You are on page 1of 16

Bab 6:

PENDERAAN KANAK-KANAK DAN GANGGUAN EMOSI

Setelah menyelesaikan bab ini, anda harus boleh:


Mentakrifkan maksud penderaan kanak-kanak
Membezakan di antara jenis penderaan kanak-kanak
Membincangkan bagaimana penderaan emosi mempengaruhi
kanak-kanak
Menjelaskan tanda-tanda penderaan
Memerihalkan kesan penceraian terhadap perkembangan
emosi kanak-kanak terlibat

6.1
6.2
6.3
6.4
6.5
6.6
6.7
6.8

Apakah penderaan kanak-kanak>


Jenis penderaan
Penderaan fizikal
Penderaan seksual
Pengabaian kanak-kanak
Penderaan emosi
Ciri-ciri kanak-kanak
Perceraian dan gangguan emosi
Istilah Penting
Rujukan

Bab ini menumpukan kepada perbincangan tentang penderaan kanak-kanak dengan


tumpuan kepada penderaan fizikal, penderaan seksual, pengabaian kanak-kanak dan
penderaan emosi. Juga dibincang ialah kesan penceraian kepada perasaan emosi
kanak-kanak yang terlibat.

Bayi dijumpai di tandas Hospital Kuala Lumpur


Ogos, 1990
Di Malaysia, penderaan kanak-kanak mula diterima sebagai suatu
permasalahan sosial di dalam tahun 1990, selepas penderaan
kejam yang berlaku dan menyebabkan kematian S.Balasundram,
kanak-kanak kecil yang ditinggalkan di sebuah tandas air di
Hospital Kuala Lumpur dengan kesan-kesan penderaan fizikal dan
seksual yang dahsyat. Kematian Adik Balasundram meninggal
dunia akibat pendarahan dalaman yang teruk akibat didera
secara fizikal dan bedah siasat mendapati kesan-kesan luka baru
dan lama juga kesan diliwat. Peristiwa malang ini bagaimanapun
menjadi

pemangkin

kepada

penggubalan

Akta

Pelindungan

Kanak-Kanak 1991, akta khusus bagi menangani permasalahan


kanak-kanak yang memerlukan pelindungan.

Peristiwa malang ini encetuskan reaksi yang luarbiasa di kalangan masyarakat Malaysia
kerana tidak terjangkau di fikiran kita terdapat manusia sekejam pendera adik
Balasundram, yang sanggup mendera seorang kanak-kanak yang tidak berdosa sedemikian
rupa. Bagaimana pun peristiwa ini menjadi pemangkin kepada penggubalan Akta
Pelindungan Kanak-Kanak 1991, akta khusus bagi menangani permasalahan kanak-kanak
yang memerlukan pelindungan.

6.1 Apakah Penderaan Kanak-Kanak?


Penderaan kanak-kanak telah lama wujud di Malaysia, tetapi dengan peristiwa bayi
Balasundram dan hanya selepas tahun 1990, masyarakat dan pihak berkuasa memandang
serius penganiayaan kanak-kanak.

Penderaan kanak-kanak merujuk kepada penderaan secara fizikal dan emosi,


penderaan seksual, kecuaian dan pengabaian terhadap kanak-kanak, termasuk
sebarang bentuk eksploitasi atau komersial (Irene Cheah, 2012).

Penderaan kanak-kanak bermaksud kekerasan telah berlaku sehingga


mengakibatkan kesan buruk untuk jangka masa yang panjang kepada organisme
berkenaan (Kasmini Kassim, 1998).
2

Penderaan kanak-kanak ialah keganasan terhadap kanak-kanak termasuk penderaan


dan kecederaan fizikal dan mental, pengabaian, eksploitasi dan penderaan seks
(UNICEF Malaysia, 2010).

Penderaan kanak-kanak adalah sebarang tindakan oleh ibu/bapa atau penjaga yang
menjejaskan kesejahteraan fizikal, emosi dan/atau psikologi seorang kanak-kanak
(Pusat Pakar Keganasan Keluarga, 2010, PAVE, Singapura)

Setiap tahun, sekurang-kurangnya 2,000 kanak-kanak di Malaysia


dilaporkan menjadi mangsa penderaan dan pengabaian kanak-kanak
(Irene Cheah, 2012. Kementerian Kesihatan Malaysia).

Secara purata 7 kanak-kanak menjadi mangsa penderaan setiap hari di


Malaysia (Jabatan Kebajikan Sosial, Malaysia).

Angka ini hanya mewakili kes-kes yang dilaporkan kepada pihak berkuasa seperti Jabatan
Kebajikan Sosial, hospital, klinik atau polis. Mengikut kajian, sebahagian kecil pnederaan
kanak-kanak dilaporkan dan disiasat dan hanya segelintir pendera dibawa ke muka
pengadilian. Salah satu sebab ialah kerana kanak-kanak kurang berupaya melaporkan
penderaan fizikal atau seksual. Bagi kanak-kanak yang lebih tua, mereka diugut oleh
pendera untuk jangan melaporkan kepada pihak berkuasa.
Menurut, UNICEF Malaysia (2010) penderaan kanak-kanak wujud dalam kalangan semua
kumpulan etnik, agama dan tahap soso-ekonomi. Kanak-kanak lelaki dan perempuan
sama-sama menghadapi kebarangkalian penderaan. Tetapi kanak-kanak perempuan
berkemungkinan tinggi mengalami penderaan seksual berbanding dengan kanak-kanak
lelaki. Penderaan kanak-kanak merupakan perbuatan jenayah di Malaysia dan pendera
yang didapati bersalah boleh dihukun mengikut Akta Kanak-Kanak (2001) dan Kod Penal
(dipinda 1997). Pesalah boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau dipenjarakan
sehingga 20 tahun atau kedua-duanya. Pesalah juga boleh disebat selain hukuman denda
dan/atau penjara.
Kanak-kanak kurang upaya pun telah didera. Contohnya, kajian yang dijalankan oleh
Shamsul Amri Sallehuddin (2009) dalam kalangan 315 kanak-kanak kurang menunjukkan
kadar prevalens penderaan kanak-kanak bermasalah penglihatan adalah 18%, masalah
pendengaran adalah 50% dan masalah pembelajaran adalah 20%. Majoriti kanak-kanak
bermasalah penglihatan dan pembelajaran yang didera adalah didera secara fizikal
manakala majoriri kanak-kanak bermasalah pendengaran didera secara seksual.

a) Apakah akhibat daripada peristiwa adik Balasundram?


b) Jelaskan maksud penderaan kanak-kanak.
c) Terangkan betapa serius masalah penderaan kanak-kanak di Malaysia.

6.2 Jenis Penderaan Kanak-Kanak


Penderaan kanak-kanak boleh dibahagikan kepada EMPAT kategori: penderaan fizikal,
penderaan seksual, pengabaian kanak-kanak dan penderaan emosi (Lihat Rajah di bawah).

Jenis
Penderaan

Penderaan
Fizikal

Penderaan
Seksual

Pengabaian
Kanak-Kanak

Penderaan
Emosi

6.3 Penderaan Fizikal (Physical Abuse)

Penderaan fizikal adalah apabila kanak-kanak didera secara


fizikal dan terdapat kecederaan yang keterlaluan yang boleh
dilihat pada mana-mana bahagian tubuh badan. Kekerasan ini
dilakukan dengan sengaja terhadap tubuh badan kanak-kanak.
Tindakan ini meninggalkan kesan-kesan seperti kontusi, calar,
parut, tulang patah, seliuh, mencucuh puntung rokok kepada
tubuh badan, pendarahan otak, melecur, kehilangan rambut atau
gigi dan lain.

Penderaan kanak-kanak secara fizikal merupakan sesuatu


yang kejam yang dilakukan oleh seseorang dewasa dengan
tujuan menyakiti kanak-kanak agar kanak-kanak tersebut
patuh atau bagi memuaskan diri sendiri. Lihat gambar
disebelah yang menunjukkan seorang bayi yang hampir
mati disebabkan digoncang dengan kuat (shaken baby
syndrome) oleh ibunya kerana tidak tahan tangisan bayi
berkenaan.
Menurut Mohd Sham Kasim (1994) cara dan alat yang
digunakan merangkumi kanak-kanak dipukul dengan
tangan, dirotan, disebat, digigit, disimbah cecari panas,
dicucuh dengan besi atau benda panas, putung rokok atau ubat nyamuk, dirantai, diikat,
dikurung, dikunci dalam bilik atau rumah, ditumbuk, disepak, diterajang, dicubit, dikepit
atau dan sebagainya. Pakar perubatan juga mendapati kadang kala penderaan fizikal
menpunyai hubung kait dengan lain-lain jenis penderaa seperti penderaan seksual, emosi
dan pengabaian kanak-kanak.

6.4 Penderaan Seksual (Sexual Abuse)


Penderaan seksual pula merujuk kepada perbuatan
yang memaksa, mengugat dan memperdaya kanakkanak untuk melakukan hubungan seksual, sematamata untuk memenuhi kehendak nafsu seks orang
dewasa (Lihat gambar disebelah). Penderaan seksual
juga merangkumi perbuatan meraba-raba kemaluan,
memperkosa, merogol, mendedahkan bahagian
tubuh yang sulit atau menunjukkan bahan-bahan
lucah. Kelakuan yang tidak melibatkan sentuhan
juga merupakan penderaan seksual, misalnya
mengintai, mendedahkan bahagian tubuh yang sulit,
dan kata-kata lucah yang diucapkan kepada kanakkanak.
Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991 mentakrifkan bahawa sesiapa yang terlibat
didialam penderaan seksual kanak-kanak ialah jika dia telah mengambil bahagian, sama
ada sebagai peserta atau pemerhati dalam apa-apa aktiviti yang bersifat seks bagi maksud
apa-apa bahan, fotografi, rakaman, filem, pita video atau persembahan yang bersifat
pornografi, lucah atau eksploitasi seks oleh mana-mana orang bagi memuaskan nafsu seks
orang itu atau orang lain. Dengan perkataan lain, mengeksploitasikan kanak-kanak untuk
tujuan pornografi, (termasuklah melalui Internet), menggunakan kanak-kanak sebagai
pelacur, menunjukkan bahan-bahan lucah juga merupakan suatu bentuk penganiayaan
seksual. Di Malaysia, majoriti penderaan seksual dilakukan oleh bapa kanak-kanak itu
sendiri.

Ahli psikologi berpendapat bahawa bentuk penderaan akan membawa implikasi buruk
kepada perkembangan emosi kanak-kanak mangsa penderaan. Oleh yang demikian
penderaan seksual mempunyai kaitan erat dengan penderaan emosi.
Tanda-Tanda Penderaan Seksual
Tanda-tanda fizikal penderaan seksual selalunya tidak kelihatan kerana pendera akan
mengelakkan berlakunya kecederaan fizikal terhadap mangsanya supaya dia boleh
melakukan penderaan itu lagi.. Berikut ini ialah contoh beberapa tanda yang penting
diketahui guru:

Pakaian dalam yang koyak, kotor atau berkesan darah


Sukar berjalan atau duduk
Bahagian kemaluan yang merah-merah, bengkak atau gatal
Infeksi salur kencing dan/atau rasa sakit pada bahagian abdomen
Perubahan selera makan yang berlaku secara tiba-tiba
Perubahan berat badan (bertambah ataupun menyusut) yang mendadak
Bertukar perangai menjadi takut dan suka berkepit (pada kanak-kanak kecil)
Menunjukkan kelakuan yang sepatutnya tidak ada lagi pada kanak-kanak usia itu;
misalnya menghisap ibu jari, kencing semasa tidur, tidak bertutur dengan betul
(pada kanak-kanak kecil), takut akan orang dewasa sesuatu jantina, berasa
terancam oleh sentuhan fizikal
Mengalami kemurungan dan kegelisahan
Mengatakan sesuatu yang menunjukkan tahap pengetahuan seksual yang tidak
bersesuaian dengan usianya (biasanya pada kanak-kanak kecil yang belum
mencapai usia baligh)
Cuba lari dari rumah (terutamanya anak remaja)
Menampakkan tanda-tanda ingin bunuh diri (terutamanya anak remaja).

6.5 Pengabaian Kanak-Kanak (Child Neglect)


Menurut Kamus Dewan, pengabaian bermakna tidak
menghiraukan; tidak melakukan atau tidak memberi
perhatian. Pengabaian adalah bentuk penderaan kanakkanak yang paling banyak berlaku dan membawa padah.
Pengabaian merujuk kepada layanan buruk yang diberikan
oleh ibu bapa atau penjaga, sama ada dengan sengaja atau
kecuaian yang menyebabkan kanak-kanak menderita.
Pengabaian boleh dikategorikan ke dalam tiga bentuk.

Pengabaian Fizikal dan Perubatan Ini adalah bentuk pengabaian yang paling
biasa berlaku. Ia termasuk keengganan untuk memberikan ubat-ubatan yang
diperlukan oleh seorang kanak-kanak; membiarkan kanak-kanak kecil bersendirian
tanpa pengawasan; dan kegagalan untuk memberi perlindungan, persekitaran yang
bersih dan selamat, pakaian dan pemakanan yang secukupnya.

Pengabaian Peluang Pendidikan. Ini berlaku apabila kanak-kanak tidak


dibenarkan pergi ke sekolah tanpa sebab yang munasabah untuk jangka waktu yang
lama; tidak mendaftar kanak-kanak di sekolah walau pun sudah mencapai umur
untuk bersekolah; atau tidak memberi pendidikan khas bagi kanak-kanak
berkeperluan khas (children with special needs).

Pengabaian Emosi. Jenis pengabaian ini sukar dikesan. Ibu bapa atau penjaga
enggan memberi kasih saying, tidak memberi perhatian sewajarnya, mencemuh
dan memencilkan kanak-kanak daripada kawan-kawan mereka dan anggota
keluarga sehingga tidak mengakui kanak-kanak itu adalah anak mereka. Ibu bapa
yang membenarkan anak mereka merokok, mengambil dadah dan alkohol juga
bersalah kerana melakukan pengabaian emosi [Kita akan membincang dengan
lebih mendalam tentang pengabaian emosi dalam bahagian seterusnya]

PENGABAIAN SEKALI-SEKALA: Pengabaian selalunya berlaku disebabkan apa yang


kita anggap ketika itu sebagai situasi di luar kawalan kita. Sementara menunggu ketibaan
pembantu rumah baru, anak yang lebih tua mungkin diberi tanggungjawab untuk
mengurus dan menjaga adik sementara kita menguruskan sesuatu di luar rumah. Memang
wajar kita melatih anak memikul tanggungjawab membuat kerja rumah sejak kecil, tetapi
mereka tidak seharusnya dipaksa menjadi pengganti ibu bapa. Ini adalah satu bebanan
yang tidak boleh diletakkan di atas bahu mereka.

KESAN PENGABAIAN KANAK-KANAK


Kajian menunjukkan orang dewasa yang terabai semasa zaman kanak-kanak lebih
berkemungkinan menghidap penyakit fizikal seperti asma, bronkitis, ulser dan tekanan
darah tinggi, yang mungkin disebabkan oleh tekanan emosi. Di samping itu, kanak-kanak
yang terbiar atau diabaikan oleh ibu bapa mungkin mengalami masalah makan, masalah
identiti, kemarahan, kegelisahan, kemurungan, gangguan personaliti dan berkelakuan
ganas apabila mereka besar. Pengabaian boleh memberi kesan emosi yang mungkin kekal
sepanjang hayat, kata Profesor Madya Dr Teoh Hsien-Jin, Pakar Perunding Psikologi
Klinikal.
Menurutnya, kanak-kanak yang diabaikan oleh ibu bapa mungkin juga berkelakuan buruk.
Penyelidikan menunjukkan sekurang-kurangnya 25% daripada kanak-kanak terabai lebih
berkemungkinan menjadi remaja yang terlibat dalam kegiatan seks berisiko dan erjebak
dalam pelbagai masalah seperti kehamilan, kelakuan tidak senonoh, kelemahan dari segi
akademik, ketidakstabilan mental dan penyalahgunaan dadah, kata Profesor Teoh. Lebih
membimbangkan, kira-kira satu pertiga daripada kanak-kanak yang teraniaya dan terabai
mungkin menjadikan anak-anak mereka sendiri sebagai mangsa apabila mereka dewasa.

Namun, bukan semua kanak-kanak terabai mengalami kesan jangka panjang. Hasil kajian
ke atas kes individu adalah berbeza dan dipengaruhi oleh kombinasi pelbagai faktor,
khususnya jenis pengabaian, tempoh dan tahap pengabaian, dan usia anak apabila
pengabaian berlaku, jelas Profesor Teoh. Pakar penyelidik juga menemui sebab,
berasaskan situasi yang sama, mengapa sesetengah kanak-kanak mengalami kesan
pengabaian jangka panjang manakala yang lain hampir tanpa kesan. Daya tahan atau
keupayaan kanak-kanak untuk terus membesar selepas melalui pengalaman negatif
mungkin disebabkan oleh pelbagai faktor perlindungan dan asuhan, termasuk kelebihan
individu seperti kepintaran, kreativiti dan kelucuan, persekitaran sosial kanak-kanak,
penerimaan rakan sebaya, pengaruh positif individu seperti guru dan orang berteladan,
serta sokongan sosial yang boleh didapati oleh keluarga, katanya (Teoh Hsien-Jin, 2009).

a) Apakah yang dimaksudkan dengan penderaan fizikal?


b) Bagaimana guru dapat mengesan seorang murid tadika mungkin
c)
d)
e)
f)

mengalami penderaan fizikal?


Jelaskan maksud penderaan seksual kanak-kanak.
Bagaimana guru dapat mengesan seorang murid tadika mungkin
mengalami penderaan seksual?
Apakah ciri-ciri pengabaian kanak-kanak?
Nyatakan kesan pengabaian kanak-kanak.

6.6 Penderaan Emosi (Emotional Abuse)


Penderaan emosi atau mental atau psikologi ditafsirkan sebagai sebarang tindakan yang
melukakan seorang kanak-kanak dari segi emosi atau mental. Tindakan tersebut mungkin
dilakukan berulang kali atau hanya sekali yang keterlaluan. Keadaan seumpama ini
merosakkan keupayaan kanak-kanak tersebut untuk berkelakuan baik, berfikir dengan
waras dan berfungsi secara normal (Karmini Kassim, 1998).
Penderaan emosi terhadap kanak-kanak mula dihuraikan dalam jurnal sejak awal tahun
70an. Sebelum itu, pakar psikiatri dan psikologi tidak sepakat tentang maksud penderaan
emosi. Ketika itu, mangsa tidak mengadu mereka didera dan tanda-tanda penderaan emosi
tidak dapat dilihat dengan terperinci. Kini pula, dengan perkembangan bidang psikiatri dan
psikologi telah timbul kesedaran tentang ciri, punca, kesan dan tanda-tanda penderaan
emosi dalam kalangan kanak-kanak. Walau pun kadang-kala sukar dikesan, penderaan
emosi tetap menjadi fokus bidang psikiatri, psikologi dan perundangan perubatan..
Penderaan emosi berlaku apabila ibu bapa atau penjaga gagal memberi kasih sayang dan
penjagaan secara berterusan, sering mengancam mengutuk dan/atau menjerit kepada
kanak-kanak dibawah jagaan mereka. Keadaan ini menyebabkan kanak-kanak hilang
keyakinan, harga diri dan mengasingan diri sehingga terganggu kesihatan mental mereka.
8

Garbarino, Gattman & Sealey (1986) mencadangkan LIMA tingkah laku ibu bapa atau
penjaga terhadap kanak-kanak yang dikira sebagai penderaan emosi, iaitu penolakan
(rejection), pengasingan (isolating), menakutkan (terrorising), sikap tidak peduli
(ignoring) dan merosakkan minda (corrupting the mind). Lihat Rajah di bawah.

Tidak Peduli

Menakutkan

Penolakan

Merasuah
Pemikiran

T TINGKAH-LAKU IBUBAPA ATAU


PENJAGA

Pengasingan

PENOLAKAN (Rejection): Bapa atau


penjaga yang sengaja enggan member kasih
sayang kepada kanak-kanak dibawah jagaan
mereka atau enggan mengakui bahawa kanakkanak berkenaan memerlukan mereka
sehingga tidak mengakui kehadiran mereka.
Ini ditujukkan dengan memanggil anak-anak
mereka dengan kata-kata yang hina, kesat,
mengutuk dan mencaci anak-anak mereka di
khalayak ramai (Lihat gambar disebelah).
Perkara ini sering dilakukan oleh ibu bapa atau penjaga apabila dalam keadaan
marah. Tindakan ibu bapa atau penjaga yang tidak mahu mengaku dan menerima
anak mereka sebagai anak mereka juga merupakan salah satu bentuk penolakan.

PENGASINGAN (Isolation): Ini melibatkan tindakan


ibu bapa atau penjaga yang sengaja mengasingkan
anak mereka dengan menguncikan mereka didalam
almari atau bilik dalam jangka masa yang panjang. Ibu
bapa atau penjaga langsung yang tidak membenarkan
anak mereka bergaul dan berinteraksi dengan rakan
sebaya atau orang lain juga ditakrifkan sebagai
pengasingan. Perkara ini sering berlaku dalam usaha
ibu bapa mengawal pergerakan anak mereka dalam
usaha mendisiplin mereka yang melampaui batas.

MENGANCAM dan MENGUGUT (Threaten):


Ini bermaksud tindakan mengancam untuk
mencedera, membunuh dan meninggalkan anak
(abandon) sekiranya anak tidak mengikut kata atau
tidak menunjukkan tingkah laku yang diharapkan.
Tindakkan ini termasuk ancaman oleh ibu bapa,
penjaga atau orang lain untuk mendedahkan anak
kepada keganasan yang akan dilakukan kepada
orang yang disayangi oleh anak itu. Ini bertujuan
supaya anak itu akan tinggal bersendirian apabila
orang yang anak itu sayangi cedera atau mati atau
dipisahkan dari mereka dengan sengaja. Tingkah
laku menakutkan ini sering berlaku kepada kanakkanak yang didera secara seksual dan juga kepada anak-anak yang mempunyai ibu
bapa yang melalui proses penceraian.

SIKAP TIDAK PEDULI (Ignoring) - menolak tindak balas emosi (Ignoring Denying emotional responsiveness): Ini bermaksud tingkah laku ibu bapa atau
penjaga yang dengan sengaja tidak mempedulikan usaha anak untuk mendapat
belaian kasih sayang daripada mereka. Ibu bapa sebegini melayan anak mereka
secara mekanikal sahaja. Mereka langsung tidak mempunyai perasaan terhadap
anak. Mereka tidak memberikan kasih sayang dan jauh sekali mencium anak dan
merapati anak. Cara mereka berkomunikasi dengan anak adalah dengan cara
perbuatan melupakan atau dengan tidak melakukan apa-apa (acts of omission).
Dalam erti kata lain, mereka tida berminat untuk menjalinkan emosi dengan anak.
Tingkah laku ini sering terjadi pada kanak-kanak yang dianaktirikan

MEROSAKKAN MINDA (Corrupting the Mind): Ini menunjukkan tingkah


laku ibu bapa atau penjaga yang menggalakkan, mengajar dan membiarkan anak
melakukan kegiatan antisosial seperti melakukan maksiat dan jenayah. Juga ibu
bapa yang menyimpan anak dalam rumah dengan niat menjadikannya sebagai
hamba atau penjaga kepada anak-anak lain, walhal dia sepatutnya pergi ke sekolah.
Ibu bapa yang menggalakkan anak terlibat dengan pornografi juga dianggap
mengeksploitasi anak. Ibu bapa yang mempunyai tingkah laku buruk dan tidak
bermoral, dan dicontohi oleh anak merupakan satu perbuatan merosakkan (corrupt)
fikiran anak, terutama sekali terhadap anak yang dipaksa melakukan perbuatan keji
sedangkan anak-anak itu enggan mengikut jejak langkah ibu bapa mereka.
Penjelasan di atas tidak termasuk aspek amalan dalam sebarang budaya yang
mungkin menganggap salah satu tingkah laku yang tersenarai di atas sebagai satu
amalan normal mereka.

10

Mengesan Kesan Penderaan Emosi


Gundah atau rasa rendah diri. Mereka kurang mendapat bimbingan atau
perhatian ibu bapa dan memendam masalah, serta lebih berkemungkinan
menyalahgunakan alkohol, mencuba dadah, merokok atau makan berlebihan.

Mengantuk atau lesu. Tertidur dalam kelas dan pada waktu lain yang tidak
sewajarnya boleh menandakan tekanan atau ibu bapa yang kurang member
penekanan terhadap peraturan waktu tidur yang tetap untuk anak mereka.

Kerap ponteng sekolah. Ponteng sekolah boleh menandakan pengabaian ibu bapa.
Tidak mahu pulang ke rumah selepas sekolah. Kanak-kanak yang berkeliaran di
jalan selepas waktu sekolah mungkin mengelakkan apa yang dianggap sebagai
persekitaran yang tidak menyenangkan di rumah.

Sentiasa lapar. Kanak-kanak yang mencuri, merampas dan makan dengan gelojoh
mungkin tidak mendapat makanan dan pemakanan secukupnya di rumah.

Merungut selalu ditinggalkan. Kanak-kanak yang sentiasa merungut kerana ibu


bapa lewat mengambil mereka dari sekolah atau ditinggalkan seorang diri di rumah
mungkin membayangkan pengabaian ibu bapa.

a) Apakah penderaan emosi?


b) Bagaimana tingkah laku ibu bapa atau penjaga disifatkan sebagai

penderaan emosi?
c) Apakah tanda-tanda kanak-kanak yang menghadapi penderaan emosi?

6.7 Ciri-Ciri Kanak-Kanak

Ciri-ciri yang terdapat pada kanak-kanak juga


menentukan sama ada kanak-kanak mempunyai
risiko yang lebih tinggi untuk mengalami
penderaan emosi. Antara faktor yang dikatakan
boleh menyebabkan anak-anak berkenaan lebih
berkemungkinan mengalami penderaan emosi
adalah jika kanak-kanak itu tidak mendapat
sokongan dan penjagaan tambahan daripada orang
dewasa yang lain sama ada dari dalam atau luar
11

keluarga. (Kasmini Kassim, 1998).


Peringkat umur kanak-kanak semasa penderaan emosi berlaku adalah dibawah umur 12
tahun dan mereka mempunyai kecerdasan akal yang kurang. Yang anehnya, kanak-kanak
yang mempunyai kecerdasan akal yang tinggi didapati lebih kerap dilanda kesan buruk
yang berpanjangan akibat penderaan emosi. Ini adalah kerana mereka lebih berupaya
mentafsir dan menilai maksud penderaan emosi terhadap diri mereka.

KESAH BENAR
May Hong sedang dalam perjalanan untuk membeli sarapan pagi
untuk abangnya; Audrey Melissa pula sedang di dalam perjalanan ke
sekolah dengan mengambil jalan yang selalu digunakannya. Nurin
Jazlin pula berada di pasar malam yang berdekatan dengan rumahnya.
Tindakan-tindakan mereka bukanlah sesuatu yang di luar kebiasaan.
Tetapi jenayah kejam yang telah dilakukan terhadap mereka adalah
luar biasa. Apa yang paling kejam adalah sikap kita yang tidak ingin
tahu dan membisu terhadap kesemua ini yang telah membenarkan
jenayah-jenayah seperti ini berlaku berulang kali.
[sumber: Indra Nadchatram, Adakah kita telah gagal untuk
melindungi akan-anak kita? UNICEF Malaysia, 2010]

Khadijah Alavi (1999) telah menjalankan kajian dalam kalangan kanak-kanak yang
dirawat di Hospital Besar Kuala Lumpur untuk pelbagai penderaan. Beliau mendapati
bahawa kanak-kanak perempuan lebih banyak (67%) didera berbanding dengan kanakkanak lelaki (33%). Peratuan kejadian penderaan ke atas kanak-kanak perempuan berlaku
pada semua peringkat umur iaitu umur 1-5 tahun (21%), 6-10 tahun (24%) dan umur di
antara 11-13 tahun (21%). Ini berbeza dengan insiden penderaan dikalangan kanak-kanak
lelaki dimana kejadian yang paling tinggi adalah terhadap kanak-kanak antara 6-10 tahun
sebanyak 21% kes yang dapat rawatan. Menurut beliau, kanak-kanak lelaki lebih banyak
mengalami penderaan fizikal dan kanak-kanak perempuan pula menderitai penderaan
seksual, emosional dan pengabaian.

a) Bagaimana ciri-ciri kanak-kanak dieksploitasi oleh pendera untuk


melakukan sesuatu terhadap kanak-kanak?
b) Apakah dapatan-dapatan yang diperolehi oleh Khadijah Alavi dalam
kajiannya tentang penderaan kanak-kanak?

12

6.8 Penceraian dan Gangguan Emosi

Tempoh masa sebelum proses penceraian berakhir


selalunya merupakan tempoh masa yang amat
genting. Dalam tempoh ini biasanya berlaku
konflik, pergaduhan dan keganasan dalam rumah
tangga (Lihat Rajah disebelah). Dalam keadaan
sebegini anak-anak mudah menjadi mangsa
penderaan emosi terutama sekali jika mereka masih
kecil. Suasana rumahtangga yang tegang dan
dipenuhi dengan cara berkomunikasi yang marahmemarahi, kerap berselisih faham, bertelingkah
ataupun tiada komunikasi secara lisan di antara ibu
bapa, merupakan keadaan yang sebenarnya
menyebabkan anak-anak berasa tertekan.
Perbuatan ibu atau bapa yang mencerca dan melakukan keganasan di antara satu sama lain
atau menyampaikan hal-hal kurang baik dihadapan anak seperti mengutuk ibu atau
bapa kepada anak di belakang ibu atau bapa tersebut juga boleh membuat anak itu berasa
cemas dan takut (Lihat Gambar dibawah). Sekiranya keadaan ini kerap berlaku dan
berlarutan sehingga berbulan-bulan atau bertahun-tahun akan memberi kesan negatif pada
perkembangan anak.

13

Tekanan paling hebat yang dihadapi


oleh kanak-kanak adalah sewaktu
ibu bapa melalui proses penceraian
di mana anak itu masih bersama
kedua-dua ibu bapa mereka. Oleh
sebab itu kadangkala tindakan untuk
bercerai terus dan tidak lagi hidup
serumah dikatakan sebagai tindakan
yang terbaik untuk memastikan
segala tekanan dan keganasan
rumahtangga tidak lagi mengganggu
perkembangan anak.
Tekanan tambahan bermula apabila anak-anak dipisahkan daripada ibu atau bapa mereka
dan seterusnya apabila pihak ibu atau pihak bapa bertengkar untuk merebut hak
penjagaan ke atas anak. Apabila perebutan hak penjagaan anak ini dibawa kemahkamah,
tekanan kepada anak kadangkala boleh meningkat (Lihat Rajah di atas).
Kebanyakan kanak-kanak akan menyalahi sama ada ibu atau bapa yang menyebabkan
penceraian dan akan memusuhi orang yang berkenaan. Sekiranya hak penjagaan
diberikan kepada orang yang mereka musuhi atau yang disangkakan sebagai penyebab
penceraian, si anak akan memikir atau beranggapan bahawa orang yang disayangi (yang
tidak mendapat hak penjagaan) tidak mahukannya dan sengaja mahu menyerahkannya
kepada orang yang tidak disukai olehnya (Kasmini Kassim, 1998).

Lebih menyedihkan lagi ialah apabila orang yang mendapat hak penjagaan mengetahui dan
sedar akan hal ini, memarahi anak itu apabila sianak menunjukkan tingkah laku yang tidak
disenangi, sehingga melakukan tingkah laku penolakan. Ini dilakukan dengan tujuan untuk
menyakitkan hati pihak yang tidak mendapat hak penjagaan. Apabila penjaga yang tidak
berjaya ini mengetahui keadaan anaknya yang sengsara, maka akan tercetuslah perang
mulut yang menjadi satu lagi tekanan pada anak. Bagi si ibu atau si ayah yang becerai dan
bencikan bekas suami atau isteri, sekiranya anak lelaki atau perempuan yang dijaga
mempunyai paras rupa dan tingkah laku seperti bekas suami atau isteri, maka mereka pula
akan lebih mudah dimaki hamun dan kadangkala dibenci secara berterusan. Ini kerana si
anak ini mengingatkan mereka kepada orang yang tidak disukai atau dibenci (Kasmini
Kassim, 1998).

Dalam penceraian yang melibatkan penjagaan kepada seorang anak sahaja, biasanya anak
itu akan berulang-alik dari satu rumah ke satu rumah yang lain secara bergilir-gilir jika hak
penjagaan diberi dengan adil. Kadangkala si anak berasa lebih selesa berada di satu rumah
sahaja dan tidak mahu pergi ke rumah yang satu lagi. Paksaan biasanya dilakukan oleh ibu
atau bapa supaya anak tetap pergi ke rumah yang satu lagi. Ini berlaku kerana ibu atau
bapa perlu mengikut segala perintah mahkamah. Keadaan begini merupakan penderaan
emosi, terutama sekali apabila anak mengalami gangguan dan perubahan tingkah laku.
Antaranya seperti penurunan prestasi sekolah, sering mengigau pada waktu malam,
14

timbulnya penyakit psikosomik seperti penyakit lelah yang menjadi teruk dan sebagainya
apabila anak itu dipaksa juga pergi ke rumah yang tidak disukainya (Kasmini Kassim,
1998).
Kadangkala oleh kerana si ibu atau si ayah takut melawan atau melanggar keputusan
mahkamah apabila anak tersebut perlu diserahkan kepada ayah atau ibu mengikut giliran si
anak itu akan ditakutkan. Sedangkan dia mengetahui si anak tidak mahu pergi berjumpa
ayah atau ibunya. Pelbagai cara digunakan seperti nanti emak/ayah akan dipenjarakan,
nanti emak/ayah akan dibunuh dan sebagainya. Segalanya ini merisaukan anak dan
membuat anak itu berada dalam konflik dan dilemma (Kasmini Kassim, 1998). Dalam
keadaan yang melibatkan dua atau lebih anak, pembahagian dan perpisahan diantara anakanak juga berlaku. Apabila dua beradik yang sangat rapat dipisahkan dan tidak dibenarkan
atau tidak mendapat peluang berjumpa setelah dipisahkan adalah satu penderaan emosi.
Dengan itu dalam penceraian, anak-anak perlu melalui pelbagai masa peralihan seperti
berikut:

Peralihan semasa keluarga asalnya berpecah.


Peralihan untuk hidup bersama ibu atau bapa sahaja.
Peralihan untuk menyesuaikan diri hidup dengan ayah dan/ibu tiri.
Peralihan untuk hidup bersama adik beradik tiri.

Setiap peralihan yang dilalui merupakan satu tekanan dan konflik kepada anak-anak yang
terlibat. Biasanya setelah penceraian berlaku perhubungan dan komunikasi antara anak
dengan ibu bapa kandung mereka akan berkurangan. Disiplin terhadap anak oleh ibu bapa
kandung juga tidak tentu arah. Si ibu mungkin akan mendisiplinkan anak dengan kurang
konsisten dan tidak sebegitu tegas terutama sekali pada anak lelaki yang sebelum ini lebih
didisiplinkan oleh ayahnya (Kasmini Kassim, 1998).
Lama-kelamaan anak lelaki tersebut mungkin akan menjadi lebih agresif dan tidak
mengikut kata. Seterusnya si ayah akan menyalahkan ibu kerana tidak pandai mendisiplin
anak. Si ibu pula akan menyampaikan perkara ini kepada anak dan ini boleh mendorong
ibu untuk memarahi anak kerana si ibu sendiri juga berada dalam keadaan tertekan dan
rasa bersalah. Si ayah pula akan lebih memanjakan anak sekiranya dia hanya dapat
berjumpa dengan anaknya sekali-sekala sahaja, kerasi ibu yang biasanya mendapat
penjagaan sepenuh masa. Ini pun jika si ayah mahu berjumpa dengan anaknya. Keadaan
seperti ini juga merupakan satu tekanan kepada anak jika si ayah tidak mengambil berat
untuk berjumpa anak yang amat berharap untuk berjumpa dengan ayah, tetapi si ayah
memberi pelbagai alas an untuk tidak berjumpa anak (Kasmini Kassim, 1998).
Bagi si ayah yang sudah tidak ingatkan lagi anak-anak dan bekas isterinya kerana khayal
dengan minat baru seperti ada isteri lain, anak-anak ini biasanya tidak akan dipedulikan
langsung, jauh sekali mahu berjumpa mereka. Tindakan ini menyayatkan hati dan perasaan
anak yang merasa kesakitannya lebih menyakitkan daripada dipukul. Ini merupakan
penderaan emosi jenis tidak peduli (denying emotional responsiveness).
Hubungan emosi dengan ayah terputus apabila si ayah tidak memberi layanan dan
perhatian ketika pihak anak sangat memerlukan kasih sayang dan layanan daripadanya.
(Kasmini Kassim, 1998). Dalam keadaan sebegini, anak-anak akibat penceraian didapati
15

mudah menunjukkan tingkah laku yang buruk apabila emosi mereka didera teruk, terutama
sekali apabila ibu dan ayah tidak memainkan peranan mereka dengan baik dalam semua
urusan penceraian. Perasaan dan tingkah laku ibu bapa seperti tadi menjadi punca
penderaan emosi terhadap anak-anak.

a) Jelaskan bagaimana penceraian dalam sesuatu keluarga boleh


menyebabkan gangguan emosi di kalangan kanak-kanak yang terlibat.
b) Sejauh manakah anda bersetuju dengan pandangan yang
dikemukakan oleh Dr. Kasmini Kassim, seorang pakar perubatan?

PERKATAAN PENTING

Penderaan
Penderaan fizikal
Penderaan seksual
Pengabaian kanak-kanak
Penderaan emosi

Penceraian
Gangguan emosi
Sikap tidak peduli
Merosakkan minda
Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991

RUJUKAN

Irene Cheah (2012). Penderaan Kanak-Kanak. MyHeath, Kementerian Kesihatan


Malaysia.
http://www.myhealth.gov.my/v2/index.php/bayikanak-kanak/kecederaankemalangan-a-keracunan/penderaan-kanak-kanak
Shamsul Amri Sallehuddin (2009). Penderaan Kanak-Kanak Kurang Upaya: Satu Kajian
Prevalens (Pengalamana dan Persepsi Kanak-Kanak) di Institusi Khas di Semenanjung
Malaysia. Tesis Sarjana Sains. Universiti Sains Malaysia.
Khadijah Alavi (1999) Penderaan kanak-kanak : satu kajian kes-kes rawatan di Hospital
Universiti, Kuala Lumpur / Khadijah Bte Alavi. Masters thesis, Universiti Malaya.
Kasmini Kassim (1998). Penderaan Emosi Kanak-kanak Trauma Terselindung. Bangi:
Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Teoh Hsien-Jin (2009). Pakar Perunding Psikologi Klinikal. Bagaimana Pengabaian Boleh
Menjejaskan Anak Anda, Persatuan Mental Malaysia.
16

You might also like