You are on page 1of 2

Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di Malaysia serta termaktub dalam Perkara 152

Perlembagaan Malaysia. Bahasa Melayu juga sangat penting bagi sebuah negara yang berbilang kaum.
Perpaduan kaum boleh dipupuk melalui bahasa. Menyedari hakikat ini usaha untuk memartabatkan bahasa
Melayu semakin giat dijalankan, namun sambutan daripada orang ramai terutamanya pihak swasta kurang
menggalakkan. Oleh itu langkah yang berkesan perlu dicari untuk memartabatkan bahasa Melayu semula.

Antara langkah yang boleh dilaksanakan untuk memartabatkan bahasa Melayu adalah dengan
memperkasa peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Badan berkanun ini ditubuhkan dengan objektif untuk
membina dan memperkaya bahasa Melayu dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi. Mereka boleh
mencipta aplikasi kamus maya dan khidmat bahasa yang boleh dimuat turun secara percuma serta bersifat
interaktif. Mereka juga hendaklah menggalakkan penerbitan buku dalam bahasa Melayu. Hal ini demikian
kerana buku merupakan sumber rujukan kepada seluruh masyarakat untuk menambahkan ilmu pengetahuan
mereka. DBP juga seharusnya memberikan perkhidmatan bimbingan bahasa kepada orang ramai supaya mereka
dapat mempelajari bahasa Melayu dengan lebih berkesan. Terbuktilah bahawa, tujuan memartabatkan bahasa
Melayu dapat dicapai dengan bantuan pihak DBP.

Bahasa Melayu juga boleh dimartabatkan dengan bantuan pihak kerajaan untuk memperkemas kempen
dan memperbaharui strategi kempen. Mereka boleh menggunakan media cetak dan media elektronik sebagai
media utama untuk menyebarkan maklumat tentang kepentingan bahasa Melayu. Mereka juga dapat
menggunakan media sosial baharu seperti facebook, whatsapp, Instagram, telegram dan twitter untuk
memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat. Hal ini demikian kerana semua masyarakat kini tidak
mengira usia tua atau muda memiliki kemudahan telefon pintar yang boleh memuat turun semua aplikasi
tersebut. Pihak yang penganjur juga boleh menjemput golongan artis untuk menarik minat orang ramai supaya
hadir ke kempen tersebut.

Pihak berkuasa hendaklah mengenakan tindakan terhadap premis yang mengabaikan penggunaan bahasa
Melayu pada papan tanda. Mereka boleh mengenakan denda dan kompaun yang tinggi kepada premis tersebut
untuk dijadikan pengajaran kepada premis-premis lain. Mereka juga seharusnya mengetatkan syarat penggunaan
bahasa Melayu yang betul bagi premis perniagaan yang baharu. Perkara ini boleh mengelakkan premis tersebut
menggunakan bahasa lain selain daripada bahasa Melayu. Sekiranya ada premis yang tidak mengambil serius
perkara ini, pihak berkuasa boleh menarik balik lesen perniagaan atau menyita premis perniagaan tersebut.
Jelaslah bahawa, tindakan yang diambil merupakan langkah efektif bagi memartabatkan bahasa Melayu sebagai
bahasa kebangsaan.

Kementerian Pelajaran juga merupakan antara langkah berkesan untuk memartabatkan bahasa Melayu
dengan menggalakkan pertandingan bahasa di peringkat sekolah dan dalam kalangan orang ramai. Pihak
sekolah boleh mengadakan Minggu Bahasa dan Bulan Bahasa dengan mewajibkan penglibatan semua guru, dan
pelajar untuk menyertainya. Bagi peringkat luar pula, pertandingan bahasa boleh disertai oleh semua
masyarakat. Kementerian Pelajaran juga dapat mewujudkan anugerah dengan kerjasama antara pihak swasta
dengan agensi kerajaan seperti anugerah Esso-Gapena, Hadiah Sastera Utusan dan Hadiah Sea Write terbuka
untuk orang ramai.

Peranan sektor swasta dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan juga amatlah
dialu-alukan. Sektor swasta haruslah peka dan menganjurkan lebih banyak kegiatan bahasa di luar negara
seiring dengan promosi perniagaan atau produk masing-masing. Kegiatan promosi dan pasaran secara terancang
akan memberikan pulangan yang merangsangkan perkembangan bahasa Malaysia sebagai bahasa ekonomi,
sains, dan teknologi. Papan-papan tanda dan iklan yang mempromosikan sesuatu produk haruslah menggunakan
kata-kata bahasa Malaysia yang betul dalam semua urusan rasmi. Perkara ini akan dapat mendaulatkan dan
memartabatkan bahasa Malaysia bukan sahaja di negara kita malah di pentas dunia.

Kesimpulannya, keagungan bahasa Melayu sebagai bahasa lingua franca pada abad ke-13 perlu diangkat
semula. Tindakan sesetengah pihak memandang rendah keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa penting
hendaklah dikikis. Kesedaran untuk memartabatkan bahasa Melayu bukan sahaja perlu dipikul oleh pihak
berkuasa, malah pihak swasta dan orang ramai perlu memainkan peranan masing-masing. Oleh itu, tindakan
yang tersusun akan menjulangkan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa yang dikagumi di dunia ini.
607 patah perkataan (Nuralia Shazlin binti Hamapi).

You might also like