You are on page 1of 5

Pengurusan bilik darjah melibatkan pengurusan tingkah laku murid dan usaha guru

mewujudkan dan mengekalkan persekitaran pembelajaran yang kondusif dalam bilik


darjah (Choong Lan Keow, 2009). Ketika melangkah masuk ke dalam bilik darjah, saya
telah mendapati beberapa isu seperti keadaan bilik darjah yang sangat tidak kondusif,
murid-murid mempunyai tingkah laku bermasalah seperti berkejaran dalam kelas,
bergaduh, membuat bising dan mengetuk meja manakala murid keperluan khas tidur
di dalam kelas. Ketiga-tiga isu ini telah membuktikan kegagalan pengurusan bilik
darjah oleh guru.

Menurut Fraser (1998), persekitaran pembelajaran ialah tempat pembelajaran berlaku


sama ada dalam konteks sosial, psikologikal dan pedagogikal yang boleh
mempengaruhi pencapaian dan sikap pelajar. Secara umum, persekitaran
pembelajaran merupakan sesuatu tempat di mana murid melibatkan diri, mengambil
bahagian dan menumpukan perhatian dalam pembelajaran. Persekitaran
pembelajaran yang kondusif berupaya untuk merangsang minat dan semangat murid
untuk terus belajar. Usaha mewujudkan persekitaran tersebut melibatkan pendekatan
pengajaran, corak komunikasi, kemahiran guru dalam mengurus, mengawal murid dan
aktiviti-aktiviti di dalam bilik darjah serta personaliti guru.

Keadaan bilik darjah yang tidak kondusif berpunca daripada sikap guru yang hanya
tertumpu kepada proses pengajaran semata-mata tanpa mengambil kira iklim dan
persekitaran bilik darjah. Punca yang seterusnya adalah guru gagal memupuk sikap
tanggungjawab dan menyemai amalan nilai murni dalam kalangan murid. Hal ini
menyebabkan murid-murid tidak mempunyai kesedaran bahawa adalah
tanggungjawab mereka untuk menjaga kebersihan dan keceriaan bilik darjah.

Sebagai seorang guru, untuk mewujudkan bilik darjah yang kondusif , kita perlu
memastikan kemudahan bilik darjah lengkap dan sentiasa berada dalam keadaan
yang baik dan selamat digunakan. Sekiranya terdapat meja, kerusi atau tingkap yang
rosak, kita perlu segera melaporkan kepada pihak berkenaan untuk digantikan dengan
baru atau diperbaiki supaya tidak mendatangkan ancaman kepada para murid.
Ketidakselesaan berada di dalam bilik darjah akan menyebabkan murid gelisah dan
tidak dapat menumpukan perhatian untuk mengikuti pelajaran atau menyiapkan kerja
sendiri. Misalnya, bilik darjah yang tidak cukup terang akan menyebabkan murid
berasa ngantuk dan tidak dapat berfokus kepada sesi pengajaran guru di samping
menjejaskan penglihatan murid sementara bilik darjah yang tidak mempunyai
pengedaran yang baik serta panas pula akan menyebabkan murid tidak dapat duduk

1
diam di tempat duduk sendiri menyiapkan kerja sekolah, sebaliknya melakukan
perbuatan yang tidak disenangi. Maka, pintu dan tingkap perlu sentiasa dibuka untuk
menjamin peredaran udara dan cahaya yang mencukupi serta kipas dan lampu
dipastikan sentiasa berfungsi dengan baik supaya tidak menyebabkan
ketidakselesaan murid seterusnya menjejaskan pembelajaran mereka.

Sebagai lanjutan, pembentukan peraturan dan jadual bertugas murid merupakan satu
keperluan. Setiap murid di dalam kelas perlu memikul tanggungjawab untuk menjaga
kebersihan dan keceriaan bilik darjah. Mereka wajib mematuhi peraturan-peraturan
yang ditetapkan seperti menghargai kemudahan bilik darjah, membuang sampah ke
dalam tong sampah dan sebagainya dan melaksanakan tugasan membersihkan kelas
secara bergiliran. Seorang ketua kebersihan akan dilantik untuk memastikan dan
menyelia setiap murid menjalankan tugas membersih sepanjang waktu persekolahan.

Sudut bacaan harus diwujudkan di dalam bilik darjah dan dilengkapi dengan pelbagai
bahan bacaan yang menarik, sesuai dengan tahap murid. Apabila guru tidak berada
di dalam kelas, murid akan membaca bahan bacaan yang disediakan untuk mengisi
masa senggang. Perlakuan disruptif seperti membuat bising, mengetuk meja,
bergaduh dan sebagainya akan dikurangkan dan dielakkan disebabkan kebanyakan
tingkah laku murid yang disruptif adalah disebabkan kebosanan. Dengan terdapatnya
sudut bacaan, masa senggang murid di dalam kelas semasa ketiadaan guru akan diisi
dengan membaca buku-buku. Bahan bacaan di sudut tersebut perlu sentiasa
diperbaharui supaya tidak menimbulkan kebosanan murid membaca bahan bacaan
yang sama. Pendek kata, kemudahan fizikal yang bersesuaian dan keadaan bilik
darjah yang selesa dapat menggalakkan aktiviti intelektual pembelajaran serta
mengehadkan tingkah laku bermasalah murid di dalam bilik darjah.

Tingkah laku bermasalah yang berlaku semasa ketiadaan guru di dalam bilik darjah
telah membuktikan kegagalan guru mendisiplinkan murid. Guru yang kurang
berpengalaman dan kurang tegas atas disiplin bilik darjah merupakan pencetus
tingkah laku bermasalah murid. Ketidacekapan guru mencorakkan tingkah laku pelajar
menyebabkan murid-murid tidak terkawal dan suasana kelas menjadi bising dan
mengganggu semasa guru tidak berada di dalam bilik darjah. Kelonggaran peraturan
bilik darjah juga menyumbang kepada berlakunya tingkah laku bermasalah murid di
dalam bilik darjah. Keadaan di mana guru tidak mengenakan hukuman kepada murid-
murid yang melanggar peraturan telah mengakibatkan murid memandang enteng
terhadap peraturan yang dibentuk dan akan mengulangi perbuatan tersebut. Selain
daripada faktor guru, bilangan murid yang terlalu ramai juga boleh dijadikan

2
pemangkin yang mendorong kepada berlakunya tingkah laku bermasalah di dalam
bilik darjah. Hal ini terjadi kerana guru tidak dapat mengawal kelasnya dengan baik
dan tidak mampu melayan semua karenah murid sekiranya terdapat terlalu ramai
murid lebih-lebih lagi terdapat berbagai-bagai tahap kebolehan dan latar belakang
murid.

Untuk menangani masalah tingkah laku bermasalah di dalam kelas, jawatankuasa


disiplin kelas perlu ditubuhkan dan murid yang mempunyai ciri-ciri seperti adil,
bertanggungjawab dan mempunyai disiplin diri yang tinggi dilantik sebagai pengawas
kelas untuk memantau perlakuan murid dan membanteras tingkah laku bermasalah
mereka. Sekiranya terdapat salah laku murid, pengawas perlu melaporkan kepada
guru untuk tindakan yang selanjutnya. Selain itu, peraturan bilik darjah akan
diperkenalkan dan ditampalkan di dalam bilik darjah untuk pengetahuan murid.
Tindakan akan diambil sekiranya terdapat murid yang melanggar peraturan. Peraturan
tersebut perlu tegas dikuatkuasakan dan bukan sahaja melepaskan batuk di tangga
supaya mereka tidak memandang enteng peraturan tersebut.

Kebanyakan tingkah laku distruktif yang berlaku di dalam kelas seperti bergaduh
berkemungkinan berpunca daripada konflik keluarga, terpengaruh dengan suasana
persekitaran, keganasan yang dilihat daripada televisyen atau pergaulan dengan
kawan yang nakal. Elakkan terus menjatuh hukuman secara fizikal terhadap murid
tersebut tetapi menyiasat terlebih dahulu. Analisis tingkah laku negatif murid tersebut
dan memahami faktor-faktor yang mencetuskan tingkah laku tersebut sebelum
menjatuhkan hukuman dan berusaha untuk mengubah tingkah laku murid tersebut.
Masalah ini juga boleh dikurangkan dengan penyusunan tempat duduk murid. Murid
lelaki akan diatur duduk bersebelahan dengan murid perempuan disebabkan murid-
murid sesama jantina biasanya suka berinteraksi bersama dan keadaan ini akan
menggalakkan tingkah laku yang bermasalah.

Pembentukan hubungan positif antara guru dengan murid berupaya meningkatkan


prestasi akademik dan mengurangkan masalah disiplin (Jensen, 2013). Menurut Roth
(2015), murid yang mempunyai hubungan positif dengan guru akan berkelakuan baik
dan lebih teruja untuk belajar. Kedua-dua pernyataan telah menyimpulkan bahawa
pembinaan hubungan positif antara guru dengan murid ialah pendekatan terbaik untuk
mengawal dan mengurangkan tingkah laku bermasalah di dalam bilik darjah kerana
kewujudan hubungan baik antara guru dengan pelajar akan melahirkan persefahaman
yang baik serta kepercayaan antara satu sama lain dan seterusnya mendatangkan
kesan positif kepada proses pengajaran dan pembelajaran.

3
Guru boleh mendekati murid dengan mengenali dan mengingati nama setiap murid
supaya lebih cepat menjalin hubungan dengan murid. Nama murid perlu disebut
dengan betul untuk mengelakkan situasi murid tersebut diketawakan atau dijadikan
nama gelaran oleh murid-murid lain. Sebagai seorang guru, elakkan menuding jari
untuk menyuruhkan murid melakukan sesuatu. Apabila memerlukan bantuan daripada
murid seperti mengangkat buku-buku ke pejabat, minta bantuan dengan
menggunakan kata-kata yang sopan, bukannya mengarah. Terima kasih diucapakan
setiap kali menerima pertolongan. Guru perlu menghargai setiap pertolongan murid
yang memudahkan kerjanya. Prinsip demokrasi haruslah diamalkan di dalam bilik
darjah. Murid-murid harus diberi peluang dan kebebasan untuk meluahkan pendapat
mereka dan membuat keputusan berdasarkan kehendak mereka. Setiap pandangan
dan keputusan mereka perlu dihormati dan diterima sekiranya rasional. Dalam hal ini,
guru perlu bertindak sebagai pemudah cara, dan bukan sebagai diktator dan sentiasa
bersedia untuk mendengar apa yang diujar oleh murid.

Keadaan dua orang murid keperluan khas sedang tidur di dalam bilik darjah telah
menunjukkan bahawa ketidakberkesanan Program Pendidikan Inklusif. Hal ini
dicetuskan oleh pelbagai faktor misalnya sikap negatif guru terhadap pelaksanaan
pendidikan inklusif, murid-murid keperluan khas tidak dapat mengikuti kurikulum yang
diajar guru dengan sepenuhnya, keadaan bilik darjah untuk murid berkeperluan khas
yang jauh terasing atau di tempat yang tidak selesa dan sebagainya.

Untuk mengatasi masalah ini, tempat pembelajaran serta kaedah penyampaian


pengajaran harus dipelbagaikan. Tempat menjalankan sesi PdP tidak terhad di dalam
bilik darjah sahaja, tetapi di mana-mana yang sesuai supaya menarik perhatian murid-
murid khususnya yang berkeperluan khas untuk mengikuti pengajarannya. Kaedah
penyampaian pengajaran haruslah dipelbagaikan mengikut keperluan dan kehendak
murid berkeperluan khas. Selain itu, kita hendaklah peka terhadap penyediaan bahan
untuk sesi pengajaran yang bersesuaian dengan murid keperluan khas ini. Aspek
tempat duduk murid keperluan khas perlu dititik berat juga. Kita boleh menyusun atur
tempat duduk murid keperluan khas bersebelahan dengan murid yang lebih pintar
supaya murid yang lebih pintar dapat membimbing pembelajaran murid keperluan
khas. Di samping itu, mereka juga akan memotivasikan murid keperluan khas untuk
mengikuti sesi PdP di dalam bilik darjah dan sebagai teladan yang ingin dicontohi. Kita
harus menyediakan persekitaran pembelajaran yang optimum untuk murid-murid
tersebut seperti bilik darjah dihias dengan ceria, mempunyai kelengkapan infrastruktur
multimedia yang lengkap, kemudahan-kemudahan yang sesuai dan sebagainya
supaya mereka lebih bermotivasi untuk belajar.

4
Menyedar hakikat di atas, dapat dirumuskan bahawa kejayaan dan keberkesanan
pengurusan bilik darjah adalah bergantung kepada beberapa faktor yang perlu ada
pada seorang guru, iaitu kemahiran berkomunikasi, kemahiran merancang dan
mengurus, kemahiran mengajar dan keupayaan guru menggunakan motivasi dan
pengukuhan. Pelbagai kekangan dan permasalahan akan wujud di dalam bilik darjah.
Maka, keperluan dan kesedaran tentang pentingnya pengurusan bilik darjah perlu ada
dan ditanam di dalam dada semua insan yang bergelar pendidik. Kesimpulannya,
sebagai seorang guru, kita harus sentiasa berikhtiar untuk mencapai pengurusan bilik
darjah yang cemerlang.

(1390 patah perkataan)

You might also like