You are on page 1of 10

See discussions, stats, and author profiles for this publication at: https://www.researchgate.

net/publication/335909086

Cabaran Pengintegrasian Pendidikan STEM Dalam Kurikulum Malaysia

Conference Paper · September 2019

CITATIONS
READS
0
11,893

1 author:

Amelia Adam
Universiti Kebangsaan Malaysia
4 PUBLICATIONS 0 CITATIONS

All content following this page was uploaded by Amelia Adam on 19 September 2019.

The user has requested enhancement of the downloaded file.


Seminar Wacana Pendidikan 2019(SWAPEN
2.0) ISSN: XXXX-XXXX

Cabaran Pengintegrasian Pendidikan STEM Dalam Kurikulum Malaysia

Nur Amelia bt Adam


nurameliaadam@gmail.com
Universiti Kebangsaan
Malaysia

Lilia bt Halim
lilia@ukm.edu.my
Universiti Kebangsaan
Malaysia

ABSTRAK

Pendidikan STEM ialah pendidikan yang bertunjangkan pengintegrasian empat bidang iaitu
Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik. Pendidikan STEM ini merupakan salah satu
agenda yang ditekankan dalam pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM)
2013-2025. Beberapa dasar yang dilihat menyokong agenda ini ialah Dasar 60% Sains : 40%
sastera (Dasar 60:40), Wawasan 2020, PPPM 2013-2025 dan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi
Negara (DSTIN), selain pengoperasian Pusat STEM Negara yang bermula sejak Mei lalu. Mata
pelajaran yang terangkum dalam bidang STEM ini adalah seperti Sains, Fizik, Matematik,
Kimia, Biologi, Sains Komputer dan Reka Bentuk dan Teknologi. STEM dalam konteks
pembelajaran dan pemudahcaraan merangkumi tiga aspek utama iaitu bidang pembelajaran (di
sekolah dan di peringkat tertiari), pakej mata pelajaran (berdasarkan kombinasi mata pelajaran
pengkhususan STEM) dan pendekatan pengajaran (pengaplikasian pengetahuan, kemahiran dan
nilai untuk menyelesaikan masalah). Kertas konsep ini akan menjurus terhadap kekangan yang
wujud ke arah pengaplikasian pendidikan STEM dalam kurikulum di Malaysia, berasaskan
kajian-kajian lepas dan lawatan. Kekangan-kekangan ini termasuklah kekurangan dedahan dalam
bidang kejuruteraan kepada guru Sains dan Matematik, kandungan pengajaran yang bersifat
implisit (tersirat) dan kesesuaian pengintegrasian pendidikan STEM berdasarkan topik-topik
dalam sukatan pembelajaran. Beberapa inisiatif yang dicadangkan untuk mengatasi cabaran ini
ialah penganjuran latihan professional untuk guru-guru mata pelajaran STEM, pemilihan Guru
Cemerlang sebagai ‘Ikon STEM’ di sekolah serta pemantapan elemen kejuruteraan dalam proses
pembelajaran dan pemudahcaraan.

Kata kunci: {Pendidikan STEM; Sains; Teknologi; Kejuruteraan; Matematik; Kurikulum}


PENGENALAN

Pendidikan STEM ialah pendidikan yang bertunjangkan pengintegrasian empat bidang iaitu
Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik. Dalam konteks negara Malaysia, Pendidikan
STEM ini merupakan salah satu agenda yang ditekankan dalam pelaksanaan Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Kementerian Pendidikan Malaysia
(KPM) sedang berusaha untuk meningkatkan sumber tenaga yang mahir serta pakar dalam
bidang penyelidikan dan industri, maka, salah satu inisiatif yang dilakukan ialah pengukuhan
Pendidikan STEM di negara kita. Beberapa dasar yang dilihat menyokong hasrat murni ini
ialah Dasar 60% Sains : 40% Sastera (Dasar 60:40), Wawasan 2020, PPPM 2013-2025 serta
Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN), selain pengoperasian Pusat STEM
Negara yang bermula sejak Mei 2018.
STEM merupakan akronim untuk ‘Sains’, ‘Teknologi’, ‘Kejuruteraan’ (Engineering) dan
‘Matematik’. Mata pelajaran yang terangkum dalam bidang STEM ini adalah seperti Sains,
Fizik, Matematik, Kimia, Biologi, Asas Sains Komputer (ASK) dan Reka Bentuk dan Teknologi
(RBT). STEM dalam konteks pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) mencakupi tiga aspek
utama iaitu bidang pembelajaran (di sekolah dan di peringkat tertiari), pakej mata pelajaran
(berdasarkan kombinasi mata pelajaran pengkhususan STEM) dan pendekatan PdPc
(pengaplikasian pengetahuan, kemahiran dan nilai untuk menyelesaikan masalah). Pendidikan
literasi STEM diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2014, sejajar dengan keperluan pada era ini
yang membolehkan lonjakan pengetahuan berlaku dengan sangat pantas. Becker & Park (2011)
menyatakan, Pendidikan STEM ialah satu penerokaan yang berlaku dalam proses pengajaran dan
pembelajaran, melibatkan mana-mana dua komponen STEM atau lebih. Satu komponen STEM
juga boleh dipelajari dengan disiplin ilmu yang lain. Pengintegrasian Pendidikan STEM dalam
PdPc kini menjadi tumpuan KPM melalui latihan serta kursus kepada guru-guru dan kolaborasi
bersama universiti-universiti.
PPPM 2013-2025 memberikan penekanan terhadap perapatan jurang antara mata
pelajaran-mata pelajaran yang diajar di sekolah (Amimah Mohamad Ayub 2018). Pendidikan
multidisiplin juga diberikan saranan dalam pelan ini supaya kualiti pendidikan dapat
ditingkatkan, di samping mengatasi cabaran-cabaran yang wujud dalam sistem pendidikan
Malaysia secara keseluruhan. Justeru, Pendidikan STEM ini merupakan salah satu perancangan
untuk menggalakkan pembabitan guru serta pelajar khasnya dalam dua bidang atau lebih,
menerusi proses PdPc, pembelajaran berasaskan projek dan pembelajaran kolaboratif.

TUJUAN KERTAS KONSEP

Sistem pendidikan di Malaysia telah mengalami pelbagai transformasi sejajar dengan perubahan
zaman. Pendidikan Sains kekal menjadi prioriti di negara membangun ini, bersesuaian dengan
kemajuan yang ingin dicapai dalam Wawasan 2020 menuntut kita untuk menggiatkan aktiviti
penyelidikan. Menyedari bahawa elemen Sains yang sebelumnya berdiri secara tunggal perlu
disokong oleh elemen-elemen lain supaya menjadi relevan pada masa ini, Pendidikan STEM kini
semakin mendapat perhatian oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), universiti-
universiti awam dan pihak swasta. Pengintegrasian Pendidikan STEM dalam kurikulum
memerlukan latihan dan penyesuaian secara konsisten, maka, kertas konsep ini bertujuan untuk
mengetahui cabaran-cabaran yang wujud ke arah pengintegrasian tersebut. Umumnya,
masyarakat mengetahui bidang-bidang yang terkandung dalam STEM, namun kurang sedar
tentang maksud pengintegrasian yang bermakna antara bidang tersebut, terutamanya dalam
proses PdPc.
Pendidikan STEM di Malaysia kini berada di fasa Gelombang Kedua (2016-2020).
Kurang setahun dari sekarang, kempen dan kerjasama yang berterusan dengan agensi-agensi
berkaitan perlu dilaksanakan bagi memenuhi tuntutan gelombang ini iaitu memupuk kesedaran
masyarakat tentang STEM. Tidak dinafikan, sekolah merupakan institusi pendidikan yang
menjadi cabaran untuk menyemarakkan pembudayaan Pendidikan STEM. Hal ini demikian
kerana mata pelajaran- mata pelajaran yang dicakupi oleh STEM ini masih diajar secara
berasingan, malah guru-guru juga perlu memberi komitmen terhadap medium pengujian iaitu
peperiksaan. STEM di Malaysia mempunyai matlamat yang jauh terkehadapan iaitu
menyediakan pelajar untuk menghadapi cabaran dan mampu berdaya saing di peringkat global
(KPM 2015). Justeru, adalah wajar untuk mengintegrasikan beberapa mata pelajaran iaitu Sains,
Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik supaya menjadi bidang pendidikan yang lebih relevan
untuk diajar di peringlat sekolah (Sneidman 2013). Pengintegrasian ini akan memupuk
kefahaman, kreativiti dan daya inovasi yang tidak mungkin dicapai dengan mengajar kandungan
dari satu subjek sahaja.

Pendidikan STEM di Malaysia : Satu Sorotan Kronologi

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 telah memberi penekanan


terhadap Pendidikan STEM sebagai satu agenda yang penting dalam transformasi pendidikan
negara. Menerusi PPPM ini, pelaksanaan Pendidikan STEM dirangka dalam tiga fasa (KPM
2015) :
i. Gelombang 1 (2013-2015) : Mengukuhkan kualiti pendidikan STEM dengan peneguhan
kurikulum, penyediaan latihan kepada guru dan penggunaan model pembelajaran multimod.
ii. Gelombang 2 (2016-2020) : Melaksanakan kempen dan kerjasama dengan agensi berkaitan
untuk memupuk minat serta kesedaran masyarakat terhadap STEM.
iii. Gelombang 3 (2021-2025) : Anjakan STEM ke tahap yang cemerlang melalui peningkatan
fleksibiliti operasi.
STEM dalam Konteks Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc)

Pendidikan STEM di Malaysia belum memiliki satu kurikulum rasmi, namun tetap ditekankan
sebagai pendekatan yang penting untuk dilaksanakan dalam PdPc kini. Keperluan untuk
mewujudkan satu kurikulum STEM sememangnya telah dibangkitkan (Bunyamin 2015), namun
ketidaktentuan polisi telah mengalihkan fokus itu supaya kurikulum sedia ada diperbaiki, selain
memastikan pentaksiran bagi mata pelajaran Sains dan Matematik dilakukan dengan telus dan
saksama. Hal ini bertitik tolak daripada prestasi menggerunkan yang dicapai Malaysia dalam
Program for International Student Assessment (PISA) 2012. Berada di tangga ke-52 dengan
capaian nilai skor Sains dan Matematik adalah di bawah nilai purata The Organization for
Economic Cooperation and Development (OECD 2012) telah menimbulkan gesaan untuk
memperbaiki kaedah pengajaran bagi kedua-dua mata pelajaran tersebut.
Pengenalan dokumen PPPM 2013-2025 telah memberi nafas baru terhadap pendidikan
Sains dan Matematik di Malaysia. Kaedah dan pendekatan pengajaran yang dipraktikkan telah
dinilai semula agar kekal relevan dalam satu jangka masa selama 12 tahun seperti yang
direncanakan dalam pelan ini. Kaedah seperti pembelajaran berpusatkan pelajar pada abad ke-21
ini membolehkan pelajar untuk melontarkan idea dan mencari penyelesaian terhadap satu-satu
pemasalahan dengan bantuan oleh peranan guru sebagai pemudah cara. Bersesuaian dengan
kaedah pembelajaran ini, pengintegrasian STEM dalam PdPc rasionalnya dapat melahirkan
pelajar yang berdaya cipta serta mampu menghadapi pemasalahan yang kompleks untuk
dileraikan.

Elemen STEM dalam Kurikulum


Kurikulum yang diguna pakai hari ini iaitu Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KSSR),
Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah
(KSSM) mengandungi tiga elemen STEM iaitu pengetahuan, kemahiran dan nilai.

JADUAL 1. Elemen STEM dalam Kurikulum (adaptasi dan diubahsuai daripada Panduan Pelaksanaan STEM dalam Pengajaran
dan Pembelajaran, Bahagian Pembangunan Kurikulum, KPM)

Elemen STEM Huraian


Merangkumi idea, teori, prinsip dan konsep yang
terkandung dalam semua mata pelajaran STEM.
Pengetahuan Pengetahuan dan perkembangan terkini dalam
Pendidikan STEM disampaikan melalui aktiviti yang
dikendalikan oleh guru di dalam dan di luar bilik
darjah.
Pendidikan STEM mementingkan pendekatan inkuiri
untuk menjana kecekapan dan kemahiran murid
untuk meneroka, membina penyelesaian masalah dan
mereka bentuk. Kemahiran-kemahiran ini dicapai
melalui tugasan dan projek dalam semua mata
Kemahiran pelajaran STEM. Kemahiran STEM juga mencakupi
kemahiran proses sains (Sains), kemahiran proses
matematik (Matematik), kemahiran reka bentuk
(Kejuruteraan ) dan kemahiran pemikiran
komputasional (teknologi).
Nilai STEM merujuk kepada akhlak dan sikap positif
yang diterapkan semasa PdPc seperti berani
mencuba, komited, konsisten, inovatif dan
Nilai sistematik. Pelajar- pelajar sentiasa disarankan untuk
mengamalkan nilai dan etika seperti mematuhi
peraturan keselamata
makmal.
PERBINCANGAN

Keberkesanan pengintegrasian STEM dalam kurikulum disokong oleh beberapa faktor,


antaranya ialah kualiti guru. Chang & Park (2014) melaporkan bahawa kualiti satu-satu proses
pembelajaran sudah tentu mempunyai perkaitan dengan kualiti guru. Guru sebagai pelaksana
polisi pendidikan perlu mendatangkan kepelbagaian dalam kaedah pengajarannya, dalam konteks
kajian ini, guru Sains dan Matematik khasnya perlu memastikan kesepaduan antara bidang dalam
STEM berlaku secara realistik, bukanlah bergantung kepada hafalan teori dan rumus semata-
mata.

 Elemen Kejuruteraan dalam Pendidikan STEM


Telah diungkapkan bahawa pengintegrasian Pendidikan STEM dalam kurikulum memerlukan
satu bidang pendidikan yang terhasil melalui gabungan mata pelajaran Sains, Matematik,
Kejuruteraan dan Teknologi. Sneideman (2013) berpandangan bahawa aspek praktikaliti dan
realiti perlu diberikan penekanan dalam Pendidikan STEM supaya pelajar dapat mempelajari
Sains dan Matematik dengan lebih bermakna.
Elemen ‘Kejuruteraan’ (Engineering) dalam Pendidikan STEM mempunyai kepentingan
yang tersendiri untuk menyokong keberkesanan pengajaran subjek Sains dan Matematik.
Pendidikan STEM tidak berdiri sendiri dengan disiplin ilmu yang terasing antara satu dengan
yang lain, sebaliknya saling melengkapi supaya pelajar memperoleh kefahaman idea atau
konsep, yang kemudiannya direalisasikan melalui aktiviti seperti reka cipta. Elemen kejuruteraan
memberi penekanan kepada pelajar untuk melihat dan berfikir tentang dunia sebenar (Lewis
2006). Lewis (2006) juga telah memberi gambaran dalam penulisannya bahawa kemahiran
berfikir dan penyelesaian masalah yang dalam proses reka bentuk kejuruteraan adalah selari
dengan proses inkuiri saintifik. Sebagai contoh, pelajar yang telah didedahkan dengan konsep
dan definisi tekanan dalam prinsip Paskal, diminta untuk menghasilkan aplikasi prinsip tersebut
seperti membina ‘lif hidraulik mini’. Dalam konteks ini, pelajar telah memperoleh kefahaman
dalam Sains (Fizik), di samping melakukan proses-proses dalam mereka cipta seperti merancang
dan melukis struktur yang akan dibina, memilih bahan yang bersesuaian dan melakukan
pengubahsuaian apabila mendapati struktur tersebut mempunyai kelemahan.
Guru-guru Sains dan Matematik sewajarnya diberikan platform untuk menerima
pendedahan yang konsisten tentang elemen kejuruteraan ini. Gurulah yang menjadi kunci
keberkesanan pengintegrasian Pendidikan STEM dalam PdPc, maka, golongan ini perlu
diberikan latihan untuk meningkatkan daya cipta dan kompentensi. Keperluan untuk
menyediakan pelajar bagi menghadapi peperiksaan merupakan tugas utama guru-guru di sekolah.
Guru-guru Sains dan Matematik mempunyai masa dan bahan yang terhad untuk
mengintegrasikan Pendidikan STEM dalam PdPc secara bermakna, hal ini dinyatakan oleh
Seyidu Eroglu (2016) melalui Titik Rahayu et al. (2018). Mereka memerlukan peruntukan masa
yang lebih untuk menimbulkan rasa ingin tahu pelajar, memastikan kefahaman idea serta konsep
yang betul sebelum melakukan aktiviti berasaskan projek seperti reka cipta. Kekangan ini
bukanlah satu perkara yang janggal kerana kursus-kursus kejuruteraan tidak diperkenalkan di
sekolah secara meluas berbanding di institusi pengajian tinggi, manakala guru pula mempunyai
tanggungjawab yang hakiki untuk menyampaikan kandungan pengajaran mengikut sukatan dan
tempoh masa yang ditetapkan. Dalam konteks ini, guru Sains memerlukan skil dan
pengetahuan untuk membudayakan
pengintegrasian elemen kejuruteraan dan teknologi dalam PdPc (Boettcher et al. 2005). Usaha
melatih guru perlu dilakukan secara berterusan kerana proses tersebut bukanlah sesuatu yang
mudah (Rockland et al. 2010). Latihan ringkas berjadual yang diberi kepada guru-guru subjek
STEM secara konsisten adalah lebih baik berbanding latihan yang mendedahkan banyak
pengetahuan baru tentang STEM dalam satu sesi sahaja.
Penubuhan Pusat STEM Negara yang beroperasi sejak Mei 2018 dilihat sebagai satu inisiatif
yang jitu untuk membantu guru-guru Sains dan Matematik bagi mengintegrasikan konsep reka
bentuk dan teknologi ke dalam kedua-dua subjek tersebut. Lawatan penulis ke Pusat STEM
Negara di Kementerian Pendidikan Malaysia memberikan serba sedikit maklumat tentang usaha-
usaha pemerkasaan pendidikan STEM yang sedang rancak dilakukan oleh agensi tersebut.
Bermula dengan Inquiry-Based Science Education (IBSE) atau Pembelajaran Sains secara
Inkuiri pada tahun 2018, guru-guru dari seluruh Malaysia telah menjalani kursus dan latihan
berkaitan aktiviti- aktiviti STEM yang sesuai dilaksanakan di sekolah. Usaha ini diteruskan
dengan Inquiry-Based Mathematics Education (IBME) pada tahun 2019.

 Kandungan Pengajaran Yang Bersifat Implisit


Pendekatan STEM dalam kurikulum tidak berlaku secara holistik apabila kandungan pengajaran
disusun secara implisit (tersirat). Bunyamin dan Finley (2016) menyatakan bahawa topik-topik
dalam mata pelajaran Fizik Tingkatan Empat berdiri dengan sendiri tanpa hubung kait antara satu
konsep dengan konsep yang lain. Pengaplikasian satu konsep yang konkrit memerlukan kaedah
yang lebih eksplisit (tersurat). Hal ini bagi membolehkan pelajar untuk menjalankan aktiviti
berasaskan projek yang memerlukan gabungan pelbagai domain dalam STEM. Kurikulum Sains
di Malaysia perlu disusun dengan memperlihatkan perhubungan antara idea, teori dan konsep
yang pelbagai. Miliken dan Adams (2010) berpandangan bahawa literasi STEM merujuk
terhadap kebolehan pelajar untuk mengenal pasti, mengaplikasi dan mengintegrasikan komponen
dalam domain Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi ke arah mencapai kefahaman
tentang sesuatu masalah dan berdaya cipta untuk menyelesaikannya. Hal ini sejajar dengan
penekanan oleh sistem pendidikan negara terhadap keperluan abad ke-21 yang menuntut pelajar
untuk berkemahiran secara teoretikal dan praktikal. Siew, Amir dan Chong (2015) dalam laporan
mereka telah menyatakan keperluan untuk melakukan perubahan terhadap kurikulum Sains dan
Matematik di negara ini supaya lebih berpaksikan STEM.
Kurikulum Sains dan Matematik perlu diperhalusi semula untuk melihat apakah
sebenarnya ada unsur-unsur STEM di dalamnya, ataupun hanya menekankan idea dan rumus
untuk dihafal serta difahami bagi tujuan menjawab soalan peperiksaan. Sesungguhnya,
Pendidikan STEM ini bermatlamatkan penjanaan modal insan yang bukan sahaja berintelektual,
tetapi dapat menyumbang kepada negara dari segi tenaga kerja dan kepakaran. Kurikulum sedia
ada akan terus menjadi rujukan bagi guru-guru Sains dan Matematik, namun perlu ditambah baik
dengan memasukkan elemen Reka Bentuk Kejuruteraan supaya pendekatan Pendidikan STEM
dapat dijalankan dengan berkesan. Selain itu, kurikulum Sains dan Matematik juga perlu
memberi penekanan terhadap Penyiasatan Saintifik, Penaakulan dan Pemikiran Matematik serta
Kemahiran Abad ke-21 (Bryan et al. 2016). Kurikulum yang berpaksikan STEM perlu
diperkenalkan di peringkat prasekolah lagi untuk memupuk kesedaran awal terhadapnya. Mazlini
et al. (2016) telah membuktikan bahawa modul STEM yang diguna pakai dalam kurikulum
PERMATA Negara
berjaya meningkatkan kebolehan inkuiri, penerokaan dan minat kanak-kanak terhadap
pembelajaran yang berintegrasikan STEM. Aktiviti dan sasaran kebolehlaksanaan Pendidikan
STEM juga haruslah bersesuaian dengan tahap pelajar yang berbeza usia dan kematangan.

CADANGAN
Usaha pengintegrasian Pendidikan STEM dalam kurikulum di Malaysia bukanlah sesuatu yang
mudah, namun bukanlah mustahil. Inisiatif-inisiatif yang produktif perlu dilaksanakan untuk
membantu guru-guru khasnya, ke arah pemerkasaan pendekatan ini. Guru-guru perlu didedahkan
dengan pelbagai aktiviti ‘hands-on’ yang sesuai dilaksanakan dalam satu tempoh masa PdPc
yang rigid supaya pengisian aktiviti tersebut menjadi ringkas tetapi padat. Usaha melatih guru ini
perlulah dilaksanakan secara berterusan supaya Pendidikan STEM akan menjadi pendekatan
yang relevan dalam PdPc bukan sahaja pada masa ini, tetapi memberikan kesan positif dalam
jangka masa yang panjang. Di samping itu, latihan dan kursus profesional yang dilaksanakan
perlu memastikan penyertaan serta keterlibatan yang saksama antara guru-guru yang berbeza
pengalaman mengajar dan lokasi sekolah. Tambahan pula, agenda ini telah menghampiri
penghujung gelombang kedua, maka kesedaran terhadap STEM perlu diperkasa secara holistik.
Guru Cemerlang bagi mata pelajaran STEM seperti Sains dan Matematik boleh diangkat
sebagai ‘Ikon STEM’ di sekolah. Saidin (2016) menyatakan bahawa Guru Cemerlang berperanan
untuk berkongsi pengetahuan dan kepakaran dengan guru-guru lain. Bersesuaian dengan
pengiktirafan yang dimiliki oleh golongan ini, Guru Cemerlang perlu diberikan peluang untuk
menzahirkan pandangan tentang STEM dan berkongsi kaedah serta teknik yang dipraktikkan
dalam PdPc. Menghampiri fasa Gelombang Ketiga pelaksanaannya, Pendidikan STEM di
Malaysia boleh dilaksanakan meskipun tiada penggubalan satu kurikulum rasmi yang baru,
namun memerlukan penambahbaikan seperti penyediaan modul integrasi STEM bagi setiap topik
dalam subjek-subjek yang terlibat. Modul ini perlulah merangkumi konsep-konsep Sains dan
Matematik yang dihubungkan dengan aplikasi kejuruteraan dan teknologi. Pelajar-pelajar juga
perlu diberikan platform untuk mencuba dan menzahirkan idea dengan menghasilkan model
prototaip berasaskan kefahaman dalam mata pelajaran-mata pelajaran STEM yang dipelajari di
sekolah. Hal ini demikian memberikan peluang kepada mereka untuk mengaplikasikan
pengetahuan dalam dua atau lebih domain STEM, yang seterusnya membawa kepada
pengintegrasian bidang yang berbeza tetapi kewujudan perkaitan antara bidang-bidang tersebut
boleh difahami secara teroretikal dan dipersembahkan secara praktikal.
KESIMPULAN
Pendidikan STEM merupakan satu pendekatan yang semakin mendapat perhatian oleh pihak
KPM untuk diintegrasikan dalam proses pengajaran dan pemudahcaraan. Agenda ini telah
diberikan penekanan dalam dokumen Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-
2025 dan pelaksanannya disusun dalam tiga fasa iaitu Gelombang 1, Gelombang 2 dan
Gelombang 3. Kini, agenda ini berada dalam fasa kedua dan kita mempunyai kurang dua tahun
sebelum fasa yang terakhir bermula. Tidak dinafikan bahawa terdapat beberapa kekangan untuk
mengintegrasikan Pendidikan STEM dalam kurikulum di Malaysia, antaranya ialah kurangnya
dedahan kepada guru- guru Sains dan Matematik terhadap elemen kejuruteraan serta reka bentuk.
Latihan professional yang berterusan perlu disediakan kepada guru-guru ini supaya dapat
melaksanakan satu PdPc STEM yang berkesan. Inisiatif ini turut dibantu oleh Pusat STEM
Negara yang beroperasi sejak
2018. Dalam pada itu, kurikulum Sains dan Matematik di Malaysia juga perlu diperhalusi
kembali supaya unsur STEM yang sebenar dipastikan terdapat dalam sukatan pembelajaran.
Pengintegrasian STEM dalam PdPc perlu berlaku secara realistik, maka, kurikulum sedia ada
mestilah memberikan penekanan terhadap unsur-unsur penting yang menyokong
kebolehlaksanaan Pendidikan STEM selain konsep Sains dan Matematik, iaitu Reka Bentuk
Kejuruteraan dan Kemahiran Abad ke-21.

RUJUKAN

Adnan, M., Ayob, A., Ong, E. T., Ibrahim, M. N., Ishak, N., & Shariff, J. (2016). Memperkasa
Pembangunan Modal Insan Malaysia di Peringkat Kanak-kanak : Kajian Kebolehlaksanaan dan
Kebolehintegrasian Pendidikan STEM dalam Kurikulum PERMATA Negara. Geografia Online
Malaysian Journal of Society and Space. 12(1), 29-36.

Ayub, A. M. (2018). Kesedaran Terhad Mengenai Pendidikan STEM Di Malaysia. Prosiding


Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam 2018. 7-8 November
2018. eISBN 978-967-2231-03-5 (2018).

Becker, K. & Park, K. (2011). Effects of integrative approaches among science, technology,
engineering and mathematics (STEM) subjects on students’ learning: A preliminary
meta- analysis. Journal of STEM Education. 12(5&6), 23-37.

Boettcher, B., Carlson, B., Cyr, M., & Shambhang, S. (2005). Engneering implementation in
grades 6-12: Evaluation of the effectiveness of a workshop model. Proceedings of the 35 th
ASEE/IEEE Frontiers in Education Conference, Portland.

Bryan, L. A., Moore, T. J., Johnson, C. C., & Roehrig, G. H. (2016). Integrated STEM
education. In C. C. Johnson, E. E. Peters-Burton, & T. J. Moore (Eds). STEM road
map: A framework for integrated STEM education (pp. 23-37). NY: Routledge
Taylor & Francis Group.

Bunyamin, M. A. H., & Finley, F. (2016). STEM Education in Malaysia: Reviewing the
Current Physics Curriculum. Kertas kerja yang telah diterima untuk pembentangan
dalam International Conference of Association for Science Teacher Education
(ASTE), 7-9 Januari, Nevada, Amerika Syarikat.

Bunyamin, M. A. H. (2015). Pendidikan STEM Bersepadu: Perspektif Global, Perkembangan


Semasa di Malaysia, dan Langkah Ke Hadapan. Buletin Persatuan Pendidikan Sains
dan Matematik Johor, 25(1) : 1-6.
Chang, Y., Park, S. W. (2014). Exploring Students’ Perspectives of College STEM : An Analysis
of Course Rating Websites. International Journal of Teaching and Leraning in Higher
Education. 26(1), 90-101.

Lewis, T. (2006). Design and inquiry : Bases for an accommodation between science and
technology education in the curriculum? Journal of Research in Science Teaching. 43(3),
255-281.
Milliken, D. & Adams, J. (2010). Recommendations for Science, Technology, Engineering and
Mathematics Education. Diakses pada 12 Januari, 2019 dari
http://www.k12.wa.us/LegisGov/2010documents/STEMWorkgroupReport2010.pdf

OECD. (2012). Program for International Student Assessment results (PISA) from PISA
2012: Country note-United States. Diakses pada 20 Oktober, 2018 dari
http://www.oecd.org/pisa/keyfindings/PISA-2012-results-US.pdf

Panduan Pelaksanaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam Pengajaran
dan Pembelajaran. (2016). Bahagian Pembangunan Kurikulum., Kementerian Pendidikan
Malaysia (KPM.)

Rahayu, T., Syafril, S., Othman, K. B., Halim, L., & Erlina, N. (2018). Kualiti Guru, Isu Dan
Cabaran Dalam Pembelajaran STEM. Diakses pada 12 Januari 2019 dari
https://doi.org/10.31219/osf.io/jqcu6

Rockland, R., Bloom, D. S., Carpinelli, J., Burr-Alexander, L., Hirsch, L. S., & Kimmel, H.
(2010). Advancing the ‘E” in K-12 STEM Education. Journal of Technology Studies.
36(1), 53- 64.

Saidin, K., Dali, M., H. & Ambotang, A.,S. (2016). Peranan Guru Cemerlang Malaysia di Sekolah.
Jurnal Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Malaysia Sabah. 24, 161-177.

Siew, N. M., Amir, N., & Chong, C. L. (2015). The perceptions of pre-service and in-
service teachers regarding a project-based STEM approach to teaching science.
SpringerPlus. 4(1),1–20.

Sneideman, J. M. (2013). Engaging Children in STEM Education EARLY!. Diakses pada 20


Oktober 2018 dari http:// naturalstart.org/feature-stories/engaging-children-stem-
education-early

View publication stats

You might also like