You are on page 1of 16

BINA INSAN GURU (BIG)

1.0 Pengenalan

Program Bina Insan Guru (BIG) adalah merupakan satu program yang wajib disertai
oleh guru pelatih yang menuntut di Institut Pendidikan Guru (IPG). Majoriti peserta program
ini adalah terdiri daripada guru pelatih yang sedang berada pada semester lima pengajian.
Program ini berlangsung selama lima hari empat malam. Lokasi program ini diadakan
adalah di Taman Pertanian Sekayu yang bertempat di Kuala Berang, Terengganu. Lokasi
program adalah berbeza untuk setiap IPG.

Program BIG yang disertai oleh guru pelatih ambilan Jun 2017 telah dibahagikan
kepada dua siri kerana bilangan peserta yang agak ramai iaitu seramai 116 orang peserta.
Program BIG siri pertama diadakan pada 22 hingga 26 September 2019 manakala program
BIG siri kedua diadakan pada 13 hingga 17 Oktober 2019. Bilangan peserta pada siri
pertama adalah seramai 60 orang yang terdiri daripada unit pendidikan agama Islam, sains
dan TESL. Program ini juga biasanya diadakan selama lima hari.

Peserta yang menyertai program BIG siri 1


2.0 Aktiviti Bina Insan Guru (BIG)

Sebelum program BIG siri satu bermula pada 22 September 2019, terdapat
beberapa perkara yang telah kami jalani dan selesaikan. Antara perkara tersebut adalah
seperti menghadiri taklimat BIG yang disampaikan oleh Encik Safri dan Encik Yunus,
membentuk jawatankuasa pelaksana, mengadakan mesyuarat di antara ahli jawatankuasa
induk dengan ahli jawatankuasa pelaksana, penyerahan ‘job scop’ kepada ahli
jawatankuasa pelaksana dan semakan senarai alatan yang diperlukan oleh setiap ahli
jawatankuasa pelaksana.

Taklimat BIG telah diberikan oleh Encik Safri dan Encik Yunus pada 12 September
2019. Antara perkara yang disebutkan adalah seperti senarai kerja kursus yang mesti
disiapkan, pengenalan kepada program BIG dan pembentukan ahli jawatankuasa
pelaksana. Taklimat ini diadakan di Dewan Datin Hajah Rohani dan dihadiri oleh peserta
BIG siri satu seramai 60 orang serta pensyarah dari Jabatan Kokurikulum yang akan
bertindak sebagai jurulatih sepanjang program BIG berlangsung.

Encik Safri telah mengedarkan satu lembaran kertas yang mengandungi jadual atur
cara program kepada setiap unit. Sebelum menerangkan atur cara program dengan lebih
lanjut, Encik Safri telah menerangkan serba sedikit berkenaan dengan pengenalan kepada
program BIG. Program ini dijalankan selama lima hari empat malam dan terdapat pelbagai
aktiviti yang perlu kami sertai seperti ‘flying fox’, kembara dan ikhtiar hidup, khidmat
komuniti, amalan pemakanan sihat, keyakinan di air, aktiviti rakit dan lain lain lagi.

Encik Safri turut memberitahu ‘Standard of Procedure’ (SOP) yang perlu kami patuhi
semasa menjalankan beberapa aktiviti seperti ‘flying fox’, keyakinan di air, aktiviti rakit serta
kembara dan ikhtiar hidup. SOP ini perlu difahami dan dilaksanakan semasa menjalankan
aktiviti-aktiviti yang telah disebutkan di atas bagi memastikan aktiviti dapat dilakukan dengan
lancar dan selamat. Antara SOP yang perlu kami patuhi adalah seperti memakai ‘buoyancy
aid’ (BA) ketika melakukan aktiviti di dalam air.
Taklimat BIG oleh Encik Safri dan Encik Yunus

Pada 16 September 2019 iaitu lima hari selepas taklimat diberikan, satu perjumpaan
di antara ahli jawatankuasa pelaksana telah diadakan di NR Cafe. Taklimat tentang ‘job
scop’ bagi setiap ahli jawatankuasa pelaksana pula telah diberikan kepada setiap ahli
jawatankuasa yang terlibat. Saya dan Abdul Waffi telah dilantik menjadi ahli jawatankuasa
kebersihan program. Taklimat pada kali ini diberikan oleh penghulu program iaitu Afwan
Hafizuddin dari unit pendidikan agama Islam.

Pembahagian ‘job scop’ ini dilakukan setelah satu mesyuarat di antara ahli
jawatankuasa induk dan ahli jawatankuasa pelaksana diadakan. Setiap ‘job scop’ untuk ahli
jawatankuasa pelaksana telah dibincangkan dengan ahli jawatankuasa induk yang terdiri
daripada pensyarah dari Jabatan Kokurikulum. ‘Job scop’ ini merangkumi tempoh sebelum,
semasa dan selepas program BIG. Sebelum menyertai program BIG, setiap ahli
jawatankuasa telah diminta untuk mewujudkan satu ‘whatsapp group’.

Tujuan ‘group’ ini ditubuhkan adalah bagi memudahkan urusan penghulu dan
penghuluwati untuk memantau gerak kerja setiap ahli jawatankuasa pelaksana. Selain
mewujudkan ‘whatsapp group’, setiap ahli jawatankuasa turut diminta untuk menyenaraikan
alatan yang ingin dibawa semasa program berlangsung. Hal ini bagi memastikan program
BIG dapat dilaksanakan dengan lancar. Antara peralatan yang diperlukan oleh ahli
jawatankuasa kebersihan adalah seperti penyapu, plastik sampah, mop dan lain lain lagi.
Perjumpaan di antara ahli jawatankuasa program BIG
Senarai alatan yang ingin dibawa ke tempat perkhemahan telah diserahkan kepada
ahli jawatankuasa peralatan. Urusan yang berkait dengan peralatan perlu diselesaikan
dengan kadar segera kerana tempoh masa yang tinggal sebelum berlangsungnya program
adalah sangat singkat. Pada 18 September 2019, iaitu empat hari sebelum program BIG
bermula, ahli jawatankuasa peralatan telah menyusun dan memastikan kesemua peralatan
yang diminta oleh setiap ahli jawatankuasa adalah cukup.

Ahli jawatankuasa alatan sedang menyiapkan alatan program

Pada 22 September 2019, program BIG dimulakan dengan ucapan yang


disampaikan oleh pengerusi program iaitu Tuan Haji Hamdan. Program BIG bermula pada
jam 8.00 pagi. Antara perkara yang disampaikan oleh Tuan Haji Hamdan adalah seperti
keperluan untuk mempunyai persediaan mental dan fizikal yang baik sebelum menjalani
program BIG. Hal ini bagi membolehkan kami menjalani program BIG dengan minda yang
positif seterusnya tidak merasa tertekan sepanjang mengikuti program ini.

Setelah Tuan Haji Hamdan selesai memberikan ucapan, program diteruskan dengan
taklimat yang disampaikan oleh setiap ahli jawatankuasa pelaksana. Taklimat ini perlu
dilakukan bagi memastikan peserta mendapat informasi penting yang berkait dengan
program BIG ini. Antara ahli jawatankuasa yang memberikan taklimat adalah seperti ahli
jawatankuasa pengangkutan, ahli jawatankuasa perkhemahan, ahli jawatankuasa
pertolongan cemas, ahli jawatankuasa keselamatan, ahli jawatankuasa kebajikan dan ahli
jawatankuasa kebersihan.
Tuan Haji Hamdan sedang menyampaikan ucapan

Seusai taklimat dari setiap ahli jawatankuasa, kami diminta oleh penghulu untuk
memindahkan barangan dan alatan yang terletak di hadapan Jabatan Kokurikulum ke
tempat berkumpul. Kerja-kerja memindahkan barangan yang ingin dibawa menjadi lebih
ringan dan lancar kerana kami bekerjasama dalam menyelesaikan tugasan tersebut. Setiap
orang memainkan peranan mereka dengan mengangkat sekurang-kurangnya satu alatan.
Masa yang singkat juga diambil bagi menyelesaikan tugasan untuk memindahkan alatan.

Pada pukul 11.30 pagi, aktiviti interaksi profesional dengan wakil dari Sekolah
Kebangsaan Institut Pendidikan Guru (SKIPG) dimulakan. Aktiviti ini sepatutnya bermula
pada pukul 10.00 pagi akan tetapi bermula agak lambat kerana berlaku kesilapan
komunikasi di antara pihak sekolah dan ahli jawatankuasa aktiviti interaksi profesional. Bagi
mengelakkan kesalahan ini daripada berulang, ahli jawatankuasa aktiviti perlu sering
berinteraksi dengan pihak SKIPG bagi memastikan mereka peka dengan aktiviti ini.

Antara pengisian yang diberikan oleh Encik Salman Bin Ismail, Guru Penolong
Kanan Kokurikulum SKIPG adalah berkenaan tentang sejarah penubuhan SKIPG. Selain itu,
maklumat tentang SKIPG seperti bilangan murid, pencapaian sekolah dan program yang
dilakukan oleh sekolah juga turut dibentangkan oleh Encik Salman. Aktiviti interaksi
profesional diakhiri dengan penyampaian cenderamata kepada wakil dari SKIPG iaitu Encik
Salman Bin Ismail.
Encik Salman sedang berucap

Kami mula bertolak ke Taman Pertanian Sekayu yang terletak di Kuala Berang
menggunakan dua buah bas. Pembahagian peserta dilakukan bagi memastikan urusan
pengangkutan ke tapak perkhemahan berlaku dengan lancar. Apabila sampai di tapak
perkhemahan, kami mengumpulkan barangan di satu tempat iaitu di dewan terbuka.
Peralatan masakan pula dikumpulkan di bahagian dapur. Kemudian kami berkumpul di
dewan bagi mendengar taklimat yang disampaikan oleh Tuan Haji Hamdan.

Tuan haji Hamdan memberikan taklimat tentang perkara yang patut dilakukan
apabila ke tapak perhimpunan. Setiap peserta perlu memilih tugasan yang ingin mereka
lakukan. Saya melaksanakan tugas sebagai ahli jawatankuasa kebersihan di dapur kerana
pada masa yang sama kumpulan saya perlu menyediakan minum petang untuk kesemua
peserta dan jurulatih. Sebagai ahli jawatankuasa kebersihan, adalah sangat penting untuk
saya menjaga kebersihan kawasan perkhemahan.

Selepas menunaikan solat maghrib, slot kuliah maghrib diisi dengan solat hajat dan
bacaan yaasin untuk meminta perlindungan dari Allah S.W.T. Kemudian, Encik Safri telah
memberikan sedikit taklimat berkenaan perubahan aktiviti pada hari kedua. Perubahan yang
berlaku secara tiba-tiba ini adalah merupakan satu latihan kepada peserta untuk sentiasa
berada dalam keadaan sedia. Selain itu, barang berharga seperti telefon pintar setiap
peserta juga perlu dihantar kepada jurulatih untuk disimpan sepanjang program
berlangsung.

Saya perlu berjaga sehingga pukul 2.00 pagi kerana saya bertugas untuk membuat
rondaan di sekeliling tapak perkhemahan selama dua jam. Pada 23 September 2019, aktiviti
program dimulakan seawal jam 5.30 pagi. Antara aktiviti yang dilakukan adalah seperti solat
subuh berjemaah serta penyampaian kuliah subuh oleh peserta lelaki yang bertugas iaitu
Muhammad hanif dari unit pendidikan agama Islam. Saya tertidur sepanjang kuliah subuh
disampaikan kerana terlalu mengantuk.

Pada pukul 7.15 pagi, aktiviti Malaysia cergas dimulakan. Kami telah didenda oleh
Encik Yunus kerana lambat memulakan aktiviti yang sepatutnya bermula pada pukul 7.00
pagi. Kami telah diarahkan untuk melakukan lompat bintang sebanyak 30 kali dan berlari
membawa batu menaiki dan menuruni jalan yang berbukit. Pengalaman pahit ini telah
mengajar saya untuk menjadi lebih peka dengan pengurusan masa. Perkara ini juga
mendidik saya untuk mengelakkan diri daripada mengamalkan sikap mementingkan diri
sendiri.

Berlari menaiki dan menuruni laluan berbukit sambil membawa batu

Selepas bersarapan, saya dan peserta wanita telah diminta untuk bersedia bagi
menjalani aktiviti keyakinan di dalam air. Setiap peserta diwajibkan untuk memakai
‘buoyancy aid’. Sebelum memakai ‘buoyancy aid’, taklimat tentang kaedah pemakaian
‘buoyancy aid’ yang betul telah diberikan oleh Nursyamimi yang merupakan ahli
jawatankuasa aktiviti keyakinan di air. Selain taklimat tentang kaedah pemakaian, fungsi
setiap komponen yang ada pada ‘buoyancy aid’ turut diberikan.

Taklimat tersebut telah memberikan saya ilmu pengetahuan yang baru tentang
‘buoyancy aid’. Setelah selesai mendengar taklimat, saya dan peserta wanita yang lain
berjalan ke kolam rekreasi Sekayu untuk menjalani aktiviti keyakinan di dalam air.
Perjalanan ini diiringi oleh seorang jurulatih iaitu Encik Mutalib. Sesampainya di kolam
rekreasi, kami diminta untuk melakukan senaman ringkas untuk memanaskan badan bagi
mengelakkan berlakunya kecederaan kepada otot semasa berenang di dalam air.

Terdapat pelbagai ilmu yang saya peroleh sepanjang melakukan aktiviti keyakinan di
dalam air. Antara ilmu tersebut adalah seperti cara mengapungkan diri, berenang kuak
lentang, berenang kuak dada dan kemahiran menyelamat menggunakan ‘throwbag’. Saya
juga berasa sangat gembira kerana dapat mewakili kumpulan sains untuk memasuki
pertandingan renang berganti-ganti. Melalui aktiviti keyakinan di dalam air, saya telah
berjaya untuk mengatasi rasa takut terhadap air yang dalam.

Aktiviti keyakinan di dalam air

Setelah selesai aktiviti keyakinan di dalam air, saya dan peserta wanita yang lain
telah kembali ke tapak perkhemahan untuk melakukan aktiviti ‘flying fox’. Saya berasa
sangat teruja untuk melakukan aktiviti ini. Sebelum aktiviti ini dimulakan, Encik Abdul Ronif
yang merupakan salah seorang jurulatih telah memberikan sedikit taklimat berkenaan aktiviti
‘flying fox’. Terdapat lima komponen utama yang pelu dipakai sebelum serta semasa
melakukan aktiviti ini iaitu ‘harnest’, ‘hook’, ‘heel’, ‘helmet’ dan ‘hand glove’.

Apabila saya telah selesai melakukan aktiviti ‘flying fox’, saya telah menawarkan diri
saya untuk menjadi ‘stopper’ bagi menggantikan ‘stopper’ yang perlu bertugas untuk
menyediakan minum petang. Untuk menjadi seorang ‘stopper’ yang mahir, banyak latihan
yang perlu dilakukan dan hal tersebut telah berjaya membantu saya untuk memupuk sikap
sabar di dalam diri saya. Saya tidak mudah berputus asa untuk menjadi seorang ‘stopper’
yang mahir walaupun saya sering mengalami kegagalan.

Menjalani aktiviti ‘flying fox’

Selepas menunaikan solat isyak secara berjemaah, program BIG diteruskan dengan
slot etiket sosial yang dikendalikan oleh Siti Zalika dan Ahmad Fathizzat yang merupakan
ahli jawatankuasa slot etiket sosial. Pada pendapat saya, slot ini adalah merupakan slot
yang agak penting kerana saya dapat mempelajari kemahiran bercakap dan berjalan yang
betul sebagai seorang guru. Selain itu, pendedahan tentang protokol yang perlu dipatuhi
semasa berada di meja makan di dalam majlis formal juga diberikan semasa slot ini
berlangsung.

Pada 24 September 2019 yang merupakan hari ketiga program BIG, terdapat dua
aktiviti yang kami lakukan. Aktiviti tersebut adalah merupakan amalan pemakanan sihat dan
kembara alam sekitar. Aktiviti amalan pemakanan sihat dimulakan dengan perkongsian
tentang kalori oleh Puan Hajah Samsiah. Kemudian, setiap kumpulan diminta untuk
menghasilkan satu menu sihat berdasarkan bahan-bahan yang diberikan. setiap kumpulan
mendapat bahan yang berbeza.

Kumpulan saya telah mendapat bahan seperti buah tembikai, telur, roti, kopi, tepung.
Kami diberi masa selama satu jam untuk menyediakan menu yang telah dihasilkan. Setiap
ahli kumpulan memberikan cadangan menu masing-masing dan akhirnya kami telah
membuat keputusan untuk memasak roti kopi rangup dan lempeng kopi. Kami perlu
menggunakan kemahiran berfikir dengan sebaiknya bagi menghasilkan menu yang sihat
serta menggunakan kesemua bahan yang diberikan.

Menu yang dihasilkan oleh kumpulan saya

Selepas aktiviti amalan pemakanan sihat selesai, kami telah diminta untuk bersedia
bagi menjalani aktiviti kembara. Aktiviti kembara ini dilakukan di tepi sungai Sekayu. Untuk
sampai ke tapak perkhemahan yang baru, kami perlu berjalan selama 20 minit. Sepanjang
perjalanan ke tapak perkhemahan yang baru, saya berasa sangat gembira kerana dapat
mengenali pelbagai pokok herba yang sangat berguna. Antara pokok herba tersebut adalah
seperti serai wangi, batang wali, tongkat ali, senirai dan banyak lagi.

Encik Che Abdul Mutallib juga turut menerangkan tentang kegunaan setiap pokok
herba tersebut. Setelah sampai ke tapak perkhemahan, saya dan kumpulan telah bertugas
untuk memasak hidangan makan malam. Kami menggunakan bahan yang sedia ada seperti
dapur kayu bagi memasak hidangan makan malam. Saya bertugas untuk memastikan
bilangan ayam mencukupi bagi setiap peserta. Saya telah membuat kesilapan dalam kiraan
ketul ayam lalu menyebabkan setiap peserta perlu berkongsi ayam.

Apabila kami telah selesai menunaikan solat isyak secara berjemaah, kami
diarahkan untuk tidur kecuali peserta yang perlu bertugas untuk membuat rondaan di sekitar
tapak perkhemahan. Saya beserta tujuh orang peserta wanita tidur agak lambat kerana kami
ingin membuang air kecil. Apabila kami ingin masuk ke dalam khemah, kami dapati khemah
untuk peserta wanita telah penuh lalu kami terpaksa tidur di atas ‘ground sheet’ yang
terletak berhampiran dengan khemah jurulatih.

Aktiviti kembara ini banyak mengajar saya tentang erti kehidupan apabila saya perlu
bersabar dan sentiasa tabah dalam menghadapi dugaan. Pengalaman juga banyak
diperoleh sepanjang melalui aktiviti kembara ini. Antara pengalaman yang diperoleh adalah
seperti membuang air kecil di dalam sungai, mengambil wuduk menggunakan air sungai,
solat dengan memakai pakaian yang basah, tidur beralaskan ‘ground sheet’ dan
berbumbungkan bintang-bintang, memasak menggunakan dapur kayu dan banyak lagi.

Menunaikan solat asar secara berjemaah

Keesokan harinya, terdapat tiga aktiviti yang perlu dilakukan iaitu khidmat komuniti,
membina rakit dan membuat persembahan pada malam kebudayaan. Saya dan kumpulan
saya yang terdiri daripada guru pelatih dari unit sains telah ditugaskan untuk membersihkan
kawasan tandas masjid. Walaupun pada mulanya kami berasa tidak selesa untuk
membersihkan tandas masjid, kami mengikhlaskan hati dan menyiapkan tugasan ini
bersama-sama.

Selepas menyelesaikan aktiviti khidmat komuniti di Masjid Sekayu, kami bergerak


pulang ke tapak perkhemahan bagi menjalani aktiviti membina rakit. Sebelum aktiviti ini
dimulakan, kami telah diminta oleh Encik Mhd Asri untuk berbaring di dalam sungai.
Kumpulan baru dibentuk dan terdapat 8 orang ahli untuk setiap kumpulan. Lima orang ahli
kumpulan telah diarahkan untuk membina rakit menggunakan paip pvc dan tali yang telah
disediakan manakala tiga orang ahli kumpulan ditugaskan untuk menyediakan makanan
tengah hari.

Saya telah bertugas untuk memasak hidangan makanan tengah hari bersama-sama
dengan dua orang ahli kumpulan saya iaitu Hamidah dan Haziqah Najwa. Kami diberikan
ayam yang telah diperap dengan kunyit serta garam, kubis, lobak merah, limau dan beras.
Kami juga diminta untuk memasak menggunakan dapur kayu. Saya berasa sangat berdebar
kerana saya perlu menghidupkan api tanpa menggunakan dapur gas. Ini adalah merupakan
kali pertama saya memasak menggunakan dapur kayu.

Aktiviti berlumba rakit

Setelah aktiviti membina rakit selesai, kami telah berjalan pulang ke tapak
perkhemahan yang terletak di Taman Pertanian Sekayu. Aktiviti pada malam terakhir
program BIG adalah merupakan aktiviti malam kebudayaan. Saya dan ahli kumpulan telah
berbincang pada waktu petang sebelum kami semua diarahkan untuk menunaikan solat
maghrib secara berjemaah. Hasil daripada perbincangan tersebut, kami telah bersepakat
untuk mempersembahkan dikir barat.

Setiap ahli kumpulan menyumbangkan idea masing-masing. Idea-idea yang


disumbangkan adalah merangkumi pergerakan yang akan dilakukan sepanjang
persembahan dikir barat berlangsung. Lagu dikir barat pula dipilih berdasarkan tema yang
telah ditetapkan iaitu Malaysia. Kami berasa sangat gembira sepanjang mempersembahkan
dikir barat. Walaupun mengalami beberapa masalah kerana kekurangan latihan,
persembahan tetap diteruskan dengan baik.

Pada 26 September 2019 yang merupakan hari terakhir, terdapat dua aktiviti yang
dilakukan iaitu pembentangan refleksi program oleh setiap ahli kumpulan. Kumpulan saya
telah diwakili oleh Muhammad Nur Fitri. Selepas aktiviti pembentangan refleksi tamat, aktiviti
program diteruskan dengan majlis penutup yang dirasmikan oleh Tuan Haji Rasid yang
mewakili Pengarah IPGkDRI, Doktor Azman yang tidak dapat hadir. Setelah selesai makan
tengah hari, kami bertolak pulang ke IPG.

3.0 Analisis SWOT

Terdapat dua kekuatan yang saya peroleh sepanjang menjalani program BIG ini.
Antara kekuatan tersebut adalah seperti menjadi penolong ahli jawatankuasa kebersihan
program. Saya dapat belajar untuk menjalankan tugas saya dengan baik apabila saya perlu
berfikir cara untuk memastikan kebersihan kawasan program sentiasa terjaga. Saya juga
turut dapat meningkatkan kemahiran memimpin yang ada di dalam diri saya apabila
melaksanakan tugas yang telah diamanahkan kepada saya.

Terpilih sebagai individu yang menyandang jawatan sebagai penolong ketua ahli
jawatankuasa kebersihan program adalah merupakan satu pencapaian yang agak besar
kepada diri saya. Saya telah berusaha untuk memahami psikologi dan pemikiran ahli
jawatankuasa kebersihan yang lain. Saya belajar untuk menjadi seorang pemimpin yang
baik sepanjang mengikuti program ini dengan menggunakan potensi ahli-ahli saya untuk
meningkatkan produktiviti dan kualiti kebersihan kawasan perkhemahan (Mat, 2007)

Kekuatan lain yang saya peroleh selepas menjalani program BIG adalah saya dapat
meningkatkan ilmu pengetahuan tentang aktiviti di luar bilik darjah. Hal ini adalah kerana
aktiviti yang dijalankan sepanjang program ini berlangsung adalah sangat bermanfaat.
Program seperti keyakinan di air dan membina rakit telah mengajar saya untuk memahami
serta mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Setiap aktiviti yang dilakukan memberikan
pengalaman kepada saya untuk menguruskan aktiviti perkhemahan.

Pengalaman menguruskan aktiviti perkhemahan adalah sangat penting kepada guru


pelatih seperti saya supaya dapat diaplikasikan apabila berada di sekolah kelak. Hal ini
kerana, penyertaan guru di dalam aktiviti kokurikulum adalah sangat penting bagi
meningkatkan kualiti pelaksanaan gerak kerja kokurikulum (Nordin, 1991). Justeru, saya
mestilah melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan serta pengalaman yang mencukupi
supaya dapat dicurahkan kepada murid-murid saya kelak.

Antara kelemahan saya sepanjang menjalani program BIG ialah saya kerap
merungut apabila berdepan dengan sesuatu masalah. Contohnya, saya merungut tentang
tidak mempunyai masa yang cukup untuk membuat latihan bagi membuat persembahan
pada malam kebudayaan. Tanpa saya sedari, baki masa yang ada hanya dibazirkan dengan
rungutan. Saya sepatutnya menggunakan masa yang ada bagi memikirkan jalan
penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi.

Kelemahan lain yang dapat saya kesan ialah saya gagal berkawad kaki dengan baik.
Hal ini dapat dilihat apabila saya sering terkeluar daripada barisan kawad semasa aktiviti
berkawad kaki dalam keadaan mata tertutup sedang berjalan. Kelemahan ini boleh diatasi
dengan latihan kawad kaki yang kerap bagi membolehkan saya terbiasa dengan aktiviti
kawad kaki. Saya juga perlu meningkatkan kepekaan terhadap arahan kawad kaki yang
diberikan oleh ketua kumpulan bagi membolehkan saya berkawad kaki dengan betul.

Saya turut mengalami beberapa ancaman sepanjang menjalani program BIG. Antara
ancaman yang saya alami adalah tidak mempunyai pengalaman yang cukup untuk menjadi
penolong ahli jawatankuasa kebersihan program. Saya terlupa untuk membawa plastik
sampah semasa melakukan aktiviti kembara alam sekitar. Bagi mengatasi ancaman ini,
saya mestilah bertanya pensyarah ataupun guru pelatih yang pernah menjadi ahli
jawatankuasa kebersihan tentang kaedah penjagaan kebersihan di kawasan program
dijalankan.

Ancaman lain yang dapat saya kesan sepanjang menjalani program BIG adalah
merupakan aktiviti yang terlalu banyak. Hal ini telah menyebabkan saya sering terlewat
menunaikan solat secara berjemaah. Hal ini berlaku kerana saya mengambil masa yang
lama untuk menguruskan diri. Bagi mengatasi ancaman ini saya perlu bijak menguruskan
masa saya. Saya perlu beradaptasi dengan keadaan jadual aktiviti program yang sangat
padat dengan meningkatkan ketangkasan saya dalam setiap perkara yang dilakukan.

Selain kelemahan dan ancaman, program BIG ini banyak memberikan peluang
kepada saya untuk memajukan diri. Salah satu peluang yang saya peroleh adalah menjadi
pengerusi majlis untuk aktiviti interaksi profesional dengan pihak Sekolah Kebangsaan
Institut Pendidikan Guru (SKIPG). Saya telah mengambil peluang ini untuk meningkatkan
keyakinan diri saya apabila bercakap di hadapan tetamu yang ramai. Saya juga
memanfaatkan peluang ini untuk menimba pengalaman sebagai seorang pengerusi majlis.

Akhirnya, melalui program BIG juga saya berpeluang untuk mengenali rakan-rakan
saya dengan lebih rapat. Hal ini kerana bilangan peserta yang sedikit iaitu hanya seramai 60
orang. Hampir kesemua aktiviti yang dijalankan sepanjang program berlangsung adalah
melibatkan aktiviti berkumpulan. Oleh hal yang demikian, saya berjaya keluar daripada zon
selesa saya dengan berkomunikasi dengan rakan-rakan saya yang datang dari unit yang
berbeza.

4.0 Penutup

Kesimpulannya, saya sangat bertuah kerana dapat menyertai program bina insan
guru. Program ini berjaya mendidik saya untuk menjadi manusia yang lebih baik dan
program ini juga telah banyak memberikan pengalaman kepada saya. Pengalaman yang
telah diperoleh akan saya kongsikan dengan masyarakat terutamanya murid-murid saya
supaya dapat dijadikan sebagai pengajaran. Saya berharap agar saya dapat mengamalkan
kemahiran yang saya peroleh sepanjang menjalani program ini di dalam kehidupan seharian
saya.
Disediakan oleh, 21 Oktober
2019

…………………..
(NURLIYANA BINTI SAYUTI)
Peserta Program Bina Insan Guru Siri 1

TUGASAN 3 2
Pembentanga
Laporan
n Reflektif
(Refleksi)

You might also like