You are on page 1of 3

Ulasan Berdasarkan Video Cikgu Saari 1

Berdasarkan petikan video Cikgu Saari 1, saya dapat mengulaskan dua perkara positif
dan negatif yang ditunjukkan Cikgu Saari. Melalui penilaian positif, Cikgu Saari mempunyai
tulisan yang cantik dan jelas. Tulisannya yang cantik dan jelas mampu menarik minat murid
untuk membaca serta memberi tumpuan walaupun kedudukan murid yang jauh daripada
papan hitam. Dari segi etika pakaian, Cikgu Saari memakai pakaian yang kemas dan
mengikut etika perguruan iaitu beliau memakai tali leher, berkemeja dan berseluar slack
berwarna gelap. Walaubagaimanapun, terdapat satu kelemahan pemakaian sebagai seorang
guru yang profesional iaitu Cikgu Saari tidak memakai tanda nama pada kemeja beliau.
Penggunaan tanda nama pada pakaian merupakan satu identiti utama yang sepatutnya
ditonjolkan serta memudahkan lagi murid untuk mengenali beliau di sekolah. Selain itu juga,
Cikgu Saari sempat memberikan tugasan kepada murid-murid sebelum beliau mengambil
kesempatan untuk tidur di dalam kelas. Pada masa kini, terdapat segelintir guru yang bukan
sahaja tidur di dalam kelas malah ada yang tidak masuk ke kelas untuk menjalankan
tanggungjawab sebagai tenaga pengajar. Isu ini boleh menyebabkan pelbagai permasalah
yang timbul terhadap murid-murid bukan sahaja kawalan kelas yang tidak teratur malah isi
pembelajaran murid-murid juga terjejas sekaligus mereka tertinggal ke belakang jika
dibandingkan dengan kelas yang lain. Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang
dilaksanakan oleh Cikgu Saari dilihat kurang menarik kerana penggunaan kaedah tradisional,
chalk and talk hanya menggunakan komunikasi satu hala di mana satu pihak sahaja yang
bercakap manakala guru tidak memberikan sebarang respon terhadap bacaan muridnya.
Terdapat beberapa cadangan yang dapat memperbaiki amalan profesion perguruan
yang ditunjukkan oleh Cikgu Saari. Pertamanya, sebagai seorang guru yang profesional
Cikgu Saari hendaklah bersemangat dan fokus terhadap pengajaran yang ingin disampaikan.
Guru perlu bersedia dalam memulakan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas kerana
keberkesanan penerimaan murid terhadap segala isi pembelajaran yang ingin disampaikan
bermula daripada kesediaan guru itu sendiri. Sebagai seorang guru juga, kita hendaklah
mengurus atau mengatur waktu bekerja dan rehat supaya waktu yang digunakan untuk
mengajar tidak terganggu dengan masalah keletihan dan mengantuk semasa sesi PdP
dijalankan. Reaksi muka yang ceria juga memainkan peranan penting sewaktu ingin
memulakan sesi pengajaran di dalam kelas. Reaksi muka yang mengantuk seperti menguap
akan menggambarkan tahap kesediaan guru dalam penerimaan untuk memulakan pengajaran
di dalam kelas, kesannya murid akan berasa bosan dan tidak bersemangat untuk menjalankan
aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Seterusnya, sebagai seorang guru yang
kreatif hendaklah melaksanakan pengajaran dan pembelajaran yang pelbagai supaya dapat
menarik minat murid untuk belajar. Sebagai contoh, penggunaan ICT atau aktiviti permainan
merupakan salah satu medium pembelajaran yang menarik dan kreatif dalam mencapai
keberkesanan penerimaan isi pembelajaran yang disampaikan oleh guru.
Ulasan video 2
Melalui pemerhatian saya video kedua Cikgu Saari ini, sikap hormat-menghormati
yang ditunjukkan oleh guru besar dan Cikgu Saari amat baik. Guru besar memainkan
peranannya sebagai ketua sekolah dalam memberi nasihat dan teguran dengan cara yang baik
terhadap Cikgu Saari dengan menggunakan bahasa dan intonasi yang lembut dan sopan.
Cikgu Saari juga menunjukkan sikap hormat kepada guru besar walaupun beliau ditegur atas
kesalahannya sendiri, jika dibandingkan guru masa kini terdapat segelintir guru yang tidak
akur dengan kesalahannya dan menunjukkan sikap memberontak terhadap pentadbir sekolah.
Sikap profesional guru besar tersebut dilihat sangat baik kerana beliau mengadakan sesi temu
bual secara peribadi yang hanya dihadiri oleh Cikgu Saari itu sendiri. Jika dilihat guru masa
kini, terdapat segelintir pentadbir sekolah yang menggunakan bahasa dan intonasi yang agak
kasar sehingga menyinggung pelbagai pihak malah sehingga menyebabkan mereka berasa
malu apabila menerima teguran daripada guru besar. Sikap bertimbang rasa oleh guru besar
tersebut menggambarkan beliau amat prihatin terhadap sikap Cikgu Saari dalam
menyelesaikan permasalahan sikap buruknya di dalam bilik darjah. Guru besar tersebut
mengambil langkah untuk berjumpa secara peribadi bagi mengetahui punca Cikgu Saari
mengantuk semasa menjalankan sesi PdP. Tujuan perjumpaan secara peribadi bukan sahaja
guru besar dapat memahami situasi yang dialami oleh Cikgu Saari malah ia dapat menjaga
imej sebagai seorang guru terhadap murid-murid di sekolah. Pada masa kini, terdapat
segelintir pentadbir sekolah yang membuat teguran secara terbuka sehingga menyebabkan air
muka cikgu tercalar serta menjatuhkan martabat guru sebagai seorang pendidik. Dari
pandangan positif juga, guru besar tersebut tidak menghalang potensi atau bakat yang ada
pada Cikgu Saari kerana beliau tetap membenarkannya untuk bermain muzik bagi
meneruskan lagi hobinya.
Pada pandangan saya, terdapat beberapa cadangan yang dapat memperbaiki amalan
profesion keguruan masa kini. Guru merupakan golongan profesional yang diberi peranan
penting sebagai agen perubahan dalam masyarakat. Melakukan kerja sambilan adalah
menjadi satu kesalahan sekiranya ia menjadi penghalang produktiviti guru dalam
menjalankan tugas sebagai tenaga pengajar. Mencari pendapatan tambahan adalah amat baik
sekiranya ia dapat dilaksanakan dengan teratur tanpa mengganggu waktu kerja di seklolah.
Saya mencadangkan Cikgu Saari perlu mencari pekerjaan sampingan lain yang tidak
mengganggu produktiviti kerjaya sebagai seorang guru supaya Cikgu Saari dapat
menguruskan masa dengan baik dalam mengatur waktu rehat dan bekerja. Sebagai seorang
guru, kita hendaklah menghormati golongan atasan atau pihak pentadbir sekolah dalam
penerimaan pendapat dan teguran. Sikap hormat-menghormati merupakan satu sikap yang
perlu ditanam di dalam diri sebagai seorang guru yang profesional walaupun terdapat
perbezaan pendapat dalam penerimaan teguran dan nasihat. Selain itu, sebagai seorang guru
hendaklah sentiasa akur dengan kesalahan yang telah dilakukan dan mencuba untuk
memperbaiki kesalahan tersebut dengan mengadakan perbincangan secara personal. Cara ini
dapat meningkatkan lagi kualiti produktiviti guru dalam mencapai kecemerlangan dalam
pelbagai aspek di sekolah.
Ulasan video 3
Situasi di dalam video Cikgu Saari ini menunjukkan semua guru telah bersedia dalam
menjalankan aktiviti mesyuarat bersama guru besar tetapi Cikgu Saari cuba mencari alasan
untuk tidak menghadiri mesyuarat terebut. Terdapat beberapa perkara yang ingin saya
ulaskan, Cikgu Saari menunjukkan rasa hormat terhadap guru besar kerana beliau tetap hadir
ke mesyuarat seketika untuk meminta kebenaran keluar daripada guru besar walaupun
terdapat beberapa alasan yang kurang profesional yang dikemukakan. Pada pandangan saya,
sikap yang ditunjukkan oleh Cikgu Saari masih boleh dijadikan contoh jika ingin
dibandingkan dengan guru masa kini yang tidak hadir ke mesyuarat tanpa meminta sebarang
kebenaran daripada guru besar. Selain itu, terdapat sikap positif yang ditunjukkan oleh guru-
guru lain adalah mereka dapat menghadiri ke mesyuarat tepat pada waktunya. Nilai ini perlu
dijadikan sebagai contoh dalam mendisiplinkan diri untuk menjadi seorang guru yang
cemerlang. Menghadirkan diri ke bilik mesyuarat tepat pada waktunya juga menunjukkan
kesediaan guru-guru dalam melaksanakan perbincangan bersama guru besar. Seterusnya,
sebagai seorang guru besar yang bertimbang rasa Cikgu Saari diberikan kebenaran untuk
keluar kerana beliau memahami dengan permasalahan yang dihadapinya walaupun telah
diberikan pelbagai alasan yang tidak kukuh. Guru-guru yang lain juga menunjukkan sikap
prihatin terhadap Cikgu Saari kerana ketiadaan beliau di dalam bilik mesyuarat tersebut dapat
dikenalpasti apabila ditanya oleh guru besar. Terdapat sikap negatif yang ditunjukkan oleh
Cikgu Saari iaitu beliau sanggup mengemukakan pelbagai alasan atau helah untuk tidak
menghadirkan diri ke mesyuarat walaupun guru besar cuba membantunya dengan
memberikan ubat sakit perut. Sikap negatif oleh guru-guru lain juga dapat dilihat berdasarkan
situasi tersebut, mereka mula memalukan Cikgu Saari dengan mengata belakang selepas
sahaja beliau keluar dari bilik mesyuarat tersebut. Sebagai seorang guru yang profesional,
perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia akan menjatuhkan imej Cikgu Saari
sebagai seorang guru dan mereka sepatutnya cuba mencari alternatif lain untuk membantu
beliau supaya menjadi seorang guru yang berkaliber.
Beberapa cadangan yang dapat saya berikan berkaitan dengan video tersebut,
pertamanya sebagai seorang guru yang berdisiplin, kita hendaklah menghadirkan diri ke
mesyuarat kerana aktiviti minit mesyuarat juga satu program sekolah yang perlu dilaksanakan
dan tugas guru bukanlah sebagai tenaga pengajar semata-mata. Melalui mesyuarat ini, bukan
sahaja dapat mengadakan sesi perbincangan antara guru malah ia dapat mendisiplinkan diri
untuk melibatkan diri dengan aktiviti sekolah dalam membentuk guru yang komited. Selain
itu, menghadirkan diri tepat pada waktunya merupakan satu nilai yang dituntut dalam
membentuk keperibadian guru yang profesional. Sebagai contoh, negara maju seperti Jepun
amat menekankan isu masa iaitu dengan sentiasa menghadiri pelbagai program mengikut
waktu yang telah ditetapkan sehingga menjadikan ia sebagai budaya warga orang Jepun itu
sendiri. Seterusnya, sebagai seorang guru kita hendaklah saling hormat-menghormati
terhadap rakan sekerja dan pihak pentadbir. Walaupun berapa banyak kesalahan yang telah
dilakukan oleh seseorang guru tersebut, kita hendaklah sentiasa memahami situasi yang
dihadapinya dan perlu mencari jalan dalam membantu untuk memperbaiki kelemahannya.

You might also like