You are on page 1of 13

WSWH Lwn RK

[Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor, Kes Mal Bil: 10007-014-0495-2015 (Tuan
Shaiful Azli bin Jamaludin HMRS)]

[9 Rabiulakhir 1439 bersamaan 28 Disember 2017]

Undang-Undang Keluarga Islam – Tuntutan Cerai Fasakh – Gagal atau cuai memberi nafkah-
Lazim menyakiti - Melupuskan harta isteri - Seksyen 53 (1) (b), (h) (i) dan (iv) Enakmen Undang-
Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Fakta Kes

[1] Plaintif (WSWH) dan Defendan (RK) telah bernikah pada 15 Julai 1990 di Kg. Melayu
Subang dan dikurniakan dengan dua orang anak.

[2] Plaintif telah memfailkan tuntutan perceraian secara fasakh terhadap Defendan pada 1 Jun
2015 dengan tidak diwakili oleh mana-mana Peguam Syarie. Walau bagaimanapun, setelah
dinasihati oleh Mahkamah, Plaintif telah melantik Peguam Syarie iaitu Encik Mohd
Fakhrurrazi bin Mohd Hanapi daripada Tetuan Fakhrurrazi & Associates manakala Defendan
diwakili oleh Encik Roshdan Sujak bin Rafie daripada Tetuan Roshdan Rafie & Associates.

[3] Peguam Syarie Plaintif telah memfailkan Penyata Tuntutan Pindaan pada 27 Julai 2015 dan
serahan secara Kediri kepada Defendan. Peguam Defendan memfailkan Penyata Pembelaan
dan Tuntutan Balas pada 15 Oktober 2015. Pada 4 Februari 2016, Peguam Syarie Plaintif
memfailkan Jawapan Kepada Pembelaan dan Afidavit Keterangan Plaintif. Kemudian, satu
Afidavit Keterangan Tambahan Plaintif telah difailkan oleh Peguam Syarie Plaintif pada 20
Mei 2016. Pada 5 Disember 2012, Peguam Syarie Plaintif telah memfailkan Afidavit
Keterangan Saksi Plaintif (1). Peguam Syarie Defendan pula telah memfailkan Afidavit
Keterangan Defendan pada 5 Jun 2017. Mahkamah kemudiannya telah menetapkan satu tarikh
iaitu pada 29 November 2017 untuk Peguam Syarie Plaintif dan Defendan memfailkan
Hujahan Bertulis secara serentak. Peguam Syarie Plaintif telah memfailkan sesalinan Hujahan
Bertulis pada 29 November 2017, manakala Peguam Syarie Defendan telah memfailkan

1
sesalinan Hujahan Bertulis pada 19 Disember 2017. Kemudiannya, keputusan kes telah
ditetapkan pada 28 Disember 2017.

[4] Peguam Plaintif melalui Pernyataan Tuntutan Pindaan memohon kepada Mahkamah supaya
memfasakhkan pernikahan Plaintif dan Defendan atas alasan bahawa, Defendan telah gagal
atau cuai memberi nafkah kepada Plaintif selama tempoh melebihi tiga (3) bulan, Defendan
melupuskan harta Plaintif dan Defendan lazim menyakiti serta menjadikan kehidupan Plaintif
menderita berdasarkan kepada Seksyen 53 (1) (b), (h) (i) dan (iv) Enakmen Undang-Undang
Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

[5] Sepanjang prosiding perbicaraan berlangsung, Plaintif telah mengemukakan dua orang saksi
iaitu SR dan FR yang juga merupakan anak kandung Plaintif bagi menyokong tuntutannya.
Plaintif juga turut mengemukakan beberapa dokumen sebagai bayyinah. Manakala, Defendan
hanya mengemukakan beberapa dokumen sebagai bayyinah.

Diputuskan

Kes ini telah didengar dan diputuskan hari ini di bawah seksyen 53 Enakmen Undang-
Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 dengan dihadiri oleh Plaintif bersama
Peguam Syarienya, manakala Defendan hadir bersama wakil Peguam. Setelah
Mahkamah meneliti dokumen yang difailkan, mendengar keterangan pihak-pihak,
saksi Plaintif, hujahan Peguam Syarie Plaintif dan Peguam Syarie Defendan,
maka dengan ini Mahkamah telah berpuas hati dan memerintahkan seperti berikut:

1) Mahkamah meluluskan tuntutan ini berdasarkan Seksyen 53 Enakmen


Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

2) Mahkamah mensabitkan Defendan telah lazim menyakiti atau menjadikan


kehidupan Plaintif menderita disebabkan kelakukan aniaya.

3) Mahkamah memerintahkan pernikahan Plaintif dan Defendan dibubarkan


dan difasakhkan mulai hari ini 28 Disember 2017 jam 3.45 petang. Plaintif
hendaklah beriddah selama tempoh tiga kali suci mulai hari ini.

2
4) Mahkamah perintahkan perceraian ini didaftarkan di Pejabat Agama Islam
Gombak dan Sijil Nikah asal pihak-pihak dibatalkan.

Peguam Syarie

Plaintif : Diwakili oleh Encik Mohd Fakhrurrazi bin Mohd Hanapi daripada Tetuan
Fakhrurrazi & Associates

Defendan : Diwakili oleh Encik Roshdan Sujak bin Rafie daripada Tetuan Roshdan Rafie
& Associates

Surah yang dirujuk

1. Surah An-Nisa’ ayat 34.

Kitab - kitab yang dirujuk

1. Nizam al-Qadha’ Fi al-Syariah al-Islamiyyah karangan Dr. Abdul Karim Zaidan


(terjemahan Hj. Mohd Saleh Hj Amad).

2. Fiqh dan Perundangan Islam karangan Dr. Wahbah al-Zuhaili (terjemahan Dr. Ahmad
Shahbari Salamon).

Undang - undang yang dirujuk

1. Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 - s. 3, 11, 49, 72, 73, 75
dan 85.
2. Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 - s. 61 (3) (b) (i).
3. Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 - s. 4, 45 dan 53 (1)
(b), 53 (1) (h) (i) dan 53 (h) (iv).

Kes - kes yang dirujuk

1. Hairun Binti Mohd Shariff lwn. Omar Bin Mohd Nor (Jurnal Hukum 1993, Jilid VIII Bhgn.
II).

3
Penghakiman Tuan Shaiful Azli Bin Jamaludin, HMRS.

[6] Berdasarkan kepada keterangan pihak-pihak, keterangan tambahan Plaintif secara


afidavit, keterangan saksi Plaintif, serta berdasarkan kepada hujahan Peguam
Syarie Plaintif dan Defendan, Mahkamah mendapati terdapat (2) isu yang perlu
Mahkamah ini berikan pertimbangan sebelum Mahkamah ini memberikan
penghakiman, iaitu:

6.1 Sama ada Mahkamah ini berbidangkuasa mendengar dan memutuskan kes ini;

6.2 Sama ada Plaintif telah berjaya membuktikan alasan-alasan untuk mensabitkan
fasakh mengikut peruntukan Undang-undang dan juga Hukum Syarak;

Isu Pertama: Sama ada Mahkamah ini berbidangkuasa mendengar dan memutuskan kes.

[7] Mahkamah ini tidak berhasrat untuk mengulas panjang berhubung isu
bidangkuasa ini. Mahkamah ini bersetuju dengan hujahan Peguam Syarie Plaintif
dan Peguam Syarie Defendan berhubung bidangkuasa Mahkamah ini untuk
mendengar dan memutuskan kes ini berdasarkan kepada Seksyen 4, 45 dan 53
Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 (selepas ini
disebut EUUKIS 2003).

Isu Kedua: Sama ada Plaintif telah berjaya membuktikan alasan-alasan untuk
mensabitkan fasakh mengikut peruntukan Undang-undang dan juga Hukum
Syarak.

[8] Plaintif di dalam Penyata Tuntutan Pindaannya membuat permohonan fasakh di Mahkamah
ini berdasarkan kepada alasan-alasan berikut:

1. Defendan telah cuai atau tidak memperuntukkan nafkah zahir yang sewajarnya
kepada Plaintif selama tempoh melebihi 5 tahun sejak 2010 sehingga sekarang.

2. Plaintif terpaksa membayar hutang-hutang Defendan.

4
3. Defendan melupuskan harta Plaintif atau melarangnya menggunakan haknya di
sisi Undang-undang terhadap harta tersebut.

4. Defendan lazim menyakiti dan menjadikan kehidupan Plaintif menderita


disebabkan oleh kelakuan aniaya.

[9] Mahkamah memutuskan untuk menolak alasan fasakh yang pertama kerana Plaintif telah
gagal untuk membuktikan secara terperinci berkaitan perbelanjaannya pada setiap bulan
bagi nafkah dirinya. Tempoh dakwaan yang terlalu panjang menyebabkan Mahkamah
sukar untuk memutuskan berkaitan hal ini.

[10] Dalam kes berkaitan isu nafkah ini, Mahkamah merujuk kepada salah satu
kaedah fiqhiyyah yang bermaksud:

“sesuatu perkara akan kekal sebagaimana sebelumnya (sehingga


ada fakta yang membuktikan perkara tersebut telah berubah).

Contohnya dalam kes nafkah ini, pada asalnya seorang suami memberikan
nafkah kepada isteri sejak awal tempoh suatu perkahwinan. Sebagaimana dalam
kes ini, Defendan dianggap telah memberikan nafkah kepada Plaintif sejak awal
tempoh perkahwinan sehingga didakwa telah gagal memberikan nafkah sejak
tahun 2010 sehingga sekarang kes difailkan. Oleh yang demikian, fakta tersebut
dianggap berterusan sehinggalah dibuktikan telah berubah sebagaimana
dakwaan Plaintif dengan beban pembuktian diletakkan ke atas Plaintif.

[11] Dalam kes ini, Plaintif telah gagal mengemukakan tarikh yang jelas berkaitan
dakwaannya dan juga gagal memperincikan berkaitan apakah nafkah diri beliau
yang wajib ditanggung oleh Defendan. Kegagalan pemberian nafkah hanya
boleh dibuktikan apabila jumlah perbelanjaan nafkah tersebut dibuktikan
terlebih dahulu. Dalam keterangan Plaintif, tidak langsung menyatakan berapa
jumlah perbelanjaan yang telah dikeluarkan oleh Plaintif pada setiap bulan
sebagai nafkah diri selama 5 tahun berturut-turut bermula pada tahun 2010.

5
Plaintif sepatutnya perlu membuktikan selama tempoh 5 tahun bermula 2010
tersebut, Plaintif sahaja yang telah mengeluarkan wang sendiri bagi menanggung
segala perbelanjaan dirinya.

[12] Perkara ini hanya disebut semasa dalam Afidavit Keterangan SP-1 yang
menyatakan bahawa dalam sebulan peruntukan perbelanjaan Plaintif hampir
mencecah RM2000 hingga RM3000. Namun, perkara ini tidak langsung disebut
dalam keterangan Plaintif sebelum ini. Sedangkan pembuktian berkaitan isu ini
sepatutnya hendaklah diperincikan oleh Plaintif sendiri dan bukannya saksi
Plaintif.

[13] Mahkamah merujuk kepada Seksyen 75 EKMS 2003 yang memperuntukkan:

Beban membuktikan tentang apa-apa fakta tertentu terletak pada orang


yang berkehendakkan Mahkamah mempercayai tentang kewujudan
fakta itu.

[14] Mahkamah juga merujuk kepada hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan
oleh al-Baihaqiy dan Ahmad terjemahnnya:

“Terjemahan: Jika manusia diberi segala apa yang didakwanya nescaya ada di
antara manusia yang mendakwa harta sesuatu kaum dan menuntut hutang darah
mereka. Tetapi pembuktian adalah ditanggung oleh orang yang mendakwa dan
sumpah dikenakan ke atas orang yang ingkar.”

[15] Matan hadis tersebut telah dikanunkan menjadi matan perundangan


sebagaimana peruntukan Seksyen 72 EKMS seperti berikut:

“Beban untuk mengemukakan keterangan dalam sesuatu kes mal


terletak pada orang yang mengatakan atau menegaskan sesuatu fakta
(al-mudda’ii) dan orang yang mengangkat sumpah untuk menafikan
atau mempertikaikan sesuatu fakta (al-Muda’a ‘alaih).”

6
[16] Manakala dalam seksyen 73 (1) dan (2) EKMS pula memperuntukkan:

(1)Sesiapa yang berhasrat supaya mana-mana Mahkamah


memberikan penghakiman tentang apa-apa hak atau tanggungan
di sisi undang-undang yang bergantung kepada kewujudan fakta
yang ditegaskan olehnya, mestilah membuktikan bahawa fakta itu
wujud.

(2)Apabila seseorang terikat untuk membuktikan kewujudan apa-apa fakta,maka


dikatakan bahawa beban membuktikan terletak pada orang itu.

Berdasarkan kepada peruntukan tersebut, dalam kes ini jelaslah bahawa Plaintif tidak dapat
memenuhi tahap pembuktian yang mencukupi mengikut Hukum Syarak dan peruntukan
undang-undang. Di dalam kitab Fiqh Perundangan Islam Wahbah al-Zuhaili (terjemahan
Ahmad Shahbari Salamon) menyebut tentang syarat sah pendakwaan iaitu: pendakwaan
yang sah ialah pendakwaan yang melengkapi syarat-syarat sah. Pendakwaan yang sah ini
melahirkan hukum-hukumnya yang dimaksudkan iaitu membawa pihak lawan (dalam kes)
hadir ke mahkamah dan memintanya menjawab dakwaan pihak yang mendakwa, dan
bersumpah jika dia mengingkari perkara yang didakwakan ke atasnya itu dan orang yang
mendakwa sabit padanya, sama ada dengan keemgganan orang yang didakwa bersumpah.

[17] Selanjutnya, Mahkamah merujuk kepada perenggan 41-54 hujahan Peguam


Syarie Defendan dan bersetuju dengan hujah tersebut. Mahkamah mengulas
berkenaan hujah tersebut yang menyatakan bahawa Plaintif dan Defendan telah
bersetuju bahawa pihak-pihak ini mempunyai kedai makan yang
diusahakan bersama. Plaintif mengakui Defendan turut menyumbang kepada
perniagaan kedai makan tersebut dengan mengeluarkan modal dan diusahakan
bersama Plaintif.

[18] Kedua- dua pihak bersetuju bahawa segala perbelanjaan rumah adalah menggunakan
hasil usahasama kedai makan sebelum masing-masing mendapat upah. Defendan
bekerja sebagai tukang masak di kedai tersebut dengan di bayar upah. Walau
bagaimanapun, Defendan tidak pernah mendapat upah sebagaimana yang telah diakui
oleh Plaintif dan Defendan dalam keterangan mereka. Malahan, Plaintif turut

7
mengakui bahawa segala perbelanjaan rumah adalah diambil daripada hasil kedai
tersebut. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa Defendan telahpun memberikan nafkah
secara tidak langsung melalui pekerjaannya sebagai tukang masak dikedai tersebut tanpa
mengambil upah hasil keuntungan kedai tersebut dan semuanya diuruskan oleh
Plaintif.

[19] Plaintif mengakui dalam keterangannya bahawa Plaintif yang memegang kad
ATM Maybank milik Defendan serta membawa lari wang pusaka milik
Defendan. Ini menunjukkan Plaintif mempunyai kuasa untuk mengakses
wang milik Defendan.

[20] Berdasarkan kepada keadaan ini, ia merupakan satu qarinah bahawa kuasa
berkaitan kewangan Defendan adalah dipegang oleh Plaintif sendiri. Oleh yang
demikian, adalah mustahil Defendan tidak memperuntukkan nafkah kepada
Plaintif bermula tahun 2010 sehingga kini.

[21] Dalam Kitab Nizam Al-Qada` fil-al-Shariah al-Islamiah, Abd. Karim Zaydan
(terjemahan Hj. Mohd Salleh Hj. Ahmad), hlmn. 291; dijelaskan qarinah itu
ialah sesuatu tanda atau alamat yang dijadikan sebagai bukti wujud atau
ternafinya sesuatu. Contohnya dapat dilihat dalam kisah Nabi Yusof dan
Zulkaikha. Kisah penghakiman oleh Umar al-Khattab yang menjatuhkan
hukuman had zina terhadap seorang perempuan yang hamil tanpa suami
berdasarkan kepada qarinah zahir. Para ulama’ fiqh telah mengambil kira dan
mengiktibar qarinah sebagai salah satu cara pembuktian dalam suatu
penghakiman. Mahkamah juga merujuk kepada Seksyen 11 EKMS yang
memperuntukkan:
“Fakta menjadi qarinah—
(a) jika ianya tak konsisten dengan mana-mana fakta persoalan atau
fakta relevan;
(b) jika dengan sendirinya atau berkaitan dengan fakta lain, ia
menjadikan kewujudan atau ketakwujudan mana-mana fakta
Persoalan atau fakta relevan amat barangkali atau amat tak
barangkali.

8
[22] Selanjutnya Mahkamah tidak berhasrat untuk menghujahkan alasan fasakh kedua Plaintif
iaitu Plaintif terpaksa membayar hutang-hutang Defendan dan alasan fasakh ketiga
Plaintif iaitu Defendan bertindak melupuskan harta Plaintif atau melarangnya
menggunakan haknya di sisi Undang-undang terhadap harta tersebut. Ini kerana kedua-
dua alasan ini adalah berkait rapat dengan beban pembuktian sebagaimana yang telah
dihujahkan dalam alasan fasakh pertama Plaintif sebelum ini. Mahkamah bersetuju
dengan hujah-hujah Peguam Syarie Defendan bahawa Plaintif telah gagal untuk
membuktikan dakwaannya secara terperinci.

[23] Mahkamah mendapati keterangan Plaintif dan Saksi Plaintif yang dikemukakan
adalah terlalu ringkas dan menyebabkan Mahkamah ini gagal membuat
dapatan yang positif terhadap dakwaan-dakwaan Plaintif berkenaan alasan
kedua dan ketiga fasakh ini. Justeru, Mahkamah tidak boleh membuat
sebarang anggapan fakta hanya berdasarkan tekaan semata atau berdasarkan
keterangan tidak langsung yang lemah.

[24] Sehubungan dengan itu, berdasarkan kepada rujukan-rujukan hukum syarak,


peruntukan undang-undang, ulasan dan dapatan Mahkamah, Mahkamah
berpuas hati bahawa Plaintif telah gagal melaksanakan beban bukti dalam
dakwaannya bagi alasan pertama, kedua dan ketiga fasakh kes ini. Oleh yang
demikian, Mahkamah menolak alasan pertama, kedua dan ketiga permohonan
fasakh Plaintif ini.

[25] Plaintif dalam alasan keempat fasakhnya mendakwa bahawa Defendan lazim
menyakiti dan menjadikan kehidupan Plaintif menderita disebabkan oleh
kelakuan aniaya. Plaintif dalam keterangannya menyatakan bahawa sepanjang
tempoh perkahwinan, Defendan adalah seorang suami yang panas baran,
sering marah-marah dan pernah memukul Plaintif sekiranya berlaku
perselisihan faham.

9
[26] Di dalam Islam, suami diberi hak untuk memukul isteri sekiranya terdapat tanda-tanda
isteri itu telah berlaku nusyuz. Sepertimana firman Allah s.w.t dalam al-Quran surah an-
Nisa’ ayat 34 yang bermaksud:

Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka


(nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil)
pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga masih degil) pukullah mereka
(dengan pukulan yang ringan bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat
kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan
mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar”.

[27] Ini dapat dilihat dalam kes Hairun Binti Mohd Shariff lwn. Omar Bin Mohd Nor. Dalam
kes ini, Hakim Bicara mengulas mengenai perkataan ‘lazim menyakiti’ itu bukanlah
bermaksud memukul dengan cara fizikal sahaja. Mengikut istilah perundangan,
perkataan ‘assault’ dan ‘battery’ mempunyai maksud yang berbeza. Perkataan ‘battery’
bermaksud memukul secara fizikal tetapi perkataan ‘assault’ tidak begitu. Oleh itu,
‘lazim menyakiti’ hanya relevan dalam kes penganiayaan berbentuk mental seperti
menyakiti hati dan perasaan. Ianya berlaku acapkali dalam satu jangka masa dan
hendaklah berlaku secara ‘lazim’ atau ‘habitual’ dan dibuktikan oleh pihak isteri.
Penganiyaan yang berlaku secara fizikal walaupun tidak lazim, mungkin mencukupi
untuk membuktikan suatu penganiyaan terhadap seorang isteri.

[28] Plaintif mendakwa dalam Afidavit Keterangan Utama Plaintif di perenggan 17 bahawa
sepanjang tempoh perkahwinan, Defendan ialah seorang suami yang panas baran, sering
marah, suka menyumpah seranah, sering mengugut serta pernah memukul Plaintif
apabila berlaku perselisihan faham. Pada bulan Mei 2015 semasa berada di dalam rumah
di hadapan anak-anak, Defendan telah bertindak memukul peha Plaintif sebanyak tiga
kali. Kejadian ini telah diakui oleh Defendan dalam keterangannya. Akibat perbuatan
ini, terdapat kesan lebam pada peha Plaintif dan mengalami kesakitan yang berterusan
malahan Plaintif turut ditahan di Hospital Ampang. Plaintif turut mengemukakan
sesalinan laporan polis bertarikh 14 Mei 2015 dan sesalinan gambar yang menunjukkan
kesan pukulan oleh Defendan. Keterangan Plaintif ini turut disokong oleh Saksi Plaintif
(1) dan (2) dalam perenggan 15-17 Afidavit Keterangan Plaintif.

10
[29] Pada 27 Julai 2015 ketika berada di kedai kraftangan Plaintif, Defendan telah datang
membuat kecoh dan berlaku perselisihan faham sehingga Defendan bertindak menolak
Plaintif hingga terjatuh. Sesalinan laporan polis tarikh tersebut telah dilampirkan
sebagai bukti. Plaintif mendakwa segala perlakuan Defendan tersebut telah
menyebabkannya berasa trauma dan takut. Saksi Plaintif (1) dalam keterangannya
mendakwa kejadian tersebut diketahuinya melalui salah seorang pekerja Plaintif yang
memaklumkan kepadanya. Saksi Plaintif (1) terus menghubungi ibu saudaranya dan
dua orang bapa saudaranya untuk membuat laporan polis. Mahkamah menerima
salinan laporan polis dan gambar kesan pukulan tersebut berdasarkan kepada Seksyen
49 EKMSS 2003.

[30] Keterangan saksi-saksi yang juga merupakan anak-anak kepada Plaintif dan Defendan
boleh diterimapakai di Mahkamah berdasarkan kepada Seksyen 85 (2) EKMSS 2003
yang memperuntukkan kererangan seorang anak terhadap ibubapanya dan keterangan
ibubapa terhadap anaknya boleh diterima sebagai syahadah dan bayyinah.

[31] Dalam kes ini, kejadian pukul yang berlaku telah disaksikan sendiri oleh Saksi Plaintif
1 dan 2. Malahan Plaintif turut mengemukakan salinan gambar akibat kesan pukulan
tersebut dalam Penyata Tuntutan Pindaanya yang ditandakan dalam eksibit 7.
Sesalinan laporan polis juga dilampirkan dalam Afidavit Keterangan Tambahan
Plaintif yang ditandakan sebagai ekshibit 3 dan 4. Dalam Seksyen 3 EKMSS 2003,
telah dijelaskan mengenai tafsiran keterangan. Keterangan yang diberikan untuk
membuktikan suatu hak di sisi Hukum syarak termasuklah keterangan melalui
kesaksian, iqrar, sumpah, qarinah dan dokumentar merupakan keterangan yang boleh
digunapakai oleh mahkamah untuk membuat pertimbangan terhadap dakwaan Plaintif

[32] Mahkamah bersetuju dengan hujah Peguam Syarie Plaintif di perenggan 59, iaitu
sekiranya keadaan ini dibiarkan berterusan maka akan mengakibatkan kemudaratan
yang lebih besar terhadap diri Plaintif. Sedangkan keadaan ini bertentangan dengan
Kaedah Fiqhiyyah yang bermaksud:
Kemudaratan hendaklah dihilangkan

11
K Kaedah fiqh ini memberi ruang kepada pihak-pihak untuk menuntut fasakh dalam urusan
perkahwinan yang mengandungi unsur-unsur darar ke atas satu pihak yang lain
disebabkan salah laku oleh pasangannya.

[33] Berdasarkan kepada dapatan-dapatan mahkamah tersebut, Mahkamah berpuas hati


bahawa telah wujud kekasaran dan penganiyaan yang dilakukan oleh Defendan terhadap
Plaintif. Mahkamah menerima alasan fasakh keempat Plaintif ini dan bersetuju dengan
hujahan Peguam Syarie Plaintif. Mahkamah berpuas hati bahawa perkahwinan Plaintif
dan Defendan telah berlaku pecah belah (syiqaq) yang berpanjangan sehingga hari ini
tanpa adanya jalan penyelesaian terhadap krisis rumahtangga ini.

12
KEPUTUSAN

Kes ini telah didengar dan diputuskan hari ini di bawah seksyen 53 Enakmen
Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 dengan dihadiri oleh
Plaintif bersama Peguam Syarienya, manakala Defendan hadir bersama wakil
Peguam. Setelah Mahkamah meneliti dokumen yang difailkan, mendengar
keterangan pihak-pihak, saksi-saksi Plaintif, hujahan Peguam Syarie Plaintif dan
Peguam Syarie Defendan, maka dengan ini Mahkamah telah berpuas hati dan
memerintahkan seperti berikut:

1) Mahkamah meluluskan tuntutan ini berdasarkan Seksyen 53 Enakmen


Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

2) Mahkamah mensabitkan Defendan telah lazim menyakiti atau


menjadikan kehidupan Plaintif menderita disebabkan kelakukan aniaya.

3) Mahkamah memerintahkan pernikahan Plaintif dan Defendan


dibubarkan dan difasakhkan mulai hari ini 28 Disember 2017 jam 3.45
petang. Plaintif hendaklah beriddah selama tempoh tiga kali suci mulai
hari ini.

4) Mahkamah perintahkan perceraian ini didaftarkan di Pejabat Agama


Islam Gombak dan Sijil Nikah asal pihak-pihak dibatalkan.

13

You might also like