You are on page 1of 3

Teks ‘Speaker’s Corner’ SK Long Teru

26.05.2022 | 10.10 am

Tajuk: Anti-Rasuah

Cabaran besar ke arah mencapai tadbir urus yang baik ialah membanteras gejala rasuah
yang tidak berkesudahan. Untuk mencapai tadbir urus yang baik, perkara utama yang perlu
diselesaikan terlebih dahulu ialah soal ketelusan dalam pentadbiran. Oleh itu, kepemimpinan
negara begitu giat membanteras rasuah sebagai matlamat perjuangan dalam memimpin dan
mentadbir negara. Ironinya, persepsi umum kian merosot dalam soal ketelusan kerajaan ekoran
statistik rasuah negara meningkat saban tahun. Hal ini amat membimbangkan kerana rasuah
memberikan implikasi buruk bukan sahaja kepada penerima rasuah, malah kepada masyarakat
dan negara.

Gejala rasuah meninggalkan impak yang besar sehingga meruntuhkan sesebuah tamadun,
empayar dan bangsa. Contohnya, kehancuran Empayar Rom, Uthmaniah dan Dinasti Ming
disebabkan perbuatan rasuah oleh tentera dan kakitangan awamnya. Demikian juga dengan
kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka akibat berlakunya amalan rasuah dalam kalangan raja dan
pembesar. Rasuah berlaku kerana pengurusan pentadbiran yang tidak terurus. Gaji yang rendah
juga mendorong amalan rasuah kerana tidak dapat menampung kehidupan keluarga. Sesetengah
pengamal rasuah juga ingin hidup mewah sehingga sanggup menghalalkan cara demi
kesenangan hidup. Oleh itu, keteguhan iman dan didikan moral penting dalam mengelakkan
gejala rasuah.

Semua masyarakat yang beragama dan bermoral menolak rasuah kerana kesan rasuah
bukan sahaja melibatkan pengamal rasuah, malah segenap aspek negara. Kegiatan rasuah akan
melumpuhkan fungsi perjalanan sesuatu organisasi. Dengan adanya kegiatan rasuah, tiada
sesiapa akan dapat mengagak tindakan seseorang atau hasil daripada sesuatu rancangan untuk
masa depan. Amalan ini juga turut mewujudkan pemerintahan yang lemah kerana setiap kali
berlaku rasuah, pemerintah akan kehilangan hasil atau tergelincir daripada tindakan yang
sepatutnya.

Selain itu, keadilan sosial tidak akan dapat dicapai kerana amalan rasuah mengetepikan
hak golongan tertentu. Kebanyakan pemberi rasuah terdiri daripada golongan berada. Oleh itu, si
kaya terus menjadi kaya kerana memperoleh peluang untuk mengumpulkan kekayaan melalui
rasuah. Manakala rakyat terus terhimpit sehingga keperluan asas masyarakat yang seharusnya
dijaga sukar diperoleh. Keadaan ini bukan sahaja membebankan rakyat, malah memburukkan
lagi taraf kemiskinan kerana sumber yang telah ditetapkan untuk membantu rakyat miskin
diselewengkan.

Kemiskinan menyebabkan munculnya jenayah lain seperti merompak, menyamun, dan


sebagainya untuk memenuhi tuntutan hidup. Ketika ini, keselamatan dan keharmonian hidup
rakyat tergugat ekoran banyak orang hidup terhimpit dek desakan hidup. Akhirnya, rakyat mula
marah dan mengancam kestabilan politik negara sehingga boleh menyebabkan pentadbiran
kucar-kacir. Keadaan ini akan menyebabkan pelabur asing mula takut untuk melabur. Maka,
kemakmuran ekonomi negara terjejas kerana pelaburan asing amat diperlukan untuk menjana
pendapatan dan membangunkan ekonomi negara. Kos tambahan yang wujud kesan daripada
amalan rasuah pula ditanggung oleh pihak lain dan rakyat.
Teks ‘Speaker’s Corner’ SK Long Teru
26.05.2022 | 10.10 am

Tajuk: Anti-Buli

Remaja pada hari ini bakal menerajui pucuk pimpinan negara pada masa hadapan dan merupakan
aset modal insan negara bak kata pepatah, ‘pemuda harapan bangsa, pemudi tiang
negara’. "Berikan saya sepuluh orang remaja, nescaya akan saya gegarkan dunia ini,” begitulah
ungkapan  retorik yang pernah dilontarkan oleh bekas Presiden Parti Indonesia, Soekarno yang
menggambarkan betapa gahnya peranan remaja sebagai penentu pembangunan dan kemajuan
negara pada masa hadapan.

Malangnya, dalam proses menongkah arus globalisasi yang pantas bergerak bagai belut diketil
ekor ini, keruntuhan akhlak remaja semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini. Salah satu
masalah sosial yang kian merebak dalam kalangan remaja ialah gejala buli.

Berdasarkan statistik Kementerian Pendidikan, terdapat lebih daripada 14,000 kes buli di sekolah-
sekolah di seluruh negara antara tahun 2012 dan tahun 2015 dan sebahagian besar melibatkan
penderaan fizikal. Kes buli yang mendapat liputan seluruh negara melibatkan seorang mahasiswa
universiti Pertahanan Malaysia, Zulfarhan Osman Zulkarnain meninggal dunia dipercayai akibat
didera seolah-olah menjadi bom jangka yang menyedarkan kita dari lena bahawa budaya budi dalam
kalangan pelajar merupakan isu yang tidak boleh dipandang enteng sama sekali.

Kegoyahan institusi kekeluargaan juga menjadi pemangkin kepada gejala buli yang melanda di nusa
tercinta kita ini.  Intitusi keluarga porak-peranda disebabkan oleh tiada lagi persefahaman antara
pasangan suami isteri.  Oleh itu, kes penderaan, pertengkaran dan perceraian semakin
meningkat bagai bangkai gajah yang tidak dapat ditutupi dengan nyirunya lagi.   Menurut kajian
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), kadar perceraian pasangan suami isteri Islam di Malaysia
berlaku sekali dalam tempoh masa 15 minit.  Keluarga yang porak-peranda akan lalai untuk
memberikan kasih sayang mereka kepada anak-anak remaja yang sentiasa memerlukan belaian dan
perhatian daripada ibu bapa mereka.  Keadaan ini membimbangkan kerana akan menjejaskan
perkembangan remaja dan pembentukan personaliti remaja. Maka tidak hairanlah apabila remaja
sanggup terlibat dalam gejala samseng ini untuk menarik perhatian dan mendapatkan sekelumit
kasih sayang daripada ibu bapa mereka yang semakin alpa dalam memikul tanggungjawab hakiki
mereka. 

Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan bahawa 50 peratus remaja yang terlibat dalam gejala
negatif terdiri daripada remaja yang mempunyai konflik keluarga. Oleh hal yang demikian, izharlah
bahawa kegoyahan institusi kekeluargaan turut mencetuskan fenomena buli remaja yang ingin
melepaskan kemarahan mereka kepada individu yang lain bak kata peribahasa Melayu, ‘orang lain
makan nangka, orang lain terkena getahnya’.

Jika kita kaji dari dimensi yang lain, pengaruh rakan sebaya juga merupakan antara faktor gejala buli
semakin menular dan kian serius bagai duri dalam daging di negara kita pada hari ini.  Hal ini
dikatakan demikian kerana remaja pada hari ini lebih mempercayai rakan sebaya daripada ibu bapa
dan guru-guru mereka. Tindakan remaja yang sanggup menuruti kata-kata kawannya tanpa
memikirkan risiko dapat diumpamakan seperti kerbau dicucuk hidung. Bukan itu sahaja, kebanyakan
remaja tidak ingin dipulaukan atau disisihkan oleh ahli kumpulan sekiranya enggan menuruti
perlakuan dan kata-kata mereka. Menurut Thrasher yang merupakan pelopor awal tentang kajian
buli mengutarakan mewujudkan geng atau persatuan. Remaja yang masih berbau pucuk
jerengau ini sanggup mengkhianati kepercayaan ibu bapa dan guru mereka daripada mengkhianati
kumpulan mereka.  Sebagai contohnya, 8 orang pelajar tingkatan 5 dari Kolej Melayu Kuala Kangsar
(MCKK) telah mengugut guru asrama dengan menggunakan parang. Kumpulan pelajar ini sanggup
bertindak demi melepaskan kemarahan dan berseronok-seronok tanpa memikirkan impaknya
kepada diri sendiri dan orang lain.  Ekoran sikap remaja yang tersalah memilih rakan menyebabkan
mereka mudah dipengaruhi oleh anasir-anasir negatif seperti membuli . Hal ini dapat dikaitkan
dengan petikan sebahagian daripada hadis nabi yang bermaksud, “Jika anda berkawan dengan
tukang besi maka percikan api akan terkena pada tubuhmu.”  Pendek kata, pengaruh dan tekanan
daripada rakan sebaya turut mejadi penyebab kepada kemelut buli semakin sukar ditangani.

You might also like