You are on page 1of 7

BAHASA MELAYU KERTAS 1

BAHAGIAN B (PATRIOTIK)
Peristiwa 13 Mei 1969 telah melakar sejarah hitam kepada kuasa politik
negara. Sejak itu, pemerintah negara cuba sedaya upaya bagi
mewujudkan kembali persefahaman antara kaum yang pelbagai di
negara Malaysia. Kemakmuran dan semangat patriotisme sangat
penting dalam kalangan masyarakat. Patriotisme dapatlah ditakrifkan
sebagai semangat cinta akan tanah air. Kecintaan kepada negara
sangatlah diperlukan bagi melahirkan negara maju seterusnya
merealisasikan iltizam Wawasan 2020. Persefahaman ekonomi mampu
membentuk percaturan ekonomi yang kondusif dan mewujudkan
hubungan sosial yang erat. Implikasi daripada perpaduan bangsa inilah
lahirnya kepelbagaian budaya dan adat resam di negara kita. Meskipun
Malaysia sedang memacu ke arah sebuah negara yang maju namun
tidaklah seharusnya aspek sosial terutamanya semangat cinta terhadap
ibu pertiwi dikesisikan. Janganlah menjadi negara maju namun masih
jua mengikut telunjuk orang lain. Maka sudah terang lagi bersuluh,
semangat patriotisme begitu perlu demi membina sebuah negara yang
berwawasan.

Hakikatnya, terdapat pelbagai cara bagi memupuk semangat


patriotisme dalam kalangan masyarakat. Menyoroti perkara ini,
kerajaan antaranya telah mengambil inisiatif menubuhkan Jabatan
Perpaduan bagi menjalankan gerak kerja ke arah penyatuan kaun di ibu
pertiwi. Penubuhan ini sangat berpatutan dan wajar bagi mengelakkan
pertengkaran atau perbezaan pendapat daripada berlaku di samping
membentuk integrasi kaum. Sekiranya pertengkaran kaum berlaku, ini
meningkatkan kadar jenayah seterusnya memburukkan nama negara di
persada sarwajagat. Jabatan Perpaduan berperanan dalam melakukan
aktiviti yang meningkatkan semangat patriotisme seperti Karnival
Budaya dan sebagainya. Penganjuran karnival itu mengumpul kesemua
budaya dan adat turun-temurun yang terdapat di Malaysia. Izharnya,
kepelbagaian kaum telah menghasilkan kelainan kepada Malaysia
kerana adanya percampuran budaya dan adat. Keunikan dan
keistimewaan inilah wajar dibanggakan oleh setiap lapisan masyarakat,
yang lahir daripada kemerdekaan yang dikecapi. Ini sekali gus
merealisasikan visi kudsi bagi mewujudkan semangat patriotisme
dengan menghargai warisan budaya Malaysia yang majmuk.

Walau bagaimanapun, peranan bagi membentuk semangat patriotisme


tidaklah terletak kepada kerajaan semata-mata. Ibu bapa memainkan
obligasi penting dengan mengajar anak-anak menghargai keamanan
negara dan bersikap patriotik. Ibu bapa haruslah menjadi katalis
keamanan dengan mengawal bahan bacaan anak-ana. Memandangkan
begitu banyak pengaruh melalui media massa, ibu bapa mestilah
menyekat saluran yang tidak senonoh dan tidak berfaedah. Bak kata
pepatah, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Anak-anak umpama
kain putih dan ibu bapalah pencorak akhlak mereka. Tuntasnya,
ceritakanlah tentang kepentingan semangat patriotisme kepada
mereka atau belikan buku untuk dibaca supaya semangat patriotisme
terpupuk dalam diri mereka. Janganlah menunggu sehingga “nasi
menjadi bubur”.

Seterusnya, pembelajaran dan pengajaran di alma mater juga perlulah


menerapkan unsur semangat cinta akan negara. Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan serta Pendidikan Moral sebagai tamsilan haruslah
ditekankan untuk mewujudkan semangat patriotisme. Hal ini sangat
penting bagi merealisasikan “bersatu teguh bercerai roboh”. Di
samping menerapkan nilai-nilai murni yang wajar dimiliki oleh
seseorang yang berperibadi mulia, semangat patriotisme juga dapat
dibentuk kerana adanya sifat bantu-membantu dan sikap
mementingkan “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”. Kesannya
seseorang itu tidak menjadi lupa daratan dan memandang rendah
terhadap tanah tumpah darahnya. Dia akan berusaha bersungguh-
sungguh dan menabur bakti bagi membalas jasa dan nikmat
kemerdekaan yang dirasai bersama-sama.

Negara Malaysia memiliki sejarah siri penjajahan yang panjang dan


pernah dimasuki kuasa-kuasa agung barat seperti British, Portugis dan
Belanda. Hal ini menggambarkan keperluan memiliki semangat
patriotisme dalam kalangan masyarakat bagi mengekalkan
kemerdekaan yang dikecapi. Rentetan senario itu, pejuang-pejuang
negara terdahulu telah berhempas pulas mempertahankan
kemerdekaan negara. Darsawarsa ini, semangat patriotisme semakin
luntur dalam kalangan remaja. Oleh itu, para remaja mestilah mencari
kawan yang bersikap positif dan tidak berkelakuan nakal. Dalam sebuah
hadis yang bermaksud, “Seseorang itu berdasarkan adat kebiasaan
rakannya. Oleh itu, lihatlah dengan siapa kamu berkawan.” Hal ini
menjelaskan bahawa jika seseorang itu mempunyai rakan yang baik,
maka baiklah akhlak dan begitu juga sebaliknya. Bergaul dengan rakan-
rakan yang berkeperibadian yang muluk dapat mengoptimumkan ciri-
ciri remaja mulia dan semangat patriotisme secara tidak langsung
wujud. Jika tidak, remaja akan melakukan vandalisme dan terlibat
dalam gejala kurang sihat. Ini menunjukkan semangat patriotisme yang
pincang. Intihanya, remaja sewajarnya pandai memilih kawan bagi
mewujudkan semangat patriotisme dalam diri mereka.
Di samping itu, media massa juga memainkan peranan yang penting
dalam membentuk semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.
Media massa merupakan teman karib remaja. Oleh itu, pihak penyiaran
televisyen mahupun radio berperanan utama dalam usaha menerapkan
semangat cinta akan negara. Pihak berwajib haruslah menyiarkan filem
atau rancangan yang menjadi wahana menaikkan semangat patriotisme
seperti Tanda Putera. Pihak penyiaran radio boleh menyiarkan lagu-
lagu berunsurkan patriotisme seperti lagu Warisan, Keranamu Malaysia
dan 31 Ogos. Hal ini adalah kerana sekalipun “hujan emas di negara
orang, hujan batu di negara sendiri”, seseorang warganegara tidak
selayaknya melupakan tanah kelahirannya. Media massa perlu bersikap
amanah dan melakukan tanggungjawab dengan baik bagi menjayakan
harapan mewujudkan semangat patriotisme.

usaha-usaha untuk memupuk semangat patriotik perlulah dijalankan


sepanjang masa tanpa henti. . Jangan menjadi seperti pahat dan penukul,
dan cuma menunggu arahan, baru melancarkan tindaran. Seterusnya,
janganlah usaha-usaha yang dijalankan sekadar “melepaskan batuk di
tangga” dan tidak konsisten. Bersama-samalah menjadi anak watan
yang bersemangat patriotisme dan tidak menjadi umpama “kacang
lupakan kulit” Hal ini demikian kerana, semangat patriotik ini penting untuk
melahirkan warganegara yang cinta akan negaranya dan pasti akan menjadi
individu yang berguna kepada bangsa, agama dan negaranya sendiri.
Individu yang memiliki semangat patriotik yang tinggi juga akan sentiasa
berusaha untuk memajukan diri dan negaranya agar mencapai kemajuan dan
pembangunan dengan cepat, setanding dengan negara-negara maju yang
lain. Skiranya semangat patriotik tidak dapat dipupuk dalam kalangan remaja,
pastilah mereka tidak ada perasaan cinta akan negara dan menyebabkan
mereka hilang jati diri. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu dan
memainkan peranan masing-masing agar semangat patriotik dapat dipupuk
dan disuburkan dalam kalangan masyarakat
Karangan SPM - Langkah Memupuk Semangat Kejiranan

BAHAGIAN A
Soalan:
Semangat kejiranan dalam kalangan rakyat di negara kita semakin longgar. Pada
pendapat anda, apakah langkah-langkah yang harus diambil supaya semangat
kejiranan dalam kalangan penduduk dapat ditingkatkan.

Jiran ialah orang yang tinggal di sekeliling rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan,
dan juga di belakang rumah kita. Jika kita tinggal di dalam satu taman atau di sebuah
kampung yang sama, mereka akan dikenali sebagai jiran tetangga kita. Jiran sangat
penting kerana merekalah yang akan menjadi sahabat kita dan orang yang akan
membantu kita apabila kita menghadapi kesusahan nanti. Pepatah Melayu ada
mengatakan bahawa "Jiran sepakat membawa berkat".Jadi, kita perlulah
mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu hati dalam melakukan
sesuatu perkara. Oleh itu, langkah-langkah yang wajar hendaklah diambil untuk
memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat.

Langkah primer yang harus diambil ialah mengadakan aktiviti gotong-royong. Melalui
aktiviti gotong-royong, jiran dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang
tentang aktiviti yang akan dilakukan. Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan
dapat berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain yang sekali gus membolehkan
seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih dekat. Hal ini dapat
digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa “tak kenal maka tak
cinta”. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong ialah
membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara, dan
sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat menjalinkan dan meningkatkan hubungan
sesama jiran.

Selain itu, kita juga hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka semasa
sesuatu sambutan perayaan. Amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan
memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan jiran setempat. Melalui acara
rumah terbuka, jiran dapat bertanya khabar dan bercerita tentang pengalaman
dengan lebih dekat. Seterusnya, melalui majlis rumah terbuka ini, semua ahli dalam
masyarakat berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sambil menikmati juadah
yang disediakan oleh tuan rumah. Sebagai contoh, semasa perayaan Hari Raya
Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Krismas, Deepavali, dan sebagainya majlis-majlis rumah
terbuka hendaklah dijadikan acara tahunan. Tegasnya, majlis rumah terbuka mampu
mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka dan berkenalan dengan lebih erat
lagi.

Di samping itu, kita juga hendaklah mengadakan aktiviti Hari Keluarga untuk
memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat. Semasa aktiviti
ini diadakan, semua ahli keluarga jiran akan turut serta untuk melibatkan diri dalam
aktiviti seperti berkayak, memasukkan air ke dalam botol, terompah gajah, dan
sebagainya. Apabila aktiviti Hari Keluarga diadakan, kemesraan akan terjalin bukan
sahaja antara ibu dengan bapa, malah anak-anak juga. Aktiviti seperti ini hendaklah
diadakan di padang bola sepak, gelanggang bola tampar, taman rekreasi, atau padang
sekolah yang berhampiran. Jadi, melalui aktiviti ini, hubungan yang erat sesama jiran
dapat dibentuk yang secara tidak langsung akan menimbulkan perasaan ingin
membantu antara satu dengan yang lain seperti yang terungkap dalam peribahasa
Melayu ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.

Bukan itu sahaja, kita juga harus menggalakkan rakyat supaya melibatkan diri dalam
aktiviti sosial seperti persatuan atau pertubuhan. Penduduk setempat mestilah
membentuk satu persatuan yang mempunyai satu sistem organisasi yang teratur.
Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah melibatkan semua penduduk sebagai ahli.
Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam masyarakat seperti
Pertubuhan Rukun Tetangga, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung,
Pertubuhan Khairat Kematian, dan sebagainya. Sebagai contoh, melalui Pertubuhan
Rukun Tetangga, masyarakat setempat secara bergilir-gilir mengawasi keselamatan
taman untuk mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku. Hal ini dapat
kita lihat dalam peribahasa Melayu, iaitu ibarat aur dengan tebing yang
mementingkan semangat sandar-menyandar atau saling membantu dalam kehidupan.

Seterusnya, kita mestilah menyemarakkan budaya kunjung-mengunjung dalam


kalangan rakyat sebagai langkah untuk memupuk dan mengekalkan semangat
kejiranan. Dalam hidup bermasyarakat, kita digalakkan menziarahi jiran kita. Melalui
aktiviti ini, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita.
Sebagai contoh, kita perlu berkunjung ke hospital jika kita mendapat berita bahawa
jiran kita dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau
kemalangan. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa berat mata
memandang berat lagi bahu memikulnya, namun sebagai jiran, kita mestilah
berpegang pada prinsip cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Maksudnya ialah jika
kita mempunyai semangat kejiranan yang tinggi, kita akan dapat merasai segala
kesusahan dan keperitan yang dialami oleh jiran kita. Jadi, melalui lawatan kita itu,
sekurang-kurangnya kita dapat meringankan penderitaan yang dialami oleh jiran kita
itu.

Kesimpulannya, kita perlu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk


setempat. Dalam era globalisasi ini, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap tidak
mempedulikan orang lain semakin menebal seperti yang terkandung dalam pepatah
Melayu “bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing”. Jika hal ini
dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur dan seterusnya akan menjejaskan
perpaduan negara. Ada pepatah yang mengatakan bahawa “bersatu kita teguh,
bercerai kita roboh”. Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan
akan bertambah utuh dan teguh. Jadi, dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa
berusaha untuk memastikan semangat kejiranan sentiasa terpelihara supaya negara
kita sentiasa aman, harmoni dan sejahtera.

You might also like