You are on page 1of 20

PERDANA MENTERI

MALAYSIA

NAMA: MUHAMMAD AIZAT WAFIY BIN MOHD HANIFF

TAHUN: 6 JASMINE

SUBJEK: SEJARAH
Perdana Menteri atau dalam bahasa Inggeris ”Prime Minister” merupakan menteri yang paling
kanan dalam kabinet, sebahagian cabang eksekutif dalam sistem berparlimen. Walaupun perdana
menteri biasanya merupakan ahli politik, namun ini tidak semestinya. Dalam banyak sistem,
Perdana Menteri memilih serta boleh memecat ahli-ahli kabinet, dan memperuntukkan jawatan
kepada ahli-ahli dalam Kerajaan. Dalam kebanyakan sistem, perdana menteri
merupakan pengerusi kabinet, tetapi dalam sebilangan sistem yang kecil, khususnya
dalam sistem kerajaan separa presiden, perdana menteri ialah pegawai yang dilantik untuk
menguruskan perkhidmatan awam dan melaksanakan arahan-arahan Presiden.
Dalam sistem-sistem parlimen seperti sistem Westminster United Kingdom, perdana
menteri ialah ketua kerajaan, manakala ketua negara (Raja, Ratu, Presiden, atau Gabenor Jeneral)
yang mungkin secara rasmi merupakan ketua eksekutif memainkan peranan istiadat. Perdana
Menteri biasanya, tetapi bukan selalu, merupakan ahli parlimen dan dikehendaki memastikan
pelulusan rang undang-undang oleh badan perundangan. Dalam sebilangan pemerintahan beraja,
perdana menteri juga mempunyai kuasa eksekutif (dikenali sebagai Prerogatif Diraja) yang
terletak pada takhta kerajaan oleh perlembagaan dan boleh dipergunakan oleh perdana menteri
tanpa kebenaran parlimen.
Selain daripada merupakan Ketua Kerajaan, perdana menteri mungkin mempunyai
peranan atau gelaran yang lain — umpamanya, Perdana Menteri United Kingdom juga
merupakan Lord Perbendaharaan Pertama. Para perdana menteri juga boleh memegang jawatan
menteri yang lain — umpamanya, semasa Perang Dunia Kedua, Winston Churchill juga
merupakan Menteri Pertahanan (walaupun tidak adanya Kementerian Pertahanan ketika itu).
Banyak Perdana Menteri Malaysia juga memegang jawatan menteri yang lain, khususnya
kementerian-kementerian yang penting seperti Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian
Kewangan.
Perdana Menteri Malaysia ialah ketua pemerintah tertinggi Kerajaan Malaysia. Secara
rasmi dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai selaku Ketua Negara dan biasanya pemimpin
sesebuah parti politik atau parti komponen terkuat dalam Parlimen (Dewan Rakyat) akan dipilih
dan dilantik. Pada pilihan raya umum 2018, apabila Tun Dr. Mahathir bin
Mohamad menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-7 berasal daripada parti PPBM, parti
komponen Pakatan Harapan (dahulunya dikenali sebagai Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat).
Sejak kemerdekaannya pada 1957, semua Perdana Menteri berasal daripada parti UMNO, salah
satu parti politik terbesar dalam Barisan Nasional (dahulu dikenali sebagai Parti
Perikatan hingga 1974).

Berikut merupakan senarai perdana menteri Malaysia yang pertama sehingga yang terkini
iaitu yang ketujuh;

1. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (1955-1970)


2. Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein (1970-1976)
3. Tun Hussein bin Dato’ Onn (1976-1981)
4. Tun Dr. Mahathir bin Mohamad (1981-2003)
5. Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi (2003-2009)
6. Dato’ Seri Haji Mohamad Najib bin Tun Razak (2009-2018)
7. Tun Dr. Mahathir bin Mohamad (2018-Kini)

Sejarah dunia tercipta apabila Tun Dr. Mahathir bin Mohamad merupakan individu yang pertama
di dunia menjadi perdana menteri sebanyak 2 kali dan juga perdana menteri tertua di dunia.
Berikut dinyatakan serba sedikit maklumat mengenai perdana menteri-perdana menteri Malaysia.

Perdana Menteri Pertama

Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid
Halim Shah (1955-1970). Beliau merupakan Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu dari
1955 dan Perdana Menteri pertama sejak kemerdekaan pada tahun 1957 sehingga 1970.
Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 merupakan salah satu daripada pencapaiannya yang
teragung. Biasanya dikenali sebagai "Tunku", beliau juga dikenang sebagai "Bapa
Kemerdekaan" dan "Bapa Malaysia".
Dilahirkan di Istana Tia Tangga, Alor Setar, Kedah yang lebih dikenali sebagai Istana
Pelamin, Tunku merupakan anak lelaki yang ketujuh dan anak yang kedua puluh kepada Sultan
Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah yang ke-24. Bondanya Cik Menyelara, seorang isteri
Sultan Abdul Hamid yang tidak berdarah gahara, ialah anak perempuan Luang Naraborirak
(Kleb), seorang pegawai daerah Thailand. Kelahiran Tunku disambut secara biasa sahaja kerana
beliau bukan bakal pengganti Sultan Kedah. Pengganti Sultan Kedah, Sultan Badlishah ibni
Sultan Abdul Hamid, telah pun berumur 30 tahun ketika itu.
Semasa kecil, Tunku dipanggil Awang kerana rupa parasnya yang tidak sesegak adik-
beradiknya yang lain. Beliau bebas bermain di luar istana dan pernah membentuk pasukan bola
sepak kampung. Tunku kemudian berpindah ke sebuah sekolah kerajaan bahasa Inggeris yang
kini dinamakan Kolej Sultan Abdul Hamid. Di sini, beliau belajar di sekolah pada waktu siang
dan membaca Al-Quran pada waktu petang.
Pada tahun 1913 sewaktu berumur 10 tahun, Tunku dihantar ke Bangkok untuk menetap
bersama Tunku Yusuf ibni Sultan Abdul Hamid, abang sulungnya, dan belajar di Sekolah
Thebsirintrawat (Debsirindir School). Pada tahun 1915, Tunku pulang dan meneruskan
pendidikannya di Penang Free School. Antara gurunya ialah HR Cheeseman dan SM Zainal
Abidin. Seorang yang aktif, beliau menyertai Pengakap dan Kor Kadet.
Pada tahun 1919 ketika berumur 16 tahun, Tunku menerima Biasiswa Negeri Kedah
untuk melanjutkan pendidikannya di Kolej St Catharine di Universiti Cambridge. Beliau
merupakan penuntut pertama untuk menerima pendidikan di United Kingdom dibawah tajaan
Kerajaan Negeri Kedah. Ketika Tunku tidak dibenarkan tinggal di asrama St Catharine kerana
dasar aparteid ('kulit berwarna') masih diamalkan, beliau membantah kepada William Peel,
Penasihat British kepada Kedah. Akhirnya, pengetua sekolah itu terpaksa meminta maaf.
Antara jasa dan sumbangan beliau adalah seperti di bawah;
1. Kemerdekaan.
Tunku Abdul Rahman Putra telah mengetuai usaha-usaha UMNO dan kemudiannya
Parti Perikatan untuk berbincang dengan pihak kerajaan British berkenaan
kemerdekaan Tanah Melayu. Usaha beliau akhirnya membuahkan hasil dengan
“Perjanjian Kemerdekaan” (Independence of Malaya Agreement) yang
ditandatangani oleh pihak Malaya dan kerajaan British di Lancaster House, London
pada 8 Februari 1956. Perjanjian itu menetapkan tarikh kemerdekaan Tanah Melayu
sebagai 31 Ogos 1957.
2. Perpaduan
Tunku telah berjaya mewujudkan kerjasama politik melalui Parti Perikatan yang
menggabungkan UMNO bersama MCA pada tahun 1952, diikuti dengan MIC pada
tahun 1954. Kerjasama politik ini telah menyumbangkan kepada perpaduan kaum di
negara majmuk yang baru merdeka, di mana setiap kaum diwakili di peringkat
Karajaan Pusat.
3. Keamanan Negara.
Malaya menghadapi musuh dalaman yang kuat dalam bentuk Parti Komunis Malaya
(PKM) yang diketuai oleh Chin Peng. Darurat diisytiharkan pada tahun 1948
berikutan pembunuhan tiga pengurus estet berkerakyatan British oleh PKM. Pada
tahun 1951, PKM membunuh Sir Henry Gurney, Gabenor Malaya.
Pelbagai usaha dijalankan bagi mengalahkan ancaman komunis termasuk
mengenakan gencatan senjata, mengharamkan PKM, dan memindahkan penduduk
Cina ke kampung-kampung baru untuk mengelakkan mereka daripada digunakan
oleh pihak komunis. Pada 24 Disember 1955, satu perjumpaan telah diadakan dengan
pihak PKM di Baling, Kedah. Perjumpaan tersebut diketuai oleh Tunku Abdul
Rahman dan juga disertai oleh Tun Tan Cheng Lock selaku Presiden MCA dan David
Marshall selaku Ketua Menteri Singapura. Manakala pihak PKM diwakili Chin Peng
sebagai ketua perwakilan, Rashid Maidin, dan Chen Tian.
Rundingan gagal di atas kekerasan PKM untuk diiktirafkan sebagai parti politik,
suatu permintaan yang ditolak oleh Tunku Abdul Rahman. Chin Peng tidak
dibenarkan pulang ke Malaya, dan darurat berakhir pada 31 Julai 1960 setelah
kerajaan berjaya mematahkan PKM.
4. Perhubungan Antarabangsa.
Dasar luar negara adalah penting dalam usaha menjalinkan persahabatan dan
kerjasama serantau dan negara-negara luar.
Tunku Abdul Rahman Putra telah mengamalkan piagam Bangsa-bangsa Bersatu bagi
memelihara keamanan dunia secara bersama. Beliau juga telah meletakkan Malaysia
sebagai sebuah negara yang berkecuali.
Antara penyertaan antarabangsa Malaysia adalah Association of Southeast Asian
Nations (ASEAN), Pertubuhan Komanwel, ILO (Pertubuhan Buruh Antarabangsa),
UNESCO (Pertubuhan Pelajaran, Sains & Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu), dan
Pertubuhan Negara-negara Berkecuali.
Beliau juga telah mencadangkan penubuhan Pertubuhan Kerjasama Islam atau OIC
(Organisation of Islamic Cooperation) dan telah dilantik sebagai Setiausaha Agung
yang pertama bagi Pertubuhan tersebut.
Pada usia 87 tahun, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah meninggal dunia di
Hospital Besar Kuala Lumpur, pada 6 Disember 1990. Jenazah beliau telah diberi penghormatan
terakhir oleh orang ramai di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, sebelum diterbangkan ke Alor
Setar. Setibanya di Kedah, jenazah Allahyarham Tunku Abdul Rahman diberi penghormatan
terakhir oleh Sultan dan Sultanah Kedah di Balai Besar, sebelum dikebumikan di Makam Diraja,
Alor Setar. Pemergiannya merupakan suatu kehilangan yang besar dan jasanya sentiasa dikenang
oleh rakyat Malaysia.
Perdana Menteri Kedua

Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri Malaysia ke-2, merupakan anak lelaki
kepada Dato’ Hussein Mohd Taib dan Teh Fatimah binti Daud. Beliau berkelulusan undang-
undang dari United Kingdom dan berkecimpung dalam bidang politik setelah pulang ke tanah air
pada tahun 1950. Beliau dilantik sebagai Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1951, dan telah
menyertai rundingan untuk mencapai kemerdekaan daripada pihak British. Tun Abdul Razak
menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran setelah kemerdekaan dicapai pada
tahun 1957. Dasar Ekonomi Baru merupakan buah fikiran Tun Abdul Razak, bertujuan untuk
membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat Malaysia untuk mengatasi
ketidakseimbangan ekonomi. Selain itu, beliau juga telah memperkenalkan Buku Hijau dan
Buku Merah, untuk merancang serta memantau pembangunan luar bandar dan sektor pertanian.
Setimpal dengan segala jasa dan sumbangannya terhadap pembangunan luar bandar dan di
peringkat nasional, Tun Abdul Razak telah diberi gelaran "Bapa Pembangunan Malaysia."
Beliau dilahirkan pada 11 Mac 1922 di Pulau Keladi, Pekan, Pahang dan dibesarkan oleh
datuknya yang menekankan nilai tradisi dan agama. Sungguhpun beliau berasal daripada
golongan yang berada, beliau bersikap rendah diri dan bersopan santun sejak dari zaman
persekolahannya. Beliau memilih untuk tidak berkasut ke sekolah kerana tidak mahu terasing
daripada sebahagian rakannya yang tidak mampu membeli kasut getah.
Dari bangku sekolah lagi, Tun Razak menyedari betapa mundur dan miskin keadaan
kaum Melayu, terutamanya di luar bandar di bawah pemerintahan kolonial British. Beliau juga
merasai keperitan hidup di zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu semasa Perang Dunia
Kedua. Pemerhatian beliau serta peristiwa pahit yang beliau alami mungkin menjadi pendorong
besar kepada beliau untuk mengubah nasib rakyat.
Beliau dipilih oleh Residen negeri Pahang untuk bersekolah di Kolej Melayu Kuala
Kangsar (Malay College Kuala Kangsar atau MCKK) di mana kebolehannya sebagai pemimpin
diasah. Di MCKK juga, beliau belajar untuk bertutur dalam Bahasa Inggeris. Pada tahun 1940,
beliau melanjutkan pelajaran di Raffles College, Singapura, di mana Tun Razak merupakan salah
seorang daripada hanya 15 pelajar Melayu. Zaman persekolahan Tun Razak tergendala apabila
tentera Jepun mendarat di Tanah Melayu.
Setelah Perang Dunia Kedua berakhir, Tun Razak mendapat biasiswa untuk melanjutkan
pelajarannya di London dalam bidang undang-undang. Beliau lulus dengan cemerlang sebagai
seorang peguam pada tahun 1950. Di London, Tun Razak menyertai Kesatuan Melayu Great
Britain dan melalui persatuan ini, beliau berjumpa dan mula rapat dengan Tunku Abdul Rahman
Putra Al-Haj. Persahabatan ini diteruskan di tanahair apabila Tun Razak mengundang Tunku
untuk menandingi jawatan Presiden UMNO setelah Onn Jaafar meletak jawatan.
Antara jasa dan sumbangan beliau adalah seperti di bawah;
1. Pendidikan
Pada tahun 1955, Tun Razak dilantik sebagai Menteri Pelajaran Malaya yang
pertama. Sebagai Menteri Pelajaran, Tun Abdul Razak membentuk Dasar Pelajaran
Kebangsaan melalui Penyata Razak 1956. Penyata ini yang diumumkan pada 16 Mei
1956 telah digubal dengan tujuan mengubah-corak pembelajaran pelajar-pelajar.
Perkara-perkara terkandung di dalamnya termasuk menyelaraskan sukatan pelajaran
semua aliran sekolah di negara ini serta pengiktirafan Bahasa Melayu sebagai bahasa
pengantar di pusat-pusat pendidikan, termasuk penyemarakan keharmonian kaum
sejak dari peringkat tadika. Sebagai Menteri Pelajaran, Tun Razak membina 3,000
buah sekolah dan membolehkan tiga juta orang dewasa buta huruf membaca dan
menulis melalui kelas-kelas dewasa yang dijalankan di kampung-kampung.
2. Ekonomi
Pentadbirannya yang tidak sampai enam tahun telah menyaksikan pembangunan yang
begitu pesat di seluruh negara. Dasar Ekonomi Baru telah diperkenalkan oleh Tun
Abdul Razak pada pertengahan 1971 untuk membasmi kemiskinan di kalangan semua
kaum dan menyusun semula aktiviti ekonomi ke arah pembahagian kekayaan negara
yang lebih saksama. Beliau dan "generasi kedua" ahli politik Melayu melihat begitu
perlunya penyelesaian perbezaan jurang ekonomi dan sosial di antara kaum, terutama
sekali setelah rusuhan kaum 13 Mei 1969.
Kepimpinan Tun Razak juga melihat peningkatan dalam penglibatan Bumiputra
di dalam sektor ekonomi khususnya dengan penubuhan agensi-agensi seperti Majlis
Amanah Rakyat (MARA), dan PERNAS hasil dari cadangan-cadangan Kongres-
Kongres Ekonomi Bumiputra.
3. Pembangunan Luar Bandar
Tun Razak amat menitikberatkan kemajuan luar bandar. Beliau menganggap apa
yang penting dalam sistem demokrasi ialah keseimbangan sosial dan ekonomi di
mana semua rakyat dapat memainkan peranan dalam, dan meraih hasil dari kemajuan
negara. Sejajar itu, beliau digelar Bapa Pembangunan Malaysia.
Antara inovasinya ialah Rancangan Buku Hijau peringkat kebangsaan yang telah
dilancarkan pada 20 Disember 1974. Rancangan Buku Hijau ini menumpukan
perhatian kepada penggunaan tanah yang sepenuhnya, tanaman jangkapendek
(selingan dan bukan selingan), perkebunan cara berkelompok, rancangan ternakan,
rancangan pelihara ikan air tawar, pemasaran yang baik dan projek-projek kecil.
Matlamat rancangan ini ialah menambahkan pengeluaran bahan-bahan makanan
supaya cukup untuk keperluan negara, menambahkan pendapatan rakyat luar bandar
sebagai usaha mengurangkan tekanan inflasi dan menggalakkan kerjasama rakyat,
wakil rakyat dan pegawai kerajaan supaya lebih cergas melibatkan diri dalam usaha-
usaha pembangunan.
Pada tahun 1960, Tun Abdul Razak juga memperkenalkan Buku Merah yang
mengandungi pelbagai projek pembangunan untuk setiap daerah. Buku Merah ini
terdapat di Bilik Gerakan Negeri dan Daerah di seluruh negara dan menjadi panduan
kepada pegawai-pegawai kerajaan dalam menggerakkan pembangunan luar bandar
seperti pembinaan jalan, parit, surau, klinik, kelas dewasa, perkhidmatan telefon, dan
sebagainya. Melalui usaha ini juga, maka terbentuk pelbagai agensi kerajaan untuk
mencapai matlamat pembangunan, termasuk Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan
(FELDA).
4. Perhubungan Antarabangsa
Dasar luar Malaysia adalah kesinambungan kepada dasar dalam negeri yang
bertujuan untuk menjaga dan mengekalkan keselamatan, keharmonian, kesejahteraan
ekonomi dan lain-lain kepentingan negara. Di bawah Perdana Menteri kedua, Tun
Abdul Razak, Malaysia mula memberi penekanan kepada dasar berkecuali (non-
aligned) dan telah menjadi ahli Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) pada
tahun 1970. Tun Razak mengubah dasar luar negara Malaysia yang sebelum ini pro-
Barat kepada dasar yang neutral; Malaysia berbaik dengan semua negara tanpa
mengira kefahaman dan ideologi mereka.
Hubungan diplomatik dijalinkan dengan China dan negara-negara Indochina dan
kerjasama di rantau ASEAN dipertingkatkan. Pada masa yang sama, Malaysia
memberi penekanan kepada konsep Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN)
dan South East Asia Nuclear Weapon Free Zone (SEANWFZ). Selain itu, semasa
kepimpinan Tun Abdul Razak juga, Malaysia telah menganggotai Pertubuhan
Persidangan Islam (OIC) dan mula dikenali sebagai sebuah “negara Islam”.
Pada tahun 1969, Tun Razak telah didiagnoskan dengan penyakit leukemia dan akan
meninggal dunia dalam masa dua tahun. Beliau meneruskan kerja sebagai Timbalan Perdana
Menteri dan kemudiannya sebagai Perdana Menteri Malaysia. Penyakit ini dirahsiakan daripada
semua, keluarga mahupun rakyat.
Tanggal 14 Januari 1976 bersamaan 11 Muharam Tun Abdul Razak telah meninggal
dunia semasa menjalankan rawatan di hospital di London. Beliau dimakamkan di Makam
Pahlawan Masjid Negara di sebelah makam sahabat karibnya, Tun Dr. Ismail bin Abdul Rahman
pada 16 Januari 1976. Semoga rohnya dicucuri rahmat.

Perdana Menteri Ketiga

Tun Hussein Onn telah dilahirkan pada 12 Februari 1922, merupakan anakanda kepada
Dato’ Onn Jaafar, Menteri Besar Johor, dan Datin Halimah Hussein. Beliau yang dilahirkan di
Johor Bahru mendapat pendidikan awal di Singapura, dan kemudiannya di Maktab Sultan Abu
Bakar (MSAB) Johor Bahru. Tun Hussein Onn dikenali dengan usaha beliau dalam menekankan
isu-isu perpaduan kaum melalui dasar-dasar yang bertujuan untuk mengatasi ketidakseimbangan
ekonomi di antara kaum-kaum di Malaysia. Antaranya ialah dengan melancarkan Amanah
Saham Nasional. Pada tahun 1976, Tun Hussein telah melancarkan PEMADAM, sebuah
organisasi khas untuk memerangi penyalahgunaan dadah. Beliau juga sering menekankan
kepentingan Rukun Tetangga dan peranannya dalam memastikan keamanan dan keharmonian
masyarakat Malaysia. Beliau juga telah mewujudkan budaya kerja yang penuh disiplin dan
integriti di dalam seluruh jabatan kerajaan. Tun Hussein cukup benci dengan gejala rasuah, dan
menyifatkannya sebagai sebuah penyakit yang harus dihapus. Usaha-usaha beliau dalam
memupuk perpaduan dan keharmonian sesama pelbagai kaum dan masyarakat di Malaysia tidak
dipandang rendah, apabila beliau digelar sebagai "Bapa Perpaduan" negara Malaysia.
Tun Hussein Onn menerima pendidikan awalnya di Singapura dan di English College
(kini digelar “Maktab Sultan Abu Bakar”), Johor Bahru. Selepas persekolahannya, Tun Hussein
Onn menyertai Pasukan Tentera Johor sebagai kadet pada tahun 1940. Setahun kemudian, beliau
dihantar ke Maktab Tentera Sandhurst di Dehradun, India. Selepas ditauliahkan, beliau
menyertai Regimen Hydrabad (Tentera India) dan berkhidmat di Timur Tengah sewaktu
peperangan. Selepas peperangan, kerajaan British melantik Tun Hussein Onn sebagai pengajar di
“Pusat Perekrutan dan Latihan Polis Malaya” di Rawalpindi.
Pada tahun 1945, Tun Hussein Onn telah pulang ke tanahair dan dilantik sebagai
Komandan Depot Polis Johor Bahru. Pada tahun berikut, beliau menyertai Perkhidmatan Awam
Malaya sebagai Penolong Pegawai Pentadbir di Segamat, Johor. Tun Hussein Onn kemudian
ditugaskan untuk bekerja di negeri Selangor, di mana beliau menjadi pegawai daerah untuk
Klang dan Kuala Selangor.
Tun Hussein Onn kembali ke politik dan menyertai UMNO pada tahun 1968 selepas
dipujuk Tun Abdul Razak, Perdana Menteri ketika itu. Beliau bertanding dan menang dalam
pilihan raya umum pada tahun 1969 dan dilantik sebagai Menteri Pelajaran.
Beliau telah menggantikan Tun Dr Ismail yang telah meninggal dunia pada 2 Ogos 1973
sebagai Timbalan Perdana Menteri. Pada 15 Januari 1976, Hussein Onn dilantik menjadi Perdana
Menteri Malaysia yang ketiga selepas kematian Tun Abdul Razak. Tun Hussein Onn juga
memberi penekanan kepada konsep Rukun Tetangga dan perjuangan terhadap ancaman dadah.
Di bawah pentadbirannya, angkatan bersenjata Malaysia juga diperbesar dan dipermodenkan
kerana penewasan Vietnam Selatan oleh pihak komunis yang menggemparkan seluruh rantau
Asia Tenggara.
Antara jasa dan sumbangan beliau adalah seperti di bawah;
1. Perpaduan Kaum
Sebagai Perdana Menteri Malaysia, Tun Hussein Onn telah memastikan bahawa isu
perpaduan kaum sentiasa berada di hadapan dalam setiap tindakan yang dilakukan
oleh pihak kerajaan. Pada tahun 1974, Tun Hussein telah melancarkan National Unity
Council untuk memupuk semangat cintakan negara ke dalam masyarakat Malaysia
yang berbilang kaum, berdasarkan Rukun Negara, dan untuk mempertingkat
hubungan antara kerajaan dan orang awam. Tun Hussein juga percaya bahawa bahasa
adalah satu alat yang berkesan untuk perpaduan kaum. Beliau memartabatkan Bahasa
Malaysia dan menjadikannya sebagai subjek yang wajib lulus, untuk lulus Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM).
2. PEMADAM
Pada tahun 1976, Tun Hussein telah melancarkan PEMADAM, sebuah organisasi
kebangsaan yang ditubuhkan khas untuk memerangi penyalahgunaan dadah, sesuatu
yang dianggap sebagai cabaran terbesar untuk pembangunan negara.
3. Ekonomi
Pada 20 April 1981, Tun Hussein Onn telah melancarkan Sekim Amanah Saham
Nasional sebagai satu usaha untuk meningkatkan taraf equity penduduk Bumiputera
di Malaysia.
4. Keselamatan
Tun Hussein juga sering menekankan kepentingan Rukun Tetangga dan peranannya
dalam memastikan keselamatan penduduk dalam masyarakat Malaysia.
Tun Hussein Onn menjalani pintasan koronari pada awal tahun 1981. Pada 17 Julai dalam
tahun itu, beliau bersara daripada politik dan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri atas
sebab-sebab kesihatan. Jawatan Perdana Menteri diambil alih oleh timbalannya, Dr. Mahathir bin
Mohamad. Disebabkan perkhidmatannya kepada Negara, Tun Hussein Onn dikurniakan dengan
gelaran “Tun”, yang merupakan anugerah diraja yang tertinggi di Malaysia.
Selepas persaraannya sebagai Perdana Menteri, Tun Hussein Onn meneruskan
sumbangannya kepada pertubuhan-pertubuhan kebajikan. Belaiu bermain peranan yang utama
dalam pertubuhan Hospital Mata Tun Hussein Onn. Beliau turut menjadi Pengerusi Institut
Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) dan penasihat kepada Petronas.
Tun Hussein menghembuskan nafas terakhir pada hari Selasa, 29 Mei 1990, sewaktu
berumur 68 tahun di Pusat Perubatan Seaton, San Francisco, Amerika Syarikat kerana serangan
penyakit jantung, dan disemadikan pada hari Jumaat di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala
Lumpur.

Perdana Menteri Keempat

Tun Dr Mahathir bin Mohamad dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia yang
keempat pada 16hb Julai 1981. Beliau merupakan Perdana Menteri yang paling lama mentadbir
negara iaitu selama 22 tahun dan sekaligus merupakan pemimpin negara paling lama di Asia
Tenggara memegang jawatan tersebut. Beliau telah berjaya menerajui negara ke arah arus
pemodenan yang amat pantas dan menjadikan Malaysia gah di mata dunia. Beliau telah dikaitkan
dengan pembangunan pelbagai projek mega seperti Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Menara
Berkembar PETRONAS, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Koridor
Raya Multimedia (MSC). Tun Dr Mahathir Mohamad membuka negara kepada pelaburan asing,
mengurangkan halangan kepada perdagangan antarabangsa, menswastakan beberapa ejensi dan
perkhidmatan kerajaan, di samping mewujudkan infrastruktur fizikal bertaraf dunia.
Di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir, Malaysia berkembang menjadi salah satu
ekonomi yang paling makmur dan dinamik di Asia Tenggara, dengan sektor industri yang
berkembang maju, kelas menengah yang membesar, dan kualiti hidup yang meningkat. Malaysia
juga memainkan peranan yang lebih aktif di arena antarabangsa, dan bertindak sebagai suara
bagi negara-negara membangun di Asia dan Afrika. Tun Dr Mahathir Mohamad juga
melancarkan Wawasan 2020 pada tahun 1991, satu rangka kerja bagi menjadikan Malaysia
sebagai negara maju pada tahun 2020. Atas kejayaan beliau sebagai pemimpin, beliau diberi
gelaran “Bapa Pemodenan Malaysia”.
Tun Dr Mahathir dilahirkan pada 10 Julai 1925 (tarikh kelahiran rasminya direkodkan
pada 20hb Disember 1925) di Kampung Seberang Perak, Alor Setar, Kedah, suatu kawasan yang
diakui oleh Tun sendiri sebagai kawasan miskin. Ibu bapa Tun Mahathir ialah Mohamad bin
Iskandar dan Wan Tempawan binti Wan Hanafi dan Tun merupakan anak bongsu di antara
sembilan orang adik beradik.
Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Seberang Perak selama dua tahun
sebelum memasuki sekolah Inggeris kerajaan yang kemudian bertukar nama kepada Kolej Sultan
Abdul Hamid, di mana ayahnya merupakan guru besar. Sebagai pelajar, Tun Dr Mahathir aktif
berdebat dan dikenali untuk kemahiran bahasa Inggerisnya. Dia dilantik sebagai editor majalah
sekolah, dan bermain untuk pasukan ragbi sekolah.
Pendidikannya terganggu apabila Jepun melancarkan serangan ke atas Asia Tenggara
melalui Thailand, Pulau Pinang, dan Kelantan, pada 8 Disember, sehari selepas Tun menduduki
Peperiksaan Junior Cambridge. Semasa zaman Pendudukan Jepun di Tanah Melayu, Tun
menghadiri sekolah Jepun untuk beberapa bulan sahaja dan kemudiannya berhenti untuk menjual
makanan di Pekan Rabu untuk membantu keluarganya. Setelah pihak Jepun menyerah diri dan
Perang Dunia Kedua berakhir, Tun Mahathir melanjutkan pendidikannya di Kolej Sultan Abdul
Hamid di mana artikel pertamanya sebagai editor majalah sekolah adalah mengenai peperangan
dan pendudukan Jepun.
Pada bulan Mei, 1946, UMNO (United Malay National Organisation) ditubuhkan untuk
mendesak kerajaan British menghapuskan Malayan Union. Tun Dr Mahathir adalah antara orang
Melayu yang pertama untuk mendaftar sebagai ahli. Kempen menentang Malayan Union
akhirnya berjaya, dan Malayan Union dihapuskan pada tahun 1948, digantikan dengan
Persekutuan Tanah Melayu yang mengakui hak-hak istimewa orang Melayu.
Pada tahun 1947, Tun Mahathir memasuki Kolej Perubatan King Edward VII di
Singapura di atas biasiswa kerajaan. Di sana, beliau aktif menulis untuk akhbar The Sunday
Times (kini dikenali sebagai The Straits Times) di bawah nama penanya, C.H.E Det (Det adalah
nama keluarga beliau). Penulisannya menyelami masalah-masalah orang Melayu. Pada tahun
1953, Tun Mahathir lulus sebagai doktor dan berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Hospital
Besar Alor Setar. Semasa di kolej, Tun telah bertemu dengan Tun Dr Siti Hasmah, juga seorang
pelajar perubatan. Pada tahun 1956, mereka telah berkahwin dalam satu majlis di Jalan Imbi di
Kuala Lumpur. Mereka mempunyai tujuh orang anak: Marina, Mirzan, Melinda, Mokhzani,
Mukhriz, Maizura, dan Mazhar.
Tun meninggalkan perkhidmatan kerajaan pada tahun 1957 untuk menubuhkan kliniknya
sendiri, "Klinik Maha”, yang merupakan klinik swasta milik orang Melayu yang pertama di
negara. Tun Mahathir berkecimpung dalam bidang politik pada tahun 1964, di mana beliau
menandingi dan memenangi kerusi Kota Setar di Pilihanraya Umum 1964. Pada tahun 1965,
beliau dipilih untuk Majlis Tertinggi UMNO. Pada Pilihanraya tahun 1969, Tun berdiri untuk
pemilihan semula, tetapi ditewaskan oleh wakil PAS.
Pada tahun itu, pihak pembangkang, terutamanya DAP (Democratic Action Party)
memenangi kerusi yang paling banyak semenjak Merdeka. Perarakan pihak pembangkang di
Kuala Lumpur untuk meraikan kemenangan mereka membawa kepada perusuhan kaum pada 13
Mei 1969 antara orang Cina dan orang Melayu yang menyebabkan hampir dua ratus orang mati.
Berikutan rusuhan kaum 13 Mei 1969, Tun menulis satu surat yang pedas kepada Tunku,
mengkritik beliau kerana pendekatan ekonominya yang lembut atau laissez-faire didakwa
mengetepikan orang Melayu daripada menikmati hasil pembangunan negara disebabkan oleh
dominasi kaum Cina. Oleh kerana surat itu, dia dipecat keahliannya dari UMNO. Sewaktu di
“belantara politik”, Tun meneruskan amalan perubatan beliau di bidang swasta dan pemikirannya
tentang nasib orang Melayu ditulis ke dalam buku, "Dilema Melayu”. Buku ini diterbitkan di
Singapura dan dilarang masuk oleh kerajaan ke Tanah Melayu.
Tunku Abdul Rahman meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada September 1970,
dan Tun Abdul Razak Hussein mengambil alih. Pada tahun 1972, permohonan Tun Mahathir
untuk menyertai semula UMNO telah diterima. Beliau dilantik sebagai Senator pada tahun 1973,
serta ahli mahkamah Universiti dan Majlis Universiti Malaya. Pada tahun berikutnya, dalam
pilihan raya umum Tun memenangi kerusi Kubang Pasu tanpa bertanding. Beliau dilantik
sebagai Menteri Pendidikan Malaysia, dan menutup Klinik Maha di Alor Setar.
Pada tahun 1976, Tun Dr. Mahathir dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan dua tahun
kemudian, beliau mengambil alih jawatan Menteri Perdagangan dan Industri di mana beliau
memimpin beberapa misi mempromosi pelaburan. Pada tahun 1981, setelah Tun Hussein Onn
meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ketiga atas sebab kesihatan, Tun Dr Mahathir
Mohamad menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri keempat Malaysia.
Antara jasa dan sumbangan beliau adalah seperti di bawah;
1. Kempen Bersih, Cekap, Amanah.
Di bawah kepimpinannya, Malaysia berubah dari sebuah negara pertanian ke negara
perindustrian moden. Tun melancarkan kempen Bersih, Cekap & Amanah (Bersih,
Cekap & Dipercayai) untuk mengurangkan rasuah, meningkatkan kecekapan, dan
memupuk kepercayaan dalam perkhidmatan awam. Beliau juga memperkenalkan
sistem “punch card” untuk kakitangan kerajaan, dan mengarahkan penjawat awam
menggunakan lencana nama (name tag).
2. Proton dan Modenas
Dalam usaha memajukan Malaysia, Tun menubuhkan sebuah syarikat kereta
kebangsaan, PROTON, dan pada tahun 1982, syarikat itu mengeluarkan kereta buatan
Malaysia yang pertama, iaitu Proton Saga. Selain itu juga kewujudan pengeluar
motosikal negara, Modenas juga cetusan idea dari Tun.
3. Penswastaan
Beliau juga memperkenalkan konsep "Malaysia Incorporated" iaitu perkongsian rapat
antara kerajaan dan sektor swasta. Dasar dan program penswastaan telah memainkan
peranan penting dalam mempercepatkan pertumbuhan ekonomi menerusi pelabuaran
yang lebih besar dan yang membawa kepada pengembangan sektor korporat.
Pertumbuhan juga berlaku menerusi peningkatan kecekapan kerana lebih banyak
output dapat dihasilkan melalui penggunaan sumber yang lebih kecil. Program
penswastaan telah memberi kesan gandaan keapda ekonomi negara.
4. Putrajaya
Putrajaya atau nama penuhnya Wilayah Persekutuan Putrajaya ialah pusat
pentadbiran Kerajaan Persekutuan Malaysia yang menggantikan Kuala Lumpur pada
1999 dan ibu negara pentadbiran Malaysia. Putrajaya adalah sebuah bandar raya
pintar dalam taman terletak 25 kilometer di selatan Kuala Lumpur merupakan sebuah
bandaraya futuristik yang menempatkan pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan. Ia
adalah Wilayah Persekutuan ke-3 di Malaysia. Putrajaya merupakan cetusan idea
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad.
5. Wawasan 2020
Tun juga menyatakan hasrat beliau untuk Malaysia melalui Wawasan 2020, iaitu visi
negara untuk mencapai status ekonomi maju (developed nation) pada tahun 2020,
bukan hanya dari segi pertumbuhan ekonomi tetapi juga dari segi pendidikan,
kematangan masyarakat, dan tadbir urus.
6. KLIA, KLCC and MSC
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, Menara Kembar
Petronas (KLCC), Cyberjaya dan Koridor Raya Multimedia merupakan cetusan idea
Tun Mahathir Mohamad. Projek-projek ini penting menjadikan Malaysia sebagai
pusat tumpuan pelabur luar dan juga pelancongan. Ianya sedikit sebanyak dapat
menjana ekonomi negara.
7. Dasar Pandang Ke Timur
Dasar Pandang Ke Timur ini telah diumumkan oleh Tun Mahathir Mohamad pada
8hb. Februari 1982 semasa Persidangan "5th Joint Annual Conference of
MAJECA/JAMECA" di Hilton Kuala Lumpur. Dasar ini bermakna, pihak Kerajaan
akan membuat pengkajian, penelitian dan pemilihan terhadap contoh-contoh dan
teladan yang terbaik daripada Negara Jepun dan Korea dengan mengubahsuaikannya
dengan keadaan-keadaan di Malaysia. Adalah tidak tepat jika Dasar Pandang Ke
Timur ditakrif sebagai mengambil apa sahaja dari Jepun dan Korea untuk dipraktik di
Malaysia dan mengenepikan teladan yang boleh dipelajari dari negara-negara Barat.
Pada tahun 2016, Tun Dr Mahathir keluar dari UMNO sebagai protes terhadap
kepimpinan Perdana Menteri Malaysia ke-6, Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau menubuhkan
parti politik baru, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Pada tahun 2017, pada usia 92 tahun,
beliau kembali memasuki arena politik, kali ini sebagai pemimpin barisan pembangkang,
Pakatan Harapan.

Perdana Menteri Kelima

Tun Abdullah Ahmad Badawi telah dilahirkan pada 26 November 1939 di Kampung
Perlis, Bayan Lepas, Pulau Pinang. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu
Permatang Bertam, Kepala Batas. Manakala pendidikan menengahnya di Sekolah Menengah
Daeratul Maarifil Al-Wataniah, Sekolah Tinggi Bukit Mertajam dan Sekolah Lelaki Methodist
Pulau Pinang. Selepas menamatkan persekolahan, beliau pernah berkhidmat sebagai seorang
guru. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya selama tiga tahun (1962-
1964) dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian dalam Pengajian Islam.
Tun Abdullah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Pengaman Persekutuan, di
Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Perdana Menteri dari tahun 1964 sehingga 1969. Pada
tahun 1969, beliau telah menjadi Ketua Penolong Setiausaha Majlis Keselamatan di bawah
Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), sebuah badan yang berkuasa eksekutif untuk mentadbir
negara yang telah ditubuhkan selepas peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Pada tahun
1971, Tun Abdullah dinaikkan pangkat sebagai Pengarah di Kementerian Kebudayaan, Belia dan
Sukan sehingga 1973, sebelum menjadi Timbalan Ketua Pengarah dalam Kementerian yang
sama pada tahun 1974.
Tun Abdullah mula menyertai UMNO pada tahun 1965. Beliau mula bergiat aktif dalam
arena politik setelah dipilih menjadi Ahli Parlimen Kepala Batas. Pada tahun 1978, beliau telah
meletak jawatan dalam perkhidmatan kerajaan untuk menjadi ahli politik sepenuh masa. Pada
tahun yang sama, beliau telah bertanding pada Pilihan Raya Umum 1978 sebagai calon Barisan
Nasional dan memenangi kerusi Parlimen Kepala Batas di Seberang Perai Utara. Tun Abdullah
telah dipilih untuk memegang jawatan Naib Presiden UMNO pada tahun 1984, 1987, 1990, dan
dipilih semula untuk jawatan tersebut pada tahun 1996. Pada Perhimpunan Agung UMNO 2000,
Tun Abdullah dilantik sebagai Timbalan Presiden bagi tahun 2000-2003. Beliau memegang
jawatan sebagai Presiden UMNO sejak tahun 2003 sehingga 2008.
Dikenali di Malaysia sebagai “Bapa Pembangunan Modal Insan”, Perdana Menteri
Malaysia ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah memperkenalkan Pelan Integriti Nasional,
satu pelan untuk menanam dan memupuk budaya etika dan integriti dalam kalangan masyarakat
Malaysia. Untuk menghapuskan rasuah, Tun Abdullah telah menubuhkan Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Beliau juga telah menubuhkan Pasukan Khas
Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) sebagai usaha untuk mengurangkan birokrasi dalam
urusan di antara kerajaan dan swasta. Di dalam dunia ekonomi pula, beliau telah
bertanggungjawab atas pemodenan sector agrikultur dan melancarkan 5 Koridor Ekonomi
Malaysia termasuklah Iskandar Malaysia di Johor, Koridor Pantai Timur (ECER), dan Koridor
Pembangunan Sabah. Dengan lebih 30 tahun pengalaman dalam pentadbiran awam, Tun
Abdullah telah berjaya meningkatkan mutu perkhidmatan sektor awam untuk kemudahan rakyat,
dan mewujudkan agensi-agensi kerajaan untuk meningkatkan mutu pengurusan.
Antara jasa dan sumbangan beliau adalah seperti di bawah;
1. Ekonomi
Tun Abdullah Ahmad Badawi telah melancarkan 5 Koridor Ekonomi Malaysia; 1)
Iskandar Malaysia, 2) Wilayah Ekonomi Utara; 3) Wilayah Ekonomi Pantai
Timur; 4) Koridor Pembangunan Sabah; & 5) Koridor Tenaga Diperbaharui
Sarawak. Wilayah ekonomi ini telah diperkenalkan dengan tujuan untuk
meningkatkan pembangunan dan ekonomi kelima-lima wilayah ini.
2. Menghapuskan Rasuah
Menubuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pasukan
Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) untuk menangani masalah
rasuah di sektor awam dan swasta.
3. Pembangunan Modal Insan
Tun Abdullah telah melancarkan Pelan Integriti Nasional, dan Institut Integriti
Malaysia (IIM), bertujuan untuk menanam dan memupuk budaya etika dalam
setiap lapisan masyarakat Malaysia.
Islam Hadhari ialah konsep yang telah diperkenalkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Polisi nasional ini memberi focus kepada peningkatan pembangunan dan mutu kehidupan
sesebuah masyarakat secara keseluruhan, dengan memberi penekanan kepada penguasaan ilmu
dalam pelbagai bidang, dan pembangunan modal insan. 10 teras strategi telah diperkenalkan
sebagai panduan untuk mencapai Islam Hadhari.
Tun Abdullah secara tidak rasminya digelar dengan nama timangannya iaitu Pak Lah.
Antara hobi-hobi beliau termasuklah mengumpul tongkat, bermain golf, dan memancing.
Dikenali sebagai seorang yang tidak percaya kepada kepercayaan karut, nombor kegemaran
beliau ialah nombor 13, nombor yang dianggap tidak bertuah dalam masyarakat Barat.

Perdana Menteri Keenam

Yang Amat Berhormat Dato' Seri Haji Mohd Najib bin Tun Haji Abdul
Razak adalah Perdana Menteri Malaysia (ke-6) sejak 3 April 2009 sehingga kini. Beliau juga
sebagai Menteri Kewangan dan merupakan Ahli Parlimen Pekan, Pahang. Beliau adalah anak
lelaki sulung kepada bekas perdana menteri Malaysia yang kedua, Tun Abdul Razak Dato'
Hussein. Di peringkat akar umbi politik, beliau merupakan Presiden UMNO yang ke-7.
Dato' Seri Najib dilahirkan di Kuala Lipis, Pahang. Beliau merupakan anak sulung
kepada Tun Abdul Razak Hussein dan Toh Puan Rahah Mohammad Noah. Selain itu, beliau
berdarah bangsawan Makassar iaitu susur galur daripada keturunan Sultan Hassanudin, Sultan
Makasar terakhir di Gowa, Sulawesi Selatan. Pada tahun 1976, Najib berkahwin dengan Tengku
Puteri Zainah Tengku Eskandar dan mendapat tiga anak: Mohd Nizar Najib (lahir 1978), Mohd
Nazifuddin Najib dan Puteri Norlisa Najib. Pada tahun 1987 beliau bercerai dengan Ku Yie dan
berkahwin dengan Datin Seri Rosmah Mansor dan mendapat dua anak lagi: Mohd Norashman
Najib dan Nooryana Najwa Najib. Beliau juga sepupu kepada Datuk Hishamuddin Tun Hussein.
Dato’ Seri Najib mendapat pendidikan rendah dan menengah di Institusi St. John, Kuala
Lumpur, dan kemudian belajar di Kolej Lelaki Malvern di Worchestershire, England. Beliau
mendapat Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian dalam bidang Ekonomi Industri daripada
Universiti Nottingham, England pada tahun 1974. Politik Najib mula menceburkan diri dalam
arena politik setelah kematian mengejut bapanya, Tun Abdul Razak Hussein di London pada 14
Januari 1976. Beliau menang tanpa bertanding merebut kerusi Parlimen Pekan yang kosong,
dengan kematian bapanya. Beliau menjadi ahli parlimen termuda yang pernah dipilih dengan
usia 23 tahun ketika itu. Najib menjadi timbalan menteri paling muda apabila dilantik sebagai
Timbalan Menteri Tenaga, Telekom dan Pos pada tahun 1978 ketika usia 25 tahun. Kemudian,
pada tahun 1982 hingga 1986, beliau menjadi Menteri Besar paling muda dalam sejarah negara
apabila dilantik sebagai Menteri Besar Pahang ketika berumur 29 tahun.
Antara jasa dan sumbangan beliau adalah seperti di bawah;
1. Gagasan 1 Malaysia.
Diperkenalkan oleh Dato Seri najib bagi memupuk nilai perpaduan rakyat di antara
kaum. Ia juga dijadikan tema kemerdekaan pada tahun 2009
2. Bantuan Rakyat 1 Malaysia
Dilaksanakan dengan objektif memberi bantuan kepada rakyat Malaysia yang Miskin dan
tidak berkemampuan. BRIM pertama merupakan bantuan sebanyak RM500.00 kepada
isirumah yang berpendapatan RM3000.00 sebulan atau kurang BRIM kedua bantuan
sebanyak RM500.00 yang diagihkan pada Februari yang memelebihi 2.5 Bilion
melibatkan 5.7juta Isi rumah.RM250 diberikan kepada mereka yang belum bekerluarga
dan layak menerima BRIM. BRIM ketiga melalui pembentangan bajet 2015 oleh Dato
Seri Najib. Bagi isi rumah RM3000.00 sebulan atau kurang kenaikan BRIM sebanyak
RM 650.00-RM950.00 yang akan dibayar 3 kali setahun. Bagi isi rumah yang
berpendapatan RM3000.00-RM4000.00 bantuan BRIM dinaikkan sebanyak RM450
kepada RM750 yang akan dibayar 3 kali setahun. Bantuan RM 300.00-RM350.00 bagi
individu bujang yang berumur 21 tahun ke atas dan gaji tidak melebihi RM2000.00.
3. Program Perumahan Rakyat 1 Malaysia ( PRIMA ).
Perumahan Rakyat 1 Malaysia merupakan satu inisiatif yang dibuat dibawah peruntukan
akta PR1MA 2012 untuk merancang, membangun, membina dan mengurus perumahan
mampu milik untuk rakyat Malaysia yang berpendapatan pertengahan terutamanya di
kawasan Bandar. Fokus kepada golongan pertengahan dengan harga rumah dari RM
100,000.00 ke RM 400,000.00 untuk dibina dibawah kawasan komuniti padat.
4. Program Transformasi Kerajaan.
Menggerakkan proses menjalankan Transformasi Kerajaan dalam usaha untuk
meningkatkan perkhidmatan awam, meningkatkan kecekapan pengurusan dan
menjadikan kerajaan lebih transparen. Langkah-langkah yang dilaksanakan juga
termasuk menggunakan Key Performance Indicator @ KPI untuk mengukur
kebolehupayaan pegawai dan agensi dan Bidang Keberhasilan Utama Negara NKRA
untuk menjelaskan target kepada kawasan atau bidang spesifik untuk kepentingan rakyat.
Dato’ Seri Najib terpaksa melepaskan jawatan Perdana Menteri pada tahun 2018 kerana
kekalahan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum 2018. Pada pilihan raya tersebut, Pakatan
Rakyat yang terdiri dari Parti Bersatu, Parti Amanah, Parti Keadilan Rakyat dan DAP telah
memenangi dan menubuhkan Malaysia Baru.

Perdana Menteri Ketujuh

Tun Dr. Mahathir sekali lagi dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh
pada 10 May 2018. Tun Dr. Mahathir mencatat sejarah sebagai individu yang menjadi Perdana
Menteri sebanyak 2 kali disamping mencipta sejarah dunia sebagai individu yang tertua
memegang jawatan sebagai Perdana Menteri atas faktor beliau kini berusia 93 tahun (2018).
Tun kini telah menyusun strategi yang baru dengan pasukan kabinet yang baru dan
membentuk Malaysia Baru demi menjadikan Malaysia negara yang terus maju dan segani oleh
negara-negara asing. Adakah Tun akan bertahan untuk setahun dua lagi atau akan melepaskan
jawatannya kepada calon yang benar-benar dapat menjaga dan membangunkan Malaysia?
Perkara ini yang menjadi tanda tanya semua rakyat Malaysia.
Oleh yang demikian, kita berharap agar legasi Tun akan berterusan bagi menjamin
kemakmuran dan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.

You might also like