiap produk ukiran mencapai tahap yang memuaskan
sebelum diserahkan kepada pelanggan. Seringkali beliau menghalusi dan memperbaiki produk-produk
ukiran yang diukir oleh pekerjanya.
Di persekitaran rumah dan Balai Seni Wan Mustapha dirimbuni dengan pepohon kayu dan bunga-bunga
yang mekar dan menjadi inspirasi bagi setiap karya seni ukiran beliau.

PENGALAMAN, PENGLIBATAN DAN PENCAPAIAN

Selain mewariskan kepakaran dan pengetahuan beliau kepada anak lelakinya yang mempunyai
kelulusan sebagai arkitek, beliau turut memainkan peranan besar dalam usaha mengembangkan seni
warisan ini. Beliau pernah memberikan latihan dan tunjuk ajar kepada pelbagai pihak yang berminat
untuk mempelajari seni ukiran kayu termasuklah :-

i. Guru-guru daripada Pusat Perkembangan Korikulum Jalan Duta Kuala Lumpur;


ii. Guru daripada Maktab Perguruan Batu Rakit, Terengganu;
iii. Belia daripada Jabatan Belia Dan Sukan Malaysia dan juga Kraftangan Malaysia.

Beliau juga turut menerima dan menyiapkan pelbagai jenis tempahan ukiran kayu sejak tahun 1980an
hingga kini. Di antara hasil kerja menyerlahkan kreativiti beliau adalah seperti :-

i. Istana Muktabillah Terengganu (1980an);


ii. Muzium Terengganu (2003);
iii. Istana Melawati Putera Jaya (2003); dan
iii. Balai Seni Mustapha Wan Su merupakan yang mercu tanda kejayaan beliau.

SUMBANGAN TERHADAP INDUSTRI KRAF

Encik Wan Su telah banyak menyumbang kepada pembangunan industri kraf negara sepanjang
penglibatan beliau dalam industri ini. Di antara sumbangan beliau yang tidak ternilai adalah seperti:-

i. Pakar rujuk seni ukiran tradisional kepada penuntut dari institusi pengajian tinggi;
ii. Penceramah Seni Ukiran Melayu di Universiti Teknologi MARA, Universiti Teknologi Malaysia dan
lain-lain IPT (1980 - 1990an);
iii. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Istilah Seni Ukir-Dewan Bahasa Dan Pustaka; dan
iii. Ahli dalam Jawatankuasa Jejak Warisan Terengganu anjuran Pelancongan Malaysia.

Bagi menghargai usaha dan kegigihan beliau dalam bidang ukiran yang menjadi kebanggaan negara ini,
pada tahun 2007 beliau telah dilantik sebagai Adiguru Kraf Ukiran Kayu Tradisional oleh Kraftangan
Malaysia

You might also like