You are on page 1of 21

1.

0 PENGENALAN

Selepas Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 1957, masyarakat

Melayu terutama masyarakat luar bandar agak ketinggalan terutama dari segi ekonomi

khususnya berbanding kaum – kaum lain termasuk kaum Cina. Masyarakat Melayu

merupakan salah satu penduduk asal di Tanah Melayu termasuk di Kuala Selangor. Kuala

Selangor merupakan antara daerah yang banyak sejarah ditambah pula daerah ini pernah

diperintah oleh wakil – wakil daripada Kerajaan Kesultanan Melaka dahulu. Di Kuala

Selangor, terdapat banyak petempatan khusus untuk orang Melayu yang dipanggil sebagai

“Kampung”.

Kampung boleh didefinisikan sebagai kawasan kediaman yang terdiri daripada

sekumpulan rumah dan lain - lain yang berada di luar bandar1. Kampung juga dikenali

sebagai desa . Di Kuala Selangor, dikatakan terdapat 45 kampung yang wujud termasuklah

Kampung Hujung Permatang2. Kampung Hujung Permatang terletak di hujung Bukit

Malawati yang dipisahkan dengan Sungai Selangor. Kampung Hujung Permatang telah

wujud sejak tahun 1700-an lagi.

Pada tahun 1700, kawasan perkampungan ini hanya didiami oleh kaum Melayu sahaja

dengan bilangan penduduk dalam lingkungan 100 orang namun bilangan penduduk pada

tahun itu semakin bertambah sehingga tahun 1990. Walau bagaimanapun, keluasan Kampung

Hujung Permatang ini tetap sama dan dibahagi lagi kepada beberapa buah kampung kecil

iaitu Kampung Permatang, Kampung Tengah Permatang dan Kampung Ujung Permatang3.

Oleh hal yang demikian, kajian ini dilaksanakan bertujuan untuk merintis kembali sejarah

dan perkembangan Kampung Hujung Permatang bukan sahaja dari aspek politik, malah

aspek ekonomi dan sosial.


2.0 SEJARAH DAN PERKEMBANGAN KAMPUNG HUJUNG PERMATANG DARI

SEGI POLITIK, EKONOMI DAN SOSIAL

2.1 Sejarah Latar Belakang

Kampung Hujung Permatang merupakan sebuah perkampungan diraja yang dibuka

pada tahun 1756 oleh Opu Daeng Loklok ibni Almarhum Opu Daeng Chelak, adinda kepada

Almarhum Sultan Salehuddin Shah yang turut dikenali sebagai Bendahara Husain. Kampung

Hujung Permatang terletak sebaris jalan di Mukim Hujung Permatang, kira – kira dua batu

dari pekan Kuala Selangor. Kampung ini dibuka selaras dengan pengasasan Kesultanan

Selangor ketika itu, malah dibuka sebelum Kesultanan Selangor diasaskan. Kampung ini

sebelum dipanggil sebagai Hujung Permatang, dikenali sebagai Kampung Seberang kerana

kedudukannya yang terletak diseberang sungai Selangor4. Menurut orang sumber iaitu Tuan

Haji Sidek Bin Kamaruddin, beliau mengatakan bahawa kampung ini dinamakan kampung

Hujung Permatang kerana perkataan Hujung merujuk kepada kedudukan kampung yang

terletak di pangkal hujung Bukit Malawati, pusat pemerintahan Sultan Selangor ketika itu

manakala Permatang pula merujuk kepada keadaan tanah dan pasir yang terdapat di

kampung ini keras dan matang.

Ketika Kampung Hujung Permatang dibuka, dikatakan hanya 22 buah rumah sahaja

yang ada ketika itu. Bukan itu sahaja, kampung ini juga mempunyai nilai keunikan di mana

pernah menempatkan para pembesar kerajaan seperti Dato’ Penggawa Tua Permatang Paduka

Mahabijaya Orang Besar Daerah Kuala Selangor dan ramai lagi5. Diceritakan oleh orang tua

– tua bahawa kampung ini dahulu sebelum dijadikan petempatan, asalnya ialah sebuah pantai

yang cantik sebelum ditambak. Selepas ditambak, kampung ini kemudiannya diduduki oleh

majoriti masyarakat Melayu Bugis dan dijadikan perkampungan diraja malah pernah menjadi

pusat pentadbiran sementara Kesultanan Selangor sebelum berpindah ke Bukit Malawati.

Walau bagaimanapun, disebabkan geologikal dan jalan kampung Hujung Permatang yang
terlalu panjang menjadi punca kampung ini dipisahkan kepada tiga kampung iaitu Kampung

Permatang, Kampung Tengah Permatang dan Kampung Ujung Permatang6.

Di Kampung Hujung Permatang juga pernah dibina istana sementara Sultan Selangor

dan istana Raja Haji. Kedua istana itu merupakan tempat persemayaman sementara Sultan

Selangor dan adindanya, Raja Haji sebelum berpindah ke Bukit Malawati. Sebaik sahaja

Sultan Abdul Samad menaiki takhta, pusat pemerintahan Selangor berpindah ke Jugra. Oleh

sebab itu, kedua – dua istana yang ada di Kampung Hujung Permatang dirobohkan. Menurut

cerita Puan Noraisah Binti Sulong, beliau mendengar cerita ibunya iaitu Puan Jemiah Binti

Ahmad mengatakan bahawa Sultan Abdul Samad menganugerahkan tanah yang pernah

menjadi istana sementara Sultan Selangor sebagai tanah perkuburan khas buat penduduk

Kampung Hujung Permatang manakala tanah yang menjadi istana Raja Haji pula dilihat

terbiar sehingga kini.

Majoriti penduduk asal Kampung Hujung Permatang sebenarnya berasal daripada

Luwuk, Sulawesi Tengah di Indonesia. Mereka juga berketurunan Bugis di mana para

penduduk akan memanggil sesama sendiri dengan gelaran Opu, bersamaan sejarah Kuala

Selangor yang pernah diperintah oleh Opu Chendera Burung pada suatu masa dahulu.

Situasi tersebut dapat dibuktikan lagi kerana apabila wujud satu kematian dalam keluarga

mereka, mereka akan mengebumikan jenazah tersebut di hadapan rumah mereka sendiri. Hal

ini demikian kerana mereka lebih rela mengebumikan jenazah ahli keluarga mereka di

persekitaran rumah mereka sendiri supaya mereka tidak merasa kehilangan disamping mudah

untuk melawat dan menziarah ketika itu7.

Bukan itu sahaja, menurut cerita Tuan Haji Sidek Bin Kamaruddin, penduduk di

kampung Hujung Permatang mempunyai darah keturunan dengan kerabat diraja Selangor

memandangkan majoriti penduduk merupakan masyarakat Bugis serta darah keturunan

Sultan Selangor juga dari keturunan Bugis. Hal ini dijelaskan lagi apabila kampung ini
pernah menjadi perkampungan yang menjadi tempat persinggahan Sultan Selangor serta

kerabat dirajanya ketika dibuka dahulu. Sehingga kini, mereka masih mempunyai pertalian

darah dengan kerabat diraja namun memilih untuk mendiamkan sahaja kerana status

kehidupan sosial dan bukti sejarah yang semakin menghilang. Namun begitu, sejarah yang

tertulis bahawa Kampung Hujung Permatang merupakan perkampungan diraja Selangor satu

masa dahulu tetap mempunyai kebenaran.

Menurut orang sumber lain yang turut ditemu bual iaitu Encik Zaaba Bin Muda,

terlihat juga nilai sejarah lain di Kampung Hujung Permatang seperti Bukit Raja, sebuah

bukit pertahanan Almarhum Raja Nala ibni Almarhum Sultan Salehuddin Shah, yang

merupakan adinda Sultan Ibrahim iaitu Sultan Selangor kedua. Di Bukit Raja ini juga

terdapat makam – makam lama termasuk makam Raja Haji Ibrahim, Datuk Syahbandar Haji

Ali Aqbar, Datuk Perang Sagaf, Datuk Maharaja Lela Hussein, Keramat Engku Haji dan

beberapa makam lain. Terdapat juga meriam kecil buatan tangan dan longgokan batu – batu

pejal yang pernah menjadi tembok dan peralatan pertahanan ketika zaman perang Selangor

dengan Pahang dahulu. Bukit Raja ini terletak dalam kawasan Sekolah Kebangsaan Kuala

Selangor, sebuah sekolah yang dibina pada tahun 1891. Kewujudan Sekolah Kebangsaan

Kuala Selangor yang berusia 130 tahun itu dengan jelas menunjukkan bahawa Kampung

Hujung Permatang dibuka jauh lebih tua daripada usia sekolah itu.

Keunikan lain kampung Hujung Permatang ialah terdapat pusara pembesar, pahlawan

dan kaum kerabat diraja yang dikebumikan di kampung ini. Lebih jelas lagi berbalik pada

tanah yang menjadi istana Raja Haji yang terbiar sehingga kini, terdapat sebuah makam

keramat yang pernah dipuja orang ramai satu masa dahulu. Disebabkan makam itu

dikebumikan di atas tapak bekas istana Raja Haji, masyarakat pada masa itu menyangka ada

keistimewaan yang terselindung disebalik makam keramat tersebut8. Dengan ini, jelaslah
bahawa Kampung Hujung Permatang memang merupakan antara kampung yang penuh

bersejarah sehingga kini.

2.2 Perkembangan Dari Aspek Politik

Antara tahun 1990 sehingga tahun 2008, dilihat tiada berlakunya perkembangan yang

terlalu ketara. Dalam kajian ini, dijelaskan bahawa perkembangan yang berlaku dari aspek

politik bermula dari tahun 2008 sehingga tahun 2015. Menurut Tuan Haji Sidek Bin

Kamaruddin, pentadbiran di Kampung Hujung Permatang diuruskan oleh Jawatankuasa

Kemajuan dan Keselamatan Kampung atau ringkasannya iaitu JKKK sejak tahun 1990.

Jawatankuasa ini merupakan sebuah organisasi bagi mentadbir sesebuah kampung di

Malaysia. Dalam sistem perkampungan tradisional Melayu, ketua kampung secara automatik

akan dilantik menjadi ketua atau pengerusi JKKK dan biasanya akan menganggotai parti

pemerintah kerajaan pusat dan kerajaan negeri. Berdasarkan temu bual bersama Encik Zaaba

Bin Muda, Barisan Nasional merupakan parti pemerintah tunggal yang memerintah kerajaan

pusat dan kerajaan negeri termasuk negeri Selangor. Semuanya berjalan lancar dari tahun

1990 sehingga tahun 2008 dimana tahun itu merupakan tahun kejatuhan kerajaan Barisan

Nasional di negeri Selangor selepas Pilihan Raya Umum ke 12.

Sebaik sahaja kejayaan parti pembangkang yang berjaya menawan Selangor pada 8

Mac 2008 membuatkan badan pentadbir kampung di negeri itu terus berada dibawah kuasa

parti pembangkang. Situasi ini jelas menimbulkan kerisauan dalam kalangan ahli JKKK yang

biasanya dikuasai oleh ahli UMNO di mana timbul arahan oleh kerajaan negeri yang

mahukan JKKK dikuasai oleh ahli parti mereka. Termasuk di Kampung Hujung Permatang,

berlaku pertukaran ahli JKKK daripada ahli Barisan Nasional kepada ahli parti

pembangkang. Oleh sebab itu, Tan Sri Muhammad Bin Muhamad Taib selaku Menteri

Kemajuan Tanah dan Kemajuan Wilayah telah meneliti peruntukan undang - undang yang

sedia ada dan mahu menubuhkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung
Persekutuan (JKKKP) agar kerajaan persekutuan dapat menyalurkan bantuan kewangan terus

tanpa melalui JKKK.

Dengan penubuhan JKKKP, maka wujud dua badan pentadbir yang mentadbir semua

kampung di negeri yang diperintah oleh parti pembangkang termasuk di Kampung Hujung

Permatang, Kuala Selangor. Pernah timbul pertikaian antara ahli JKKKP yang dikuasai ahli

Barisan Nasional dan ahli JKKK yang dikuasai ahli parti pembangkang di Kampung Hujung

Permatang pada 27 Mac 2008 dan berlarutan sehingga 19 Jun 2008 di mana kedua - dua

pihak mengawal ketat balai raya dan kemudahan - kemudahan lain dengan tujuan melarang

pihak lawan memasuki kawasan tersebut sehingga menyebabkan semua aktiviti masyarakat

ketika itu tergendala. Namun begitu, pertikaian ini semakin reda apabila ahli JKKK dan ahli

JKKKP terpaksa akur bahawa kemudahan yang ada bukan milik mana – mana pihak. Oleh

sebab itu, JKKKP Hujung Permatang terpaksa membina balai raya baharu khususnya di atas

tanah milik pengerusi JKKKP bagi mengelakkan lagi pertikaian antara JKKK dan JKKKP.

Begitu juga dengan JKKK yang membina balai raya khas untuk badan mereka sahaja menurut

cerita Penghulu Mukim Hujung Permatang iaitu Encik Jumasri Bin Jumin.

Perkembangan aspek politik yang berlaku di Kampung Ujung Permatang terutamanya

wujud saat timbulnya JKKKP yang ingin mengambil alih kuasa JKKK. Walau

bagaimanapun, kedua – dua badan menggunakan sistem biro yang membawa kuasa yang

sama. Antara sistem biro yang digunakan oleh JKKK mahupun JKKKP ialah Biro

Pembangunan Prasarana, Biro Pendidikan dan Inovasi, Biro Pemantapan Akidah dan

pelbagai lagi. Kuasa biro yang digunakan oleh kedua – dua badan adalah sama namun yang

membezakan hanya nama organisasi pentadbir dan ahli jawatankuasa biarpun mereka

mentadbir kampung yang sama9.

Biarpun begitu, JKKK dan JKKKP Kampung Ujung Permatang mampu mentadbir

kampung tersebut dengan aman dan terus mengamalkan demokrasi tanpa dikriminasi. Sistem
pentadbiran yang dijalankan oleh kedua – dua badan ialah melalui demokrasi di mana

undian, pandangan dan suara setiap penduduk kampung diambil kira. Penduduk di Kampung

Hujung Permatang khususnya di Kampung Ujung Permatang selalu memberikan kerjasama

yang baik dalam program atau aktiviti yang dirancang dan dijalankan oleh JKKK mahupun

JKKKP setiap tahun. Misalnya sewaktu penubuhan pasukan pengawal kampung pada tahun

2014, ada penduduk yang sanggup mengeluarkan dana bagi menjayakan pasukan tersebut.

Bukan itu sahaja, setiap kali aktiviti atau program diadakan, pasti akan disertai dengan

jayanya oleh penduduk kampung. Situasi ini jelas menunjukkan bahawa biarpun timbul dua

badan pentadbir yang berlainan, masyarakat di Kampung Ujung Permatang masih lagi

mampu hidup dengan aman dan damai dalam aspek politik sejak tahun 1990 sehingga tahun

2015. Sepanjang tempoh tersebut, tidak pernah wujud perbalahan yang besar antara

penduduk.

Perbezaan fahaman dan anutan politik bukan penghalang untuk ahli JKKK dan ahli

JKKKP khususnya untuk bersatu mentadbir kampung dibantu dengan ahli kariah masjid serta

semua pihak yang terlibat. Kerjasama dan saling bantu membantu antara ahli JKKK yang

diperintah oleh kerajaan negeri dan ahli JKKKP yang diperintah oleh kerajaan pusat

merupakan kunci keamanan dan keharmonian politik kekal terjaga di Kampung Ujung

Permatang, Kuala Selangor, Selangor10.

2.2 Perkembangan Dari Aspek Ekonomi

Bukan sahaja dari aspek politik, Kampung Hujung Permatang terutamanya

mengalami sedikit perubahan dari aspek ekonomi. Diceritakan oleh Tuan Haji Sidek Bin

Kamaruddin, sejak tahun 1990 sehingga tahun 2015 menunjukkan majoriti utama penduduk

di Kampung Hujung Permatang masih mengamalkan ekonomi berasaskan pertanian kelapa

sawit dan kelapa. Hal ini disebabkan tanaman kelapa sawit dan kelapa yang banyak di

sepanjang jalan Kampung Hujung Permatang membuatkan penduduk di kampung itu masih
lagi berterusan menjalankan tanaman tersebut di samping memberikan pendapatan yang

lumayan. Namun begitu, tidak semua penduduk menceburi bidang penanaman kedua – dua

kelapa tersebut ekoran terdapat bidang lain yang lebih menarik minat mereka.

Selain tanaman kelapa sawit dan kelapa, terdapat juga pengusaha tanaman sayur –

sayuran pelbagai jenis dengan keluasan tanaman sebanyak 14,000 hektar yang boleh

mendatangkan pendapatan yang lumayan setiap kali dipasarkan seperti bayam, kangkung dan

pelbagai lagi. Situasi ini berbeza dengan awal tahun 1990 di mana penduduk kampung

menanam sayur – sayuran di halaman rumah hanya untuk kegunaan mereka sendiri. Mereka

tidak memasarkan hasil tanaman mereka untuk dijual. Dengan ini jelas menunjukkan berlaku

perkembangan ekonomi dalam kalangan penduduk Kampung Hujung Permatang apabila

mereka berani menjual dan memasarkan hasil tanaman mereka bermula tahun 1998 dengan

tujuan untuk menjana pendapatan kehidupan seharian ekoran krisis ekonomi ketika itu.

Terdapat juga penduduk yang menceburi bidang ternakan darat dalam langkah

memperkembangkan ekonomi mereka. Mereka menggunakan tanah yang dimiliki untuk

dijadikan tempat pertenakan. Antara haiwan yang paling banyak diternak ialah ayam, lembu

dan kambing. Mereka membeli haiwan tersebut dari pembekal dalam kuantiti yang sedikit

kemudian menjaga sehingga menjadi banyak seterusnya dijual semula dengan harga pasaran.

Jelas aktiviti ini mampu memberikan pendapatan berbanding dengan awal tahun 1990 di

mana penduduk menternak haiwan – haiwan tersebut juga untuk kegunaan sendiri. Oleh hal

yang demikian, penduduk Kampung Hujung Permatang sangat berani untuk menceburi

bidang tanaman sayur dan ternakan darat dalam menjana pendapatan biarpun terdapat risiko

bahaya seperti kerugian, kerosakan, kematian dan kecurian milik mereka11.

Di samping itu, hasil temu bual bersama salah seorang responden iaitu Encik Zaaba

Bin Muda, beliau mengatakan bahawa perkembangan ekonomi dalam kalangan penduduk

juga semakin meluas apabila ada penduduk yang turut mengambil inisiatif menjadikan
pembuatan kuih muih tradisional sebagai punca pendapatan mereka. Inisiatif ini sudah wujud

pada awal tahun 1990 di mana terdapat 3 orang penduduk menjadikan pembuatan kuih muih

tradisional sebagai punca pendapatan. Bilangan tersebut semakin berkembang apabila

seramai 20 orang penduduk pada tahun 2015 menceburi bidang ini dan mereka umumnya

menghasilkan kuih muih sama ada di rumah mahupun di kilang. Hasilnya pula biasanya

dijual secara sendiri, dijual di kedai makan dan dijual secara tempahan atas talian. Mengikut

cerita Puan Noraisah Binti Sulong, hampir kesemua jenis kuih muih dihasilkan di Kampung

Hujung Permatang. Antaranya ialah kuih seri muka, kuih bahulu kemboja dan pelbagai lagi.

Pada tahun 1990 sehingga tahun 2002, dikatakan sepanjang Kampung Hujung

Permatang hanya mempunyai empat buah kedai sahaja termasuk kedai makan dan kedai

runcit. Walau bagaimanapun semuanya semakin berkembang apabila bermula tahun 2002

sehingga tahun 2015, sebanyak 23 buah kedai direkodkan dengan tambahan sebuah kilang

serta 4 buah bengkel yang turut sama diusahakan di kampung tersebut. Perkembangan sektor

ekonomi antara tahun 1990 hingga tahun 2002 dan dari tahun 2002 hingga tahun 2015 dapat

dilihat sejajar dengan pertambahan penduduk kampung yang semakin lama semakin ramai.

Jika dilihat dengan mata kasar, perkembangan dari aspek ekonomi di Kampung Hujung

Permatang semakin berkembang mengikut peredaran zaman. Ada yang turut membuka kedai

komputer, kedai membaiki peralatan elektrik, kedai membaiki telefon dan pelbagai lagi12.

2.3 Perkembangan Dari Aspek Sosial

Kampung Hujung Permatang juga mengalami perkembangan dari aspek sosial. Hal

ini dapat dijelaskan lagi apabila banyak aktiviti kemasyarakatan yang dijalankan untuk

menjalin hubungan erat antara penduduk malah antara kampung – kampung yang terlibat.

Misalnya Encik Zaaba Bin Muda menceritakan dengan penganjuran Karnival Sukan Rakyat

(KASURA), sukan tersebut bukan sahaja melibatkan Kampung Hujung Permatang,

KASURA turut disertai kampung lain yang berada dibawah pengurusan ADUN Permatang
dan Penghulu Mukim Hujung Permatang. Karnival ini mula dianjurkan pada tahun 2008

hingga kini dibawah cetusan idea En Mohd Yahya Bin Mat Sahri. Penganjuran KASURA ini

terbukti mampu menyatukan penduduk kerana mendapat sambutan yang hangat dalam

kalangan penduduk khusunya penduduk Kampung Hujung Permatang.

Bukan itu sahaja, Tuan Haji Sidek Bin Kamaruddin turut menceritakan bahawa

banyak juga aktiviti masyarakat penganjuran JKKKP dan JKKK seringkali mendapat

sambutan yang hebat dalam kalangan penduduk kampung. Antara aktiviti yang dianjurkan

ialah Program Hari Kemerdekaan, program Hari Raya, program Hari Malaysia, program

gotong royong dan pelbagai lagi. Pihak Masjid juga turut memainkan peranan dengan

menganjurkan aktiviti masyarakat yang berunsur keagamaan seperti Maulidur Rasul,

Ceramah Israk’ Mikraj dan pelbagai lagi. Kesemua aktiviti yang dianjurkan disambut meriah

sekaligus mampu mengeratkan hubungan antara penduduk dan ahli kariah Kampung Ujung

Permatang. Tidak ada beza dengan awal tahun 1990, semua penduduk tetap setia dan

mengambil bahagian dalam setiap aktiviti yang dianjurkan tanpa mengeluh sehingga tahun

2015. Dapat dirumuskan bahawa segala aktiviti yang dirancang bukan sahaja oleh JKKK,

JKKKP mahupun ahli masjid, semuanya disertai dengan riang oleh penduduk. Mereka

menyertai dengan satu tujuan utama iaitu mengeratkan dan menguatkan lagi perpaduan dalam

kalangan penduduk kampung.

Kemudahan – kemudahan sosial di Kampung Hujung Permatang turut ditambah baik

seperti dewan terbuka, balai raya, masjid, futsal, kedai, sekolah dan pelbagai lagi.

Kemudahan yang ada bukan sahaja ditambah baik, malah ada juga kemudahan yang

ditambah lagi supaya memberi manfaat kepada semua penduduk di Kampung Hujung

Permatang terutamanya untuk golongan muda. Golongan ini menggunakan kemudahan yang

ada dengan baik terutamanya dalam aktiviti sukan di samping mengeratkan lagi perpaduan

dan hubungan antara satu sama lain. Berbanding tahun 1990, kemudahan di Kampung
Hujung Permatang sangat terhad dan ada yang sudah usang. Situasi ini menyukarkan

penduduk untuk menjalani kehidupan seharian biarpun hubungan dalam kalangan mereka

masih kuat. Jelas bahawa kemudahan sosial turut memainkan peranan dalam perkembangan

sosial penduduk Kampung Hujung Permatang13.

Walau bagaimanapun, sistem sosial masyarakat penduduk di Kampung Ujung

Permatang hanya terdapat satu kaum dan agama iaitu Melayu Islam dengan bilangan

penduduknya tidak melebihi 1000 orang. Terdapat 838 rumah di Kampung Hujung

Permatang pada tahun 2015 yang semakin hari semakin bertambah berbanding 424 rumah

pada tahun 1990. Namun begitu, hubungan masyarakat di kampung Hujung Permatang kekal

aman dan bahagia. Jarang berlaku pergaduhan di Kampung Hujung Permatang. Boleh

dikatakan kampung ini aman dari sebarang anasir jahat seperti perkauman dan seangkatan

dengannya14. Penduduk di Kampung Hujung Permatang juga masih setia dengan adat – adat

lama yang mungkin sukar untuk diubah kerana penduduk telah tetapkan bahawa adat

masyarakat dahulu perlu dijaga dengan sebaiknya selagi tidak melanggar dengan hukum

syarak’. Jika dahulu penduduk pernah memuja kubur atau makam pahlawan, pembesar

mahupun kerabat diraja yang terdapat di kampung ini, kini perlahan – lahan mereka sudah

melupakan dan tidak lagi mengamalkan amalan tersebut sehingga kini15.

3.0 KESIMPULAN

Kampung Hujung Permatang merupakan kampung paling unik, penuh dengan sejarah

dan adat serta antara kampung tertua di Malaysia. Biarpun zaman sudah berlalu, penduduk di

kampung ini masih setia dengan adat orang lama – lama tanpa mengasingkan diri mereka

dengan perkembangan baharu. Walaupun dilihat penduduk mula kurang untuk bersosial,

namun mereka juga masih ada lagi niat untuk menyatukan kembali semua penduduk tidak

kira apa jua status mereka. Bukan itu sahaja, nilai sejarah yang terdapat di Kampung Hujung

Permatang perlu digali dengan lebih dalam supaya satu hari nanti, orang luar akan tahu
bahawa kampung ini penuh dengan keistimewaan yang tersendiri biarpun pembangunan di

kampung ini tidak secanggih di kawasan bandar. Semua pihak termasuk kerajaan negeri

mahupun kerajaan pusat perlu berganding bahu supaya menjaga martabat yang terdapat di

kampung ini. Jika kampung ini pernah mencapai status “perkampungan diraja” satu masa

dahulu, status itu perlu dikekalkan sampai bila – bila supaya sejarah, keunikan, keistimewaan

dan segala yang ada di kampung ini dapat diketahui oleh generasi yang akan datang. Kajian

ini dilakukan dengan harapan agar generasi akan datang tidak betah untuk mengkaji sejarah

mana – mana kampung termasuk Kampung Hujung Permatang satu hari nanti dengan lebih

dalam kerana sejarah Kampung Hujung Permatang terlalu banyak yang masih boleh

dirungkai.
NOTA HUJUNG.
1
Teuku Iskandar, Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, Kuala Lumpur :
Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005, m.s 341.
2
Yusoff Hassan, Sejarah Kuala Selangor, Kota Baharu : ST Media Resources, 1998, m.s 2.
3
Temuramah bersama Puan Noraisah Binti Sulong (Suri rumah, 56 tahun) pada 21/5/2021
4
_______, Profile Kampung Ujung Permatang, Kuala Selangor : JKKKP Ujung
Permatang,2015, m.s 5
5
Yusoff Hassan, Sejarah Kuala Selangor, Kota Baharu : ST Media Resources, 1998, m.s 135
6
Temuramah bersama Puan Noraisah Binti Sulong (Suri rumah, 56 tahun) pada 21/5/2021
7
Yusoff Hassan, Sejarah Kuala Selangor, Kota Baharu : ST Media Resources, 1998, m.s 134
8
Temuramah bersama Encik Jumasri Bin Jumin (Penghulu Mukim Hujung Permatang, 56
tahun) pada 26/5/2021
9
Temuramah bersama Tuan Haji Sidek Bin Kamaruddin (Ketua Kampung Ujung
Permatang, 69 tahun) pada 27/5/2021
10
Temuramah bersama Puan Noraisah Binti Sulong (Suri rumah, 56 tahun) pada 21/5/2021
11
Temuramah bersama Encik Zaaba Bin Muda (Ketua Kampung Permatang, 57 tahun) pada
28/5/2021
12
Temuramah bersama Tuan Haji Sidek Bin Kamaruddin (Ketua Kampung Ujung
Permatang, 69 tahun) pada 27/5/2021
13
Temuramah bersama Puan Noraisah Binti Sulong (Suri rumah, 56 tahun) pada 21/5/2021
14
Temuramah bersama Tuan Haji Sidek Bin Kamaruddin (Ketua Kampung Ujung
Permatang, 69 tahun) pada 27/5/2021
15
Al Zahrin Alias, “Batu nisan hiasi laman rumah” dari
https://www.google.com/amp/s/www.bharian.com.my/amp/bhplus-old/2015/07/68500/batu-
nisan-hiasi-laman-rumah diakses pada 25/04/2021.
BIBLIOGRAFI

Orang Sumber.

 Encik Jumasri Bin Jumin (Penghulu Mukim Hujung Permatang, 56 tahun)

 Encik Zaaba Bin Muda (Ketua Kampung Permatang, 57 tahun)

 Tuan Haji Sidek Bin Kamaruddin (Ketua Kampung Ujung Permatang, 69 tahun)

 Puan Noraisah Binti Sulong (Suri rumah, 56 tahun)

Buku

 Yussof Bin Hassan, Sejarah Kuala Selangor, ST Media Resources, Kelantan, 1998

 Profil Kampung Permatang dan Kampung Tengah Permatang, JKKK Permatang,

Selangor, 2015

 Profil Kampung Ujung Permatang, JKKKP Ujung Permatang, Selangor, 2015

Internet (Laman Sesawang).

 https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=kampung

 https://www.bharian.com.my/amp/bhplus-old/2015/07/68500/batu-nisan-hiasi-laman-

rumah
LAMPIRAN

Foto 1

Foto 1 : Sesi temuramah bersama orang sumber

Foto 2

Foto 2 : Kubur – kubur yang terdapat di sepanjang jalan Kampung Hujung Permatang

Foto 3

Foto 3 : Tanah Perkuburan yang dikatakan dulunya merupakan tapak Istana Raja Selangor
SOALAN – SOALAN TEMURAMAH

1.0 Sejarah dan Latar Belakang


1. Siapakah yang membuka Kampung Hujung Permatang dan bilakah Kampung Hujung
Permatang dibuka?
2. Kenapa dinamakan Kampung Hujung Permatang?
3. Apakah keistimewaan serta nilai sejarah yang boleh dilihat di Kampung Hujung
Permatang?

2.0 Perkembangan dari aspek Politik


1. Siapakah Badan Pentadbir di Kampung Hujung Permatang dan terangkan bagaimana
perkembangan politik berlaku di Kampung Hujung Permatang?
2. Apakah jenis sistem pentadbiran yang dilaksanakan di Kampung Hujung Permatang
dan bagaimanakah penduduk Kampung Hujung Permatang bertanggungjawab dalam
sistem pentadbiran di kampung tersebut?

3.0 Perkembangan dari aspek Ekonomi


1. Apakah kegiatan ekonomi yang sering dijalankan oleh Penduduk di Kampung Hujung
Permatang?
2. Terangkan bagaimana perbezaan kegiatan ekonomi bermula tahun 1990 sehingga
tahun 2015?

4.0 Perkembangan dari aspek Sosial


1. Apakah masyarakat yang menjadi majoriti di Kampung Hujung Permatang serta
bilangan penduduk dan rumah ketika tahun 1990 dan tahun 2015?
2. Apakah jenis aktiviti sosial yang pernah dijalankan dan adakah berlaku pertambahan
kemudahan di Kampung Hujung Permatang?
3. Apakah agama, kaum dan bahasa rasmi penduduk di Kampung Hujung Permatang?
TEMA : SEJARAH TEMPAT

TAJUK : PERKEMBANGAN KAMPUNG HUJUNG PERMATANG DI KUALA

SELANGOR, SELANGOR DARI TAHUN 1990 HINGGA TAHUN 2015

1.0 PENGENALAN

Kampung Hujung Permatang dikatakan dibuka pada tahun 1756, selaras dengan

pengasasan Kesultanan Selangor ketika itu. Kampung ini terletak panjang di Mukim

Permatang, kira – kira dua batu dari pekan Kuala Selangor. Ketika kampung ini dibuka,

dikatakan hanya 22 biji rumah sahaja yang ada ketika itu. Majoriti penduduk menjadikan

penanaman tanaman kelapa sawit sebagai salah satu punca utama pendapatan mereka.

Banyak keunikan dan nilai sejarah yang istimewa ada di Kampung Hujung

Permatang. Oleh sebab itu, kajian ini akan menghuraikan dengan lebih lanjut tentang sejarah

Kampung Hujung Permatang serta mengkaji dengan lebih dalam perkembangan di kampung

ini dari aspek politik, ekonomi dan sosial.

2.0 OBJEKTIF KAJIAN

Terdapat beberapa objektif yang jelas dalam penghasilan esei ilmiah ini. Tujuan

utama esei ini dihasilkan ialah untuk menjelaskan sejarah latar belakang Kampung

Hujung Permatang. Disamping itu, esei ini dihasilkan demi mengenal pasti dan

menghuraikan perkembangan politik yang berlaku di Kampung Hujung Permatang

daripada tahun 1990 hingga tahun 2015. Bukan itu sahaja, esei ini dijalankan untuk mengkaji

perkembangan dalam aktiviti ekonomi yang dijalankan penduduk di kampung ini.

Selain itu, esei ini dihasilkan untuk melihat perkembangan kampung ini dari aspek sosial

dalam kalangan penduduk kampung.


3.0 PERMASALAHAN KAJIAN

Permasalahan kajian ini dilakukan untuk mengenalpasti dan mengetahui bilakah

Kampung Hujung Permatang dibuka, siapakah pembuka Kampung Hujung Permatang,

berapa biji rumah di Kampung Hujung Permatang ketika pembukaannya dan apakah

keistimewaan nilai sejarah Kampung Hujung Permatang. Bukan itu sahaja, kajian ini juga

berfokus tentang bagaimanakah berlakunya perkembangan politik di Kampung Hujung

Permatang. Selain itu, kajian ini juga menekankan apakah perkembangan aktiviti ekonomi

penduduk di Kampung Hujung Permatang. Di samping itu, kajian ini lebih menumpukan

bagaimanakah aspek sosial di Kampung Hujung Permatang berkembang sejak tahun 1990

hingga tahun 2015.

4.0 SKOP KAJIAN

Terdapat beberapa aspek yang menjadi perhatian dalam skop kajian ini. Dari aspek

kawasan kajian, kajian ini lebih memfokuskan kepada kawasan Kampung Hujung

Permatang yang terletak di Mukim Permatang, Daerah Kuala Selangor.

Dari aspek tempoh kajian pula, kajian ini meliputi masa dari tahun 1990 Masihi

sehingga tahun 2015 Masihi. Tempoh ini signifikan kepada perkembangan petempatan yang

berlaku dari tempoh penubuhan sehingga perkembangan yang dilalui oleh Kampung Hujung

Permatang.

Manakala dari aspek tumpuan kajian, kajian ini mengkaji sejarah latar belakang dan

perkembangan di Kampung Hujung Permatang dari aspek politik, sosial dan ekonomi. Hal ini

disebabkan Kampung Hujung Permatang pernah menjadi perkampungan diraja malah

merupakan antara kampung terawal dan tertua yang wujud di negara ini.
5.0 SOROTAN KAJIAN LEPAS

Secara umumnya tiada kajian khusus yang dijalankan berkaitan dengan Kampung

Hujung Permatang. Walau bagaimanapun, sejarah kampung ini ada dinyatakan dalam buku

Sejarah Kuala Selangor yang dikarang oleh Dato’ Dr Haji Yusoff Bin Hassan yang

merupakan genre pertama teks sejarah Kuala Selangor yang dicetak pada tahun 1998 oleh

Syarikat ST Media Resources menceritakan sedikit bahawa Kampung Hujung Permatang

merupakan kampung diraja yang pernah menempatkan ahli keluarga Sultan dan para

pembesar kerajaan Kesultanan Selangor ketika itu. Buku ini juga berfungsi sebagai rujukan

kepada para pengkaji yang ingin mengkaji Kuala Selangor yang terkenal dengan slogan

“Kuala Selangor Indah dan Bersejarah”

Kajian lepas yang seterusnya ialah melalui laman sesawang

http://merahsilu.blogspot.com/2010/07/mencari-bukit-raja-di-kuala-selangor.html?m=1

tulisan Si Merah Silu yang bertajuk Mencari Bukit Raja di Kuala Selangor. Kajian ini

memfokuskan akan pengembaraan Si Merah Silu yang ingin mencari sejarah kerabat diraja

yang dimakamkan di Bukit Raja yang ada di Kampung Permatang.

Kajian lepas yang terakhir ialah melalui temu ramah oleh wartawan Berita Harian

terhadap salah seorang penduduk kampung melalui laman sesawang

https://www.bharian.com.my/amp/bhplus-old/2015/07/68500/batu-nisan-hiasi-laman-rumah

yang bertajuk Batu Nisan Hiasi Laman Rumah di mana temuramah ini mengisahkan

tentang batu nisan yang dilihat ada di sepanjang jalan bermula di Kampung Permatang,

Kampung Tengah Permatang dan Kampung Ujung Permatang.

Semua bahan tersebut sangat penting kerana dapat membantu pengkaji untuk mengkaji

dengan lebih dalam sejarah latar belakang, perkembangan dan keunikan yang terdapat di

Kampung Hujung Permatang ini.


6.0 KAEDAH KAJIAN

Bagi melaksanakan kajian ini, pengkaji menggunakan tiga kaedah untuk mendapatkan

maklumat. Pada mulanya, pengkaji juga mendapatkan maklumat melalui kaedah temu bual.

Dalam kaedah ini, pengkaji akan berjumpa dengan orang sumber bagi mendapatkan

maklumat - maklumat yang berkaitan dengan kawasan kajian pengkaji. Antara orang sumber

yang ditemu bual ialah Ketua Kampung Permatang, Ketua Kampung Ujung Permatang,

Penghulu Mukim Permatang dan penduduk asal kedua – dua kampung tersebut.

Bukan itu sahaja, soalan – soalan telah dirangka bagi mendapatkan maklumat

berkenaan kajian ini. Seterusnya, pengkaji menjalankan kajian menggunakan kaedah

kepustakaan di mana pengkaji akan ke pejabat Penghulu Mukim Permatang disamping

mendapatkan bahan dengan melayari internet, membaca buku serta akhbar bagi memperoleh

sumber primer dan sumber sekunder. Kajian tersebut dilakukan untuk mendapatkan rekod –

rekod berkenaan Kampung Hujung Permatang.

Selain itu, kaedah yang terakhir digunakan ialah kaedah lapangan di mana pengkaji

melawat kawasan sekitar Kampung Hujung Permatang untuk melihat sendiri keunikan yang

ada di kampung tersebut.

7.0 PEMBAHAGIAN STRUKTUR ESEI

Secara keseluruhan kajian ini dapat dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu bahagian

pengenalan, isi dan kesimpulan. Dalam bahagian pengenalan, pengkaji akan menjelaskan

sejarah latar belakang Kampung Hujung Permatang.

Pada bahagian isi pula, pengkaji akan dan menghuraikan perkembangan politik yang

berlaku di Kampung Hujung Permatang daripada tahun 1990 hingga tahun 2015. Dalam

bahagian ini juga, pengkaji akan menceritakan perkembangan dalam aktiviti ekonomi yang
dijalankan penduduk di kampung ini. Bukan itu sahaja, pengkaji akan menjelaskan

perkembangan kampung ini dari aspek sosial dalam kalangan penduduk kampung.

Aspek terakhir iaitu bahagian kesimpulan, pengkaji akan merumus hasil kajian

berkenaan di samping menceritakan sedikit pencapaian yang pernah dicapai oleh Kampung

Hujung Permatang

8.0 PENUTUP

Diharapkan dengan adanya kajian seperti ini akan dapat menambahkan lagi khazanah

tentang pengkajian sejarah tempatan. Kampung Hujung Permatang merupakan salah satu

kampung bersejarah yang sebenarnya masih boleh dikaji lagi sejarahnya kerana banyak lagi

sejarah tersembunyi yang ada di kampung tersebut namun tidak sempat untuk dikaji.

9.0 BIBLIOGRAFI

I. Yusoff Bin Hassan, Sejarah Kuala Selangor, ST Media Resources, Kelantan, 1998.

II. http://merahsilu.blogspot.com/2010/07/mencari-bukit-raja-di-kuala-
selangor.html?m=1

III. https://www.bharian.com.my/amp/bhplus-old/2015/07/68500/batu-nisan-hiasi-laman-
rumah

You might also like