You are on page 1of 10

IBO

lwn
NBM

[Mahkamah Rayuan Syariah di Negeri Selangor. Kes Rayuan No.: 10000-016-0052-


2015(YAA Tan Sri Dr. Ibrahim bin Lembut (Pengerusi), YA Dato’ Seri Dr. Md. Yusup bin
Che Teh (Ahli Panel) YA Datuk Aidi bin Moktar (Ahli Panel)]

[27 Rejab 1437 bersamaan 05 Mei 2016]

Undang-Undang Keluarga Islam- Rayuan Mut’ah- Kadar Mut’ah Yang Munasabah Yang
Perlu Dibayar- Seksyen 58 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

[1] Rayuan ini difailkan oleh Perayu kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Y.A
Hakim Bicara Mahkamah Tinggi Syariah dalam kes no. 10400-016-0284-2013 yang
diberikan pada 8 Julai 2015. Perintah tersebut adalah:
Mahkamah memerintahkan Defendan (Perayu) membayar kepada Plaintif
(Responden) sebanyak RM 17,067.30 sebagai bayaran mut’ah dan saguhati
perceraian.

[2] Perayu telah menfailkan notis rayuannya pada 15/7/2015 dan merayu terhadap
keseluruhan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah tersebut.

[3] Perayu telah menfailkan alasan rayuannya bertarikh 27/10/2015 dengan memplidkan 5
alasan rayuan sepertimana di muka surat 238-239 Rekod Rayuan.

Fakta Kes
[4] Perayu dan Responden telah berkahwin pada 4/8/2006 dan telah bercerai pada
15/6/2011 di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Hulu Langat dengan pensabitan talaq

DOKUMEN INI HANYA UNTUK RUJUKAN SAHAJA DAN TIDAK BOLEH DIGUNAKAN SEBAGAI HUJAHAN
DALAM PROSIDING MAHKAMAH
satu kali pertama berjumlah satu talaq. Tempoh perkahwinan adalah selama lebih
kurang 4 tahun 10 bulan.

[5] Hasil perkahwinan, Perayu dan Responden tidak dikurniakan anak.

[6] Pada 24/6/2013, Responden telah menfailkan tuntutan mut’ah di Mahkamah Tinggi
Syariah di dalam kes no. 10400-016-0284-2013 dengan jumlah tuntutan sebanyak RM
101,000.00.

[7] Kes tersebut telah dibicarakan mulai 24/2/2014. Perayu dan Responden telah memberi
keterangan secara bersendirian tanpa memanggil mana-mana saksi. Pada 8/7/2015 Y.A
Hakim Bicara telah memutuskan tuntutan tersebut sepertimana perintah di perenggan
[1] di atas.

Diputuskan
SETELAH Mahkamah meneliti Alasan-alasan Rayuan, Rekod Rayuan dan setelah mendengar
dan meneliti hujah bertulis Perayu, MAKA Mahkamah sebulat suara memutuskan seperti
berikut:
(1) Rayuan Perayu diterima.
(2) Perintah Mahkamah Tinggi Syariah dalam Kes Mal No: 10400-016-0284-2015
bertarikh 8/7/2015 adalah dibatalkan.
(3) Perayu diperintahkan untuk membayar mut’ah kepada Responden sebanyak RM
4,000.00.

Peguam Syarie
1. Perayu: diwakili oleh Fakhrul Azman b. Abu Hassan daripada Tetuan
Azaine & Fakhrul.
2. Responden: tidak diwakili.

Surah al-Quran yang dirujuk


1. Surah Al-Baqarah, ayat 236.

DOKUMEN INI HANYA UNTUK RUJUKAN SAHAJA DAN TIDAK BOLEH DIGUNAKAN SEBAGAI HUJAHAN
DALAM PROSIDING MAHKAMAH
2. Surah al-Baqarah, ayat 241.

Undang-undang yang dirujuk


1. Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003-Seksyen 2, 58

Kita-kitab yang dirujuk


1. Umdah al-Mukmin, Vol.6, m.s. 303.
2. al-Mu’tamad fi Fiqh al-Islami oleh Prof .Dr. Muhammad al-Zuhailiy , jilid 4, m.s. 128.
3. Hasyiah I’anah at-Tolibin, Juzuk 3, m.s. 596.
4. HasyiahI’anah at-Tolibin di m.s.702.
5. Mughni al-Muhtaj, juzu’ 3 m.s. 249.
6. I’anah al-Talibin, juzuk 3, m.s. 357.

Kes-kes yang dirujuk


1. Mohd. Nasran b. Omar.
2. Zaharah bt. Alias lwn. Jen(B) Tan Sri Dato’ Zain Hashim [1432H] JH 32(2).
3. Norizam bt. Mohd Lazim lwn. Halim Azman Haji Sulaiman [1995] JH10(1).
4. Siti Asiah bt. Abdul Aziz lwn. Abdul Ghaffar b. Hashim [1995] JH10(2).

Penghakiman YAA Tan Sri Dr. Ibrahim bin Lembut (Pengerusi), YA Dato’ Seri Dr. Md.
Yusup bin Che Teh (Ahli Panel) YA Datuk Aidi bin Moktar (Ahli Panel), HMRyS

[8] Responden dalam kes ini telah tidak menfailkan sebarang hujahan walaupun peluang
tersebut telah diberikan oleh Mahkamah. Oleh yang demikian, kes ini akan diputuskan
berdasarkan kepada hujah Perayu serta dokumen-dokumen Notis Rayuan, Alasan
Rayuan dan Rekod Rayuan yang dimasukkan oleh Perayu.

[9] Berdasarkan Alasan Rayuan Perayu dan hujah yang difailkan, Mahkamah berpendapat
hanya terdapat 1 isu sahaja yang perlu diulas oleh Mahkamah iaitu berapakah kadar
mut’ah yang munasabah yang perlu dibayar oleh Perayu kepada Responden.

DOKUMEN INI HANYA UNTUK RUJUKAN SAHAJA DAN TIDAK BOLEH DIGUNAKAN SEBAGAI HUJAHAN
DALAM PROSIDING MAHKAMAH
[10] Dalam kes ini tidak timbul sebarang pertikaian antara Perayu dan Responden tentang
kelayakan Responden untuk menerima bayaran mut’ah daripada Perayu selepas
bercerai.

[11] Sebelum Mahkamah mengulas berkenaan kadar mut’ah yang munasabah bagi
Responden, adalah lebih baik untuk Mahkamah menyentuh terlebih dahulu berkenaan
mut’ah mengikut Hukum Syarak dan undang-undang. Berdasarkan kitab Umdah al-
Mukmin, Vol.6, m.s. 303, mut’ah bermaksud suatu bayaran saguhati yang diberikan
kepada isteri yang diceraikan. Seksyen 2 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam
(Negeri Selangor) 2003 [EUUKIS 2003] menyatakan “mut’ah” ertinya bayaran
saguhati yang diberi dari segi Hukum Syarak kepada isteri yang diceraikan.

[12] Asas tentang pembayaran mut'ah adalah bersumberkan daripada al-Qur’an al-Karim,
dalam Surah Al-Baqarah, ayat 236:

‫علاى ْال ُموسع‬


‫ضةً او امتعُو ُه َّن ا‬ ُ ‫سو ُه َّن أ ا ْو ت ا ْفر‬
‫ضوا لا ُه َّن فاري ا‬ ‫طلَّ ْقت ُ ُم الن ا‬
ُّ ‫سا اء اما لا ْم ت ا ام‬ ‫علا ْي ُك ْم إ ْن ا‬
‫اَل ُجناا اح ا‬
‫علاى ْال ُمحْ سنينا‬
‫عا ب ْال ام ْع ُروف احقًّا ا‬
ً ‫علاى ْال ُم ْقتر قادا ُرهُ امت اا‬
‫قادا ُرهُ او ا‬

Bermaksud:
Tidaklah kamu bersalah (dan tidaklah kamu menanggung bayaran mas kahwin).
Jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu sentuh (bercampur
dengan mereka) atau (sebelum) kamu menetapkan maskahwin untuk mereka
walaupun demikian hendaklah kamu memberi mut'ah (saguhati) kepada mereka
(yang diceraikan) iaitu suami yang senang (hendaklah memberi saguhati) menurut
ukuran kemampuannya dan suami yang susah menurut kemampuannyasebagal
pemberian (saguhati) menurut yang patut lagi menjadi satu kewajipan atas
orangorang yang mahu membuat kebaikan.

[13] Hukum membayar mut’ah kepada isteri yang diceraikan adalah wajib berdasarkan
firman Allah Ta’ala dalam surah al-Baqarah, ayat 241:
‫ع اول ْل ُم ا‬
‫طلَّقاات‬ ٌ ‫علاى ب ْال ام ْع ُروف امت اا‬
‫ْال ُمتَّقينا احقًّا ا‬
4

DOKUMEN INI HANYA UNTUK RUJUKAN SAHAJA DAN TIDAK BOLEH DIGUNAKAN SEBAGAI HUJAHAN
DALAM PROSIDING MAHKAMAH
Bermaksud:
Bagi perempuan-perempuan yang diceraikan, sagu hati dengan cara yang baik
sebagai hak ke atas orang yang bertakwa.

[14] Dalam EUUKIS 2003, mut’ah telah diperuntukkan di bawah Seksyen 58:
58. Mut’ah atau pemberian saguhati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab
yang patut.

Selain daripada haknya untuk memohon nafkah, seseorang perempuan yang telah
diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon mut’ah atau
pemberian saguhati kepada Mahkamah, dan Mahkamah boleh, selepas mendengar
pihak-pihak itu dan apabila berpuas hati bahawa perempuan itu telah diceraikan tanpa
sebab yang patut, memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan
patut mengikut Hukum Syarak.

[15] Hikmah dan tujuan utama diwajibkan pembayaran mut’ah boleh dilihat dalam Kitab al-
Mu’tamad fi Fiqh al-Islami oleh Prof .Dr. Muhammad al-Zuhailiy , jilid 4, m.s. 128:

‫ والتخفيف‬، ‫و تجب المتعة جبرا لما لحقها من الطالق ولتطييب قلبها عند فراق بيت الزوجية‬
‫ ولكسر حدة األلم والكراهية التي تنتج‬، ‫من اإلستيحاش بسبب ما تشعر به من مفارقة زوجها‬
‫ غالبا عن هذا الفراق‬.
Bermaksud:
Kewajipan memberi Mutaah adalah kerana menutup sangkaan buruk orang
terhadap isteri yang telah diceraikan serta bertujuan menyukakan hati bekas isteri
ketika berpisah dari rumah kelaminnya , dan Mutaah juga bertujuan
menenangkan emosi yang tidak tenteram, kepedihan hati yang dialami oleh isteri
akibat perceraian dengan suaminya.

[16] Mut’ah bukanlah bertujuan untuk dijadikan sebagai pampasan, penambahan harta atau
keuntungan kepada isteri bahkan ianya merupakan saguhati yang diberikan berdasarkan
kemampuan suami dengan tujuan tertentu seperti yang dinyatakan dalam nas tersebut.
5

DOKUMEN INI HANYA UNTUK RUJUKAN SAHAJA DAN TIDAK BOLEH DIGUNAKAN SEBAGAI HUJAHAN
DALAM PROSIDING MAHKAMAH
[17] Berhubung dengan kadar mut’ah, Al-Quran telah menetapkan panduan asas melalui
ayat 236 Surah al-Baqarah:

ُ‫علاى ْال ُم ْقتر قادا ُره‬


‫علاى ْال ُموسع قادا ُرهُ او ا‬
‫او امتعُو ُه َّن ا‬
Bermaksud:
....hendaklah kamu memberi mut'ah (saguhati) kepada mereka (yang diceraikan)
iaitu suami yang senang (hendaklah memberi saguhati) menurut ukuran
kemampuannya dan suami yang susah menurut kemampuannya.

[18] Berdasarkan ayat tersebut, adalah jelas bahawa sesuatu kadar mut’ah hendaklah
ditentukan berdasarkan kemampuan pembayarnya iaitu suami. Sekiranya ada
persetujuan diantara suami dan isteri berkenaan jumlah mut’ah, maka itulah kadar
mut’ah yang wajib diberikan berdasarkan matan Kitab Hasyiah I’anah at-Tolibin, Juzuk
3, m.s. 596:

Adapun kadar mut’ah yang wajib jika kedua-dua belah bersetuju dengan sesuatu yang
tertentu maka itulah kadar mut’ahnya.

[19] Al-‘Allamah ‘Abu Bakr Usman bin Muhammad Syata al-Dimyathi al-Bakri dalam
kitabnya HasyiahI’anah at-Tolibin di m.s.702, ada menyatakan:

“jika tiada persetujuan, maka ditentukan oleh hakim dengan ijtihadnya dan kaedah
penentuan dengan mengambilkira akan kedudukan kedua-duanya waktu mereka
bercerai”.

Manakala Syeikh Mohd Khatib as-Syarbini di dalam kitab Mughni al-Muhtaj, juzu’ 3
m.s. 249 ada menyebut:

“Jika berlaku perselisihan antara kedua belah pihak tentang kadar mut’ah maka kadi
yang menentukan kadar mut’ah itu mengikut ijtihadnya setelah melihat keadaan kedua
belah pihak mengenai kemampuan suami dan keturunan serta sifat-sifat isteri.”

DOKUMEN INI HANYA UNTUK RUJUKAN SAHAJA DAN TIDAK BOLEH DIGUNAKAN SEBAGAI HUJAHAN
DALAM PROSIDING MAHKAMAH
[20] Penentuan kadar mut’ah yang sesuai/munasabah hendaklah dibuat oleh Hakim dengan
melihat kepada kemampuan suami ketika perceraian berlaku. Kemampuan suami pula
hanya boleh ditentukan melalui pengemukaan keterangan-keterangan yang mencukupi
di dalam Mahkamah. Adalah menjadi suatu prinsip yang teguh dalam Hukum Syarak
dan undang-undang bahawa tanggungjawab untuk membuktikan sesuatu fakta adalah
terletak di bahu pihak yang menuntut.

[21] Dalam kes dihadapan Mahkamah ini, Perayu telah berhujah bahawa Hakim Bicara telah
terkhilaf dalam menentukan kadar mut’ah sebanyak RM 17,067.30 apabila gagal
mengambilkira perkara-perkara berikut:
a. Pendapatan Perayu sebagai kakitangan DBKL yang mempunyai gaji bersih hanya
RM 2,518.34 sebulan (m.s.3 Hujahan Bertulis Perayu).
b. Aset-aset yang ditinggalkan Perayu ketika keluar dari rumah yang bernilai
sebanyak RM 60,000.00 boleh ditolak dengan jumlah mut’ah (m.s. 3 Hujahan
Bertulis Perayu).
c. Tempoh perkahwinan Perayu dan Responden hanyalah selama 4 tahun 10 bulan
sahaja (m.s. 6 Hujahan Bertulis Perayu).
d. Responden gagal untuk membuktikan dakwaannya kerana tiada saksi-saksi
dipanggil dalam perbicaraan (m.s. 8 Hujahan Bertulis Perayu).
e. Responden tidak mengemukakan keterangan berkaitan tahap kriteria keturunan dan
kedudukannya serta keluarganya (m.s. 11 Hujahan Bertulis Perayu).

[22] Sekali lagi Mahkamah tegaskan bahawa pertimbangan pertama dalam menentukan
kadar mut’ah adalah kemampuan Perayu sepertimana yang telah diputuskan dalam kes
Mohd. Nasran b. Omar. Mahkamah telah meneliti nota keterangan di muka surat 35-45
Rekod Rayuan dan Mahkamah bersetuju dengan dapatan Hakim Bicara yang
menyatakan:

“Plaintif dalam kes ini gagal membuktikan kemampuan Defendan sewaktu perceraian
kerana Plaintif hanya berjaya membuktikan gaji Defendan selepas perceraian berlaku.
Namun kemampuan Defendan ditentukan berdasarkan pengakuan Defendan sendiri

DOKUMEN INI HANYA UNTUK RUJUKAN SAHAJA DAN TIDAK BOLEH DIGUNAKAN SEBAGAI HUJAHAN
DALAM PROSIDING MAHKAMAH
iaitu Defendan di dalam afidavit keterangannya mengaku bahawa pendapatannya
sekarang adalah berjumlah RM 2,518.34 dan semasa disoalbalas, Defendan mengaku
bahawa pendapatnnya pada waktu bercerai dengan Plaintif adalah lebih kuran RM
2,000 lebih hasil daripada pekerjaannya sebagai penjawat awam di DBKL.....” (m.s.
228 Rekod Rayuan)

[23] Hanya keterangan tersebut sahajalah yang boleh dijadikan panduan kepada Mahkamah
dalam menentukan kemampuan Perayu semasa menentukan kadar mut’ah yang
munasabah.

[24] Pertimbangan yang selanjutnya adalah berkaitan dengan keturunan isteri dan sifat-sifat
isteri. Malangnya perkara ini telah tidak dihujahkan oleh pihak Responden di
Mahkamah Bicara. Mahkamah juga mempertimbangkan bahawa Responden telah
hidup bersama Perayu melayari bahtera suka duka berumahtangga selama lebih kurang
4 tahun 10 bulan. Tempoh perkahwinan ini juga hendaklah diambilkira oleh Mahkamah
dalam menentukan kadar mut’ah yang munasabah sebagaimana yang dinyatakan oleh
Panel Rayuan Syariah Selangor dalam kes Zaharah bt. Alias lwn. Jen(B) Tan Sri Dato’
Zain Hashim [1432H] JH 32(2):

”Kami juga bersetuju tempoh perkahwinan Perayu dan responden selama 34 tahun
yang diulas oleh YA Hakim menjadi sandaran untuk meluluskan mut’ah kepada perayu.
Pada pendapat kami tempoh 34 tahun bukanlah satu masa yang pendek. Perayu dan
responden telah mengalami segala pahit manis kehidupan dan kesengsaraan mahupun
kesenangan ketika hidup bersama...”

[25] Dalam menentukan jumlah mut’ah di dalam kes di hadapan kami ini, Mahkamah telah
merujuk kes Mohd Nasran b. Omar, kes Norizam bt. Mohd Lazim lwn. Halim Azman
Haji Sulaiman [1995] JH10(1), dan kes Siti Asiah bt. Abdul Aziz lwn. Abdul Ghaffar
b. Hashim [1995] JH10(2).

DOKUMEN INI HANYA UNTUK RUJUKAN SAHAJA DAN TIDAK BOLEH DIGUNAKAN SEBAGAI HUJAHAN
DALAM PROSIDING MAHKAMAH
[26] Berdasarkan ketiga-tiga kes tersebut, Mahkamah Bicara berkenaan telah memutuskan
satu prinsip iaitu dalam membuat penetapan kadar mut’ah, maka pendapatan bulanan
suami boleh dijadikan panduan setelah Mahkamah mengambilkira dan menimbang
pembuktian terhadap pendapatan dan perbelanjaan pihak-pihak. Mahkamah
berpendapat bahawa jumlah mut’ah yang akan diberikan kepada Perayu dalam kes
rayuan ini adalah satu jumlah yang munasabah berdasarkan kemampuan Perayu dan
keadaan Responden ketika perceraian berlaku.

[27] Mahkamah mendapati bahawa Hakim Bicara telah menetapkan jumlah mut’ah
sebanyak RM 17,067.30 adalah bersandarkan kepada pendapat jumlah minima mut’ah
yang disunatkan adalah tidak kurang daripada 30 dirham. Nilai semasa 30 dirham
adalah bersamaan RM 17,067.30. Pendapat tersebut dinyatakan dalam kitab I’anah al-
Talibin, juzuk 3, m.s. 357:
‫ويسن أن َل ينقص عن ثالثين درهما‬
Bermaksud:
“Sunat kadar mutah itu tidak kurang dari tiga puluh dirham.”

[28] Mahkamah bersetuju bahawa kadar mut’ah yang ditetapkan hendaklah tidak kurang
daripada nilai 30 dirham kerana ianya adalah sunat menurut nas tersebut. Namun, pada
hemat Mahkamah, kemampuan pembayar hendaklah menjadi keutamaan sebagaimana
maksud ayat 236 Surah al-Baqarah yang Mahkamah telah sebut sebelum ini. Sekiranya
suami adalah seorang yang miskin/susah, kadar nilai 30 dirham tersebut adalah terlalu
tinggi dan akan membebankannya. Oleh yang demikian, Mahkamah bersetuju dengan
hujah pihak Perayu bahawa Hakim Bicara telah khilaf apabila tidak mengambilkira
kemampuan sebenar Perayu dalam menentukan kadar mut’ah yang munasabah.

[29] Mahkamah berpendapat jumlah mut’ah sebanyak RM 4,000.00 adalah munasabah dan
berpatutan kerana ianya masih dalam lingkungan kemampuan Perayu yang mempunyai
pendapatan gaji semasa bercerai sebanyak RM 2000 lebih sebulan sebagaimana
dapatan Hakim Bicara.

DOKUMEN INI HANYA UNTUK RUJUKAN SAHAJA DAN TIDAK BOLEH DIGUNAKAN SEBAGAI HUJAHAN
DALAM PROSIDING MAHKAMAH
[30] Mahkamah juga merujuk kepada hujah Perayu berkaitan fakta bahawa Responden telah
mengambil aset-aset yang telah ditinggalkan Perayu yang bernilai RM 60,000.00 yang
boleh ditolak dengan jumlah mut’ah. Mahkamah telah meneliti nota keterangan dalam
Rekod Rayuan dan bersetuju dengan dapatan Hakim Bicara bahawa fakta tersebut telah
tidak dibuktikan sewajarnya oleh Perayu (m.s 235 Rekod Rayuan).

[31] Kesimpulannya, Mahkamah berpuashati bahawa pihak Perayu telah menunjukkan


kepada Mahkamah bahawa Hakim Bicara telah khilaf dalam memutuskan kadar mut’ah
yang munasabah bagi tuntutan Responden dalam kes ini.

KEPUTUSAN

SETELAH Mahkamah meneliti Alasan-alasan Rayuan, Rekod Rayuan dan setelah mendengar
dan meneliti hujah bertulis Perayu, MAKA Mahkamah sebulat suara memutuskan seperti yang
berikut:

(1) Rayuan Perayu diterima.


(2) Perintah Mahkamah Tinggi Syariah dalam Kes Mal No: 10400-016-0284-2015
bertarikh 8/7/2015 adalah dibatalkan.
(3) Perayu diperintahkan untuk membayar mut’ah kepada Responden sebanyak RM
4,000.00.

10

DOKUMEN INI HANYA UNTUK RUJUKAN SAHAJA DAN TIDAK BOLEH DIGUNAKAN SEBAGAI HUJAHAN
DALAM PROSIDING MAHKAMAH

You might also like