You are on page 1of 3

ULASAN BUKU

Riduan Makhtar
Rahsia Pengutip Sampah Jadi Jutawan
Bandar Baru Bangi, Selangor : Maleq Rezki Enterprise
2020
ISBN 9789671719701

ULASAN

Buku ini menceritakan kisah benar bagaimana seorang pemuda yang dulunya hidup
miskin dan pernah bekerja sebagai pengutip sampah akhirnya berjaya menjadi seorang
jutawan serta hartawan.

Mohamad Azlan Al Amin yang lahir dari keluarga termiskin di Kampung Tok Raja Besut,
Terengganu pada tahun 1987 pernah dibuang sekolah kerana masalah disiplin. Bekerja
sebagai pengutip sampah, bergelumang dengan bau busuk sisa buangan, pengalaman
mahupun kesukaran yang dilalui akhirnya bertukar menjadi suntikan motivasi terunggul
untuk beliau melangkah demi mengubah nasib diri dan keluarga.

Beliau mungkin bukan seorang yang hebat dalam bidang ilmiah, hanya mampu
membaca dan menulis. Namun kejayaan beliau bukan atas faktor nasib semata – mata
tetapi berkait rapat dengan doa, usaha, tawakal serta pengharapan kepada Allah s.w.t.

Kepada mereka yang ingin berjaya, ingatlah bahawa kejayaan hanya boleh dicapai
sekiranya kita benar – benar yakin dan bersangka baik kepada Allah s.w.t.. Ia juga
mengisahkan tentang kekuatan doa seorang ibu dan kisah keluhuran budi orang -orang
miskin yang jiwa mereka mewah dengan sifat mulia.
Suka untuk saya bicarakan, bagaimana kemiskinan menjadi asbab dan hikmah kepada
kejayaannya pada saat ini. Jika disingkap latarbelakang kehidupannya, beliau lahir
dalam keluarga miskin tegar. Mempunyai seramai 21 orang adik-beradik seibu seayah,
5 orang daripadanya meninggal dunia sewaktu kecil. Mereka pernah dibanci sebagai
keluarga paling miskin di Kampung Tok Raja, Besut, Terengganu. Kemiskinan
menjadikan mereka menghargai apa sahaja nikmat yang ada asalkan halal dan penuh
keberkatan.

Selepas tamat persekolahan, beliau menjadi pengutip sampah. Itu sahaja pilihan
pekerjaan yang ada. Pernah beberapa kali air mata ibunya tumpah apabila melihat ulat-
ulat sampah keluar menggelitik dari poket baju dan kasut yang dipakai beliau.

Perjalanan menjadi dewasa bermula, kebun jagung yang diusahakan musnah dilanda
ribut. Rakan kongsi satu per satu menarik diri, hubungan keluarga juga berantakan
kerana masalah yang datang bertalu-talu. Buntu dan tertekan, beliau nekad
meninggalkan kampung halaman. Pertemuan dengan Cikgu Halim menjadi detik
permulaan beliau menjadi ejen hartanah.

Bermodalkan RM50 dan kereta buruk yang dipinjam, beliau mengedar risalah promosi
lot tanah. Untuk pertama kali dalam hidupnya, beliau berjaya menjual dua lot tanah dan
mendapat komisen sebanyak RM4,000. Pendapatan itu mengatasi gaji bulanan
sesetengah pekerjaan. Beliau yakin sekiranya berusaha lebih bersungguh-sungguh,
tidak mustahil beliau boleh mendapat imbuhan lebih daripada itu. Semangatnya kian
membara. Siapa percaya, dalam tempoh enam bulan sahaja, beliau berjaya meraih
pendapatan lebih RM500,000.

Disebaliknya kejayaannya, pasti ada sesuatu amalan yang menjadi senjata ampuh
untuk beliau disayangi dan dicintai penduduk langit dan bumi.Sewaktu diuji dengan
pendapatan pertama yang lumayan. Hasratnya untuk membeli kereta untuk dijadikan
pengangkutan untuk berulang alik ke tempat kerja dengan selesa terpaksa dilupakan.
dia mengorbankan pendapatan dan simpanannya untuk membayar yuran universiti
adiknya.
Namun, walau hanya berulang-alik dengan motorsikal, Allah membalas kebaikannya
dengan ganjaran yang lebih besar. Puluhan ribu komisen diperolehi melalui jualan lot
tanah. Namun, duit itu digunakan untuk membina rumah ibu & ayahnya. Beliau juga
membiayai sepenuhnya pengajian 18 orang pelajar miskin dari Kemboja. Benarlah janji
Allah. Dengan sedekah yang ikhlas, Allah akan lipat gandakan pahala serta keberkatan
rezeki kita.

Bermula sebagai ejen jualan tanah lot, beliau menubuhkan syarikat sendiri dan membeli
hartanah pertama pada harga hampir RM300,000. Namun, kerana kurang pengalaman,
hartanah yang dibeli tidak dapat dimajukan dan beliau hampir tersungkur. Setelah
halangan dapat diatasi, beliau mengorak langkah dengan lebih berhati-hati. Beliau dan
syarikatnya menguasai hartanah di sekitar Terengganu dan Kelantan dengan pelbagai
projek perumahan dan pembinaan yang bernilai ratusan hingga jutaan ringgit.

Setiap kesulitan, Allah datangkan kemudahan. Tatkala rasa terbeban dengan ujian
dunia yang berat, percayalah bahawa rahmat & pertolongan Allah akan datang kepada
hamba-Nya yang yakin. Bantuan daripada Allah datang dalam pelbagai bentuk dan
tanpa disangka-sangka. Tiada usaha kita yang Allah akan sia-siakan. Tugas kita
sebagai manusia untuk berusaha dan bertawakkal. Buku ini merakamkan hampir
keseluruhan perjalanan hidup, jatuh bangun & kisah perjuangan seorang hamba Allah
yang dulunya miskin harta, dan kini diberi nikmat dunia menjadi jutawan hartanah.

Pengulas
Mohd Faizol Bin Che Mohd Kasa
Pembantu Pustakawan S19
Perpustakaan Komuniti UTC Perlis
Perbadanan Pepustakaan Awam Negeri Perlis

You might also like