You are on page 1of 4

PELABURAN YANG PATUT DISERTAI OLEH MASYARAKAT

Pelaburan merujuk kepada penanaman modal dalam sesuatu usaha seperti


pengeluaran barang, perniagaan, pembangunan syarikat dan sebagainya dengan
harapan mendapat keuntungan yang berlipat ganda pada masa hadapan. Antara
tujuan pelaburan adalah untuk menerima pulangan dalam bentuk syer bonus dan
dividen serta menambahkan nilai keuntungan modal. Prestasi pelaburan di Malaysia
adalah stabil berbanding dengan negara-negara lain. Statistik yang sahih lagi tepat
daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri menunjukkan bahawa
Malaysia telah merekodkan peningkatan pelaburan diluluskan bagi sektor pembuatan
dan perkhidmatan pada suku pertama tahun 2015 membabitkan nilai RM57.4 bilion,
iaitu meningkat sebanyak 18.8 peratus berbanding RM48.4 bilion dicatatkan bagi
tempoh masa yang sama pada tahun 2014, Terdapat pelbagai jenis pelaburan di
negara kita. Sesetengah daripadanya berisiko tinggi manakala terdapat pelaburan
yang berisiko rendah. Nasib pelabur boleh dikaitkan dengan peribahasa untung
sabut timbul untung batu tenggelam kerana mereka boleh memperoleh keuntungan
atau kerugian pada bila-bila masa sahaja. Persoalannya, apakah jenis-jenis pelaburan
yang berisiko rendah? Bagaimanakah pula cara untuk mengurangkan kerugian yang
diperoleh daripada pelaburan? Oleh itu, terdapat pelbagai jenis pelaburan yang patut
disertai oleh masyarakat.

Jenis pelaburan utama yang patut disertai oleh masyarakat ialah amanah saham.
Hal ini demikian kerana pelaburan amanah saham merupakan sejenis skim pelaburan
jangka sederhana dan panjang yang dikendalikan oleh pengurus-pengurus dana
berpengalaman dengan melaburkan wang dalam syarikat-syarikat yang dikenal pasti
boleh berkembang. Pelaburan berisiko rendah ini termasuklah Amanah Saham
Bumiputera, Unit Amanah (Unit Trust), Amanah Saham Nasional dan Sijil Simpanan
Premium (BSN). Tamsilnya, Amanah Saham Bumiputera memberi pulangan kadar
dividen sebanyak 7% hingga 10% tanpa mengenakan caj-caj tambahan semasa
memulakan pelaburan. Kesannya, pelabur boleh menjana keuntungan yang lebih
tinggi berbanding dengan simpanan wang di bank. Sekiranya berlaku kecemasan
yang memerlukan wang tunai, pemegang unit boleh menjual balik saham atau
menebus unit saham pada bila-bila masa sahaja. Hal ini dapat mengelakkan diri kita
menjadi seperti cacing kepanasan semasa memerlukan wang yang dilabur apabila
berlaku kecemasan. Justifikasinya, izharlah bahawa masyarakat patut melabur dalam
amanah saham.

Selain itu, jenis pelaburan lain yang patut disertai oleh masyarakat ialah pelaburan
pendidikan. Hal ini disebabkan pelabuhan tersebut meningkatkan keupayaan
seseorang individu untuk bersaing merebut peluang kerjaya dan pendapatan yang
lebih baik. Pelabuhan jangka masa panjang ini boleh digunakan untuk membiayai kos
pendidikan di institusi pengajian tinggi yang sangat mahal. Misalnya, Skim Simpanan
Pendidikan Nasional (SSPN) dan Pelan Pendidikan BSN Prudential merupakan antara
pelabuhan pendidikan di negara kita. SSPN menawarkan keistimewaan pelepasan
taksiran cukai sehingga RM6000 setahun berdasarkan simpanan bersih tahun
semasa. Dengan itu, masyarakat boleh mengurangkan pembayaran cukai dan
menjimatkan kos untuk tujuan pendidikan peringkat tinggi pada masa hadapan.
Senario yang persis dengan peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan
kerana kos pengajian tinggi yang ingin dipelajari boleh dicapai dengan pelaburan
setiap tahun seperti sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit. Tegasnya, jelaslah bahawa
pelaburan pendidikan merupakan pelaburan yang patut disertai oleh masyarakat.

Sudah terang lagi bersuluh bahawa masyarakat patut melabur dalam pelaburan
kesihatan. Hal ini demikian kerana kos rawatan di hospital semakin meningkat dari
setahun ke setahun. Sebagai contoh, kos rawatan barah telah mencecah sebanyak
RM300 000. Pelaburan kesihatan seperti Insurans Kesihatan, Insurans Hayat dan
Insurans Kewangan meringankan beban kewangan pesakit dengan menanggung
sebahagian atau sepenuhnya daripada bil rawatan menggunakan premium yang
dibayar. Ahli keluarga pesakit yang mempunyai Insurans Hayat turut dapat
menerima sejumlah wang sekiranya individu tersebut meninggal dunia akibat
penyakit-penyakit tertentu yang telah ditetapkan. Tindakan membeli insurans
kesihatan seiring dengan peribahasa sediakan payung sebelum hujan kerana malang
tidak berbau. Oleh itu, jelaslah bahawa masyarakat patut menyertai pelabuhan
kesihatan di negara kita.

Intihanya, bulan semakin terang, bayang kian jelas bahawa jenis-jenis pelaburan
yang patut disertai oleh masyarakat ialah Amanah Saham, pelaburan pendidikan dan
pelaburan kesihatan. Pelaburan ini bukan sahaja berisiko rendah tetapi juga
mendatangkan pelbagai manfaat kepada masyarakat. Melalui pendidikan, masyarakat
dapat menangguhkan penggunaan wang yang diperoleh untuk kegunaan masa
hadapan. Wang yang dilabur sebenarnya menjadi penggerak kepada kemajuan
ekonomi negara. Oleh itu, masyarakat digalakkan melabur untuk kepentingan diri dan
juga negara.

You might also like