You are on page 1of 14

SOSI lwn SSSAA

[Mahkamah Rayuan Syariah Selangor, Shah Alam, Kes rayuan No. 10000-017-0013-2015, (YAA
Tan Sri Dato’ Setia Dr. Ibrahim b. Lembut (Pengerusi) , YA Dato’ Seri Dr. Md. Yusup b. Che Teh
(Ahli Panel), YA Datuk Aidi b. Moktar (Ahli Panel)]

[26 Januari 2017 / 27 Rabiul Akhir 1438H ]

Tuntutan Harta Sepencarian di bawah seksyen 122 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam
(Negeri Selangor) 2003

Permohonan

Perayu telah membuat rayuan kepada Mahkamah Rayuan Syariah Selangor berhubung keseluruhan
keputusan Hakim Bicara Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam dalam kes Mal Saman No: 82 Tahun
1998 yang bertarikh 16 Februari 2015 seperti berikut:

1. Mahkamah meluluskan tuntutan Plaintif(Perayu) berdasarkan seksyen 122


Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003;
2. Mahkamah memerintahkan bahawa sebuah rumah yang beralamat di XXX
Petaling Jaya, Selangor yang dipegang dibawah geran no. Hak milik XX, No. Lot
XX Mukim Bandar Subang Jaya, Daerah Petaling Selangor diisytiharkan sebagai
harta sepencarian;
3. Mahkamah memerintahkan agar rumah tersebut hendaklah dinilai mengikut
nilaian harga pasaran semasa perceraian pihak-pihak pada 8 September 1994.
Plaintif (Perayu) berhak mendapat 2% manakala Defendan(Responden) berhak
mendapat 98%; dan
4. Kos ditanggung oleh masing-masing.

1
Fakta Kes Dan Prosiding Di Mahkamah Tinggi

[1] Perayu dan Responden telah berkahwin pada 8 Disember 1985 dan telah bercerai pada 8
September 1994. Hasil perkahwinan, Perayu dan Responden telah dikurniakan seorang anak
perempuan bernama SS bt. SO (lahir 27 September 1989)

[2] Pada 23 November 1998 Perayu telah memfailkan tuntutan harta sepencarian di Mahkamah
Tinggi Syariah Selangor terhadap sebuah rumah beralamat No. XXX Petaling Jaya, Selangor.
Rumah tersebut telah di beli pada 7 Februari 1990 yang didaftarkan atas nama Responden.

[3] Atas sebab pertukaran hakim dan sebab-sebab lain, kes ini hanya mula dibicarakan pada 25
November 2013. Setelah Mahkamah Tinggi Syariah Selangor mendengar dan meneliti
keterangan kedua-dua pihak, pada 16 Februari 2015 Mahkamah Tinggi Syariah Selangor telah
memutuskan dan memerintahkan sepertimana pada perenggan 1 di atas.

[4] Perayu tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Selangor tersebut dan
pada 26 Februari 2015 telah memfailkan Notis Rayuan untuk merayu keseluruhan keputusan
tersebut.

[5] Pada 7 Disember 2015 Perayu telah memfailkan Alasan-Alasan Rayuannya ke Mahkamah
Rayuan Syariah Selangor. Perayu telah menyatakan 6 Alasan Rayuan sebagaimana di
mukasurat 201-203 Rekod Rayuan.

[6] Pada 24 Mac 2016, Perayu telah memfailkan hujahnya. Pada 26/5/2016, Responden telah
failkan hujah balasnya manakala Perayu pula telah menfailkan jawapan kepada hujah balas
Responden pada 16 Jun 2016.

Diputuskan

Setelah Kami meneliti Notis Rayuan, Alasan Rayuan, Rekod Rayuan dan hujah kedua-dua pihak,
kami sebulat suara memutuskan:-

2
1. Rayuan Perayu diterima.
2. Perenggan 3 Perintah Mahkamah Tinggi Syariah pada 16 Februari 2015 di dalam kes no.
82/1998 diubah seperti berikut:
“Mahkamah memerintahkan agar rumah tersebut dinilai mengikut nilaian harga
pasaran semasa. Perayu berhak mendapat 5% manakala Responden berhak mendapat
95%”.

Peguam Syarie

Peguam Syarie Pemohon : diwakili oleh Mohd. Rafie b. Mohd. Shafie dari Chambers of
Rafie Mohd Shafie & Associates.

Peguam Syarie Responden : diwakili oleh Azmi b. Mohd. Rais dari Tetuan Zulkifli Yong
Azmi & Co.

Undang - undang yang dirujuk

1. Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 – ss 122(2)(a) (c)


2. Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 – s. 75, s 83, s 83 (6)

Kes - kes yang dirujuk

1. Ainon bt. Hamzah lwn. Anwar b. Ilyas [2013] JH 36(1).


2. Hawa Embong lwn. Ahmad Muda [2005] JH 20(2)
3. Hazlina bt. Hamidin lwn. Muhammad Zaidi b. Majid [2005] JH 20(2).
4. Maimon bt. Mohd. Zaid lwn. Mohammed Azmi b. Mohd. Said [2006] JH2 1(1)
5. Md. Yusof b. Abdul Rahman lwn. Norlia bt. Abdul Aziz [2005] JH 20(1)
6. Massyura bt. Mohd. Takia lwn. Mohd. Harzami b. Abdul Kudus, kes no. 10000-017-0061-
2015
7. Norfadzilah bt. Hashim lwn. Najmul Basri b. Najmudin [2011] JH 32(2),

3
8. Rogayah bt. Ismail lwn. Abd. Razak b. Sulong [2005] JH 20(2) 306
9. Sri Utama Dewi Kasman lwn. Abu Bakar Abdullah (2010) 3 LNS 16
10. Tarmizi b. Abu Hanifah lwn. Zahara bt. Saidin [2009] JH 28(2)

Penghakiman YAA Tan Sri Dato’ Setia Dr. Ibrahim b. Lembut (Pengerusi) , YA
Dato’ Seri Dr. Md. Yusup b. Che Teh (Ahli Panel), YA Datuk Aidi b. Moktar (Ahli
Panel), HMRYS:

[7] Berdasarkan Alasan Rayuan serta hujah-hujah yang difailkan oleh kedua-dua pihak, kami
merumuskan terdapat 3 isu yang perlu kami sentuh dalam memutuskan rayuan ini iaitu:
a. Sama ada Y.A Hakim Bicara terkhilaf dalam menentukan takat sumbangan Perayu dan
Responden dan menentukan kadar 2% kepada Perayu dan 98% kepada Responden di
dalam harta tersebut;
b. Sama ada hartanah tersebut perlu dinilai mengikut nilai pasaran semasa kes diputuskan
ataupun dinilai mengikut nilai pasaran ketika perceraian berlaku; dan
c. Sama ada keterangan Saksi Responden yang merupakan anak perempuan Perayu dan
Responden boleh diterima mengikut Hukum Syarak dan undang-undang.

[8] Adalah menjadi fakta yang dipersetujui di dalam kes ini bahawa Responden telah membuat
pinjaman dengan majikannya Petronas bagi menjelaskan nilai 90% daripada harga belian
rumah tersebut yang berjumlah RM 114,000. Pembayaran pinjaman perumahan Responden
dibuat melalui potongan gaji bulanan dan telahpun diselesaikan pada tahun 2010.

[9] Kami telah meneliti setiap hujah kedua-dua pihak dan juga Rekod Rayuan yang difailkan
termasuklah Rekod Rayuan Tambahan dan akan mengulas isu yang dinyatakan tadi satu
persatu.

Isu Pertama: Sama ada Y.A Hakim Bicara terkhilaf dalam menentukan takat sumbangan
Perayu dan Responden dan menentukan kadar 2% kepada Perayu dan 98% kepada
Responden di dalam harta tersebut.

4
[10] Perayu menghujahkan bahawa Y.A Hakim Bicara telah terkhilaf dalam menentukan takat
sumbangan Perayu di dalam memperolehi harta tersebut. Perayu menyatakan bahawa Perayu
telah memberikan sumbangan langsung melalui;-
a. pembayaran deposit berjumlah RM 14,500,
b. bayaran kos guaman RM 2,000 dan
c. kos pengubahsuaian RM 60,000.

(a) Pembayaran Deposit RM 14,500.

[11] Perayu menghujahkan bahawa Perayu telah membayar deposit berjumlah RM 14,500
melalui cek Perayu yang diakui sendiri oleh Responden dan saksi Responden dengan merujuk
kepada Rekod Rayuan di m.s. 104-105.

[12] Responden pula menghujahkan bahawa, walaupun deposit berjumlah RM 14,500 dibuat
melalui cek Perayu tetapi duit tersebut berasal dari akaun Responden sendiri. Responden
menyatakan bahawa Responden telah mengeluarkan RM 20,000 dari akaunnya dan
memberikannya kepada Perayu untuk pembayaran deposit dan juga kos guaman. Responden
berhujah pengeluaran wang ini dibuktikan melalui ekshibit D8 di m.s. 231 Rekod Rayuan.

[13] Responden berhujah bahawa fakta berkaitan pengeluaran wang Responden tersebut
disokong oleh keterangan saksi Responden iaitu anaknya SS bt SO di m.s. 24 Rekod Rayuan
Tambahan.

[14] Y.A Hakim Bicara dalam alasan penghakimannya menyatakan bahawa Perayu telah gagal
membuktikan dakwaannya bahawa Perayu telah membayar RM 14,500 sebagai bayaran
deposit (m.s. 186 Rekod Rayuan).

[15] Kami telah meneliti rekod rayuan dan mendapati bahawa Perayu dalam keterangannya
melalui afidavit ada menyatakan “Saya bayar pendahuluan sebanyak RM 14,500 iaitu 10%
harga rumah semasa menandatangani perjanjian jual beli. Selebihnya Defendan membuat
pinjaman dari syarikat tempat Defendan bekerja iaitu syarikat Petronas” (m.s. 4 Rekod

5
Rayuan Tambahan). Manakala semasa di soalbalas, Perayu ada menyatakan “ Pendahuluan
10% tiada bukti” (M.S. 98 Rekod Rayuan)

[16] Responden pula dalam keterangannya mengatakan “pada 6/4/1990 saya mengeluarkan
wang simpanan saya sebanyak RM 20,000 untuk pembayaran pendahuluan sebanyak RM
14,500 serta kos guaman sebanyak lebih kurang RM 5,000” (m.s. 12 Rekod Rayuan
Tambahan). Ketika disoal balas, Responden mengatakan “Deposit RM 14,500 tu Plaintif yang
bayar kepada agen. Betul guna cek dia. Saya tak setuju itu dikatakan duit Plaintif” (m.s. 105
rekod Rayuan). Manakala ketika disoal semula, Responden menyatakan “Memang Plaintif
yang bayar tapi guna duit saya. Saya keluarkan dari bank Bumiputra di Dayabumi beberapa
kali berjumlah lebih kurang RM 38,000. Saya beri kepada Plaintif sebab saya tak ada buku
cek” (m.s. 105 Rekod Rayuan)

[17] Saksi Responden dalam keterangannya menyatakan “Saya setuju deposit telah dibayar
semasa tandatangan S&P ini. Saya tak tahu dimana nak buktikan mak saya bayar RM 14,500”
(m.s. 110 Rekod Rayuan)

[18] Daripada keterangan-keterangan tersebut, kami mendapati bahawa keterangan Perayu


bahawa Perayu yang membayar deposit 10% melalui ceknya, disokong oleh keterangan
Responden dan saksi Responden. Responden mengakui bahawa deposit 10% dibayar melalui
cek Perayu tetapi menafikan bahawa itu adalah wang Perayu tetapi wang itu merupakan duit
yang diberikan Responden kepada Perayu. Saksi Responden juga mengesahkan bahawa
deposit 10% tersebut dibayar ketika S&P ditandatangani, selari dengan keterangan Perayu.

[19] Bagi memutuskan isu wang deposit ini, kami dapati fakta yang dibuktikan adalah bayaran
tersebut dibuat melalui cek Perayu berjumlah RM 14,500. Manakala persoalan ditimbulkan
oleh Responden bahawa walaupun cek tersebut cek Perayu, tetapi wangnya adalah wang
Responden yang dikeluarkan dari simpanannya di Bank Bumiputra.

[20] Merujuk kepada seksyen 75 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor)
2003 [EKMSS 2003], tanggungjawab untuk membuktikan fakta bahawa wang tersebut adalah

6
wang Responden adalah terletak diatas bahu Responden. Ini adalah kerana Responden
mendakwa sesuatu yang bersalahan dengan fakta zahir iaitu deposit tersebut dibayar melalui
cek Plaintif. Dengan hormatnya kami sebutkan seksyen 75 EKMMS 2003 tersebut;-

“Beban membuktikan tentang apa-apa fakta tertentu terletak pada orang yang
berkehendakkan Mahkamah mempercayai tentang kewujudan fakta itu”

[21] Kami telah meneliti ekshibit D3 iaitu dokumen S&P yang ditandatangani pada 7/2/1990.
Keterangan Perayu dan Saksi Responden menyatakan bahawa deposit RM 14,500 telah
dibayar semasa dokumen ini ditandatangani. Kami juga meneliti ekshibit D8 iaitu dokumen
transaksi akaun Bank Bumiputra Responden yang mengatakan pengeluaran dibuat sebanyak
RM 20,000 untuk diberi kepada Perayu bagi membayar 10% deposit dan kos guaman. Kami
dapati amaun RM 20,000 tersebut telah dikeluarkan oleh Responden pada tarikh 16/4/1990.
Kami mendapati tarikh pengeluaran wang Responden tersebut adalah 2 bulan selepas S&P
ditandatangani. Oleh yang demikian, fakta berkaitan pembayaran deposit RM 14,500 yang
dibuat melalui cek Perayu tetapi wangnya adalah wang Responden tidak dapat dibuktikan
sewajarnya oleh Responden menurut Hukum Syarak dan seksyen-seksyen 72 & 73 EKMSS
2003.

b. Kos guaman RM 2,000

[22] Isu berkenaan fakta Perayu membayar kos guaman sebanyak RM 2,000 langsung tidak
dihujahkan oleh Perayu kecuali dibangkitkan diperenggan 47(a) Hujah bertulisnya sebagai
kesimpulan. Manakala Responden pula menghujahkan bahawa kos guaman sebanyak RM
5,000 adalah dibayar melalui wang Responden (Perenggan 3.1.1 dan 3.1.7 Hujah Responden).
Hujah Responden adalah wang kos guaman tersebut dibayar bersama dengan deposit 10%
dengan menggunakan cek Perayu tetapi wangnya adalah dari simpanan Responden.

[23] Berdasarkan penelitian kami kepada Rekod Rayuan yang ada, kami dapati isu ini adalah
bersamaan dengan isu pembayaran wang deposit 10% sebagaimana yang telah kami ulas di
perenggan 11-20 penghakiman ini. Bezanya di sini adalah amaun yang dipertikaian adalah

7
tidak sama. Perayu nyatakan RM 2,000 dan Responden nyatakan RM 5,000. Kami mendapati
kedua-dua pihak tidak dapat membuktikan fakta masing-masing di dalam perkara ini. Tiada
sebarang keterangan yang boleh diterima oleh kami dalam isu ini dan kerana itu kami tidak
dapat memberikan sebarang penghakiman yang memihak kepada mana-mana pihak berkenaan
sumbangan wang kos guaman dalam memperolehi harta sepencarian tersebut.

c. Kos pengubahsuaian RM 60,000

[24] Perayu menghujahkan bahawa Y.A Hakim Bicara telah terkhilaf apabila tidak memberi
pertimbangan kepada keterangan Perayu yang telah memberi sumbangan langsung dalam
pengubahsuaian rumah tersebut sebanyak RM 60,000. Perayu juga berhujah bahawa Y.A
Hakim Bicara terkhilaf apabila mengatakan Perayu tidak ada menerangkan secara spesifik
sumbangan tidak langsung Perayu dalam pemerolehan rumah tersebut.

[25] Responden dalam hujahnya menyatakan bahawa Perayu sama sekali gagal membuktikan
bahawa Perayu ada mengeluarkan RM 60,000 untuk kos pengubahsuaian rumah tersebut.
Responden berhujah bahawa keterangan Saksi Responden juga menyokong keterangan
Responden bahawa tiada sebarang dokumen ataupun bukti konkrit berkaitan isu ini.

[26] Kami meneliti Rekod Rayuan Tambahan di m.s. 4 (no. 21 Afidavit Keterangan Perayu),
Perayu mengatakan tentang butiran pengubahsuaian yang didakwanya. Malangnya kami tidak
menjumpai apa-apa keterangan tambahan atau dokumen sokongan lain yang menunjukkan
tentang butiran pengubahsuaian tersebut.

[27] Responden pula menafikan sama sekali bahawa Perayu ada mengeluarkan kos
pengubahsuaian ini. Oleh kerana dakwaan pengubahsuaian ini dibuat oleh Perayu, maka
Perayu bertanggungjawab untuk membuktikan kepada kami bahawa fakta tersebut adalah
wujud dan dibuktikan sewajarnya. Namun, berdasarkan keterangan yang ada, kami mendapati
bahawa fakta ini tidak dapat dibuktikan sama sekali oleh Perayu. Oleh yang demikian, dapatan
Y.A Hakim Bicara yang menolak isu kos pengubahsuaian ini adalah betul.

8
[28] Responden telah menghujahkan bahawa selain membayar 90% daripada nilai belian rumah
tersebut, Responden juga ada mengeluarkan wang simpanannya di Bank Bumiputra dan
membuat pengeluaran wang dari KWSP dan Koperasi Petronas untuk membayar kos ubahsuai
dan kos-kos tambahan rumah tersebut. Antara kos tambahan yang terlibat adalah kos mengecat
rumah, pagar dan membeli perkakas elektrik yang dibuktikan Responden melalui ekshibit-
ekshibit D6, D7, D8, D9 dan D10. Keterangan Responden dalam perkara ini telah tidak dicabar
langsung oleh Perayu dan tiada juga sebarang hujahan dibuat bagi menolak sumbangan
Responden ini.

[29] Berdasarkan ulasan tersebut, kami rumuskan bahawa sumbangan langsung Perayu
hanyalah setakat membayar wang deposit sebanyak RM 14,500 manakala sumbangan
langsung Responden pula adalah membayar pinjaman sebanyak RM 114,000, bayaran
premium insuran pinjaman RM 1,824 dan juga kos-kos tambahan pengubahsuaian. Kami
berpuashati bahawa Responden hendaklah mendapat bahagian yang lebih besar daripada
Perayu.

[30] Manakala bagi sumbangan tidak langsung, ianya adalah tidak berkaitan dengan kes ini
kerana perkiraan takat sumbangan dibuat berdasarkan sumbangan langsung pihak-pihak
berdasarkan sub-seksyen 122(2)(a) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri
Selangor) 2003 [EUUKIS 2003]. Isu seperti ini telahpun diputuskan oleh Mahkamah Rayuan
Syariah Selangor dalam kes Massyura bt. Mohd. Takia lwn. Mohd. Harzami b. Abdul Kudus,
kes no. 10000-017-0061-2015, penghakiman pada 30 Jun 2016 (belum dilaporkan). Di dalam
kes tersebut, Panel Rayuan menyatakan:

“Berdasarkan seksyen 122 di atas, apabila Mahkamah mengisytiharkan harta sepencarian


di bawah Seksyen 2, Mahkamah akan menentukan harta sepencarian itu diperolehi secara
bersama atau diperolehi secara usaha tunggal. Mahkamah tidak boleh menentukan harta
sepencarian itu diperolehi secara kedua-dua cara. Mahkamah hanya boleh menentukan
perolehan harta itu melalui salah satu daripada cara yang berikut; (a) Pemerolehan
secara dengan usaha bersama; (b) Pemerolehan secara dengan usaha tunggal. Oleh
kerana Rumah tersebut telah diperolehi dengan usaha bersama pihak-pihak, Seksyen 122

9
Enakmen telah memperuntukkan bahawa pembahagian hendaklah diberikan secara sama
rata jika sekiranya pihak-pihak tidak membuktikan takat sumbangan masing-masing. Jika
sekiranya takat sumbangan masing-masing dibuktikan, Mahkamah hendaklah
membahagikan bahagian kadar harta sepencarian mengikut takat sumbangan masing-
masing berdasarkan sub seksyen 122(2)(a) Enakmen”

[31] Berdasarkan ulasan tersebut, kami berpendapat bahawa Perayu berhak mendapat satu
bahagian yang lebih daripada 2% sebagaimana yang diperintahkan oleh Y.A Hakim Bicara.
Sumbangan langsung Perayu dalam membayar deposit sebanyak RM 14,500 hendaklah diberi
pertimbangan yang sewajarnya. Kami juga mengambil perhatian terhadap keadaan Responden
yang menjaga dan menguruskan keperluan anak dari tarikh perceraian dengan Perayu
sehinggalah anak tersebut dewasa sebagaimana yang diperuntukkan dibawah subseksyen
122(2)(c) EUUKIS 2003. Walaubagaimanapun, hujah Perayu bahawa beliau berhak sekurang-
kurangnya 1/3 daripada bahagian rumah tersebut, pada hemat kami adalah terlalu besar jika
dibandingkan dengan takat sumbangan yang diberikan. Kami akan menentukan bahagian
Perayu dan Responden terhadap harta sepencarian ini di akhir penghakiman ini.

Isu Kedua: Sama ada hartanah tersebut perlu dinilai mengikut nilai pasaran semasa kes
diputuskan ataupun dinilai mengikut nilai pasaran ketika bercerai berlaku

[32] Perayu menghujahkan bahawa Y.A Hakim Bicara terkhilaf apabila memutuskan bahawa
rumah tersebut perlu dinilai mengikut harga pasaran semasa Perayu dan Responden bercerai
pada tahun 1994. Perayu menyatakan bahawa nilaian semasa bercerai adalah tidak adil dan
bercanggah dengan keputusan kes-kes Mahkamah Syariah. Perayu telah merujuk kepada kes-
kes Tarmizi b. Abu Hanifah lwn. Zahara bt. Saidin [2009] JH28(2), Norfadzilah bt. Hashim
lwn. Najmul Basri b. Najmudin [2011] JH32(2), Md. Yusof b. Abdul Rahman lwn. Norlia
bt. Abdul Aziz [2005] JH20(1) dan Ainon bt. Hamzah lwn. Anwar b. Ilyas [2013]JH36(1).

[33] Perayu juga berhujah berdasarkan satu hadis sahih Bukhari dan matan kitab Fiqh al-
Manhaji ala Mazhab al-Imam al-Shafie, Jld. 3 m.s. 285-286 yang menyatakan pertambahan
nilai yang berlaku kepada sesuatu harta adalah milik kepada penggadai yang mana Perayu

10
adalah salah seorang penggadai yang berhak kepada rumah tersebut. Perayu berhujah
keputusan kes Ainon bt. Hamzah merupakan otoriti yang terkini di mana Mahkamah Rayuan
Syariah memutuskan bahawa penilaian harta dalam tuntutan harta sepencarian dibuat mengikut
nilai semasa kes diputuskan.

[34] Responden pula berhujah bahawa kes-kes yang dirujuk oleh Perayu hendaklah dibezakan
dengan kes rayuan ini. Menurut Responden, kes-kes yang dirujuk oleh Perayu telah diputuskan
oleh Mahkamah dalam tempoh 2-7 tahun selepas pihak-pihak bercerai. Berbeza dengan kes
ini, keputusan dibuat selepas 19 tahun pihak-pihak bercerai. Responden menghujahkan bahawa
jika mengambilkira nilai pasaran semasa keputusan diberikan, seolah-olah Perayu dibenarkan
untuk mengambil keuntungan/pertambahan nilai daripada tempoh masa ianya dibicarakan.
Responden juga menghujahkan sumbangan langsung atau tak langsung dalam harta
sepencarian, hendaklah dikira selari dengan tempoh perkahwinan dan bukannya selepas
berlaku perceraian.

[35] Responden telah merujuk kepada kes-kes Maimon bt. Mohd. Zaid lwn. Mohammed Azmi
b. Mohd. Said [2006] JH21(1) dan Hazlina bt. Hamidin lwn. Muhammad Zaidi b. Majid
[2005] JH20(2). Di dalam kedua-dua kes tersebut, Mahkamah telah memutuskan bahawa
pembahagian harta sepencarian dibuat pada nilaian bersih harta ketika berlaku perceraian.
Responden juga menghujahkan bahawa Responden adalah penggadai rumah tersebut yang
mencagarkan rumah tersebut kepada majikannya sehingga selesai pinjaman. Apa-apa
pertambahan nilai yang berlaku adalah hak milik Responden.

[36] Y.A Hakim Bicara di dalam alasan penghakimannya tidak mengulas berkenaan isu ini. Y.A
Hakim Bicara hanya menentukan bahawa nilaian hendaklah dibuat berdasarkan nilai pasaran
ketika pihak-pihak bercerai pada tahun 1994 tanpa sebarang penjelasan lanjut. Oleh yang
demikian, kami akan memutuskannya di sini.

[37] Perbicaraan kes ini telah mengambil masa yang terlalu lama atas faktor-faktor yang tidak
dapat ditentukan. Sepatutnya sesuatu kes rayuan hendaklah dibereskan secepat yang mungkin
agar pihak-pihak tidak terkesan dengan faktor masa. Kami merasa amat dukacita apabila kes

11
ini hanya dapat diputuskan pada tahun 2015 sedangkan ianya telah difailkan 19 tahun yang
lepas.

[38] Kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku ini hendaklah ditanggung bersama oleh
Mahkamah dan juga pihak-pihak Perayu dan Responden. Kelewatan ini sudah tentunya
memberikan ketidakadilan kepada pihak-pihak. Semua pihak, baik Mahkamah mahupun
pihak-pihak yang bertikai hendaklah memastikan bahawa kelewatan seumpama ini tidak
berlaku lagi di masa hadapan.

[39] Berbalik kepada isu ini, kami telah meneliti otoriti-otoriti yang dikemukakan oleh kedua-
dua pihak. Kami bersetuju dengan hujahan Perayu bahawa penggadai yang dimaksudkan
dalam matan kitab Fiqh al-Manhaji adalah pemilik yang berhak kepada pertambahan nilai
rumah tersebut. Di dalam kes ini, apabila diputuskan bahawa harta tersebut adalah harta
sepencarian, maka kedua-dua pihak Perayu dan Responden mempunyai hak ke atas rumah
tersebut. Yang membezakannya hanyalah jumlah hak(portion) masing-masing. Oleh yang
demikian, apabila berlaku pertambahan nilai, maka kedua-dua pihak adalah berhak kepadanya.
Inilah maksud yang kami fahami dari penghakiman Mahkamah Rayuan dalam kes Ainon bt.
Hamzah. Panel Rayuan di dalam kes tersebut menyatakan;-

“ pertambahan nilai yang berlaku dalam kes ini sama seperti yang disebut dalam Fiqh al-
Manhaji ini kerana pihak Responden adalah pemilik ¼ bahagian daripada harta-harta
yang diperintahkan sebagai harta sepencarian di atas tanah Lot 403A”.

[40] Berdasarkan ulasan-ulasan kami itu, kami berpendapat adalah lebih adil jika nilai pasaran
yang diambilkira adalah nilai pasaran semasa kes ini diputuskan dan bukannya nilai pasaran
semasa bercerai 19 tahun yang lepas.

Isu Ketiga: Sama ada keterangan Saksi Responden yang merupakan anak perempuan
Perayu dan Responden boleh diterima mengikut Hukum Syarak dan undang-undang.

12
[41] Perayu berhujah bahawa keterangan saksi Responden yang merupakan anak
perempuannya tidak boleh diterima kerana wujudnya tohmah. Saksi Responden tersebut
mempunyai kepentingan di dalam harta yang dipertikaikan kerana hakmilik rumah tersebut
telahpun ditukar kepada nama saksi Responden sebelum perbicaraan berakhir. Perayu juga
berhujah bahawa keterangan saksi Responden adalah berdasarkan dengar cakap (hearsay)
daripada ibunya. Tambahan pula ketika rumah tersebut dibeli, saksi Responden ini hanya
berumur satu tahun dan ketika bercerai saksi ini berumur lebih kurang 5 tahun. Perayu merujuk
kepada kes Hawa Embong lwn. Ahmad Muda [2005] JH20(2) bagi menyokong hujahnya.
Perayu menyatakan Y.A Hakim Bicara telah terkhilaf apabila menerima keterangan saksi ini.

[42] Responden pula menghujahkan bahawa walaupun saksi Responden ini masih kecil ketika
harta tersebut dibeli dan ketika perceraian berlaku, namun saksi tersebut merupakan seorang
yang matang ketika hadir memberi keterangan. Saksi Responden juga telahpun memperolehi
ijazah perakaunan dari sebuah universiti di United Kingdom dan saksi ini juga telah membesar
di dalam rumah yang menjadi subjek tuntutan. Responden merujuk kepada seksyen 85
EKMMS 2003 dimana keterangan seorang anak terhadap ibu atau bapanya boleh diterima
sebagai bayyinah. Responden telah mengemukakan otoriti kes-kes Rogayah bt. Ismail lwn.
Abd. Razak b. Sulong [2005]JH20(2) 306 dan kes Sri Utama Dewi Kasman lwn. Abu Bakar
Abdullah (2010) 3LNS 16 sebagai rujukan.

[43] Kami ingin menarik perhatian pihak-pihak berkenaan konsep keterangan saksi di
Mahkamah Syariah boleh diberikan di dalam dua bentuk iaitu syahadah dan bayyinah
sebagaimana yang diperuntukkan dibawah seksyen 83 EKMMS 2003. Di dalam kes ini, saksi
Responden telah memberi keterangan scara bayyinah dan keterangannya tidaklah boleh
diterima secara mutlak. Kebolehterimaan keterangan saksi Responden adalah bergantung
kepada keterangan-keterangan sokongan lain yang akan dinilai oleh Mahkamah. Kami
nyatakan di sini sub-seksyen 83(6) EKMMS 2003 yang memperuntukkan;
“Seseorang yang kebolehpercayaannya diragui kerana hubungan baiknya dengan dan
mempunyai kepentingan dengan pihak menentang adalah kompeten untuk memberikan
Bayyinah tetapi tidak kompeten untuk memberikan syahadah”

13
[44] Oleh yang demikian, Y.A Hakim Bicara tidak terkhilaf apabila menerima keterangan saksi
Responden ini.

KEPUTUSAN

SETELAH Kami meneliti Notis Rayuan, Alasan Rayuan, Rekod Rayuan dan hujah kedua-dua
pihak, kami sebulat suara memutuskan:-

1. Rayuan Perayu diterima.


2. Perenggan 3 Perintah Mahkamah Tinggi Syariah pada 16/2/2015 di dalam kes no.
82/1998 diubah seperti berikut:
“Mahkamah memerintahkan agar rumah tersebut dinilai mengikut nilaian harga
pasaran semasa. Perayu berhak mendapat 5% manakala Responden berhak mendapat
95%”.

14

You might also like