You are on page 1of 10

OPERASI TAMBAH :

KEBERKESANAN PENGIRAAN MENGGUNAKAN


KAEDAH JARI DAN MULUT
Jaslin Binti Jamaludin
Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI)
SMK Mergong, Alor Setar, Kedah

ABSTRAK

Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti keberkesanan penggunaan Kaedah Jari dan
Mulut dalam menyelesaikan masalah operasi tambah dalam kalangan Murid
Berkeperluan Khas (MBK) di Program Pendidikan Khas Integrasi SMK Mergong, Alor
Setar, Kedah. Seramai 6 orang MBK terlibat dalam kajian ini. Instrumen pra-ujian dan
pasca ujian telah digunakan dalam kajian ini. Penilaian kajian ini menggunakan ujian-t
untuk melihat perbezaan skor markah ujian MBK dalam menyelesaikan operasi tambah
sebelum dan selepas menggunakan Kaedah Jari dan Mulut . Dapatan kajian
menunjukkan terdapat peningkatan prestasi MBK setelah Kaedah Jari dan Mulut
digunakan berdasarkan perbezaan skor yang tinggi antara pra-ujian dan pascaujian.
Sebagai rumusannya, dapatan kajian ini juga diharapkan agar dapat memberikan
banyak manfaat kepada pihak guru pendidikan khas dan Bahagian Pendidikan Khas,
Kementerian Pendidikan Malaysia dalam merencanakan kaedah pengajaran dan
pembelajaran terbaik yang boleh memberi impak positif terhadap MBK khususnya dan
sistem pendidikan khas di Malaysia amnya.

Kata kunci: kaedah jari dan mulut, murid berkeperluan khas(MBK), praujian, pascaujian,
program pendidikan khas integrasi (PPKI)

REFLEKSI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN YANG LALU

Bagi Bassarear ( 2005 ), Matematik melibatkan pengiraan nombor yang terdiri daripada
konsep dimensi, kuantiti, ketidakpastian, bentuk dan pertukaran. Beliau berpendapat
Matematik bukan sekadar mengandungi formula-formula dan peraturan nombor tetapi
lebih daripada itu. Operasi tambah merupakan operasi asas dalam subjek Matematik
dan kemahiran menambah nombor ini digunakan dalam kehidupan setiap hari.
Kemahiran menambah menombor membantu murid untuk melakukan urusan jual beli di
kantin dan kedai. Justeru, MBK di PPKI SMK Mergong diharap dapat membuat
pengiraan operasi asas tambah. Namun begitu, pada bulan Februari selepas guru
mengajar topik nombor bulat dan memasuki sukatan pelajaran tajuk operasi tambah,
seramai lebih kurang 7 hingga 10 MBK tidak dapat menyelesaikan operasi tambah yang
melibatkan nombor lingkungan 1 hingga 30. Terdapat MBK yang boleh mengenal
nombor sehingga 100 tetapi menyelesaikan operasi tambah dalam tempoh yang lama.
MBK yang dikenal pasti mempunyai masalah untuk mengira dan menyelesaikan operasi
tambah ini merupakan kategori murid bermasalah pembelajaran tahap sederhana. Oleh
yang demikian, adalah sangat penting kemahiran mengira nombor dalam operasi
tambah ini perlu dikuasai MBK ini. Kaedah Jari dan Mulut ini diperkenalkan supaya MBK
dapat menyebut nombor sambil menggerakkan jari-jemari mereka.
Tempoh pelaksanaan kajian ini selama 2 bulan dan tertumpu kepada 6 orang MBK yang
terpilih iaitu pelajar Sha, Ju, Dani, Rowa, Ezz dan Ejal. Rajah 1.0 menunjukkan contoh
hasil kerja salah seorang MBK.

Rajah 1.0 : Latihan operasi tambah MBK dalam bentuk persamaan serentak

Jika dilihat melalui hasil kerja MBK dalam rajah 1.0, kaedah yang diguna pakai ialah
lorekan. Kaedah ini akan mengelirukan MBK bagi soalan yang melibatkan nombor yang
lebih banyak. MBK juga mengambil masa yang lama untuk menyelesaikan latihan yang
diberikan kerana perlu melukis garis mengikut bilangan nombor dan kemudiannya
‘memotong’ garis tersebut sambil mengira.

Justeru, MBK perlu dibantu untuk mengira dengan lebih mudah dan cepat serta senang
difahami. Kaedah jari dan mulut diharap dapat mempermudahkan MBK dalam
menyelesaikan operasi tambah

FOKUS KAJIAN

Fokus kajian ini adalah untuk melihat keberkesanan penggunaan Kaedah Jari dan Mulut
bagi membantu MBK menambah nombor dalam mencapai objektif pembelajaran yang
ditetapkan.

Hasil dapatan kajian ini diharapkan dapat memberikan banyak manfaat kepada semua
pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan pendidikan khas.
Dapatan kajian ini juga diharapkan agar dapat membantu para guru pendidikan untuk
merancang strategi dan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang lebih efektif demi
meningkatkan lagi kemahiran menambah nombor dalam kalangan MBK.
Seterusnya, dapatan kajian ini juga diharapkan agar dapat memberikan banyak manfaat
kepada Bahagian Pendidikan Khas untuk merancang strategi dan kaedah pengajaran
Matematik Pendidikan Khas yang lebih baik untuk meningkatkan lagi mutu pendidikan
khas negara kita.
OBJEKTIF KAJIAN

Objektif kajian ini ialah untuk mengenal pasti:

i. keberkesanan pengiraan operasi tambah menggunakan Kaedah Jari dan


Mulut

ii. penguasaan murid berkeperluan khas (MBK untuk menyebut nombor sambil
menggerakkan jari-jemari.

PERSOALAN KAJIAN

Kajian ini dijalankan bertujuan menjawab persoalan kajian berikut :

i. Bagaimanakah keberkesanan pengiraan operasi tambah menggunakan


Kaedah Jari dan Mulut dapat membantu MBK?

ii. Sejauh manakah penguasaan murid berkeperluan khas (MBK) untuk


menyebut nombor sambil menggerakkan jari-jemari?

PERANCANGAN DAN PELAKSANAAN TINDAKAN

Perancangan Tindakan

Dalam kajian tindakan ini, saya membuat perancangan dalam aspek mengumpul data,
menganalisis data dan menyemak data. Bagi kaedah pengumpulan data, saya telah
menggunakan 2 kaedah iaitu analisis dokumen dan kaedah pemerhatian bagi
menghasilkan data deskriptif supaya mendapat gambaran yang lebih menyeluruh
terhadap proses tindakan yang berlaku dalam kajian ini.

Pengumpulan data tindakan dilakukan melalui melalui analisis dokumen iaitu lembaran
kerja atau hasil kerja daripada 6 orang MBK yang telah dipilih sebagai peserta kajian.
Analisis dokumen ini saya gunakan untuk mengenal pasti masalah yang ditunjukkan
melalui lembaran kerja peserta kajian saya.

Pemerhatian yang dibuat semasa peserta kajian menyelesaikan latihan atau lembaran
kerja masing-masing. Saya mengambil gambar semua perserta kajian semasa kajian
tindakan ini dilakukan bagi merekod data.

Analisis data dibuat dengan menyemak hasil lembaran kerja perserta kajian saya.
Semakan dibuat berdasarkan cara kerja yang ditunjukkan dan jawapan yang betul.
Analisis data dipindahkan ke dalam carta.

Semakan data dilaksanakan untuk menguatkan kesahihan data yang diperolehi. Oleh
yang demikian, saya menggunakan semakan data triangulasi masa untuk kajian ini.
Melalui triangulasi masa ini, saya dapat membuat perbandingan yang jelas melalui hasil
kerja peserta kajian dengan menggunakan Kaedah Jari dan Mulut.
Pelaksanaan Kaedah Jari Dan Mulut

MBK diberikan latihan operasi tambah dalam bentuk persamaan serentak. Contoh 15 +
3, penyelesaiannya ialah dengan mengenal pasti yang mana nombor yang lebih banyak
dan nombor yang sedikit. MBK perlu menyebut nombor yang banyak (15) dan
mengangkat 3 jari (nombor yang sedikit). Selepas nombor 15, murid perlu menyebut
nombor 16 sambil menutup 1 jari. Langkah ini diulang dengan menyebut nombor dan
menutup semua jari (3 jari yang diangkat tadi). Nombor terakhir yang disebut murid
selepas menutup semua jari yang diangkat adalah jawapan iaitu 18. Rujuk Carta 1.0

Latihan yang guru berikan


15 + 3 = ?

Pelajar perlu kenal pasti nombor yang :


lebih banyak – 15
sedikit – 3

Nombor yang lebih banyak perlu SEBUT (15)


Sambil
Angkat jari sebanyak 3 jari (nombor yang sedikit)

Murid perlu sebut nombor SELEPAS nombor 15 iaitu


nombor 16

Sambil
Menutup 1 jari

Murid perlu sebut nombor SELEPAS nombor 16 iaitu


nombor 17
Sambil

Menutup 1 jari

Murid perlu sebut nombor SELEPAS nombor 17 iaitu


nombor 18
Sambil
Menutup 1 jari
OLEH ITU,

Nombor terakhir yang disebut selepas semua jari ditutup


ialah JAWAPAN iaitu 18

Carta 1.0 : Pelaksanaan Kaedah Jari dan Mulut


Rajah 2.0 merupakan interpretasi jari untuk mengira sambil menyebut nombor yang lebih
banyak.

Rajah 2.0 : Bahan bantu mengajar

Dalam pelaksanaan tindakan ini, saya sentiasa membimbing peserta kajian ini
menggunakan Kaedah Jari dan Mulut untuk menyelesaikan operasi tambah. Ujian pra
diberikan kepada 6 peserta kajian ini pada pertengahan Februari 2016. Tempoh
pelaksanaan kajian ini selama 2 bulan dan ujian pos diberikan pada pertengahan bulan
April 2016. Peserta kajian merupakan MBK tahap sederhana dalam kebolehan
Matematik. Mereka mengenal nombor sehingga 100 tetapi mempunyai masalah untuk
menambah nombor yang melibatkan nombor yang besar serta bermasalah untuk
menyelesaikan operasi tambah yang melibatkan mengumpul semula nombor. Peserta
kajian ini merupakan 6 MBK yang berlainan kelas. Lembaran kerja serta Ujian pra dan
ujian pos yang digunakan untuk kajian ini adalah sama untuk semua peserta kajian.
Pelaksanaan kajian ini adalah semasa kelas Matematik.

METODOLOGI KAJIAN

Saya memilih 6 orang MBK yang mempunyai keupayaan menambah nombor tahap
sederhana, kenal nombor sehingga 100, tidak memilih jantina dan umur. Mereka yang
saya pilih ialah Sha, Ju, Dani, Rowa, Ezz dan Ejal. Pelajar MBK ini boleh mengira dan
memahami arahan tetapi lambat dan menggunakan kaedah garis dan mengira semula.
Keputusan memilih 6 orang MBK ini ialah berdasarkan lembaran kerja yang saya
berikan semasa tajuk operasi tambah. Pemerhatian dibuat mendapati mereka boleh
menjawab soalan tetapi memerlukan masa kerana mengira dengan membuat garisan
mengikut bilangan nombor, kemudian mengira semula.
ETIKA PENYELIDIKAN

Menurut Noraini (2010), etika dalam penyelidikan ialah prinsip-prinsip yang membimbing
penyelidik daalam melaksanakan penyelidikan yang berteraskan nilai-nilai yang
menggalakkan pemeliharaan keselamatan dan integriti semua yang terlibat dalam suatu
penyelidikan termasuk peserta, penyelidik dan konsumer penyelidikan. Bagi memastikan
kajian saya ini, mengikut etika dan prosedur yang ditetapkan, saya telah memaklumkan
kajian ini kepada peserta kajian iaitu 6 orang MBK yang telah dipilih. Nama sebenar
mereka dirahsiakan. Prosedur-prosedur kajian seperti ujian pra dan ujian pos yang
dilaksanakan diterangkan kepada 6 orang MBK ini. Sebelum melaksanakan kajian, saya
telah berbincang dan meminta izin Penolong Kanan Pendidikan SMK Mergong iaitu
Puan Hajah Sapura binti Hussin untuk melaksanakan kajian ini dalam kelas Matematik
saya.

DAPATAN KAJIAN

Refleksi Dapatan

Bagaimanakah keberkesanan pengiraan operasi tambah menggunakan Kaedah


Jari dan Mulut dapat membantu MBK?

Ujian pra dan ujian pos yang diberikan kepada MBK dalam kajian ini adalah untuk
membezakan tahap penguasaan kemahiran menambah nombor dalam kalangan MBK.
Hasil dapatan melalui ujian pos dapat menerangkan keberkesanan kaedah Jari dan
Mulut yang telah digunakan untuk membantu MBK. Keberkesanan kaedah ini dapat
ditunjukkan melalui peningkatan skor yang diperolehi oleh MBK yang menjadi peserta
kajian ini.

Rajah 3.0 menunjukkan cara pengiraan salah seorang peserta kajian semasa
menyelesaikan Ujian Pra. Jumlah skor yang diperoleh ialah 3 daripada 15. Kaedah
penyelesaian yang digunakan ialah membuat garisan membuat bilangan nombor
kemudian melorek atau ‘potong’ garisan tersebut sambil mengira (menyebut nombor).

Kaedah
garis dan
kemudian
‘potong”

Rajah 3.0 : Skor markah ujian pra


Jadual 4.0 menunjukkan skor untuk ujian pra yang mengandungi 5 soalan dalam bentuk
persamaan serentak dan 10 soalan dalam bentuk lazim. Ujian pra ini dijalankan selama
15 minit.

NAMA PELAJAR SKOR MARKAH


Sha 5/15
Ju 3/15
Dani 7/15
Rowa 7/15
Ezz 2/15
Ejal 7/15

Jadual 4.0 : Skor markah ujian pra

Jadual 5.0 pula menunjukkan skor untuk ujian pos yang menggunakan soalan yang
sama tetapi ditukarkan kedudukan nombor. Tempoh ujian juga dikekalkan iaitu selama
15 minit. .

NAMA PELAJAR SKOR MARKAH


Sha 8/15
Ju 7/15
Dani 12/15
Rowa 14/15
Ezz 10/15
Ejal 14/15

Jadual 5.0 : Skor markah ujian pos

Masalah yang dihadapi MBK saya ialah mereka mengira operasi tambah dengan
membuat garisan mengikut bilangan nombor, kemudian mengira semula garisan yang
telah dilukis tersebut. Terdapat juga MBK yang melakukan kaedah lorekan iaitu
membuat garisan mengikut bilangan, kemudian ‘memotong’ garisan tersebut sambil
mengira. Kaedah-kaedah ini menyebabkan MBK mengambil masa yang lama untuk
menyelesaikan operasi tambah. Kesilapan semasa membuat garisan juga sering terjadi.
Oleh yang demikian, Kaedah Jari dan Mulut ini dilihat sesuai dengan keupayaan MBK
untuk menggerakkan jari sambil menyebut secara lisan nombor yang lebih banyak. Ujian
pra dan ujian pos menunjukkan keputusan yang positif daripada segi skor Matematik
dalam operasi tambah.

Sejauh manakah penguasaan murid berkeperluan khas (MBK) untuk menyebut


nombor sambil menggerakkan jari-jemari?
Penggunaan kaedah alternatif “Jari dan Mulut “ untuk operasi tambah dapat membantu
enam orang murid berkeperluan khas (MBK) saya dalam mengatasi kelemahan mereka
semasa menyelesaikan masalah penambahan dalam Matematik. Kaedah yang
digunakan sebelum ini mengambil masa yang lama dan menyebabkan mereka keliru
semasa membuat penambahan nombor. Keberkesanan kaedah “ Jari dan Mulut “ ini
dapat dilihat melalui pencapaian mereka dalam ujian pra dan ujian pra pendedahan
kaedah “ Jari dan Mulut “ ini. Jadual 6.0 di bawah menunjukkan peratus peningkatan
skor markah 6 orang MBK selepas menggunakan Kaedah “Jari dan Mulut”

NAMA PELAJAR UJIAN PRA UJIAN POS PERATUS


PENINGKATAN
Sha 5/15 = 33% 8/15 =53% 20%
Ju 3/15 =20% 7/15 =47% 27%
Dani 7/15 =47% 12/15 =80% 33%
Rowa 7/15 =47% 14/15 =93% 46%
Ezz 2/15 =13% 10/15 =67% 54%
Ejal 7/15 =47% 14/15 =93% 46%

Jadual 6.0 : Peratus Peningkatan Markah MBK

Semasa menyebut nombor sambil menggerakkan jari adalah sukar bagi beberapa orang
peserta kajian iaitu Ezz dan Sha. Mereka akan melihat jari mereka ditutup sehingga
kadang-kadang tersilap menyebut susunan nombor. Namun begitu, setelah hampir
setiap hari latihan diberikan, MBK dapat menggerakkan jari sambil menyebut nombor
dengan lebih cepat. MBK ini sudah tidak memerlukan masa yang lebih lama untuk
menyelesaikan operasi tambah.

REFLEKSI PENILAIAN TINDAKAN

Kajian tindakan ini telah membawa banyak kesan positif terhadap peserta-peserta
kajian. Hasil dapatan kajian saya menunjukkan terdapat peningkatan prestasi peserta-
peserta kajian semasa menyelesaikan operasi tambah. Murid berkeperluan khas (MBK)
saya mampu menyelesaikan masalah yang melibatkan operasi tambah dengan baik
dan mengikuti topik pembelajaran yang seterusnya dengan baik. Selepas kaedah ini
digunakan, MBK lebih yakin menjawab soalan yang dikemukakan oleh guru berbanding
sebelum ini mereka lebih banyak mendiamkan diri. Dengan menggunakan kaedah ini,
proses pembelajaran menjadi lebih menyeronokkan serta keberkesanan pengajaran dan
pemudahcaraan dilihat meningkat.

Kaedah “Jari dan Mulut” ini dilihat mudah disesuaikan dengan murid berkeperluan khas
(MBK), tidak memerlukan bahan sampingan serta membantu MBK menggunakan
pergerakkan psikomotor mereka dengan lebih efektif. MBK yang kurang berkomunikasi
dilatih untuk berkomunikasi secara lisan semasa menyebut nombor untuk pengiraan.
Melalui Kaedah “Jari dan Mulut”, MBK dilihat tidak tertekan semasa menambah nombor
dan lebih seronok kerana dapat mengajar rakan sekelas yang lain. Mewujudkan
persekitaran pembelajaran yang positif dapat membantu meningkatkan minat MBK
dalam kelas Matematik.

Selepas kajian tindakan ini, suasana positif yang dapat dilihat ialah MBK saya lebih
berdikari. Mereka cuba menyelesaikan soalan Matematik yang diberikan oleh saya dan
hanya akan bertanya kepada saya sekiranya mereka menghadapi masalah dalam
penyelesaian masalah Matematik. Ini berbeza dengan situasi sebelum ini, yang mana
MBK akan meniru jawapan daripada rakan-rakan sebelah tanpa berfikir untuk cuba
soalan yang diberikan. Sikap dan sahsiah murid-murid berubah kepada yang positif
dengan ditambah kaedah pengiraan yang menyeronokkan dan efektif.

Refleksi Pembelajaran Kendiri

Melalui kajian tindakan ini, saya mendapati bahawa kajian ini memberikan peluang
kepada saya untuk membantu murid-murid berkeperluan khas saya dalam
menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka dengan kaedah yang saya
modifikasi mengikut tahap keupayaan mereka sebagai murid dengan bermasalah
pembelajaran. Daripada kaedah ini, saya dapat mengetahui masalah yang dihadapi oleh
murid-murid saya secara mendalam dan saintifik dan cuba untuk mencari jalan
penyelesaian dengan sistematik. Sepanjang tempoh perlaksanaan kajian tindakan ini,
banyak kesan positif yang mempengaruhi perkembangan amalan kendiri saya sama ada
secara langsung mahupun tidak langsung. Saya mendapati bahawa tugas seorang guru
bukanlah sekadar mengajar di dalam kelas sahaja, malah perlu menjadi seorang
penyelidik supaya dapat meningkatkan mutu pendidikan serta membantu menyelesaikan
masalah murid-murid khususnya murid berkeperluan khas dalam akademik. Daripada
kajian tindakan yang telah saya laksanakan, saya telah mempelajari cara yang
sistematik untuk membantu masalah akademik iaitu menambah nombor hanya
menggunakan jari. Oleh yang demikian, pada masa akan datang saya perlu
mempertingkatkan lagi kualiti kajian tindakan saya supaya saya dapat membantu murid
berkeperluan khas saya yang lain dengan masalah Matematik yang lain.

Cadangan tindakan untuk kitaran seterusnya

Pada masa akan datang, saya berhasrat dan bercadang untuk menggunakan Kaedah
Jari dan Mulut ini untuk operasi tolak. Kaedah yang sama iaitu menggunakan jari untuk
mengira dan mulut untuk menyebut nombor yang lebih besar. Namun bezanya ialah,
apabila melibatkan operasi tolak, MBK perlu menyebut nombor secara susunan
menurun. Oleh yang demikian, MBK yang dipilih untuk peserta kajian perlu mempunyai
kemahiran menyusun dan menyebut nombor secara menurun.

RUJUKAN

Bassarear, T.( 2005). Mathematics for elementary school teachers. 3rd Ed. New York:
Houghton Mifflin Company.

Noraini Idris. (2010). Penyelidikan dalam pendidikan. Malaysia : McGraw Hill

Van de Walle, J.A. (2004). Elementary and middle school mathematics: Teaching
developmentally. New York: Pearson Education, Inc.

You might also like