You are on page 1of 3

WANITA dan kepimpinan merupakan satu topik hangat yang sentiasa menjadi bahan perdebatan

semasa. Perkara ini tidak boleh disangkal lagi memandangkan kadar tenaga buruh wanita
meningkat sebanyak 2.7 ribu orang kepada 6.23 juta orang berbanding Januari 2021 (Sumber:
Jabatan Perangkaan Malaysia, April 2021).

Berdasarkan kepada Statistik Pendidikan Tinggi:Kementerian Pengajian Tinggi, bilangan


pensyarah wanita yang bertugas di 20 universiti awam Malaysia sehingga 31 Disember 2020
adalah berjumlah 17,818 termasuk bukan warganegara.

Dalam sektor bukan pendidikan, hanya 25.4 peratus daripada 100 syarikat teratas yang tersenarai
dalam Bursa Saham Malaysia melaksanakan pengisian wanita sebagai Ahli Lembaga Pengarah
sehingga Oktober 2020.

Persoalannya, perlukah model kepimpinan wanita Malaysia diperkenalkan bagi meningkatkan


keyakinan terhadap kemampuan wanita dalam pengurusan utama dan pembuatan keputusan
pelbagai sektor?

Kajian bertajuk 'Nevertheless, She Persists: Women Leadership in Higher Education' oleh
Christine A Fowler (2019) telah mendedahkan bahawa peranan jaringan atau rangkaian
merupakan aspek penting dalam kedudukan kepimpinan.

Selain itu, ia juga dapat membantu membina karier serta berfungsi untuk mewujudkan kumpulan
yang menyokong sepanjang kerjaya sebagai pemimpin wanita tersebut.

Salah satu kajian berkaitan kepimpinan wanita di Sri Lanka oleh penyelidik dari South Eastern
University of Sri Lanka, Mohamed Ismail Mohideen Bawa telah mendapati pemimpin wanita
mempunyai pengaruh ideal (karisma), motivasi inspirasi dan rangsangan intelektual yang tinggi.

Pemimpin wanita juga dikatakan lebih cenderung kepada kepimpinan transformasional.

Artikel Berkaitan:

 Akta Finas 1981 perlu digubal semula


 Kaedah eklektik dan interdisiplin
 Pemenang Hadiah Nobel Muslim

Sekumpulan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menjalankan kajian
bertajuk 'Takrif kepimpinan, ciri-ciri kepimpinan dan motivasi untuk memimpin menurut sudut
pandang pemimpin wanita akar umbi (2018)' secara ringkasnya menggariskan terdapat tiga faktor
yang menyebabkan peserta kajian merasakan diri mereka perlu dan termotivasi untuk menjadi
pemimpin.

Faktor-faktor tersebut ialah pengaruh keluarga, sifat semula jadi dan keinginan untuk membantu
kaum wanita.

Oleh itu, keperluan untuk mempunyai satu model kepimpinan wanita Malaysia yang
komprehensif diperlukan bagi memenuhi Agenda Global Pembangunan Mampan dan Matlamat
Pembangunan Lestari (SDG). Agenda SDG 5 telah menggariskan hak kesamarataan antara
gender dan pemerkasaan hak golongan wanita.

Aplikasi konsep
Bagi menyahut seruan kerajaan dalam memperkasakan peranan wanita sebagai pemimpin, satu
inisiatif telah diambil. Satu penyelidikan berkaitan pembangunan awal Model 3D Pemimpin
Akademik Wanita Universiti Awam menggunakan augmented reality sedang giat diusahakan
oleh sekumpulan penyelidik UKM dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Pembangunan model pemimpin wanita secara model 3 Dimensi (3D) ini boleh dimuat naik ke
dalam aplikasi telefon pintar android dan IOS bertujuan untuk mempromosikan kepimpinan
transformasi yang didapati diamalkan oleh lapan pemimpin akademik wanita melalui model 3D
bagi meningkatkan pemahaman berkaitan model pemimpin wanita dalam menangani cabaran
kepimpinan akademik di universiti.

Model ini akan dibangunkan secara berperingkat dan mengikut fasa termasuk peringkat ujilari
serta peringkat maklum balas daripada kumpulan berfokus berkaitan keberkesanannya. Keunikan
produk ini adalah model 3D pemimpin wanita dapat memberikan gambaran berbentuk visual
berkaitan pengalaman pemimpin wanita dalam mengamalkan kepimpinan transformasi di
universiti serta cabaran yang dihadapi.

Bagaimanapun, jika ia berkesan, model ini boleh diketengahkan kepada kumpulan sasar dari
pelbagai bidang termasuk pihak NGO yang menumpukan aspek pemerkasaan kepimpinan wanita.

Rumusan

Kepimpinan wanita boleh diukur keberkesanannya dari pelbagai aspek. Terkini, terdapat kajian
berkaitan kejayaan pemimpin wanita global dalam menangani pandemik Covid-19.

Seorang ahli ekonomi pembangunan di Universiti Liverpool, Supriya Garikipati melaporkan


bahawa dapatan kajian menunjukkan pemimpin wanita lebih cepat memberi reaksi dan tegas
dalam menghadapi kemungkinan berlaku kematian. Negara yang dipimpin oleh wanita dilihat
lebih sistematik dan jauh lebih baik dalam aspek pengendalian Covid-19.

Antara pemimpin wanita yang menjadi pengukuran antaranya adalah Jacinda Ardern dari New
Zealand dan Angela Merkel dari Jerman. Seterusnya, kajian berkaitan gender ini merupakan salah
satu sumbangan terhadap Agenda Global Pembangunan Mampan dan Matlamat Pembangunan
Lestari (SDG 5) yang perlu diberikan perhatian dalam pemerkasaan wanita berkaitan kepimpinan.

Oleh itu, diharapkan dengan pengenalan model kepimpinan wanita dapat meningkatkan motivasi
wanita untuk memimpin serta yakin terhadap kebolehan diri. Dari perspektif pendidikan tinggi,
pengenalan model ini merupakan satu usaha untuk meningkatkan pemimpin wanita akademik
dalam komposisi pengurusan utama universiti awam di Malaysia

Penulis adalah:

* Salmiwati Othman ialah calon PhD (Pengurusan Pendidikan), Fakulti Pendidikan, UKM dan
Timbalan Pendaftar, UiTM

* Dr Aida Hanim A Hamid ialah Pensyarah Kanan, Pusat Kepimpinan dan Polisi Pendidikan,
Fakulti Pendidikan, UKM

* Norasikin Alimom ialah pensyarah di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah
Alam

You might also like