You are on page 1of 11

International Journal of Social Science Research

eISSN: 2710-6276 | Vol. 4, No. 2, 240-250, 2022


http://myjms.mohe.gov.my/index.php/ijssr

International Journal of Social Science Research (IJSSR)


eISSN: 2710-6276 | Vol. 4 No. 2 [June 2022]
Journal website: http://myjms.mohe.gov.my/index.php/ijssr

KESULTANAN MELAYU MELAKA: PENGASASAN DAN


PENGUKUHAN

Haryati Hasan1*, Nor Hidayah Idrus2, Nur Fadhilah Zainudin3, Nur Athirah Zonol
Abidin4 dan Nurul Jannah Mohd Noor5
12345
Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikaan Sultan Idris, Tanjung Malim, MALAYSIA

*Pengarang penghubung: haryatiehasan@gmail.com

Abstrak: Kertas kerja ini membincangkan mengenai


Article Information: sejarah Kesultanan Melayu Melaka. Skop masa dari
Article history: tahun 1400 sehingga 1430an. Perbincangan
memfokuskan kepada dua perkara pokok. Pertama
Received date : 14 June 2022 mengenai pengasasan Melaka pada lebih kurang tahun
Revised date : 17 June 2022 1400. Kedua mengenai pengukuhan. Perbincangan
Accepted date : 20 June 2022
Published date : 30 June 2022 mengenai pengasasan menumpukan kepada perkara
yang berkaitan Melaka sebelum ketibaan Raja Iskandar
To cite this document: Syah, mengapa memilih Melaka, asal-usul nama
Melaka, Melaka pada peringkat awal dan siapakah
Hasan, H., Idrus, N. H., Zainudin, N.
F., Zonol Abidin, N. A., & Mohd Noor,
Parameswara atau Raja Iskandar Syah. Perbincangan
N. J. (2022). KESULTANAN mengenai pengukuhan pula memperkatakan mengenai
MELAYU MELAKA: PENGASASAN penerimaan agama Islam, ancaman Siam dan hubungan
DAN PENGUKUHAN. International Melaka-China. Dapatan, menunjukkan pengasas
Journal of Social Science Research, Kesultanan Melayu Melaka berasal dari luar Tanah
4(2), 240-250.
Melayu. Selain itu terdapat pelbagai faktor yang saling
berkaitan dalam menentukan pengukuhan dan
seterusnya membawa kepada kegemilangan Kesultanan
Melayu Melaka.

Kata Kunci: Kesultanan, Melayu, Melaka, Pengasasan,


Pengukuhan.

1. Pengenalan
Melaka merupakan sebuah lagi empayar Melayu di Alam Melayu, selepas runtuhnya empayar
Melayu Srivijaya yang berpusat di Palembang, Sumatera dan juga Majapahit yang berpusat di
Jawa. Empayar Melaka merupakan sambungan dari empayar Srivijaya yang berpusat di
Palembang yang telah runtuh pada penghujung abad ke-14. Raja pertama yang memerintah
Melaka, Iskandar Syah, ataupun Parameswara merupakan raja terakhir memerintah Palembang
sebelum baginda diusir tentera Majapahit. Justeru itu, sedikit sebanyak adat istiadat diraja,
sistem pentadbiran dan sistem masyrakat yang lazimnya terdapat di Palembang dipakai pula di
Melaka terutamanya pada bahagian awal sejarah.

240

Copyright © 2022 ACADEMIA INDUSTRY NETWORKS. All rights reserved.


International Journal of Social Science Research
eISSN: 2710-6276 | Vol. 4, No. 2, 240-250, 2022
http://myjms.mohe.gov.my/index.php/ijssr

Raja Iskandar bukan sahaja mengasaskan kerajaan Melaka, tetapi telah berusaha bersungguh-
sungguh membangunkannya menjadi sebuah negeri yang kemudiannya berkembang menjadi
empayar yang kukuh. Bilakah Melaka mula dijadikan kerajaan atau diasaskan oleh Raja
Iskandar Syah? Soalan ini tiada jawapan yang tepat kerana ketiadaan sumber sejarah yang jelas
(Muhammad Yusoff Hashim, 2017:120). Para sejarawan kerap bertelagah mengenai tarikh
pengasasan kerajaan Melaka oleh Raja Iskadar Syah. Namun kebanyakan sejarawan mutakhir
bersetuju bahawa baginda telah mengasas Melaka penghujung abad ke-14.

Menurut O.W. Wolters, Raja Iskandar Syah telah mula berkerajaan di Melaka pada kira-kira
T.M. 1399/1400. Ini berdasarkan kepada kronologi pergerakan dan perjalanan Raja Iskandar
Syah sejak berkerajaan di Palembang sehinggalah baginda menjadi raja Melaka iaitu yang
dipadankan daripada maklumat-maklumat yang diperolehinya dalam Sulatus Salatin (Sejarah
Melayu), tulisan Portugis dan catatan Cina.

Kronologi Raja Iskandar Syah:


• 1388-89 hingga 1390-91- raja Palembang kira-kira tiga tahun
• 1391-92 hingga 1396-97- raja Singapura kira-kira enam tahun
• 1397-98 hingga 1412-12- membuat kota/negeri Muar
• 1399-1400 hingga 1412-13- mengasaskan kerajaan Melaka dan menjadi Raja Melaka
pertama kira-kira 14 tahun dan mangkat 1413

2. Metodologi
Kupasan kertas kerja ini berdasarkan modul karya Haryati Hasan yang bertajuk. “Sejarah
Malaysia: 1400-1800). (Haryati Hasan, 2022) Dalam modul tersebut mengandungi sembilan
tajuk iaitu Kesultanan Melayu Melaka, Kerajaan Johor-Riau, Persaingan Negeri-Negeri
Melayu Dengan Belanda, Selat Melaka dan Penjelajahan Orang Bugis, Kerajaan Melayu Baru,
Peranan Wanita Dalam Kesultanan Melayu Melaka, Peranan Wanita Dalam Kerajaan Johor-
Riau, 20 Tahun Epilog Luka Dalam Kerajaan Johor-Riau dan Persaingan Siak-Bugis.
Pengasasan dan pengukuhan Kesultanan Melayu Melaka diperkatakan di dalam kertas kerja
ini.
3. Hasil dan Perbincangan
3.1 Pengasasan
3.1.1 Melaka Sebelum Ketibaan Raja Iskandar Syah
Sebelum kedatangan Raja Iskandar Syah, Melaka merupakan sebuah perkampungan kecil
sudah pun wujud di sana sejak beberapa lama dahulu. Perkara ini dapat diimbaskan daripada
catatan penulisan Portugis, Tome Pires, yang menyebut bahawa, Apabila baginda sampai dan
membuka kota di Muar, pengiring kira-kira 30 orang laut itu telah pergi pula ke Melaka, yang
terletak tidak jauh dari Muar dan menetap di situ. Mereka itulah kemudiannya yang
mencadangkan kepada Iskandar Syah agar datang meninjau ke Melaka dengan harapan baginda
akan berbuat kerajaan di situ.

Hal ini kerap menimbulkan kekeliruan kerana ada kalangan penulis yang tidak dapat
membezakan antara kerajaan Melaka yang diasaskan oleh Raja Iskandar Syah itu dengan
perkampungan yang kemudiannya menjadi tapak bagi kerajaan tersebut. Umpamanya seorang
penulis Portugis yang bernama Gasper Correa mengatakan Melaka telah pun dibuka 700 tahun

241

Copyright © 2022 ACADEMIA INDUSTRY NETWORKS. All rights reserved.


International Journal of Social Science Research
eISSN: 2710-6276 | Vol. 4, No. 2, 240-250, 2022
http://myjms.mohe.gov.my/index.php/ijssr

sebelum ia dikalahkan oleh bangsanya pada T.M. 1511. Seorang lagi penulis Portugis, Joas De
Barros mengatakan Melaka telah dibuka kira-kira dua kurun setengah sebelum terjadinya
peristiwa malang T.M. 1511 itu. Malah Tome Pires, iaitu sebagai seorang petugas dan penulis
Portugis yang pernah tinggal di Melaka selama kira-kira tiga tahun (T.M. 1512-1515) selepas
kekalahan Melaka itu, menganggarkan bahawa Melaka telah dibuka kira-kira sekurun sebelum
peristiwa kekalahannya.

Jika kita bandingkan pandangan-pandangan tersebut, jelaslah pandangan Tome Pires itu agak
lebih tepat, iaitu perkampungan kecil tersebut telah dibuka menjadi sebuah kerajaan oleh Raja
Iskandar Syah di sekitar T.M. 1399/1400 iaitu seperti yang dianggarkan oleh Wolters tadi.
Kerajaan itu dinamakan Melaka: kononnya mengikut nama sebatang pokok tempat baginda
bersandar merehatkan diri takkala baginda serta pengikut-pengikut mula sampai ke tempat
berkenaan. (Muhammad Yusoff Hashim, 2007).

3.1.2 Mengapa Memilih Melaka?


Mengikut Sulatus Salatin, keputusan baginda untuk menjadikan Melaka sebagai kerajaan baru
kerana berlakunya suatu peristiwa yang luar biasa ketika baginda baru sampai di sana. Pada
ketika itu baginda dan pengiring-pengiring pun sedang berusaha mencari suatu kawasan untuk
dijadikan kerajaan baru iaitu setelah mendapati Muar, Biawak Busuk, Kota Buruk dan Sening
Ujung tidak begitu sesuai. Akhirnya mereka sampai “kepada sebuah [kuala?] sungai Bertam
namanya; dan kualanya berbukit. Maka baginda pun datang ke sana, berhenti di bawah sepohon
kayu, terlalu nampak, maka baginda menyuruh berburu; sekonyong-konyong terjun anjing
dihambat pelanduk”. Titah baginda, “Baik tempat ini diperbuat negeri, anjing alah oleh
pelanduk; jikalau orangnya betapa lagi? … maka disuruh baginda tebas, diperbuat negeri.
Maka titah baginda, “Apa nama kayu itu?” Maka sembah orang “Kayu Melaka namanya
Tuanku”. Maka titah Raja Iskandar Syah, “Jika demikian, Melakalah nama negeri ini”.

3.1.3 Asal-Usul Nama Melaka


Terdapat beberapa perbezaan pendapat mengenai asal-usul nama Melaka. Sumber Portugis
seperti Suma Oriental misalnya menyebut ia berasal daripada buah dan pokok yang
dipersembahkan oleh pengikut Parameswara yang sudah menetap di Bertam/Melaka, ketika
mereka menghadap baginda di Muar untuk mempersilakan baginda meninjau kesesuaian
Bertam dijadikan negeri Baru. Parameswara mengatakan negeri baru itu wajar dinamakan
Malaqa, sesuai dengan nama buah dan pokok itu dan juga dengan makna tersiratnnya sebagai
“pelarian yang bersembunyi” atau lebih tepat, “tempat perlindungan”.

Sumber Arab pula menyatakan ia berasal daripada perkataan Malaqat bererti “perhimpunan
dagang” dan sumber China, Ying-Yang Sheng Lan (1451) pula menyebut bahawa Melaka
asalnya dikenali sebagai Wuhsu yang bererti Lima Buah Pulau, iaitu sebagai merujuk kepada
pulau-pulau yang berada di perairan pantai Melaka itu tetapi kemudiannya dikenali sebagai
Man-la-chin (Melaka). Walau bagaimanapun, penerangan yang terdapat di dalam teks Sejarah
Melayu (versi Shellabear) atau Sulatus Salatin asal usul nama Melaka berasal daripada
sebatang pohon, itu adalah lebih dikenali dan bolehlah diterima sebagai munasabah bagi asal
nama Melaka itu. (Ahmad Dahlan, 2017:123).

242

Copyright © 2022 ACADEMIA INDUSTRY NETWORKS. All rights reserved.


International Journal of Social Science Research
eISSN: 2710-6276 | Vol. 4, No. 2, 240-250, 2022
http://myjms.mohe.gov.my/index.php/ijssr

3.1.4 Melaka Pada Peringkat Awal


Pada peringkat awalnya sudah tentulah keadaan Melaka itu tidak begitu teratur. Banyak perkara
masih kekurangan dan perlu tindakan. Walau bagaimanapun, Raja Iskandar Syah dan para
pembesar baginda memang sudah mempunyai pengalaman dalam hal memerintah dan
mentadbir negeri kerana baginda pernah menjadi raja di Palembang, Singapura dan Muar
sebelum ke Melaka itu. Para pembesar baginda pula merupakan pengiring-pengiring setia sejak
dari Palembang lagi. Mereka berusaha dengan tekun dan bersungguh-sungguh untuk membina
sebuah negeri yang aman dan makmur. Masyarakat tempatan juga turut membantu. Sebenarnya
perjalanan baginda dan rombongan dari Singapura dan hasrat mereka untuk berbuat negeri di
suatu tempat yang baru diketahui oleh penduduk tempatan. Mereka memberikan pertolongan
yang sewajarnya. Para pengikut Raja Iskandar Syah, iaitu selain daripada yang berjumpa 30
orang [keluarga] yang sudah menetap di Melaka lebih awal lagi, semakin ramai pula tiba dari
Palembang untuk sama-sama berusaha serta membantu memajukan negeri yang baru diasaskan
itu. Mereka sanggup datang ke Melaka kerana sikap taat setia kepada raja di samping
berdagang dan meneroka kawasan baru.

Dalam pada itu, langkah Raja Iskandar Syah mempertujui gesaan para pengikutnya agar
baginda pindah dari Muar ke Melaka dan membuat kerajaan baharu di situ dianggap oleh O.W.
Wolters sebagai satu langkah yang berani tentulah juga berdasarkan beberapa pertimbangan
serta perkiraan. Antara pertimbangan awal ialah sungai yang menjadi sumber bekalan air dan
jalan pengangkutan ke kawasan pedalaman, bukit di kuala sungai sebagai kawasan strategik
untuk pertahanan dan kawasan kediaman di raja, dan daerah pedalaman yang luas untuk
kegiatan pertanian. Berdasarkan faktor tersebut menjadikan Melaka lebih penting berbanding
Muar dari sudut perdagangan dan perniagaan.

Usaha gigih dengan bersandarkan pengalaman yang ada serta kemahuan tinggi, dan faktor
ekologi alamiah yang dinyatakan telah mendatangkan hasil yang mengkagumkan bagi kerajaan
yang baru ditubuhkan itu. Catatan oleh Jao De Barros pula mengatakan hanya kira-kira empat
bulan baginda Raja Iskandar Syah menjadi raja di Melaka, sebuah bandar yang dialami oleh
150 keluarga telah pun dapat didirikan dan jumlah ini juga menjadi 2000 kira-kira dua tahun
kemudian.

Seterusnya dalam masa kira-kira empat atau lima tahun Melaka yang mulanya hanyalah
merupakan sebuah kampung nelayan yang kecil dan semak, terletak di kuala sungai bukan
sahaja mula mengalami pertumbuhan penduduk yang semakin bertambah ramai, tetapi telah
mula dikenali dan menarik perhatian kuasa dan pedagang luar. Menjelang T.M. 1403 dari segi
kedudukannya sebagai sebuah pelabuhan perdagangan misalnya, ia sudah menjadi pelabuhan
perdagangan yang cukup mantap sehingga menarik perhatian kerajaan China yang
memerintahkan dutanya, Laksamana Yin Ching, yang beragama Islam, untuk singgah di situ
pada tahun tersebut. Dengan kata lain, Melaka sudah mula menjadi masyhur. Akibatnya ada
kuasa luar yang ingin bersahabar dan ada juga yang ingin mengancam dan menaklukinya. Raja
Iskandar Syah harus bertindak dengan sebaik-baiknya untuk memelihara negerinya yang
baharu itu, terutamanya daripada pihak yang mengancamnya atau ingin menguasainya,
khususnya Siam.

243

Copyright © 2022 ACADEMIA INDUSTRY NETWORKS. All rights reserved.


International Journal of Social Science Research
eISSN: 2710-6276 | Vol. 4, No. 2, 240-250, 2022
http://myjms.mohe.gov.my/index.php/ijssr

3.1.5 Siapakah Parameswara/Raja Iskandar Syah


Kerajaan Melaka yang baharu diasaskan oleh Raja Iskandar Syah dan para pengikutnya itu
nampaknya memang mempunyai potensi semulajadi untuk berkembang maju. Selain daripada
faktor alamiah seperti yang telah disebutkan tadi, dan juga yang kemudiannya dikenalpasti
sambil Melaka bergerak serta berkembang maju, azam dan inisiatif juga merupakan unsur-
unsur yang akan mendorong kerajaan baharu itu memperkukuhkan serta memantapkan
kedudukannya. Raja Iskandar Syah sendiri sebagai raja yang pernah memerintah di Palembang
dan Singapura, memang berazam untuk “mewarisi kegmilangan empayar Srivijaya [yang
berpusat di Palembang] yang telah dapat menguasai dan mengawal kedua-dua belah pantai
Selat Melaka. Ertinya kegagalannya bertindak cemerlang, sama ada di Palembang atau
Singapuran, akan cuba diatasinya di negerinya yang baharu itu. Baginda akan berusaha
menerajui Melaka menjadi waris Palembang yang sewajarnya.

Tambahan lagi dari segi sahsiah dan kepimpinan, baginda sendiri mengikut pandangan O.W.
Wolters, “… memang seorang tokoh yang agung, mempunyai martabah dan kuasa kepimpinan
dan berupaya membimbing pengikut-pengikut Melayunya mengharungi suatu dekad yang
sungguh sukar”. Malah baginda perlu mengambil langkah sewajarnya, bukan sahaja untuk
memajukan Melaka, tetapi untuk meneruskan kewujudan ataupun kelangsungan kerajaan baru
itu sendiri terutamanya peda peringkat awal, Dengan kata lain baginda harus bijak, tabah dan
bertindak sebagai seorang strategis menghadapi setiap cabaran awal itu serta merangka suatu
rencana atau tatacara kelangsungan negeri baharu itu.
3.2 Pengukuhan
Keagungan Melaka sebagai sebuah negeri terletak pada kkeagungan rajanya, pembesarnya
yang bijaksana dan keluasan jajahan takluknya. Raja Mmelayu Melaka digambarkan sebagai
raja yang agung baik dari segi keturunan asal usul, berdaulat, bijaksana mahupun pelbagai
kelebihan lain. (A. Halim Ali dan Norazimah Zakaria, 207:68). Lantaran itu, dengan hasrat dan
azam antara langkah pertama yang dilakukan oleh Raja Iskanadar Syah ialah menyelaras dan
memperkemaskan sistem kerajaan dan pentadbirannya. Mengikut catatan Tome Pires, ini
dimulakannya dengan melantik para pengikutnya yang setia menjadi pegawai/pentadbir atau
para bangsawan yang jumlahnya tidak melebihi 18 orang. Sulalatus Salatin,
menggambarkannya dengan lebih jelas lagi, terutamanya setelah raja yang kedua, iaitu Raja
Muda (Raja Iskandar, mengikut Tome Pires) menjadi pemerintah menggantikan bapanya Raja
Iskandar Syah.

3.2.1 Penerimaan Agama Islam


Penyelarasan dan pengemasan kerajaan ini dilakukan berterusan, iaitu sesuai dengan semakin
maju dan ramainya penduduk Melaka. Tidak dapat tidak, langkah ini adalah diasaskan kepada
amalan dan warisan yang dibawa dari Srivijaya/Palembang dan Singapura dahulu. Namun,
setelah agama Islam datang dan Raja Melaka yang kedua mengikut sumber China, iaitu
Mahkota Iskandar Syah, dan pembesar- pembesar memeluk agama itu, maka penyelarasan dan
penyesuaian terpaksa dilakukan lagi. Sulalatus Salatin menyebut tentang langkah tersebut
dengan mengatakan, “Maka Sultan Muhammad (Mahkota Iskandar Syah) pun mengatur takhta
kerajaan baginda”. Kenyataan dalam Sulalatus Salatin ini amat penting kerana ia disebut
seelok- elok sahaja baginda memeluk agama Islam dan meninggalkan anutan lamanya yang
berasaskan Hindu- Buddha itu.

244

Copyright © 2022 ACADEMIA INDUSTRY NETWORKS. All rights reserved.


International Journal of Social Science Research
eISSN: 2710-6276 | Vol. 4, No. 2, 240-250, 2022
http://myjms.mohe.gov.my/index.php/ijssr

Ia seolah-olah mencerminkan, malah menjanjikan suatu perubahan yang tegas dan revolusioner
yang akan membezakan adat istiadat atau peraturan antara dua zaman: sebelum dan sesudah
Islam. Apakah perubahan seperti ini sebenarnya berlaku? Perhatian awal kita menunjukkan
bahawa perubahan yang mendadak dan revolusioner itu tidaklah berlaku. Apatah lagi pada
peringkat awal itu. Apa yang berlaku ialah kesinambungan dari zaman sebelumnnya dan
penyesuaian dengan anutan yang baharu diterima itu. Yang penting pada peringkat awal itu
ialah mengukuhkan kedudukan kerajaan baharu itu daripada pelbagai sudut/itulah antara
maksud kenyataan, “mengatur takhta kerajaan itu”, iaitu menyelaras serta mengemaskini,
memperbaharui atau menyesuaikan tentang kedudukan dan kuasa raja, pembesar dan rakyat
biasa, adat istiadat, protokol diraja, hal dan keistimewaan tiap -tiap kelas masyarakat dan
sebagainya yang bertujuan untuk melicinkan pentadbiran perjalanan kerajaan, keharmonian
dan kesejahteraan masyarakat.

Walau bagaimanapun kedatangan dan penerimaan agama Islam tetap menguntungkan Melaka.
Ia memang menjadi faktor penyumbang dalam usaha para pemimpin Melaka mengukuhkan
kedudukan negeri melalui penguasaan perdagangan dan juga hubungan antarabangsa. Raja
Iskandar Syah walau pun belum memeluk agama Islam tetapi baginda bersikap liberal terhadap
para pedagang Islam dan mengalu-alukan mereka datang berdagang ke Melaka di samping
membenarkan beribadat dan membina tempat ibadat yang diperlukan. Kemudian setelah Sultan
Melaka yang kedua (ketiga/keempat?) memeluk agama Islam, Melaka bukan sahaja terus
berkembang menjadi pusat perdagangan para pedagang Islam, tetapi juga menjadi pusat
pendakwahan dan perkembangan agama itu.

Pada peringkat pengukuhan itu penerimaan agama Islam itu telah mendorong lebih ramai
pedagang Islam datang ke Melaka, sama ada untuk berdagang di situ ataupun dalam perjalanan
ke China. Besar kemungkinan ada pula sejumlah mereka yang berkahwin dengan wanita
Melaka dan menjadi warga negeri yang baharu itu. Statistik kependudukan Melaka misalnya
menunjukkan bahawa warga Melaka yang berjumlah 1000 orang ketika kerajaan itu bermula,
telah bertambah menjadi kira-kira 2000 orang tiga tahun kemudian. Pada T.M 1414 ia telah
bertambah menjadi 6000 orang. Semasa pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah (1477-
1488) penduduknya telah bertambah menjadi 40,000 orang dan seterusnya dalam zaman Sultan
Mahmud jumlahnya menjadi 190,000 orang. Jumlah tersebut hanya bagi bandar Melaka dan
kawasan sekitarnya dan tidak termasuk keseluruhan empayar tersebut. Walaupun majoriti
komposisi kependudukan itu adalah terdiri daripada orang Melayu, tetapi ia tidaklah terbatas
kepada orang Melayu juga mengandungi “segala bangsa di dunia ini”. Dan dalam kalangan
orang Islam, selain daripada orang Melayu yang telah memeluk agama itu, termasuk Arab,
Parsi, Benggali (Gujerati). Hakikatnya kedatangan dan penerimaan agama Islam itu telah
membawa pelbagai kebaikan dan keuntungan kepada Melaka sejak awal kewujudannya lagi.
Sementelah pedagang-pedagang Islam pada ketika itu menguasai perjalanan laut dengan
dagangan antara Asia Barat dan Asia Timur dan kedatangan serat kegiatan mereka di Melaka
telah membantu memakmur, memasyur dan mengukuhkannya. Maka dalam kedudukan yang
demikian itulah, Mahkota Iskandar Syah mendapati baginda wajar “mengatur kerajaannya”.

3.2.2 Ancaman Siam


Selain daripada usaha mengatur kerajaan itu, Melaka juga berhadapan dengan masalah
hubungan dengan kuasa-kuasa luar, terutamanya Siam yang dikatakan telah mendakwa Melaka
adalah takluknya dan mempunyai hasrat yang tinggi untuk menjelmakan dakwaan itu menjadi
kenyataan dengan menyerang dan menguasai Melaka. Oleh itu, memanglah benar pandangan
Haron Daud bahawa, “perkembangan negeri Melaka dalam tahap pertama diselubungi oleh
245

Copyright © 2022 ACADEMIA INDUSTRY NETWORKS. All rights reserved.


International Journal of Social Science Research
eISSN: 2710-6276 | Vol. 4, No. 2, 240-250, 2022
http://myjms.mohe.gov.my/index.php/ijssr

ancaman Siam”. Malah catatan dinasti Ming (1368-1643) dan Yirn-yai Sheng-lan (1416)
menyebutkan bagaimana Raja Iskandar Syah/Parameswara telah dipaksa membayar ufti
tahunan sebanyak 60 auns emas kepada Raja Siam; jika gagal Melaka akan diserang.
Pandangan dan catatan ini menggambarkan scenario yang tidak menyenangkan, malah tidak
selamat, bagi kerajaan Melaka yang baru bertapak dan sedang berusaha menggorak langkah
itu. Karenah Siam yang sentiasa mengancam dan berlagak seperti orang kuat itu sudah tentulah
tidak membantu, malah membimbangkan Melaka akan kelangsungan kewujudannya.

Keadaan tersebut membayangkan bahawa hubungan Melaka dengan Siam pada peringkat awal
itu adalah tidak baik dan tidak seimbang. Sulalatus Salatin menggambarkan Siam pada ketika
itu sebagai sebuah kuasa yang kuat “… segala raja – raja di bawah angin ini, semuanya takluk
kepadanya…”. Dalam kedudukannya yang demikian Siam juga dikatakan telah melanggar
Melaka pada T.M 1406/1407 iaitu pada tahap awal kebangkitan kerajaan Melaka itu. Walau
bagaimanapu menurut Sulalatus Salatin, serangan Siam yang pertama ke atas Melaka hanya
berlaku pada awal pemerintahan Sultan Muzaffar Syah (T.M 1446) iaitu apabila “… didengar
oleh benua Siam bahawa Melaka negeri (sudah) besar, tiada takluk Siam, maka Paduka
Bubunya pun menyurulah ke Melaka hendak meminta surat sembah. Maka Sultan Muzaffar
Syah tidak mahu menyembah ke benua Siam. Berikutan dengan itu Siam telah menyerang
Melaka melalui jalan darat, iaitu Pahang. Namun, dengan kebijaksanaan Tun Perak, serangan
itu dapat dipatahkan oleh Melaka; juga serangan yang kedua dan seterusnya serangan yang
ketiga.

Nampaknya angkara dan hasrat penguasaan Siam ke atas Melaka berlaku berterusan. Ia
bermula sejak peringkat awal kemunculan Melaka lagi. Melaka sebenarnya tidak berupaya
memandang ringan terhadap hasrat mahupun ancaman Siam itu kerana ia akan membantutkan
usaha memajukannya serta menghalang perluasan perdagangannya. Sedikit sebanyak Melaka
pula memerlukan beras dari kerajaan tersebut. Dan bekalan tersebut terus menerus didapati,
Melaka menurut Tome Pires, telah menghantar perwakilan ke Siam dalam zaman Mahkota
Iskandar Syah iaitu rajanya yang kedua itu. Namun Siam tidak melupakan hasratnya yang telah
disebutkan tadi. Dalam keadaan yang demikian itulah, dan berbanding dengan tindak tanduk
kerajaan-kerajaan jiran Melaka yang lain seperti Haru, Pasai dan beberapa kerajaan di Jawa,
0.W Wolters mengatakan bahawa, “…tiada jiran Melaka yang lebih mengancam selain
daripada kerajaan Ayudya Thai itu.”

3.2.3 Hubungan Melaka-China


Memandangkan hubungan yang kurang menyenangkan antara keduanya, terutama dari pihak
Siam yang tidak selesa melihat kemunculan dan perkembangan Melaka, maka di antara T.M.
1407 hingga T.M. 1431, pihak pemerintah Melaka telah membuat tiga pengaduan mengenai
hal ancaman dan serangan Siam itu kepada kuasa besar pada ketika itu, iaitu China. Pengaduan
tersebut menghasilkan kesan yang diharapkan iaitu Siam terpaksa akur dengan amaran dari
China agar ia hidup berbaik-baik dan menghormati kewujudan jirannya. Dengan langkah
tersebut dan sikap tegas China terhadap tindak-tanduk Siam ke atas Melaka itu, ia dapat
membantu Melaka mewujudkan keadaan stabil serta suasana aman yang dapat pula membantu
mengukuhkan serta memantapkan kedudukannya.

Sebenarnya hubungan Melaka-China bermula sejak awal pengasasan Melaka lagi Bagaimana
pun kemunculan Melaka sebagai Negara baru itu telah sampai kepada pengetahuan Negara
China bukanlah sesuatu yang penuh misteri atau menghairankan. Sebagai sebuah kuasa besar
ketika itu, China mempunyai dasar luar negeri yang suka berbaik-baik dengan negara asing.
246

Copyright © 2022 ACADEMIA INDUSTRY NETWORKS. All rights reserved.


International Journal of Social Science Research
eISSN: 2710-6276 | Vol. 4, No. 2, 240-250, 2022
http://myjms.mohe.gov.my/index.php/ijssr

“Duta-dutanya” atau Laksamananya telah mengharungi Laut China Selatan, Lautan Hindi
hinggalah ke perairan Arab untuk melaksanakan dasar tersebut. Ia mahu melihat keamanan dan
kedamaian wujud di perantauan yang boleh dipengaruhinya. Laksamana yang melayari
perairan tersebut sentiasa pula memantau dan mencatatkan setiap perkembangan yang berlaku,
termasuklah kemunculan tapak kekuasaan atau negeri yang baharu seperti Melaka. Pihak
Melaka pula pasti berusaha untuk menarik perhatian China. Namun demikian, China tidaklah
menganggap negara asing itu sama taraf dengannya; malah ia menggangap dirinya sebagai
“Kerajaan Tengah” atau “Paksi Alam”, sedangkan semua negara asing yang bersahabat
dengannya sebagai negara di bawah naungannya. Mana-mana negara yang ingin bersahabat
dan berdagang dengan China, haruslah menerima anggapan tersebut. Sebagai ganjarannya,
China akan mengiktiraf kedudukan dan kekuasaan raja Negara yang berkenaan di dalam negeri
baginda dan memberikan kemudahan perdagangan yang sewajarnya. Ia juga akan menentukan
agar Negara yang berkenaan tidak diserang oleh musuh-musuhnya.

Melaka di bawah tokoh pimpinan seperti Raja Iskandar Syah itu, menyedari hakikat ini. Oleh
itu, demi kepentinan kelangsungannya, pada peringkat awal itu, ia perlu menjalinkan hubungan
dengan China. Seterusnya hubungan yang terjalin itu berjalan dengan baik dan saling hormat-
menghormati sejak dari awal lagi. Ia ditandai dengan lawatan di antara kedua pihak bagi
mengukuhkan lagi hubungan itu dan juga bagi meningkatkan perdagangan dua hala. Seawal
T.M. 1403. China telah menghantar satu rombongan ke Melaka yang diketuai oleh seorang
Laksamana yang beragama Islam iaitu Yin Qing. Tujuan kedatangannya untuk menawarkan
persahabatan dari negeri China atas prinsip-prinsip yang telah kita sebutkan tadi.

Raja Iskandar Syah memang menyambut baik tawaran persahabatan tersebut. Dengan berbuat
demikian baginda berharap negeri China akan dapat melindungi Melaka dari musuh-
musuhnya, menambahkan martabat baginda dan meluaskan perdagangan Melaka. Harapan
baginda ini tidaklah disia-siakan. Negeri China memang berusaha supaya Melaka tidak
diganggu oleh musuh-musuhnya terutamanya Siam yang pada ketika itu masih giat mengambil
langkah mempertegaskan keunggulannya di samping untuk membalas dendam ke atas baginda
yang telah merampas kuasa dari gabenornya di Singapura dahulu.

Selepas Yin Qing, seorang lagi Laksamana China yang beragama Islam telah dihantar oleh
Maharaja Wangsa Ming iaitu Yung Lo, melawat Melaka pada T.M. 1405. Beliau ialah
Laksamana Cheng Ho (atau Zeng he) yang telah dihantar ke “Lautan Barat” termasuk Melaka
dengan tujuan mengeratkan lagi persahabatan antara kedua Negara. Iskandar Syah menyambut
baik ketibaan rombongan Laksamana Cheng Ho itu yang dianggarkan tiba pada T.M. 1406.
Laksamana Cheng Ho telah datang semula ke Melaka pada T.M. 1409. Tetapi sebelum beliau
sampai ke Melaka, beliau telah diperintahkan supaya singgah ke Siam dahulu. Tujuannya ialah
untuk memberi amaran kepada Siam supaya jangan melakukan serangan ke atas Melaka kerana
Melaka adalah negara sahabat. Lebih-lebih lagi beliau telah membawa pula watiqah
pengiktirafan maharaja Yung Lo ke atas Raja Iskandar Syah (Parameswara) sebagai raja dan
pemerintah Melaka yang sah lagi berdaulat, barangkali sebagai menggantikan barang-barang
yang telah dilarikan oleh pihak Siam pada T.M. 1407 dahulu.

Pengiktirafan ke atas Raja Iskandar Syah itu telah pun diberi oleh Maharaja Yung Lo pada
T.M. 1405, sebaik-baik sahaja rombongan Melaka yang dibawa oleh Yin Qing tiba ke negeri
China. Maharaja Yung Lo telah menganugerahkan sekaki payung berwarna kuning, pakaian
kebesaran dan sebuah cap mohor (cap kempa) sebagai tanda pengiktirafan. Pengiktirafan ini
menunjukkan China memang berminat membantu perkembangan Melaka. Bagi Raja Iskandar

247

Copyright © 2022 ACADEMIA INDUSTRY NETWORKS. All rights reserved.


International Journal of Social Science Research
eISSN: 2710-6276 | Vol. 4, No. 2, 240-250, 2022
http://myjms.mohe.gov.my/index.php/ijssr

Syah dan negeri Melaka sendiri sudah tentulah pengiktirafan oleh suatu kuasa besar itu
merupakan suatu perkara yang ditunggu-tunggunya. Oleh itu baginda berharap agar negeri-
negeri berhampiran, ataupun yang lain-lain tidak akan mengganggunya lagi supaya dapat
menumpukan usaha memajukan negaranya tanpa gangguan dan ancaman dari negara lain,
terutamanya dari negeri Siam. Hasilnya, sejak 1430an lagi Melaka seterusnya dapat
berkembang menjadi sebuah empayar Melayu yang agung dan bandar Melaka menjadi sebuah
pusat perdagangan yang terpenting di rantau ini. Di samping itu, Melaka juga menjadi pusat
perkembangan dan penyebaran agama Islam terpenting di Asia Tenggara.

Sebagai tanda persahabatan Melaka kerap pula menghantar rombongan melawat negeri China.
Tujuan utamanya untuk mengeratkan lagi tali persahabatan dan juga memperluaskan
perdagangan Melaka. Rombongan yang pertama yang telah dihantar pada T.M. 1405 iaitu yang
pergi bersama-sama dengan kapal Laksamana Ying Qing tadi. Kemudian, rombongan-
rombongan dihantar lagi pada T.M. 1407 dan 1409. Pada T.M. 1411, Raja Iskandar Syah
(Parameswara) sendiri telah datang ke China bersama isteri dan rombongan seramai 540 orang
yang diterima dengan segala kebesaran dan kemuliaan. Pada T.M. 1412 Raja Iskandar Syah
telah menghantar kerabatnya iaitu Seri Mahajara (Xi Li Sha Ma La Zha) mengetahui
rombongan ke China; diikuti pula dengan rombongan pada T.M. 1413 yang diketuai Seri diraja
(Sai di La Zha) seramai 165 orang dengan tujuan meluaskan perdagagan dan mengeratkan
persahabatan di antara kedua Negara.

Selain itu, tujuan rombongan T.M. 1413 itu ialah untuk memberitahu Maharaja China bahawa
Raja Iskandar Syah telah mangkat dan Putera baginda telah menaiki takhta kerajaan Melaka
menggantikan ayahandanya. Di Samping itu baginda juga memberitahu Maharaja China
bahawa baginda telah memeluk agama Islam. Namun demikian, dasar persahabatan Melaka
terhadap negeri China tidak berubah. Baginda berharap Maharaja China juga tidak mengubah
dasarnya terhadap negeri Melaka. Maharaja China telah memberikan pengiktirafan kepada
Mahkota Iskandar Syah dan menghadiahkan baginda dengan barang-barang berharga seperti
emas, perak, dan kain dewangga mahkota, ikat pinggang dan pakaian kebesaran. Ini sebagai
membalas hadiah-hadiah yang telah diberikan rombongan Melaka itu kepada baginda.
Maharaja Yung Lo juga memberi jaminan bahawa dasar Negeri China terhadap Melaka adalah
sama seperti dahulu juga. Dengan jaminan itu, rombongan Melaka itu pun berlayar kembali ke
Melaka untuk meneruskan usaha membangunkan Negara.

Mahkota Iskandar Syah meneruskan usaha ayahanda baginda imemajukan Melaka dan
bertambah rancak apabila baginda memeluk agama Islam. Semakin ramai pedagang Islam
singgah dan berurusan dagangan dengan Melaka. Kedatangan mereka telah memesatkan lagi
perkembangan Melaka kerana pada ketika itu pedagang Islam yang kaya-raya menguasai jalan-
jalan dagangan laut dan darat di antara Asia Barat dan negeri China. Namun kemajuan itu telah
menimbulkan rasa iri hati yang berterusan di pihak Siam yang merencanakan pula usaha
menceroboh Melaka. Khabar tentang niat Siam ini telah sampai ke Melaka.

Berikutan itu, Mahkota Iskandar Syah telah mengetuai pula satu rombongan melawat negeri
China. Rombongan itu, bertolak pada T.M. 1419. Mereka telah disambut dengan baik dan
meriah oleh Maharaja Yung Lo. Dalam pertemuan antara kedua-duanya, baginda antara lain
telah memberitahu Maharaja itu tentang ancaman Siam. Maharaja Yung Lo berjanji akan
mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap Negara yang mengancam hendak mencerobohi
Melaka itu. Sekali lagi Maharaja China memberi amaran kepada Raja Siam supaya jangan
mengganggu negeri Melaka. Dengan itu, ancaman dari Siam menjadi reda buat sementara

248

Copyright © 2022 ACADEMIA INDUSTRY NETWORKS. All rights reserved.


International Journal of Social Science Research
eISSN: 2710-6276 | Vol. 4, No. 2, 240-250, 2022
http://myjms.mohe.gov.my/index.php/ijssr

waktu. Hubungan yang erat dengan negeri China itu telah diteruskan oleh pengganti Mahkota
Iskandar Syah yang mangkat pada T.M. 1424. Baginda telah digantikan oleh putera baginda
yang bernama Sultan Muhammad Syah yang merupakan raja Melaka yang ketiga. Baginda
telah memakai gelaran Seri Maharaja, iaitu satu gelaran yang diwarisi dari kerajaan Srivijaya
dahulu. Seperti ayahanda baginda dahulu baginda juga telah melakukan lawatan ke negeri
China pada awal pemerintahan baginda. Tujuan utamanya ialah untuk memberitahu Maharaja
Yung Lo tentang kemangkatan ayahanda baginda dan permahkotaan baginda sebagai raja
Melaka yang baharu. Baginda juga menyatakan hasrat Melaka untuk meneruskan dasar
persahabatan yang erat dengan negeri China dan berharap negeri China juga tidak akan
mengubah dasarnya. Sekembalinya dari negeri China baginda tmeneruskan usaha memajukan
negerinya terutama dari segi perdagangan antarabangsa.

Dalam pada itu ancaman Siam telah muncul pada T.M. 1431. Lagi sekali Sultan Muhammad
Syah terpaksa memberitahu Maharaja China tentang ura-ura dari ancaman Siam. Berikutan itu,
Maharaja Yung Lo telah menghantar Laksamana Cheng Ho ke Siam untuk menyampaikan
amaran yang keras terhadap Raja Siam tentang tindak tanduknya yang agresif itu. Raja Siam
juga diingatkan supaya berbaik-baik dengan Negara yang tidak pun mengancam Siam. Dengan
amaran yang keras itu Siam terpaksa mendiamkan diri untuk sementara waktu. Namun rasa
bimbang dan curiganya terhadap perkembangan Melaka tetap berterusan. Siam merasakan
bahawa pada Ketika itu ia adalah kuasa yang kuat di Asia Tenggara. Oleh itu, ia tidak mahu
melihat sebuah kuasa lain muncul menandinginya. Oleh kerana itu ia sentiasa menunggu masa
yang sesuai untuk melakukan serangan ke atas Melaka.

Kira-kira T.M. 1424, Maharaja Yung Lo telah mangkat dan digantikan oleh Maharaja yang
baru yang tidak secekap Yung Lo dalam memerintah Negara. Namun dasar luar yang aktif
tetap diteruskan. Tetapi sejak awal dekat 1430an, Wangsa Ming nampaknya tidaklah begitu
berminat untuk menjalankan dasar luar negeri yang aktif itu lagi seperti zaman Yung Lo
dahulu. Pada T.M. 1443, Laksamana Cheng Ho juga telah meninggal dunia. Malah Cheng Ho
telah melaksanakan tugas terakhirnya melawat ke ‘’Lautan Barat’’ dan beberapa kerajaan di
situ, termasuklah Melaka, pada T.M. 1431.

Pengiktirafan dan sokongan moral pihak China pada peringkat awal perkembangan Melaka itu
sangat diperlukan dan berharga, terutamanya dalam menghadapi ancaman Siam Menjelang T.
M. 1430an keadaan Melaka sudah teguh dari segi pertahanan dan pada 1440’an dan 1450’an
apabila Siam datang menyerang, Melaka telah dapat mempertahankan diri dan mematahkan
serangan tersebut. Ertinya Melaka telah dapat mengukuhkan kedudukannya selepas T. M. 1431
kerana selepas itu ia nampaknya tidak perlu bantuan China dalam menghadapi musuh
utamanya iaitu Siam.

Sebenarnya hubungan luar Melaka tidaklah terbatas dengan Siam dan China sahaja. Tome Pires
dalam Suma Oriental mencatatkan bahawa Melaka yang memang dibangunkan untuk
perdagangan telah didatangi oleh para pedagang daripada seluruh pelusuk dunia dan raja-raja
luar Negara pula menghantar wakil mereka ke Melaka untuk berdagang dan memberi
penghormatan kepada raja Melaka. Hubungan tersebut memang memakmurkan Melaka serta
mempertingkatkan lagi martabat dan kedaulatannya. Kekayaan serta kemewahan yang
diperolehi telah digunakan untuk memperkukuhkan kedudukan atau pertahanannya,
memperluaskan jangkauan kuasa politik dan wilayah jajahannya, menjana perkembangan ilmu
dan menjalankan dakwah Islamiah. Namun hubungan yang dilihat sebagai istimewa,
berterusan dan pada tahap 1400-1430 an itu memang membantu dalam pengukuhannya walau

249

Copyright © 2022 ACADEMIA INDUSTRY NETWORKS. All rights reserved.


International Journal of Social Science Research
eISSN: 2710-6276 | Vol. 4, No. 2, 240-250, 2022
http://myjms.mohe.gov.my/index.php/ijssr

bagaimanapun terdapat pelbagai faktor lain lagi yang membolehkan Melaka pada tahap
tersebut muncul sebagai sebuah kerajaan yang berpengaruh serta semakin kukuh lagi gagah.

4. Kesimpulan
Ketokohan dan pengalaman Raja Iskandar Syah dan pembesar-pembesarnya, azam serta usaha
mereka dan juga tokoh-tokoh seterusnya, (khususnya pada 1400 sehingga1430 an), faktor-
faktor alam seperti kedudukan yang strategik terletak di kuala sungai yang berbukit, sungai
yang boleh dijadikan laluan dan jalan pengangkutan, serta persekitaran tanah pamah yang
sedikit sebanyaknya boleh dijadikan kawasan pertanian. Walau bagaimanapun ekonomi
Melaka tidak bergantung kepada pertanian, tetapi kepada perdagangan yang dimaju serta
dikembangkan sejak awal kewujudannya lagi. Selain daripada itu agama dan pedagang Islam
juga turut menyumbang secara langsung mahupun tidak langsung. Akhir sekali ancaman luar,
terutama sekali Siam juga boleh dianggap sebagai faktor penyumbang kerana tanpa ancaman
tersebut, mungkin Melaka dan tokoh-tokohnya beranggapan bahawa mereka berada dalam
“zon selesa” dan oleh itu tidak tergesa-gesa mengukuhkan mahupun memesatkan
pembangunannya. Betapa pun keadaannya, Melaka beransur-ansur bergerak menjadi empayar
maritim yang agung pada abad ke 15 sehingga awal abad ke 16 dahulu menggantikan empayar
Srivijaya dan Majapahit sebelumnya.

Rujukan
Halim Ali dan Norazimah Zakaria (2017). Seraut Wajah Historiografi Melayu. UPSI: Institut
Peradaban Melayu.
Ahmad Dahlan (2017). Sejarah Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Haryati Hasan. (2022). Modul Sejarah Malaysia: 1400-1800. Tg. Malim: Muhibbah
Publication Sdn. Bhd.
Kassim Ahmad dan Noriah Mohamed (2017). Hikayat Hang Tuah. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Muhammad Yusoff Hashim. (2015). Kesultanan Melayu Melaka. (Edisi Kedua). Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Muhammad Yusoff Hashim. (2008). Parameswara. Melaka: IKSEP.

250

Copyright © 2022 ACADEMIA INDUSTRY NETWORKS. All rights reserved.

You might also like