You are on page 1of 6

Agama Sikh merupakan sebuah agama yang termuda berbanding agama-agama lain dan

muncul sekitar 500 tahun yang lalu di India. Merupakan sebuah agama yang diasaskan
mengikut ajaran Guru Nanak dan sembilan orang pengikutnya yang turut digelar sebagai
Guru di Punjab. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat perkataan Sikh merujuk kepada
orang ataupun golongan yang menganut agama Sikhisme. Perkataan Sikh berasal dari
bahasa Sanskrit iaitu Shishya yang bermaksud pelajar. Pada masa kini jumlah penganut
agama Sikh melebihi 23 juta orang di seluruh dunia dengan kadar 0.32 peratus penduduk
dunia.

Selain itu, antara definisi ‘Sikh’ yang diterima pakai oleh orang Sikh pada hari ini
ialah definisi yang ditetapkan oleh Shiromani Gurdwara Parbandhak Committee (SGPC)
iaitu “Orang Sikh ialah wanita atau lelaki yang mempercayai Tuhan yang satu, 10 orang
Guru Sikh iaitu dari Guru Nanak hingga Guru Gobind Singh, percaya kepada Guru Granth
Sahib, menjalani amrit dan tidak menerima agama-agama lain”.

SGPC merupakan sebuah badan yang bertanggungjawab untuk mengatasi masalah


yang melibatkan penganut Sikh di seluruh dunia. Pada 16 November 2003, Institute of Sikh
Studies (IOSS) dalam seminar tahunannya telah meluluskan resolusi supaya SGPC
mengambil inisiatif untuk mewujudkan sebuah badan tertinggi yang mewakili semua
organisasi Sikh dari seluruh dunia.

Ini bertujuan untuk menjaga kepentingan dan menyelesaikan krisis-krisis yang


dihadapi oleh penganut Sikh di seluruh dunia, antaranya ialah perpecahan, masalah identiti
dan peristiwa orang Sikh yang keluar dari agama Sikh dan memeluk agama lain. SGPC ini
bertanggungjawab menguruskan gurdwara, keselamatan, kewangan, kemudahan
penyelenggaraan serta menjaga artifak suci Sikh seperti senjata, pakaian, buku-buku dan
tulisan-tulisan Guru Sikh.

2.0 SEJARAH KELAHIRAN DAN PERKEMBANGAN AGAMA SIKH

2.1 SEJARAH KELAHIRAN AGAMA SIKH

Dari segi sejarah, agama Sikh diinspirasikan oleh dua orang tokoh reformis agama
Hindu iaitu Ramanand (1400-1470 Masihi ) dan Kabir ( 1440-1518 Masihi ). Ramanand
merupakan seorang penganut agama Hindu dan juga seorang penyair yang dilahirkan
dalam keluarga Brahmin. Beliau juga dikenali dengan nama Jagadguru Ramanandacharya.
Namun disebabkan beliau tidak bersetuju dengan sistem kasta yang terlalu ditekankan oleh
golongan Brahmin, beliau telah mengasaskan satu aliran dalam agama Hindu yang dikenali
sebagai Gerakan Hindu Bhakti. Diantara kandungan ajarannya ialah beliau sangat mencela
penyembahan berhala.

Kebanyakkan syair yang dikarang beliau mengajar bahawa tuhan itu esa, kebenaran
merupakan sahabat yang paling rapat kepada manusia dan hidup bersederhana itu
merupakan jalan terbaik untuk mencapai Nirwana. Keadaan ini memberitahu kita bahwa
ajaran yang dibawa oleh Ramanand masih terikat dengan ajaran Hindu yang mana
berpegang bahawa Nirwana merupakan balasan terhadap perbuatan baik.

Selain itu, Ramanand juga masih mempercayai hukum Karma dan Reinkarnasi.
Hukum Karma bermaksud balasan terhadap perbuatan yang dilakukan oleh manusia
sepanjang hidupnya. Manakala Reinkarnasi pula merupakan penjelmaan kembali makhluk
yang telah mati untuk menerima balasan diatas kejahatan yang dilakukannnya.

Manakal Kabir pula merupakan seorang lelaki miskin daripada kasta paling rendah
agama Hindu. Ayah kabir meninggal dunia sewaktu Kabir masih kecil lagi dan beliau
dibesarkan oleh ibunya sehingga berumur setahun. Disebabkan kesempitan hidup, ibu Kabir
telah mengambil keputusan untuk menghanyutkannya ke sungai Gangga di daerah
Banares. Beliau bernasib baik kerana telah dijumpai oleh sepasang suami isteri yang
bernama Niru dan Nima yang beragama Islam.

Apabila meningkat dewasa Kabir telah dihantar oleh kedua ibu bapa angkatnya
untuk mempelajari ilmu di Varanasari. Pada usia 16tahun, beliau telah mempelajari
ajaran-ajaran yang terdapat di dalam agama Islam dan Hindu. Di samping itu Kabir juga
sangat meminati syair-syair yang dihasilkan Ramanand.

Walaupun Kabir mempunyai ilmu pengetahuan tentang ajaran-ajaran di dalam


agama Islam dan Hindu namun masih tidak berpuas hati terhadap keduanya malah lebih
tertarik kepada karya-karya Ramanand. Beliau akhirnya telah membentuk ajarannya sendiri
yang dikenali sebagai Kabir Panthis yang bermaksud pengikut jalan Kabir. Beliau juga telah
menulis ajarannya yang digubah dalam bentuk syair dan mendakwa semua agama
mempunyai kebenaran dan hanya ada satu tuhan sahaja. Akhirnya idea yang dicetuskan
Kabir ini telah dikembangkan oleh Guru Nanak yang menjadi pengasas kepada agama Sikh.

Pada asasnya, Guru Nanak telah menentang segala jenis ritual dan beliau tidak
bertujuan untuk membentuk ajaran baru. Ajaran beliau adalah lebih berbentuk kepada
peraturan kemasyarakatan yang mana masyarakat ketika itu mengalami kekeliruan diantara
kepercayaan tradisi dari agama Hindu dan ajaran tauhid dari penyebaran agama Islam.

Percubaan menyebarkan Islam ke India telah dimulakan sejak zaman Khulafa


al-Rasyidin lagi. Usaha murni ini telah diteruskan di bawah pemerintahan kerajaan Umaiyah
terutamnya pada pemerintahan khalifah al-Walid bin Abd al-Malik. Sekitar tahun 711-712
Masihi, melalui ekspedisi yang dipimpin oleh panglima Muhammad bin al-Qasim yang telah
mengetuai angkatan tentera menuju ke India dan memulakan perkembangan peradaban
Islam di India.

2.2 PENGASAS AGAMA SIKH

Pada abab ke 15, telah berlakunya Gerakan Bakhti yang diasaskan oleh Ramanand
di India. Gerakan ini bertujuan untuk mengkritik amalan-amalan yang melibatkan tatacara
dalam upacara keagamaan dan tahyul pada zaman tersebut. Para pendokong gerakan ini
menegaskan bahawa tujuan dari Hinduisme dan Islam adalah sama. Segala perbezaan
diantara keduanya tidak boleh dijadikan alasan untuk mencetuskan kebencian dan
permusuhan dalam agama. Pada zaman ini jugalah Guru Nanak dilahirkan.

Guru Nanak di lahirkan pada 15 April 1469 di sebuah perkampungan bernama


Talwandi yang kini diberi nama ‘Nankana Sahib’ berdekatan Lahore, Pakistan dan
meninggal dunia pada 22 September 1539. Ayahnya bernama Mehta Kalu manakala ibunya
bernama Tripta. Beliau berketurunan bangsawan beragama Hindu. Beliau juga amat tertarik
dengan ajaran yang dibawa oleh Ramanand dan Kabir Panthis. Pada tahun 1488, beliau
telah berkahwin dengan Sulakhani pada usianya 19 tahun dan dikurniakan dua orang
putera. Keadaan hubungan diantara agama Hindu dan Islam pada waktu tersebut
diselubungi pelbagai permasalahan dan persengketaan.

Dikatakan Guru Nanak gemar pergi ke dalam hutan untuk memikirkan masalah yang
menimpa masyarakatnya. Pada usia tiga puluh tahun, Guru Nanak telah menemui sesuatu
yang baru di dalam hidupnya sekembalinya dari hutan yang selalu dikunjunginya itu, beliau
memberitahu isterinya bahawa beliau telah menjadi Guru. Apabila ditanya oleh isterinya
apakah yang dimaksudkan dengan Guru itu, beliau memberitahu bahawa Guru adalah
orang yang ditugaskan untuk mengajar suatu kepercayaan. Apabila ditanya lagi oleh
isterinya apakah kepercayaan itu, Guru Nanak memberitahu bahawa “tiada agama Hindu,
dan tiada agama Islam, tuhan bukanlah Hindu dan bukan Islam, jalan yang aku ikuti ialah
jalan tuhan”. Semenjak itu Guru Nanak telah mengembara ke seluruh India untuk
mengembangkan ajaran baru yang dibawanya.

Sebelum Guru Nanak meninggal dunia, beliau telah memilih salah seorang dari anak
muridnya iaitu, Lehna, untuk dilantik sebagai penggantinya menjadi Guru agama Sikh. Guru
Nanak kemudian menukar nama Lehna kepada Angad. Terdapat sembilan Guru dalam
agama Sikh selepas Guru Nanak yang mana diakhiri oleh Guru Granth Sahib.

2.3 SEJARAH PERKEMBANGAN AGAMA SIKH

Guru Angad telah dilantik menjadi guru pada tahun 1539. Beliau telah dilahirkan
pada tahun 1504 dan meninggal dunia pada tahun 1552. Diantara sumbangan beliau ialah
telah menyusun syair-syair yang mengandungi ajaran Guru Nanak dan membukukannya di
dalam kitab Nanak Janam Sakhi dan telah memperkenalkan sistem tulisan yang dikenali
sebagai Gurumurthi. Pada zaman Guru Angab juga diperkenalkan gelaran Panthi terhadap
komuniti atau golongan Sikh. Selain itu, diantara pembaharuan lain yang diperkenalkan oleh
beliau ialah dengan memperakui bahawa Guru Nanak sebenarnya merupakan penjelmaan
tuhan di muka bumi ini. Pembaharuan ini menyebabkan beliau menitikberatkan ajaran
berkonsepkan Monisme.

Menurut konsep ini tuhan adalah satu, tidak dua dan tiga. Bagi mendekatkan diri
kepada tuhan setiap penganut agama Sikh mestilah menyebut nama tuhan setiap hari
terutamanya dalam upacara keagamaan mereka. Ajaran ini juga menafikan penyembahan
kepada sesuatu objek kerana yang mesti disembah oleh seluruh manusia adalah tuhan
yang satu. Dari agama Islam mereka telah mengambil ajaran Monoteisme iaitu ajaran yang
mengakui satu tuhan sahaja. Manakala dari agama Hindu pula mereka telah mengambil
konsep Panteisme dan Monisme yang mana mengangap bahawa tuhan juga wujud dalam
alam semulajadi.

Oleh itu dapat difahami bahawa tuhan dalam agama Sikh juga wujud dalam semua
bentuk termasuklah manusia. Nama tuhan ialah Nam. Nam mempunyai banyak sifat. Tuhan
bagi penganut agama Sikh terdiri dari dua aspek iaitu tuhan Nirguna dan tuhan Sirguna.
Akan tetapi tuhan yang disembah oleh penganut Sikh cumalah tuhan Nirguna. Sifat tuhan
Nirguna adalah menyamai sifat tuhan di dalam agama Islam. Manakala tuhan Sirguna pula
menyerupai tuhan yang disembah di dalam agama Hindu.

Selain Guru Angad terdapat lagi lapan orang guru lagi yang mana masing-masing
memainkan peranan penting dalam melakukan perkembangan di dalam agama Sikh.
Diantara mereka ialah Sri Guru Amar Das (1479-1574), Sri Guru RamDas, (1534-1581), Sri
Guru Arjun (1563-1606), Sri Guru Hargobind Sahib (1595-1644), Sri Guru Har Rai
(1630-1661), Sri Guru Krishna (1656-1664), dan Sri Guru Teg Bahadur (1621-1675).
Manakala guru yang terakhir pula bernama Guru Gobind Singh (1666-1708).

Beliau merupakan anak kepada Guru Teg Bahadur yang mana dilantik menjadi guru
pada tahun 1675. Beliaulah merupakan orang yang bertanggunjawap dalam melengkapkan
dan menyempurnakan agama Sikh. Diantara pembaharuan yang dilakukan oleh beliau ialah
telah memperkenalkan konsep Khalsa pada tahun 1699. Khalsa merupakan satu upacara
yang perlu dilakukan oleh seseorang untuk menjadi penganut agama Sikh sama ada lelaki
atau perempuan melalui upacara Amrit Sanskar iaitu upacara pembaptisan. Upacara ini
dilakukan oleh lima Sikh yang soleh dan sempurna yang digelar Panji Piare (Five Beloved
Ones). Sebelum dibaptiskan, individu tersebut mestilah mandi terlebih dahulu serta wajid
memakai simbol Kakkars.

Selain itu, Guru Gobind Singh juga telah memperkenalkan pemakaian sejenis kain
pembalut kepala atau kain serban bagi penganut agama Sikh yang lelaki dan meletakkan
tambahan pada akhir nama penganut Sikh iaitu Singh yang bermaksud singga. Beliau juga
telah membukukan sebuah kitab yang bernama Dasam Granth hasil dari susunan teks-teks
baru. Isi kandungan kitab tersebut adalah berbentuk syair-syair karyawan yang diambil dari
kaum lain seperti Persia dan Islam. Seterusnya beliau telah menyusun dan menggabungkan
kitab Dasam Granth dan kitab Adi Granth dalam sebuah kitab yang dinamai kitab Guru
Granth Sahib yang mana kini menjadi kitab suci bagi agama Sikh dan sebagai pengganti
kepada beliau.

Guru Gobind Sing turut melibatkan kaum Sikh di dalam peperangan menentang
orang Islam demi mencapai cita-cita mereka iaitu menubuhkan sebuah negara mereka
sendiri. Setelah beliau meninggal dunia pada tahun 1708, ia meninggalkan kaum Sikh di
bawah pimpinan seorang jeneralnya yang bernama Gurbakhash Sing Bhai memimpin kaum
Sikh dalam perjuangan mereka. Pemerintah pada waktu itu kemudiannya memutuskan
untuk mengharamkan agama Sikh yang akhirnya memaksa para penganut agama Sikh
melarikan diri ke kawasan pergunungan dan hutan.
Dalam tahun 1757 orang-orang Sikh telah menguasai Lohore, ibukota pemerintahan
kerajaan Mogul di Punjab dan telah mengusir orang-orang Mogul dari Punjab. Pada tahun
1765, agama Sikh diistiharkan sebagai agama yang paling kuat pengaruhnya di Punjab.
Namun kegemilangan ini tidak bertahan lama, kerajaan Sikh terpaksa pula berhadapan
dengan Inggeris yang mana telah berjaya menawan sebahagian besar India ketika itu.
Dalam permusuhan ini telah terjadi dua peperangan besar diantara tentera Sikh dan
Inggeris yang mana dikenali sebagai perang Sikh. Akhirnya kerajaan Sikh telah mengalami
kekalahan dan menjadi sebahagian jajahan Inggeris di India.

3.0 KOMUNITI SIKH HARI INI

Semenjak orang Sikh berhijrah dari Punjab lebih dari satu abad dahulu ke
negara-negara luar, mereka telah membentuk komuniti Sikh yang bersifat global. Walaupun
suasananya berbeza dengan penempatan asal mereka, namun orang Sikh masih
mengekalkan agama, budaya dan bahasa sebagai identiti mereka yang tersendiri. Dalam
masyarakat Malaysia, komuniti Sikh masih lagi dikategorikan sebagai etnik minoriti
berbanding dengan etnik-etnik lain. Walaupun mereka berasal dari Punjab India, komuniti
Sikh adalah berbeza dengan komuniti Tamil yang juga berasal dari benua India. Kedatangan
mereka ke Malaysia dengan membawa sejarah, budaya, agama dan bahasa yang tersendiri
ini merupakan elemen-elemen yang penting dalam pembentukan masyarakat berbilang
kaum dan agama.

Walaupun komuniti Sikh adalah komuniti minoriti, namun ia tidak menghalang


mereka dari hidup berdampingan dengan tiga bangsa majoriti iaitu Melayu, Cina dan India
serta komuniti minoriti yang lain dalam suasana harmoni. Dalam masa yang sama, mereka
juga menyumbang ke arah kesejahteraan sosio-ekonomi negara ini. Di peringkat global
pula, perbincangan mengenai identiti Sikh juga mendapat perhatian setelah berlakunya
peristiwa 11 september 2001 yang menyebabkan orang Sikh menjadi mangsa ‘mistaken
identity’ di Amerika Syarikat yang turut melibatkan orang Sikh di seluruh dunia.

4.0 KESIMPULAN

Agama merupakan satu keperluan dalam kehidupan setiap manusia. Mereka yang
mencuba untuk mengasingkan agama dari kehidupan seharian adalah individu-individu yang
mengalami kekeliruan yang amat jelas. Tanpa agama kejahatan akan berleluasa. Sejarah
dan perkembangan agama Sikh bermula dengan munculnya ajaran-ajaran yang dibawa oleh
dua orang tokoh reformis Hindu iaitu Ramanand dan Kabir yang mana menjadi inspirasi
kepada Guru Nanak untuk membentuk satu ajaran baru dan menyebarkannya sehingga
terbentuklah agama Sikh.

Manakala tokoh yang memainkan peranan utama di dalam agama Sikh ialah guru
yang kesepuluh iaitu guru Gobind Singh. Beliau telah memperkenalkan beberapa konsep
baru di dalam agama Sikh yang mana masih diamalkan oleh penganutnya sehingga
sekarang. Keunikan agama ini dapat dilihat terutamanya apabila mereka melakukan amalan
dan ritual dalam upacara Amrit Sanskar dan rukun agamanya iaitu 5K atau juga dikenali
sebagai Kakkars. Menjadi lumrah dalam sesuatu agama ianya akan menghadapi pelbagai
cabaran dan dugaan serta halangan dari luar bahkan dari dalam agama itu sendiri. Untuk
mengatasi masalah sebegini perlulah dilakukan suatu usaha untuk mengekalkan ajaran
yang dibawa oleh guru-guru mereka dari diselewengkan yang mana implikasinya akan
menyebabkan ramai penganut agama Sikh akan mula hilang kepercayaan dan ketaatan
terhadap agama mereka.

You might also like