You are on page 1of 11

Seminar Penyelidikan Siswazah Alam Bina,

FSPU UiTM (Perak), Disember 2008

BIMBANG TERHADAP JENAYAH MENJEJASKAN KUALITI KEHIDUPAN


MANUSIA SEJAGAT
Siti Rasidah Md Sakip¹ dan Aldrin Abdullah¹
¹Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan & Perancangan
Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, Malaysia
Email: ieda02fiq@yahoo.com, sitir704@perak.uitm.edu.my , aldrin@usm.my

ABSTRAK

Hampir saban hari kita disajikan dan disogokkan dengan pelbagai kejadian jenayah yang boleh
sahaja membangkitkan perasaan takut orang ramai terhadap tahap keselamatan awam.
Pelbagai alat media massa sentiasa memaparkan kejadian-kejadian jenayah yang mengerikan
dan kejayaan penjenayah melakukan aktivitinya menambahkan ketakutan dan kebimbangan di
kalangan masyarakat Malaysia. Ini berikutan laporan statistik jenayah daripada Polis Diraja
Malaysia (PDRM) yang mendapati kes-kes jenayah semakin meningkat dari tahun 2005 hingga
tahun 2007. Kebimbangan ini menjadi satu masalah dalam kualiti kehidupan yang boleh
menjejaskan aktiviti sosial dan kesejahteraan ekonomi negara. Perasaan takut terhadap
jenayah yang melampaui daripada kadar jenayah yang sebenar memberikan ilustrasi bahawa
kehidupan sosial masyarakat pada hari ini semakin merosot dan kehilangan kepercayaan
mereka terhadap keselamatan awam. Kebimbangan terhadap jenayah ini memberikan kesan
yang serius kepada masyarakat dan perlu di ambil tindakan yang sewajarnya. Secara
statistiknya, setiap orang mempunyai kebarangkalian yang kecil akan menjadi mangsa
penjenayah. Keadaan sedemikian yang menyebabkan kebimbangan di kalangan orang ramai.
Senario ini berlaku disebabkan hampir setiap hari kita sering dihidangkan dengan laporan
jenayah dan keganasan di Malaysia. Laporan kes-kes seperti ragut, rogol dan jenayah seksual
lain, serangan dan pembunuhan, penganiayaan kanak-kanak, kemalangan jalan raya daripada
media massa dan media elektronik memberikan gambaran keselamatan awam yang semakin
merosot. Ini berikutan penyusutan Indeks Keselamatan Awam rakyat Malaysia dalam Kualiti
Indeks Kehidupan (MQLI) 2004. Oleh itu, bimbang terhadap jenayah kian menjadi isu yang
penting kepada pihak umum kerana mengakibatkan kemerosotan dalam kualiti kehidupan.
Kertas kerja ini akan membincangkan punca-punca kewujudan perasaan bimbang terhadap
jenayah serta tren jenayah masa kini yang merupakan aspek utama terhadap kemerosotan
kualiti hidup rakyat Malaysia. Pencegahan Jenayah Melalui Reka Bentuk Persekitaran turut
diperbincangkan yang kini menjadi salah satu inisiatif negara dalam mengatasi masalah
tersebut.

Kata Kekunci: Jenayah, Bimbang Terhadap Jenayah, Kualiti Hidup, Pencegahan Jenayah
Melalui Reka Bentuk Persekitaran

PENGENALAN

Kebimbangan terhadap jenayah mula menjadi isu yang penting dan perhatian kepada semua
pihak kerana memberi kesan ke atas kualiti kehidupan di mana mengganggu kehidupan sosial
dan juga kesejahteraan ekonomi. Oleh yang demikian, perasaan bimbang terhadap jenayah kian
menjadi satu perhatian kepada para penyelidik sejak penyelidikan ini bermula di Amerika
Syarikat. Rasional kepentingan dan keperluan penyelidikan ini adalah disebabkan oleh beberapa
perkara berikut. Pertama, rasa takut kepada jenayah lebih bermasalah berbanding dengan kadar
jenayah yang sebenar. Rasa kebimbangan ini secara langsung mengganggu dan memberi kesan
kehidupan manusia sejagat. Berdasarkan laporan British Crime Survey (BCS) 2004/2005 (Team,
2005) memberi gambaran perbezaan antara kadar perasaan ketakutan dengan kadar
pemangsaan jenayah. Berdasarkan laporan tersebut mendapati bimbang terhadap kejadian

1
Seminar Penyelidikan Siswazah Alam Bina,
FSPU UiTM (Perak), Disember 2008

pecah rumah (burglary) adalah sebanyak 12 peratus berbanding jenayah sebenar hanya 2.7
peratus. Manakala bimbang kejadian kecurian kereta sebanyak 13 peratus berbanding jenayah
sebenar 8.2 peratus dan bimbang terhadap keganasan sebanyak 10 peratus berbanding jenayah
sebenar 3.6 peratus. Di negara Malaysia, data kebimbangan terhadap jenayah juga amat
merisaukan. Ini berdasarkan kajian daripada Amar Singh Sidhu (2006), mendapati mangsa
jenayah mengalami perasaan kebimbangan dan kebimbangan yang keterlaluan (extremely
worried) sebanyak 89 peratus terhadap perlakuan jenayah yang berlaku di persekitaran kawasan
kejiranan mereka. Manakala hanya 11 peratus sahaja ataupun 1:10 responden tidak
menunjukkan perasaan bimbang.

Perkara kedua, bimbang terhadap jenayah akan memberikan kesan ke atas kualiti kehidupan.
Jika berdasarkan kajian daripada British Crime Survey (BSC) tentang sejauh mana bimbang
terhadap jenayah memberi kesan dalam kehidupan, kajian mendapati hampir dua pertiga
ataupun 64 peratus merasakan takut terhadap jenayah memberikan kesan yang rendah terhadap
kualiti hidup mereka. 31 peratus menyatakan ia memberikan kesan yang sederhana dan hanya
lima peratus memberikan kesan yang tinggi dalam kehidupan mereka. Keadaan sedemikian
menunjukkan bahawa kadar ketakutan terhadap kualiti kehidupan adalah stabil. Tambahan pula
kadar ini dikatakan kadar yang rendah di antara bimbang terhadap jenayah dan kualiti kehidupan
dilihat semakin meningkat daripada 50 peratus pada tahun 1998 kepada 64 peratus pada tahun
2004/2005 (Jonathan, 2005). Walau bagaimanapun situasi sedemikian tidak sama dengan
negara Malaysia. Berdasarkan laporan kualiti kehidupan rakyat Malaysia pada tahun 2004,
mendapati kesemua komponen kualiti kehidupan mengalami perubahan yang baik kecuali aspek
keselamatan yang berkurangan kepada 80.08 peratus. Kemerosotan ini memberikan ilustrasi
masalah jenayah yang semakin buruk yang memberi impak kepada rasa kebimbangan terhadap
perlakuan jenayah. Peratus yang tinggi terhadap takut dan bimbang terhadap jenayah lebih
menakutkan berbanding dengan kadar jenayah yang sebenar. Keadaan-keadaan ini yang
menjadikan kehidupan individu menjadi tidak menentu dan mudah menimbulkan rasa sangsi
kepada orang yang tidak dikenali.

APAKAH BIMBANG TERHADAP JENAYAH?

Berdasarkan beberapa penyelidik yang terdahulu, terdapat beberapa definisi ‘bimbang terhadap
jenayah’ yang dapat dikenal pasti. Bimbang terhadap jenayah boleh dibahagikan kepada dua
iaitu ‘paradigma rasional’ dan ‘paradigma simbolik’ (Donder et al., 2005). ‘Paradigma Rasional’
memberi interpretasi bahawa terdapat risiko-risiko yang berkaitan dengan keadaan-keadaan
yang berhubung dengan perlakuan jenayah. ‘Paradigma Simbolik’ pula merujuk kepada
perasaan umum yang takut terhadap jenayah yang merasakan bahawa dirinya mempunyai risiko
akan menjadi mangsa penjenayah. Kenyataan ini disokong oleh David J. Evans dan Fletcher
(2000) yang menyatakan wujud perasaan takut terhadap individu yang merasakan dirinya berada
dalam keadaan bahaya dan bimbang akan menjadi mangsa jenayah. Ini berlainan pula pendapat
dan pendekatan yang diambil oleh Van der Wurff and Stringer (1986) yang menyatakan terdapat
tiga komponen yang memainkan peranan dalam perasaan kebimbangan terhadap jenayah.
Komponen tersebut adalah kewujudan elemen-elemen yang tertentu berkaitan dengan
kesejahteraan, persepsi bahawa kesejahteraan tersebut akan diancam dan yang ketiga adalah
perasaan kesukaran atau ketidakmampuan untuk menghadapi ancaman tersebut. Ini bermaksud
fizikal individu dan keadaan persekitaran merupakan faktor yang membawa kepada perasaan
takut. Ketiadaan ilmu mempertahankan diri dan tidak mampu untuk melawan sebarang kejadian
yang tidak diingini menimbulkan perasaan bahawa dirinya sentiasa tidak selamat. Begitu juga
dengan keadaan persekitaran yang memberi gambaran kurang selamat seperti kawasan yang
sunyi, semak-samun, kurangnya aktiviti sosial, lepak, mabuk dan sebagainya yang memberikan
ilusi perlakuan jenayah.

2
Seminar Penyelidikan Siswazah Alam Bina,
FSPU UiTM (Perak), Disember 2008

KENAPA PERLU BIMBANG TERHADAP JENAYAH? APAKAH PENYEBABNYA

Kebimbangan yang keterlaluan terhadap sebarang kemungkinan perlakuan jenayah akan


mengakibatkan kehidupan yang tidak normal terhadap persekitaran dan hubungan sosial. Rasa
kebimbangan ini mempunyai peratusan yang lebih tinggi berbanding daripada jenayah yang
sebenar. Beberapa penyelidikan yang terdahulu mengidentifikasikan beberapa faktor yang
menyumbang kepada perasaan kebimbangan dan persepsi rasa selamat. Faktor-faktor tersebut
dapat dibahagikan kepada beberapa skop iaitu; (1) kadar peningkatan jenayah (2) peningkatan
kadar penduduk (3) pengalaman dengan jenayah (4) faktor demografi (5) kadar pendapatan dan
(6) keadaan persekitaran.

i) Peningkatan Kadar Jenayah

Jenayah merupakan satu fenomena sosial. Sesuatu perbuatan jenayah boleh ditakrifkan
sebagai perbuatan atau sebarang kesalahan yang membahayakan masyarakat dan segala
perbuatan atau tindakan itu boleh disabit kesalahannya di sisi-sisi undang-undang dan orang
yang melakukannya bertanggungjawab menerima hukuman denda atau penjara (Mohd Reduan
Aslie, 1990). Jika dilihat pada laporan perbandingan perlakuan jenayah antara negara-negara
terpilih, Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai kadar jenayah yang terendah kecuali
bagi negara Indonesia. Ini berdasarkan perkiraan ke atas 100,000 penduduk dan didapati kes
jenayah di negara ini masih pada tahap yang terkawal iaitu 624:100,000 penduduk. Ini adalah
jumlah yang kecil jika dibandingkan dengan negara lain seperti indeks di negara Switzerland:
5,004:100,000, Hong Kong: 1,085:100,000, Jepun 2,250:100,000, Australia; 7,475:100,000 dan
Singapura 703: 100,000 (MCPF, 2004, Nor-Ina Kanyo and Norizan Hj Md Nor, 2007) Namun
demikian, merujuk kepada statistik trend jenayah negara, didapati indeks jenayah negara
menunjukkan peningkatan setiap tahun. Indeks jenayah negara meningkat daripada 70 823 kes
pada tahun 1980 meningkat kepada 156 455 kes pada tahun 2004 dengan peningkatan
sebanyak 85 632 kes atau 120.9 peratus bagi tempoh 24 tahun (Nor-Ina Kanyo and Norizan Hj
Md Nor, 2007).

Berdasarkan tren jenayah negara masa kini didapati peningkatan dari tahun 2005 hingga tahun
2007 menghadapi situasi yang kritikal. Berdasarkan laporan statistik jenayah daripada Polis
Diraja Malaysia (PDRM) 2008 mendapati kes-kes jenayah yang berkaitan rogol, samun berkawan
senjata api, mencederakan, curi, curi motokar, motosikal, curi ragut, pecah rumah siang hari dan
pecah rumah malam hari semakin meningkat bagi setiap tahun. Ini dapat dilihat berdasarkan
jadual 1 di bawah yang menunjukkan kadar peningkatan yang amat membimbangkan.

Jadual 1: Jenis Jenayah di Malaysia Dari Tahun 2005 Hingga 2007

JENAYAH 2005 (kes) 2006 (kes) 2007 (kes)


Bunuh 497 604 588
Cuba Bunuh 94 * *
Rogol 1,887 2,435 3,177
Cabul Kehormatan * 2,023 *
Samun Berkawan
40 68 77
Bersenjata Api
Samun Berkawan
1842 2,658 7,067
Tanpa Senjata Api
Samun Bersenjata Api 317 247 202
Samun Tanpa Senjata
13,210 18,446 17,241
Api

3
Seminar Penyelidikan Siswazah Alam Bina,
FSPU UiTM (Perak), Disember 2008

Pemerasan * 1,549 *
Ugutan Jenayah * 6,336 *
Merusuh * 2,261 *
Mencederakan 4,246 5,716 6,806
Curi 37,128 44,617
Curi Van/Lori/Jentera
34,317 6,328 5,047
Berat
Curi Motokar 5,507 11,101 12,427
Curi Motosikal 9,711 64,858 67,584
Curi Ragut 51,709 9,551 11,127
Pecah Rumah Siang
9,617 8,253 9,159
Hari
Pecah Rumah
6,923 19,060 24,440
Malam Hari

JUMLAH 157,459 198,622 209,559

*Bukan Jenayah Indeks (BJI)


Sumber : PDRM (2008)

Peningkatan kadar jenayah ini menimbulkan rasa kebimbangan di kalangan penduduk ke atas
kebarangkalian berlakunya kejadian jenayah di kawasan perumahan mereka. Keadaan ini akan
mengganggu kehidupan masyarakat di dalam menjalani kehidupan harian dan sekali gus
mengancam kualiti kehidupan mereka. Semua bentuk jenayah ini perlu dibanteras kerana ia
mendatangkan pelbagai kemudaratan kepada tubuh, kesejahteraan masyarakat dan negara
secara keseluruhannya.

ii) Peningkatan Bilangan Penduduk Berkadar Langsung Dengan Peningkatan


Jenayah

Jenayah sering kali dikaitkan dengan perbandaran. Secara umumnya peningkatan jenayah di
kawasan bandar telah meningkat bermula pada abad yang ke-20. Berdasarkan Home Office
Research Study, jenayah di United Kingdom meningkat sebanyak lima peratus bagi setiap tahun
mulai 1920-an (Landman, 2003). Ini berkemungkinan peningkatan bilangan penduduk yang
menyebabkan peningkatan kadar jenayah di kawasan bandar. Ini dibuktikan dengan laporan
Kualiti Hidup Bandar di Malaysia (2002), mendapati purata kes jenayah di kawasan bandar
meningkat daripada 7.4 kes bagi setiap seribu penduduk pada tahun 1990 kepada 13.7 kes pada
tahun 2000. Keadaan semakin membimbangkan dengan kenaikan dan jangkaan peningkatan
bilangan penduduk bandar. Berdasarkan perangkaan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia,
peratusan penduduk bandar telah meningkat daripada 26.8 peratus pada tahun 1970 kepada
34.2 peratus pada tahun 1980 dan 50 peratus pada tahun 1990. Pada tahun 2020 peratusan
penduduk bandar dijangkakan akan mencecah 73 peratus (Nor-Ina Kanyo and Norizan Hj Md
Nor, 2007). Ini bermakna penduduk di Malaysia dianggarkan akan meningkat sebanyak 2.6
peratus setiap tahun.

Kenaikan ini dianggarkan memberi kenaikan yang sama dengan kadar kenaikan jenayah pada
masa akan datang iaitu sebanyak 2.6 peratus juga (Amar Singh Sidhu, 2006). Jadual 2.0 di
bawah dapat menjelaskan kadar peningkatan penduduk yang berkadar langsung dengan
peningkatan kadar jenayah di masa akan datang.

4
Seminar Penyelidikan Siswazah Alam Bina,
FSPU UiTM (Perak), Disember 2008

Jadual 2: Jangkaan Kadar Pertumbuhan Penduduk serta Kadar Jenayah di Malaysia

Pertumbuhan Indeks Jenayah Akan


Penduduk Indeks Jenayah Datang
Tahun (Bil/%)
2000 23,494.9 167,173 -
2001 24,012.9 156,469 -
2002 24,526.5 149,042 149,042
2003 25,048.3 156,315 152,917
2004 25,580.9 156,455 156,893
2005 26.25 160,972
2006 26.93 165,157
2007 27.63 169,451
2008 28.35 173,857
2009 29.09 178,377
2010 29.85 183,015
2011 30.63 187,773
2012 31.43 192,655
2013 32.25 197,664
2014 33.09 202,803
2015 33.95 208,076

Sumber: Amar Singh Sidhu (2006)

Daripada jadual mendapati. kenaikan indeks jenayah pada masa akan datang adalah sebanyak
3000 ke 5000 kes yang memberi gambaran keadaan jenayah di negara kita dalam keadaan yang
amat buruk. Masalah perlakuan jenayah ini berkemungkinan disebabkan keperluan di dalam
menampung perbelanjaan harian mereka dari segi prasarana, tempat tinggal, kemudahan awam
dan sebagainya yang akan menimbulkan persekitaran yang tidak sihat (Nor-Ina Kanyo and
Norizan Hj Md Nor, 2007). Lebih memburukkan lagi apabila ketiadaan pekerjaan yang tetap,
kebanjiran pendatang asing ke kawasan bandar, ketagihan dadah akibat kegagalan dalam hidup
(Amar Singh Sidhu, 2005).

iii) Pengalaman Berkaitan Jenayah

Pengalaman ngeri seseorang terhadap jenayah yang pernah dihadapi atau didengar daripada
rakan atau orang lain juga mengakibatkan trauma dalam kehidupan mereka. Tambahan pula
informasi jenayah yang mudah didapati daripada media massa dan media elektronik seperti
televisyen, surat khabar, majalah dan sebagainya yang memaparkan imej-imej peristiwa jenayah
yang dramatik dan menakutkan memberi kesan terhadap emosi seseorang individu (Stephen
Farrall et al., 2007, Howard, 1999a, Amar Singh Sidhu, 2006). Pengaruh media di dalam
mempengaruhi rasa bimbang dan tidak bimbang amatlah ketara. Di Britian para pembaca
akhbar tabloid yang mempunyai cerita-cerita yang sensasi berkaitan jenayah dilaporkan
mempunyai rasa bimbang dan takut yang tinggi terhadap jenayah. Berbanding dengan pembaca
yang gemarkan ‘broadsheet newspaper’ adalah sebaliknya kekurangan kebimbangan terhadap
jenayah (Grabosky, 1995).

iv) Faktor Demografi

5
Seminar Penyelidikan Siswazah Alam Bina,
FSPU UiTM (Perak), Disember 2008

Salah satu faktor utama kebimbangan yang tinggi adalah melibatkan jantina dan umur
seseorang. Kaum wanita lebih dikatakan mempunyai perasaan takut yang lebih tinggi
berbanding kaum lelaki (Grabosky, 1995). Menurut Donder et.al (2005) kaum wanita
mempunyai perasaan takut sebanyak empat kali berbanding lelaki apabila berada keseorangan
ketika di dalam rumah, berjalan berseorangan di waktu malam dan ketika hari gelap, lima kali
rasa tidak selamat dan bimbang terhadap rogol berbanding lelaki dan tiga kali lebih bimbang
terhadap serangan fizikal. Keadaan ini berlaku mungkin disebabkan kaum wanita yang secara
fizikalnya tidak mempunyai kekuatan dan ilmu mempertahankan diri bagi mengatasi kejadian
jenayah sekiranya mereka menjadi mangsa.

Peringkat umur juga antara penyebab rasa takut yang tinggi terhadap kejadian jenayah.
Semakin meningkat umur seseorang semakin tinggi perasaan takut mereka terhadap jenayah.
Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Ziegler dan Mitchell pada tahun 2003, kajian sebanyak
16 kajian berkenaan rasa takut dan bimbang di kalangan warga tua, didapati hanya dua kajian
tiada perbezaan antara golongan tua dan golongan muda dan hanya tujuh kajian mendapati
golongan tua kurang takut berbanding golongan muda. Manakala yang selebihnya menjurus
kepada ketakutan di kalangan orang tua (Donder et al., 2005).

v) Kadar Pendapatan

Kadar tingkat pendapatan mempunyai pengaruh yang tinggi terhadap tahap kebimbangan
seseorang. Bagi seseorang yang mempunyai tahap pendidikan yang tinggi cenderung untuk
mendapat pekerjaan yang baik serta tingkat pendapatan yang tinggi. Keadaan akan berlaku
sebaliknya bagi mereka yang kurang berpendidikan. Kadar pendapatan ini mempunyai hubung
kait yang rapat dengan perasaan bimbang dan takut terhadap jenayah. Perkara ini dipersetujui
oleh Donder et.al (2005); Grabosky (1995), yang menyatakan golongan yang berpendapatan
tinggi berkemampuan untuk memperoleh sistem keselamatan dan sebaliknya bagi mereka yang
berpendapatan rendah. Kajian mendapati sebanyak 54 peratus golongan miskin mempunyai
perasan takut sebanyak dua kali berada di jalan raya berbanding golongan berada sebanyak 25
peratus sahaja (Donder et al., 2005).

vi) Keadaan Persekitaran dan Kejiranan

Faktor yang seterusnya adalah keadaan persekitaran fizikal yang sekali gus mempengaruhi
aspek persekitaran sosial. Kepaduan hubungan antara kejiranan penting bagi membantu
masalah yang dihadapi oleh jiran mereka. Kekurangan perhubungan tersebut menimbulkan
perasaan bahawa tiada sesiapa yang akan dapat membantu mereka sekiranya mereka
menghadapi masalah dan sekali gus dapat meningkatkan rasa kebimbangan terhadap perlakuan
jenayah.

Selain itu, keadaan persekitaran fizikal seperti kerosakan harta benda awam, vandalisma, litter
dan keadaan yang seumpamanya juga memberi satu imaginasi bahawa kawasan tersebut
kurang selamat. Tambahan pula kawasan tersebut dilimpahi dengan sampah sarap, bekas
minuman yang menggambarkan aktiviti lepak dilakukan. Keadaan-keadaan tersebut yang
menimbulkan rasa kebimbangan terhadap perlakuan jenayah apabila berada di kawasan yang
seumpamanya. Persekitaran yang terlindung daripada pandangan juga merupakan aspek
kepada perlakuan jenayah. Kawasan tersebut ditakuti menjadi kawasan persembunyian
penjenayah.

IMPLIKASI KEBIMBANGAN TERHADAP JENAYAH

6
Seminar Penyelidikan Siswazah Alam Bina,
FSPU UiTM (Perak), Disember 2008

Kebimbangan ini boleh mengubah perilaku seseorang individu di dalam kehidupan mereka. Ini
melibatkan perubahan di dalam aktiviti sosial mereka yang lebih suka dan merasakan selamat
berada di dalam rumah berbanding di luar rumah. Manakala perubahan dari sudut persekitaran
fizikal pula, mereka akan lebih berwaspada dengan memasang alat keselamatan, sistem
pencahayaan yang baik dan membersihkan kawasan persekitaran perumahan mereka
termasuklah membuat penyelenggaraan ke atas tanaman (Richard and Ted, 2007).
Kebimbangan yang dilihat kecil ini sebenarnya memberikan impak kualiti kehidupan masyarakat
Malaysia yang harus diberi perhatian bagi mengembalikan kepercayaan mereka terhadap tahap
keselamatan di negara Malaysia.

i) Penurunan Kualiti Kehidupan Rakyat Malaysia

Kewujudan faktor-faktor perlakuan jenayah menjadikan kebimbangan masyarakat terhadap


kawasan persekitaran mereka menjadi semakin meruncing. Ini mengakibatkan persepsi
keselamatan mereka dirasakan terancam ketika melakukan aktiviti sosial. Keadaan yang
berlarutan ini mengakibatkan kehidupan yang tidak normal dan merosotkan lagi kualiti kehidupan
mereka. Ini berdasarkan Laporan Kualiti Hidup Malaysia 2004, kehidupan penduduk di kawasan
bandar-bandar di Malaysia telah mengalami kemerosotan kualiti hidup dari aspek keselamatan.
Aspek keselamatan ini diukur berasakan kadar jenayah dan kemalangan di jalan raya. Menurut
laporan ini ia menunjukkan dalam tempoh 1990 – 2002 indeks keselamatan awam telah menurun
sebanyak 19.9 mata. Purata kes jenayah telah meningkat daripada 3.8 kes pada tahun 1990
kepada 6.2 kes pada tahun 2002 yang mana lebih daripada empat per lima kes jenayah
melibatkan harta benda. Komponen keselamatan menjadi semakin penting kerana kebelakangan
ini jenayah yang melibatkan kes ragut, pecah rumah dan kecurian semakin kerap berlaku. Aspek
keselamatan adalah berkait rapat dengan kesejahteraan sosial dan kedua-duanya merupakan
prasyarat kepada pembangunan mampan dan stabil. Oleh itu ia perlu ditangani untuk
meningkatkan kualiti hidup penduduk di kawasan bandar (Unit Perancang Ekonomi, 2004,
Jabatan Perancang Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia, Amar Singh Sidhu, 2005). Rajah
1 di bawah menunjukkan kualiti kehidupan masyarakat Malaysia. Garisan yang berwarna biru
merupakan ukuran bagi tahun 1990 dan garisan hitam ukuran bagi tahun 2002.

Rajah 1: Kualiti Kehidupan Rakyat Malaysia

Sumber: Laporan Indeks Kualiti Kehidupan Rakyat Malaysia, 2004

7
Seminar Penyelidikan Siswazah Alam Bina,
FSPU UiTM (Perak), Disember 2008

ii) Usaha Menangani Masalah Jenayah

Memandangkan keamanan dan ketenteraman awam merupakan aspek penting kualiti hidup,
pelbagai program telah diperkenalkan untuk mencegah jenayah dan salah laku. Program yang
menggalakkan kawalan oleh komuniti diberi keutamaan bagi memupuk perhubungan harmoni di
antara polis dengan orang awam. Skim pengawasan dan kawalan kejiranan, Polis Simpanan
Sukarela dan Rakan Cop telah dilancarkan untuk memperkukuhkan kerjasama di antara polis
dengan orang awam bagi meningkatkan keselamatan awam. Di bawah program ini, penduduk
telah dilatih untuk lebih peka terhadap perkara-perkara yang berlaku di kawasan masing-masing
dan bekerjasama dengan polis untuk mencegah perkara yang tidak diingini. Pertubuhan
berasaskan komuniti dan sektor swasta juga digalakkan untuk bekerjasama rapat dengan polis
untuk meningkatkan keselamatan awam. Pada masa yang sama, pihak polis akan terus
meningkatkan peranannya untuk mengurangkan jenayah dalam negara. Langkah untuk
mengekalkan keyakinan awam menerusi jalinan hubungan baik dan imej positif telah
diperkukuhkan melalui pelaksanaan amalan pengurusan personal yang lebih baik dan
menggunakan strategi serta kaedah yang berkesan untuk mengesan, mencegah, dan memerangi
jenayah. Penguatkuasaan polis ditumpukan di kawasan bandar yang mempunyai kadar jenayah
tinggi menerusi penempatan unit polis bergerak dan pembinaan lebih banyak balai polis di
kawasan bandar yang padat penduduk. Keberkesanan pasukan polis dalam mengekalkan
keamanan dan mencegah kekacauan melalui pendekatan penguatkuasaan berorientasikan
mesra orang awam telah memberi kesan yang luas dalam mengurangkan kadar jenayah dalam
beberapa tahun kebelakangan.

Kerajaan juga telah melaksanakan beberapa program di dalam usaha mengurangi kadar jenayah
melalui Rancangan Malaysia. Melalui Rancangan Malaysia Keenam [1991-1995], Program
Rakan Muda telah diperkenalkan bertujuan untuk membantu belia mengelakkan diri daripada
kegiatan yang tidak sihat terutamanya kegiatan jenayah. Manakala dalam Rancangan Malaysia
Ketujuh [1996-2000], kerajaan telah memperkenalkan Program Masyarakat Penyayang dan
Jawatankuasa Rukun Tetangga secara meluas bertujuan untuk memupuk semangat kejiranan
bagi membantu mengurangi jenayah di kawasan perumahan. Program Khidmat Sosial Negara
pula telah diperkenalkan di dalam Rancangan Malaysia Kelapan [2001-2005] bertujuan untuk
menggalakkan semangat kerjasama dan perkongsian antara agensi kerajaan, swasta dan badan
bukan kerajaan [NGO] sukarela membantu membanteras jenayah. Terkini di dalam Rancangan
Malaysia Kesembilan [2006-2010], pihak kerajaan turut memperkenalkan Program Pembelajaran
Sepanjang Hayat dan Pusat Aktiviti Perpaduan bagi membentuk komuniti berpengetahuan dalam
membuat rondaan, mengorganisasikan persatuan di dalam mencegah jenayah (Nor Eeda Haji
Ali, 2006).

PENCEGAHAN JENAYAH MELALUI REKA BENTUK PERSEKITARAN

Konsep Pencegahan Jenayah melalui reka bentuk persekitaran(PJMRP) ataupun ‘Crime


Prevention Through Environmental Design’ (CPTED) merupakan konsep yang sedang dan cuba
diaplikasikan di negara Malaysia. Konsep CPTED ini merupakan proses memastikan
pencegahan jenayah melalui peringkat awal perancangan di dalam percubaan menghapuskan
peluang-peluang perlakuan jenayah dan merupakan perkara yang diambil kira di dalam reka
bentuk. Konsep CPTED diperkenalkan oleh C. Ray Jeffery (1977). Pembinaannya seiring
dengan pembinaan konsep Defensible Space Theory oleh Oscar Newman. Takrif CPTED diguna
pakai oleh National Crime Prevention lnstitute (NCPI) yang merupakan satu kaedah reka bentuk
dan penggunaan efektif yang sesuai dibina di persekitaran yang boleh mengurangkan rasa
kebimbangan terhadap perlakuan jenayah dan merupakan satu penambahbaikan dalam kualiti
kehidupan (Howard, 1999b, Cozens, 2002). Dengan erti kata lain CPTED berasaskan idea dan
reka bentuk pengurusan dalam alam bina persekitaran yang boleh membuat kelainan dalam

8
Seminar Penyelidikan Siswazah Alam Bina,
FSPU UiTM (Perak), Disember 2008

pencegahan jenayah dengan meningkatkan peluang-peluang kepolisan sekali gus


mengurangkan peluang-peluang perlakuan jenayah.

Berdasarkan Crowe (2000), CPTED melibatkan tiga strategi di dalam pencegahan jenayah iaitu
kawalan akses semula jadi(natural access control), pengawasan semula jadi(natural surveillance)
dan pengukuhan kewilayahan(territorial reinforcement). Bagi strategi yang pertama dan kedua,
kawalan akses dan pengawasan semula jadi lebih menumpukan persepsi si penjenayah
terhadap risiko yang mungkin dan bakal dihadapi terhadap sesebuah ruang. Di mana ruang
tersebut di bawah kawalan pemerhatian para penduduk di kawasan tersebut. Manakala strategi
pengukuhan wilayah (territorial reinforcement) adalah berasaskan andaian reka bentuk fizikal
boleh meningkatkan perasaan dan persepsi pengguna terhadap sesuatu harta di sekitarnya
adalah keempunyaan bagi sebuah wilayah ataupun kawasan komunitinya.

Seiringan itu, konsep ‘Bandar Selamat’ berasaskan kepada slogan bahawa pencegahan adalah
lebih baik daripada penghapusan jenayah telah diperkenalkan pada tahun 2004. Pendekatan ini
berasaskan prinsip pencegahan jenayah melalui pengurangan peluang untuk penjenayah
melakukan jenayah kerana kebanyakan jenayah berlaku secara spontan yang dihasilkan
daripada peluang yang wujud. Konsep tersebut telah menggariskan 23 langkah pencegahan

jenayah yang menumpukan kepada reka bentuk persekitaran fizikal, memperkasakan kawasan
sasaran serta kegiatan sosial dan kesedaran awam terhadap perlakuan jenayah (JPBDSM,
2007). Konsep Bandar Selamat ini sebenarnya telah dicetuskan oleh Yayasan Pencegahan
Jenayah Malaysia (YPJM) seawal 1998 lagi dan Bangsar telah dipilih sebagai perintis kepada
pelaksanaan konsep tersebut. Langkah tersebut dilaporkan telah mengurangkan kejadian
jenayah yang menurun sebanyak 12 peratus (Ahmad Kamil Mohamed, 2007). Menurut Datuk
Seri Ong Ka Ting, Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan menyatakan pada masa kini
satu-satunya bandar yang telah melaksanakan sepenuhnya konsep bandar selamat ini adalah
bandar Shah Alam di bawah Majlis Bandar Raya Shah Alam (MBSA) yang telah melaksanakan
23 langkah pencegahan jenayah. Bandar tersebut telah diwartakan sebagai sebuah bandar yang
selamat yang dapat meminimumkan kadar jenayah (Berita Harian, 2006).

Selain daripada konsep CPTED, Lamya Rostami Tabrizi dan Ali Madanipour (2006) menjumpai
terdapat perspektif lain dalam pencegahan jenayah melalui persekitaran. Ia berasaskan
pendekatan ‘ruang atau tempat’ yang sering kali menjadi tumpuan penjenayah. Ini melibatkan
kombinasi antara komuniti polisi dan komuniti pencegahan jenayah yang juga merupakan
kombinasi konsep perubahan reka bentuk dengan pengurusan penggunaan ruang. Kedua, polisi
‘situational crime prevention’ yang memfokuskan pengurangan tingkat jenayah berasaskan
menghapuskan peluang-peluang perlakuan jenayah. Ia lebih memfokuskan kepada ‘setting of
crime’ daripada perlakuan aktiviti-aktiviti jenayah, membina pengurangan peluang-peluang
perlakuan jenayah yang menumpukan sasaran bentuk-bentuk penjenyahan, cadangan
pengurusan, reka bentuk atau manipulasi persekitaran dalam kaedah yang sistematik dan
menjadikan kegiatan jenayah lebih berisiko dan kurang berjaya

KESIMPULAN

Mengurangkan rasa kebimbangan terhadap jenayah dan jenayah itu sendiri merupakan satu
cabaran yang dialami oleh semua rakyat Malaysia. Secara semula jadinya, jenayah merupakan
satu fenomena yang kompleks yang tidak membolehkan hanya satu pihak sahaja iaitu pihak
kerajaan untuk memberantas jenayah. Ia tidak boleh diatasi tanpa kerjasama semua pihak.
Pelbagai kaedah dan usaha telah cuba dilaksanakan, namun masih belum mencapai tahap yang
memuaskan. Penyelidikan tentang rasa kebimbangan terhadap jenayah telah banyak dilakukan
hampir di seluruh dunia. Namun, tiada kajian dilakukan dalam konteks negara Malaysia.
Berdasarkan literatur kebanyakan penyelidikan kebimbangan terhadap jenayah yang dilakukan

9
Seminar Penyelidikan Siswazah Alam Bina,
FSPU UiTM (Perak), Disember 2008

lebih memfokuskan kepada kawasan kejiranan dan persekitaran. Namun belum ada
penyelidikan rasa kebimbangan di kawasan kediaman berpagar dan bagaimana komuniti
berinteraksi dengan situasi tersebut. Antara isu lain adalah pencegahan jenayah melalui reka
bentuk persekitaran ataupun Crime Prevention Through Environmental Design (CPTED)
dikatakan sebagai satu kaedah yang ideal dan efektif untuk mengurangkan kadar jenayah.
Namun kaedah tersebut masih belum diselidiki dalam konteks Malaysia terutamanya sekali
kawasan kediaman berpagar. Oleh itu, satu tindakan perlu dilakukan oleh para penyelidik di
Malaysia untuk melakukan penyelidikan ke atas rasa kebimbangan rasa selamat terhadap
jenayah dan kesannya kepada rakyat Malaysia.

RUJUKAN

AHMAD KAMIL MOHAMED (2007) Bandar Bebas Jenayah. Utusan Malaysia. Kuala Lumpur.
AMAR SINGH SIDHU (2005) The Rise of Crime in Malaysia An Academic and Statistical
Analysis. Journal of The Kuala Lumpur Royal Malaysia Police College, 4, 01-28.
AMAR SINGH SIDHU (2006) Crime Levels and Trends in The Next Decade. Journal of The
Kuala Lumpur Royal Malaysia Police College, 5, 1-13.
BERITA HARIAN (2006) Bandar Raya Selamat. Berita Harian. Shah Alam.
COZENS, P. M. (2002) Sustainable Urban Development and Crime Prevention Through
Environmental Design The British City. Towards an Effective Urban Environmentalism
for The 21st Century. Elsevier Science Ltd., 19, 129-137.
CROWE, T. D. (2000) Crime Prevention Through Environmental Design, Butterworth-Heinemann.
DONDER, L. D., VERTE, D. & MESSELIS, E. (2005) Fear of Crime and Elderly people: Key
Factors That Determine Fear of Crime Among Elderly People in West Flanders. Ageing
International, 30, 363-376.
GRABOSKY, P. N. (1995) Fear of Crime and Fear Reduction Strategies. Australian Institute of
Criminology.
HOWARD, J. (1999a) Fear of Crime. Society of Alberta.
HOWARD, M. R. (1999b) Crime prevention Through Environmental Design: An Investigation of
The Effect of Modular Lotting On Property Crime. landscape Architecture. Canada, The
University of Guelph.
JABATAN PERANCANG BANDAR DAN DESA SEMENANJUNG MALAYSIA Dasar Perbandaran
Negara.
JONATHAN, A. (2005) Worry About Crime in England and Wales: Findings From The 2003/04
and 2004/05 British Crime Survey. Home Office Building a Safe, Just and Tolerant
Society.
JPBDSM (2007) Program Bandar Selamat. Malaysia, Jabatan Perancang Bandar ddan Desa
Malaysia, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
LANDMAN, K. (2003) Alley-gating and Neighbourhood Gating: Are They Two Sides of The Same
Face? Gated Communities : Building Social Division or Safer Communities? Glasgow.
MCPF (2004) 11 Kegiatan Jayakan Inisiatif Bandar Selamat. Berita Harian. Malaysia.
MOHD REDUAN ASLIE (1990) Jenayah Di Malaysia, Kuala Lumpur, AMK Interaksi Sdn. Bhd.
NOR-INA KANYO & NORIZAN HJ MD NOR (2007) Jenayah dan Perbandaran : Satu Kajian di
Daerah Timur Laut Pulau Pinang. Seminar Kebangsaan Geografi
NOR EEDA HAJI ALI (2006) Pembangunan Komuniti di Dalam Perlaksanaan Konsep Bandar
Selamat. Fakulti Alam Bina. Johor, Universiti Teknologi Malaysia.
PDRM (2008) Jenayah Indeks 2000-2007. IN HTTP://WWW.RMP.GOV.MY/# (Ed.
RICHARD, H. S. & TED, K. (2007) Crime Prevention and the Built Environment, USA and
Canada, Routledge.
STEPHEN FARRALL, EMILY GRAY, AND & JACKSON, J. (2007) Theorising the Fear of Crime:
The Cultural and Social Significance of Insecurities about Crime. Experience and
Expression in the Fear of Crime, Working Paper No. 5,. Institute of Law, Politics and
Justice, Keele University, Staffordshire, England, & Methodology Institute, London School
of Economics, Houghton Street, London.
TEAM, F. O. C. (2005) British Crime Survey (BCS) 2004/2005

10
Seminar Penyelidikan Siswazah Alam Bina,
FSPU UiTM (Perak), Disember 2008

London, Home Office.


UNIT PERANCANG EKONOMI (2004) Kualiti Kehidupan Malaysia. Unit Perancang Ekonomi,
Jabatan Perdana Menteri.

11

You might also like