You are on page 1of 2

KARANGAN CONTOH 2 - KEWAJARAN PENGGUNAAN TELEFON BIMBIT DI

SEKOLAH

Teknologi yang canggih telah membantu manusia untuk melaksanakan pelbagai urusan dan
menjadikan negara kita semakin maju. Ringkasnya, peralatan teknologi yang canggih dapat
membantu manusia membuat sesuatu kerja yang tidak termampu dilakukan oleh manusia.
Sehubungan dengan itu, pelbagai alat teknologi seperti komputer, telefon bimbit, satelit dan
sebagainya telah dicipta dari semasa ke semasa untuk kemudahan kita selari dengan era
moden yang penuh kecanggihan ini.

Antara alat canggih yang telah dicipta oleh manusia, telefon bimbitlah yang paling biasa
digunakan. Dengan adanya telefon bimbit, kita dapat menghubungi sesiapa sahaja walau di
mana-mana pun hatta berada di tempat yang sangat jauh. Selain itu, pengendali telefon
bimbit juga memperkenalkan perkhidmatan sistem pesanan ringkas (SMS). Selain itu,
kamera serta pemain muzik juga telah dipasangkan pada telefon bimbit. Telefon bimbit juga
semakin canggih hingga boleh melayari laman web dan juga menggunakan perkhidmatan
3G.

Kebanyakan ibu bapa membeli telefon bimbit untuk anak-anak mereka kerana mudah
dihubungi. Oleh itu, kita dapat melihat banyak murid yang mempunyai telefon bimbit
termasuklah murid-murid sekolah rendah. Setelah mempunyai telefon bimbit, mereka dapat
membuat apa-apa sahaja serta dapat pergi ke mana-mana sahaja kerana dengan
kemudahan telefon bimbit, mudah sahaja hendak menghubungi mereka. Sebagai akibatnya,
banyak murid akan membawa telefon bimbit ke sekolah walaupun tidak dibenarkan.

Walau bagaimanapun, penggunaan telefon bimbit di sekolah boleh mendatangkan


kemudaratan. Apabila pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah, mereka akan
mengakibatkan banyak masalah disiplin. Mereka akan menunjuk-nunjukkan telefon yang
dibelikan oleh ibu bapa mereka. Maka, sikap materialistik wujud dalam diri pelajar yang
masih setahun jagung itu. Pelajar yang tidak mempunyai telefon bimbit juga akan berasa
tersisih kerana tidak ada teman berbual seperti kawan lain yang mempunyai telefon bimbit.

Oleh hal yang demikian, mereka berasa rendah diri dan tidak puas hati dan akhirnya mereka
mungkin mencuri telefon bimbit orang lain. Kesannya, pihak sekolah pula terpaksa
menguruskan kes kecurian sehingga menyebabkan proses pemelajaran terganggu.
Soalnya, adakah patut kita membebankan guru dengan beban baharu, iaitu menjadi
pegawai penyiasat kecurian telefon bimbit? Sudah tentu perkara sebegini ingin dijauhi lebih-
lebih lagi banyak masalah lain yang ditimbulkan oleh para pelajar.

Selain itu, pelajar tidak dapat menumpukan perhatian semasa guru sedang mengajar kerana
mereka akan bermain dengan telefon bimbit. Seterusnya, apabila terdapat deringan telefon
bimbit, proses pembelajaran dan pengajaran akan berhadapan dengan gangguan. Semasa
ujian, pelajar juga boleh menggunakan telefon bimbit untuk menghantar mesej berbentuk
jawapan kepada rakan yang lain. Perkara ini adalah amat tidak berakhlak dan tidak adil
terhadap pelajar lain.

WADAH KETERAMPILAN BAHASA MELAYU PT3 & SPM 2020


E-mail : izzathakim74@gmail.com Blog : www.kkomsas.blogspot.com
Telegram : http://t.me/joinchat/GWYICUlDrYiAiv1FB2Z54A
Dengan telefon bimbit yang canggih, mereka dapat mengambil gambar serta mendengar
lagu kegemaran mereka. Gejala seperti ini tidak patut berlaku di sesebuah sekolah. Selain
itu, dengan menggunakan telefon bimbit, pelajar-pelajar dapat memuat turun gambar-
gambar atau klip-klip video yang tidak senonoh. Mereka akan berkongsi gambar atau klip
video tersebut dengan rakan. Maka, pelajar akan mudah tepengaruh dengan gejala tidak
sihat yang mungkin boleh merosakkan masa depan mereka.

Mengikut kajian, telefon bimbit akan mengeluarkan sejenis gelombang bunyi yang akan
menjejaskan kesihatan. Tambahan pula, kini para pelajar masih dalam proses tumbesaran.
Telefon bimbit tidak sesuai digunakan oleh murid-murid yang berusia muda kerana akan
menjejaskan kesihatan mereka. Hakikat ini haruslah diberikan perhatian oleh setiap pihak.
Mencegah itu lebih daripada merawat. Janganlah apabila kesihatan sudah terjejas, pihak
lain pula dipersalahkan sedangkan mereka sudah diingatkan berkali-kali tentang kesan
gelombang telefon itu.

Natijahnya, melalui perbincangan yang disampaikan di atas, kita dapat mengetahui impak
penggunaan sebuah alat yang canggih ini terhadap para pelajar. Bagi mengelakkan
perkara-perkara tersebut berlaku, adalah lebih baik para pelajar menggunakan telefon bimbit
apabila dewasa nanti kerana telefon bimbit memerlukan kos penggunaan yang tinggi.
Namun demikian, semua hal ini tertakluk kepada diri individu itu sendiri bak peribahasa
tepuk dada tanyalah selera.

WADAH KETERAMPILAN BAHASA MELAYU PT3 & SPM 2020


E-mail : izzathakim74@gmail.com Blog : www.kkomsas.blogspot.com
Telegram : http://t.me/joinchat/GWYICUlDrYiAiv1FB2Z54A

You might also like