You are on page 1of 15

NMMN lwn PS

[Dalam Mahkamah Tinggi Syariah (Rayuan) Selangor Shah Alam (Y.A Puan Nenney
Shuhaidah Binti Shamsuddin, HMTS), 29 Rabiulakhir 1439H bersamaan 17 Januari 2018M]

[Rayuan Jenayah No: 10500-166-0008-2017]

Undang-Undang Jenayah Syariah – Kesalahan Khalwat – Seksyen 29 (1)(a) dan (b) –


Tahanan di Baitul Ehsan dan Baitul Iman – Seksyen 54 (2) Enakmen Jenayah Syariah
(Negeri Selangor) 1995.

Undang-Undang Tatacara Jenayah Syariah – Tahanan Di Baitul Iman Tertuduh Lelaki -


Seksyen 97 (2)(b) – Campurtangan Mahkamah Yang Mendengar Rayuan – Seksyen 138 –
Rayuan Takat Hukuman – Seksyen 136 - Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri
Selangor) 2003.

Undang-Undang Pentadbiran – Rayuan Terhadap Hukuman – Seksyen 63 (1)(a) Enakmen


Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Fakta Kes

[1] Kes ini merupakan kesalahan poligami tanpa kebenaran Mahkamah berdasarkan
seksyen 124 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995. Atas pengakuan
bersalah Perayu, Hakim Bicara Tuan Abdul Fattah Bin Kamarudin mendapati
Perayu bersalah dan dikenakan hukuman denda penjara 3 hari bermula dari tarikh
keputusan dibacakan pada 25 Oktober 2016.

[2] Tindakan di dalam kes ini merupakan rayuan terhadap keputusan Tuan Abdul Fattah
Bin Kamarudin, Hakim MRS Daerah Hulu Langat (selepas ini disebut Hakim
Bicara) dalam kes No. 10005-166-0178-2016 yang telah diberikan pada 25 Oktober
2016. Hakim Bicara telah memerintahkan Perayu dijatuhi dengan hukuman penjara
selama 3 hari dan tiada denda dikenakan atas kesalahan berpoligami tanpa
kebenaran Mahkamah. Walaubagaimanapun Perayu tidak berpuas hati terhadap
sebahagian keputusan tersebut mengenai hukuman penjara selama 3 hari yang
dikenakan ke atasnya dan Perayu telah memfailkan satu notis rayuan ke Mahkamah
Rendah Syariah pada tarikh yang sama keputusan tersebut dikeluarkan. Perayu

1
kemudiannya telah membuat penggantungan perintah sementara prosiding kes
rayuan selesai. Mahkamah membenarkan permohonan Perayu dengan bon jamin
seorang penjamin.

[3] Berikutan daripada alasan-alasan yang dikemukakan di dalam petisyen rayuan,


Peguam Perayu di dalam hujahan yang difailkan pada 21 September 2017 telah
membangkitkan alasan-alasan rayuan dan hujahan rayuan bagi pihak Perayu.
Sehubungan dengan itu, Mahkamah akan memberi ulasan di dalam membuat
keputusan bagi kes ini berdasarkan alasan-alasan yang dibangkitkan oleh Peguam
Perayu tersebut kerana semua alasan tersebut telah dinyatakan di dalam petisyen
yang dikemukakan.

Peguam Syarie / Ketua Pendakwa Syarie

1. Perayu: diwakili oleh Tn. Mohd Nooraizan Bin Md Idros dari Tetuan Noor Aizan &
Partners.
2. Responden: diwakili oleh Tuan Hj. Fairus Bin Hj. Jaafar, Pendakwa Syarie Negeri
Selangor.

Surah Al-Quran Yang Dirujuk

1. Surah An-Nisa’: ayat 16.


2. Surah Al-Maidah : ayat 39.

Undang-Undang Yang Dirujuk

1. Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 199 - s. 17, s. 29.


2. Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 - s. 61, s. 63.
3. Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 - s. 136, s. 138.
4. Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 - s. 31, s. 123,
s.124.

2
Kitab Yang Dirujuk

1. Dr. Abdul Qadir Audah. Al-Tasyri’ Al-Jinaie Al-Islamie. Juz 1. Risalah Publisher ;
Beirut-Lebanon.

Penghakiman YA Puan Nenney Shuhaidah Binti Shamsuddin, HMTS.

[4] Rayuan yang dibuat oleh Perayu dalam kes ini adalah berkenaan takat hukuman yang
telah dijatuhkan oleh Hakim Bicara dan bukannya terhadap sabitan kesalahan kerana
Perayu telah membuat pengakuan salah di hadapan Hakim Bicara. Rayuan ini dibuat
berdasarkan peruntukan seksyen 136, Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri
Selangor) 2003 [ETJS 2003] yang menyatakan :

“Apabila seseorang tertuduh telah mengaku salah dan disabitkan oleh Hakim atas akuan
itu, maka tiada rayuan boleh dibuat kecuali tentang takat atau keesahan hukuman itu”

[5]Mahkamah juga berbidangkuasa untuk membuat keputusan terhadap kes ini berdasarkan
peruntukan di bawah Seksyen 146 (b) (ii) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Selangor
2003 yang menyatakan;

146. Pada pendengaran sesuatu rayuan Mahkamah Tinggi Syariah boleh, jika ia berpendapat
bahawa tiada alasan yang mencukupi untuk campurtangan, menolak rayuan itu atau boleh –

(a) ...
(b) Dalam rayuan daripada suatu sabitan atau dalam rayuan tentang hukuman –
(i) ...
(ii) Mengubah dapatan, dengan mengekalkan hukuman, atau dengan atau tanpa
mengubah hukuman atau mengubah jenis hukuman itu.

[6]Mahkamah tidak berhasrat untuk mengulas dengan panjang lebar mengenai isu
bidangkuasa kerana tidak wujud pertikaian antara Perayu dan Responden mengenai
bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah. Ini kerana Mahkamah Syariah Yang Mulia ini
melalui seksyen 61 (3)(a), 63 (1) EPAIS , seksyen 124 EUUKIS 2003, seksyen 136, 138,
146 ETJS 2003 memperuntukkan bahawa Mahkamah Syariah ini “berkompeten” dan
berbidangkuasa untuk mendengar dan memutuskan kes ini.

3
[7] Bagi menjawab isu yang dihujahkan oleh Peguam Perayu Mahkamah telah meneliti dan
melihat kepada penghujahan dan alasan-alasan rayuan Perayu sebelum
mempertimbangkan dan membuat keputusan bagi kes ini. Perayu dalam hujahannya
berpendapat bahawa Hakim Bicara terdahulu dalam mengeluarkan dan mensabitkan
hukuman tersebut, telah terkhilaf dan tidak mengambil kira beberapa faktor penting
sebelum menjatuhkan sesuatu hukuman.

[8] Faktor-faktor yang dimaksudkan ialah berkenaan dengan rekod Perayu sendiri, kesalahan
kali keberapa, pengakuan bersalah Perayu, kesan-kesan terhadap sabitan atau hukuman,
serta faktor-faktor lain yang berkaitan. Hukuman sepatutnya dikenakan dari seringan-
ringan hukuman seperti memberi ruang kemaafan, denda sahaja dan bukan terus kepada
yang berat seperti penjara.

[9] Peguam Perayu berpendapat bahawa Hakim Bicara telah gagal dalam mengambil faktor
kesalahan kali pertama sebagai satu peringanan hukuman dan menyangkal kenyataan
Responden yang berhujjah secara spekulatif sedangkan tiada siasatan yang dibuat oleh
Hakim Bicara berkenaan dengan kemampuan kewangan Perayu dan tanggungan Perayu.
Meskipun Perayu berpendapatan RM5000 sebulan perkara tersebut tidak menjadikan
Perayu tidak terkesan dengan hukuman penjara yang dikenakan memandangkan Perayu
kini perlu menanggung 2 buah keluarga. Hakim Bicara telah terkhilaf dalam menjadikan
pendapatan bulanan Perayu sebagai kayu ukur dalam memutuskan bahawa hukuman
denda tidak memadai dan sepadan dengan Perayu dan dengan itu menjatuhkan hukuman
penjara.

[10] Perayu juga berpendapat bahawa Hakim Bicara terdahulu telah gagal membuat
pertimbangan bahawa pengakuan salah yang dibuat oleh Perayu adalah bertujuan untuk
tidak mahu membuang masa Mahkamah. Jika sekiranya Perayu tidak mengaku bersalah
maka sudah semestinya pihak mahkamah akan melalui proses perbicaraan yang panjang
dan keadaan ini pastinya akan mengambil masa mahkamah dan ada kos yang terpaksa
ditanggung.

4
[11] Perayu dalam hujahannya memberitahu bahawa dia telah sedar dan insaf akan kesalahan
yang telah dilakukan dan telah merayu supaya hukuman denda sahaja dikenakan serta
dikecualikan dari hukuman penjara. Jika hukuman penjara ini dijatuhkan ke atas Perayu,
sudah tentu akan mewujudkan perasaan takut kepada masyarakat sekeliling untuk
berpoligami sedangkan ianya merupakan perkara yang harus di sisi Islam bagi mereka
yang berkemampuan. Akibatnya, sudah tentu wujud pelbagai maksiat dan perzinaan di
kalangan masyarakat Islam kerana takut untuk berpoligami tanpa mengikut prosedur
yang betul disebabkan mempunyai faktor-faktor tertentu yang menghalang.

[12] Hakim Bicara juga telah khilaf membuat pertimbangan fakta bahawa Perayu dalam kes
ini adalah merupakan pesalah kali pertama, bukan melakukan kesalahan bertindih atau
berganda. Mahkamah sepatutnya melihat kepada wujud atau tidak rekod jenayah Syariah
perayu sebelum ini kerana ianya memainkan peranan penting dalam menentukan sesuatu
hukuman sama ada hukuman yang berat ataupun ringan. Oleh yang demikian,
disebabkan Perayu tidak pernah mempunyai rekod jenayah sebelum ini, maka adalah
tidak wajar sama sekali hukuman penjara dikenakan ke atas Perayu. Seksyen 129
Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Selangor 2003 memperuntukkan bahawa:-

(1) Apabila mana-mana orang yang bukan seorang pesalah muda telah disabitkan di hadapan mana-
mana Mahkamah atas apa-apa kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman pemenjaraan, maka
jika didapati oleh Mahkamah itu bahawa dengan mengambil kira watak, latar belakang, umur,
kesihatan atau keadaan mental pesalah itu atau kepada hakikat ringannya jenis kesalahan itu atau
kepada apa-apa hal keadaan peringan yang dalamnya kesalahan itu telah dilakukan adalah
suaimanfaat bahawa pesalah itu dilepaskan dalam cubaan akhlak untuk berkelakuan baik,
Mahkamah boleh, dengan tidak menghukumnya serta-merta dengan apa-apa hukuman, mengarahkan
supaya pesalah itu dilepaskan apabila dia mengikat bon dengan penjamin-penjamin dan sepanjang
apa-apa tempoh sebagaimana yang diarahkan oleh Mahkamah untuk hadir dan menerima
penghakiman jika dan apabila dipanggil dan sementara itu hendaklah berkelakuan baik.

[13] Perayu selanjutnya menegaskan bahawa kesalahan yang dilakukan adalah di bawah tajuk
penalti mal dan tidak tersenarai di bawah kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah
sepertimana yang diperuntukan di dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri
Selangor 1995. Jelasnya kesalahan Perayu di bawah seksyen 40(2) EUUKI (NS) 2003
iaitu bernikah tanpa kebenaran adalah kesalahan tatacara sahaja.

5
[14] Perayu selanjutnya menghujahkan bahawa dari segi Hukum Syarak, berpoligami adalah
diharuskan oleh Islam dan berdasarkan kepada alasan penghakiman, Hakim Bicara
terdahulu menyatakan bahawa kesalahan Perayu adalah bentuk kesalahan ta’zir yang
menyentuh kepentingan umum kerana dibimbangi memberi kesan kepada masalah
sosial kekeluargaan dan masyarakat. Walau bagaimanapun, Perayu hujahkan bahawa
kenyataan tersebut adalah suatu andaian Tuan Hakim bicara terdahulu sahaja kerana
sepanjang tempoh Perayu bernikah kemaslahatan tersebut dapat dijaga sebaiknya.
Adalah tidak adil jika Hakim Bicara terdahulu memberatkan hukuman dengan
menjatuhkan hukuman penjara diatas suatu andaian tanpa fakta sebenar yang
bersangkut paut dengan Perayu.

[15] Mahkamah sewajarnya boleh bertolak ansur dalam kes-kes sebegini. Pertimbangan
terhadap rayuan tertuduh selepas mengaku bersalah dan juga fakta-fakta lain harus
diambil kira. Perayu bukanlah seorang yang ditangkap oleh Jabatan Agama Islam
Selangor, lalu membuat laporan selepas itu atau membuat laporan selepas tempoh 6
bulan. Sebaliknya Perayu dengan sukarela membuat laporan di Pejabat Agama Islam
dalam masa yang diperuntukkan untuk mendaftarkan perkahwinan.

[16] Perayu juga telah mengambil tindakan untuk mendaftarkan perkahwinan bukannya
menyembunyikan perkahwinan tersebut yang boleh mengundang perkara buruk selepas
itu. Tambahan pula, perkahwinan baru Perayu tidak memberi kesan yang buruk kepada
keluarga sedia ada. Pada masa ini keluarga Perayu hidup aman bahagia dan Perayu
juga mampu menunaikan tanggungjawab sebagai suami kepada dua orang isteri tanpa
wujud pergaduhan dan perbalahan.

[17] Tambahan lagi di dalam hujahan lisan Pendakwa Syarie, pihak pendakwa langsung tidak
meminta supaya Perayu dipenjarakan. Pendakwa Syarie hanya memohon supaya
Mahkamah Yang Mulia ini menjatuhkan hukuman yang berat yang akan menjadi
pengajaran kepada Perayu.

[18]Responden pula dalam hujahannya menegaskan tidak melihat dimana perlunya untuk
dikatakan kegagalan Hakim Bicara dalam mempertimbangkan hukuman yang dikatakan
tidak memadai bagi Tertuduh iaitu penjara sedangkan segala isu yang dibangkitkan oleh
Perayu telah disentuh oleh Hakim Bicara dalam Alasan Penghakimannya. Responden
berhujah bahawa kesalahan kali pertama dan pengakuan salah bukan merupakan isu
6
persoalan undang-undang kerana telah ada banyak keputusan dan dapatan prinsip yang
dibuat oleh Mahkamah berhubung perkara tersebut. Oleh yang demikian adalah tidak
wajar Pemohon membangkitkan perkara kesalahan kali pertama dan pengakuan salah di
peringkat penghujahan ini memandangkan tiada merit dari sudut undang-undang dan
hukum syarak untuk dipertimbangkan. Justeru, hukuman tersebut masih dalam ruang
lingkup yang dibenarkan dan tidak dilihat berlebih-lebihan sehingga memudharatkan
Perayu.

[19]Responden juga bersetuju kesalahan ini merupakan kesalahan kali pertama oleh Perayu,
namun Responden berpendirian bahawa ia bukanlah suatu yang bersifat mutlak untuk
diberi peringanan hukuman seperti yang dirayu. Isunya, adakah kesalahan kali pertama,
Hakim Bicara tidak wajar atau tidak patut mengenakan hukuman denda dan penjara
terhadap Perayu.

[20]Mengikut prinsip syarak dan rujukan undang-undang Islam, kesalahan dihukum sesuai
dengan kehendak nas dan maslahat tanpa mengira rekod lampau pernah melakukan
kesalahan tersebut atau tidak termasuklah pengakuan pesalah dan kesalahan kali
pertama. Sebagai contoh dalam kisah yang sahih diriwayatkan salah seorang sahabat
Rasulullah S.A.W, Maiz seorang penggembala kambing yang mengaku berzina kali
pertama, Rasulullah S.A.W menyuruhnya direjam tanpa ada rekod lampau sebagai faktor
peringanan.

[21]Responden seterusnya merujuk kepada kes Muhammad Sufi Bin Abdullah lwn Ketua
Pendakwa Syarie Selangor yang menyentuh isu kesalahan kali pertama yang mana
dalam penghakimannya menyebut “Mahkamah berpendapat kesalahan kali pertama
bukannya alasan untuk tidak didenda dan dipenjarakan memandangkan peruntukkan
yang ada jelas tidak membezakan antara kesalahan kali pertama dilakukan mahupun
yang kedua atau seterusnya selama mana ianya masih di bawah peruntukkan yang
diberikan...”

[22]Responden menjelaskan isu yang utama disini ialah pengakuan kesalahan Perayu yang
mewajarkan sabitan dan hukuman. Adapun hukuman adalah kembali kepada prinsip
syarak dan maslahat seperti yang dijelaskan dalam hujahan di atas. Hakim Bicara melihat
kesalahan tertuduh adalah menyentuh kepentingan awam, implikasi undang-undang dan

7
kesan akibat kesalahan. Undang-undang di bawah seksyen 124 EUUKIS 2003 pula
digubal dengan tujuan memelihara hukum syarak dan maqasid syariyyah agar kerukunan
berpoligami suatu yang mulia dan mencerminkan keadilan bagi masyarakat. Dalam isu
ini, dapatan prinsip yang jelas iaitu kesalahan kali pertama bukanlah secara mandatori
mendapat peringanan hukuman semata-mata. Responden merujuk kes Abdul Razak Bin
Othman lwn Ketua Pendakwa Syarie Melaka Mahkamah Rayuan Syariah menyatakan;

“ dalam mempertimbangkan hukuman antara prinsip dan faktor yang utama


adalah kepentingan umum atau maslahah ‘ammah dan bergantung pada beratnya
kesalahan yang dilakukan perayu”.

[23]Responden bertegas hukuman Hakim Bicara terhadap Perayu adalah berasas dan
berpegang teguh dengan prinsip keadilan kerana jika hukuman tidak memberi kegerunan
atau pengajaran kepada Perayu jelas ianya dipandang ringan oleh Perayu sedangkan
jenayah khalwat sering berlaku dan berulang dalam masyarakat. Oleh itu sewajarnya
permintaan Perayu ini tidak wajar dipertimbangkan sama sekali kerana ia hanya
memenuhi kepentingan Perayu dan bukan maslahat undang-undang itu sendiri apatah
lagi kepentingan awam menyentuh dari sudut maqasid syariyyah. Sedangkan
kepentingan umum itu perlu diutamakan dan mencakupi keseluruhan kes ini berbanding
dengan kepentingan peribadi. Ini seperti yang dijelaskan dalam kaedah fiqhiyyah yang
menyebut ;
Bermaksud: Perbuatan mencakupi kepentingan umum lebih utama daripada
kepentingan sendiri.

[24]Responden menegaskan bahawa bagi kesalahan kali pertama tidak semestinya


Mahkamah ini mempertimbangkan hukuman adalah memadai dengan denda sahaja.
Undang-undang juga tidak mengikat jika kesalahan kali pertama perlu didenda dahulu.
Tujuannya ialah untuk memberi ruang kepada Mahkamah untuk melihat keseriusan
jenayah yang dilakukan, motif jenayah, fakta kes dan lain-lain yang menentukan faktor
hal keadaan peringanan dan pemberatan sebelum menjatuhkan hukuman.

[25]Responden dalam kenyataanya berhujjah dengan mengatakan bahawa keseriusan suatu


kesalahan adalah tidak boleh disamakan dengan kesalahan yang lain. Atas sebab itu
hukuman yang diperuntukkan adalah berbeza seperti yang dijelaskan di atas melihat
kepada fakta kes tersebut. Dalam ijtihad juga, suatu hukuman juga berubah mengikut
8
perubahan masa dan zaman yang berlaku. Hukuman kesalahan bagi seksyen 124
EUUKIS 2003 berbeza dengan kesalahan jenayah khalwat misalnya. Isu keseriusan atau
beratnya kesalahan tidak boleh disamakan dengan kesalahan akidah dan yang lain. Ianya
dalam ruang lingkup kesalahan itu sendiri. Oleh itu Hakim tidak khilaf dalam mentafsir
serius, berat atau ringan. Suatu jenayah akidah boleh menjadi ringan jika mens-rea tidak
dibuktikan walaupun actus-rea dibuktikan dan teguran ataupun hukuman alternatif boleh
diberi.

[26] Dari segi prinsipnya dan hukum asalnya bernikah adalah diharuskan. Oleh itu, tindakan
atau kesalahan Perayu hanyalah melanggar tatacara sahaja kerana pernikahan yang
dilangsungkan tidak mendapat kebenaran bertulis daripada pihak Pendaftar/Mahkamah
terlebih dahulu. Hakim juga gagal mempertimbangkan tentang hukuman penjara
kepada Perayu berdasarkan seksyen 129 (1) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah
(Negeri Selangor) 2003.

[27] Sehubungan dengan itu, Mahkamah akan meneliti dan mengambil kira kesemua faktor
tersebut kerana hukuman penjara yang dikenakan boleh menjejaskan kedudukan
kewangan Perayu. Memandangkan Perayu seorang yang bekerja, semestinya hukuman
penjara selama 3 hari tersebut akan menjejaskan pekerjaan Perayu sehingga
berkemungkinan akan dibuang kerja oleh majikannya. Sekiranya hukuman penjara
dikekalkan, ia akan memudharatkan diri Perayu dan sekaligus akan mengakibatkan
kemudharatan terhadap keluarga Perayu. Perayu berkemungkinan hilang sumber
pendapatan dan tidak mampu menunaikan kewajipan kepada diri malah seluruh ahli
keluarganya.

[28] Mahkamah mengambil maklum mengenai pengakuan Perayu yang telah insaf dan sedar
daripada kesalahan yang dilakukan. Namun Mahkamah melihat dan bersetuju dengan
hujahan Responden bahawa insaf merupakan perkara yang subjektif yang tidak dapat
dinilai dengan mata kasar dan dilihat oleh pencaindera kita. Hanya Allah s.w.t sahaja
yang tahu tentang keadaan seseorang itu sama ada dia insaf atau tidak. Isu taubat dan
insaf adalah lebih kepada antara hubungan manusia sebagai hamba dengan Allah SWT.
Justifikasi untuk perkara ini sebenarnya tersangat subjektif, sukar dinilai kerana perkara
disebalik tabir.

9
[29]Mahkamah merujuk soal keinsafan Perayu. Mahkamah menyatakan bahawa perbuatan
sedar dan insaf adalah suatu perkara yang tidak dapat dibuktikan dengan fakta dan
seseorang Hakim hanya boleh menghukum apa yang dilihatnya, bukan soal kesedaran
atau keinsafan pihak Perayu yang bersifat subjektif. Ini selaras dengan sabda Nabi s.a.w :

‫ واللة يتولى السرائر‬,‫نحن نحكم بالظاهر‬

Maksudnya : “Kami menghukum dengan zahir, dan Allah menghukum yang


tersembunyi”

[30]Permohonan maaf oleh Perayu tidak menggambarkan kesedaran dan keinsafan Perayu
serta ia tidak boleh dipertimbangkan sebagai faktor peringanan hukuman yang
memerlukan Mahkamah ini campurtangan. Walaupun begitu, ketika ini sewajarnya
Perayu bertaubat dan insaf terhadap kesalahan yang telah dilakukan atas sifatnya sebagai
seorang manusia muslim dan hamba kepada tuhan pencipta. Allah berfirman di dalam
Surah An-Nisa : ayat 16 yang bermaksud:

“Dan (mana-mana) dua orang di antara kamu yang melakukan perbuatan yang keji itu,
(setelah sabit kesalahannya) maka hendaklah kamu menyakiti keduanya; kemudian jika
mereka bertaubat dan memperbaiki keadaan diri mereka (yang buruk itu), maka
biarkanlah mereka; kerana sesungguhnya Allah adalah sentiasa menerima taubat, lagi
Maha luas rahmatNya”

Firman Allah dalam Surah al-Maidah : ayat 39 yang bermaksud:

“Maka sesiapa yang bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan (curi) itu dan
memperbaiki amal usahanya, sesungguhnya Allah menerima taubatnya; kerana Allah
Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

[31]Berkenaan alasan rayuan kesalahan kali pertama yang dibangkitkan oleh Perayu
Mahkamah juga bersetuju dengan hujahan Pendakwa Syarie bahawa kesalahan kali
pertama bukan merupakan faktor dan alasan pertimbangan Mahkamah untuk
meringankan hukuman. Walaupun kesalahan yang dilakukan oleh Perayu bukan
kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, namun ianya
juga dilihat mengundang kepada masalah sosial masyarakat dan Mahkamah sekali lagi
bersetuju dengan hujahan Responden. Namun Mahkamah menerima dan tidak menafikan

10
hujahan Peguam Perayu yang menegaskan pengakuan bersalah Perayu dapat
menjimatkan masa Mahkamah serta pihak-pihak yang berkaitan dengan kes ini.

[32]Mengenai mitigasi Perayu, Mahkamah tidak menafikan bahawa sesuatu mitigasi yang
dikemukakan perlu diberi perhatian yang sewajarnya sebelum menjatuhkan sebarang
hukuman. Melihat kepada penghakiman Hakim Bicara dan mitigasi Perayu,
sememangnya peringkat mitigasi ini tidak digunakan sebaik mungkin oleh Perayu dan
tidak hairanlah jika Hakim Bicara bertindak menjatuhkan hukuman sedemikian kepada
Perayu.

[33]Namun begitu, adakah Hakim Bicara memberi maklum kepada Perayu berkaitan dengan
mitigasi itu supaya Perayu menggunakan sebaik mungkin samada menasihatkan Perayu
menggunakan khidmat peguam atau sebaliknya? Seseorang Hakim tidak boleh
menganggap semua orang awam mengetahui prosedur Mahkamah terutamanya
kepentingan sesuatu mitigasi itu.

[34]Oleh itu, Mahkamah yakin bahawa Perayu tidak diberi ruang sewajarnya semasa proses
mitigasi tersebut walaupun Hakim Bicara mempertimbangkan mitigasi Perayu sekadar
apa yang dikemukakan walaupun setelah tiga kali Hakim bertanyakan soalan yang sama
“ jadi apakah rayuan kamu sebelum dijatuhkan hukuman”. Namun P masih tetap dengan
jawapannya mohon dikurangkan denda sahaja tanpa apa-apa justifikasi atau menzahirkan
keinsafan bahkan sama ada sekurang-kurangnya menyatakan sebab-sebab rayuan
pengurangan tersebut.

[35]Berdasarkan kepada hujah Responden mengenai konsep kepentingan awam. Perkara ini
dibangkitkan oleh Responden iaitu aspek kepentingan awam adalah perlu diberi
keutamaan oleh Mahkamah dan tidak perlu melihat kepada kepentingan diri Perayu
semata-mata. Mahkamah juga perlu melihat kesan kesalahan Perayu ini terhadap
masyarakat sekiranya hukuman pemenjaraan dikekalkan setidaknya menimbulkan rasa
gentar kepada masyarakat.

[36]Kepentingan awam menghendaki agar hukuman yang dijatuhkan bukan sahaja boleh
menjadi pengajaran kepada tertuduh dan mencegah beliau dari melakukan kesalahan
yang sama di masa hadapan tetapi juga untuk mencegah lain-lain anggota masyarakat

11
dari melakukan kesalahan yang serupa. Walaupun demikian, faktor ini adalah bergantung
kepada keadaan sesuatu kes itu di samping prinsip berpadanan/kesetimpalan
penghukuman juga diberi perhatian dengan keseriusan kesalahan yang dilakukan.
Sesuatu keputusan yang bakal dibuat bagi setiap kes hendaklah dibuat dengan
pertimbangan-pertimbangan yang sewajarnya sepertimana yang dinyatakan oleh Dr.
Abdul Qadir Audah dalam kitabnya Al-Tasyri’ Al-Jinaie Al-Islamie, Juz 1, hlm. 615
yang menyatakan bahawa :

“adapun bagi kesalahan-kesalahan takzir, syariat memberi kebebasan kepada hakim di


dalam memilih hukuman yang sesuai di antara sekumpulan hukuman. Sebagaimana juga
diberikan kebebasan kepada hakim di dalam menetapkan kadar hukuman dan kebebasan
menentukan pemilihan hal keadaan jenayah dan hal keadaan penjenayah ( dalam
persoalan meringan atau memberatkan hukuman). Sekiranya hakim berpendapat bahawa
hal keadaan jenayah dan hal keadaan penjenayah tidak menghendaki peringanan,
maka hakim hendaklah menghukum penjenayah mengikut hukuman yang selayaknya
dengan jenayah yang dilakukannya. Sekiranya hakim berpendapat hal keadaan
penjenayah menghendaki peringanan hukuman, maka hakim hendaklah menghukum
dengan hukuman yang sesuai dengan keperibadiannya, hal keadaannya dan hal
keadaan kehidupannya serta akhlaknya. Sekiranya pula bahawa hal keadaan jenayah
menghendaki pemberatan hukuman, sedangkan hal keadaan penjenayah menghendaki
ia diringankan, maka hakim hendaklah menghukum dengan hukuman pertengahan, dia
tidak boleh memberatkan hukuman dan tidak juga boleh meringankannya”

[37]Mahkamah tidak nafikan bahawa kepentingan awam atau “maslahah amamah” perlu
dipertimbangkan, tetapi maslahah Perayu juga perlu dilihat. Hukuman pemenjaraan
kepada Perayu sedikit sebanyak boleh mendatangkan kegerunan kepada masyarakat
awam, namun begitu adakah ia mampu menyelesaikan masalah berpoligami tanpa
kebenaran secara total. Pemenjaraan kepada Perayu juga bakal menimbulkan masalah
terhadap kepentingan awam yang melibatkan isteri-isteri dan anak-anak Perayu pula
terutamanya kehilangan tempat bergantung dan kebajikan mereka akan terjejas.

[38]Seterusnya Mahkamah mengambil maklum dengan fakta yang dibentangkan tertuduh


yang dijadikan alasan rayuan yang mana akan memberi kesan kepada diri Perayu jika
hukuman penjara dikekalkan. Mahkamah bersetuju dengan hujahan yang dibangkitkan
oleh peguam Responden bagi isu kedua iaitu pengakuan salah dan kesalahan kali
pertama Perayu namun bagi isu ketiga yang dibangkitkan oleh Perayu dalam kes ini,
12
Mahkamah percaya setelah meneliti dan mempertimbangkan rayuan Perayu terhadap
kesan dan akibat hukuman yang dijatuhkan dan disabitkan oleh Hakim Bicara.
Mahkamah mendapati sekiranya hukuman penjara dikekalkan, hukuman ini akan
menjejaskan kehidupan Perayu bukan sahaja diri Perayu malah keluarga Perayu turut
menerima tempias akibat perbuatan salah laku dan tatacara mereka. Perayu juga yang
sedang bekerja akan kehilangan pekerjaan dan amat sukar untuk mencari semula dan
mendapat pekerjaan yang stabil zaman ini memandangkan kegawatan ekonomi yang
memuncak.

[39]Mahkamah yakin dan percaya bahawa Hakim Bicara terdahulu telah gagal membuat
pertimbangan berkenaan dengan kesan-kesan sabitan atau hukuman yang dijatuhkan
tersebut. Ini kerana sesuatu hukuman yang dijatuhkan ke atas pesalah sudah pasti
memberi kesan, bukan sahaja terhadap pesalah bahkan kepada seluruh ahli keluarga
beliau serta terhadap pekerjaan beliau.

[40] Perayu mengatakan bahawa Hakim Bicara terdahulu sebelum memutuskan hukuman ke
atas Perayu maklum mengenai kedudukan dan pekerjaan Perayu. Namun dalam
pengamatan Mahkamah sebagai seorang pekerja yang berpendapatan RM5000 sebulan
sebagai penasihat Unit Amanah, sudah pasti Perayu juga cukup terbeban dengan kos sara
hidup masa kini yang semakin menigkat naik dan tanggungjawab Perayu terhadap dua
buah keluarga perlu diambil kira. Tambahan pula, jika diteliti pendapatan bersih Perayu
setelah ditolak hutang-piutang, kos sara hidup, duit untuk keluarga dan tanggungjawab
lain tidaklah sebesar mana.

[41]Perayu merupakan ketua keluarga yang mempunyai tanggungjawab untuk memberikan


dan menanggung nafkah bagi kedua-dua isteri dan anak-anak. Sekiranya hukuman
penjara masih dikekalkan terhadap P nescaya pendapatan beliau akan terjejas. Malah
masyarakat umum akan membuat tanggapan yang buruk terhadap P seolah-olah beliau
melakukan kesalahan jenayah yang berat sehingga dipenjarakan, di mana lambat laun
akan turut menjejaskan pekerjaan P dan kemungkinan besar P akan dibuang kerja.

[42] Oleh yang demikian, Mahkamah percaya kesalahan Perayu adalah merupakan kesalahan
ta’zir yang menyentuh hak pemerintah yang boleh dimaafkan. Mahkamah berpendapat
bahawa dengan hukuman denda yang maksima iaitu sebanyak RM1000.00 sudah

13
memadai sebagai hukuman untuk mengajar (ta’dib), pencegahan, pengajaran di samping
pemulihan dan pendidikan untuk Perayu.

[43]Malahan Mahkamah mengambil kira faktor keluarga Perayu yang besar kerana terdapat
dua isteri yang masih dalam tanggungan beserta kebajikan anak-anak yang perlu
dipelihara dan dijaga. Sekiranya Mahkamah mengekalkan hukuman penjara 3 hari
kepada Perayu Mahkamah membiarkan kemudharatan yang lebih besar berlaku. Ini
kerana keluarga Perayu akan hilang sumber kewangan yang akan menjejaskan
perkembangan emosi anak-anak untuk terus hidup dengan baik, aman dan harmoni. Oleh
yang demikian Mahkamah perlu untuk memastikan dan mengelakkan kemudharatan
yang lebih besar dengan menggugurkan kemudharatan yang kecil.

[44]Kesimpulannya daripada alasan-alasan rayuan yang yang dikemukakan oleh pihak


Perayu, Mahkamah mendapati bahawa Hakim Bicara gagal mengambil kira faktor-faktor
peringanan dalam menjatuhi hukuman kepada Perayu sebaliknya memberatkan hukuman
tersebut dengan menjatuhi hukuman penjara selama 3 hari.

[45]Hakim Bicara tidak menggunakan budi bicara yang sewajarnya ketika menjatuhkan
hukuman penjara 3 hari tersebut. Adalah tidak wajar hukuman penjara ini dikenakan
selama 3 hari tanpa melihat faktor-faktor peringanan yang ada. Berdasarkan penjelasan
yang Mahkamah kemukakan terhadap isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak Perayu,
Mahkamah berpendapat hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Bicara perlu diubah.
Justeru Mahkamah menerima rayuan Perayu dan membatalkan serta mengakaskan
hukuman penjara 3 hari namun mengenakan hukuman denda maksima RM1,000.00
sahaja.

14
KEPUTUSAN

SETELAH MAHKAMAH melihat Rekod Rayuan bertarikh 12 Mei 2017 DAN setelah
meneliti Hujahan Perayu bertarikh pada 21 September 2017 SERTA Hujahan Balas
Responden 7 Ogos 2017 dan otoriti-otoriti yang dikemukakan, MAKA DENGAN INI,
MAHKAMAH MEMUTUSKAN SEPERTI BERIKUT :

1. Mahkamah menerima rayuan Perayu.

2. Mahkamah meminda perintah Tuan Hakim MRS Daerah Hulu Langat dalam Kes
Jenayah No. 10005-166-0178-2016 iaitu Perayu dijatuhkan hukuman Penjara (3) hari.

3. Mahkamah memutuskan hukuman penjara 3 hari terhadap Perayu diketepikan dan


mengenakan hukuman denda maksima RM1,000.00 atau penjara 2 bulan jika gagal
membayar denda

15

You might also like