You are on page 1of 16

IMA Lwn RMN

[Mahkamah Rayuan Syariah Selangor. Rayuan Kes No. 10000-016-0100-2015 (YAA Tan Sri
Dato Setia Dr. Ibrahim b. Lembut (Pengerusi), YA Dato’ Seri Dr. Md. Yusup b. Che Teh (Ahli
Panel), YA Datuk Aidi b. Moktar (Ahli Panel)]

[7 Syaaban 1438H bersamaan 4 Mei 2017]

[Rayuan Mut’ah di bawah seksyen 58 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri


Selangor) 2003]

ALASAN PENGHAKIMAN

[1] Rayuan ini difailkan oleh Perayu ke atas keseluruhan perintah Hakim Bicara Mahkamah
Tinggi Syariah Selangor dalam kes no. 10400-016-0277-2013 yang telah diberikan pada 16
Disember 2015. Perintah tersebut sepertimana berikut;-

1. Mahkamah meluluskan tuntutan mutaah Plaintif (Responden) berdasarkan


seksyen 58 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

2. Mahkamah memerintahkan Defendan (Perayu) membayar kepada Plaintif


sebanyak RM 39,261.80 sebagai mut’ah dan saguhati selepas perceraian.

[2] Perayu telah menfailkan notis rayuannya pada 23 Disember 2015 dan telah memfailkan
Alasan Rayuan pada 23 Mac 2016 dengan mendeposkan 9 alasan sepertimana di muka surat 223-
224 Rekod Rayuan.

Fakta Kes

1
[3] Perayu dan Responden telah berkahwin pada 19 Disember 1981 dan telah bercerai pada
27 Ogos 201 di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur dengan
pensabitan talaq satu kali pertama berjumlah satu talaq. Tempoh perkahwinan adalah selama lebih
kurang 30 tahun 8 bulan. Hasil perkahwinan, Perayu dan Responden telah dikurniakan 4 orang
anak.

[4] Pada 31 Mei 2013, Responden telah menfailkan tuntutan mut’ah di Mahkamah Tinggi
Syariah Selangor kes no. 10400-016-0277-2013 dengan jumlah tuntutan sebanyak RM
300,000.00.

[5] Kes tersebut telah dibicarakan mulai 26 Februari 2014 di mana Perayu telah
mengemukakan seorang saksi manakala Responden telah memberi keterangan secara bersendirian
tanpa memanggil mana-mana saksi. Pada 16 Disember 2015 Hakim Bicara telah memutuskan
tuntutan tersebut sepertimana perintah di perenggan [1] di atas.

[6] Setelah kami meneliti alasan rayuan dan penghujahan yang difailkan pihak-pihak, kami
berpendapat hanya 2 isu sahaja yang perlu diulas, kerana alasan-alasan yang dikemukakan Perayu
adalah berkaitan antara satu dengan yang lain. Isu yang perlu diulas ialah;

1. Sama ada Responden wajar atau tidak menerima mutaah; dan

2. Jika Responden wajar menerima mutaah, apakah kadar mutaah kepada Responden
berjumlah RM39,261.80 adalah suatu kadar yang munasabah atau tidak.

Diputuskan

SETELAH Kami meneliti Alasan-alasan Rayuan, Rekod Rayuan dan penghujahan bertulis
setelah mendengar dan meneliti hujah bertulis Perayu, MAKA Kami sebulat suara memutuskan
seperti berikut;

1. Rayuan Perayu DITERIMA;

2
2. Para 2 Perintah Mahkamah Tinggi Syariah dalam Kes Mal No: 10400-016-0277-2013
bertarikh 16 Disember 2015 DIUBAH; dan
3. Perayu diperintahkan untuk membayar mut’ah kepada Responden sebanyak RM30,000.00
sahaja.

Peguam Syarie

Peguam Syarie Perayu: diwakili oleh Tetuan Mohd Redzuan Ramli & Associates
Peguam Syarie Responden: diwakili oleh Tetuan Syada Osman & Associates

Surah al-Quran yang dirujuk

1. Surah al-Baqarah: ayat 241


2. Surah al-Baqarah: ayat 236
3. Surah al-Baqarah: ayat 236

Kitab-kitab yang dirujuk

1. Umdah al-Mukmin, Vol.6, hlmn: 303,


2. Prof .Dr. Muhammad al-Zuhailiy, al-Mu’tamad fi Fiqh al-Islami, Jilid 4, hlmn: 128;-
3. Syeikh Mohd Khatib as-Syarbini, Mughni Muhtaj, Juzuk 4, hlmn: 416
4. al- Haawi al-Kabiir, syarah bagi kitab Mukhtasar al-Muzani, Edisi Pertama [1994],
Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, Jilid 9, hlmn: 550-552
5. Abi Abdillah Muhammad Bin Ahmad al-Qurtubi, al-Jami’ Li al-Ahkam Al-Quran,
Juzuk 3, hlmn: 228-229
6. Hasyiah I’anah at-Tolibin, Juzuk 3, hlmn: 596
7. Al-‘Allamah ‘Abu Bakr Usman bin Muhammad Syata al-Dimyathi al-Bakri,
HasyiahI’anah at-Tolibin, hlmn: 702,
8. Syeikh Mohd Khatib as-Syarbini, Mughni al-Muhtaj, juzuk 3 hlmn: 249
9. Qalyubi wa Umairah, Juzuk 3, hlmn: 290-292

3
10. Prof.Dr Wahbah az-Zuhailiy, 2008, al-fiqhu as-Syafie al-Maisir, Jilid 2, Dar al-Fikr
hlmn: 99

Undang-undang yang dirujuk


1. Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 – s.2, s.58

Kes-kes yang dirujuk


1. Ahmad Shah b. Ahmad Tabrani lwn Norhayati bt Yusuf (2004) JH 18(1) 33.
2. Mohd Farid bin Abdul Rahman lwn Rabihah Binti Kamaruddin (2006) JH 21 1 79.
3. Orizam bt. Mohd Lazim lwn. Halim Azman Haji Sulaiman [1995] JH10(1).
4. Piah binti Said lwn Che Lah bin Awang PP (1982) JH 2(3) 220.
5. Sapiee b. Muda lwn. Adnan Hawa bt. Mohamad (1436H/Mac 2015) JH 40(1) 125.
6. Siti Asiah bt. Abdul Aziz lwn. Abdul Ghaffar b. Hashim [1995] JH10(2).
7. Tuan Farizah bt. Tuan Ludin lwn. Mohd. Razuhan b. Abdul Razab (2007) JH 24(2) 335.
8. Zaharah bt. Alias lwn. Jen. (B) Tan Sri Dato’ Zain Hashim [1432H] JH 32(2).

Penghakiman oleh YAA Tan Sri Dato Setia Dr. Ibrahim b. Lembut (Pengerusi), YA Dato’
Seri Dr. Md. Yusup b. Che Teh (Ahli Panel), YA Datuk Aidi b. Moktar (Ahli Panel):

[7] Sebelum kami mengulas berkenaan kedua-dua isu di atas, adalah lebih baik untuk kami
menyentuh terlebih dahulu berkenaan mut’ah mengikut hukum syarak dan undang-undang.
Berdasarkan kitab Umdah al-Mukmin, Vol.6, m.s. 303, mut’ah bermaksud suatu bayaran saguhati
yang diberikan kepada isteri yang diceraikan. Seksyen 2 Enakmen Undang-undang Keluarga
Islam (Negeri Selangor) 2003 [Enak. 2 Tahun 2003] menyatakan “mut’ah” ertinya bayaran
saguhati yang diberi dari segi Hukum Syarak kepada isteri yang diceraikan.

[8] Secara umumnya, hukum membayar mut’ah kepada isteri yang diceraikan adalah wajib
berdasarkan firmah Allah Ta’ala dalam surah al-Baqarah, ayat 241 ;-
َ‫ُوف حقًّاَعلى ْال ُمتَّقِين‬
َِ ‫ت متاعَ بِ ْالم ْعر‬
َِ ‫ولِ ْل ُمطلَّقا‬

4
“Bagi perempuan-perempuan yang diceraikan, sagu hati dengan cara yang baik sebagai
hak ke atas orang yang bertakwa.”

[9] Di dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, mut’ah telah
diperuntukkan di bawah seksyen 58 :

58. Mut’ah atau pemberian saguhati kepada perempuan yang diceraikan


tanpa sebab yang patut.
Selain daripada haknya untuk memohon nafkah, seseorang perempuan yang telah
diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon mut’ah atau
pemberian saguhati kepada Mahkamah, dan Mahkamah boleh, selepas mendengar
pihak-pihak itu dan apabila berpuas hati bahawa perempuan itu telah diceraikan
tanpa sebab yang patut, memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang
wajar dan patut mengikut Hukum Syarak.

[10] Hikmah dan tujuan utama diwajibkan pembayaran mut’ah boleh dilihat dalam Kitab al-
Mu’tamad fi Fiqh al-Islami oleh Prof .Dr. Muhammad al-Zuhailiy , jilid 4, m.s. 128:

َ‫َوالتخفيفَمنَاإلستيحاش‬،َ‫وَتجبَالمتعةَجبراَلماَلحقهاَمنَالطالقَولتطييبَقلبهاَعندَفراقَبيتَالزوجية‬
.َ‫ََولكسرَحدةَاأللمََوالكراهيةَالتيَتنتجَغالباَعنَهذاَالفراق‬،َ‫بسببَماَتشعرَبهَمنَمفارقةَزوجها‬

Maksudnya: Kewajipan memberi Mutaah adalah kerana menutup sangkaan buruk


orang terhadap isteri yang telah diceraikan serta bertujuan menyukakan hati
bekas isteri ketika berpisah dari rumah kelaminnya , dan Mutaah juga bertujuan
menenangkan emosi yang tidak tenteram, kepedihan hati yang dialami oleh isteri
akibat perceraian dengan suaminya.

[11] Ringkasnya, tuntutan mut’ah bukanlah bertujuan untuk dijadikan sebagai pampasan,
penambahan harta atau keuntungan kepada bekas isteri bahkan ianya hanyalah merupakan
saguhati yang diberikan berdasarkan kemampuan bekas suami dengan tujuan tertentu seperti yang
dinyatakan di dalam nas di atas.

5
ISU PERTAMA: SAMA ADA RESPONDEN WAJAR ATAU TIDAK MENERIMA
MUTAAH

[12] Perayu menghujahkan bahawa Responden tidak berhak untuk menerima mutaah kerana
perceraian antara pihak-pihak disebabkan tindakan Responden sendiri yang memfailkan tuntutan
perceraian terhadap Perayu, dan bukannya Perayu yang menceraikan Responden tanpa sebab yang
patut.

[13] Responden di dalam penghujahan balasnya pula membantah hujahan Perayu antara lain
dengan memetik kitab Mughni Muhtaj juzuk 4, muka surat 416 yang menyatakan perceraian
antara pihak-pihak adalah dengan talak dan ianya dibolehkan untuk mendapat mutaah. Di dalam
isu ini, Hakim Bicara telah mengulas secara panjang lebar di ms 202-204 Rekod Rayuan.

[14] Isu sama ada Responden berhak atau tidak kepada mut’ah adalah berkisar kepada frasa
“telah diceraikan tanpa sebab yang patut” sebagaimana yang diperuntukkan dalam seksyen 58
Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

[15] Di dalam menentukan maksud frasa “diceraikan tanpa sebab yang patut,” beberapa kes
yang telah diputuskan sebelum ini boleh dirujuk antaranya kes Sapiee b. Muda lwn. Adnan Hawa
bt. Mohamad (1436H/Mac 2015) JH 40(1) 125, Tuan Farizah bt. Tuan Ludin lwn. Mohd. Razuhan
b. Abdul Razab (2007) JH 24(2) 335 dan Ahmad Shah b. Ahmad Tabrani lwn Norhayati bt Yusuf
(2004) JH 18(1) 33.

[16] Dalam kes Sapiee b. Muda lwn. Adnan Hawa bt. Mohamad (1436H/Mac 2015) JH 40(1)
125, Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Terengganu telah menyatakan bahawa frasa ‘diceraikan
tanpa sebab yang patut’ adalah syarat kelayakan pihak isteri menuntut mut’ah sebagaimana yang
dinyatakan di dalam kitab al- Haawi al-Kabiir, syarah bagi kitab Mukhtasar al-Muzani Edisi
Pertama [1994] terbitan Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, Jilid 9, hlm. 550-552 di mana Imam al-
Mawardi telah menjelaskan secara terperinci tentang kewajipan membayar mut’ah mengikut jenis-
jenis perceraian.

6
[17] Namun oleh kerana perbahasannya amat panjang, maka Panel Rayuan kes tersebut telah
menyatakan meringkaskannya seperti berikut:-

i. Perceraian dengan kematian suami atau isteri. Suami tidak wajib membayar
mut’ah.

ii. Perceraian berpunca dari suami yang mewajibkannya membayar mut’ah, iaitu ada
5 :-
(a) talaq;
(b) li’an;
(c) suami murtad;
(d) fasakh nikah disebabkan aib suami yang berlaku sebelum akad nikah; dan
(e) fasakh nikah kerana pemelukan Islam oleh suami dan isteri kekal tidak
Islam.

iii. Perceraian berpunca daripada isteri semata-mata yang tidak mewajibkan suami
membayar mut’ah, iaitu, iaitu ada 6:-
(a) Isteri murtad;
(b) Isteri memeluk Islam;
(c) Fasakh nikah kerana aib isteri;
(d) Isteri dimerdekakan, suami masih hamba dan isteri memilih untuk fasakh
nikah;
(e) Isteri fasakh nikah kerana suami papa; dan
(f) Isteri fasakh nikah kerana suami mati pucuk.

iv. Perceraian yang berpunca daripada kedua-dua belah pihak suami dan isteri. Ia
terbahagi kepada 2, iaitu:-
(a) Punca perceraian daripada suami lebih kuat, iaitu khulu’ dan tafwid al-
talaq. Suami wajib bayar mut’ah;
(b) Punca perceraian dari isteri lebih kuat iaitu dalam kes isteri seorang hamba
dan suami membelinya dari tuan isteri, maka punca fasakh akibat darinya

7
lebih kuat di pihak isteri. Dalam kes in menurut qaul jadid, suami tidak
berkewajipan membayar mut’ah.

v. Perceraian berpunca dari pihak ketiga seperti isteri yang dikahwini masih kecil.
Dalam masa perkahwinan tersebut, isteri telah menyusu dengan ibu suami, maka
fasakh nikahnya sama seperti hukum perceraian dengan talaq sebelum bersetubuh,
iaitu isteri berhak separuh mahar yang telah ditetapkan dan jika tidak ditetapkan
maharnya, maka wajid bayar mu’tah atas kadar ½ mahar mithil.

[18] Dalam kes Ahmad Shah b. Ahmad Tabrani lwn Norhayati bt Yusuf (2004) JH 18(1) 33,
Mahkamah Rayuan Syariah Kelantan telah menjelaskan bahawa yang dimaksud suami telah
menceraikan isterinya itu ialah seperti perceraian biasa samada dengan persetujuan bersama atau
sebagainya dan juga apa yang dimaksud dengan perbuatan isteri di sini ialah seperti isteri murtad
atau dia pohon fasakh nikahnya dengan sebab keaiban suami seperti suami gila atau mati pucuk
atau suami seorang yang papa dan sebagainya. Begitu juga jika difasakhkan nikah oleh suami
dengan sebab keaiban isteri seperti alat kelaminnya terdapat ‘ratqun’ (ketumbuhan daging) atau
‘qarnun’ (ketumbuhan tulang). Penjelasan yang sama juga telah diberikan oleh Mahkamah Rayuan
Syariah tersebut dalam kes Tuan Farizah bt. Tuan Ludin lwn. Mohd. Razuhan b. Abdul Razab
(2007) JH 24(2) 335.

[19] Di dalam kes di hadapan kami ini, kami bersetuju dengan dapatan Hakim Bicara bahawa
tiada satu pun fakta yang telah menunjukkan Responden mempunyai apa-apa keaiban yang
menyebabkan Responden terhalang untuk memperolehi mut’ah. Kami merujuk kepada kes Piah
binti Said lwn Che Lah bin Awang PP (1982) JH 2(3) 220 yang mana Panel rayuan Syariah ada
menyebut;

“Mutaah adalah pemberian yang tertanggung ke atas seorang suami yang


menceraikan isteri. Tanggungan mutaah tidak gugur dalam apa-apa pun
perceraian berlaku kecuali jika perceraian itu disebabkan keaiban di pihak isteri
terhadap suaminya atau perceraian kerana mati. “

[20] Abi Abdillah Muhammad Bin Ahmad al-Qurtubi, di dalam kitabnya al-Jami’ Li al-Ahkam

8
Al-Quran di Juzuk 3 muka surat 228-229 menyatakan seperti berikut:
“Said Bin Jubayr berpendapat bahawa setiap perempuan yang diceraikan diberi
saguhati. Pendapat ini juga merupakan salah satu daripada pendapat Imam Syafie.
Imam Malik juga berpendapat: setiap perempuan yang diceraikan dengan talak
satu atau dua sama ada telah disetubuhi atau tidak, disebut mas kahwinnya dalam
akad atau tidak, adalah berhak mendapat mut’ah”.

[21] Oleh yang demikian, kami berpendapat Responden adakah layak untuk memperolehi
mut’ah dan tidak wajar kelayakan tersebut dipertikaikan oleh Perayu tanpa membuktikan apa-apa
fakta yang boleh menafikan hak Responden tersebut.

ISU KEDUA: APAKAH KADAR MUTAAH KEPADA RESPONDEN BERJUMLAH


RM39,261.80 ADALAH SUATU KADAR YANG MUNASABAH ATAU TIDAK.

[22] Apabila kami berpendapat Responden wajar memperolehi mut’ah, isu seterusnya ialah
apakah kadar bayaran mut’ah yang telah diperintahkan Hakim Bicara berjumlah RM39,261.80
merupakan suatu jumlah yang munasabah atau tidak. Berhubung dengan kadar mut’ah, Al-Quran
telah menetapkan panduan asas melalui ayat 236 Surah al-Baqarah ;-

ْ ‫ىَال ُمو ِس ِعَقد ُرهَُوعل‬


ُ‫ىَال ُم ْقتِ ِرَقد ُر َه‬ ْ ‫ومتِّعُوه َُّنَعل‬
Maksudnya: ....hendaklah kamu memberi mut'ah (saguhati) kepada mereka (yang
diceraikan) iaitu suami yang senang (hendaklah memberi saguhati) menurut ukuran
kemampuannya dan suami yang susah menurut kemampuannya.

[23] Berdasarkan ayat tersebut, adalah jelas bahawa sesuatu kadar mut’ah hendaklah ditentukan
berdasarkan kemampuan pembayarnya iaitu suami. Sekiranya ada persetujuan diantara suami dan
isteri berkenaan jumlah mut’ah, maka itulah kadar mut’ah yang wajib diberikan berdasarkan
matan Kitab Hasyiah I’anah at-Tolibin, Juzuk 3, m.s. 596 ;-

9
Adapun kadar mut’ah yang wajib jika kedua-dua belah bersetuju dengan sesuatu yang
tertentu maka itulah kadar mut’ahnya.

[24] Al-‘Allamah ‘Abu Bakr Usman bin Muhammad Syata al-Dimyathi al-Bakri di dalam
kitabnya Hasyiah I’anah at-Tolibin di m.s.702, ada menyatakan;
“jika tiada persetujuan, maka ditentukan oleh hakim dengan ijtihadnya dan kaedah
penentuan dengan mengambilkira akan kedudukan kedua-duanya waktu mereka
bercerai”.

Manakala Syeikh Mohd Khatib as-Syarbini di dalam kitab Mughni al-Muhtaj, juzu’ 3 m.s. 249
ada menyebut:
“Jika berlaku perselisihan antara kedua belah pihak tentang kadar mut’ah maka kadi
yang menentukan kadar mut’ah itu mengikut ijtihadnya setelah melihat keadaan kedua
belah pihak mengenai kemampuan suami dan keturunan serta sifat-sifat isteri.”

Menurut nas di dalam Kitab Qalyubi wa Umairah, Juzu’ 3 di dalaman 290-292 pula menyatakan;

‫فإنَتنازعاَقدرهاَالقاضىَبنظرهَأىَإجتهادهََمعتبراَحالهماَأىَيسارَالزوجَوإعسارهَونسبَالزوجةَوصفاتها‬

”Jika bertelingkah Kadi akan takdirkan mengikut pandangan dan ijtihad dengan
mengambil kira kedua suami isteri senang susah isteri, senang susah suami dan
keterunan isteri dan sifatnya.”

[25] Berdasarkan nas-nas tersebut kadar mut’ah yang sesuai boleh ditentukan dengan
berpandukan kepada factor-faktor berikut:

a. Pendapatan suami ketika perceraian


b. Kesenangan dan kesusahan kedua-dua pasangan;
c. Keturunan Isteri; dan
d. Sifat-sifat isteri

10
[26] Di dalam kes di hadapan kami ini, Perayu telah berhujah bahawa Hakim Bicara telah
terkhilaf dalam menentukan kadar mut’ah sebanyak RM39,261.80 apabila gagal mengambil kira
perkara-perkara berikut ;-

a. Kegagalan Responden untuk membuktikan tuntutannya berdasarkan kehendak


undang-undang dan hukum syarak. (m.s. 4 Hujahan Bertulis Perayu).

b. Kegagalan Responden membuktikan kemampuan Perayu untuk membayar mut’ah.


(ms 6 Hujahan Bertulis Perayu).

c. Kekhilafan Hakim Bicara membuat perkiraan mut’ah berdasarkan nilaian dirham


tanpa mengambil kira pendapatan bersih Perayu serta taraf, keturunan dan sifat
Responden yang dikatakan sederhana oleh Hakim Bicara. (m.s. 7, 8, 9, 10, 11 dan
12 Hujahan Bertulis Perayu).

[27] Kami tegaskan bahawa pertimbangan pertama dalam menentukan kadar mut’ah adalah
kemampuan bekas suami ketika berlaku perceraian. Timbul persoalan apakah Responden telah
berjaya membuktikan di Mahkamah berkenaan kemampuan Perayu?

[28] Berhubung dengan perkara ini, kami telah meneliti nota keterangan di muka surat 212
Rekod Rayuan dan kami dapati Hakim Bicara telah membuat dapatan sebagaimana berikut;

“Defendan di dalam afidavit keterangannya menyatakan bahawa pada waktu ini


Defendan bekerja di Syarikat Multimeredian Sdn. Bhd. Sebagai Ketua Jurulatih dengan
gaji bersih sebanyak RM7000.00 sebulan. Defendan juga menyatakan bahawa Defendan
mendapat pencen tentera sebanyak RM1600.00 sebulan manakala pencen pada tahun
2011 pencennya berjumlah RM2100.00. Semasa sesi soal balas, Defendan mengaku
bahawa pada tahun 2013 bekerja di Syarikat Safeguards D4S sebagai Pengurus Besar
Latihan. Begitu juga semasa disoal oleh mahkamah, Defendan mengaku bahawa semasa
perceraian berlaku pada Ogos 2012, pendapatan kasar Defendan adalah RM11,000.00

11
dan pencen asal RM2575.00 yang mana selepas ditolak dengan pembayaran rumah
pencen tersebut berbaki RM1600.00. Oleh yang demikian, Mahkamah menerima
kenyataan Defendan tersebut sebagai asas dalam menilai kemampuan Defendan dalam
menentukan kadar mut’ah yang akan diterima oleh Plaintif.” (ms 212 Rekod Rayuan)

[29] Kami bersetuju dengan dapatan Hakim Bicara tersebut, kerana kami berpandangan
pengakuan Perayu berkenaan pendapatannya pada masa perceraian merupakan suatu pengakuan
terhadap dirinya sendiri. Dalam keadaan ini, apabila Perayu sendiri membuat pengakuan tentang
penfapatannya ketika perceraian, maka fakta tersebut tidak perlu dibuktikan lagi oleh Responden
dan hendaklah diterima Mahkamah sebagai suatu fakta bagi mempertimbangkan apa-apa
keputusan di hadapannya.

[30] Selain daripada itu, kami turut mendapati pengakuan Perayu tersebut adalah selari dan
konsisten dengan keterangan dan dokumen yang dizahirkan Responden di Mahkamah. Perkara
tersebut turut diulas Hakim Bicara di perenggan 23 Alasan Penghakiman. (ms.211 Rekod Rayuan).
Oleh yang demikian, alasan Perayu yang menyatakan Responden gagal membuktikan
kemampuannya adalah ditolak.

[31] Seterusnya, Perayu menghujahkan bahawa Hakim Bicara turut terkhilaf kerana gagal
mengambilkira perbelanjaan Perayu dalam menentukan kadar mutah sedangkan perbelanjaan yang
dimaksudkan Perayu telah tidak dipertikaikan oleh Responden. Responden pula telah
menghujahkan bahawa perbelanjaan yang dimaksudkan Perayu tersebut adalah perbelanjaan yang
mewah dan tidak menjadi keperluan utama kepada Perayu untuk menanggungnya.

[32] Hakim Bicara telah mengulas perkara ini di dalam Alasan Penghakimannya di ms 213
Rekod Rayuan dengan merujuk kes Mohd Farid bin Abdul Rahman lwn Rabihah Binti
Kamaruddin (2006) JH 21 1 79. Dapatan Hakim Bicara ialah sepertimana berikut;

“Di dalam penetapan kemampuan Defendan, Mahkamah hendaklah berpegang kepada


pendapatan kasar sebelum ditolak sebarang tanggungan sebagai kemampuan Defendan
dan bukannya berdasarkan pendapatan bersih sebagaimana yang diputuskan dalam kes

12
Mohd Farid bin Abdul Rahman lwn Rabihah Binti Kamaruddin (2006) JH 21 1
79.................”

[33] Berkenaan perkara ini, kami telah merujuk kepada catatan perbicaraan Hakim Bicara
berkaitan perbelanjaan Perayu. Perayu telah menzahirkan di hadapan Hakim Bicara beberapa
dokumen yang menggambarkan pendapatan dan perbelanjaan bulanan Perayu iaitu slip gaji Perayu
pada tahun 2015, slip pembayaran nafkah isteri Perayu, slip pembayaran kereta isteri Perayu pada
5/5/2015 dan 2/6/2015, slip pembayaran perbelanjaan anak keempat pihak-pihak, resit insurans
anak keempat pihak-pihak, slip pembayaran perbelanjaan dan resit insurans anak ketiga pihak-
pihak dan bil utiliti. Perayu menghujahkan bahawa pihak Responden tidak membantah malah telah
menerima keterangan Perayu berkenaan perbelanjaan tersebut. Setelah kami meneliti dokumen
tersebut, kami mendapati kesemua dokumen slip dan resit pembayaran tersebut adalah untuk tahun
2015 kecuali resit bayaran berjumlah RM100 yang ditandakan sebagai D14 (ms 256 Rekod
Rayuan) yang menunjukkan pembayaran pada 4 Oktober 2012 (2 bulan selepas perceraian).

[34] Pada pendapat kami, apabila Perayu menzahirkan perbelanjaannya sekitar tahun 2015
sahaja maka ianya tidaklah berkaitan dengan kemampuan Perayu yang sebenar ketika perceraian
pihak-pihak pada 27 Ogos 2012, dan kami berpendapat tindakan Responden yang tidak
membantah dokumen tersebut tidaklah boleh menyebabkan Mahkamah menerima perbelanjaan
tersebut sebagai perbelanjaan sebenar Perayu pada masa perceraian pihak-pihak pada tahun 2012.
Jika Perayu berjaya menunjukkan perbelanjaan patut pada masa perceraian tersebut, maka pastinya
perkara tersebut boleh menjadi asas pertimbangan kepada Hakim Bicara untuk menentukan jumlah
mut’ah, malangnya di dalam kes ini Perayu gagal berbuat demikian.

[35] Berdasarkan fakta-fakta di atas kami mengukuhkan dapatan Hakim Bicara bahawa
kemampuan Perayu hendaklah diukur kepada pendapatan kasar Perayu ketika perceraian tetapi
apa-apa perbelanjaan wajib dan patut yang telah dibuktikan Perayu di dalam tempoh itu hendaklah
juga menjadi asas pertimbangan kepada Hakim Bicara bagi menentukan jumlah mut’ah. Prinsip
ini kami telah putuskan di dalam kes Norizam bt. Mohd Lazim lwn. Halim Azman Haji Sulaiman
[1995] JH10(1), dan kes Siti Asiah bt. Abdul Aziz lwn. Abdul Ghaffar b. Hashim [1995] JH10(2).

13
[36] Selanjutnya Perayu menghujahkan bahawa dengan kadar mut’ah sebanyak RM39, 261.80
itu, ianya adalah bertentangan dengan dapatan Hakim Bicara yang mengiktiraf status Responden
sebagai golongan pertengahan dan berstatus sederhana sahaja. Responden pula menghujahkan
bahawa kadar mut’ah yang diperintahkan Hakim Bicara adalah bersesuaian dengan status
Responden yang dikategorikan sebagai golongan sederhana dan penentuan tersebut telah dibuat
Hakim Bicara dengan mengambil kira semua elemen termasuklah tempoh perkahwinan selama 30
tahun pihak-pihak. Hakim Bicara dalam isu ini telah mengesahkan berkenaan status Responden
sebagai berstatus sederhana. Walaubagaimanapun, selain itu Hakim Bicara di perenggan 29
Alasan Penghakiman (ms 215 Rekod Rayuan) telah mengiktiraf sumbangan dan pengorbanan
Responden sebagai seorang isteri dan ibu yang banyak berkorban sama ada dari segi kerjaya dan
lain-lain di sepanjang tempoh perkahwinan dengan Perayu. Setelah mengambilkira kesemua
eleman tersebut, maka Hakim Bicara telah meng’award’kan mut’ah dengan jumlah RM39, 261.80
kepada Responden.

[37] Adalah menjadi suatu prinsip yang kukuh di Mahkamah Syariah, selain daripada
kemampuan bekas suami, status kehidupan pasangan ketika perkahwinan, keadaan, sifat dan taraf
bekas isteri juga hendaklah diberikan pertimbangan di dalam menentukan jumlah mut’ah. Ianya
sebagaimana dinyatakan di dalam kitab “‫ ” الفقهَاالشافعيَالميسر‬karangan Prof.Dr Wahbah az-Zuhailiy
, hlm 99 jilid 2, cetakan Dar al-Fikr tahun 2008 ada menyebut :
َ
َ‫َمراعياَأوَمعتبرا‬،َ‫َأىَبإجتهادهَبحسبَماَيليقَبالحال‬،َ‫َقدرهاَالقاضيَبنظره‬،َ‫إنَتنازعَالزوجانَفيَقدرَالمتعة‬
َ،َ‫َونسبهاَوصفاتها‬،َ‫حالهماَمنَيسارَوإعسار‬
)َ236َ/2َ‫َالبقرة‬.........َ‫َ(َومتعوهنَعلىَالموسعَقدره‬:َ‫لقولهَتعالى‬
)َ241َ/2َ‫ََالبقرة‬..........َ‫َ(َوللمطلقاتَمتاعَبالمعروف‬:َ‫وقولهَسبحانهَتعالى‬

Jika suami isteri bertelingkah pada kadar mut’aah , maka hakim akan menentukan
mengikut ijtihatnya berdasarkan kelayakan semasa dari sudut susah senang mereka
berdua serta melihat dari sudut nasab perempuan dan paras rupa perempuan tersebut.

14
[38] Selain daripada itu, tempoh perkahwinan pihak-pihak juga hendaklah diambilkira
sebagaimana yang dinyatakan oleh Panel Rayuan Syariah Selangor dalam kes Zaharah bt. Alias
lwn. Jen. (B) Tan Sri Dato’ Zain Hashim [1432H] JH 32(2):

”Kami juga bersetuju tempoh perkahwinan Perayu dan responden selama 34 tahun yang
diulas oleh YA Hakim menjadi sandaran untuk meluluskan mut’ah kepada perayu. Pada
pendapat kami tempoh 34 tahun bukanlah satu masa yang pendek. Perayu dan responden
telah mengalami segala pahit manis kehidupan dan kesengsaraan mahupun kesenangan
ketika hidup bersama...”

[39] Berdasarkan kepada nas-nas di atas, maka kami mendapati Hakim Bicara tidak melakukan
kekhilafan dalam menentukan jumlah mut’ah kerana Hakim Bicara telah mengambilkira semua
faktor sebagaimana yang dikehendaki hukum syarak di atas dengan kata lain status sederhana
Responden bukanlah menjadi faktor tunggal yang telah diambilkira Hakim Bicara dalam
menentukan jumlah mut’ah.

[40] Kami selanjutnya merujuk kepada asas pegiraan mut’ah oleh Hakim Bicara di mana
penetapan jumlah mut’ah bersandarkan kepada pendapat kadar minima mut’ah yang disunatkan
iaitu tidak kurang daripada 30 dirham. Hakim Bicara telah membuat pengiraan dan memperolehi
nilai semasa 30 dirham pada tarikh perceraian pihak-pihak adalah bersamaan RM19, 630.91. (ms
208 Rekod Rayuan). Kiraan tersebut berdasarkan kepada kitab I’anah al-Talibin, juzuk 3, m.s.
357”

‫ويسنَأنَالَينقصَعنَثالثينَدرهما‬

Sunat kadar mutaah itu tidak kurang dari tiga puluh dirham

[41] Setelah Hakim Bicara memperolehi kadar minima tersebut, Hakim Bicara telah
menggandakan RM19, 630.91 dengan gandaan sekali ganda menjadi RM39,261.80 sebagaimana
yang dinyatakan Hakim Bicara di ms. 217 Rekod Rayuan;

15
“Setelah meneliti keseluruhan di prenggan 28 hingga perenggan 32 di atas, iaitu fakta
berkaitan keadaan Plaintif dan tempoh perkahwinan pihak-pihak, Mahkamah
berpendapat bayaran mutah hendaklah dinaikkan sekali ganda lagi berdasarkan jumlah
minima yang wajar diberikan kepada plaintif.....”

[42] Pada hemat kami kemampuan pembayar hendaklah menjadi keutamaan sebagaimana
maksud ayat 236 Surah al-Baqarah. Sekiranya bekas suami bukanlah seorang yang berpendapatan
lumayan dan terlalu tinggi, kadar nilai 30 dirham yang digandakan tersebut adalah terlalu tinggi
dan akan membebankannya. Dengan kata lain, kami berpendapat jumlah mut’ah sebanyak RM39,
261.80 adalah tinggi berbanding pendapatan bulanan Perayu. Kami bersetuju bahawa
pertimbangan Hakim Bicara hendaklah berasaskan kepada pendapatan bulanan Perayu yang
berjumlah RM11,000.00 sebulan dan hendaklah mengambilkira elemen-elemen lain seperti status
kehidupan pihak-pihak dalam tempoh perkahwinan, sifat dan pengorbanan Responden serta
tempoh perkahwinan yang panjang.

[43] Oleh yang demikian, satu jumlah yang munasabah dan berpatutan hendaklah diberikan dan
mudah-mudahan dengan jumlah tersebut hikmah pensyariatan mut’ah akan dapat dirasai kedua-
dua pihak.

KEPUTUSAN
SETELAH Kami meneliti Alasan-alasan Rayuan, Rekod Rayuan dan penghujahan bertulis
setelah mendengar dan meneliti hujah bertulis Perayu, MAKA Kami sebulat suara memutuskan
seperti berikut;

1. Rayuan Perayu DITERIMA;


2. Para 2 Perintah Mahkamah Tinggi Syariah dalam Kes Mal No: 10400-016-0277-2013
bertarikh 16 Disember 2015 DIUBAH; dan
3. Perayu diperintahkan untuk membayar mut’ah kepada Responden sebanyak RM30,000.00
sahaja.

16

You might also like