You are on page 1of 7

Tugasan 2: Penulisan akademik

Analisis Isu Berkaitan Tingkah Laku Bermasalah Di Dalam Bilik Darjah

1.0 Definisi Tingkah Laku Bermasalah Dalam Bilik Darjah

Dalam buku Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku, Akhiar Pardi (2012)
mentakrifkan tingkah laku bermasalah seseorang individu sebagai tingkah laku yang
mengganggu perjalanan kehidupannya. Ia boleh ditakrifkan terkeluar dari nilai dan
norma sosial masyarakat, termasuk di sekolah. Antara masalah tingkah laku
tersebut ialah terdapat murid yang suka mengganggu rakan sekelas mereka dan
membuat bising, tidak menumpukan perhatian terhadap pengajaran guru, tidak
mematuhi peraturan, lewat masuk kelas, tidak menyiapkan kerja rumah dan sering
bertengkar sesama rakan di dalam bilik darjah. Oleh itu, dapat saya fahami bahawa
tingkah laku bermasalah ialah merujuk kepada sebarang tingkah laku yang
menjejaskan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.

2.0 Faktor / Punca Berlakunya Tingkah Laku Bermasalah Dalam Bilik Darjah

Antara sebab berlakunya tingkah laku bermasalah dalam bilik darjah ialah
murid ingin mendapatkan perhatian daripada guru dan rakan-rakannya. Murid
sebegini mungkin mempunyai masalah kekurangan kasih sayang dan perhatian di
rumah, maka mereka datang ke sekolah dengan melakukan masalah tingkah laku
seperti berbuat bising dan bercakap dengan kuat supaya menarik perhatian orang
lain terhadap diri mereka. Di samping itu, tingkah laku negatif ini juga berlaku kerana
keadaan persekitaran sekolah seperti kurikulum terlalu padat serta berfokus pada
peperiksaan, murid rasa tertekan dan menunjukkan tingkah laku bermasalah. Selain
daripada itu, keadaan fizikal sekoalah yang tidak kondusif seperti padat, panas dan
bising juga menyebabkan murid menunjukkan tingkah laku yang negatif dan
bermasalah. Akhirnya, teknik pengajaran guru yang tidak bervariasi dan aktiviti
pengajaran dan pembelajaran yang kurang menarik boleh menyebabkan murid
berasa bosan. Keadaan ini akan menyebabkan sesetengah murid mengganggu
rakan tanpa tujuan yang munasabah. Jika guru tidak mengambil sebarang tindakan
terhadap tindakan mereka, mereka akan berasa seronok dan terus mengganggu
rakan kerana mereka menganggap dapat menunjukkan kekuasaan mereka dan
terlepas dari hukuman.
3.0 Memilih satu model pengurusan disiplin dan intervensi (langkah) yang
paling sesuai bagi menangani masalah tingkah laku yang dibincangkan

Model Pengurusan Disiplin Bilik Darjah yang saya pilih ialah Model
Pengurusan Kelompok Kounin. Model ini menekankan kepada pengawasan dan
penyeliaan oleh guru terhadap aktiviti-aktiviti murid-muridnya dalam bilik darjah.
Model ini berkaitan dengan kesedaran dan kepekaan guru dalam mengawasi
pergerakan murid-muridnya dalam bilik darjah pada setiap masa.

Guru perlu mengawasi bilik darjah secara keseluruhan dan berinteraksi


dengan semua murid agar kawalan bilik darjah akan tercapai. Kemudian, guru juga
boleh menggunakan teknik overlapping iaitu satu kemahiran guru dalam mengawal
bilik darjah dengan menangani lebih daripada satu situasi. Contohnya jika dalam
bilik darjah terdapat murid berbuat bising ketika itu guru sedang mengajar, guru
boleh terus meminta murid lain yang di sebelah murid yang berbuat bising untuk
membacakan petikan dan dalam masa yang sama guru juga meminta murid yang
berbuat bising itu agar menghentikan salah lakunya itu.

Selain itu, terdapat juga satu kaedah lain yang dicadangkan oleh Kounin
kepada para guru dalam mengawal dan mengawasi bilik darjah iaitu Ripple Effect
atau dikenali juga sebagai Kesan Gelombang. Kesan Gelombang itu berlaku apabila
guru memberikan teguran dan tindakan terhadap seseorang murid yang bermasalah
pada masa yang sama murid-murid lain dapat mengambil iktibar daripada tindakan
tersebut. Namun begitu, Kounin mencadangkan seseorang guru itu hendaklah
bersikap jelas, tegas, dan serius semasa menjalankan tindakan mendisiplinkan
murid supaya kesan gelombong ini berlaku secara efektif.

Arahan guru perlulah jelas dan tidak bersifat umum. Bagi menangani masalah
murid yang tidak menyiapkan kerja rumah, guru boleh memberikan teguran seperti
contoh, ‘Ali, buka buku kerja muka surat 18 dan buat latihan B atau saya akan tarik
balik 1 token bintang kamu.’ Jika murid tidak mendengar arahan dan teguran guru,
guru perlu melaksanakan akibat yang dinyatakan, Hal ini memberikan teladan
kepada murid-murid lain bahawa guru serius dalam mendisiplinkan murid. Semasa
guru hendak mengeluarkan arahan, guru perlu memberikan mimik muka, nada dan
ton suara yang serius, tegas, dan keras agar tindakan disiplin dapat dijalankan
dengan lebih berkesan.
Guru juga hendaklah memilih masa yang sesuai untuk memberikan teguran
dengan jelas, tegas, dan serius terhadap murid yang tidak mematuhi peraturan.
Guru tidak sepatutnya melengah-lengahkan teguran terhadap murid tersebut kerana
sebaiknya teguran itu diberikan pada ketika murid sedang melakukan salah laku.
Adalah penting bagi seseorang guru untuk mengawasi bilik darjah setiap masa
kerana dengan itu guru akan dapat mengenalpasti akan masalah dan punca
berlakunya masalah disiplin yang akan berlaku.

Bagi memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan dengan


baik dan lancar, guru harus bijak menguruskan pengajaran dan pembelajaran
dengan baik. Guru tidak sepatutnya memberikan penerangan yang meleret-leret dan
mengulang-ulang perkara yang tidak perlu sehingga terkeluar daripada objektif
pengajaran pada hari tersebut dan menyebabkan murid tidak memahami isi
pelajaran yang diterangkan oleh guru. Oleh itu, guru harus mengetahui cara untuk
menarik perhatian murid-muridnya di dalam bilik darjah agar guru dapat mengawal
mereka dengan baik. Antara caranya ialah, guru perlu memastikan murid-muridnya
sentiasa mempunyai tugasan dan hendaklah melibatkan mereka dalam aktiviti bilik
darjah. Contohnya bagi menarik perhatian murid yang sering bertengkar sesama
rakan guru perlu melibatkan murid-murid tersebut dalam aktiviti kelas seperti
membacakan petikan yang diberikan, melukis bersama-sama dalam kumpulan yang
diberi, dan menolong guru melekatkan gambar pada carta aliran. Kemudian guru
juga boleh memanggil murid untuk memberikan maklum balas, menjawab soalan,
dan membuat penerangan dalam proses pengajaran dan pembelajaran bilik darjah.

Kounin juga mengatakan bahawa sesuatu pengajaran itu perlulah mengambil


kira aspek minat, kebolehan, dan perkembangan murid agar murid tidak mudah
berasa bosan dengan pengajaran guru yang tidak bervariasi. Pengajaran guru yang
membosankan boleh menyebabkan murid berbuat bising dan lewat masuk bilik
darjah. Oleh itu, guru boleh memberikan aktivit melukis sebagai aktiviti seni bahasa
dalam kelas bahasa inggerisnya. Dengan ini, dapat mengawal murid-muridnya
daripada melakukan salah laku disiplin. Hal ini kerana kebanyakan kanak-kanak
mempunyai minat untuk melukis dan mewarna.
Bagi mengurangkan masalah tingkah laku murid dalam bilik darjah, guru
boleh mengadakan pelbagai aktiviti yang dapat menyibukkan diri murid dengan
melibatkan murid dalam aktiviti pembelajaran yang menarik. Semasa guru
memberikan aktiviti secara kumpulan, guru harus memendekkan penerangan
kepada murid agar terdapat masa yang cukup untuk murid berkolaborasi dan
menimba ilmu pengetahuan. Namun begitu, guru hendaklah memastikan agar aktiviti
tersebut tidak menggunakan masa yang terlalu lama bagi mengelakkan murid-murid
berasa bosan dan menimbulkan masalah salah laku dalam bilik darjah.

Selain daripada itu, kursus motivasi juga merupakan satu intervensi yang
berkesan untuk menangani isu masalah tingkah laku murid. Melalui kursus motivasi
yang dijalankan untuk murid, mereka akan diberi pengisian kemahiran belajar,
komunikasi berkesan, motivasi dan penerapan konsep kasih sayang. Dengan ini
kesemua pelajar akan mendapat pengisian yang sama untuk menjadikan mereka
mengamalkan satu budaya yang sama atau ‘shared value’ yang setara. Ini
memudahkan pihak sekolah terutamanya kaunselor pelajar dan guru disiplin untuk
mencorakkan murid yang lebih berdisiplin di dalam bilik darjah. Melalui kursus
motivasi ini, murid akan mempunyai matlamat yang sama dan mempunyai
gambaran yang jelas tentang apa yang mereka patut lakukan di dalam bilik darjah.
Mereka juga akan sedar sekiranya mereka melakukan banyak masalah tingkah laku,
maka proses untuk mereka berjaya dalam pelajaran akan menjadi sangat rumit
kerana banyak masa diambil bagi menangani sesuatu permasalahan tingkah laku
yang dilakukan oleh mereka sendiri

Di samping itu, satu cara intervensi tersebut ialah bimbingan. Bimbingan


merupakan suatu proses yang berlanjutan dan berterusan. Cara ini dirancang dan
digunakan oleh guru untuk membantu murid mengetahui dan menyedari tentang
kebolehan dan kelemahan diri serta membantu murid membuat penyesuaian
dengan persekitaran. Setiap individu mempunyai latar belakang, minat, kebolehan,
pengalaman, budaya, dan pengetahuan sedia ada yang berbeza. Maka adalah
penting bagi guru yang membimbing untuk mengenali dan memahami diri murid-
muridnya itu agar dapat memberikan pertimbangan yang sewajarnya. Guru tersebut
juga boleh mendapatkan maklumat murid dengan cara berbual secara langsung
dengan murid-murid dan mendapatkan rekod murid daripada ibu bapa dan gurunya
yang terdahulu. Guru perlu mengetahui akan minat, sikap, dan keupayaan murid
supaya guru dapat memenuhi keperluan murid. Justeru itu, dalam proses bimbingan,
murid-murid juga akan dibimbing untuk berubah kepada sikap yang lebih baik dan
melengkapkan diri dengan kemahiran-kemahiran untuk menyelesaikan masalah dan
membuat pilihan yang betul.

4.0 Kesimpulan

Keupayaan guru untuk mengurus bilik darjah dan tingkah laku murid
merupakan perkara yang penting dan perlu bagi menjamin keselesaan dan
persekitaran bilik darjah yang kondusif dan selesa. Guru perlulah mengenal pasti
akan masalah dan punca berlakunya masalah tingkah laku yang
ditimbulkan.Terdapat beberapa Model Pengurusan Disiplin Bilik Darjah yang boleh
digunakan oleh guru bagi mengatasi masalah disiplin yang berlaku dalam bilik darjah.
Guru perlulah melakukan sesuatu dan mengambil tindakan terhadap salah laku
murid agar tidak mengganggu sesi pengajaran dan pembelajaran yang sedang
berlangsung. Tiada ketinggalan, guru juga perlu mengambil kira akan ciri fizikal yang
baik, faktor emosi murid-murid, suasana sosial, serta peraturan dan rutin yang
dilaksanakan. Peraturan yang jelas, ringkas, dan penting perlulah dilaksanakan oleh
guru agar bilik darjah berada dalam keadaan yang terkawal.
Rujukan

Abdullah Sani Yahya. (2007). Guru sebagai Pemimpin. Selangor: PTS Professional.

Akhiar Pardi. (2012). Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku. Kuala Lumpur:

Freemind Horizons Sdn. Bhd.

Aznan Ahmad. (2014). Dua Pelajar Antara Ditahan. Kuantan: Sinar Harian.Retrieved

Julai 23, 2017, from http://www.sinarharian.com.my/semasa/dadah-dua-


pelajar-perempuan-antara-ditahan-1.300244

Azman Ishak. (2012).Pelajar Belasah Guru Displin. Alor Setar: Harian Metro.

Edmund T. Emmer. (1997). Classroom Management For Secondary Teachers.

United States: Viacom Company.

Haliza Hamzah. (2009). Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku. Shah Alam:

Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Haliza Hamzah & Samuel, Joy Nesamalar. (2016).Pengurusan Bilik Darjah dan

Tingkah Laku. Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.


James Ang Jit Eng., & Balasandran Ramiah. (2012). Kepimpinan Instruksional: Satu

panduan praktikal. Kuala Lumpur: PTS Publications & Distributors.

Mohamad Johdi Salleh. (2009). PENGURUSAN BILIK DARJAH. Pengajaran dan

Pembalajaran: Teori dan Praktis, 1-22.

Mohd Ruzaini Zulkepli. (2016). Kes Buli Sebelum UPSR. Putatan: MyMetro.

Retrieved Julai 24, 2017, from https://www.hmetro.com.my/node/164632

Mohd. Janib Johari. (2007). Etika Profesional. Kuala Lumpur: Penerbitan UTM.

Noriati A. Rashid, Ying B. P. & Shaifah Fakhriah Syed Ahmad. (2017). Murid dan

Pembelajaran. Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Razak Omar. (2016). Tekanan Emosi Murid.Pendidik, 102, 50-51.

Suppiah Nachiappan, Ramlah Jantan & Abdul Aziz Andul Shukor. (2009). Psikologi

Pendidikan. Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Syed Ramli. (2014).144 Ponteng Kena Cekup. Kuala Lumpur: Utusan Online.

Retrieved Julai 24, 2017, from http://www.utusan.com.my/hiburan/hampir-

kena-cekup-1.22684

You might also like