You are on page 1of 3

Tajuk: Penilaian ke atas penggunaan sumber pengajaran dan pembelajaran

(PdP) Sejarah di sekolah.

Bermula 4 Ogos sehingga 8 Ogos, saya telah menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah
(PBS) di Sekolah Kebangsaan Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan. Sepanjang PBS, saya
telah menjalankan pemerhatian terhadap PdP Sejarah dan menemu bual guru-guru Sejarah
iaitu Pn. Mastura dan Pn. Zaleha bagi menilai penggunaan sumber PdP Sejarah di sekolah
tersebut. Pada pandangan saya, secara umumnya, guru-guru Sejarah di Sekolah
Kebangsaan Bunut Susu masih cenderung ke arah pembelajaran secara tradisional dengan
menekankan kaedah ‘chalk and talk’ dan penggunaan buku teks namun mereka cuba
mengintegrasikan pembelajaran abad ke-21 dengan menggunakan sumber elektronik dan
sumber internet.

Usaha Pn. Zaleha dan Pn. Mastura untuk mengintegrasikan pembelajaran abad ke-
21 telah mempelbagaikan penggunaan sumber PdP Sejarah di Sekolah Kebangsaan Bunut
Susu. Berdasarkan temu bual yang dijalankan, didapati Pn. Mastura dan Pn. Zaleha telah
menggunakan bahan bercetak seperti buku teks, gambar tokoh atau peristiwa dan peta;
sumber elektronik seperti filem ‘Hati Malaya’ dan klip video daripada EduWeb TV atau
Youtube; serta sumber internet seperti laman web sebagai sumber PdP Sejarah. Dengan
penggunaan sumber PdP yang pelbagai, guru dapat menarik minat murid bersesuaian
dengan isi kandungan PdP. Sebagai contoh, semasa mengajar standard pembelajaran
9.2.5: Mengenal bendera kebangsaan negara-negara di Asia Tenggara di bawah standard
kandungan 9.2: Bendera Kebangsaan (Tajuk 9: Identiti Negara Kita), Pn. Mastura telah
menggunakan buku teks sebagai sumber PdP. Penggunaan sumber ini sesuai untuk isi
kandungan PdP tersebut kerana sememangnya telah terdapat gambar bendera kebangsaan
negara-negara di Asia Tenggara yang jelas dan menarik di dalam muka teks (lampiran 1).
Pn. Zaleha pula menggunakan sumber internet dalam proses PdP Sejarah dengan meminta
murid mengakses internet untuk mencari maklumat berkenaan standard pembelajaran 5.3.3:
Menyatakan kebijaksanaan Tun Perak dalam menangkis serangan Siam di Melaka dan
5.3.4: Menyatakan peranan Tun Perak dalam membina kegemilangan Kesultanan Melayu
Melaka di bawah standard kandungan 5.3: Tun Perak sebagai Bendahara Melaka (Tajuk 5:
Tokoh Terbilang Kesultanan Melayu Melaka). Beliau turut memaparkan filem ‘Hati Malaya’
untuk mengajar standard kandungan 7.3: Sejarah Kemerdekaan Negara (Tajuk 7:
Perjuangan Kemerdekaan Negara).

Walau bagaimanapun, biarpun terdapat percubaan untuk mempelbagaikan


penggunaan sumber PdP Sejarah, guru-guru Sekolah Kebangsaan Bunut Susu masih
mempunyai kebergantungan yang tinggi terhadap buku teks sebagai sumber utama PdP
mereka. Penggunaan sumber PdP yang lain seperti sumber elektronik dan sumber internet
hanya digunakan dengan kadar yang sangat sedikit berbanding penggunaan buku teks.
Pada pemerhatian saya, penggunaan buku teks semasa proses PdP akan menyebabkan
murid hilang tumpuan terhadap PdP guru dan seterusnya mula berbual-bual dengan rakan
sekelas (lampiran 2). Malah semasa disoal oleh Pn. Mastura, hanya beberapa murid sahaja
yang memberikan respons. Hal ini akan menyebabkan proses PdP yang dijalankan kurang
berkesan dan tidak mencapai objektif yang ditetapkan apabila segala pengetahuan yang
disampaikan oleh guru tidak diendahkan serta tidak mencatatkan oleh murid.

Berdasarkan temu bual yang dijalankan, saya dapati wujudnya ancaman yang
menyebabkan berlakunya situasi kebergantungan guru yang tinggi terhadap buku teks
sebagai sumber PdP Sejarah. Antaranya ialah kekurangan kemudahan yang terdapat di
sekolah untuk melaksanakan pembelajaran abad ke-21 menggunakan sumber elektronik
dan sumber internet. Kekurangan kemudahan yang dimaksudkan ialah tiadanya kemudahan
layar putih, LCD, pembesar suara dan peranti untuk melayari internet di dalam kelas. Oleh
itu, murid perlu dibawa ke makmal komputer untuk menonton filem atau klip video dan untuk
melayari internet. Selain daripada kekurangan kemudahan, peruntukan masa setengah jam
untuk subjek Sejarah juga turut menjadi ancaman yang nyata. Menurut Pn. Zaleha, untuk
membawa murid ke makmal komputer dan memulakan PdP setelah sampai ke makmal
komputer, mengambil masa antara 10-15 minit dan menyebabkan baki masa PdP yang
tinggal hanya 15 minit sahaja. Bagi menghasilkan PdP yang berkesan, penayangan filem
atau klip video dan penggunaan internet perlu diikuti dengan perbincangan dan aktiviti lain
yang akan mengambil masa lebih daripada baki masa 15 minit tersebut. Oleh itu, beliau
lebih cenderung memilih menggunakan sumber buku teks atas faktor masa.

Sebagai penambahbaikan, untuk mengatasi kelemahan dan mengurangkan ancaman,


guru boleh menjalankan kaedah “Flipped Classroom” atau bilik darjah songsang. Kaedah ini
memerlukan murid membuat persediaan di rumah sebelum mengambil bahagian dalam
aktiviti kelas semasa PdP. Oleh itu, guru boleh menyediakan sumber PdP seperti filem ‘Hati
Malaya’, video-video berkaitan tajuk atau pautan laman web yang boleh diteroka oleh murid
secara atas talian. Misalnya, guru meminta murid meneroka standard kandungan 6.2:
Agama Islam (Tajuk 6: Warisan Negara Kita) yang akan dipelajari dengan melayari pakej
bahan pengajaran dan pembelajaran digital “O, You Who Believe” yang telah dihasilkan.
Kandungan bahan-bahan PdP yang dihasilkan di dalam pakej bahan pengajaran dan
pembelajaran digital “O, You Who Believe” seperti kandungan set induksi, kandungan klip
video mengikut standard pembelajaran dan kandungan kuiz penilaian di akhir proses PdP
akan dapat membantu murid meneroka dan memahami isi pembelajaran yang akan diajar.
Seterusnya, waktu PdP pula boleh diperuntukkan untuk perbincangan, sumbang saran, soal
jawab atau melaksanakan amali mengikut kesesuaian isi pembelajaran yang diajar. Kaedah
ini akan mengurangkan ancaman yang dihadapi oleh guru dan seterusnya menarik minat
murid untuk mengikuti proses PdP dengan aktif.

Secara kesimpulannya, penggunaan sumber PdP Sejarah di Sekolah Kebangsaan


Bunut Susu mempunyai kekuatan dari segi kepelbagaian sumber PdP yang digunakan serta
mempunyai kelemahan dari segi kebergantungan guru yang tinggi terhadap buku teks
sebagai sumber utama PdP yang digunakan. Kelemahan tersebut wujud kerana adanya
ancaman yang menjadi faktor guru lebih cenderung kepada penggunaan buku teks. Oleh
itu, untuk menjadi seorang guru Sejarah yang berkesan, adalah menjadi tanggungjawab
guru untuk merancang dan menambah baik kelemahan dan mengurangkan ancaman yang
dihadapi agar penggunaan sumber PdP Sejarah yang pelbagai dan berkesan dapat dicapai.
Hal ini seterusnya akan membantu guru mencapai objektif pembelajaran yang diinginkan.

You might also like