You are on page 1of 14

ISU-ISU DALAM PERSETUJUAN DAN

PERJANJIAN PERSEFAHAMAN SEBELUM PERCERAIAN SECARA


BERSAMA

Siti Shamsiah Hj Md Supi

Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik,


Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

PENDAHULUAN

Membubarkan perkahwinan ialah tindakan terakhir yang akan dilakukan oleh suami isteri
apabila rumahtangga menghadapi krisis setelah pelbagai usaha dibuat bagi menyelamatkan
perkahwinan yang dibina. Pembubaran itu boleh berlaku sama ada secara persefahaman
oleh kedua-dua pasangan, atau dipohon oleh salah satu pihak.

Dalam hukum-hakam perkahwinan, terdapat beberapa bentuk pembubaran perkahwinan


iaitu dengan menjatuhkan talak oleh pihak suami kepada isterinya, taklik, tebus talak atau
khuluk dan fasakh. Perkahwinan juga boleh dibubarkan secara li'an, anggapan mati dan
pertukaran agama, sama ada seseorang itu memeluk agama Islam, atau keluar daripada
agama Islam (Abdul Monir Yaacob & Siti Shamsiah 2006: 161).

Dalam konteks perundangan Islam di Malaysia, hukum-hakam kekeluargaan ini diolah,


disusun dan diperuntukkan dalam akta/ enakmen undang-undang keluarga Islam negeri-
negeri. Menurut peruntukan yang ada, pembubaran perkahwinan dengan cara mentalak
isteri disebut sebagai "perceraian secara persetujuan bersama".

Oleh sebab setiap bentuk pembubaran perkahwinan mempunyai kaedah dan implikasi yang
tertentu, maka ia mempunyai prosedur yang tersendiri supaya tiap-tiap status perkahwinan
yang didaftarkan dalam negara ini mempunyai rekod dan boleh dibuat rujukan.
Setiap kaedah yang disediakan atau diperuntukkan dalam Undang-undang Syariah yang
dikanunkan, dapat memainkan peranannya secara efektif dan efisien jika kedua-dua belah
pihak saling tidak menimbulkan masalah antara satu sama lain, atau tidak mengeruhkan
lagi kemelut yang telah sedia berlaku dalam perkahwinan terbabit.

Di sinilah bermulanya perbincangan tentang persetujuan, atau perjanjian persefahaman


yang terlaksana oleh pasangan suami isteri yang telah sama-sama mencapai kata putus
untuk membubarkan perkahwinan mereka.

PERCERAIAN SECARA BERSAMA SERTA PERSEFAHAMAN SEBELUM


PERCERAIAN

Sebagaimana yang telah disebutkan dalam Pengenalan perbincangan ini, "perceraian secara
bersama" adalah bentuk pembubaran perkahwinan yang ringkas dengan suami
menjatuhkan talaknya terhadap isteri. Walau bagaimanapun, terdapat perceraian secara
bersama yang mengandungi cerita dan isu-isu tertentu di sebaliknya.

Ia tidak sekadar perbuatan melafazkan talak terhadap isteri, yang kemudiannya


merantaikan kesan tertentu kepada kedua-dua belah pihak. Iaitu, apabila seseorang suami

166
menceraikan isterinya, wanita berkenaan akan mempunyai hak mutaah dan nafkah idah
yang perlu ditunaikan oleh bekas suaminya itu.

Apa yang berlaku terhadap kes-kes perceraian secara bersama ini, terdapat pengubahsuaian
terhadap hak-hak asal selepas perceraian di pihak wanita yang terlibat. Malah terdapat juga
persefahaman yang melibatkan kepentingan harta bekas isteri, dan haknya sebagai ibu
kepada anak-anak yang terdapat dalam perkahwinan. Kes-kes yang berkaitan akan
dikemukakan bagi menunjukkan terdapatnya persefahaman "tersendiri", yang melibatkan
hak-hak selepas perceraian, sebelum lafaz talak dibuat oleh pihak suami.

Dalam perbincangan ini, "persefahaman" dirujuk sebagai persetujuan dengan cara


berunding. Ini bermakna, persetujuan tanpa perundingan tidak mencapai maksud
persefahaman (http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=persefahaman).
Manakala "perjanjian" pula bermakna persetujuan yang dibuat antara dua pihak atau lebih
(Kamus Dewan 2005: 609). Dalam konteks perundangan, ia akan dipateri dan perlu
dipatuhi. Ia juga mempunyai implikasi perundangan kepada pihak yang melanggari
persetujuan berkenaan. Sementara hak atau kepentingan pihak satu lagi yang terkandung
dalam perjanjian berkenaan akan dilindungi dan terjaga disebabkan kedua-duanya terikat
dengan perjanjian tersebut.

Perbincangan ini cuba meninjau wujudnya persetujuan antara kedua-dua belah pihak suami
isteri yang telah bersepakat untuk mengakhiri perkahwinan mereka secara lafaz talak, atau
perceraian secara bersama sebagaimana yang diperuntukkan dalam undang-undang
keluarga Islam di Malaysia. Ia adalah tinjauan terhadap persetujuan yang dibuat sebelum
talak dilafazkan oleh pihak suami, dan perkara-perkara yang dipersetujui oleh kedua-dua
mereka melibatkan penafian keseluruhan atau sebahagian hak selepas perceraian,
sedangkan hak-hak berkenaan telah dinyatakan secara mutlak menurut al-Quran, Hadis dan
ijmak ulama.

Contohnya jika perceraian berlaku dalam kategori talak raj'ie, ulama bersepakat
mengatakan wajib bagi pihak suami untuk menyediakan nafkah termasuklah makan pakai
dan tempat tinggal selama dalam tempoh idah (Abdul Monir Yaacob & Siti Shamsiah 2006:
68). Malah suami dilarang daripada menghalau isteri tersebut dari rumah dalam tempoh
berkenaan.

Dari satu sudut pula, pada dasarnya setiap perjanjian yang termeterai atau persetujuan
individu terhadap syarat-syarat tertentu, perlulah diakuri dan diikuti. Apatah lagi apabila
persetujuan itu telah ditandatangani dan dikeluarkan sebagai sebahagian daripada perintah
mahkamah. Ia sesuatu yang mengikat pihak-pihak yang terlibat, dan pihak-pihak berkenaan
perlu memikul tanggungjawab terhadap perkara yang telah dipersetujui.

Dalam ayat pertama Surah al-Maidah, Allah berfirman secara tegas dengan mafhumnya,
“Wahai orang-orang yang beriman, tunaikanlah janji-janji itu...” Maksud "janji" dalam
ayat ini merangkumi perjanjian manusia dengan Allah dan manusia sesama mereka.
Manakala firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 177 pula bermaksud:
"Dan orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka berjanji, mereka itulah orang
yang benar-benar beriman dan mengerjakan kebajikan dan mereka itulah juga orang yang
bertakwa.”

167
Walau bagaimanapun, yang menjadi isu di sini ialah persetujuan berkenaan boleh dilihat
sebagai suatu persefahaman berat sebelah, ataupun persetujuan yang menggugurkan hak-
hak yang telah pun diperuntukkan, dan ulama sepakat menghukumkannya sebagai wajib
untuk ditunaikan oleh pihak suami. Adakah ia suatu perkara yang dibenarkan oleh Syariah,
sedangkan seolah-olahnya ia merupakan manipulasi yang dilakukan oleh pihak suami
sebagai tuan punya kepada talak (sahib al-talaq) atas nama janji? Pada masa yang sama, ia
telah termeterai atau telah menjadi perintah mahkamah, dan kedua-dua bentuk ini adalah
mengikat pihak-pihak menurut undang-undang.

Contoh-contoh Kes

Dalam kes Salmah lawan Marat (No. Kes: 08100-014-0015-2013), plaintif telah membuat
tuntutan fasakh pada Januari 2013. Dalam kes ini plaintif dan defendan kedua-duanya
diwakili peguam. Pada 20 Jun 2013 mahkamah telah mengarahkan supaya kes dibicarakan.
Peguam defendan telah memohon secara lisan supaya Jawatankuasa Pendamai dilantik.
Mahkamah memaklumkan bahawa Jawatankuasa Pendamai hanya wujud dalam kes di
bawah Seksyen 47 sahaja. Walau bagaimanapun, disebabkan kedua-dua belah pihak
bersetuju, permohonan tersebut telah dibenarkan. Kedua-dua pihak perlu melantik wakil
masing-masing untuk terlibat dalam Jawatankuasa Pendamai. Dalam masa yang sama kes
fasakh perlu berjalan seperti biasa. Jika ada sebarang persetujuan, pihak-pihak perlulah
memaklumkannya kepada mahkamah.

Perbicaraan kes diteruskan. Namun pada 25 Februari 2014, peguam defendan menyatakan
defendan bersetuju untuk menceraikan plaintif di bawah Seksyen 47 sekiranya tiada
tuntutan yang akan dibuat oleh plaintif sebelum dan selepas perceraian. Plaintif bersetuju
dan mahkamah membenarkan perceraian di bawah Seksyen 47 pada 11 Mac 2014.

Dalam kes Zulina lawan Syed Fazli pula (No. Kes: 08100-014-0027-2013), plaintif pada
awalnya membuat tuntutan fasakh. Walau bagaimanapun, pihak-pihak bersetuju untuk
bercerai di bawah Seksyen 47, iaitu perceraian secara bersama. Ketika kes ini sedang
berjalan, anak berada di bawah jagaan defendan, dan plaintif boleh lawat pada bila-bila
masa. Apabila kes ini selesai, pihak-pihak bersetuju untuk memberikan pilihan kepada anak
mereka. Dalam kes ini, plaintif bersetuju untuk tidak menuntut harta sepencarian.

Manakala dalam kes Mariam lawan Nizam (No. Kes: 08600-014-0089-2013), plaintif
membuat tuntutan fasakh dengan alasan bahawa defendan terlibat dengan penyalahgunaan
dadah. Plaintif mengetahui perkara ini hanya selepas tiga bulan perkahwinan.

Tuntutan fasakh di bawah Seksyen 53 kemudiannya ditukar kepada Seksyen 47 perceraian


secara persetujuan bersama. Plaintif dan defendan bersetuju bercerai di bawah Seksyen 47,
dan plaintif tidak akan membuat apa-apa tuntutan yang melibatkan hak plaintif.

Sementara dalam Kes Ainon lawan Harun (No. Kes: 11005-014-0139-2014), plaintif yang
berumur 69 tahun ketika tuntutan fasakh dibuat telah menyertakan beberapa alasan dalam
tuntutannya. Antaranya, adalah disebabkan plaintif tidak mampu melayan kehendak batin
defendan, dan bimbang menjadi isteri yang tidak taat. Selain itu plaintif mengalami
gangguan emosi, mental dan sentiasa dalam keadaan tertekan untuk hidup bersama-sama
defendan. Sikap defendan yang mudah panas baran dan tidak mesra dengan anak-anak
plaintif juga menyebabkan kehidupan plaintif menjadi tidak aman, apatah lagi defendan
juga seorang yang sukar untuk bertolak ansur.

168
Akhirnya, defendan menerima kehendak plaintif dan bersetuju untuk menceraikan plaintif
tetapi meletakkan syarat dengan plaintif tidak akan menuntut apa-apa, iaitu nafkah idah dan
harta sepencarian. Plaintif bersetuju dengan syarat tersebut.

Mahkamah kemudiannya membenarkan pihak yang bertikai untuk mengubah tuntutan


daripada kes fasakh kepada perceraian persetujuan bersama di bawah Seksyen 49 dan
mahkamah telah memberikan kebenaran kepada defendan untuk lafaz talak.

Di Selangor pula, kes Shamsiah lawan Zainul (No. Kes: 10002-055-0782-2008), plaintif
pada awalnya membuat tuntutan fasakh terhadap defendan. Tuntutan fasakh ini dibuat pada
tahun 2008, setelah permohonan perceraian secara bersama pihak plaintif, tidak
dipersetujui oleh pihak defendan. Sebenarnya pada tahun 2004, plaintif pernah
mengemukakan permohonan perceraian secara bersama tetapi telah menarik balik
permohonan beliau.

Pada tahun 2011, defendan membuat tawaran kepada pihak plaintif untuk menceraikan
plaintif dengan syarat plaintif perlu menggugurkan nafkah idah, mutaah, hutang-piutang
suami isteri, harta sepencarian dan hak jagaan anak-anak. Plaintif bersetuju dengan syarat
yang dikemukakan oleh pihak defendan, maka defendan menceraikan plaintif dengan lafaz
talak.

SOROTAN TERHADAP CONTOH-CONTOH KES YANG BERKAITAN

Melihat kepada kelima-lima kes berkenaan, pada awalnya plaintif membuat tuntutan
fasakh. Tuntutan fasakh ialah kaedah pembubaran perkahwinan yang tidak melibatkan
persetujuan pihak suami, ataupun pihak suami enggan menunaikan hasrat isteri dan
memudahkannya. Kelima-limanya bukan perbicaraan secara ex-parte, dan suami selaku
defendan bersikap responsif dalam perjalanan perbicaraan.

Selepas kes-kes berkenaan berjalan dalam satu tempoh tertentu yang berbeza-beza, pihak
suami atau defendan membuat tawaran untuk melepaskan isteri secara lafaz talak tetapi
dengan syarat-syarat tertentu yang perlu diakuri oleh pihak isteri. Kelima-lima plaintif akur
dengan tawaran yang dibuat oleh pihak defendan walaupun syarat-syarat yang
dikemukakan oleh pihak defendan merupakan hak-hak hakiki pihak plaintif, termasuklah
hak terhadap harta sepencarian. Hak penjagaan anak pula lebih dilihat kepada kebajikan
anak-anak yang terdapat dalam perkahwinan, walaupun ia tidak menafikan kepentingan
suami isteri yang bertikai sebagai ibu bapa yang menjaga.

Ini boleh dilihat dalam keputusan kes Babji Babjan lawan Zainab Mohd Salleh dengan
mahkamah merujuk kepada Seksyen 76 berkenaan kuasa bagi mahkamah untuk mengubah
perjanjian penjagaan atau nafkah anak.

"Mahkamah boleh pada bila-bila masa dan dari semasa ke semasa mengubah syarat-syarat
sesuatu perjanjian berhubung dengan penjagaan atau nafkah seseorang anak, sama ada
perjanjian itu dibuat sebelum atau selepas tarikh yang ditetapkan, walau apa pun
peruntukan yang berlawanan dalam perjanjian itu, jika Mahkamah berpuas hati bahawa
adalah munasabah dan untuk kebajikan anak itu berbuat demikian."

169
Melihat kepada kelima-lima latar belakang kes ini, seolah-olahnya ia menunjukkan
kesukaran di pihak isteri untuk membebaskan diri mereka. Tawaran perceraian secara lafaz
talak oleh pihak suami walaupun dengan syarat-syarat tertentu dan mungkin sehingga
menjejaskan hak dan kepentingan pihak isteri, telah diterima. Seolah-olahnya nilai
kebebasan diri isteri jauh lebih mahal berbanding dengan hak-hak yang terpaksa
dilepaskan. Sedangkan, Syariah telah pun menyediakan instrumen yang khusus dan lebih
telus jika pihak suami merasakan ia berhak untuk mendapat ganti rugi disebabkan
pembubaran perkahwinan yang dimahukan oleh pihak isteri, iaitu dengan menawarkan
khuluk ataupun tebus talak.

KHULUK, PERCERAIAN SECARA BERSAMA DAN PERBANDINGANNYA

Khuluk menurut fuqaha adalah pembubaran perkahwinan yang dilakukan oleh isteri
dengan membayar sejumlah wang, atau dengan nilai tertentu kepada suaminya. Ia
disandarkan kepada ayat 229 Surah al-Baqarah, yang antaranya bermaksud:

"Dan tidaklah halal bagi kamu mengambil kembali sesuatu daripada apa yang telah kamu
berikan kepada mereka (isteri-isteri kamu), kecuali jika kedua-duanya (suami isteri) takut
tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa -
mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan
mengenai pengambilan suami akan bayaran itu)."

Keharusan untuk menebus diri oleh pihak isteri juga boleh dilihat pada sebuah Hadis yang
diriwayatkan oleh al-Bukhari, daripada Ibn 'Abbas r.a., yang memberi erti:
Isteri Thabit bin Qais (Jamilah bintu Abdullah), telah berjumpa Rasulullah SAW dan
berkata, "Wahai Rasulullah, saya tidak meragui akhlak dan agamanya, tetapi saya takut
akan melakukan kufur (dengan meneruskan perkahwinan ini). Nabi SAW bertanya,
"Adakah kamu mahu menebuskan (talak) dengan kebunmu?" Jawab isteri Thabit, "Ya",
lalu Nabi SAW mengarahkan kepada Thabit, "Terimalah kebunnya, dan ceraikan dia
dengan talak satu."

Untuk mengguna pakai kaedah pembubaran perkahwinan ini, majoriti ulama Mazhab
Hanafi (Ibn al-Hammam 1970, 4: 217), Maliki (Ibn Rushd t.t., 2: 51), Shafi'i (Al-Ramli
1967: 391), Hanbali (Al-Bahuti 1955: 471), dan Zahiri (Ibn Hazm t.t.: 235) berpendapat
tiada ukuran minimum mahupun maksimum untuk menentukan nilai 'iwad atau pampasan
yang perlu diberikan kepada pihak suami. Malah Ibn Hazm mengatakan bahawa isteri boleh
menebus talak dengan semua hartanya.

Selanjutnya Ibn Taimiyyah memberikan fatwanya bahawa 'iwad melalui pelepasan hutang
atau hak adalah dibenarkan. Fatwa ini diberikan ketika beliau ditanya mengenai seorang
isteri yang ingin menebus talak dengan melepaskan semua haknya, dan isteri akan menjaga
anak tanpa meminta duit nafkah daripada suami (Ibn Taimiyyah t.t.: 232).

Berdasarkan maksud dan konsep khuluk ini, mungkin kita sama-sama dapat melihat
bahawa perceraian secara bersama dengan syarat-syarat tertentu, mempunyai persamaan
dengan perceraian secara tebus talak. Ini kerana kedua-duanya memberi manfaat kepada
pihak suami. Manfaat tebus talak lebih dalam bentuk pemberian pampasan atau ganti rugi
('iwad) kepada suami. Manakala manfaat daripada perceraian secara bersama dengan
bersyarat, sekurang-kurangnya memberikan kos lepas kepada pihak suami dengan tidak

170
menunaikan hak-hak isteri yang telah diceraikan setakat mana hak-hak itu dilepaskan.
Walau bagaimanapun, ia boleh melibatkan kerugian yang besar jumlahnya.

Selain ia melibatkan 'iwad atau manfaat kepada pihak suami, kedua-dua pihak sama-sama
bersepakat mahu menamatkan akad pernikahan. Isteri juga dimestikan untuk bersetuju
dengan syarat yang ditentukan oleh pihak suami, yang pada tebus talak ia bersangkutan
dengan penentuan jumlah pampasan, manakala bagi perceraian secara persetujuan bersama
bersyarat pula ialah syarat-syarat yang sebenarnya boleh dikira menurut nilai wang
semasa.

Persamaan lain yang boleh dilihat pada kedua-duanya ialah isteri terikat dengan
keputusannya untuk bersetuju kepada penentuan yang dibuat oleh pihak suami. Pada
khuluk, isteri terikat dengan perlu membayar 'iwad kepada pihak suami, manakala
perceraian secara persetujuan bersama dengan bersyarat ialah isteri harus akur bahawa ia
telahpun terhalang daripada hak-hak yang dimiliki kerana telah bersetuju untuk
menggugurkannya. Kedua-duanya sama-sama melibatkan kepentingan si isteri terhadap
pemilikan harta iaitu kedua-duanya mengurangi kadar harta yang pada asalnya menjadi
milik atau haknya.

Yang membezakannya adalah dari sudut lafaz. Dari sudut bilangan talak pula terdapat
perbezaan dalam kalangan ulama sama ada ia mengurangkan bilangan talak ataupun
jumlahnya masih kekal (Ibn Rushd 1994: Jil. 3, 135).
Walau bagaimanapun, di sebalik persamaaan yang terdapat pada kedua-duanya, adalah
amat penting untuk kita memerhatikan kriteria-kriteria lain yang ada pada tebus talak, juga
tujuan khuluk diperuntukkan dengan bentuknya yang jelas.

Dalam hal ini, sekalipun Syariah tidak menetapkan kadar minimum atau maksimum bagi
nilai tebusan ini, ia bukan dalam semua keadaan bahawa pihak suami boleh membuat
tuntutan dan seterusnya mengambil 'iwad tersebut. Jika suami melakukan kemudaratan
terhadap isteri, atau menyulitkan keadaan isteri sehingga menyebabkan isteri terpaksa
meminta cerai melalui khuluk, maka suami tidak berhak mengambil 'iwad berkenaan (Ibn
Hazm t.t.: 236, Ibn Qudamah t.t., 7: 51 & Mawsu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 1990,
19: 242).

Mereka berhujah berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah an-Nisaa', ayat 19 yang
mafhumnya berbunyi:

"Dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka)
kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian daripada apa yang kamu telah berikan
kepadanya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan
bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik."

Dari sudut logik akal dan kemanusiaannya, perbuatan menentukan kadar penebusan secara
yang membebankan isteri tentulah bersifat zalim dan menganiaya. Imam Malik tidak
meletakkannya sebagai haram tetapi menurut beliau, ia berlawanan dengan makarim al-
akhlak, iaitu kemuliaan akhlak seseorang. Malah ada yang menisbahkan pendapat Imam
Malik ini kepada pandangan jumhur.

Apa yang penulis dapat rumuskan apabila melihat kepada pensyariatan khuluk dan
pandangan-pandangan ulama mengenainya ialah, Syariah amat mementingkan keadilan

171
apabila berlaku sebarang pertikaian sesama manusia, yang dalam konteks perbincangan ini
merupakan pertikaian suami isteri. Hukum-hakam dan pandangan-pandangan yang
diutarakan oleh ulama adalah bagi mengelakkan daripada berlakunya kezaliman dan
penganiayaan sesama manusia. Malah khuluk adalah pengimbang kepada perceraian secara
talak yang dimiliki suami (Ibn Rushd: 2, 41).

Tidak adanya ukuran maksimum bagi pembayaran 'iwad ataupun pampasan adalah
kebebasan yang diberikan kepada pihak isteri untuk membebaskan dirinya daripada ikatan
perkahwinan. Walaupun dalam kes Jamilah bintu Abdullah lawan Thabit bin Qais, Jamilah
ingin menawarkan lebih daripada apa yang pernah diberikan oleh Thabit sebagai mahar
perkahwinan mereka, dan hasrat itu kemudiannya ditolak oleh Nabi SAW dengan
mengatakan bahawa, "Tambahan itu tidak perlu, memadai kebunnya sahaja...", tetapi ia
harus berlangsung tanpa adanya keadaan yang memudaratkan isteri dalam perkahwinan
berkenaan. Ia hadis yang diriwayatkan oleh al-Daruqutni dengan isnad yang sahih (al-
Daruqutni 2001: Jil. 3, 249).

Persoalannya di sini, jika tebus talak ataupun khuluk telah diperuntukkan secara kemas bagi
menyelesaikan pertikaian suami isteri, dalam keadaan pihak-pihak (juga menurut
pertimbangan mahkamah) berasakan suami layak untuk mendapat ganti rugi dengan
perpisahan yang berlaku, mengapa perlu dibenarkan perceraian secara persetujuan bersama
tetapi di sebaliknya mengandungi persetujuan yang memberikan manfaat yang amat
menguntungkan pihak suami tetapi berat sebelah. Dalam hal ini manfaat yang diterima
oleh suami tentulah amat signifikan jumlah atau nilainya, walaupun ia dalam bentuk kos
lepas.

Dalam isu khuluk pun, Ibn Abi Syaibah meriwayatkan dengan sanad sahih daripada Ali
bahawa dinyatakan, "Suami tidak boleh mengambil daripada isterinya melebihi pemberian
yang pernah diberikan kepada si isteri." Pendapat yang serupa juga diriwayatkan daripada
Thawus, Atha' dan az-Zuhri (Ibn Abi Syaibah 2006: Jil. 10, 53-55). Ini merupakan pendapat
Abu Hanifah dan sahabat-sahabatnya iaitu Ahmad serta Ishaq.

Selanjutnya, telah diriwayatkan daripada Maimun bin Mahran, beliau berkata


"Barangsiapa yang mengambil melebihi apa yang pernah diberikannya dahulu, bererti ia
tidak menceraikan dengan cara yang baik" (Ibn Abi Syaibah 2006: Jil. 10, 53-55). Bahkan,
Sa'id bin al-Musayyab berkata, "Aku tidak menyukai suami mengambil semua yang pernah
diberikannya, hendaklah ia meninggalkan sedikit untuk isterinya."

Malah ada ketikanya isteri terpaksa menggugurkan mutaah sedangkan sebahagian daripada
tujuan mutaah adalah bagi meringankan beban isteri, merawat kesedihan yang berlaku dan
modal baginya untuk meneruskan kelangsungan kehidupan.

Dalam kes Noor Bee lawan Ahmad Sanusi, Kadi Besar menjelaskan:

"Mutaah adalah pemberian yang diwajibkan oleh syarak kerana perceraian yang bukan
dari sebab isteri kerana keaiban yang ada pada dirinya atau fasakh dari isteri sebab 'isar
(ketidakmampuan) suami atau aib yang ada padanya. Ia bukan diwajibkan kerana
kehilangan kasih sahaja kerana itu mutaah juga diwajibkan dalam keadaan di mana isteri
menebus taklik dari suaminya.

172
Mutaah juga bertujuan untuk menutup rasa malu yang dialami oleh isteri, menghindarkan
fitnah dan sebagai asas untuk memulakan hidup bersendirian. Seorang isteri yang tercerai
akan merasa malu dan mungkin pula menerima prasangka buruk dari masyarakat
sekelilingnya. Untuk menghilangkan prasangka buruk bahawa seorang itu diceraikan
bukanlah kerana keaiban yang ada pada dirinya maka itulah mutaah diwajibkan ke atas
suami" (Jurnal Hukum 11: 68-69).

Itu belum lagi bagi kes-kes dengan pihak isteri perlu akur dengan syarat yang melibatkan
kepentingannya terhadap hartanya sendiri seperti hutang-piutang suami isteri seperti dalam
kes Shamsiah lawan Zainul dan harta sepencarian.

Dalam dunia Syariah, pensyariatan satu-satu perkara itu tentulah mengandungi hikmah dan
tujuan tertentu. Hanya manusia yang kurang berakhlak yang akan memanipulasi
kesempatan dan ruang yang ada supaya keputusan itu memihak dan kena dengan
kepentingan mereka walaupun ia tidak adil untuk pihak lain.

Hampir kesemua kes contoh yang disorot dan ditinjau memperlihatkan pihak suami
meletakkan syarat supaya nafkah idah digugurkan sebelum talak dilafazkan kecuali dalam
kes Zulina lawan Syed Fazli. Sedangkan dalam kaedah khuluk yang telah diperuntukkan,
pihak isteri adalah pihak yang dengan sukarela menawarkan kepentingan materialnya
untuk digugurkan, bagi membebaskan dirinya daripada perkahwinan. Walaupun
kepentingan materialnya itu mempunyai nilai yang sama dengan nilai nafkah idah yang
layak diterimanya jika diceraikan secara lafaz talak.

NAFKAH IDAH

Sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini, hukum bagi pihak suami untuk
menyediakan nafkah bagi perceraian yang berlaku secara talak raj'ie termasuklah makan
pakai dan tempat tinggal selama dalam tempoh idah adalah wajib, dan ia disepakati oleh
ulama. Malah suami ditegah daripada mengeluarkan isteri daripada rumah yang disediakan
dalam tempoh berkenaan.

Dalam ayat pertama Surah at-Talaaq, Allah SWT berfirman yang antaranya bermaksud:
"...Janganlah kamu mengeluarkan dari rumah-rumah kediaman mereka (sehingga selesai
idahnya), dan janganlah pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ), kecuali (jika) mereka
melakukan perbuatan keji yang nyata. Itulah hukum-hakam Allah (maka janganlah kamu
melanggarinya). Sesiapa yang melanggar hukum-hakam Allah, maka sesungguhnya dia
telah menzalimi diri sendiri..."

Al-Maraghi mentafsirkan "...Itulah hukum-hakam Allah (maka janganlah kamu


melanggarinya...", sebagai merujuk kepada urusan-urusan yang berkaitan dengan cerai,
idah, perhitungan idah dan perintah untuk bertakwa kepada Allah SWT serta perintah
supaya isteri yang dicerai tidak dikeluarkan daripada rumah berkenaan, dengan
pengecualian jika isteri terbabit melakukan perlanggaran dengan melakukan perkara-
perkara keji dan dilakukan secara terang-terangan (Al-Maraghi 2001, Jil. 14: 7064).
Beliau seterusnya mentafsirkan "...Sesiapa yang melanggar hukum-hakam Allah, maka
sesungguhnya dia telah menzalimi diri sendiri ...", bahawa Allah SWT menghukumkan
golongan ini sebagai zalim terhadap dirinya sendiri, dan membahayakan dirinya sendiri
tanpa dia menyedarinya. Ini kerana ia tidak akan tahu kesudahan daripada perbuatannya.

173
Sedangkan Allah SWT amat berkuasa untuk mendetikkan hati manusia selepas
perlanggaran itu, dan mendorongkannya ke arah situasi yang bertentangan.

IMPLIKASI PERSETUJUAN MENURUT KEPUTUSAN KES

Dalam kes Babji Babjan lawan Zainab Mohd Salleh, plaintif dalam kes ini memfailkan
permohonan untuk mengubah Perintah/ Perjanjian Persetujuan yang dirakam sebelum itu
di Majlis Sulh dan direkodkan mahkamah. Permohonan itu adalah terhadap perintah
mengenai nafkah anak, hak jagaan dan mutaah. Defendan membuat bantahan awal
memohon agar pihak Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur membatalkan
permohonan-permohonan berkenaan (plaintif).

Diputuskan oleh mahkamah bahawa permohonan untuk mengubah perintah mengenai


nafkah anak dan hak jagaan anak boleh diteruskan berdasarkan Seksyen 76 Akta Undang-
undang Keluarga Islam 1984.

Manakala bantahan awal terhadap pemfailan permohonan untuk meminda perintah


persetujuan mengenai bayaran mutaah sebanyak RM50,000.00 kepada RM20,000.00
adalah dibenarkan. Maka jumlah mutaah yang perlu dibayar adalah kekal sebanyak
RM50,000.00. Alasan Mahkamah adalah merujuk kepada Arahan Amalan No. 5 tahun
2006; No. 11 tahun 2005 dan No. 15 tahun 2006. YA Hakim dalam kes itu berkata:

"Arahan Amalan No, 5 tahun 2006 ini dijadikan sandaran, iaitu menyatakan berkaitan
Kesan Perjanjian Sulh:

kesan perjanjian persetujuan Sulh yang menepati kehendak Hukum Syarak yang telah
direkodkan dan disahkan oleh Mahkamah tidak boleh ditarik balik dan tidak boleh dirayu
oleh pihak-pihak yang terlibat dengan perjanjian persetujuan tersebut.

Tafsiran bagi maksud ‘tidak boleh ditarik balik dan tidak boleh dirayu’ dalam Arahan
Amalan No. 5 tahun 2006 ini juga perlu diperjelaskan, iaitu mahkamah berpendapat
bahawa kesan suatu perjanjian secara sulh bukan sahaja tidak boleh ditarik balik dan tidak
boleh dirayu sahaja, malah turut bermaksud bahawa tidak boleh dibuat pindaan tanpa
persetujuan pihak yang satu lagi dan tidak boleh diubah perintah tersebut tanpa mencapai
persetujuan bersama antara pihak-pihak.
...
Berdasarkan pemakaian Arahan Amalan No. 5 tahun 2006 ini, ... setiap perjanjian sulh
yang dimaksudkan dalam Arahan Amalan juga membawa maksud perjanjian bersama.
Kedua-dua terma ini perlu dibaca bersama dan dengan itu mana-mana perkara berkenaan
persetujuan bersama turut disebut ‘dan/atau sulh’. Contoh yang Mahkamah berikan ialah
Arahan Amalan No. 11 tahun 2005 iaitu:

Mahkamah Rendah Syariah hendaklah merekodkan apa-apa terma Persetujuan Bersama


dan/atau Sulh tetapi tidak boleh mengendorskan dalam kes-kes yang mana bidang
kuasanya adalah termasuk di dalam bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah.
Begitu juga dengan Arahan Amalan No. 15 tahun 2006:

Perjanjian-perjanjian persetujuan bersama atau perjanjian semasa Majlis Sulh tidak


boleh menggugurkan hak-hak isteri yang belum disabitkan melalui talaq iaitu nafkah iddah
dan mut’ah dan hak anak iaitu hadhanah dan nafkah anak."

174
Melalui kes ini dan Arahan Amalan yang dikeluarkan menunjukkan bahawa hak-hak
tertentu isteri walaupun telah menjadi sebahagian daripada persetujuan suami isteri
sebelum perceraian, tidak mengikat isteri disebabkan ia berlaku sebelum talak dilafazkan.
Seperkara lagi jika di peringkat Mahkamah Rendah Syariah pihak-pihak bersetuju agar
isteri menggugurkan haknya dalam harta sepencarian, ia tidak boleh dikuatkuasakan kerana
harta sepencarian tidak berada dalam bidang kuasa Mahkamah Rendah.
Begitu juga yang berlaku dalam kes Rahima Binti Baba V Abu Hanifah Bin Bachik, dalam
aspek nikah idah dan mutaah. Mahkamah Kadi meluluskan permohonan perceraian itu
dengan menambah bahawa atas persetujuan bersama Mahkamah Kadi meluluskan syarat-
syarat yang diberikan suami terhadap isteri dan penerimaannya diterima isteri. Antara
syarat-syarat yang ditetapkan atau dipersetujui itu adalah suami akan menceraikan isteri
dengan syarat suami tidak akan membayar nafkah iddah, mutaah dan sebagainya.

Selepas perceraian itu plaintif memfailkan tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Tinggi
Syariah. Mahkamah telah menolak tuntutan itu kerana plaintif telah menggugurkan haknya
ke atas tuntutan itu sebagai syarat perceraian. Plaintif kemudiannya merayu kepada
Mahkamah Rayuan Syariah.

Mahkamah Rayuan Syariah Selangor mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan


menyatakan hal harta sepencarian dengan merujuk kepada kitab al-Fiqh al-Islami wa
Adillatuh karangan Dr. Wahbah Zuhaili berkenaan syarat pelepasan (ibra'). Dalam rujukan
mereka, perkara yang hendak diibra'kan adalah berupa hak dan bukan barang; dan perkara
yang hendak diibrakkan itu hendaklah wujud ketika ibra' dilakukan. Tiada syarat
perkara yang hendak diibrakkan itu diketahui atau maklum kadar dan sifatnya. Menurut
mereka,

"...Setelah kami meneliti kami dapati hak Pemohon pada waktu itu adalah hak yang sah
untuk diibrakkan. ... Dalam hal ini kami dapati bahawa harta-harta yang menjadi tuntutan
Perayu adalah selari dengan definisi harta sepencarian menurut seksyen 2 diatas.".

Keputusan rayuan bagi nafkah idah dan mutaah pula tidak sah diibra'kan kerana hak-hak
ini masih belum wujud sehinggalah jatuh talak. Oleh yang demikian hak-hak ini masih
boleh dituntut oleh Perayu jika ingin berbuat demikian.

Sementara dalam kes Joriah binti Doralim lawan Ibrahim bin Mamat pula, pemohon
menuntut bayaran nafkah idah dan juga mutaah sebanyak RM5,000.00. Mahkamah Tinggi
Syariah Melaka memutuskan bahawa tuntutan mutaah ditolak kerana dalam catatan Sijil
Daftar Cerai ada tertulis "tidak menuntut", yang boleh ditafsirkan bahawa plaintif
bersetuju untuk tidak menuntut.

Menurut Y.A.A., persoalan dalam kes ini adalah, sama ada hak nafkah itu sudah terlupus
kerana catatan "tidak menuntut" seperti mana yang tercatat dalam sijil daftar cerai sebagai
persetujuan ataupun sebaliknya. Seterusnya, mahkamah tidak teragak-agak, pembelaan
berikut ialah res judicata, jika tidak dibuktikan catatan "tidak menuntut", membawa
erti "bukan tidak mahu menuntut".

Melihat kepada keputusan-keputusan yang dibuat terhadap kes-kes ini, menunjukkan


bahawa keputusan yang diambil oleh mahkamah turut mengambil kira aspek teknikal dan
posedur seperti isu yang berlaku dalam kes Joriah.

175
Penulis turut beranggapan bahawa Arahan Amalan belum lagi berkuat kuasa pada ketika
kes Rahima diputuskan di peringkat rayuan berkaitan hal harta sepencarian. Ini kerana
persetujuan plaintif untuk menggugurkan hak-haknya adalah ketika berada di peringkat
Mahkamah Kadi. Sedangkan Arahan Amalan No. 11 Tahun 2005 menyebut:
Mahkamah Rendah Syariah hendaklah merekodkan apa-apa terma Persetujuan Bersama
dan/atau Sulh tetapi tidak boleh mengendorskan dalam kes-kes yang mana bidang
kuasanya adalah termasuk di dalam bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah.

KESIMPULAN

Antara perkara yang dapat dirumuskan dalam perbincangan ini ialah penulis berpandangan
bahawa perceraian secara persetujuan bersama tetapi mengandungi syarat-syarat tertentu
yang perlu diakuri, dan kemudiannya menjadi perintah mahkamah sebenarnya adalah
manipulasi terhadap ruang yang terdapat dalam undang-undang keluarga Islam di
Malaysia.

Seolah-olahnya mengambil kesempatan terhadap keadaan pihak isteri yang telah terdesak
untuk membebaskan dirinya daripada ikatan perkahwinan. Ia adalah helah untuk
memperlihatkan kepada umum bahawa perceraian yang berlaku adalah dengan lafaz talak,
dan mengelakkan diri daripada kaedah khuluk ataupun tebus talak. Sedangkan, dengan
persamaan ciri-ciri yang ada antara kedua-duanya, tebus talak lebih bersifat telus.

Malah, apabila digali secara mendalam berkaitan panduan, nasihat dan hikmah tebus talak
yang dijelaskan oleh ulama, kaedah ini ternyata lebih berakhlak dan lebih "gentleman"
(sifat yang lebih budiman untuk suami). Dengan hikmahnya untuk mengelakkan daripada
berlakunya ketidakadilan kepada pihak-pihak yang terlibat, maka penulis mencadangkan
supaya pihak mahkamah melakukan inisiatif tertentu agar perceraian yang berlaku lebih
bersifat telus.

Jika dalam permohonan poligami mahkamah boleh menolak permohonan jika mendapati
kedudukan kewangan pemohon tidak kukuh, dengan tujuan menjaga maslahah semua
pihak yang terlibat dan bakal terlibat (bakal isteri yang hendak dikahwini), maka inisitiaf
yang seumpama ini juga sebenarnya boleh diusahakan.

Dalam konteks khuluk jika satu-satu jumlah 'iwad yang perlu diadakan dan diberi oleh
pihak isteri dalam keadaan suami melakukan kemudaratan kepada pihak isteri, atau
menyukarkan keadaan isteri sehingga ia terdesak untuk meminta cerai melalui tebus talak,
implikasinya suami tidak berhak untuk menerima 'iwad berkenaan. Begitu juga jika jumlah
itu adalah sesuatu yang membebankan kepada isteri, itu juga tidak dianjurkan oleh Islam
dan bertentangan dengan akhlak Muslim.

Maka konsep yang sama juga seharusnya terpakai supaya maqasid al-Syariah itu sentiasa
dapat dipelihara dan terlangsung. Al-Ghazali berkata:

"Maqasid al-Syariah bertujuan untuk menjaga lima perkara iaitu menjaga agama, nyawa,
akal, keturunan dan harta. Maka, sesuatu yang berperanan menjaga lima perkara ini
dikira sebagai maslahah, dan sesuatu yang merosakkan lima perkara ini dikira sebagai
mafsadah, dan menolaknya adalah maslahah." (Al-Ghazali 1937: 287)

176
Dalam hal ini, mahkamah boleh mempertimbangkan jumlah kerugian yang terpaksa
ditanggung oleh pihak isteri supaya ia adalah jumlah yang memang mampu untuk
ditanggung. Tujuannya adalah bagi menjaga maslahah harta isteri yang menjadi
sebahagian daripada maqasid al-Syariah. Demi kelangsungan kehidupan isteri selepas
berlakunya perceraian.
Penulis seterusnya mencadangkan supaya di peringkat awal lagi, iaitu di peringkat suami
isteri mula-mula merujuk pertikaian mereka, supaya pihak mahkamah memberikan
perhatian kepada isu ini. Elemen inquisitorial umpamanya, boleh digunakan untuk
mendorong pihak-pihak supaya mengambil kaedah yang lebih telus. Walaupun dengan
Arahan Amalan yang diguna pakai, hak-hak berkenaan boleh dibicarakan di peringkat yang
lebih tinggi. Ini tentunya lebih ekonomik dari sudut tenaga dan masa.

BIBLIOGRAFI

Al-Quran
Buku
Ahmad Ibrahim. 1999. Undang-undang Keluarga Islam Di Malaysia. Malayan Law
Journal Sdn. Bhd.
Ahmad Mustafa Al-Maraghiy & Muhammad Thalib. 2001. Tafsir Al-Maraghiy, Jilid 3,
Juzuk 5 & 6. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Abdul Monir Yaacob & Siti Shamsiah Md. Supi. Manual Undang-undang Keluarga Islam.
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Abdul Hamid Kisyik. 1995. Bimbingan Islam Untuk Mencapai Keluarga Sakinah. Al-
Bayan.
Al-Bahuti & Mansur bin Yunus bin Idris. 1955. Al-Rawd al-Murabba‘ Sharh Zad al-
Mustaqna’. Kaherah: Matba‘ah al-Sunnah al-Nabawiyyah.
Al-Ghazali, Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Muhammad. Al-Mustasfa. 1937.
Kaherah: Matba‘ah ‘Isa al-Babi al-Halabi.
Al-Maraghi, Ahmad Mustafa. 2001. ed. Muhammad Thalib. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Al-Ramli & Shams al-Din Muhammad bin Abu al-‘Abbas. 1967. Nihayah al-Muhtaj Sharh
al-Minhaj Kaherah: Matba‘ah ‘Isa al-Babi al-Halabi.
Hassan Salleh. 1989. Asas Kekeluargaan Islam, Bahasan Empat Mazhab: Syafi’i, Hanafi,
Maliki Dan Hanbali. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ibn al-Hammam, Kamal al-Din bin ‘Abd al-Wahid. 1970. Fath al-Qadir Sharh al-Hidayah.
Kaherah: Matba‘ah ‘Isa al-Babi al-Halabi.
Ibn Abi Syaibah, 'Abdullah bin Muhammad bin Abi Syaibah. 2006. Al-Musannaf, ed.
Muhammad 'Awwamah. Jeddah dan Damsyiq: Dar al-Qiblah li al-Thaqafah al-
Islamiyyah dan Mu'assasah 'Ulum al-Qur'an. Cetakan Pertama.

177
Ibn Hazm & Abu Muhammad ‘Ali bin Ahmad bin Sa‘id. Al-Muhalla. Beirut: Al-Maktab
al-Tijari li al-Nashr wa al-Tawzi'.
Al-Mawsu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah. Kuwait: Tiba‘ah Dhat a-Salasil.
Ibn Qudamah, ‘Abdullah bin Ahmad. 1990. Al-Mughni. Riyad: Maktabah al-Riyad al-
Hadithah.
Ibn Rushd, Muhammad bin Ahmad bin Muhammad. 1994. Bidayah al-Mujtahid wa
Nihayah al-Muqtasid. ed. Muhammad Subhi Hassan Hallaq. Kaherah & Riyadh:
Maktabah Ibn Taimiyyah dan Maktabah al-'Ilm. Cetakan Pertama.
Ibn Taimiyyah, Taqiy al-Din Ahmad al-Harani, ed. Sayyid Husin al-‘Affani & Khairi Sa‘id.
Majmu‘ah al-Fatawa. Kaherah: Al-Maktabah al-Taufiqiyyah.
Kamus Dewan. 2005. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pusataka. Edisi Keempat.
Mustafa Hj. Daud. 1991. Perkahwinan Menurut Islam. Utusan Publications Distributors
Sdn. Bhd.

Hadis
Al-‘Asqalani, Ahmad bin ‘Ali bin Hajar, Fath al-Bari Sharh Sahih al-Bukhari, ed.
Muhammad Fu’ad ‘Abd al-Baqi, Muhibb al-Din al-Khatib dan Qusay Muhib al-Din
al-Khatib. Kaherah: Dar al-Rayyan li al-Turath, 1986, 9:307.

Al-Daruqutni, 'Ali bin 'Umar. 2001. Sunan al-Daruqutni, ed. 'Ali Muhammad Mu'awwad
dan 'Adil Ahmad 'Abd al-Mawjud. Beirut: Dar al-Ma'rifah. Cetakan Pertama.

Kes
Babji Babjan v Zainab Mohd Salleh 29 [2009] 2 Jh 175.
Joriah Binti Doralim v Ibrahim Bin Mamat 14 [2001] 1 Jh 89.
Joan Mary Sulaiman @ Joannah Mariam v Sulaiman Bin Haji Musa 27 [2009] 2 Jh 213.
Rahima Binti Baba v Abu Hanifah Bin Bachik 19 [2005] 1 Jh 171

Kes Yang Tidak Direkodkan


Ainon binti Ismail v Harun bin Chik (Kuala Terengganu, No. Kes: 11005-014-0139-2014)
Salmah bt Uda Mat Esa v Abdul Marat bin Ahmad (Perak, No. Kes: 08100-014-0015-2013)

Siti Mariam bt Shaari v Khairil Nizam bin Nordin (Perak, No. Kes: 08600-014-0089-2013)
Shamsiah v Zainul (Selangor, No. Kes: 10002-055-0782-2008)
Zulina binti Badiulzaman v Syed Mohd Fazli bin Syed Mohd Arip (Perak, No. Kes: 08100-014-
0027-2013)

Laman Web

178
Dewan Bahasa dan Pustaka. http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=persefahaman.

179

You might also like