You are on page 1of 11

See discussions, stats, and author profiles for this publication at: https://www.researchgate.

net/publication/339446649

Tinjauan Semula Kata Sifat Terbitan Bahasa Melayu

Article · January 2012

CITATIONS READS

0 4,424

1 author:

Norliza Jamaluddin
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
46 PUBLICATIONS   22 CITATIONS   

SEE PROFILE

Some of the authors of this publication are also working on these related projects:

Bahasa Melayu Bahasa Pemersatu Kawasan Asia Tenggara View project

All content following this page was uploaded by Norliza Jamaluddin on 25 February 2020.

The user has requested enhancement of the downloaded file.


Tinjauan Semula Kata Sifat Terbitan Bahasa Melayu1
Norliza Hj. Jamaluddin dan Dahlia Janan
Universiti Pendidikan Sultan Idris

Pengenalan

Usaha mengelompokkan kata ke dalam golongan tertentu merupakan usaha yang telah lama
berlangsung, iaitu sejak zaman Yunani lagi. Istilah meroi logos dalam bahasa Yunani dan partes
orationis dalam bahasa Latin merujuk aspek penggolongan kata. Istilah ini, khususnya dalam tradisi
Yunani yang awal (Plato dan Aristotle) membawa maksud “parts of a sentence”, iaitu penelitian
terhadap konstituen dalam ayat. Maksud ini kemudiannya telah diubah menjadi skema kelas kata oleh
Dionysius Thrax dalam usahanya mengekod bahasa Yunani. Dalam bahasa Inggeris, istilah yang
sepadan dengan maksud ini ialah parts of speech. Plato merupakan ahli falsafah Yunani pertama yang
mengkategorikan kata ke dalam dua golongan utama, iaitu kata nama (onoma) dan kata kerja (rhema).
Penggolongan kata ini berdasarkan kepada pembahagian asas ayat dalam bahasa Yunani, iaitu ayat
terbina daripada komponen subjek dan predikat, maka perbezaan antara kedua-dua komponen ini
telah menimbulkan dua golongan kata yang berbeza, iaitu kata nama dan kata kerja. Hal ini
disebabkan kata nama menjadi konstituen yang berfungsi sebagai subjek, manakala kata kerja
merupakan konstituen yang berfungsi sebagai predikat. Definisi golongan kata yang diberikan ini
ditentukan berdasarkan aspek logik, iaitu kata nama dan kata kerja sebagai konstituen suatu proposisi.

Asas-asas yang dimulakan oleh ahli falsafah Yunani dan Romawi ini kemudiannya diteruskan
sehingga abad ke-18 oleh sarjana Eropah dalam menggolongkan perkataan, khususnya penggolongan
kata bahasa Inggeris. Pada peringkat awal ini, kriteria semantik/makna menjadi keutamaan dalam
menggolongkan sesuatu kata. Berdasarkan aspek makna ini, ahli tatabahasa telah mengelompokkan
kata ke dalam golongan tertentu berdasarkan makna yang didukung oleh perkataan tersebut. Oleh itu
setiap golongan kata diberikan makna golongannya, misalnya golongan kata nama ialah sekelompok
kata yang mendukung makna menamakan orang, tempat atau benda; manakala kata kerja merupakan
kelompok kata yang menjelaskan perbuatan yang dilakukan. Selain aspek semantik, aspek fungsian
turut diterapkan untuk menentukan golongan kata, iaitu kata sifat sebagai kata yang berfungsi untuk
menerangkan kata nama dan kata adverba sebagai kata yang berfungsi untuk menerangkan perbuatan.
Perkara yang sama berlaku terhadap bahasa Melayu, terutamanya dalam buku-buku tatabahasa yang
awal, iaitu penggolongan katanya mengikut cara yang digunakan oleh bahasa Inggeris. Hal ini turut
diperkatakan oleh Muhammad Said Sulaiman (1993), iaitu “... Jalan Bahasa Melayu ini disusun
mengikut kaedah mengarang bunga yang dipetik dari kebun Inggeris dan kebun Melayu” dan Za’ba

1
Kertas kerja ini akan memfokuskan imbuhan awalan kata sifat sahaja.

1
(1958), turut menyatakan bahawa “Aturan rangkanya banyak ditiru ... acuan nahu Inggeris dan
sedikit-sedikit nahu Arab”.

Kriteria Penggolongan Kata

Dalam menentukan golongan kata, bukan sahaja bergantung pada kriteria semantik, kriteria
struktural juga turut dipentingkan. Pada umumnya, aspek struktural melibatkan struktur dalaman
(internal structure) dan distribusi luaran (external distribution). Internal sturcture melibatkan kriteria
morfologi, iaitu hubungan antara bentuk kata dasar dengan imbuhannya, manakala external
distribution melibatkan posisi atau kehadiran sesuatu kata dalam rangkai kata atau ayat. Oleh itu,
penelitian golongan kata pada umumnya boleh dilakukan dalam tiga tahap, iaitu berdasarkan:
i. ciri morfologi – imbuhan dan maknanya
ii. kedudukan kata dalam kelompok atau rangkai kata
iii. fungsi dan posisi sesuatu jenis kata dalam ayat

Ketiga-tiga kriteria ini digunakan oleh peneliti-peneliti tatabahasa bahasa Melayu, antaranya
Asmah Haji Omar (1962), Asraf Abdul Wahab (1978), Law Law Yock Fang (1967, 1983, 1994),
Abdullah Hassan (1986) dan Nik Safiah Karim, et al. (2008). Antara ketiga-tiga kriteria ini,
penekanan diberikan kepada kriteria sintaksis atau fungsian kerana kriteria ini dapat mengenal pasti
golongan sesuatu kata dengan lebih jelas. Dari segi fungsi, diteliti dari segi tugas yang didukung oleh
sesuatu kata atau frasa dalam ayat dan fungsi ini dapat menjadi penanda (markes) bagi sesuatu
golongan kata. Bagaimanapun, penanda yang juga jelas apabila meneliti kata tanpa kehadirannya
dengan kata yang lain ialah kriteria morfologi. Oleh itu, kertas kerja ini akan menjurus kepada dua
aspek dalam meneliti golongan kata, iaitu kriteria morfologi dan kriteria fungsian. Kriteria morfologi
yang diteliti berdasarkan kata sifat terbitan kerana menerusi imbuhan sesuatu kata dapat dikenal pasti
dengan lebih jelas. Bagi kriteria fungsian pula akan diteliti kehadiran kata sifat terbitan ini dalam ayat,
iaitu berdasarkan aspek sintaktik.

Imbuhan Kata Sifat

Perkaitan antara bentuk kata terbitan dan golongannya banyak diperkatakan dalam buku
tatabahasa bahasa Melayu. Dalam membincangkan pembentukan kata bahasa Melayu, di bawah judul
golongan kata, kerap kali dimuatkan imbuhan awalan, akhiran, apitan atau sisipan bagi setiap
golongan kata. Hal ini secara tidak langung dapat menjelaskan bentuk tipikal imbuhan bagi setiap
golongan kata. Bagi kata sifat, imbuhan yang kerap dimuatkan sebagai imbuhan tipikalnya ialah

2
imbuhan awalan teR- dan se-. Bagaimanapun, selain daripada imbuhan ini, terdapat beberapa imbuhan
lain yang turut dianggap sebagai imbuhan kata sifat oleh peneliti-peneliti bahasa Melayu. Imbuhan
sifat ini ditunjukkan menerusi jadual di bawah.
Imbuhan Kata Sifat
Imbuhan
Peneliti Bahasa
Imbuhan Imbuhan Imbuhan Imbuhan
Awalan Akhiran Apitan Sisipan
Asmah Haji Omar (1993) teR- -is - -
se- -iah
ke- -isme
Nik Safiah Karim (2008) teR- - ke-...-an -em-
se- -el-
-er-
-in-
Law Yock Fang dan teR- -an beR-...-an -
Abdullah Hassan (1994) se- meN-...-kan
peN- ke-...-an
ke- peR-...an
beR-
meN-
di-
Arbak Othman (1981) teR- beR-...-an
se- ke-...-an
peN-
beR-
Lutfi Abas (1988) teR-
se-

Berdasarkan kepada jadual ini, imbuhan awalan teR- dan se- merupakan imbuhan tipikal bagi
kata sifat. Hal ini demikian kerana kesemua peneliti bahasa memuatkan kedua-dua imbuhan ini
sebagai imbuhan kata sifat. Contoh : terbesar, terpandai, terkeras, secantik, sekecil dan seindah.
Berdasarkan kepada contoh ini, pada kelazimannya awalan teR- dan se- menjadi imbuhan awalan bagi
kata dasar yang juga terdiri daripada kata sifat. Bagi imbuhan ter-, Asmah (1993) membahagikan
imbuhan kata sifat ini kepada dua jenis, iaitu ditandai dengan ter-(a) dan ter- (b). Imbuhan yang pertama
dianggap sebagai penetap golongan, manakala imbuhan yang kedua sebagai pengubah golongan.
Imbuhan ter-(a) dikatakan sebagai penetap golongan kerana apabila imbuhan ter-(a) digabungkan
dengan kata sifat, kata terbitan yang terhasil masih kekal golongan kata sifat, contohnya seperti
termuda, terutama, dan terbaik (lihat juga contoh 15). Bagi imbuhan ter-(b) pula, imbuhan ini
dianggap sebagai pengubah golongan kerana apabila imbuhan ter-(b) bergabung dengan kata dasar
yang terdiri daripada kata nama atau kata kerja, kedua-dua golongan kata ini akan berubah
golongannya kepada kata sifat. Bagaimanapun, imbuhan ter-(b) ini tidak seproduktif seperti imbuhan
ter- (a). Contohnya terhormat, terkemuka, terkenal dan ternama.

3
Selain imbuhan ter- dan se-, kertas kerja ini juga mendapati kata sifat terbitan yang agak
produktif ialah imbuhan peN-. Walaupun imbuhan ini agak produktif, tetapi hanya Law Yock Fang
dan Abdullah Hassan (1994) serta Arbak Othman (1981) yang meletakkan imbuhan peN- sebagai
imbuhan kata sifat terbitan. Dalam bahasa Melayu, imbuhan ini lazimnya merupakan imbuhan kata
nama, tetapi dalam kajian ini terdapat sebilangan kecil imbuhan pe-/peN- yang dirujuk sebagai kata
sifat, iaitu kata terbitan yang mempunyi pola peN- + kata sifat, contohnya seperti penyabar,
penyayang dan pemurah. Awalan pe-/peN- ini dianggap sebagai kata sifat kerana kata terbitan ini
boleh didahului atau diikuti oleh penanda intensiti sangat, amat, benar. Contohnya sangat peramah,
peringat benar, pendiam sungguh

Bagi awalan ke-, beR-, meN- dan di- merupakan imbuhan yang tidak tipikal bagi kata sifat.
dan dianggap tidak produktif. Hal ini menyebabkan sebilangan kecil sahaja peneliti bahasa yang
meletakkan imbuhan ini sebagai imbuhan awalan kata sifat. Bagi awalan ke-, hanya Asmah Hj. Omar
(1993), Law Yock Fang dan Abdullah Hassan (1994) yang meletakkan awalan ini sebagai imbuhan
awalan kata sifat. Contoh yang diberikan ialah kehormat, kediri (kendiri), kegayat, ketegar dan kebatu.
Hal ini kerana menurut Asmah Hj. Omar (1993), hanya ada satu perkataan sahaja yang memiliki
awalan ke- dan kata terbitan ini hanya tercipta pada tahun 1960-an yang mendukung maksud
honorary, walaupun Law Yock Fang dan Abdullah Hassan (1994) memuatkan contoh-contoh lain
seperti kediri (kendiri), kegayat, ketegar dan kebatu. Bagi awalan beR-, Law Yock Fang dan Abdullah
Hassan (1994) dan Arbak Othman (1991) yang meletakkan imbuhan ini sebagai imbuhan kata sifat.
Contohnya berlima, bersusun, berwarna dan beruniform. Bagi imbuhan meN- hanya Law Yock Fang
dan Abdullah Hassan (1994) yang menganggapnya sebagai imbuhan kata sifat, contohnya menguning,
menghijau, melaut, memanjang dan mengapi. Bagi awalan di- pula, hanya Abdullah Hassan (1986)
meletakkannya sebagai imbuhan kata sifat. Imbuhan ini dianggap oleh beliau sebagai tidak produktif
kerana dalam bahasa Melayu, terdapat satu sahaja kata sifat terbitan, iaitu diraja. Menurut Abdullah
Hassan (1986) di- yang terdapat pada diraja bukan merupakan imbuhan di- kata kerja, tetapi
merupakan aferesis daripada perkataan adhi yang berasal daripada bahasa Sanskrit yang membawa
maksud “pertama, utama, penting atau agung”. Disebabkan diraja agak kerap digabungkan dengan
perkataan-perkataan lain seperti Suruhanjaya Diraja, Profesor Diraja, Polis Diraja dan Askar
Melayu Diraja, maka Abdullah Hassan memasukkannya sebagai sebahagian imbuhan kata sifat.

Bagi mengetahui sama ada imbuhan ini merupakan imbuhan kata sifat, maka setiap imbuhan
ini perlu diuji terlebih dahulu. Hal ini kerana imbuhan semata-mata tidak merupakan kriteria tunggal
dalam menentukan golongan kata kerana aspek sintaktik turut diperlukan dalam menentukan
golongan kata. Oleh itu, dengan meneliti semula imbuhan awalan yang dinyatakan di atas, maka
kertas kerja ini akan meninjau kembali aspek kata sifat terbitan yang telah diutarakan oleh ahli-ahli
bahasa sebelum ini. Oleh itu, dengan menggunakan pendekatan gatra dan unsur pengisi (slot and filler)

4
serta menggunakan teori prototaip, kertas kerja ini berusaha untuk memantapkan lagi aspek golongan
kata bahasa Melayu. Menerusi gatra dan unsur pengisi, fungsi setiap kata dapat ditunjukkan dan dapat
dijelaskan peranan setiap golongan kata apabila hadir di dalam ayat, manakala menerusi teori tipikaliti
ditunjukkan setiap golongan kata mempunyai bentuk tipikal dan bentuk yang tidak tipikal.
Berdasarkan data korpus berkomputer dengan saiz 150,000, kertas kerja ini meneliti semula bentuk
kata terbitan bagi kata sifat.

Aspek Sintaktik

Bagi menjelaskan fungsi kata sifat, maka kedudukan atau posisinya dalam sintaksis diteliti
kerana sintaksis terdiri daripada golongan dan fungsi, iaitu peranan atau fungsi kata sifat dalam binaan
sintaksis. Golongan kata dan fungsi ini perlu dijelaskan secara serentak. Sehubungan itu, bagi
memperjelas kata sifat dan fungsinya, maka taburan atau distribusi sintaktik digunakan kerana
menerusi distribusi sintaktik penggunaan kata yang terdapat dalam frasa atau ayat boleh diteliti.
Distribusi sintaktik ini diperjelaskan menerusi gatra dan unsur pengisi. Gatra ialah posisi atau
kedudukan sesuatu perkataan dalam binaan ayat. Setiap posisi ini diisi oleh golongan kata tertentu dan
golongan kata ini yang menjalankan fungsi setiap gatra. Ayat mempunyai beberapa gatra yang
membolehkan perkataan atau beberapa perkataan yang mewakili golongan kata tertentu dimuatkan ke
dalam setiap gatra. Gatra berada pada posisi yang tetap, manakala golongan kata yang mengisi gatra
ini boleh berubah-ubah kedudukannya, iaitu golongan kata yang sama boleh hadir lebih daripada satu
posisi atau satu gatra.

Unsur pengisi pula ialah senarai kata yang mengisi sesuatu gatra fungsian dan unsur pengisi
ini boleh saling bertukar ganti di dalam gatranya, iaitu unsur pengisi yang hadir dalam posisi yang
sama boleh menggantikan unsur lain yang terdapat dalam posisi tersebut dan membentuk paradigma.
Unsur pengisi di dalam paradigma ini mempunyai hubungan paradigmatik antara satu sama lain.
Hubungan antara gatra dan unsur pengisi ini melibatkan hubungan antara fungsi dan golongan kata.
Perkaitan antara gatra dan unsur pengisi ini boleh dijelaskan menerusi rajah yang berikut:

[ Gatra ]

Unsur pengisi

Perkaitan Antara Gatra dan Unsur Pengisi

5
Anak panah dalam rajah ini menunjukkan bahawa unsur pengisi dimuatkan ke dalam gatra
dan di sini gatra diibaratkan seperti “suatu bekas”, manakala unsur pengisi merupakan “item” yang
diisi ke dalam bekas berkenaan (Knowles dan Zuraidah Mohd. Don, 2006). “Item” ini boleh terdiri
daripada jenis yang sama atau daripada beberapa jenis yang berbeza, tetapi diletakkan ke dalam bekas
yang sama. Apabila diterapkan kepada struktur sintaktik, “item” yang merupakan unsur pengisi boleh
terdiri daripada golongan kata yang sama atau terdiri daripada beberapa jenis golongan kata (beberapa
jenis “item”) dan item ini dimuatkan ke dalam gatra yang sama.

Teori Prototaip

Teori yang digunakan dalam bidang sains kognitif diterapkan dalam kajian linguistik,
khususnya dalam penggolongan perkataan kerana prototaip merupakan kriteria untuk
mengkategorikan elemen kepada beberapa golongan. Penggolongan prototaip bererti setiap golongan
mempunyai ciri asas atau ciri teras yang jelas. Bagi kata sifat, kehadirannya dalam gatra sintaksis
dapat dilihat dalam tiga posisi, iaitu:
i. gatra penerang
ii. gatra predikat
iii. gatra penerang predikat
(Knowles dan Zuraidah Mohd. Don, 2006; Norliza Jamaluddin 2011)

Gatra penerang merupakan gatra tipikal bagi kata sifat. Oleh itu, sebilangan besar kata sifat
boleh mengisi gatra ini. Bagi posisi gatra penerang, kehadiran kata sifat dalam gatra ini terbahagi
kepada dua, iaitu sebagai penerang nama dan penerang kerja. Dalam gatra ini, pada kelazimannya
kata sifat hadir selepas kata nama inti atau kata kerja inti2. Contohnya perkataan kuat dan besar boleh
hadir selepas kata nama atau kata kerja, iaitu orang kuat, dan jawatan besar (penerang nama);
menjerit kuat dan ketawa besar (penerang kerja). Bagi gatra predikat pula, kata sifat boleh hadir
dalam posisi selepas subjek. Contohnya Keluarga mereka amat besar; Pemuda itu sungguh kuat.
Daripada contoh ini, kata sifat yang mengisi gatra predikat hadir dalam klausa dan klausa dapat
dikenal pasti berdasarkan kehadiran predikatnya/cerita. Dalam klausa ini, kata sifat boleh terdiri
daripada kata sifat sahaja atau boleh didahului oleh unsur-unsur lain seperti penanda intensiti atau
penanda aspek. Lazimnya dalam bahasa Melayu, apabila kata sifat didahului oleh penanda intensiti
atau penanda aspek, kata sifat tersebut merupakan predikat. Bahkan kehadiran penanda intensiti atau

2
Kertas kerja ini menggunakan istilah Kata Sifat berbanding Kata Adjektif disebabkan kata sifat boleh mengisi
gatra penerang, sama ada selepas kata nama atau kata kerja. Jika istilah adjektif digunakan, istilah ini dirasakan
kurang tepat kerana kata adjektif merupakan penerang bagi kata nama sahaja dan tidak sebagai penerang kata
kerja.

6
penanda aspek bersama-sama kata sifat mengesahkan bahawa kata sifat mengisi gatra predikat. Gatra
penerang predikat pula, pula merupakan unsur sekunder yang hadir di luar unsur teras dan menjadi
penerang kepada unsur teras. Istilah yang digunakan bagi konstituen yang hadir di luar unsur teras
ialah periferi atau sampingan. Unsur periferi ini merupakan unsur yang bersifat pilihan dan lazimnya
terdiri daripada klausa adverbaan dan dari segi posisinya unsur ini mengisi gatra adjung. Kata sifat
yang menjadi penerang predikat lazimnya terdiri daripada kata sifat dalam subgolongan cara/gaya,
iaitu kata sifat yang menerangkan cara sesuatu kata kerja dilakukan. Kata sifat ini dapat dikenal pasti
menerusi kehadirannya dengan kata sendi secara atau dengan, contohnya dalam ayat Dia bekerja di
syarikat itu secara ikhlah; Adat perkahwinan Melayu perlu diikuti dengan sempurna.

Kata Sifat Terbitan

Berdasarkan data korpus yang diteliti, hanya terdapat empat sahaja imbuhan awalan yang
ditemui, iaitu imbuhan awalan teR-, se-, peN- dan ke-. Oleh itu, kertas kerja ini hanya
membincangkan keempat-empat imbuhan awalan ini. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, imbuhan
awalan kata sifat yang paling produktif ialah imbuhan teR- dan se-. Antara kedua-dua imbuhan ini,
hanya imbuhan awalan teR- yang hadir dalam gatra penerang, iaitu dalam frasa nama. Frasa nama
terdiri daripada pola [kata nama inti + kata sifat nama] dan kata sifat yang menjadi penerang ini hadir
dalam posisi betul-betul selepas gatra kata nama inti. Oleh itu, tidak ada perkataan lain yang hadir di
antara kedua-duanya. Kehadiran kata sifat sebagai penerang nama ditunjukkan menerusi contoh di
bawah:
Contoh:
jawatan terakhir tokoh terkemuka
golongan teratas penari terkenal
pemimpin tertinggi isteri tercinta
kaum terbesar faktor terpenting
orang ternama ibu tersayang

Kata terbitan dengan awalan ter- dalam contoh di atas merupakan kata sifat nama dan merupakan
bentuk superlatif. Walaupun kata sifat dengan awalan ter- turut menjelaskan bandingan, tetapi dalam
fungsi penerang ini, kata sifat terbitan berawalan ter- hanyalah dalam bentuk superlatif, manakala
bentuk bandingan hanya terdapat dalam fungsi predikat. Ayat yang berikut menjelaskan kata terbitan
dengan awalan teR- yang membawa maksud superlatif.
Contoh:
(4a) Ramli Ibrahim seorang penari terkenal.
(4b) Beliau memegang jawatan tertinggi, iaitu sebagai Ketua Pengarah Penjara.

7
(4c) Kitaran hidup sosial beliau dilingkari golongan teratas dalam hierarki masyarakat.

Di samping pola [kata nama inti + kata sifat nama], kata sifat terbitan berawalan teR- juga
boleh hadir dalam pola [kata nama inti + kata hubung relatif + kata sifat nama].
Contoh:
khutbah yang terakhir perkara yang terpenting
ibu yang tersayang wanita yang ternama
pemimpin yang terdahulu penghormatan yang tertinggi
rawatan yang terbaik peribadi yang tercantik

Berdasarkan kepada data korpus yang diteliti, imbuhan awalan se- tidak ada yang mengisi
gatra penerang melainkan gatra predikat. Kata sifat terbitan ini terdiri daripada kata sifat sebagai kata
dasarnya dan diimbuhkan dengan awalan ise. Imbuhan ini bertujuan untuk menunjukkan
perbandingan sifat yang sama tarafnya. Bagaimanapun, dalam data yang diteliti ini hanya terdapat
lima sahaja contoh awalan se- untuk maksud bandingan, iaitu sebesar, selucu, semanis, sehebat dan
seberat. Lazimnya awalan se- ini didahului oleh penanda intensiti tidak.
Contoh:
 Masjid itu / tidak sebesar masjid mukim Banggol.
 Perkahwinan Enjah dengan Ismail / tidaklah selucu peristiwa kahwin serkup.
 Murid-murid sekolahnya / tidak sehebat murid-murid dari sekolah laki-laki,
terutama dalam sukan piramid dan India Club.
 Wajahnya semasa muda / tidak semanis wajah ibunya.
 Beg ditangannya itu / tidak seberat bungkusan yang dibawa oleh lelaki Cina
itu.

Walaupun pada umumnya awalan se-, dari sudut makna mendukung maksud perbandingan yang sama
tara, tetapi kelima-lima contoh kata sifat berawalan se- didahului oleh penanda intensiti tidak yang
membawa maksud perbandingan yang tidak sama tara. Data korpus ini jelas menunjukkan bahawa
kelaziman kata sifat berawalan se- digunakan untuk menunjukkan perbandingan yang tidak sama tara,
iaitu dengan meletakkan penanda intensiti tidak. Agak jarang digunakan kata terbitan berawalan se-
bagi maksud perbandingan yang setara.

Bagi kata terbitan dengan awalan pe-/peN-, walaupun lazimnya imbuhan ini merupakan
imbuhan tipikal kata nama, tetapi sebilangan kecil merupakan kata sifat, contohnya pemalu, pemurah,
pengasih, penyayang, penyabar, peramah, pembengis, pendendam, pembersih, pemalas dan periang.
Umumnya kata terbitan ini terdiri daripada kata dasar yang juga merupakan kata sifat, iaitu malu,

8
murah, kasih, sayang, sabar, ramah, bengis, dendam, bersih, malas dan riang dan kata terbitan yang
terhasil ini masih mengekalkan golongan katanya, iaitu kata sifat. Yang berikut merupakan contoh
kata sifat terbitan dengan awalan pe/peN- yang mengisi gatra penerang nama.
sifat pemurah gadis pendiam
sifat penyayang lelaki pemboros
sikap pendendam jiwa pengasih

Bagaimanapun, kata sifat terbitan yang mengisi gatra penerang ini juga boleh hadir bersama-
sama kata hubung relatif yang.
Contoh:
ibu mentua yang penyayang
perwatakan yang peramah
keluarga yang pengasih
seorang yang pembohong
rakan yang pendendam
suami yang pembengis

Bagaimanapun, tidak semua kata terbitan berimbuhan awalan pe-/peN- ini yang kata dasarnya
terdiri daripada kata sifat membentuk kata sifat nama. Misalnya perkataan pembesar (pem- + besar),
pemuda (pe- + muda), pengganas (peng- + ganas), penjahat (pen- + jahat) dan pewangi (pe- + wangi)
digolongkan ke dalam golongan kata nama terbitan dan bukan kata sifat kerana kata terbitan ini tidak
mempamerkan ciri-ciri kata sifat, tetapi menepati ciri-ciri kata nama. Contohnya kata nama terbitan
ini tidak boleh didahului oleh penanda intensiti yang merupakan salah satu ciri kata sifat seperti
*3agak pembesar, *terlalu pemuda, *amat pengganas, penjahat sungguh dan pewangi sekali tetapi
boleh didahului oleh kata bilangan dan penjodoh bilangan yang menjadi salah satu ciri bagi kata nama,
contohnya seperti beberapa orang pembesar, lima orang pemuda, sekumpulan pengganas, seorang
penjahat dan sebotol pewangi.

Bagi imbuhan ke-, hanya terdapat satu sahaja kata sifat berawalan ke- dalam data yang dikaji,
iaitu kehormat. Daripada data, terdapat tiga kata nama inti yang diterangkan.
Contoh:
tetamu kehormat
ijazah kehormat
setiausaha kehormat

3
Tanda asterisk (*) menunjukkan bahawa kata, frasa atau ayat yang dinyatakan adalah tidak tepat
atau tidak gramatis.

9
Berdasarkan kepada contoh ini, kata sifat terbitan kehormat hanya boleh mengisi gatra penerang
sahaja, tetapi tidak boleh mengisi gatra predikat dan penerang predikat. Hal ini secara tidak langsung
bukan sahaja menjelaskan ketidakproduktifan kata sifat berawalan ke-, tetapi menjelaskan bahawa
fungsi yang dijalankan juga amat sedikit.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada data korpus berjumlah 150,000 kata, terdapat amat sedikit kata sifat terbitan yang
ditemui. Hal ini tidak dapat dielakkan kerana kata terbitan bukanlah merupakan bentuk kata yang
tipikal bagi kata sifat. Dalam kajian yang dilakukan sebelum ini (lihat Norliza Jamaluddin 2011), kata
dasar merupakan bentuk kata yang tipikal bagi kata sifat. Bagi kata terbitan, kertas kerja ini mendapati
bahawa, kata sifat terbitan yang paling tipikal bagi bahasa Melayu ialah kata sifat berimbuhan awalan
ter- dan se-. Imbuhan awalan yang lain ialah imbuhan awlan peN-. Bagi imbuhan awalan ke-, hanya
terdapat satu contoh sahaja. Imbuhan-imbuhan lain seperti imbuhan ber-, meN- dan di- tidak terdapat
dalam data yang dikaji. Dari segi fungsi atau posisi yang ditempati oleh kata terbitan ini, didapati
pada kelazimannya, kata sifat terbitan mengisi lazimnya mengisi posisi atau gatra tipikal kata sifat,
iaitu gatra penerang. Ini diikuti oleh gatra predikat. Bagi gatra penerang predikat, tiada langsung kata
terbitan yang ditemui menempati gatra ini.

Rujukan

Arbak Othman. (1981).Tatabahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Sarjana Enterprise.


Asmah Hj. Omar. (1962). Serba sedikit tentang tatabentuk – Tatakalimat bahasa Melayu. Dewan
Bahasa, VI, 10, 440-452.
Asmah Hj. Omar. (1993). Nahu Melayu mutakhir edisi keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Asmah Hj. Omar. (2008). Nahu kemas kini. Kuala Lumpur: PTS Professional.
Asraf Abdul Wahab. (1978). Beberapa prinsip dasar untuk tatabahasa Melayu. Dewan Bahasa, 22, 8,
559-571.
Abdullah Hassan. (1986). Penerbitan kata dalam bahasa Malaysia. Petaling Jaya: Fajar Bakti Sdn.
Bhd.
Law Yock Fang. (1967). Ilmu bahasa dan penggolongan jenis kata dalam bahasa Melayu. Dewan
Bahasa, XI, 7, 304-316.
Law Yock Fang. (1983). Ilmu bahasa dan penggolongan jenis kata dalam bahasa Melayu. (Abdullah
Hassan. Ed.). Rencana Linguistik. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Law Yock Fang dan Abdullah Hassan. (1994). Nahu Melayu moden. Kuala
Lutfi Abas. (1988). Nahu Penambah Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur : Fajar Bakti.
Nik Safiah Karim et. al. (2008). Tatabahasa dewan edisi ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Norliza Jamaluddin. (2011). Kata Sifat Bahasa Melayu Berdasarkan Data Korpus Berkomputer. Tesis
PhD. Universiti Malaya.

10

View publication stats

You might also like