You are on page 1of 6

1

Malayan Law Journal Unreported/2017/Volume/Kamal Hisham bin Jaafar lwn Pendakwa Raya - [2017] MLJU
374 - 4 January 2017

[2017] MLJU 374

Kamal Hisham bin Jaafar lwn Pendakwa Raya


MAHKAMAH TINGGI (KUALA LUMPUR)
AB KARIM BIN HJ AB RAHMAN PK
PERMOHONAN JENAYAH NO 44-150-11-2016
4 January 2017

Shaharuddin Ali (Syed Azima, Khairul Azam dan Hasnan Ishak bersamanya) (Kamal Hisham &
Associates) bagi pihak pemohon.

Shukor Abu Bakar (Awang Armadajaya dan Zhafran Rahim bersamanya) (Timbalan Pendakwa Raya,
Jabatan Peguam Negara) bagi pihak responden.

Ab Karim bin Hj Ab Rahman PK:

PENGHAKIMAN MAHKAMAH

Latarbelakang

[1] Kamal Hisham bin Jaafar (Pemohon) telah dituduh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru bagi beberapa kes
Jenayah di bawah seksyen 409 Kanun Keseksaan dan seksyen 132 Akta Syarikat 1965 serta seksyen
4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram & Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613)
("AMLA") dalam Kes Tangkap No:62K-6-09/2015 & 62K-7-09/2015, 62K-8-09/2015, 62K-52-09/2015, 62K-8-
04/2016, 62K-9-04/2016 dan 62K-10-04/2016.
[2] Pemohon telah membuat permohonan di Mahkamah ini bagi kes dan perbicaraan kes-kes tersebut
dipindahkan dan didengar ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atau ke Mahkamah Sesyen di luar negeri
Johor atau ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atau Mahkamah yang kompeten di luar negeri Johor yang
difikirkan wajar menurut seksyen 417 Kanun Acara Jenayah dan selanjutnya memohon supaya
perbicaraan kes tersebut di Mahkamah Sesyen Johor Bahru digantung sementara sehingga permohonan ini
didengar dan diputuskan oleh Mahkamah ini. [Kes Permohonan Jenayah Mahkamah Tinggi Kuala
Lumpur 44-150--11-2016].
[3] Pada 16.12.2016, atas permohonan Pemohon itu dan dengan persetujuan Timbalan Pendakwa Raya,
Mahkamah ini telah memerintah supaya perbicaraan kes-kes tersebut di Mahkamah Sesyen Johor Bahru
digantung sehigga permohonan pindahkan kes ini didengar dan diputuskan oleh Mahkamah ini.
[4] Sebelum permohonan atas kes 44-150-11-2016 didengar, pihak pendakwaan telah memfailkan satu
permohonan di bawah Aturan 92 Keadah-Kaedah Mahkamah Tinggi 2012 bagi membatalkan beberapa
perenggan di dalam Afidavit Sokongan Permohonan yang diikrarkan pada 21.11.2016 daripada menjadi
sebahagian dari keterangan. [Permohonan Jenayah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 44-162-12-2016].
[5] Namun begitu, setelah Mahkamah meneliti kedua-dua permohonan dalam kedua-dua kes tersebut dan
setelah mendapati bahawa Afidavit Pemohon telah dijawab oleh Responden melalui Afidavit-Afidavit
Sokongan Mohamad Azies Han Mohd Fadzil bertarikh 16.12.2016; Zhafran Rahim Hamzah bertarikh
16.12.2016; Brig.Jen.(Bersara) Dato' Hj.Ali bin Hj.Musa bertarikh 15.12.2016 dan YBM Ungku Yusoff bin
Abdul Rahman bertarikh 15.12.2016, Mahkamah ini memutuskan agar kedua-dua kes tersebut didengar dan
dihujahkan secara bersama.
3

Permohonan Kes 44-150-11-2016

[6] Alasan Pemohon dalam permohonannya di bawah seksyen 417 Kanun Acara Jenayah bagi
memindahkan kes ini ke Mahkamah di luar daripada negeri Johor disokong dengan Afidavit Pemohon
bertarikh 21.11.2016. Alasan-alasan Pemohon secara keseluruhannya boleh disimpulkan sebagaimana
berikut:

1a)  bahawa masalah dan peristiwa yang didakwa berlaku di antara Pemohon dengan
pihak Istana negeri Johor telah membawa kepada risiko satu perbicaraan dan pendengaran
kes Pemohon di Mahkamah Sesyen johor Bahru secara saksama dan adil dapat dicapai akibat
tekanan ke atas Mahkamah Rendah negeri Johor khususnya ke atas Pegawai Kehakiman
Mahkamah Rendah di negeri Johor dan kedudukan DYMM Sultan Ibrahim di dalam Majlis
Raja-Raja Melayu yang melantik dan mengesahkan perlantikan Hakim-Hakim yang mana
boleh mempengaruhi sistem pentadbiran keadilan di Johor;
1b)  bahawa isu undang-undang yang rumit, kompleks dan sukar serta pemeriksaan
balas ke atas saksi-saksi kenamaan termasuk DYMM Sultan Ibrahim dan Ahli Lembaga
Pengarah Syarikat yang berkaitan.
1c)  bahawa pendakwaan-pendakwaan terhadap Pemohon adalah berniat jahat dan
bertujuan menjatuhkan dan menganiaya Pemohon yang dengan perbuatan itu boleh
menyebabkan secara tidak langsung Pegawai Kehakiman Mahkamah Rendah Johor terdedah
kepada tekanan-tekanan; dan
1d)  bahawa akan terdapat kemungkinan berlaku berat sebelah memandang terdapat
suatu memo yang dikeluarkan oleh Timbalan Pendaftar Pentadbiran/MJU Mahkamah Tinggi
Johor kepada Mahkamah-Mahkamah di Johor Bahru akan satu arahan daripada Setiausaha
Sulit DYMM Sultan yang memaklumkan bahawa Pemohon tidak pernah dilantik sebagai
peguam peribadi Baginda dan tidak lagi mewakili Baginda dan seterusnya bahawa
campurtangan Institusi Diraja Johor tersebut atas perkara yang dikatakan berlaku oleh
Pemohon.

[7] Pihak pendakwaan melalui Afidavit Jawapan Zhafran Rahim Hamzah (Kandungan 10), YBM Unku Yusoff
bin Abdul Rahman (Kandungan 8), Brig.Jen.(Bersara) Dato' Hj.Ali bin Hj.Musa dan Mohamad Azies Han
Mohd Fadzil (Kandungan 11) telah menafikan pengataan Pemohon tersebut dan menyifatkan beberapa
pengataan dalam Afidavit Pemohon sebagai satu hasutan dan satu pertuduhan liar serta tidak berasas dan
menyalahi peruntukan seksyen 126 Akta Keterangan 1950 sebab tidak berkaitan.

Hujahan Pemohon

[8] Hujahan peguam Pemohon yang terpelajar bahawa:

2a)  Permohonan ini dibuat berdasarkan alasan-alasan di bawah perenggan 417(1)(a)(b)


dan (c) KAJ;
2b)  Daripada peristiwa-peristiwa yang dinyatakan oleh Pemohon telah menimbulkan
pada pandangan bahawa satu "fair and impartial trial cannot be had" bagi tujuan satu keadilan
dicapai;
2c)  Mahkamah harus menilai dan mempertimbangkan secara keseluruhan alasan-
alasan dan hal keadaan yang diberi oleh Pemohon di dalam Afidavitnya; dan
2d)  Bagi permohonan Responden dalam kes 44-162-12-2016 bagi perintah melibatkan
beberapa perenggan dalam Afidavit Pemohon peguam menghujahkan:
1. Afidavit Pemohon telah dalam siasatan pihak polis di bawah Akta Hasutan 1948
sedangkan Mahkamah ini belum membuat apa-apa keputusan substantif kepada
Pemohon dalam kes 44-150-11-2011 yang terjumlah kepada suatu tindakan subjudis;
dan
4

1. Permohonan Responden dibuat berdasarkan Afidavit mereka yang tidak mempunyai


pengetahuan mengenai pengataan dalam Afidavit Pemohon.

Hujahan pihak Pendakwaan

[9] Pihak pendakwaan dalam membantah permohonan Pemohon dalam kes 44-150-11-2016
menghujahkan bahawa:

3a)  alasan-alasan yang terkandung dalam Afidavit Sokongan Pemohon adalah bersifat
tidak releven dan berunsur hasutan terhadap sistem beraja dan sistem keadilan serta berasas
dengar cakap dan bersifat spekulatif serta andaian di samping bercanggah dengan seksyen
126 Akta Keterangan; dan
3b)  tiada sebab yang kukuh dikemukakan oleh Pemohon yang menunjukkan bahawa
satu perbicaraan dan pendengaran kes Pemohon di Mahkamah Sesyen Johor secara saksama
dan adil tidak dapat dicapai.

Keputusan Mahkamah

[10] Permohonan Pemohon dalam kes 44-150-11-2016 dibuat di bawah seksyen 417 KAJ. Secara
keseluruhannya tujuan utama seksyen 417 KAJ adalah bagi mempastikan kepada satu perbicaraan yang
saksama dan adil dicapai dan ia merupakan satu pengecualian kepada kaedah biasa berhubung bidang
kuasa dan tempat perbicaraan. Seterusnya kuasa bagi memindahkan perbicaraan sesuatu kes ke
Mahkamah yang lain hendaklah dijalankan hanya jika pada pandangan Mahkamah timbul keadaan jika
Mahkamah tidak bertindak demikian ia akan menyebabkan ketidaksaksamaan dan ketidakadilan akan
berlaku dan bagi tujuan kepentingan keadilan. Pemakaian seksyen 417 dinyatakan secara jelas dalam kes
Oh Keng Seng v Public Prosecutor [1974] 2 MLJ 48 yang mana Hashim Yeop A.Sani menyatakan:

"First, the application is made under section 417 of the Criminal Procedure Code. It should be borne in mind that
broadly speaking, the primary object of that section is to ensure a fair and impartial trial. I have examined the affidavit
of the applicant and have found nowhere in the affidavit to show that a fair and impartial trial cannot be had in the court
before which the applicant is charged. Secondly, section 417 of the Criminal Procedure Code should be construed
as an exception to the ordinary rule on jurisdiction and venue of hearing. The power of transfer under this section
should in my view be exercised only if it appears to the court that not to do so may result in an unfair or unimpartial trial
or otherwise appears to the court expedient in the interest of justice."

[11] Mahkamah ini setelah meneliti Afidavit pihak Pemohon dan Responden mendapati bahawa masalah dan
peristiwa yang dikatakan berlaku antara Pemohon dan pihak Istana tersebut adalah begitu tidak berkaitan
dengan permohonan ini. Begitu juga Mahkamah mendapati bahawa pendakwaan yang dibuat terhadap
Pemohon serta alasan lain yang diberi tidak menunjukkan bahawa pihak yang dikatakan itu boleh, telah atau
akan memberi tekanan dan mempengaruhi sistem kehakiman serta pegawai kehakiman di Mahkamah Johor
Bahru dalam melaksanakan tugas kehakiman mereka bagi menjalankan perbicaraan kes Pemohon secara
saksama dan adil. Dakwaan yang diutarakan oleh pihak Pemohon di dalam Afidavitnya hanya bersifat
spekulatif, andaian serta tidak berkaitan dan merupakan tanggapan yang salah. Seterusnya Mahkamah ini
mendapati bahawa tidak wujud dalam Afidavit-Afidavit Pemohon menunjukkan satu persoalan undang-
undang yang luar biasa rumit atau sukarnya dalam perbicaraan kes-kes Pemohon tersebut. Alasan
personaliti atau penama-penama kenamaan yang mungkin menjadi saksi dalam kes Pemohon bukanlah
satu persoalan undang-undang yang luar biasa rumitnya yang terlibat.
[12] Selaras dengan ini Mahkamah memutuskan bahawa alasan-alasan yang dikemukakan oleh Pemohon
dalam Afidavitnya hanya bersifat andaian, spekulatif dan tanggapan yang salah serta tidak berkaitan.
Mahkamah ini memutuskan juga, memandangkan persoalan sama ada pengataan itu bersifat menghasut
5

atau bertentangan dengan seksyen 162 Akta Keterangan 1950 yang buat masa ini dalam proses
penyiasatan polis maka Mahkamah ini tidak berhasrat untuk memutuskan perkara yang sama dalam hal
permohonan pihak Pendakwa Raya dalam kes 44-162-12-2016 itu.
[13] Dengan itu, Mahkamah ini berpendapat bahawa permohonan Pemohon bagi memindahkan kes ini ke
Mahkamah Sesyen di luar negeri Johor atau ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atau Mahkamah yang
kompeten di luar negeri Johor adalah tidak bermerit dan harus ditolak.
[14] Dengan keputusan ini, pihak Pemohon telah memohon pada Mahkamah ini supaya perbicaraan kes-kes
pemohon tersebut digantung sehingga keputusan Mahkamah Rayuan dibuat memandangkan pemohon akan
memfailkan rayuan atas keputusan ini. Timbalan Pendakwaraya membantah permohonan Pemohon tersebut
atas alasan bahawa rayuan ke Mahkamah Rayuan bukan satu alasan yang khas bagi menggantung
perbicaraan kes pemohon dan keputusan mahkamah ini bukan satu keputusan yang mempunyai kesan
kemuktamadan (finality).
[15] Mahkamah ini mendapati tiada satu alasan yang khas ditunjukkan oleh pemohon kenapa perbicaraan
kes-kes beliau harus digantung. Mahkamah ini juga berpendapat bahawa alasan Pemohon untuk merayu
atas keputusan mahkamah ini bukan satu alasan yang khas dan tidak menjadikan secara tersendiri
perbicaraan itu harus digantung. Dengan itu permohonan mengantung perbicaraan kes Pemohon menunggu
keputusan kes Mahkamah Rayuan dengan alasan Pemohon akan membuat rayuan adalah ditolak.

You might also like