You are on page 1of 3

Rancang aliran wang, elak diri bankrap/muflis

WARTAWAN SINAR HARIAN | 16 Jun 2019

Rancang perbelanjaan harian, elak berbelanja pada perkara-perkara yang bukan keperluan.

BANKRAP merupakan perkataan yang cukup digeruni. Tetapi ramai yang sedang menuju ke arah bankrap,
sama ada mereka sedar atau pun tidak. Tapi sebelum bermula, apakah ramai yang tahu definisi bankrap?

Justeru, untuk mengetahui definisi itu, kita perlu rujuk kepada Jabatan Insolvensi Malaysia, kerana ia
adalah sebuah agensi kerajaan yang diberi peranan untuk mentadbir hal ehwal kes-kes kebankrapan serta
hal ehwal seseorang bankrap.

Pentafsiran yang diperoleh daripada agensi itu menyatakan bahawa kebankrapan adalah satu proses
di mana seorang penghutang itu diisytiharkan sebagai muflis lanjutan daripada suatu perintah
penghukuman yang dibuat oleh mahkamah tinggi terhadap penghutang tersebut atas kegagalan atau
ketidakupayaannya untuk membayar hutang sekurang-kurangnya RM50,000.

Statistik menakutkan

Untuk makluman, sejumlah 300,958 orang telah diisytiharkan bankrap ketika ini. Golongan berusia antara
35 hingga 44 tahun paling ramai terbabit dalam kebankrapan iaitu 34.4 peratus, kedua golongan berusia
45 hingga 54 tahun iaitu membabitkan 26.37 peratus, dan ketiga adalah golongan berusia 25 hingga 34
iaitu sebanyak 24 peratus.

Ini menunjukkan bahawa orang muda atau tua tidak lari daripada mengalami masalah kewangan,
sehingga menyebabkan mereka jatuh bankrap.

Oleh itu, jauhkan perkara berikut jika tidak mahu menjadi sebahagian daripada statistik mereka yang
bankrap iaitu seboleh-bolehnya belilah kereta mengikut kemampuan, elakkan daripada mengambil
pinjaman peribadi dan potong kad kredit.

1. Beli kereta sekadar mampu

Punca utama rakyat Malaysia bankrap, adalah kegagalan membayar balik pinjaman kereta. Menurut pihak
bank, mereka yang layak membeli kereta adalah mereka yang mampu membayar bulanan sebanyak 1/3
daripada gaji.

Itu bermakna, jika bergaji RM3,000 sebulan, maka kadar mampu beli kereta adalah ansuran RM1,000
sebulan.

Maka ramailah anak muda yang memakai kereta import untuk menunjuk yang gaji mereka layak untuk
memiliki kereta tersebut. Tetapi realitinya? Kos pemilikan kereta bukan sekadar ansuran bulanan semata-
mata, sebaliknya perlu membayar insurans atau takaful setiap tahun, cukai jalan setiap tahun, isi minyak
setiap minggu, hantar ke pusat servis setiap beberapa bulan, kos tidak terjangka seperti tukar tayar dan
tukar bateri, tol dan parkir.
Justeru, setelah melihat perkiraan sebegini adakah masih ramai yang berasa dirinya mampu membayar
1/3 daripada gaji bulanan untuk bayar ansuran kereta? Silap-silap, 2/3 daripada gaji bulanan habis
digunakan untuk bayar kereta sahaja.

Maka itu, belilah kereta ikut kemampuan. Ramai pakar kewangan menyarankan membeli kereta yang
berharga 12 kali gaji bulanan yang diterima. Maknanya, jika gaji RM3,000 sebulan, maka belilah kereta
yang berharga bawah RM36,000 dalam masa sama juga bersedia dengan kos-kos lain yang berkaitan.

Jangan lupa pula bahawa kereta akan menyusut nilainya setiap tahun.

2. Elak pinjaman peribadi

Seterusnya, elakkan daripada mengambil pinjaman peribadi. Kerana, punca kedua tertinggi rakyat
Malaysia bankrap adalah disebabkan oleh pinjaman peribadi.

Siapa yang tidak teruja apabila ada institusi kewangan yang boleh meluluskan pinjaman sehingga 10 kali
ganda gaji dalam masa hanya 24 jam. Memang rambang mata mahu membeli itu dan ini.

Amalan itu semua berpunca daripada budaya yang gagal untuk menyimpan. Menurut laporan Bank
Negara Malaysia (BNM), 75 peratus daripada masyarakat Malaysia tidak mempunyai simpanan walaupun
sekadar RM1,000. Bila tiada simpanan, maka lebih cenderung untuk berhutang.

Lebih teruk, ramai tidak sedar bahawa kadar faedah bagi pinjaman peribadi adalah di antara yang
tertinggi. Oleh itu, rancang perbelanjaan lebih awal.

Mulakan dengan menyimpan 10 peratus daripada gaji bulanan, dalam masa kurang setahun pasti sudah
ada beberapa ribu ringgit. Boleh juga guna digunakan untuk pergi melancong dan membeli apa yang
diidamkan selama ini.

3. Hentikan kad kredit

Sebanyak 47 peratus belia Malaysia menanggung hutang kad kredit yang tinggi manakala 38 peratus
dikenal pasti membuat pinjaman peribadi, kata Timbalan Gabenor BNM, Nazrul Hisyam Mohd Noh.

Sudahlah simpanan tiada, kuat pula berbelanja, memang nahas akan tiba!

Umum tahu bahawa kadar faedah kad kredit adalah yang tertinggi, dan had kredit yang ditawarkan pula
mencecah sehingga lima kali ganda gaji bulanan.

Maka tidak hairanlah, dengan adanya tawaran kemudahan tersebut, ramai yang terjebak berbelanja di
luar kemampuan.

Oleh demikian, bagi mengelakkan diri daripada terjebak dengan hutang kad kredit yang menimbun, maka
bertukarlah kepada kad debit.

Sekurang-kurangnya boleh tahu berapa duit yang dimiliki untuk berbelanja.


Dalam masa sama, psikologi juga memainkan peranan, iaitu bila sedar duit dalam akaun sedikit, maka
berbelanja pun sedikit.

Ukur baju di badan sendiri

Ukur baju di badan sendiri adalah kata kunci yang amat sesuai bagi membincangkan isu ini kerana untuk
menjalani kehidupan mestilah mengikut kemampuan.

Usah mahu membanding-bandingkan kehidupan dengan orang lain, kerana setiap orang kemampuan
kewangan adalah berbeza.

Maka perlu diingatkan, rancang kewangan dan corak perbelanjaan agar terhindar tergolong di dalam
kumpulan mereka yang bankrap.

You might also like