You are on page 1of 7

Hubungan Etnik di Malaysia Dari Segi Ekonomi, Politik dan Agama

1.0 Pengenalan
Malaysia merupakan sebuah negara yang terkenal dengan rakyatnya yang
berbilang kaum, bahasa, agama dan budaya. Masyarakat hidup bersama dan
bergaul antara satu sama lain. Selain etnik terbesar Melayu, Cina dan India,
Malaysia juga terdiri daripada pelbagai kaum lain seperti Orang Asli, Iban, Bidayuh,
Kadazan, Dusun serta suku bumiputera lain. Selepas kemerdekaan, pergaulan di
antara setiap anggota masyarakat ini semakin meningkat, tambahan pula dengan
proses perbandaran dan migrasi yang semakin pesat berlaku setiap masa.

Masyarakat pelbagai kaum menjalin bekerjasama dalam aspek politik


mahupun sosioekonomi bagi menjanjikan persekitaran negara sentiasa berada
dalam keadaan stabil dan makmur. Proses perubahan ini berlaku sejak negara mula
mencapai kemerdekaan. Untuk mencapai keadaan yang sebegini, rakyat Malaysia
telah melalui beberapa peringkat tranformasi dalam usaha mencapai persefahaman
yang jitu ke arah memupuk perpaduan kaum.

2.0 Hubungan Etnik di Malaysia dari Segi Ekonomi

Kedudukan ekonomi di Tanah Melayu telah mengalami perubahan yang


besar sejak kedatangan British. Keadaan ekonomi dalam zaman penjajahan
menunjukkan ketidakadilan dalam kedudukan ekonomi. Dasar pecah dan perintah
British telah menyebabkan ada dalam kalangan masyarakat Tanah Melayu berasa
ketinggalan dan terpinggir dari arus kemajuan dan pembangunan.

Sebelum negara mencapai kemerdekaan dari British, masih terdapat jurang


dalam perhubungan antara kaum yang memisahkan kita dari segi bahasa,
budaya,pendidikan atau tempat tinggal. Masalah jurang pencapaian ekonomi di
kalangan masyarakat Melayu dan bukan Melayu sering menjadi persoalan
sehingga membawa kepada peristiwa hitam dalam sejarah perpaduan negara iaitu
rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 yang berpunca daripada ketidakseimbangan
pengagihan pendapatan, pelajaran dan status sosial antara kumpulan etnik. Lu hon
Sun (1989) menegaskan bahawa Dasar Pecah Perintah British telah mewujudkan
perbezaan etnik dari segi ekonomi, politik dan sistem pendidikan Vernakular.
Urbanisasi juga melibatkan penempatan penduduk berbeza mengikut ras.
Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan tinta hitam dalam sejarah Malaysia yang
menginsafkan rakyat Malaysia. Terdapat perbezaan ekonomi yang ketara di antara
masyarakat luar bandar yang majoriti penduduknya terdiri daripada orang Melayu
yang menjalankan aktiviti ekonomi sara diri, dengan masyarakat bandar yang terdiri
daripada kaum Cina yang menjalankan aktiviti ekonomi komersial. Perbezaan ini
boleh menggugat perpaduan negara (Hamidah Ab Rahman, Muhammad Bin Daud,
& Norlin Binti Ahmad, 2009).

Kesan daripada peristiwa hitam tersebut, wujudnya Rancangan Malaysia


Kedua (1971- 1975). Digarab ke.dalamnya Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang
diwujudkan oleh kerajaan adalah bertujuan menyusun semula masyarakat dan
membasmi kemiskinan semua kaum. Rancangan ini telah menganjurkan suatu
usaha membangunkan masyarakat Malaysia untuk jangka masa panjang iaitu
mengambil tempoh selama 20 tahun, yakni dari tahun 1971 sehingga 1990.

Pelbagai usaha telah dilaksanakan dalam membasmi kemiskinan sepanjang


perlaksanaan DEB. Antaranya ialah dengan membuka dan membangunkan kawasan
tanah untuk golongan yang tidak memiliki tanah oleh agensi kerajaan seperti FELDA
dan FELCRA, membina dan meningkatkan infrastruktur di kawasan luar bandar,
meningkatkan daya pengeluaran dan pendapatan, memperbaik kualiti hidup rakyat
melalui pelajaran, latihan, kesihatan dan sebagainya. Dasar ini telah Berjaya
menurunkan kadar kemiskinan penduduk Malaysia daripada 42.4 peratus pada 1970
kepada 17.1 peratus pada 1990. Selain itu, pendapatan purata kaum bumiputera
telah meningkat daripada RM172 sebulan pada 1970 kepada RM940 sebulan pada
1990 (Mamat, Saat, & Ariffin, 2014).

Menurut Baharuddin (2007) mentafsirkan, dalam rentetan sejarah


pembangunan negara, terdapat perubahan-perubahan dasar yang dilakukan untuk
mencapai matlamat memodenkan Malaysia. Pada tahun 1960 -an dan 1970-an,
meskipun pembangunan ekonomi sudah diarahkan kepada perindustrian tetapi
tumpuan kepada sektor pertanian masih diutamakan sesuai dengan dasar
pembangunan pertanian, beberapa badan yang bertanggungjawab untuk
memajukan sektor pertanian dan menghapuskan kemiskinan di luar bandar telah
diwujudkan seperti FELDA, Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah
Negara(FELCRA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA). Menjelang tahun 1980-an dan
1990-an, sektor perindustrian lebih diberi perhatian dan beberapa dasar telah
digubal, seperti dasar Perindustrian Berat dan Dasar Penswastaan. Sesuai dengan
perkembgan ekonomi dunla pada masa kini, beberapa strategi telah disusun untuk
meningkatkan pembangunan ekonomi yang berteraskan kepada teknologi ICT dan k-
ekonomi. Apa yang jelas dasar -dasar awam yang digubal merupakan suatu usaha
politik daripada pihak kerajaan untuk melengkapi apa yang sudah direncanakan
dalam rancangan-rancangan pembangunan negara.

3.0 Hubungan Etnik di Malaysia dari Segi Politik

Perkembangan politik Tanah Melayu disemarakkan dengan kesedaran


nasionalisme yang berasaskan kaum yang didorong oleh dasar ‘pecah dan perintah’
British sendiri. Pengelompokkan masyarakat di kawasan yang berbeza telah
menanam bibit kesedaran nasionalisme. Faktor luaran turut menyumbang kepada
penyuburan semangat nasionalisme di kalangan penduduk Tanah Melayu.
Kesemuanya mula terkesan pada awal abad ke-20. Kesedaran nasionalisme Melayu
juga disokong oleh keterbukaan minda orang Melayu yang menerima pendidikan dari
dalam dan luar negeri (Zaini & Thukiman, 2009).

Kesedaran nasionalisme di kalangan orang Cina dan India juga wujud dan
berkembang dengan meluas. Walaupun pada peringkat awal, tumpuan lebih banyak
diberikan kepada kegiatan ekonomi, namun lama-kelamaan masyarakat Cina dan
India juga sudah mula memberi tumpuan kepada kelangsungan politik mereka di
negara ini. Mereka mula menubuhkan persatuan-persatuan dan pertubuhan politik
yang memperjuangkan kebajikan orang Cina dan India(Zaini & Thukiman, 2009).

Sejak mencapai kemerdekaan, parti-parti politik yang terdapat di Malaysia


rata-rata ditubuhkan berasaskan kaum atau nilai perkauman seperti UMNO, MCA
dan MIC. Namun begitu, sejarah menunjukkan bahawa parti-parti ini walaupun
ditubuhkan berasaskan kepentingan dan perjuangan kaum, tetapi telah berupaya
membentuk gabungan dalam sesuatu kerja sama permuafakatan politik dikenali
sebagai Perikatan dan mengamalkan konsep perkongsian kuasa. Keadaan ini
berlaku atas keperluan demokrasi juga kerana penggabungan akan memberikan
peluang sesuatu perikatan itu mendapat sokongan yang lebih besar dan seterusnya
mengekalkan kuasa.

Walaupun parti-parti politik yang ditubuhkan berteraskan kaum, dengan


semangat toleransi dan kebersamaan yang tinggi, kaum-kaum yang ada di tanah
Melayu ketika itu bersedia memberi dan menerima serta bertolak ansur dalam
perkara-perkara dalam perkara-perkara yang melibatkan perbezaan, serta pada
waktu yang sama bersedia berkorban atas asas dan hasrat mahu membina negara
dan masyarakat yang aman dan harmoni. Sehingga kini parti politik yang berasaskan
kaum masih terus wujud dan berperanan dalam sistem politik negara.

Dengan kerjasama parti-parti perkauman Melayu, Cina dan India,


kemenangan telah berpihak kepada parti Perikatan yang membolehkan Tanah
Melayu menuntut kemerdekaan bagi Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957.
Perbincangan tuntutan kaum imigran dan toleransi yang cukup berhemah oleh orang
Melayu telah melahirkan masyarakat majmuk dalam politik kepartian, kemerdekaan
Tanah Melayu, penyertaan Sabah dan Sarawak dan pembinaan negara bangsa yang
akhirnya mewujudkan bangsa Malaysia yang berdaulat berteraskan kepelbagaian
etnik di negara ini.

4.0 Hubungan Etnik di Malaysia dari Segi Agama

Perbezaan agama bukanlah penghalang bagi Malaysia dalam mencapai


keharmonian antara kumpulan etnik. Bagi negara Malaysia, kebebasan beragama
telah dimaktubkan dalam perlembagaan. Agama Islam telah dijadikan agama rasmi
Persekutuan. Toleransi beragama yang diamalkan di Malaysia selama ini adalah
dengan bersandarkan kepada Artikel 11(1) Perlembagaan Persekutuan Malaysia
yang mana “Tiap-tiap orang adalah berhak untuk menganuti dan mengamalkan
agamanya tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan agamanya” (Khambali, &
Haled, 2008). Daripada peruntukan ini, sudah jelas bahawa umat Islam dan
penganut-penganut agama lain bebas untuk mengikut dan mengamalkan ajaran
agamanya masing-masing dengan tertakluk kepada syarat bahawa tidak boleh
melakukan sebarang bentuk tindakan penyebaran mana-mana ajaran agama
terhadap umat Islam (Rahman & Khambali, 2013).

Namun begitu, masyarakat Malaysia telah melalui beberapa fasa perubahan


kesan daripada pertembungan ketamadunan dan keagamaan selepas mencapai
kemerdekaan. Pelbagai rancangan dan usaha telah dijalankan di Malaysia,
khususnya dalam mengimbangi hak antara pelbagai agama dan kepercayaan bagi
memupuk keharmonian bersama dalam perlaksanaan dialog antara agama. Menurut
Chandra (2010), usaha bagi meningkatkan toleransi agama di Malaysia harus
dilakukan dengan menyelesaikan masalah komunikasi antara etnik. Masalah ini
timbul hasil daripada kejahilan nilai dan adat sesuatu etnik, ditambah lagi dengan
jurang dn prejedudis antara dua pihak iaitu Muslim dan bukan Muslim. Oleh yang
demikian, situasi sebegini perlu diselesaikan dengan meningkatkan ruang interaksi
dengan tujuan untuk mengukuhkan kepercayaan, hormat dan toleransi antara dua
pihak ini.

Tamring (2008) menyatakan bahawa sesuatu hubungan itu boleh mejadi


rapat mahupun renggang bergantung bukan sahaja kepada persamaan atau
perbezaan antara kita, malah peluang untuk berinteraksi turut memainkan peranan
yang signifikan. Oleh sebab itu, lebih banyak interaksi berlaku dalam sesebuah
komuniti, lebih tinggi potensi untuk memupuk nilai toleransi antara kita. Khadijah
(2008) mengusulkan bahawa toleransi beragama boleh ditingkatkan dengan
pendekatan menghargai persamaan dan menghormati perbezaan setiap agama.
Pemikiran takuk lama yang menganggap isu keagamaan sebagai suatu topik yang
sensitive untuk dibincangkan perlu ditinggalkan. Kaedah yang terbaik tidak
membataskan interaksi antara agama hanya kepada program bual bicara antara
tokoh agamawan. Hal sebegini perlu diamalkan di sekolah mahupun di institut
pengajian tinggi agar perjudis-prejudis dapat dikekang pada peringkat lebih awal.

Berdasarkan penyelidikan ‘Toleransi Bajau dan Kadazandusun di Sabah’


yang dilaksanakan oleh Tamring (2008), toleransi keagamaan yang tinggi di Sabah
adalah kerana factor interaksi berpanjangan dalam kehidupan seharian mereka yang
secara tidak langsung memupuk sifat keterbukaan dalam perhubungan rentas
agama dan etnik. Toleransi sebegini dimaksudkan dengan kesediaan dan kerelaan
untuk menjalinkan hubungan antara etnik dan agama. Hal ini boleh dilihat dengan
pembinaan rumah ibadah di Sabah seperti membina gereja di bangunan kedai dan
kawasan dominan dengan warga Muslim, yang menunjukkan rakyat Sabah mampu
menerima kewujudan rumah ibadah agama lain di Kawasan sekeliling mereka.

5.0 Penutup

Dalam konteks Malaysia, asimilasi budaya pelbagai kaum telah, sedang dan
akan terus berlaku. Kita harus mempunyai sifat bersih, cekap dan amanah.
Perpaduan kaum di Malaysia boleh dieratkan dengan pelbagai cara, maka untuk
menjadikannya lebih berkesan, semua masyarakat dari pelbagai kaum perlu
bersama-sama menjayakan usaha-usaha yang dijalankan. Sebagai warganegara
Malaysia, adalah tanggungjawab kita untuk mewujudkan perpaduan di mana asas
perpaduan telah disediakan melalui penubuhan persekutuan. Kita hendaklah
mencapai persefahaman, persetujuan dan titik pertemuan ke arah perpaduan.

(1512 patah perkataan)


Rujukan

Chandra Muzaffar. 2010. A Plea for empathy: the quest for Malaysian unity. Kuala
Lumpur: Zubedy Ideahouse Sdn. Bhd.

Hamidah Ab Rahman, Muhammad Bin Daud, & Norlin Binti Ahmad. (2009).
Pembangunan Ekonomi dalam Hubungan Etnik. Hubungan Etnik di Malaysia:
Perspektif Teori dan Praktik, 185-198.

Khambali, K. M., & Haled, M. H. M. (2008). Toleransi beragama dan amalannya di


Malaysia: rujukan kepada artikel 11 perlembagaan persekutuan Malaysia. Jurnal
Usuluddin, 27, 81-92.

Khadijah Mohd Khambali @ Hambali. 2008. Islam agama rahmah dan toleransi beragama:
realiti dan cabaran. in. Khadijah Mohd Khambali @ Hambali, Mohammad Kamil Hj
Abdul Majid & Syed Mohd Hilmi Syed Abdul Rahman. (eds). Isu dan cabaran
hubungan antara agama di Malaysia. Kuala Lumpur: Universiti Malaya

Lu Hon Sun (1989), “Chinese Politics in Malaysia; The MCA Crisis of 1984/85”. UM,
Disertasi, Jabatan Pentadbiran Awam. Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Am,.h.
129-144.

Mamat, M. A. A., Saat, I., & Ariffin, K. (2014). Impak Dasar Ekonomi Baru ke atas
PeningkatanEkonomi Bumiputera Selepas Tragedi 13 Mei 1969. Perspektif:
Jurnal Sains Sosial dan Kemanusiaan, 6(3), 138-151.

Nasir, Z. M., & Ahmad, N. (2009). Pembangunan sosial dalam hubungan etnik. Dlm.
Hubungan Etnik di Malaysia: Perspektif, Teori dan Praktik, 141-154.

Rahman, N. F. A., & Khambali, K. M. (2013). Religious tolerance in Malaysia: Problems and
challenges. International Journal of Islamic Thought, 3, 81.

Baharuddin, S. A. (2007). Ethnic relations module. Kuala Lumpur: Maskh Sdn. Ltd.

Tamring, B. A. M. 2008a. Toleransi etnik Bajau dan Kadazandusun di Sabah’. in. S. N.


Mahali & B. A. Mohd. (eds.). Pluraliti dalam Kearifan Lokal di Sabah. Kota Kinabalu: Penerbit
Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu.

Zaini, F. B., & Thukiman, K. B. (2009). Pembangunan politik dalam hubungan etnik.
Hubungan Etnik di Malaysia: Perspektif Teori dan Praktik, 159-185.

You might also like