You are on page 1of 2

Karangan Penuh

Antara tajuk pilihan utama program motivasi ialah tentang ciri-ciri pelajar cemerlang. Malah,
kebanyakan organisasi yang berkaitan dengan pendidikan menjadikan ungkapan pelajar cemerlang
sebagai cogan kata utama. Pendek kata, ciri-ciri pelajar cemerlang menjadi dambaan semua pihak sama
ada pihak berkuasa pendidikan, masyarakat dan para pemimpin semua peringkat. Pelajar cemerlang
umpama benih yang baik, campak ke laut menjadi pulau.

Ciri pelajar cemerlang yang sering ditonjolkan ialah dari segi pencapaian akademik. Pelajar
cemerlang akan sentiasa mengutamakan pembelajaran menerusi aktiviti terancang di bilik darjah, dan
pembelajaran kendiri serta bersama kumpulan sebaya di luar bilik darjah. Pelajar cemerlang sentiasa
menggembleng segala potensi dan fakulti yang ada dalam diri mereka bagi memperoleh hasil
pembelajaran yang optimum. Mereka menetapkan matlamat pembelajaran yang munasabah, dan
berusaha untuk mencapainya. Dengan itu, pelajar cemerlang akan mengenepikan sebarang bentuk
gangguan.

Semasa di bilik darjah, pelajar cemerlang sentiasa memberi tumpuan terhadap aktiviti
pembelajaran terancang bersama guru. Pelajar cemerlang akan menunjukkan motivasi pembelajaran
yang maksimum dengan memberi kerjasama dan perhatian yang tidak berbelah bahagi. Mereka tidak
mudah dipengaruhi hasutan negatif sama ada yang datang daripada dalam diri sendiri, apatah lagi
daripada pendapat yang bersifat songsang. Pelajar cemerlang tidak meletakkan terlalu banyak syarat
dalam pembelajaran supaya semuanya berkenan di hati. Mereka tidak bersifat sentimental dengan
terlalu banyak berharap tentang guru yang sempurna atau persekitaran bilik darjah yang sempurna.
Mereka mampu bertahan dalam iklim pembelajaran yang seadanya.

Demikian juga apabila melaksanakan tugasan kumpulan, mahupun menyertai kumpulan belajar,
pelajar cemerlang menampilkan peranan yang seimbang, iaitu tidak terlalu menonjol dan tidak hanya
sebagai penumpang. Mereka mungkin memiliki banyak idea, tetapi bersabar mendengar idea rakan
sekumpulan. Pelajar cemerlang tidak cuba berlagak menguasai perbincangan, tetapi kelihatan sebagai
pemimpin yang boleh dipercayai dan adil. Mereka datang dengan persediaan yang mencukupi, bukan
dengan tangan kosong. Maka, kehadiran pelajar cemerlang dalam mana-mana aktiviti pembelajaran
berorientasi kumpulan sentiasa meninggalkan impak, bukan sekadar melukut di tepi gantang, datang
tidak menambah, pergi tidak disuruh.

Pelajar cemerlang juga meletakkan sasaran yang tinggi dalam peperiksaan awam. Sasaran yang
dibuat bukan sekadar cakap kosong, tetapi dibuktikan menerusi strategi dan usaha yang optimum.
Mereka tidak bergantung kepada soalan ramalan, tetapi lebih fokus terhadap perancangan jawapan
yang menepati tugasan soalan. Pelajar cemerlang menggunakan segala pengalaman pembelajaran di
bilik darjah untuk mematuhi segala kehendak sukatan pelajaran yang menjadi asas penggubalan item
soalan peperiksaan awam. Dengan meletakkan sasaran yang tinggi dari segi peperiksaan awam, pelajar
cemerlang berpeluang mengintai peluang melanjutkan pengajian dalam bidang yang diklasifikasikan
sebagai kritikal dan menjadi rebutan, di samping melamar tempat di institut pengajian tinggi terkemuka
dengan tajaan biasiswa yang berprestij.
Pelajar cemerlang tidak rela dicop atau dilabel sebagai ulat buku semata-mata. Mereka juga
menunjukkan pencapaian yang tinggi dalam bidang kokurikulum. Sebenarnya bidang kokurikulum ialah
pelengkap kepada aktiviti kurikulum di bilik darjah. Aktiviti kokurikulum ialah wahana bagi aplikasi
pengetahuan dan kemahiran kurikulum. Pelajar cemerlang menjadikan aktiviti kokurikulum sebagai
kesempatan bagi menggilap bakat kepimpinan, memupuk semangat suka rela dalam perkhidmatan
sosial dan mendekati aktiviti kebajikan. Pelajar cemerlang akan menggunakan kapasiti diri sama ada
sebagai pemimpin, peserta atau petugas dalam aktiviti kelab, persatuan, unit pakaian seragam,
permainan dan sukan. Mereka sentiasa cuba mencari pengalaman dengan mengamalkan sikap ringan
tulang dalam membantu pihak sekolah menjayakan sebarang aktiviti kokurikulum.

Pelajar cemerlang juga sinonim dengan amalan disiplin yang tinggi. Mereka tidak kisah jika digelar
sebagai sebagai pelajar skema yang akur dengan segala peraturan sekolah. Walaupun mungkin kelihatan
berbeza dari segi penampilan dan tingkah laku, pelajar cemerlang tidak berasa kekok untuk bergaul dan
berkomunikasi dengan rakan yang sinikal, mahupun rakan yang kurang beruntung. Pelajar cemerlang
akan berusaha untuk muncul sebagai peribadi rujukan yang mampu mempengaruhi lebih ramai pelajar
supaya bersikap positif dalam menimba pengalaman pembelajaran di sekolah. Mereka tidak perlu
membutirkan tunjuk ajar, sebaliknya cukup dengan pencapaian dan tingkah laku yang disenangi. Pelajar
cemerlang mementingkan ketepatan masa, dan sentiasa melaksanakan sesuatu tugasan sesempurna
mungkin. Pelajar cemerlang tidak seperti "melepaskan batok di tangga". Batok merujuk kepada bekas air
basuhan kaki pada zaman dahulu yang dilempar semula ke bawah setelah seseorang itu menaiki tangga
tanpa turun semula.

Pelajar cemerlang juga menampilkan sahsiah yang mulia dan murni. Percakapan mereka dihiasi
dengan sopan santun bagaikan butir-butir mutiara yang berharga. Rakan akan berasa selamat dan
dilindungi kerana mereka akan hanya mendengar hal yang baik-baik, serta tidak mengalami provokasi
yang tidak berfaedah. Sudah tentu, sebagai manusia biasa, pelajar cemerlang tetap memiliki kelemahan
tertentu, tetapi mereka akan cuba melakukan kawalan sebaik mungkin supaya tidak mendatangkan
mudarat kepada mana-mana pihak.

Pelajar cemerlang selanjutkan menampilkan ciri asertif secara konsisten. Maksudnya, mereka
sentiasa mengimbangi hak diri sendiri dengan hak orang lain. Mereka tidak bersikap agresif, iaitu hanya
menjaga hak diri sendiri, atau bersikap permisif dengan hanya mementingkan hak orang lain semata-
mata. Sikap asertif bererti tegas diri. Dengan sikap asertif, pelajar cemerlang sentiasa berupaya
mempertahan pendirian, tetapi dalam masa yang sama menghormati pendapat yang berbeza. Mereka
menyedari bahawa rambut sama hitam, tetapi hati lain-lain.

Kesimpulannya, pelajar cemerlang memiliki sejumlah kualiti diri yang tinggi dari segi akademik,
kokurikulum, disiplin dan sahsiah. Mereka menepati ciri-ciri modal insan minda kelas pertama yang
disebut sebagai hala tuju pendidikan negara. Mereka menjadi harapan negara untuk meletakkan daya
saing negara di pentas antarabangsa. Pelajar cemerlang tidak menganggap bahawa diri mereka serba
sempurna, sebaliknya sentiasa berusaha melakukan penambahbaikan. Maka, wajar sekali ciri-ciri pelajar
cemerlang dijadikan slogan dan tema untuk semua organisasi yang berkaitan dengan pendidikan.

You might also like