You are on page 1of 2

Kes dera makin membimbangkan

Oleh NurJannah
rencana@mediaprima.com.my
Kes penderaan kanak-kanak yang sering kali dilaporkan cukup meruntun perasaan
sekali gus menjadi isu masyarakat yang wajar ditangani segera.
Penderaan kanak-kanak adalah satu pencabulan serius terhadap hak golongan itu
meneruskan kelangsungan hidup mereka. Secara umumnya, penderaan itu boleh
dikategorikan kepada empat bahagian iaitu fizikal, emosi, seksual dan pengabaian.
Ia dikaitkan dengan kesan jangka panjang dan jangka pendek yang merangkumi
kerencatan otak, perkembangan terbantut, kesukaran belajar, masalah menjalin
persahabatan, tabiat agresif dan kemurungan.
Mangsa penderaan kanak-kanak mungkin mengalami risiko lebih tinggi untuk
bermasalah di kemudian hari seperti pencapaian akademik yang teruk, penggunaan
dadah, kehamilan remaja dan perbuatan jenayah yang bukan sekadar menjejaskan
kanak-kanak dan keluarga malah masyarakat keseluruhannya.
Statistik yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat menunjukkan kes ini meningkat setiap tahun. Hampir 3,900 kes
penderaan kanak-kanak dilaporkan pada 2013 malah lebih parah apabila ia
bertambah sekurang-kurangnya 1,023 kes dilaporkan hingga Mac tahun ini.
Kes penderaan kanak-kanak perempuan terjadi lebih daripada 50 peratus
berbanding semua kes penderaan kanak-kanak lain. Pengabaian adalah punca
utama kes ini berlaku diikuti dengan penderaan fizikal dan seksual.
Pengalaman global menunjukkan hanya sebahagian kecil kes penderaan kanak-
kanak dilaporkan dan disiasat manakala hanya segelintir pendera yang dibawa ke
muka peÂngadilan. Sebagai contoh, kanak-kanak dalam usia lingkungan empat dan
lima tahun kurang berupaya melaporkan penderaan fizikal atau seksual.
Bukti anecdotal menunjukkan hanya kes penderaan kanak-kanak yang serius saja
dilaporkan kepada Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).
Kos bagi menanggung kes penderaan kanak-kanak juga agak tinggi dan
merangkumi kos perubatan untuk kecederaan atau malnutrisi, penjagaan kesihatan
mental untuk mangsa penderaan, urusan perundangan dan lain-lain lagi.
Sehubungan itu, terdapat juga kos terselindung seperti kerosakan terhadap ekonomi
negara akibat kehilangan produktiviti di dalam tenaga kerja serta kos kesakitan yang
ditanggung oleh kanak-kanak dan keluarga.
Kanak-kanak adalah kesinambungan kehidupan kita. Mereka perlu dilindungi dan
diberi hak sewajarnya. Manakala masyarakat juga boleh membantu mengekang kes
penderaan daripada terus berleluasa. Hubungi talian bantuan 24 jam, Talian Nur
15999 untuk membuat aduan dan menangani kes ini dengan penuh tanggungjawab.
Penjenayah juga boleh dihukum mengikut Akta Kanak-kanak (2001) dan Kod Penal
(dipinda 1997) serta dikenakan denda maksimum RM50,000 atau dipenjarakan
sehingÂga 20 tahun, atau kedua-duanya sekali.
> Penulis siswa Pengajian Media Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai,
Negeri Sembilan.
> Warga kampus yang ingin menyumbang penulisan mengenai isu semasa boleh
menghantarnya ke ruhaizarusmin@mediaprima.com.my

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Disember 2014 @ 5:00 AM

You might also like